• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3











  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,677,510 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 6,409 other followers

Kepimpinan Penentu Antara Memuja atau Meroboh Jahiliah


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam 144 surah Ali Imran :

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّـهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّـهُ الشَّاكِرِينَ

Maksudnya : Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul. Sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul . Apakah jika baginda wafat atau dibunuh maka kamu akan berpaling tadah (murtad)?. Sesiapa yang berpaling tadah maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun. Dan Allah akan memberi balasan kepada mereka yang bersyukur

Kasih dan cinta kita kepada nabi Muhammad s.a.w sentiasa subur dan mekar sepanjang masa dan tempat tanpa terbatas pada sesuatu bulan sahaja seperti pada Rabiul Awwal yang baru berlalu. Begitulah juga perjuangan dan jejak langkah baginda yang telah mengubah keadaan dunia daripada gelap kekufuran kepada cahaya iman, daripada kezaliman jahiliah kepada keadilan Islam wajib diteruskan walau pun baginda telah pun wafat. Dunia Islam pernah menyaksikan bagaimana kewafatan nabi Muhammad s.a.w pada bulan Rabiul Awwal tahun 11 Hijrah telah menggegarkan iman para sahabat dan umat Islam yang lain sehingga ada yang murtad daripada Islam kerana tidak dapat menerima kenyataan ini. Suasana yang kalut ditenangkan oleh Sayyidina Abu Bakar dengan kata-katanya yang tegas :

أيها الناس! مَنْ كَانَ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا فَإِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ مَاتَ، وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ حَيٌّ لاَ يَمُوتُ

Maksudnya : Wahai sekalian manusia! Sesiapa dikalangan kamu yang menyembah Sayyidina Muhammad s.a.w maka sesungguhnya nabi Muhammad telah wafat dan sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah terus hidup dan tidak sekali-kali akan mati

Kemudian disambung dengan bacaan ayat 144 surah Ali Imran di mana ayat ini walau pun diturunkan pada ketika peperangan Uhud bagi menetapkan hati tentera Islam dalam berdepan dengan suasana kekalahan namun apabila ia dibaca oleh Sayyidina Abu Bakar dalam kekalutan dengan kewafatan nabi s.a.w ini telah menyentak hati para sahabat termasuk Sayyidina Umar al-Khottab sehingga beliau menyatakan : Barulah aku memahami firman Allah ini.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Antara wasiat terpenting yang pernah diungkapkan oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w sebelum meninggalkan umatnya selama-lamanya ialah

رواه أبو دأود عن علي رضي الله عنه قال: كَانَ  آخِرُ كَلاَمِ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وسلم: الصَّلاَة ُالصَّلاَة اتَّقُوْا اللهَ  فِيْمَا مَلَكَتْ  أَيْمَانُكُمْ

Maksudnya: Adalah kalimah terakhir yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w : Sembahyang, sembahyang! Takutkan sekalian kamu kepada Allah pada apa yang dimiliki oleh tangan-tangan kanan kamu (daripada zakat)

2 perkara besar yang diperingatkan oleh nabi iaitu sembahyang dan zakat merupakan suatu yang begitu penting dalam memastikan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia berjalan dengan baik bagi menjamin keberkatan dan ketenangan hidup. Akibat pengabaian terhadap sembahyang dan sikap tamak yang bukan sahaja kedekut untuk menunaikan zakat malah harta zakat dan rakyat disalahgunakan telah mendatangkan pelbagai masalah dalam negara. Apabila putusnya hubungan manusia dengan Allah sehingga maksiat semakin subur ditambah lagi hubungan kasih sayang, hormat menghormati sesama manusia semakin luntur telah menyebabkan keamanan tergugat dan suasana jahiliah moden mulai merosakkan suasana. Suasana jahiliah sebelum ini menyaksikan penyembahan terhadap berhala serta akhlak rosak termasuk membunuh anak perempuan hidup-hidup. Jahiliah moden lebih dashsyat dengan penyembahan terhadap ideology dan system ciptaan manusia sehingga kehidupan beragama disempitkan kepada ibadat khusus sahaja sehingga kerosakan akhlak semakin teruk termasuk penzinaan yang menyebabkan anak yang tidak berdosa tanpa mengira jantina dibunuh tanpa perikemanusiaan. Oleh itu marilah kita kembali memperkasakan usaha dalam melahirkan umat yang sentiasa menjaga solat dan menunaikan zakat kerana ia juga merupakan asas kepada kelangsungan kepimpinan yang bertaqwa yang selamat di dunia dan akhirat sebagaimana Firman Allah dalam ayat 41 Surah al-Hajj:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 55 surah an-Nuur :

وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya : Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka

Perjuangan dan tugas nabi Muhammad s.a.w dalam mengubah dunia kepada keadaan yang tunduk patuh kepada perintah Allah terus disambung agar dunia tidak kembali rosak oleh kelam jahiliah. Oleh itu tindakan segera Sayyidina Abu Bakar dalam menyelesaikan masalah kepimpinan telah memberi kesan yang besar ketika suasana umat Islam pada masa itu seumpama anak ayam kehilangan ibu. Peranan yang begitu besar dan berat telah dimainkan oleh Sayyidina Abu Bakar terutama dalam memulihkan semangat umat Islam disamping mengambil tegas terhadap golongan murtad, nabi palsu dan golongan yang enggan membayar zakat. Semuanya ini menyedarkan kita bagaimana betapa pentingnya kepimpinan dalam mencorak suasana dalam negara samada kepada taat kepada Allah atau menderhakaiNya, samada tunduk kepada sistem Islam atau mengenepikannya, samada melahirkan ahli ibadat atau meramaikan lagi kaki maksiat, samada mendapat keberkatan daripada langit dan bumi atau mengundang bala daripada Allah. Kepimpinan juga menentukan jatuh bangun sesebuah negara disamping menjaga kedaulatan negara dan apa yang lebih penting menjaga kesucian Islam dan maruah umatnya daripada dipermainkan oleh musuh Islam. Kita berasa malu mempunyai pemimpin yang nampak seumpama jaguh dalam memerangi Israel sedangkan penasihatnya adalah yahudi dan kapal dagang Israel terus berlabuh di negara ini silih berganti. Kita berasa malu mempunyai pemimpin yang bangga membantu rakyat dengan habuan yang sedikit sedangkan harta dan kekayaan negara dirompak dan disalahguna tanpa sekatan dan tindakan sewajarnya. Renungilah ucapan Sayyidina Abu Bakar ketika dilantik menjadi khalifah pertama setelah kewafatan nabi Muhammad sa.w dengan katanya:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya aku telah dilantik dikalangan kamu sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik. Maka jika aku melakukan kebaikan maka bantulah aku tetapi sekiranya aku terpesong maka perbetulkanlah aku. Benar itu adalah amanah dan dusta itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu merupakan orang yang kuat disisiku sehingga aku akan menunaikan kemahuannya serta memberikan haknya semula. Manakala orang yang kuat di kalangan kamu merupakan orang lemah disisiku sehingga aku akan mengambil kembali hak yang telah dirampas. Oleh itu taatilah aku selagimana aku mentaati Allah dan rasulNya dan jika aku mengengkari Allah dan rasulNya maka janganlah kamu mentaatiku”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 51 surah al-A’araf :

الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَهْوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۚ فَالْيَوْمَ نَنسَاهُمْ كَمَا نَسُوا لِقَاءَ يَوْمِهِمْ هَـٰذَا وَمَا كَانُوا بِآيَاتِنَا يَجْحَدُونَ

Maksudnya : (Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persiapan untuk) menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu mengengkari ayat-ayat keterangan Kami

Antara kewajipan kepimpinan Islam ialah menjaga kesucian Islam daripada dipersenda. Kita begitu marah dengan tindakan seorang warga Arab Saudi yang bacul menghina nabi Muhammad s.a.w dalam tulisannya baru-baru ini yang menggambarkan bagaimana nabi Muhammad s.a.w seperti manusia biasa tanpa ada keistimewaan sehingga dia turut menyatakan bahwa dia suka kepada setengah ajaran nabi dan membenci sebahagian yang lain disamping tidak mahu berselawat kepada nabi. Manusia seperti ini mesti diambil tindakan tegas agar dia insaf dan tidak melarat penyakit yang merosakkan aqidah ini kepada orang lain. Mimbar Jumaat hari ini juga mengutuk dan mengecam tindakan tidak bertamadun tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membakar al-Quran di Afghanistan walau pun mereka telah maaf atas perbuatan biadap itu. Punca musuh Islam berani menghina al-Quran buat sekian kali kerana hanya rakyat bawahan yang bangkit menentang sedangkan pemimpin di atas hanyut dibuai mimpi. Penghinaan terbaru yang berlaku di Negara kita apabila akhbar The Star menyiarkan gambar artis luar negara Erykah yang mempunyai tatoo nama Allah sedangkan gambar sebenar tidak mempunyai kalimah yang mulia itu. Penghinaan ini merupakan kes ketiga The Star menghina Islam setelah kes pertama adalah tulisan seorang editor The Star yang mempertikaikan tindakan Mahkamah Syariah di Pahang yang menjatuhkan hukuman sebat terhadap seorang wanita Islam yang meminum arak. Kes pula kedua adalah kes daging babi panggang untuk berbuka puasa yang disiarkan bulan Ramadhan lalu. Walau pun The Star telah mengantung tugas 2 pekerjanya namun tindakan lebih tegas mesti diambil oleh pemimpin Islam yang bermaruah dan cintakan Islam agar pihak yang menghina Islam tidak berani melakukan perbuatan biadap tersebut pada masa akan datang. Bangkitlah wahai umat Islam bermaruah. Jangan biarkan nama Allah dicerca, Jangan biarkan nabi Muhamamd s.a.w dihina, Jangan biarkan al-Quran dicaci, Jangan biarkan Islam dimaki. Biar bermandi darah kebiadapan musuh wajib disanggah, biar berpisah nyawa dari badan namun kesucian Islam tetap dipertahankan

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: