• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3



  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,771,542 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 10,025 other followers

85. TUJUH GOLONGAN DILINDUNGI ALLAH S.W.T


                                                                        

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 51-52 surah al-Furqan :

ولو شئنا لبعثنا فى كل قرية نذيرا . فلاتطع الكــفرين وجــهدهم به جهادا كبيرا

Maksudnya : Dan sekiranya Kami menghendaki nescaya Kami bangkitkan pada setiap negeri itu seorang rasul yang memberi peringatan. Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir dan berjihadlah terhadap mereka dengan al-Quran melalui jihad yang besar

Umat Islam mesti menitikberatkan garisan antara iman dan kufur dalam kehidupan. Kita mesti berhati-hati terhadap perbezaan antara Islam dan jahiliah. Kita wajib mengetahui secara mendalam tentang halal haram, pahala dan dosa serta Syurga dan neraka. Umat Islam yang dijanjikan kemenangan oleh Allah S.W.T sentiasa menghidupkan budaya ilmu dan dakwah dalam kehidupan seharian agar pergerakan kita sentiasa disuluhi cahaya wahyu bukannya ditutupi dengan kegelapan nafsu. Kita mesti lahirkan diri kita antara golongan yang bakal dibayangi oleh ‘Arasy Allah S.W.T pada hari akhirat nanti sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis :

وعن أبي هريرة رضى الله عنه عن النبي e قال : سَبْعَةٌ يُظِلُّمُهُمُ اللهُ فِى ظِلِّهِ يَوْمَ لاظِلَّ إِلا ظِلُّهُ : إِمَامٌ عَادِلٌ وَشَابٌ نَشَأَ فِى عِبَادَةِ اللهِ عَزَّوَجَلَّ وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ بِالمَسَاجِدِ وَرَجُلانِ تَحَابَّا فِى اللهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ و َرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَة ٌذَاتُ مَنْصَبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ : إِنِّي أَخَافُ اللهَ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتّى لاتَعْلَمَ شِمَالُهُ مَاتُنْفِقُ َيمِيْنُهُ وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ تَعَالَى خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ   ( متفق عليه )

Maksudnya : 7 golongan yang akan mendapat perlindungan Allah S.W.T pada hari yang tiada perlindungan melainkan perlindungan Allah S.W.T pada hari akhirat nanti iaitu :

Golongan pertama ialah pemimpin yang adil di mana kebiasaannya jika pemimpin tunduk dan patuh kepada Allah S.W.T serta adil dalam bertindak mengikut garisan yang telah ditetapkan oleh syarak maka rakyat bawahan pun ramai yang mengikut jejak langkahnya dalam mencari keredhaan Allah S.W.T di dunia dan akhirat. Rosaknya pemimpin maka ramailah rakyat jelata yang turut rosak kerana rakyat megikut agama pemimpin mereka. Kita sentiasa mengalu-alukan perancangan kerajaan untuk memastikan pelajar sekolah rendah wajib khatam al-Quran dan memahami agama dengan baik tetapi dalam masa yang sama pemimpin mestilah bukan sahaja mampu membaca al-Quran tetapi bersungguh-sungguh dalam melaksanakan segala tuntutan al-Quran yang menyeluruh termasuk ekonomi, perundangan, sosial dan sebagainya bukannya menjadikan Islam sebagai agama ibadat khusus semata-mata. Musuh Islam tidak pernah gerun terhadap pemimpin umat Islam yang kaya harta jika kurangnya agama sebaliknya musuh Islam sentiasa berusaha dalam memerangi pemimpin umat Islam yang miskin harta tetapi kaya agama kerana harta tidak pernah menggugat kedudukan kuffar tetapi agama telah banyak meruntuhkan kezaliman dan kesesatan kerajaan kuffar sebelum ini.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

            Golongan kedua ialah pemuda yang hidupnya sentiasa beribadat kepada Allah S.W.T di mana golongan ini mestilah dilahirkan dalam sesebuah negara bagi mengelakkan lebih banyak kemungkaran dan kerosakan yang berlaku. Apabila umat Islam sentiasa menjaga ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat ditambah dengan makan minum perkara yang halal dari hasil yang halal, menguruskan keluarga, masyarakat dan negara mengikut kehendak syarak disamping berusaha melaksanakan seluruh tuntutan Islam dalam setiap kerja dan pergerakannya sehingga semua itu dihisab sebagai ibadat oleh Allah S.W.T maka segala masalah jenayah dan keruntuhan akhlak dapat ditangani dengan baik. Sebaliknya jika umat Islam memisahkan urusan dunia seperti ekonomi, perundangan, sosial daripada dosa pahala maka keadaan kehidupan mereka semakin lama semakin hancur serta semakin dekat kepada kekufuran yang menyebabkan tiada lagi perbezaan yang ketara antara umat Islam dengan bukan Islam. Inilah yang bakal mengundang kemurkaan Allah S.W.T dan penghinaanNya. Kita begitu bimbang apabila program Khidmat Negara yang bakal bermula pada pertengahan bulan Februari nanti tidak memasukkan jadual waktu sembahyang dalam aktivitinya yang bakal menyukarkan peserta yang majoritinya beragama Islam untuk sembahyang atas alasan ia adalah isu peribadi. Jika sembahyang sebagai tiang agama diabaikan bagaimana negara mahu melahirkan warganegara yang soleh. Oleh itu kita desakkan agar sebelum program ini dijalankan maka waktu sembahyang mestilah diletakkan dalam jadual secara hitam putih. Ingatlah bahawa solat 5 waktu tidak boleh ditinggal melainkan pada perkara yang dibenarkan oleh syarak walau pun berada dipuncak gunung-ganang, berada di tengah hutan, meredah lautan, membentang belanjawan dan sebagainya. Kita dapat lihat kesan daripada tidak sembahyang menyebabkan ramai pemuda Islam yang runtuh akhlaknya dan banyak melakukan jenayah sehingga menggugat keamanan negara.

            Golongan ketiga ialah seseorang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid di mana pemimpin wajib berusaha menghidupkan masjid bukan berusaha mematikannnya agar negara dapat melahirkan lebih ramai rakyat yang sentiasa berjemaah di masjid serta menghidupkannya dengan pelbagai aktiviti yang dapat mengembalikan semula kegemilangan Islam. Tindakan jahat pemimpin yang menyekat kebebasan kuliah agama di masjid dan ada yang bertindak lebih kejam dengan merobohkan surau disamping pengawasan terhadap program di masjid lebih daripada tempat latihan pengganas amatlah dikesali. Begitu juga dengan penerusan kepada menjadikan hari Jumaat sebagai hari berkerja di kebanyakan negeri sebagaimana dibuat oleh penjajah merupakan suatu yang menyempitkan masa umat Islam untuk beribadat. Tindakan yang tidak bertamadun ini boleh menyebabkan umat Islam semakin jauh daripada masjid

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

            Golongan keempat ialah 2 orang yang berkasih sayang kerana Allah S.W.T di mana mereka bersatu dan berpisah kerana Allah di mana kasih sayang yang ditanamkan atas dasar iman ini begitu penting terutama dalam berhadapan dengan kekejaman musuh Islam. Betapa bahayanya apabila kasih sayang seumpama ini tiada dalam hati sanubari umat Islam terutama pemimpin sehingga  sanggup menyerahkan negara dengan mudah kepada orang bukan Islam dengan memberikan kerusi yang lebih banyak kepada orang bukan Islam dalam parlimen daripada memperbanyakkan lagi jumlah wakil beragama Islam dalam parlimen. Pemimpin jenis ini lebih sanggup menggadaikan agama daripada harta dan kuasa yang dimilikinya. Begitu juga kasih sayang berasaskan iman wajib disuburkan agar saudara seagama sentiasa dibantu walau di mana mereka berada. Kita mesti sentiasa membantu sekurang-kurangnya dengan doa agar Allah S.W.T membantu umat Islam yang sedang ditindas di Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Selatan Filiphina, Acheh dan sebagainya. Begitu juga dengan tekanan disebabkan larangan bertudung ke atas umat Islam di Perancis. Tidak lupa kepada nasib yang menimpa umat Islam di Selatan Thailand termasuk Fatani, Narathiwat, Yala yang kini ditekan akibat pembakaran sekolah, bom balai polis dan kehilangan senjata 2 minggu lalu yang telah menyebabkan pelbagai tindakan keras dikenakan termasuk perintah berkurung yang menjejaskan perjalanan majlis ilmu pada waktu malam serta pemeriksaan ke atas pondok-pondok bila-bila masa yang dikehendaki sehingga baru-baru ini ada kubur yang baru ditanam mayatnya diperintah agar digali semula atas alasan disyaki dijadikan tempat simpan senjata. Umat Islam terus ditekan sedangkan bukti yang menyatakan umat Islam yang terlibat dalam kejadian itu belum diketahui.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Golongan kelima ialah seorang lelaki yang dipujuk oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik untuk berzina lalu dia menyatakan bahawa dia takutkan Allah  di mana usaha dalam memastikan kebanyakan pintu zina ditutup mestilah ditingkatkan. Jika terlalu banyak pintu zina dibuka maka semakin ramai yang cuba dan menghampirinya sehingga semakin teruknya keruntuhan akhlak rakyat. Betapa malangnya apabila ramai yang lantang bersuara membantah tindakan kerajaan Terengganu yang membuat etika berpakaian terhadap orang bukan Islam supaya lebih sopan. Sedangkan suara ini tidak kedengaran apabila wanita dijadikan alat pelaris barangan melalui iklan yang menjolok mata. Apa yang lebih malang ialah apabila pernah berlaku di mana seorang mufti boleh dipecat kerana menegur ratu cantik. Kita turut mendesak agar program Khidmat Negara diasingkan antara peserta lelaki dan perempuan serta dititikberatkan adab mengikut Islam bukannya nafsu. Jangan rosakkan rakyat dengan aktiviti pergaulan bebas sepanjang program tersebut sehingga anak-anak yang dididik begitu lama oleh ibubapa dan guru-guru akhirnya dirosakkan dalam masa beberapa bulan.

            Golongan keenam ialah seseorang yang bersedekah lalu dia sembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya di mana umat Islam sentiasa dilatih agar memberikan barangan miliknya kepada orang yang lebih memerlukannya melalui zakat. Apabila diri sentiasa dilatih dengan perkara yang wajib lalu melembutkan hati untuk melakukan sedekah sunat dengan penuh keikhlasan.  Sedekah jenis inilah yang digeruni oleh musuh Islam kerana ia bakal menguatkan kembali kesatuan umat Islam dan ekominya yang bakal menggugatkan kedudukan musuh.

 

 

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah ,

Golongan ketujuh ialah seseorang yang mengingati Allah S.W.T dalam keadaan sunyi lalu menitislah air matanya di mana umat Islam mesti berusaha untuk lahir sebagai golongan yang bertindak cergas seumpama singa disiang hari ketika melawan musuh serta begitu rapat hubungannya dengan Allah S.W.T terutama waktu malam. Golongan inilah yang digeruni oleh musuh Islam kerana mereka bakal dibantu oleh Allah S.W.T. Ingatlah bahawa persediaan untuk melawan musuh bukan semata-mata bergantung kepada kekuatan tentera dan senjata tetapi apa yang lebih penting ialah ikatan perhubungan umat Islam dengan Allah S.W.T yang membolehkan datangnya pertolongan dan kemenangan  daripada Allah S.W.T.

Firman Allah dalam ayat  63-64 surah al-Furqan :

وعباد الرحمن الذين يمشون على الأرض هونا وإذا خاطبهم الجــهلون قالوا سلــما . والذين يبيتون لربهم سجدا وقيــما

Maksudnya : Dan hamba-hamba Allah Yang Maha Penyayang itu ialah orang-orang yang berjalan di atas muka bumi ini dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka lalu mereka ucapkan kata-kata yang baik. Dan mereka melalui malam hari dengan bersujud serta berdiri bagi menyembah Allah

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 

 

Advertisements

2 Respons

  1. teruslah berkarya, karena hasil karya anda sangat bermanfaat bagi masyarakat

  2. sekedar koreksi. sab.atun yudhilluhum terdapat kelebiham mim di sebelum hum ya?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: