• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Khutbah Audio 57 – Kepimpinan Islam DiPilih Kezaliman Jahiliah DiSisih

Kepimpinan Islam DiPilih Kezaliman Jahiliah DiSisih

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 58 Surah an-Nisa’:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Kepimpinan dan pembinaan tamadun merupakan suatu yang berkait rapat antara satu sama lain. Bila kita membaca sejarah sesuatu kerajaan maka topik utama perbincangan banyak berkisar tentang pemimpin, corak pemerintahan dan kejayaan atau kegagalannya dalam membina tamadun. Oleh itu Islam begitu mengambil berat tentang masalah kepimpinan dan cara pembinaan tamadun agar selari dengan kehendak syarak. Islam bukan hanya mahu tamadun kebendaan sahaja ditegakkan sedangkan tamadun rohani dipinggirkan. Umat Islam sentiasa diperingatkan tentang ikatan antara kebahagiaan dunia akhirat, dosa pahala, Syurga Neraka agar kita sentiasa memastikan setiap tindakan kita termasuk dalam memilih pemimpin dan pembinaan tamadun mesti mengikut kehendak wahyu bukan tunduk kepada hawa nafsu. Dunia diberi oleh Allah kepada sesiapa yang mencintai Allah dan memusuhiNya sedangkan agama hanya dianugerahkan kepada hamba Allah yang mencintai Allah. Oleh itu kita sedar bahawa tujuan kita memilih pemimpin bukan untuk mendapat habuan dunia semata-mata sebaliknya kita memilih pemimpin dari kalangan orang yang mampu membangunkan Tamadun dunia dan rohani berdasarkan agama. Tidak ada pemimpin yang mampu membina Tamadun Kebendaan dan Rohani secara serentak berdasarkan agama melainkan orang yang kenal Allah dan mencintai Allah. Antara contohnya ialah pemimpin yang mengatakan judi adalah haram maka kedai judi tidak diberikan lesen untuk beroperasi agar rakyat terjaga daripada keruntuhan akhlak. Kita tidak tertipu dengan pemimpin yang hanya berbangga kerana membuka perbankan Islam sedangkan dia sendiri begitu seronok dengan sistem riba. Kita wajib memilih pemimpin yang sentiasa berusaha dalam memberi kefahaman kepada rakyat tentang pentingnya solat 5 waktu sehingga banyak program tarbiah dilaksanakan agar rakyat betul-betul menjaga solat. Kita wajib menolak pemimpin yang hanya tahu mengeluh apabila lahirnya ramai anak zina, keruntuhan akhlak akibat hiburan melampau sedangkan pintu zina diberi lesen samada kelab malam, rancangan tv, program hiburan melampu sehingga tak cukup artis tempat maka berjuta wang dibazirkan untuk menjemput artis luar negara. Bijak mengundi bawa bahagia, Silap mengundi bawa derita dunia akhirat

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 19 surah at-Taubah :

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَ‌ةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَ‌امِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ‌ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ لَا يَسْتَوُونَ عِندَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya : Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.

Islam begitu mengambil berat tentang Syiar dan pelaksaan syariat di mana pada zaman nabi s.a.w ada sahabat yang berbangga kerana keluarganya diamanah untuk memegang anak kunci Ka’abah, ada sahabat yang lain berbangga kerana keluarga mereka berperanan besar dalam memberi minum jemaah haji lalu Sayyidina Ali bangkit menerangkan bahawa beliau antara orang yang paling awal beriman kepada Allah dan rasulNya dan banyak berjuang pada jalan Allah. Oleh itu kita bukan sahaja digalakkan untuk membina masjid tetapi apa yang paling penting dalam memperkasakan pengajian agama sehingga rakyat jelata berilmu dan semakin jinak dengan masjid. Jangan pula seronok memberitahu dunia bahawa mereka adalah golongan yang membina masjid sedangkan tangan yang  sama memberi lesen untuk judi, kelab malam, kilang dan kedai arak yang berleluasa, hiburan melampau serta tempat dan aktiviti maksiat yang lain. Kita tidak mahu hanya menjadi jaguh di kaca tv dan dada akhbar dalam mempertahankan kalimah Allah sedangkan membiarkan pemimpin yang sedia ada memberi kelulusan untuk membawa masuk Bible dari Indonesia yang bertulis kalimah Allah untuk diedarkan. Kita tidak mahu manusia yang menghina hukum Allah terus membiak sehingga banyak bala Allah merebak termasuk jenayah dan video fitnah liwat dan zina dibiarkan tersebar tanpa tindakan sewajarnya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Imam Muslim meriwayat dari Abu Hurairah ra, bahwasanya Rasulullah saw bersabda:

مَنْ خَرَجَ مِنْ الطَّاعَةِ وَفَارَقَ الْجَمَاعَةَ فَمَاتَ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً وَمَنْ قَاتَلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ يَغْضَبُ لِعَصَبَةٍ أَوْ يَدْعُو إِلَى عَصَبَةٍ أَوْ يَنْصُرُ عَصَبَةً فَقُتِلَ فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ وَمَنْ خَرَجَ عَلَى أُمَّتِي يَضْرِبُ بَرَّهَا وَفَاجِرَهَا وَلَا يَتَحَاشَى مِنْ مُؤْمِنِهَا وَلَا يَفِي لِذِي عَهْدٍ عَهْدَهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُ

Maksudnya : “Barangsiapa keluar dari ketaatan dan memecah belah Jama’ah, lalu dia mati, maka matinya (seperti) mati jahiliyyah. Dan barangsiapa berperang di bawah panji Assobiyah, marah kerana Assobiyah, atau menyeru kepada Assobiyah, atau menolong kerabat (dalam kezaliman), kemudian dia terbunuh, maka matinya adalah mati jahiliyyah. Dan siapa saja memerangi umatku, membunuh orang yang baik maupun orang yang buruk dari umatku, dan tidak memperhatikan orang-orang mukminnya, tidak pula memperhatikan orang yang membuat perjanjian, maka ia bukan termasuk golonganku, dan aku bukan termasuk golongannya

Rakyat ditakutkan melalui tv, radio, akhbar dan media massa yang lain bahawa bangsa Melayu akan hilang kehebatan dan kuasa jika pemimpin sekarang diubah. Sebagai rakyat yang bijak dan cerdik sepastinya kita tidak mudah tertipu dengan laungan yang tersasar daripada hakikat yang sebenar ini. Laungan kebangsaan sempit ini begitu merbahaya jika kita termakan racunnya yang berbisa sehingga Rasulullah s.a.w memberi amaran keras tentang bahaya Assobiyah. Ibnu Khaldun di dalam Al-Muqaddimah menyatakan bahawa semangat dan kekuatan bangsa boleh membantu menaikkan sesuatu bangsa kepada kemajuan dengan syarat ia mesti berteraskan Islam. Tetapi dalam masa yang sama apabila semangat kebangsaan atau kekitaan ini mula dilonggarkan daripada Islam maka ia akan menghancurkan bangsa tersebut. Ia terjadi apabila pemimpin mula merasakan kekuatannya adalah hasil sokongan yang tidak berbelah bahagi atas nama mereka sebangsa walau apa pun yang dilakukan. Akhirnya pemimpin tersebut mula terpesong dan mementingkan diri sendiri sehingga  segala kemewahan negara pada mulanya dinikmati oleh seluruh bangsanya mula diperkecilkan kepada mereka yang menyokongnya sahaja sehingga mengabai dan menzalimi mereka yang sebangsa tetapi tidak memberi sokongan kepadanya di atas sebab tertentu. Disebabkan perasaan tamak terus menguasai diri menyebabkan pemimpin itu mula memperkecilkan lagi pembahagian hak dan kemewahan kepada keluarga terdekat dan mereka yang menjadi pendokong kuat kepadanya walau pun bukan dari bangsanya. Tindakannya ini akhirnya menimbulkan perasaan dendam di kalangan bangsanya sendiri terutama penyokongnya yang selama ini begitu setia kepadanya akibat daripada kezaliman yang dilakukan.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Kita  mesti yakin bahawa mulianya sesuatu bangsa kerana berpegang kepada Islam dan hina serta mundurnya suatu bangsa kerana membuang Islam daripada kehidupan mereka. Ingatlah kita kepada kata-kata Sayyidina Umar yang masyhur ketika beliau  berjaya membebaskan Baitul Maqdis yang berbunyi :

نَحْنُ  قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللهُ بِاللإسْلامِ فَمَهْمَا نبَتْغَيِ العِزَّةَ بِغَيْرِمَا أَعَزَّنَا اللهُ أَذَلَّنَا اللهُ

Maksudnya : Kita adalah suatu kaum yang  dimuliakan oleh  Allah  dengan  Islam. Selama mana kita mencari kemuliaan dengan sesuatu  yang bukan  apa yang  telah dimuliakan kita dengannya  iaitu  Islam  maka kita akan dihina oleh Allah

Bangsa Melayu akan kembali perkasa dan kuat apabila kita berani membuat perubahan termasuk dalam memilih pemimpin. Kita jangan lupa kepada jenayah golongan yang mengaku memperjuangkan hak Melayu sedangkan banyak tanah rezab Melayu digadai kepada orang asing termasuk saki baki tanah milik Keretapi Tanah Melayu KTM di Singapura. Pengkhianat kepada tulisan jawi yang menyebabkan ramai yang buta al-Quran dan agama. Pengkhianat kepada pusat pengajian agama termasuk serangan besar-besaran terhadap sekolah agama rakyat SAR yang mengorbankan puluhan ribu pelajar. Menyusahkan pelajar untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Azhar sehingga banyak kolej Islam ditutup dan ribuan pensyarah dan pelajar menjadi mangsa. Mengkhianat bahasa Malaysia dengan pelaksanaan pembelajaran matapelajaran matematik dan sains dalam bahasa inggeris yang mengorbankan ratusan ribu anak Melayu. Ibarat kata Ibnu Khaldun bangsa yang paling bangsat ialah bangsa yang bergantung kepada bahasa penjajahnya sendiri untuk maju. Kita rakyat Kelantan yang majoritinya orang melayu dinafikan hak Royalti minya lebih 12 bilion disamping pembangunan yang lain oleh golongan yang mendakwa mereka pejuang bangsa Melayu. Jangan kerana atas alasan Melayu menyebabkan kita terus membiarkan pembaziran wang rakyat seperti kos bil elektrik dan air kediaman Perdana Menteri mencecah RM10 juta setahun manakala kos selenggara RM49 juta setahun. Jangan kerana terhutang budi dengan duit RM100, RM500 dan sebagainya menyebabkan kita terus membiarkan masalah rasuah, pecah amanah yang mendekatkan Negara kita menjadi muflis. Jangan kerana nama Melayu menyebabkan kita rela syarikat kapal terbang MAS terpaksa membeli minyak daripada Syarikat arak Filiphina di mana salah seorang ahli pengarahnya orang Melayu. Islamkan Melayu nescaya kita bahagia dunia akhirat, jangan melayukan Islam sehingga kita menderita dunia akhirat.

Firman Allah dalam ayat 41 Surah al-Hajj:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Audio 56 – Pemimpin Adil Bawa Bahagia Pemimpin Zalim Bawa Derita

Pemimpin Adil Bawa Bahagia Pemimpin Zalim Bawa Derita

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 41 Surah al-Hajj:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan

Kedatangan nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi akhir zaman yang bukan sahaja sebagai seorang ahli ibadat yang tawadhu’, pendakwah yang cekal, ketua keluarga yang penyayang, ahli masyarakat yang sopan, ketua tentera yang bijak malah sebagai pemimpin negara yang hebat. Jangan sekali-kali memisahkan cara hidup nabi dalam setiap kehidupan dengan hanya melihat nabi sebagai pendakwah yang tidak berpolitik atau hanya memakmurkan masjid tidak terlibat dalam mengurus negara. Kewafatan nabi bukan bererti berakhirnya dakwah Islam sebagaimana permusuhan terhadap Islam terus berlangsung hingga hari qiamat. Jahiliah yang pernah dibanteras oleh nabi akan kembali subur semula akibat gagalnya sistem Islam dilaksanakan atas muka bumi ini. Tugas nabi yang mulia ini diteruskan oleh khulafa’ ar-Rasyidin selepas kewafatan baginda bagi memastikan suasana yang baik dan teratur tidak kembali menjadi buruk dan berterabur. Sesuai dengan maksud khalifah itu sendiri iaitu kepimpinan dalam mengurus dunia berdasarkan agama ke arah menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Antara tugas besar kepimpinan Islam ialah memastikan rakyat jelata sentiasa mengambil berat tentang kewajipan solat 5 waktu, pembayaran zakat dan agihan yang adil kepada rakyat dalam memastikan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia berjalan dengan baik bagi menjamin keberkatan dan ketenangan hidup ditambah dengan memperkasa tugas amar makruf nahi mungkar dalam setiap aspek kehidupan supaya cara hidup rakyat berpandu kepada wahyu bukannya hanyut dengan godaan nafsu

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 247 surah al-Baqarah :

وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ اللَّـهَ قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا ۚ قَالُوا أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ الْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِالْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ سَعَةً مِّنَ الْمَالِ ۚ قَالَ إِنَّ اللَّـهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ ۖ وَاللَّـهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya : Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.

Tugas sebagai pemimpin bukanlah suatu lambang kebanggaan sebaliknya ia adalah amanah yang besar dalam membentuk corak pemerintahan samada tunduk kepada Allah atau menyalahiNya, mendapat berkat atau laknat, bermatlamat dunia atau akhirat. Al-Quran dan hadis nabi banyak memberitahu kepada kita bagaimana pemimpin yang adil mengikut syariat akan mendapat balasan Syurga manakala pemimpin zalim akan dibakar dalam Neraka. Malah pemimpin yang adil antara 7 golongan yang bakal dipayungi di bawah bayangan Arasy pada hari akhirat dan juga antara golongan yang dimakbulkan doa oleh Allah.

Menyedari tentang kewajipan dan tanggungjawab pemimpin yang begitu besar ini maka kita sebagai rakyat jelata mesti memilih kepimpinan sebagaimana yang diajar oleh wahyu bukannya mengikut selera wahyu. Kisah perlantikan Talut sebagai pemimpin dalam berdepan dengan kezaliman Jalut antaranya mengajar kita tentang 2 ciri utama pemimpin iaitu berilmu dan beramal dengan ajaran syarak disamping memiliki kemampuan untuk melaksanakan tugas yang dipikul serta mampu memberi keyakinan kepada rakyat dengan penampilan akhlak yang baik.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 8 surah Al-Maidah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّـهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِ‌مَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَ‌بُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ‌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Kisah ini juga memberi peringatan agar kita jangan terpedaya dalam memilih pemimpin hanya berdasarkan keturunan dan kekayaan semata-mata kerana ia tidak menjamin kebahagiaan hidup dunia apatah lagi di akhirat nanti. Ingat pesanan berharga daripada Khalifah Umar bin Abdul Aziz : Jika pemimpin kaya maka rakyat akan miskin tetapi bila pemimpin miskin maka rakyat akan kaya. Ini adalah kerana pemimpin yang kaya sentiasa sibuk untuk menambah kekayaan sehingga lupa rakyat yang susah sedangkan pemimpin yang miskin sentiasa berfikir tentang kebajikan rakyatnya yang susah.” Begitu juga Ibnu Khaldun di dalam al-Muqaddimah telah menggariskan beberapa sebab atau punca yang menyebabkan keruntuhan sesebuah kerajaan antaranya ialah masalah wang atau aktiviti mega yang berbentuk mewah bukan untuk keperluan rakyat sehingga wujudnya pembaziran, pecah amanah, salah kuasa, rasuah yang menyebabkan rakyat memikul bebanan cukai dan kos sara hidup yang tinggi ketika pemimpin terus hidup mewah. Kepincangan dalam menguruskan kekayaan Negara cuba ditutup dengan pemberian habuan yang sedikit kepada rakyat dengan membiarkan masalah rasuah, pecah amanah, pembaziran serta hasil mahsul Negara dibahagi sesama kroni sahaja sehingga yang kaya semakin kaya yang miskin papa kedana. Kita begitu bimbang apabila hutang dalam Negara kita makin membesar akibat pembaziran, pecah amanah, rasuah yang kadarnya sentiasa meningkat dari tahun ke tahun yang mendekatkan Negara menjadi muflis

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 19 surah at-Taubah :

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَ‌ةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَ‌امِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ‌ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ لَا يَسْتَوُونَ عِندَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya : Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.

Al-Quran turut menyatakan bagaimana betapa pentingnya dalam menghidupkan syiar dan syariat dalam negara agar keberkatan hidup dunia dicapai, kebahagiaan akhirat digapai. Oleh itu kita bukan sahaja digalakkan untuk membina masjid tetapi apa yang paling penting dalam memperkasakan pengajian agama sehingga rakyat jelata berilmu dan semakin jinak dengan masjid. Jangan pula seronok memberitahu dunia bahawa mereka adalah golongan yang membina masjid sedangkan dalam masa yang sama tangan yang  sama memberi lesen untuk judi, kelab malam, kilang dan kedai arak yang berleluasa, hiburan melampau serta tempat dan aktiviti maksiat yang lain. Kita tidak mahu rakyat terus hanyut dengan hiburan melampau, ketagihan arak, judi, penzinaan akibat lesen yang diberi. Sepatutnya dengan melihat pelbagai kerosakan akhlak yang membawa kepada peningkatan jenayah dalam negara maka pelbagai aktiviti tarbiah dipertingkat manakala lesen tempat maksiat dikawal bukan semakin disuburkan semata-mata mahu mengaut keuntungan dunia sehingga maruah rakyat dikorbankan. Sampai bilakah kita mahu dikenali sebagai negara pengguna arak antara yang terbesar di dunia dan pengutip hasil judi yang terus menjadi antara sumber utama negara. Kita tidak mahu hanya menjadi jaguh di kaca tv dan dada akhbar dalam mempertahankan kalimah Allah sedangkan membiarkan pemimpin memberi kelulusan untuk membawa masuk Bible dari Indonesia yang bertulis kalimah Allah. Kita tidak mahu manusia yang menghina hukum Allah terus membiak sehingga banyak bala Allah turun termasuk jenayah dan video fitnah liwat dan zina dibiarkan tersebar tanpa tindakan sewajarnya. Kita bukan hanya mahu pemimpin yang berbangga kerana membuka bank Islam sedangkan mereka sendiri seronok dengan sistem riba. Oleh itu buatlah perubahan terbaik dalam memilih pemimpin demi mencapai keberkatan hidup di dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat. Jangan menyalahkan orang lain jika kerosakan dalam negara terus berlaku akibat kesalahan kita sendiri dalam memilih pemimpin. Ingatlah bahawa atas setiap kita adanya amanah mengikut jawatan yang kita pikul dan amanah ini pasti akan ditanya diakhirat kelak termasuk dalam masalah memilih pemimpin. Bijak memilih bahagia, Salah memilih menderita.

Firman Allah dalam ayat 41 Surah ar-Ruum:

ظَهَرَ‌ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ‌ وَالْبَحْرِ‌ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْ‌جِعُونَ

Maksudnya : Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Hati Rosak Punca Islam DiTolak

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 258 surah al-Baqarah :

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِي حَاجَّ إِبْرَاهِيمَ فِي رَبِّهِ أَنْ آتَاهُ اللَّهُ الْمُلْكَ إِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّيَ الَّذِي يُحْيِي وَيُمِيتُ قَالَ أَنَا أُحْيِي وَأُمِيتُ ۖ قَالَ إِبْرَاهِيمُ فَإِنَّ اللَّهَ يَأْتِي بِالشَّمْسِ مِنَ الْمَشْرِقِ فَأْتِ بِهَا مِنَ الْمَغْرِبِ فَبُهِتَ الَّذِي كَفَرَ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya : Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Ia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim

Perbezaan antara hak dan batil begitu terang, percanggahan antara iman dan kufur begitu jelas, pertembungan antara Islam dan jahiliah begitu ketara. Pejuang Islam termasuk golongan nabi dan rasul sentiasa berdepan dengan musuh Islam yang menolak kebenaran walau pun pelbagai hujah dan dalil dikemukakan. Akibat hati yang rosak dipenuhi penyakit takabbur serta ditutup daripada menerima hidayah Allah maka kebenaran ditolak, kesesatan dipertahankan. Pada zaman nabi Ibrahim, ramai kalangan umatnya termasuk bapanya sendiri Azar menyembah berhala sehingga nabi Ibrahim begitu bersungguh-sungguh berhujah dengan mereka agar meninggalkan perbuatan syirik yang merugikan itu. Kekuatan hujah kebenaran Islam tidak mampu dilawan oleh golongan yang menentang Islam tetapi golongan yang kufur pada Allah akan menggunakan kekerasan walau pun mereka tahu mereka kalah dan bersalah. Begitulah nasib yang menimpa nabi Ibrahim yang dibakar dalam api oleh Namrud dan pengikutnya tetapi Allah tetap membantu nabiNya dan dakwah Islam. Kita pada ini yang berjuang Islam terus berdepan dengan pemimpin dan golongan yang tidak yakin dengan Islam. Mereka tidak menyembah berhala tetapi menyembah system ciptaan manusia dari pelbagai segi termasuk pemerintahan, ekonomi, sosial dan sebagainya. Apabila hujah golongan yang tidak yakin kepada system Islam ini dapat dipatahkan maka kekerasan digunakan termasuk ISA, ugutan, buang kerja dan sebagainya. Begitu juga dalam mempertahankan kuasa yang dimiliki maka pelbagai cara yang bercanggah dengan demokrasi apatah lagi Islam digunakan semaksima yang mungkin sehingga mandat rakyat dicabuli, undang-undang rimba disanjungi. Tidak pelik bila undang-undang Allah pun berani dilanggar apatah lagi undang-undang ciptaan manusia yang boleh dipermain sesuka hati

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam surah al-Ghafir  ayat 23 – 24

ولقد أرسلنا موسى بئايـتنا وسلطن مبين إلى فرعون وهـمـن وقـرون فقالوا سـحر كذاب

Maksudnya : Sesungguhnya telah Kami utuskan nabi  Musa dengan membawa keterangan Kami dan dalil yang nyata kepada Firaun, Haman dan Qarun lalu mereka berkata : “ Ini ahli sihir lagi pendusta”.

Perjuangan nabi Musa a.s pula menyaksikan bagaimana baginda terpaksa berdepan dengan tiga jenis manusia yang berbeza dari segi pangkat, tugas dan peranan tetapi matlamatnya sama iaitu memastikan umat manusia terus menyembah sesama manusia serta kufur kepada Allah. Manusia pertama bernama Firaun yang berjawatan sebagai raja pemerintah yang menjadikan kuasa sebagai hak milik mutlak bukannya menjadikan kuasa itu sebagai suatu amanah daripada Allah sehingga dia sanggup melawan Allah tanpa rasa takut dan bersalah. Firaun telah ditulis dalam al-Quran sebagai pemimpin dan ahli politik paling jahat dalam sejarah berpunca daripada hati yang rosak bertindak memecah-belah masyarakatnya dengan mencipta puak-puak dan bangsa sekaligus menindas serta bertindak zalim. Dengan cara itu, dia fikir dapat memerintah lama dan tiada masyarakat yang bersatu-padu yang akan menentangnya di kemudian hari. Menurut catatan Ibnu Kathir, Firaun telah membunuh sejumlah 40,000 kanak-kanak lelaki daripada kalangan bani Israel demi memastikan survival politiknya kerana bimbang ada generasi muda iaitu bakal pemimpin yang akan menggulingkannya. Firaun telah lama mati lemas dengan penuh kehinaan tetapi pemimpin-pemimpin yang bersikap sepertinya terus ada setiap zaman dan tempat. Pemimpin jenis ini tidak pernah takut untuk mempersendakan Islam dan mengenepikan agama dalam politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Pemimpin jenis ini gemar mengapi-apikan isu perkauman bagi menjaga kepentingan diri sendiri serta menggunakan pelbagai cara termasuk kekerasan yang bukan sahaja bercanggah dengan Islam malah sistem demokrasi itu sendiri demi memastikan kuasa politiknya tidak tergugat. Akhirnya pemimpin jenis ini menjadikan dirinya sebagai penguasa yang tidak boleh disanggah sehingga yang kuat dan kaya sentiasa menang manakala yang lemah dan miskin menjadi mangsa kezaliman yang sentiasa kalah.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Firman Allah dalam ayat 79 – 80 surah al-Qosas :

فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوْمِهِ فِي زِينَتِهِ ۖ قَالَ الَّذِينَ يُرِيدُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا يَا لَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَا أُوتِيَ قَارُونُ إِنَّهُ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍ  وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَيْلَكُمْ ثَوَابُ اللَّهِ خَيْرٌ لِمَنْ آمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا وَلَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الصَّابِرُونَ

Maksudnya : Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: “Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik”. Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): “Janganlah kamu berkata demikian, pahala daripada Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar

Firaun dibantu oleh Haman yang berperanan sebagai menteri atau pegawai yang berusaha siang dan malam dalam memastikan rakyat jelata sentiasa tunduk kepada pemimpin yang sesat dan zalim secara membabi buta. Haman juga telah mati tetapi menteri dan pegawai yang bersikap sebagaimana Haman terus muncul sehingga rakyat terus keliru hasil kepetahan bicara manusia jenis ini yang bijak menutup kesesatan dan kezaliman pemimpin. Firaun turut dibantu oleh Qarun yang merupakan hartawan yang sanggup membantu pemimpin dan menteri melalui harta kekayaannya dengan syarat dia mendapat balasan yang berganda hasil pelaburannya dalam menyesatkan rakyat dan menutup kesalahan pemimpin. Qarun juga telah lama mati ditelan bumi bersama harta kekayaannya tetapi hartawan yang bersikap sebagaimana Qarun terus wujud di mana-mana. Bahayanya hartawan jenis ini ialah dia mampu mengawal system pemerintahan, perundangan, ekonomi, sosial dalam sesebuah negara kerana berjaya membeli negara dengan harta kekayaannya. Jadi tidak pelik apabila wujudnya negara yang dikawal oleh tauke dadah, tauke judi, tauke arak, kongsi gelap dan sebagainya. Benar kata cerdik pandai : Bila wang bercakap maka perundangan akan senyap.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 1-5 surah al-Masad :

تَبَّتْ يَدَا أَبِي لَهَبٍ وَتَبَّ  مَا أَغْنَىٰ عَنْهُ مَالُهُ وَمَا كَسَبَ  سَيَصْلَىٰ نَارًا ذَاتَ لَهَبٍ  وَامْرَأَتُهُ حَمَّالَةَ الْحَطَبِ  فِي جِيدِهَا حَبْلٌ مِنْ مَسَدٍ

Maksudnya : Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal

Perjuangan nabi Muhammad s.a.w sendiri terpaksa berdepan dengan manusia yang  rosak hati termasuk bapa saudaranya sendiri Abu Lahab bersama isterinya. Walau pun merupakan antara ahli keluarga yang paling gembira ketika menyambut kelahiran nabi Muhammad s.a.w sehingga menyembelih banyak ekor unta dan memerdekakan hambanya Suwaibah namun apabila nabi mula menyatakan dakwah Islam maka Abu Lahab merupakan penentang utama kepada dakwah suci itu. Sehingga mati dia bersama isterinya sentiasa mencari jalan bagi menjauhkan umat manusia daripada menerima dakwah nabi. Kebanyakan hartanya digunakan bagi menentang perjuangan Islam. Oleh itu kita mesti menjauhkan diri daripada menjadi manusia yang rosak hati di mana hanya seronok menyebut tentang kemuliaan nabi Muhammad s.a.w tetapi menentang sunnah dan sistem Islam yang dibawanya. Islam tidak akan berjaya hanya sekadar menyebut tetapi wajib diikut

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Hidayah DiTerima Umat Sentosa

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam  ayat 2 surah al-Jumaat :

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ 

Maksudnya : Dialah (Allah) yang telah mengutuskan kepada kalanganorang-orang arab yang buta huruf seorang rasul dari bangsa mereka sendiri yang membacakan ayat-ayat Allah yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya. Dan membersihkan mereka daripada aqidah yang sesat serta mengajarkan mereka kitab Allah dan hikmat pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat. Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan nabi Muhammad s.a.w adalah dalam kesesatan yang nyata.

            Islam dan ilmu tidak dapat dipisahkan kerana Islam itu sendiri tertegak di atas keyakinan yang pasti melalui ilmu yang disuluhi cahaya wahyu Allah. Kekuatan Islam yang berkembang dan mampu membina tamadun bersepadu antara kemanusiaan dan kebendaan adalah hasil daripada kekuatan ilmu bukannya berdasar kepada paksaan dan kejahilan. Islam yang merupakan agama fitrah adalah agama yang mampu dipeluk dan diamalkan oleh seluruh umat manusia tanpa mengira keadaan takhta dan  harta, bangsa dan negara, usia dan budaya. Keadaan fitrah manusia yang mahukan kebaikan dan begitu benci kepada kejahatan telah menyebabkan hati mereka mudah tertarik kepada seluruh ajaran Islam yang sempurna. Oleh itu manusia perlu kepada hidayah dalam meraih betapa manisnya nikmat iman dan Islam

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Ada ulama membahagikan hidayah kepada 5 peringkat iaitu :

Pertama : Hidayah al-Wijdan at-Tabie’i yang bererti petunjuk yang timbul daripada perasaan mengikut tabiat semenjak lahir ke dunia seperti lapar, dahaga, panas, sejuk, sakit dan lainnya. Sebagai contohnya bagaimana seorang anak kecil akan menangis untuk keselamatan dirinya di mana tangisan itu bertujuan meminta si ibu atau pengasuhnya supaya menguruskannya. Setelah mendapat layanan atau pengurusan yang secukupnya maka petunjuk daripada rasa puas dalam diri anak kecil itu menyuruh dia agar berhenti menangis. Hidayah peringkat ini belum membantu manusia daripada mengenal tentang hakikat Allah dan agama

Kedua : Hidayah al-Hawas iaitu petunjuk pancaindera yang lima iaitu mata, hidung, telinga, lidah dan kulit. Petunjuk yang terhasil daripada rangsangan pancaindera ini memang perlu bagi keselamatan diri manusia dalam menjauhi sesuatu yang membahayakan serta menimbulkan perasaan untuk mendekati sesuatu yang memberi manfaat kepada diri. Namun begitu petunjuk pancaindera ini tidak sentiasa benar kerana dalam banyak keadaan mata melihat barang yang lulus jadi bengkok, lidah tersalah merasa di mana sesuatu yang manis dirasanya pahit, hidung tersalah bau di mana sesuatu yang harum dirasa busuk dan selainnya. Kesimpulan daripada sini maka kita dapati bahawa petunjuk pancaindera tidak cukup dalam menjaga keselamatan manusia di mana kita semua memerlukan petunjuk yang lebih tinggi untuk mencapai keselamatan diri di dunia dan akhirat.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 190 surah Ali Imran :

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِأُولِي الْأَلْبَابِ 

Maksudnya : Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal

Ketiga : Hidayah al-’Aqal iaitu petunjuk berasaskan akal iaitu suatu alat yang dianugerahkan oleh Allah sebagai penimbang dan memikirkan sesuatu yang disampaikan oleh rangsangan pancaindera dan apa yang timbul daripada perasaan tabi’e. Setelah ditimbang dan difikirkan oleh akal maka manusia dapat bertindak untuk mencapai sesuatu matlamat yang dirasakan dapat memberi kebahagiaan untuk dirinya. Tetapi setelah melihat apa yang berlaku di hadapan mata kita bagaimana petunjuk berasaskan akal semata-mata turut gagal untuk menggapai kebahagiaan yang sejati kerana tahap penggunaan akal adalah terbatas. Tindakan berasaskan akal semata-mata seringkali tersilap di mana sesuatu yang difikirkan baik tetapi menjadi sebaliknya. Oleh itu Allah telah menganugerahkan petunjuk yang lebih tinggi daripada petunjuk akal kepada mereka yang dikehendakiNya dalam mencapai jalan yang lurus untuk kebahagiaan hakiki di dunia dan akhirat. 

Keempat : Hidayah ad-Din iaitu petunjuk dari langit yang dinamakan agama yang bererti peraturan yang diturunkan oleh Allah untuk keselamatan dan kebahagiaan hidup manusia samada yang berbentuk individu atau masyarakat ramai. Melalui petunjuk agama maka seseorang itu dapat menguji dan memperbetulkan pendapat berasaskan akalnya menerusi pertimbangan neraca agama. Seseorang itu dapat tahu tentang kebenaran dan kebahagiaan yang mesti dicapai berasaskan kehendak agama bukannya semata-mata melalui pendapat akal semata-mata. Melalui petunjuk agama juga maka perjalanan hidup seseorang itu lebih terjamin dan terkawal. Namun begitu ramai juga golongan yang cerdik pandai dalam urusan agama yang tersalah langkah dan tersesat daripada petunjuk Allah yang sebenar. Ramai mereka yang faham agama turut tersesat jalan walau pun telah pun dianugerahkan dengan petunjuk agama. Perkara ini tetap berlaku kerana mereka tidak dianugerahkan hidayah yang paling tinggi. Mereka mungkin hanya mengetahui tentang agama melalui pembelajaran dan pembacaan sehingga menyentuh hati tetapi tidak mampu menggunakannya secara betul kerana masih belum diberi hidayah yang lebih tinggi.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Kelima : Taufik yang merupakan hidayah yang paling tinggi iaitu pemberian petunjuk berserta dengan anugerah kemahuan dan kesanggupan dalam diri untuk berbuat segala sesuatu yang membawa kepada keselamatan dan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. Apabila diri kita diberikan taufik maka bukan sahaja kita mengetahui tentang sesuatu itu yang baik untuk dikerjakan dan sesuatu buruk untuk ditinggalkan tetapi segala anggota kita turut diberi kekuatan untuk melaksanakan segala itu untuk mencapai keredhaan Allah. Taufik hanya terletak pada tangan Allah Yang Berkuasa sahaja tanpa mampu dimiliki oleh sebarang makhluk walau dia seorang rasul sebagaimana nabi kita Muhammad s.a.w sendiri tidak mampu memberi hidayah taufiq kepada bapa saudara kesayangannya Abu Tolib.

Firman Allah dalam ayat 56 surah al-Qosas:

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ  

Maksudnya : Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Hidayah taufik yang tertinggi ini mestilah kita raih dengan sentiasa mendalami ilmu agama dan doa kita kepada Allah. Kita juga mesti memperkasakan 3 dasar utama pendidikan berasaskan Islam iaitu dasar pendidikan pertama ialah sesuatu ilmu yang diajar tidak boleh bebas daripada berpegang kepada aqidah Islam iaitu mestilah disertakan dengan ayat al-Quran dan hadis nabi. Dasar pendidikan kedua yang ditekankan oleh Allah ialah pembersihan umat manusia daripada aqidah sesat. Manakala dasar pendidikan ketiga yang mesti diterapkan ialah pengajaran kepada seluruh ajaran Islam yang merangkumi semua aspek kehidupan. Kita tidak mahu keadaan kerosakan akhlak di kalangan pelajar sekolah terus meningkat akibat sistem pendidikan negara lebih kepada mengejar dunia. Kita bimbang umpan musuh melalui 4S iaitu [1] Song (nyanyian yang melalaikan sehingga terjebak kepada pemujaan syaitan), [2] Seks bebas hingga lahir begitu ramai anak luar nikah, [3] Sport (sukan yang melekakan hingga ramai yang meninggal kewajipan agama), [4] Smooke iaitu amalan merokok yang akhirnya membawa kepada terjebak dengan najis dadah akan ditelan oleh umat Islam sehingga masalah bertambah parah. Aqidah umat Islam hari ini juga semakin parah apabila adanya dakwaan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang menghadapi 2 masalah yang paling besar iaitu masalah tidak tahu perkara asas agama dan permintaan untuk murtad daripada Islam. Kita mesti bersatu dan bersungguh serta istiqamah dalam menangani masalah yang begitu kronik ini. Tiada masa untuk kita berehat kerana tugas kita semakin bertambah. Cegah sebelum parah, rawat sebelum terlewat, sekat sebelum merebak

Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Soff :

يُرِيدُونَ لِيُطْفِؤُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ 

Maksudnya : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

7 Dosa Besar DiJauhi Negara DiBerkati

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 65 surah az-Zumar :

وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَ‌كْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِ‌ينَ

Maksudnya : Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai nabi Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.

Umat Islam sentiasa diperingatkan oleh agama berkenaan dosa pahala, Syurga Neraka, dunia akhirat agar kita tidak lalai sehingga melampaui syariat. Sesuai dengan sistem agama yang meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk ibadat khusus, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya maka berjayalah umat yang meletakkan Islam sebagai cara hidup dan betapa ruginya umat yang hanya menjadikan agama hanya berguna pada perkara yang selari dengan kehendak nafsunya dengan menolak system agama yang bercanggah dengan nafsu serakahnya. Jadikanlah diri kita sebagai warga akhirat yang menjadikan dunia hanya sebagai tempat persinggahan dalam mengumpul sebanyak mungkin bekalan akhirat. Jangan sama sekali jadikan diri kita sebagai warga dunia yang menjadikan dunia yang sementara ini sebagai matlamat hidup sehingga mengenepikan akhirat. Nabi Muhammad s.a.w sentiasa memperingatkan kita bahawa dunia adalah tempat untuk beramal manakala akhirat nanti adalah tempat untuk kita menerima pembalasan samada Syurga yang penuh nikmat atau Neraka yang penuh azab. Oleh itu marilah kita sama-sama meningkat amal soleh disamping menjauhi dosa derhaka terhadap Allah terutama 7 dosa besar sebagaimana yang diungkapkan oleh nabi s.a.w dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RH:

قال الرسول : اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوْبِقَاتِ ؟ قَالُوا يَارَسُوْلَ اللهِ وَ مَا هُنَّ ؟ قَالَ الشِرْكُ بِاللهِ وَ السِّحْرُ وَ قَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ وَ أَكْلُ الرِّبَا وَ أَكْلُ ماَلِ الْيَتِيْمِ وَ التَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ وَ قَذْفُ الْمحْصَنَاتِ الْغَافِلاتِ الْمُؤْمِنَاتِ

Maksudnya : Jauhilah 7 perkara yang membinasakan. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah 7 perkara tersebut?. Baginda menjawab: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan untuk dibunuh kecuali dengan haq (benar), makan riba, makan harta anak yatim, lari dari pertempuran dan menuduh zina terhadap wanita beriman yang terhormat serta menjaga kehormatan

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 43 surah al-Furqan :

أَرَ‌أَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَـٰهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا

Maksudnya : Nampakkah (wahai nabi Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?.

Dosa paling besar yang wajib kita jauhi ialah dosa syirik mempersekutukan Allah. Biasanya kita mudah nampak apabila manusia yang syirik pada Allah dalam menyembah patung berhala, matahari, pokok dan sebagainya yang dianggap sebagai tuhan. Apa yang jelas masih diteruskan oleh pemimpin walau pun telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa ialah penghormatan kepada Tugu Pahlawan. Begitu juga sikap memperkecilkan sistem Islam dengan penggubalan undang-undang yang bercanggah dengan Islam disamping membiarkan suara-suara sumbang dari kalangan umat Islam sendiri yang memperlekehkan undang-undang Islam dalam masalah hukum Hudud, penutupan aurat, pergaulan bebas dan sebagainya akibat dirasuk dengan fahaman sesat sekulerisme yang memisahkan antara agama dan urusan mentadbir dunia. Oleh itu kita wajib bersyukur kepada Allah atas nikmat iman dan Islam yang wajib dijaga termasuk kita yakin bahawa Allah sahaja yang Maha Memberi rezeki di mana makhluk termasuk pemimpin hanya sebagai suatu cara untuk menyampaikan rezeki yang telah ditentukan oleh Allah. Menjadi suatu kesalahan besar jika terlalu terhutang budi kepada orang yang berbuat baik kepada kita termasuk ibubapa sehingga kita mengikut suruhan yang bercanggah daripada syariat Islam. Ingatlah alasan terakhir Firaun bila tidak mampu melawan kekuatan hujah nabi Musa a.s. iaitu mengungkit jasa beliau yang menjaga dan memberi makan minum nabi Musa semenjak dari kecil lagi namun dengan tegas ditolak oleh Musa a.s bahawa baginda tidak akan menyokong syirik dan kezaliman serta memperingatkan Firaun bahawa Pemberi rezeki yang sebenar adalah Allah

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Dosa besar yang kedua ialah amalan sihir di mana tidak dapat dinafikan ada ramai di kalangan umat Islam sendiri yang terlibat dengan amalan ini termasuk masalah mencari kedudukan dalam politik kepartian sehingga negara pernah digegarkan dengan pembunuhan wakil rakyat oleh bomoh. Dosa besar yang ketiga ialah membunuh orang tanpa sebenar di mana kita melihat akhir-akhir ini pembunuhan yang berlaku dalam negara semakin meningkat. Ia disebabkan daripada sifat tercela yang merasuk jiwa seperti hasad dengki, gagal mengawal kemarahan, gila harta dan pangkat disamping mabuk arak dan ketagihan dadah. Imam Hasan al-Basri berkata : “ 4 perkara di mana sesiapa yang memilikinya maka Allah memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkannya daripada azab Neraka iaitu sesiapa yang mampu menahan diri ketika dalam keghairahan, ketakutan, syahwat dan kemarahan”

Firman Allah dalam ayat 93 surah an-Nisa’ :

وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّـهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا

Maksudnya : Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 278 – 279 surah al-Baqarah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَذَرُ‌وا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّ‌بَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْ‌بٍ مِّنَ اللَّـهِ وَرَ‌سُولِهِ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُ‌ءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

Dosa besar yang keempat ialah makan riba di mana kita di Kelantan Alhamdulillah tindakan bijak kerajaan negeri untuk mengeluarkan simpanannya dari bank riba menyebabkan semua bank bertindak mengadakan kaunter perbankan Islam. Sedangkan kesungguhan di peringkat negara terhadap haramnya riba masih dingin di mana banyak amalan riba bukan sahaja diteruskan malah disuburkan lagi sedangkan dunia sedang menyaksikan sistem riba antara sebab utama ekonomi dunia semakin hancur dan banyak negara menjadi muflis. Akibat teralu seronok dengan janji syaitan bahawa riba menguntungkan menyebabkan amaran Allah yang mengisytiharkan perang terhadap amalan riba dipandang sepi.

Dosa besar yang kelima ialah makan harta yatim dengan cara yang bercanggah dengan syariat. Islam begitu memuliakan anak yatim dan golongan yang menjaga kebajikan mereka disamping memberi amaran keras kepada sesiapa yang mengkhianati anak yatim. Firman Allah dalam ayat 34 surah al-Isra’ :

وَلَا تَقْرَ‌بُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ ۚ وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا

Maksudnya : Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Dosa besar yang keenam ialah lari daripada medan perjuangan. Kita sebelum ini menyaksikan bagaimana pencerobohan terhadap bumi Palestin, Iraq dan sebagainya yang menuntut jihad peperangan terhadap musuh Islam. Manakala dalam masa sebulan lebih ini kita didedahkan dengan pencerobohan di Lahad Datu yang telah mengorbankan ramai polis dan tentera. Kita doakan semoga ia diselesaikan dengan baik dan segera disamping mimbar Jumaat pada hari ini mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga perwira kita. Kita juga mesti memperkasakan amar makruf nahi mungkar dan jangan lari daripada tugas penting ini termasuk dalam masalah kepimpinan di mana ketika merenungi suatu hadis daripada Imam al-Bukhari meriwayatkan dengan sanadnya hingga sampai kepada Zubair Adi. Beliau berkata, “Kami datang kepada Anas Malik, kemudian kami mengadu kepadanya mengenai kezaliman yang dilakukan Hajjaj Yusuf Thaqafiy. Dia menjawab, “Sabarlah, kerana setiap zaman yang berjalan yang kemudiannya lebih buruk daripada sebelumnya. Hingga kamu bertemu Rabb kamu. Saya mendengar hadis ini daripada Nabi SAW.”

Menurut Ibnu Masud, “Hadis ini tidaklah bererti pemerintah hari esok lebih buruk daripada pemerintah hari ini, juga bukan bererti tahun akan datang lebih buruk daripada tahun ini.

“Maknanya, ulama kamu dan ahli fiqah ramai yang meninggal dunia sehingga kamu tidak menemui pengganti mereka, akhirnya datanglah orang yang tidak berilmu memberikan fatwa dalam agama berdasarkan akal mereka.”

Dalam riwayat lain, beliau mengatakan, “Akhirnya orang yang tidak berilmu itu menelanjangkan Islam dan menghancurkannya.”

Oleh itu kita jangan lari daripada perjuangan dalam memilih pemimpin yang mampu memandu kita kepada kebahagiaan hidup dunia akhirat agar kemakmuran dan keberkatan Negara terus dikecapi

Dosa besar yang ketujuh ialah menuduh orang yang beriman dan soleh terlibat dengan perbuatan terkutuk seperti zina dan liwat. Pada hari ini sekali lagi tuduhan liwat dan zina terhadap seseorang melalui video dan sebagainya dimainkan tanpa rasa takut kepada Allah akibat daripada hukuman Islam diketepikan. Ingatlah amaran Allah dalam ayat 4 surah an-Nuur :

وَالَّذِينَ يَرْ‌مُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْ‌بَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya : Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan 4 orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik;

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ