• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3











  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,677,510 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 6,409 other followers

Berqiblatkan Islam Menerajui Perubahan


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 144 surah al-Baqarah :

قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاء فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّواْ وُجُوِهَكُمْ شَطْرَهُ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوْتُواْ الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ وَمَا اللهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

Maksudnya : Sesungguhnya Kami lihat engkau sentiasa mengadah ke langit, maka Kami palingkan engkau (menghadap) ke kiblat yang engkau ingini. Sebab itu, palingkanlah mukamu ke pihak Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, hadapkanlah mukamu ke pihaknya. Dan sesungguhnya orang yang diberi kitab mengetahui bahawasanya itu adalah kebenaran daripada Tuhan mereka. Dan Allah tidak lalai terhadap apa pun yang kamu kerjakan.

Kini kita berada pada minggu terakhir bulan Sya’aban di mana kita bakal menyambut ketibaan bulan Ramadhan al-Mubarak tidak lama lagi. Oleh itu persiapkanlah diri kita dengan sebaiknya agar ketibaan Ramadhan tahun ini lebih bermakna dalam melahirkan hamba Allah yang bertaqwa. Keberadaan kita pada saki baki bulan Sya’aban mengingatkan kita tentang beberapa peristiwa besar dalam sejarah Islam antaranya peristiwa perubahan Qiblat daripada mengadap ke arah Masjid al-Aqsa di Palestin ketika mula-mula sampai di Madinah kepada mengadap Ka’abah di Masjidil Haram, Mekah selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah s.a.w memohon daripada Allah. Pertukaran qiblat ini telah menghentikan ejekan kaum yahudi terhadap nabi Muhammad s.a.w dan para muslimin kerana yahudi menganggap baginda tidak benar serta tidak tetap pendirian kerana terpaksa menghadap ke arah qiblat yang sama dengan yahudi iaitu Baitul Maqdis. Peristiwa ini memberi pengajaran besar kepada umat Islam agar kita mesti memerdekakan diri kita daripada mengikut jejak langkah musuh Islam terutama yahudi dan Kristian dalam setiap aspek kehidupan samada dalam sistem ekonomi, sosial, politik, perundangan dan sebagainya. Selagi sistem yang digunakan oleh oleh umat Islam masih berqiblat kepada sistem kuffar maka selagi itulah kita terus mundur dan terjajah dalam negara sendiri.

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mukminun :

وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُم بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَن ذِكْرِهِم مُّعْرِضُونَ

Maksudnya : Dan sekiranya kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya;

Antara sebab utama rasa kurang yakin dengan system Islam ialah akibat tertipu dengan godaan nafsu jahat. Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq pernah mengemukakan petua untuk memerangi nafsu liar atau buruk dengan menggunakan 5 pendekatan iaitu : [1] Menggunakan solat Jumaat sebagai pengatur nafsu di mana sebelum mendirikan solat Jumaat, makmum akan mendengar isi khutbah terlebih dulu yang di awalnya disisipkan nasihat supaya bertaqwa kepada Allah. Nasihat khatib sedikit sebanyak akan menginsafkan kita supaya sentiasa bermuhasabah diri. Jadi, amat malang apabila ramai makmum datang lewat ke masjid sedangkan khatib hampir selesai bacaan khutbah. Khutbah Jumaat seharusnya menjadi penyegar motivasi yang menjana keperkasaan iman dan taqwa kepada Allah. [2] Membiasakan diri membaca al-Quran dengan memahami dan meyakini ertinya. Kata Sayyidnina Abu Bakar : “Nikmat membaca al-Quran hanya dapat dirasai mereka yang pernah mengamalkannya, kerana itu jadikanlah amalan membaca al-Quran sebagai sesuatu yang tidak boleh diabaikan”. Meninggal atau memencilkan amalan membaca al-Quran boleh mengakibatkan seseorang cepat hanyut dibuai kegilaan mengejar duniawi tanpa batasan. Manakala membudayakan bacaan al-Quran akan mewujudkan keinsafan tinggi ke arah membina gaya hidup murni yang menepati kehendak agama. Kata Sayyidina Ali bin Abi Talib, “Al-Quran adalah cahaya yang menerangi hati, menyinari hidup dan mati, dan memudahkan jalan ke syurga.” [3] Jangan lupa daratan dan jangan sekali-kali mendekati tempat yang mendorong kepada perbuatan maksiat atau kejahatan. Sesungguhnya mendekati lokasi maksiat akan menjadi penyebab tergelincirnya seseorang ke lembah hina. [4] Terlibat dengan kegiatan bermasyarakat dengan menjaga batas agama. Ia mampu membentuk jiwa mengutamakan hubungan ukhwah sesama ummah dan manusia sejagat sehingga suburnya budaya nasihat serta tugas amar makruf nahi munkar. [5] Sering membaca ayat 6 hingga 7 daripada surah al-Fatihah

اهْدِنَا الصِّرَ‌اطَ الْمُسْتَقِيمَ ﴿٦﴾ صِرَ‌اطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ‌ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ

Maksudnya : ….Tunjuklah kami jalan yang lurus, iaitu jalan yang telah Engkau berikan atas mereka nikmat, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.”

Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,

Firman Allah dalam ayat 81 surah al-Isra’ :

وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا

Maksudnya : Dan katakanlah:” Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap”.

Peristiwa perubahan arah Qiblat banyak mengajar kita tentang hubungan dengan Allah agar kita sentiasa berdoa dan berserah diri kepadaNya pada setiap waktu dan tempat. Ia juga meminta kita agar tidak terus dijajah dengan fahaman atau sistem yang bercanggah dengan Islam sehingga kemungkaran terus bertambah dan jenayah semakin bercambah. Kegagalan dalam memperkasakan sistem Islam telah menyaksikan sistem politik, ekonomi, sosial yang semakin pincang dan tempang sehingga penindasan dan pengkhianatan terhadap amanah rakyat semakin jelas dan terang. Bila bercakap tentang ekonomi di mana kekayaan negara hanya berlegar di kalangan ahli keluarga mereka yang berkuasa sahaja sehingga kita rasa gerun bila adanya orang Islam yang bukan sahaja menjadi pemegang saham Syarikat arak paling besar di Filiphina malah mendapat hasil jualan minyak kepada syarikat penerbangan MAS milik negara. Betapa hinanya apabila Malaysia antara pengeluar minyak utama tetapi membeli minyak daripada syarikat Arak untuk kapal terbang sendiri. Malah kita turut bimbang dengan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik dalam menyaman pesalah trafik bukan membantu dalam mengurangkan kemalangan jalanraya tetapi menjadi jalan pintas untuk syarikat tertentu dalam mengaut keuntungan mudah hasil kutipan saman terhadap rakyat. Bila pemimpin berniaga dengan rakyat maka rakyat terus menderita di negara sendiri.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Peristiwa besar lain yang berlangsung pada bulan Sya’aban ini juga ialah Peperangan Bani Mustaliq pada tahun 6 Hijrah apabila Rasulullah bertindak pantas menyerang Bani Mustaliq yang sedang merancang untuk menyerang Madinah. Antara perkara yang besar sepanjang peperangan ini ialah khabar Ifk atau berita bohong yang dilempar terhadap diri Siti Aisyah yang dituduh melakukan perbuatan  sumbang dengan Safwan bin al-Mu’tal. Fitnah ini begitu kuat sehingga Rasulullah s.a.w sendiri tidak mampu berbuat apa-apa sehinggalah turunnya wahyu yang menjelaskan bagaimana bersihnya Siti Aisyah daripada sebarang tuduhan liar yang ditujukan kepadanya. Rasulullah s.a.w sendiri meminta agar diselidik mengenai orang- yang mula-mula menaburkan fitnah yang dahsyat ini di mana akhirnya 3 orang dihukum dengan hukuman qazaf 80 kali sebatan iaitu Hasan bin Thabit, Musytaq dan seorang perempuan bangsawan Quraisy. Peristiwa ini memberi pengajaran yang begitu besar kepada umat Islam supaya berhati-hati dan cermat terutama dalam berdepan dengan fitnah dan tuduhan liar terhadap Islam dan umatnya. Isu tuduhan liwat kembali bergema akibat kegagalan undang-undang Islam dilaksanakan sehingga maruah dianggap bahan murahan yang boleh dijaja sesuka hati. Kita doakan pada hari Jumaat yang mulia ini, di masjid yang mulia ini agar hukum Hudud yang turut mendapat liputan meluas akhir-akhir ini segera dilaksanakan dalam mendidik dan mengawal umat Islam. Mimbar Jumaat juga menyeru agar undang-undang rimba ISA yang didakwa telah dihapuskan agar segera dikuburkan dengan membebaskan segera semua tahanan atau dakwa mereka dengan saluran yang betul dan adil. Buktikan keadilan perundangan Islam sememangnya memberi keadilan kepada semua tidak sebagaimana lemahnya perundangan manusia yang diumpamakan sarang labah-labah iaitu yang kecil dan lemah sahaja yang lekat diberkas tetapi yang kuat dan berkuasa terlepas bebas. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat.

Firman Allah dalam ayat 19 surah an-Nur :

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ۚ وَاللهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لاَ  تَعْلَمُونَ

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman maka bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat.  Dan Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: