• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3











  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,677,030 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 6,409 other followers

Julang Islam Raih Kemenangan Gemilang


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 38 surah at-Taubah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ ۚ أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya apabila diseru kepada kamu: “Berangkatlah untuk berperang pada jalan Allah”. Kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu. Adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat sedangkan kenikmatan hidup di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat hanyalah sedikit.

Kini kita berada bulan Rejab yang pernah mencatatkan beberapa peristiwa besar terutama peristiwa Isra’ dan Mikraj dan Peperangan Tabuk tahun 9H. Peristiwa-peristiwa ini meninggalkan begitu banyak pengajaran dan iktibar yang mesti diambil dalam meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini. Pelbagai cabaran dan halangan pasti akan ditempuhi dalam menegakkan system Islam atas muka bumi ini di mana kita bukan sahaja dituntut untuk mengorbankan masa dan tenaga malah menuntut tumpahnya darah ke bumi dan berpisahnya nyawa dari badan. Perjuangan Islam bukan dihamparkan dengan permaidani merah sebaliknya menempuh pelbagai ujian dan cabaran samada luaran mahu pun dalaman. Sebelum berlakunya Isra’ Mikraj, kita dapat melihat bagaimana tentangan terhadap dakwah nabi Muhammad s.a.w bukan sahaja oleh majoriti penduduk Mekah termasuk kaum keluarga baginda sendiri malah turut menerima tentangan daripada penduduk Taif. Ia mengajar kita bagaimana bukan suatu kerja yang senang dalam memberi kesedaran tentang kebaikan Islam samada kepada orang yang paling hampir dari sudut hubungan kekeluargaan atau persahabatan dengan kita apatah lagi mereka yang agak jauh hubungan daripada kita. Walau pun ramai ahli keluarga terdekat yang menentang namun begitu dakwah nabi banyak juga dibantu oleh orang yang terdekat seperti isteri tersayang Siti Khadijah dan sokongan bapa saudaranya Abu Tolib. Malah nabi sentiasa peringatkan kita tentang bahayanya ahli keluarga terdekat kepada agama kita jika kita tidak cermat dan berhati-hati di mana betapa ramai ibubapa yang rosak akibat anak, anak yang rosak akibat ibubapa, isteri yang rosak akibat suami dan sebaliknya, rakan merosakkan rakannya yang lain dan sebagainya. Kesungguhan dan istiqamah dalam menjalankan kerja dakwah merupakan suatu yang dituntut dalam memastikan perkembangan Islam terus berlangsung. Apa yang lebih penting ialah pergantungan kita dengan Allah dalam setiap keadaan yang menjamin kebahagiaan dan kemuliaan hidup di dunia dan akhirat. Tanam dalam diri kita tentang semangat kental yang diajar oleh nabi Muhammad s.a.w iaitu biarlah kita dibenci oleh seluruh manusia asalkan kita diredhai oleh Allah atas amal dan usaha yang dilakukan. Jangan sekali-kali kita mencari redha manusia atas kemurkaan Allah

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah :

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya : Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui

Begitu juga kita ambil iktibar tentang Perang Tabuk di mana sebelum keluar ke Tabuk, Rasulullah s.a.w terpaksa berhadapan dengan beberapa golongan iaitu [1] golongan yang menangis kerana tiada kelengkapan terutama tunggangan untuk turut sama ke sana. Golongan ini mempunyai keinginan yang tinggi untuk turut keluar berperang tetapi akibat tidak mempunyai kemampuan maka mereka tidak mampu berbuat demikian. Oleh itu marilah kita bermusabah menghitung diri tentang usaha yang telah, sedang dan akan kita lakukan dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Ingatlah bahawa setiap diri kita ada tugas masing-masing mengikut kelayakan dan kemampuan masing-masing. Tiada alasan untuk rehat atau tidak terlibat dengan perjuangan Islam. Manakala golongan ke-[2]  ialah golongan yang meminta keuzuran daripada Rasulullah daripada turut serta dalam peperangan dengan alasan yang tidak diterima oleh Allah kerana mereka cukup dengan kelengkapan tetapi takut dan malas untuk berbuat demikian demi kepentingan peribadi terutama begitu terpesona dengan dunia seperti musim mengait kurma yang sedang masak dan sebagainya. Oleh itu nabi banyak mengajar kita berdoa kepada Allah agar tidak menjadikan dunia sebagai matlamat sebaliknya sentiasa bersiap dengan bekalan akhirat antara doa baginda

اللَّهُمَّ اقْسِمْ لَنَا مِنْ خَشْيَتِكَ مَا يَحُولُ بَيْنَنَا وَبَيْنَ مَعَاصِيكَ ، وَمِنْ طَاعَتِكَ مَا تُبَلِّغُنَا بِهِ جَنَّتَكَ ، وَمِنَ اليَقِينِ مَا تُهَوِّنُ بِهِ عَلَيْنَا مُصِيبَاتِ الدُّنْيَا

Maksudnya : Ya Allah! Bahagikan untuk kami akan rasa takut kepadaMu yang akan menghalang antara kami daripada menderhakaiMu. Ketaatan kepadaMu yang akan menyampaikan kami kepada SyurgaMu dan keyakinan yang menyebabkan musibah dunia itu menjadi mudah dan ringan atas kami

            Begitu juga kita bukan sahaja tidak mudah tertipu dengan tipuan dunia yang sementara malah menjadikan nikmat dunia sebagai alat untuk menambah pahala akhirat. Peristiwa Isra’ Mikraj turut mengingatkan kita tentang hakikat dunia yang terlalu uzur dan bakal hancur. Malah nabi Muhammad s.a.w pernah mengibaratkan dunia seumpama bangkai anak kambing yang terpotong telinganya di mana jika ia masih hidup pun sudah ramai yang tidak sanggup membelinya apatah bila sudah menjadi bangkai. Itulah hakikat dunia yang tiada harga di sisi Allah di mana jika kita sentiasa sedar tentang perkara ini membolehkan hati kita tidak tertipu dan lalai dengan tipuan dunia yang banyak merosakkan manusia yang alpa

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” نِعْمَتِ الدَّارُ الدُّنْيَا لِمَنْ تَزَوَّدَ فِيهَا خَيْرًا لآخِرَتِهِ مَا يُرْضِي بِهِ رَبَّهُ ، وَبِئْسَتِ الدَّارُ لِمَنْ صَدَّتْهُ عَنْ آخِرَتِهِ ، وَقَصَّرَتْ بِهِ عَنْ رَضِيَ رَبِّهِ –  رواه الحاكم

Maksudnya : Sebaik-baik tempat di dunia adalah orang yang menjadikannya sebagai tempat untuk mempersiapkan bekal di akhirat sehingga mendapat keredhaan Tuhannya. Dan seburuk-buruk tempat di dunia  adalah yang menghalangi untuk mendapatkan akhirat dan terhalang pula daripada meraih keredhaan Tuhannya

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

            Firman Allah dalam ayat 55 surah at-Taubah :

فَلَا تُعْجِبْكَ أَمْوَالُهُمْ وَلَا أَوْلَادُهُمْ ۚ إِنَّمَا يُرِ‌يدُ اللَّـهُ لِيُعَذِّبَهُم بِهَا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَتَزْهَقَ أَنفُسُهُمْ وَهُمْ كَافِرُ‌ونَ

Maksudnya : Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).

Ketika Perang Tabuk juga Rasulullah s.a.w terpaksa berdepan dengan golongan yang ke-[3]  yang menjadi musuh dalam selimut ialah golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Golongan ini bukan sahaja cuba menarik seramai mungkin umat Islam supaya tidak keluar berperang bermula dari awal lagi, sebahagian lagi cuba mempengaruhi tentera Islam yang sedang menunju ke Tabuk untuk menarik diri dan sebahagian lagi menunggu kepulangan nabi Muhammad s.a.w untuk merasmikan Masjid Dhirar yang dibina oleh golongan yang merupakan musuh dalam selimut ini. Akhirnya bukan sahaja usaha mereka gagal malah Allah memerintahkan nabi supaya meruntuhkan masjid Dhirar yang bukan dibina atas asas Taqwa malah sebagai lambing perpecahan dan pengkhianatan terhadap Islam. Peristiwa ini memberi peringatan penting kepada kita agar pembinaan Masjid mestilah atas asas Taqwa bukannya untuk menunjuk-nunjuk atau hanya untuk dapat projek sahaja sehingga yang terbaru ada kes masjid runtuh walau pun kos binaan jutaan ringgit. Masjid yang dibina mesti disuburkan dengan pelbagai aktiviti dalam memperkasakan Islam dan umatnya bukan hanya gah dengan binaan yang besar dan cantik sahaja tetapi kosong daripada hidayah Allah. Sesuai dengan kita berada pada bulan Rejab yang merupakan bulan kita memperingati peristiwa Isra’ Mikraj yang dianugerahkan dengan kewajipan solat 5 waktu maka kita mahu setiap diri kita bukan sahaja menjaga solat fardhu malah menggunakan peluang yang ada untuk memenuhi ruang di masjid dan surau. Musuh Islam termasuk zionis yahudi pernah menyatakan bahawa mereka tidak akan bimbang dengan umat Islam sehinggalah umat Islam mampu memenuhi masjid terutama pada waktu Subuh sebagaimana umat Islam datang beramai-ramai ke masjid pada hari Jumaat maka barulah saat hancurnya zionis yahudi akan tiba. Ayuh kita sahut cabaran musuh Islam ini untuk sama-sama memastikan kita, anak-anak kita, rakan-rakan kita, jiran-jiran kita untuk memenuhi masjid dan surau tiap waktu agar janji kemenangan daripada Allah semakin dekat dan berada dalam genggaman

Firman Allah dalam ayat 18 surah at-Taubah :

إِنَّمَا يَعْمُرُ‌ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ‌ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya : Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: