• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Khutbah Audio 54 – Kepimpinan Islam DiDaulat Keadilan DiMartabat

Kepimpinan Islam DiDaulat Keadilan DiMartabat

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 46-47 surah al-Kahfi :

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ‌ عِندَ رَ‌بِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ‌ أَمَلًا ﴿٤٦﴾ وَيَوْمَ نُسَيِّرُ‌ الْجِبَالَ وَتَرَ‌ى الْأَرْ‌ضَ بَارِ‌زَةً وَحَشَرْ‌نَاهُمْ فَلَمْ نُغَادِرْ‌ مِنْهُمْ أَحَدًا

Maksudnya : Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah nyata; dan Kami himpunkan mereka (di padang Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorangpun dari mereka

Kita sedang berada pada hari Jumaat yang merupakan penghulu segala hari yang mempunyai begitu banyak kelebihan di sisi Allah. Jadikanlah kita antara hamba Allah yang sentiasa memperbanyakkan amalan soleh disamping memohon keampunan kepada Allah serta tidak mensia-siakan kedatangan hari Jumaat dengan memperbanyakkan doa untuk kebahagiaan dunia dan akhirat kita. Sesuai dengan peringatan junjungan besar nabi Muhammad s.a.w bahawa qiamat akan berlaku pada hari Jumaat juga maka kita sentiasa bersiap dengan bekalan akhirat dengan tidak hanyut dengan tipuan dunia. Renungi nasihat Abu Hazim Salamah bin Dinar kepada Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik tentang sebab ramai manusia takut kepada mati kerana kita telah memewahkan rumah di dunia dan meruntuhkan rumah kita di akhirat. Maka sepastinya kita takut berpindah dari rumah yang mewah ke rumah yang runtuh. Pesanan beliau lagi : “Barang-barang akhirat pada saat ini sedang murah. Pada suatu hari nanti, barang-barang itu akan menjadi sangat mahal sehingga tidak mampu dibeli.” Benarlah bahawa barang-barang akhirat menjadi mahal apabila nyawa telah berada di halkum. Pada saat itu, pintu taubat dan pintu amalan telah ditutup sehingga bersedekah semua hartanya sekalipun, Allah tidak akan menerimanya lagi. Oleh itu hidup di dunia adalah suatu kesempatan untuk membina mahligai selesa di akhirat. Jangan asyik sibuk membina dan menghias cantik rumah dunia yang bakal ditinggal sebagai pusaka. Sebelum meninggal dunia, marilah kita berusaha untuk memastikan ada mahligai indah yang bakal didiami di syurga nanti.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 13-14 surah al-Kahfi :

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَ‌بِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣﴾ وَرَ‌بَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَ‌بُّنَا رَ‌بُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْ‌ضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَـٰهًا ۖ لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا

Maksudnya : Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

Antara amalan sunat sempena berada pada malam atau hari Jumaat dengan membaca surah al-Kahfi di mana antara fadhilatnya akan dikurniakan cahaya, dijauhi gangguan syaitan, selamat daripada fitnah Dajjal dan pelbagai kelebihan yang lain. Surah al-Kahfi banyak memuatkan kisah-kisah teladan sebagai pedoman yang berharga kepada kita termasuk kisah sekumpulan pemuda yang ditidurkan oleh Allah ratusan tahun di dalam gua ketika mempertahankan keimanan mereka. Sebagaimana kita sentiasa diingatkan tentang kisah nabi Muhammad s.a.w yang dijaga daripada kesesatan semenjak dari kecil lagi sehingga baginda walaupun hidup dalam suasana jahiliah yang menyembah berhala namun baginda bukan sahaja tidak turut serta dalam menyembah berhala malah begitu benci kepada berhala. Begitulah juga yang berlaku kepada pemuda al-Kahfi yang sanggup mempertahankan iman walau pun terpaksa berdepan dengan cabaran. Suasana jahiliah moden pada hari ini menuntut kesungguhan dan istiqamah ibubapa dalam mendidik anak-anak agar tidak terpesong dengan ajaran sesat dan terheret dengan budaya hidup yang bercanggah dengan agama termasuk pemikiran bahawa ikut agama amat menyusahkan, hiburan melampau sehingga terlibat pula dengan arak dan dadah, pakaian yang mendedah aurat serta pergaulan bebas yang membuka pintu zina dan pelbagai penyakit sosial yang lain. Oleh itu sempena berada pada hari Jumaat yang mulia ini marilah kita sama-sama muhasabah menghitung diri tentang kita dan anak isteri kita. Adakah kita dan anak kita begitu jinak dengan masjid atau pun lebih seronok di tempat hiburan. Adakah kita dan anak kita lebih mengenali dan mencintai nabi Muhammad s.a.w, para sahabat, ulama’ daripada artis, ahli sukan dan lain-lain. Adakah rumah kita lebih banyak kedengaran bacaan al-Quran atau dipenuhi bunyi nyanyian. Adakah di dalam jadual harian kita dan anak kita masa untuk belajar ilmu agama atau asyik melayan rancangan tv sahaja. Adakah rak di rumah kita dipenuhi buku agama atau komik dan majalah hiburan. Jika lebih banyak racun yang kita guna dalam kehidupan seharian maka semakin banyak penyakit yang bakal kita hidapi. Ibadat yang kita semai pahala dan keberkatan yang kita bakal tuai. Jika maksiat jadi cara hidup maka dosa dan bala Allah yang kita jemput.

Hargailah nikmat iman dan Islam yang merupakan nikmat terbesar yang dianugerahkan oleh Allah. Imam Syafie pernah berwasiat: “Iman mempunyai bentengnya bagi menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu, bagi menguatkan benteng iman, perlulah dibaja keimanan dengan 5 perkara iaitu [1] yakin, [2] ikhlas, [3] mengerjakan amalan sunat, [4] istiqamah beramal dan [5] bertatasusila ataupun berdisiplin dalam mengerjakan ibadah.”

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 39-40 surah al-Hijr :

قَالَ رَ‌بِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الْأَرْ‌ضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ ﴿٣٩﴾ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ

Maksudnya: Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada nabi Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka kesemuanya, (39) “Kecuali di antara zuriat-zuriat nabi Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik”.

Kisah ashabul Kahfi turut memberi pengajaran besar dalam masalah kepimpinan di mana pemimpin yang tunduk dan patuh kepada Allah sahaja yang mesti menjadi pilihan walau pun terpaksa menghadapi pelbagai tekanan dan penderitaan. Jangan akibat terhutang budi dengan bantuan yang sedikit menyebabkan kita lupa masalah penyelewengan, pecah amanah, rasuah yang begitu banyak. Adakah cerdik bila terlalu berterima kasih kepada pemimpin yang memberi wang yang memang milik kita sehingga terus menghalalkan salahguna terhadap hasil mahsul negara sehingga Negara bakal muflis jika penyelewengan ini terus dibiarkan berlaku. Kita jangan mudah tertipu termasuk dalam masalah kalimah Allah di mana pemimpin yang ada sekarang adalah dalang utama dalam menghalalkan Bible yang ada kalimah Allah untuk disebarkan dan digunapakai dengan menuduh orang lain membuatnya. Sampai bila kita mahu terus membaca masalah zina dan pembuangan bayi terus bertambah sedangkan pemimpin yang membuka banyak pintu zina termasuk lesen kelab malam dan hiburan melampau sehingga tidak cukup dengan artis dalam Negara maka dijemput pula artis luar Negara dengan belanja jutaan ringgit. Sampai bila kita mahu menonton peningkatan ketagihan arak dan judi sedangkan pemimpin seronok mengutip hasil cukai arak dan judi yang menjadi sumber pendapatan negara. Jangan hanya pandai menuding bahawa kerosakan berlaku kerana pemimpin yang memberi lesen kepada punca masalah sedangkan kita terus memilih pemimpin jenis  ini akibat terlalu gila dengan habuan yang sedikit sehingga agama diketepikan dalam pemilihan pemimpin. Oleh itu contohilah Ashabul Kahfi dalam memilih pemimpin sehingga apabila mereka kembali jaga daripada tidur, pemimpin dan masyarakat yang kufur telah diganti dengan pemimpin dan masyarakat yang beriman. Kita jangan terus tidur dalam jaga sehingga tertukar antara kepimpinan yang amanah dan adil yang taat kepada Allah dalam mengurus dunia berdasarkan agama dengan pemimpin yang mendakwa cinta kepada Islam sedangkan banyak tindakan dilakukan merugikan Islam dan umatnya. Memilih pemimpin yang banyak ingatkan Allah dan akhirat maka rakyat di bawah lebih banyak memikirkan kebahagiaan dunia akhirat. Memilih pemimpin yang cinta dunia maka rakyat di bawah lebih banyak membicarakan kesenangan dunia sehingga meminggirkan akhirat. Manusia mengikut agama pemimpin mereka. Bijak memilih pemimpin berdasarkan agama maka bahagia dunia akhirat. Bodoh dalam memilih pemimpin berdasarkan keseronokan dunia menyebabkan derita dunia akhirat.

Firman Allah dalam ayat 166-167 surah al-Baqarah :

إِذْ تَبَرَّ‌أَ الَّذِينَ اتُّبِعُوا مِنَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا وَرَ‌أَوُا الْعَذَابَ وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ الْأَسْبَابُ ﴿١٦٦﴾ وَقَالَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا لَوْ أَنَّ لَنَا كَرَّ‌ةً فَنَتَبَرَّ‌أَ مِنْهُمْ كَمَا تَبَرَّ‌ءُوا مِنَّا ۗ كَذَٰلِكَ يُرِ‌يهِمُ اللَّـهُ أَعْمَالَهُمْ حَسَرَ‌اتٍ عَلَيْهِمْ ۖ وَمَا هُم بِخَارِ‌جِينَ مِنَ النَّارِ‌

Maksdnya : Ketika orang-orang yang diikuti (pemimpin) itu berlepas diri daripada  mereka yang mengikutinya dan mereka melihat siksa dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali. Dan berkatalah para pengikut :  Sekiranya kami dapat kembali (ke dunia) sudah pasti kami akan berlepas diri daripada mereka (pemimpin) sebagaimana mereka (pemimpin) berlepas diri daripada kami. Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatan mereka yang menjadi kesesalan bagi mereka dan mereka tidak sekali-kali akan dikeluarkan daripada api neraka.”

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

20. Perlantikan Sayyidina Abu Bakar sebagai Khalifah pada 11 Hijrah

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ ….

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 146 surah Ali Imran :

وكأين من نبي قـتل معه ربيون كثير فما وهنوا لما أصابهم فى سبيل الله وما ضعفوا وما استكانوا والله يحب الصـبرين

Maksudnya : Dan berapa ramaikah para nabi yang berperang sedangkan bersama mereka sejumlah besar daripada pengikut yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu dan tidak pula menyerah kepada musuh. Allah menyukai mereka yang sabar.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

            Khalifah atau pemimpin merupakan suatu jawatan yang penting dalam menjaga amanah dalam menguruskan urusan dunia dan menjaga kesucian agama. Oleh itu sejarah Islam pernah menyaksikan bagaimana pada hari kewafatan Rasulullah s.a.w iaitu pada hari Isnin 12 Rabiul Awwal tahun 11 Hijrah maka pada hari tersebut jugalah umat Islam begitu sibuk dalam menyelesaikan masalah perlantikan khalifah. Kewafatan nabi disebabkan sakit tenat kesan daripada memakan kambing yang dibubuh racun oleh seorang perempuan yahudi di Khaibar di mana disebabkan masalah perlantikan khalifah menyebabkan jenazah nabi yang mulia terpaksa dikebumikan pada keesokan harinya iaitu Selasa malam Rabu di bilik Siti Aisyah bertepatan dengan sabda nabi yang menyuruh agar disemadikan jasadnya di tempat baginda wafat disamping mimpi Siti Aisyah di mana dia melihat 3 biji bulan jatuh ke biliknya dan Sayyidina Abu Bakar menyatakan bahawa mimpi itu menunjukkan bagaimana tiga orang manusia yang mulia akan dikebumikan di bilik Siti Aisyah antaranya yang paling mulia ialah Rasulullah s.a.w diikuti Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar.

 

Sidang Jumaat yang dihormati,

              Pertemuan dalam melantik khalifah selepas kewafatan nabi telah diadakan di Saqifah Bani Saadah iaitu dewan mesyuarat yang terletak berhampiran dengan Masjid Nabawi. Pada mulanya perhimpunan ini tidak diketahui oleh kaum keluarga nabi dan tokoh Quraisy sehinggalah ada 2 orang sahabat datang memberitahu bahawa adanya suatu perhimpunan penting di situ. Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar bergegas ke sana dan mendapati keputusan perlantikan belum dibuat disebabkan timbulnya pertikaian di kalangan kaum Aus seramai 70 orang yang tidak bersetuju dengan perlantikan Saad bin Ubadah daripada kaum Khazraj sebagai khalifah. Mereka mengakui bahawa Saad bin Ubadah merupakan seorang yang layak bagi memikul amanah yang berat ini memandangkan beliau merupakan seorang yang banyak berbakti kepada Rasulullah s.a.w, bijak dalam pengurusan, seorang yang terkenal serta pernah ditugaskan menjaga kota Madinah sewaktu rombongan ke Abwa’. Malah beliau diriwayatkan orang yang layak dan terpilih dalam memimpin Madinah jika Rasulullah s.a.w tidak berhijrah ke Madinah sebelum ini.

        Pelbagai pandangan dilontarkan bersama dengan hujah masing-masing di mana antara cadangan ialah agar perlantikan khalifah di pilih daripada kalangan Ansar memandangkan merekalah anak tempatan yang memberi perlindungan dan bantuan kepada Rasulullah s.a.w dan para muhajirin yang datang dari Mekah. Manakala Sayyidina Abu Bakar pula mencadangkan agar jawatan khalifah ini diberikan kepada orang Quraisy berdasarkan kepada sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud : Khalifah hendaklah dipilih daripada kaum Quraisy yakni muhajirin. Di samping itu alasan Sayyidina Abu Bakar lagi bahawa kaum Muhajirin merupakan golongan pertama memeluk Islam tanpa menafikan bakti dan segala jasa yang telah dihulurkan oleh golongan Ansar dari kaum Aus dan Khazraj. Beliau menambah lagi bahawa jika jawatan itu diserahkan kepada golongan Ansar maka ia akan memberi kesan yang negatif kepada masyarakat Islam kerana golongan Ansar terdiri daripada dua suku kaum yang terbesar dan terpengaruh di mana sudah pastinya akan timbul peristiwa perpecahan antara keduanya sebagaimana sebelum kedatangan Islam disebabkan tidak puas hati dengan perlantikan salah satu daripada kedua kaum tersebut sebagai khalifah.Mendengar penjelasan Sayyidina Abu Bakar lalu Hubab bin al-Munzir dari kaum Khazraj bangun mencadangkan agar dua orang khalifah dilantik iaitu seorang daripada golongan Muhajirin dan seorang lagi daripada golongan Ansar. Sayyidina Umar menolak cadangan ini kerana dua orang ketua tidak boleh memimpin dan mentadbir sebuah negara di mana perselisihan faham antara keduanya sering berlaku yang membawa kepada keruntuhan negara.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

        Pertikaian menjadi bertambah hangat sehinggalah Sayyidina Abu Bakar tampil menenangkan suasana dan menyejukkan perasaan golongan Ansar dengan kata-katanya : Kami adalah Umara’ (ketua) dan kalian adalah Wuzara'(menteri pembantu). Kata-katanya ini disokong oleh Saad bin Ubadah dan kemudiannya Sayyidina Abu Bakar memberikan nama cadangannya iaitu Sayyidina Umar dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah sebagai calon untuk dilantik sebagai khalifah.  Walau bagaimanapun Sayyidina Umar dengan pantas mengangkat tangan Sayyidina Abu Bakar dan membaiahnya atau janji setia terhadap perlantikan Sayyidina Abu Bakar sebagai khalifah. Beliau telah berkata : ” Demi Allah! aku lebih suka dibawa ke hadapan lalu ditebas leherku tanpa dosa daripada diangkat sebagai pemimpin suatu kaum di mana terdapat Abu Bakar”. Setelah mendengar kata-kata Sayyidina Umar lalu semua yang hadir terus membaiah Sayyidina Abu Bakar sebagai khalifah tanpa pertikaian lagi termasuk Saad bin Ubadah. Sayyidina Ali sendiri telah memberi baiah untuk kali pertama kepada perlantikan Sayyidina Abu Bakar pada hari Selesa keesokannya sebelum memberi bai’ah untuk kali kedua 6 bulan selepas itu iaitu selepas kewafatan isterinya Siti Fatimah yang juga merupakan salah seorang puteri nabi. Di sini kita dapat lihat bagaimana cermat dan berhati-hatinya umat Islam dalam memilih khalifah kerana ia bersangkutan dengan akhirat bukan sebagaimana dakwaan golongan sekulerisme yang memisahkan antara pemerintahan dan agama. Pemisahan antara urusan dunia dengan akhirat menyebabkan  dunia huru-hara dan kezaliman bermaharajalela.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

        Sayyidina  Abu Bakar memiliki kelayakan untuk menjadi khalifah. Rasulullah s.a.w sendiri sering memberikan kepercayaan kepada beliau antaranya tentang persetujuan baginda terhadap pandangan beliau sewaktu menyelesaikan kes tawanan perang Badar, keduanya Sayyidina Abu Bakar telah diberikan kepercayaan dalam mengendalikan urusan haji ke Mekah pada tahun 10 Hijrah dan beliau juga berperanan sebagai imam solat menggantikan baginda pada 11 Hijrah sewaktu baginda uzur. Pernah suatu hari Sayyidina Umar menjadi imam apabila diminta kerana Sayyidina Abu Bakar tidak kelihatan yang menyebabkan Rasulullah s.a.w yang sedang sakit apabila terdengar bukan suara Sayyidina Abu Bakar menjadi imam lalu baginda menyatakan rasa tidak puas hati. Malah nabi juga ada menyebut tentang kelebihan Sayyidina Abu Bakar termasuk dalam khutbahnya yang terakhir.

            Sayyidina Abu Bakar ketika mula-mula dilantik menjadi khalifah lalu beliau menyampaikan ucapan antaranya : Wahai umat manusia! Sesungguhnya aku telah dilantik dikalangan kamu sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik. Maka jika aku melakukan kebaikan maka bantulah aku tetapi sekiranya aku terpesong maka betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah dan dusta itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu merupakan orang yang kuat disisiku sehingga aku akan menunaikan kemahuannya serta memberikan haknya semula. Manakala orang yang kuat di kalangan kamu merupakan orang lemah disisiku sehingga aku akan mengambil kembali hak yang telah dirampas. Oleh itu taatilah aku selagimana aku mentaati Allah dan rasulNya dan jika aku mengengkari Allah dan rasulNya maka janganlah kamu mentaatiku.

            Ucapan ini menyatakan kepada kita bagaimana pimpinan mestilah telus dan terikat dengan perundangan sebagaimana yang dikenakan terhadap rakyat jelata bukannya pemimpin kebal daripada sebarang perundangan yang menyebabkan kezaliman berleluasa.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi,

            Sayyyidina Abu Bakar turut menyatakan bahawa penerimaan terhadap jawatan khalifah itu adalah kerana umat Islam bersepakat membai’ahnya dan kebimbangannya jika berlakunya fitnah dan murtad jika beliau menolak bai’ah tersebut. Perkara ini menunjukkan bagaimana pentingnya khalifah untuk mengurus urusan dunia dan menjaga amanah agama bukannya pimpinan itu untuk mencari kekayaan dunia sehingga timbulnya politik wang, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Sebab itulah ulama’ hari ini mula menerima kembali jawatan sebagai pimpinan apabila golongan pemerintah sebelum ini ramai yang mengkhianati amanah dan memerangi agama walau pun beragama Islam sehingga ramai ulama’ yang dibunuh. Penerimaan jawatan ini bukan kerana mahu kemewahan tetapi bagi memastikan amanah agama ditunaikan dengan sebaiknya menurut kehendak Allah dan rasulNya.

            Firman Allah dalam ayat 149  surah Ali Imran:

ياأيها الذين ءامنوا إن تطيعوا الذين كفروا يردوكم على أعقــبكم فتنقلبوا خــسرين

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu mengikuti orang-orang kafir nescaya mereka akan mengembalikan kamu ke belakang (kekufuran) lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

6. Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w 11 Hijrah

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  Janganlah  kita  hanya  tahu  mendengar  sahaja  perkataan  taqwa  serta  menyebutnya  sedangkan  ia  tidak  menyerap  ke dalam  sanubari  kita . Hitunglah  diri kita  setiap  masa  samada  semakin  hampir  kepada  Allah atau  sebaliknya.  Adakah  amalan  soleh  kita  semakin  meningkat  atau pun  menurun….

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 128 dan 129 surah at-Taubah

لقد جاءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتم حريص عليكم بالمؤمنين رؤوف الرحيم  .  فإن تولوا فقل حسبي الله لاإله إلا هو  عليه توكلت وهو رب العرش العظيم  .

Maksudnya : Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin. Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah : “Cukuplah Allah bagiku, tiada tuhan selain Dia, hanya kepadaNya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung”.

            Kini  hampir seminggu kita meninggalkan bulan Rabiul Awwal yang merupakan bulan yang telah mencatat sejarahnya yang agung dengan kelahiran bayi bertuah yang diberi nama Muhammad di mana baginda telah diangkat oleh Allah menjadi nabi lagi Rasul kepada umat akhir zaman. Pada hari ini marilah kita sama-sama menghitung diri kita samada sambutan maulidur rasul yang kita adakan pada bulan yang lalu hanya akan berlalu begitu sahaja atau pun sudah nampak disana perubahan pada diri kita dan masyarakat dalam sama-sama menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w  dan melaksanakan setiap apa yang dibawanya. Jangan kita jadikan perayaan lalu hanya untuk menyambut dan memuja tubuh Rasulullah s.a.w sahaja sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Abu Lahab yang menyembelih 100 ekor unta kerana kegembiraan di atas kelahiran nabi Muhammad s.a.w. Tetapi akhirnya dialah yang menjadi penghalang dan penentang yang utama terhadap dakwah Rasulullah s.a.w sehingga adanya surah al-Lahab dalam al-Quran yang memberitahu kita semua bagaimana kecelakaan yang besar menimpa Abu Lahab dan isterinya kerana menolak dan mencerca dakwah suci Rasulullah s.a.w. Kita juga tidak mahu segala sifat mulia Rasulullah s.a.w diketahui dan disebut oleh kita saban hari samada melalui pembacaan buku, pendengaran melalui kuliah atau pun sebutan dalam berzanji dan juga selawat tetapi sekadar menjadi pengetahuan sahaja tanpa ada di sana usaha ke arah mencontohi dan melaksanakan kewajipan yang disuruh. Kita tidak mahu menjadi seperti ahli kitab dari golongan Yahudi dan Krisitian yang mengenali keperibadian Rasulullah s.a.w sebagaimana mereka mengenali anak mereka sendiri tetapi setelah kelahiran nabi Muhammad s.a.w, merekalah yang menjadi musuh utama kepada dakwahnya. Oleh itu marilah kita hendaklah menjadikan sambutan maulidur rasul ialah untuk memuji kemulian tubuh dan sifat  Rasulullah s.a.w dan juga untuk melaksanakan segala syariat yang dibawanya.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Dalam kita bergembira dengan mengingati kelahiran Rasulullah s.a.w pada bulan Rabiul Awwal janganlah kita terlupa bahawa dalam bulan yang sama turut merakamkan peristiwa yang sedih dan memilukan seluruh umat Islam. Sebagaimana maklum bahawa selepas mengerjakan haji wida’ di Mekah pada tahun ke-10 hijrah lalu baginda s.a.w pulang ke Madinah. Setelah tiba di Madinah, Rasulullah s.a.w  telah memerintah tentera Islam untuk menyerang Rom yang berkubu di Balqa’, Jordan dan Palestin di mana baginda memilih Usamah bin Zaid sebagai panglima perang.

            Setelah persiapan perang telah siap dan hanya menunggu arahan seterusnya daripada Rasulullah s.a.w maka bermula dari sinilah baginda s.a.w mulai sakit tenat. Pada suatu  larut malam, Rasulullah s.a.w telah pergi bersama dengan Muwaihibah ke kawasan perkuburan Baqi’ berhampiran Masjid Nabawi kerana diperintah supaya beristighfar di sana.Sekembalinya dari kawasan perkuburan Baqi’   , Rasulullah s.a.w telah mengadu  bahawa kepalanya begitu sakit dan pening kepada ummul mukminin Sayyidatina ‘Aisyah. Peristiwa ini berlaku pada akhir bulan Sofar tahun 11 hijrah. Rasulullah s.a.w pada mulanya terlantar sakit di rumah ummul mukminin Sayyidatina Maimunah di mana selepas mendapat persetujuan daripada isteri-isterinya lalu baginda dipindahkan ke rumah Sayyidatina ‘Aisyah dengan dipapah oleh al-Fadhil bin Abbas dan Ali bin Abu Talib. Rasulullah s.a.w setelah bersiap lalu memberitahu bahawa baginda ingin keluar ke masjid bagi memberi ucapan kepada para muslimin. Selepas selesai sembahyang lalu baginda s.a.w sebelum menaiki minbar bersabda agar para muslimin berdoa ke atas para syuhada’ yang mati dalam peperangan Uhud dan.setelah berdiri di atas mimbar lalu Rasulullah bersabda yang bermaksud : Sesungguhnya Allah memberi pilihan kepada hamba antara dunia dengan apa yang ada disisiNya (Allah) maka memilih hamba itu apa yang ada disisi Allah. Mendengar ucapan itu lalu bercucuran air mata Sayyidina Abu Bakar kerana beliau faham bahawa apa yang dimaksudkan dengan hamba itu ialah diri Rasulullah s.a.w di mana baginda merasai telah hampir saat kewafatannya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda : Wahai Abu Bakar! Jangan engkau menangis, sesungguhnya daripada mereka yang beriman kepadaku pada menemaninya, hartanya ialah Abu Bakar. Jika aku mengambil seorang teman rapat nescaya aku akan menjadikan Abu Bakar tetapi persaudaraan Islam dan kemanisannya. Tidak akan kekal dalam  masjid satu pintu melainkan ada penghadang melainkan pintu Abu Bakar. Hadis ini menunjukkan kelebihan Sayyidina Abu Bakar.

Sabdanya lagi bermaksud: Sesungguhnya aku mempunyai tanggungan yang berat antara kamu, aku merupakan saksi kepadamu, sesungguhnya janji kepadamu ialah telaga kauthar, Sesungguhnya aku melihatnya sedangkan aku berada ditempatku ini. Sesungguhnya aku tidak bimbang kamu akan syirik tetapi yang paling aku bimbang ialah kamu akan berebut-rebut kemewahan dunia ketika dibentangkan kepadamu.

Pada suatu malam ketika para muslimin menunggu-nunggu ketibaan Rasulullah s.a.w bagi menunaikan solat Isya’, baginda tidak dapat berbuat demikian kerana terlalu sakit sehingga baginda memerintah Sayyidina Abu Bakar  menjadi imam menggantikan baginda. Setelah diberitahu tentang perintah nabi lalu Sayyidina Abu Bakar meminta Sayidina Umar untuk menjadi imam tetapi Sayyidina Umar menggesa agar Sayyidina Abu Bakar melaksanakan perintah nabi untuk menjadi imam kerana beliau merupakan orang yang paling layak. Pada hari seterusnya setelah Rasulullah s.a.w merasai lega sedikit daripada kesakitan yang ditanggung lalu baginda keluar ke masjid dengan dipimpin oleh dua orang sahabat bagi menunaikan solat Zohor. Melihat kedatangan Rasulullah s.a.w maka Sayyidina Abu Bakar ingin berundur dari tempat imam tetapi Rasulullah s.a.w meminta agar beliau terus berada ditempat itu dan baginda sendiri meminta agar dua orang sahabat yang memimpinnya supaya mendudukkannya ditepi Sayyidina Abu Bakar. Sayyidina Abu Bakar bersembahyang mengikut solat nabi yang mengerjakannya sambil duduk manakala muslimin yang lain mengikut solat Sayyidina Abu Bakar.Ini merupakan solat terakhir Rasulullah s.a.w bersama para muslimin di mana para sahabat begitu gembira melihat nabi mampu bersembahyang bersama-sama mereka menandakan baginda akan sembuh dari sakit. Tetapi kegembiraan itu hanya sementara di mana kesakitan baginda semakin parah dan apabila ditanya kepadanya lalu  baginda menyatakan : Tiada daripada orang islam yang ditimpa kesakitan maka tidak selainnya melainkan Allah akan menggugurkan kejahatannya sebagaimana daun yang gugur dari pokok.

 

Sidang Jumaat yang berbahagia

            Pada suatu hari ketika para isteri nabi berada disampingnya lalu anaknya Siti Fatimah datang menghampirinya. Para isteri nabi yang lain melihat bagaimana Rasulullah s.a.w menceritakan sesuatu kepada Siti fatimah di mana buat kali pertama dia menangis kesedihan dan buat kali kedua dia tersenyum gembira. Apabila ditanya maka Siti fatimah mengatakan bahawa dia sedih pada cerita pertama kerana Rasulullah s.a.w memberitahu bahawa setiap tahun malaikat Jibril akan menyampaikan wahyu al-Quran sekali manakala pada tahun ini dia datang sebanyak dua kali.Dia tidak melihatku melainkan kedatangannya kerana telah tiba ajalku. Sesungguhnya engkau wahai fatimah merupakan ahli keluarga pertama yang akan mengiringiku dan sebaik-baik salaf ialah aku bagi engkau maka aku menangis mendengar kata-kata itu. Manakala cerita yang menyebabkan aku gembira ialah apabila Rasulullah s.a.w bertanya : Adakah engkau tidak redha menjadi Penghulu bagi seluruh umat wanita yang beriman atau ketua bagi wanita umat ini maka aku merasa gembira dengan perkara ini.

            Dalam keheningan Fajar Subuh hari Isnin 12 Rabiul Awwal tahun 11 hijrah ketika mana Sayyidina Abu Bakar dan para muslimin bersiap untuk solat Subuh, mereka telah terpandang wajah Rasulullah s.a.w yang berseri-seri sedang tersenyum apabila tabir dari bilik Sayyidatina ‘Aisyah terbuka lalu Abu Bakar memberi ruang kepada baginda kerana pada sangkaannya baginda ingin solat bersama-sama mereka. Para muslimin yang berada dibelakang turut bergembira apabila melihat keadaan nabi ketika itu tetapi akhirnya nabi mengisyaratkan dengan tangan agar mereka menyempurnakan solat mereka. Selepas itu para muslimin terus berasa senang hati melihat keadaan nabi yang mana pada sangkaan mereka telah hampir pulih. Namun sangkaan mereka meleset sama sekali kerana selepas menutup kembali tabir bilik Sayyidatina ‘Aisyah dan Rasulullah s.a.w kembali berbaring ditempatnya maka kesakitannya bertambah tenat. Itulah senyuman yang terakhir daripada seorang rasul dan pemimpin yang agung buat muslimin dan itulah juga senyuman perpisahan daripada nabi dan ketua yang penyayang buat muslimin sebelum Rasulullah s.a.w menemui Allah.

            Pada saat-saat akhir, Usamah bin Zaid telah masuk menemui Rasulullah s.a. Ketika berada disampingnya dia diam lalu melihat bagaimana nabi telah meletakkan tangan baginda ke atasnya dan kemudiaannya mengangkat kedua tangannya di mana dia tahu bahawa nabi telah berdoa untuknya.

            Antara ucapan atau wasiat yang terakhir sebelum baginda menghembuskan nafas yang terakhir ialah : Wahai manusia! Sesungguhnya tidak akan kekal berita atau wahyu kenabian melainkan rukya solehah yang akan diperlihatkan kepada orang islam atau pun dia melihatnya. Ada pun sesungguhnya aku telah mengakhiri pembacaan al-Quran ketika rukuk dan sujud. Ketika rukuk maka besarkanlah Allah manakala ketika sujud maka bersungguhlah meminta doa Maka lakukanlah nescaya akan dimaqbulkan. Selepas itu baginda menghembuskan nafas yang terakhir untuk pergi menemui kekasih sejati Allah Rabbul Izzati meninggalkan syariat yang akan terus dilaksana dan disampaikan oleh umatnya sehingga hari qiamat.

            Kewafatan Rasulullah s.a.w telah tersebar luas sehinggalah Sayyidina Abu Bakar mendapat berita sedih ketika berada di atas kuda dalam perjalanan pulang kerana pada sangkaannya baginda telah beransur pulih. Sayyidina Abu Bakar bergegas menuju ke Masjid Nabawi lalu memasuki bilik Sayyidatina ‘Aisyah dimana terletaknya jasad Rasulullah s.a.w. Beliau duduk berhampiran jasad nabi yang mulia lalu menyingkap kain yang menutupi bahagian muka nabi di mana beliau terus mengucupnya dan menutup kembali seterusnya keluar menemui para muslimin yang masih sedih dan terkejut menerima berita yang sedih ini. Suasana ketika itu hampir tidak terkawal kerana masing-masing bagaikan tidak percaya apabila menerima berita kewafatan rasul yang begitu dikasihi, ketua yang disegani, pemimpin yang telah memimpin umat daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya iman dan islam. Sayyidina Umar sendiri tidak mempercayai berita kewafatan nabi malah memberi amaran keras akan memancung kepala sesiapa sahaja yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat kerana baginya Rasulullah s.a.w tidak akan wafat melainkan setelah kaum munafik dihancurkan. Ada juga para muslimin yang tidak kuat imannya kembali murtad kerana tidak dapat menerima hakikat kewafatan nabi ini.

            Dalam keadaan yang tidak terkawal ini lalu Sayyidina Abu Bakar berdiri gagah dihadapan para muslimin lalu mengeluarkan kata-katanya yang tegas :

أيها الناس ! من كان يعبد محمدا فإن محمدا قد مات  ,  ومن كان يعبد الله  فإن الله حي لا يموت

Maksudnya : Wahai sekalian manusia! Sesiapa dikalangan kamu yang menyembah Sayyidina Muhammad s.a.w maka sesungguhnya nabi Muhammad telah wafat dan sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah terus hidup dan tidak akan mati

Selepas itu beliau membaca ayat 144 surah ali Imran :

وما محمد إلا رسول قد خلت من قبله الرسل , أفإن مات أو قتل انقلبتم على  أعقبكم  , ومن ينقلب على عقبيه فلن يضر الله شيئا , وسيجزي الله الشكرين .

Maksudnya : Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul. Sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul . Apakah jika baginda wafat atau dibunuh maka kamu akan berpaling tadah (murtad)?. Sesiapa yang berpaling tadah maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun. Dan Allah akan memberi balasan kepada mereka yang bersyukur

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Kepimpinan Penentu Antara Memuja atau Meroboh Jahiliah

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam 144 surah Ali Imran :

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّـهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّـهُ الشَّاكِرِينَ

Maksudnya : Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul. Sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul . Apakah jika baginda wafat atau dibunuh maka kamu akan berpaling tadah (murtad)?. Sesiapa yang berpaling tadah maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun. Dan Allah akan memberi balasan kepada mereka yang bersyukur

Kasih dan cinta kita kepada nabi Muhammad s.a.w sentiasa subur dan mekar sepanjang masa dan tempat tanpa terbatas pada sesuatu bulan sahaja seperti pada Rabiul Awwal yang baru berlalu. Begitulah juga perjuangan dan jejak langkah baginda yang telah mengubah keadaan dunia daripada gelap kekufuran kepada cahaya iman, daripada kezaliman jahiliah kepada keadilan Islam wajib diteruskan walau pun baginda telah pun wafat. Dunia Islam pernah menyaksikan bagaimana kewafatan nabi Muhammad s.a.w pada bulan Rabiul Awwal tahun 11 Hijrah telah menggegarkan iman para sahabat dan umat Islam yang lain sehingga ada yang murtad daripada Islam kerana tidak dapat menerima kenyataan ini. Suasana yang kalut ditenangkan oleh Sayyidina Abu Bakar dengan kata-katanya yang tegas :

أيها الناس! مَنْ كَانَ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا فَإِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ مَاتَ، وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ حَيٌّ لاَ يَمُوتُ

Maksudnya : Wahai sekalian manusia! Sesiapa dikalangan kamu yang menyembah Sayyidina Muhammad s.a.w maka sesungguhnya nabi Muhammad telah wafat dan sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah terus hidup dan tidak sekali-kali akan mati

Kemudian disambung dengan bacaan ayat 144 surah Ali Imran di mana ayat ini walau pun diturunkan pada ketika peperangan Uhud bagi menetapkan hati tentera Islam dalam berdepan dengan suasana kekalahan namun apabila ia dibaca oleh Sayyidina Abu Bakar dalam kekalutan dengan kewafatan nabi s.a.w ini telah menyentak hati para sahabat termasuk Sayyidina Umar al-Khottab sehingga beliau menyatakan : Barulah aku memahami firman Allah ini.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Antara wasiat terpenting yang pernah diungkapkan oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w sebelum meninggalkan umatnya selama-lamanya ialah

رواه أبو دأود عن علي رضي الله عنه قال: كَانَ  آخِرُ كَلاَمِ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وسلم: الصَّلاَة ُالصَّلاَة اتَّقُوْا اللهَ  فِيْمَا مَلَكَتْ  أَيْمَانُكُمْ

Maksudnya: Adalah kalimah terakhir yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w : Sembahyang, sembahyang! Takutkan sekalian kamu kepada Allah pada apa yang dimiliki oleh tangan-tangan kanan kamu (daripada zakat)

2 perkara besar yang diperingatkan oleh nabi iaitu sembahyang dan zakat merupakan suatu yang begitu penting dalam memastikan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia berjalan dengan baik bagi menjamin keberkatan dan ketenangan hidup. Akibat pengabaian terhadap sembahyang dan sikap tamak yang bukan sahaja kedekut untuk menunaikan zakat malah harta zakat dan rakyat disalahgunakan telah mendatangkan pelbagai masalah dalam negara. Apabila putusnya hubungan manusia dengan Allah sehingga maksiat semakin subur ditambah lagi hubungan kasih sayang, hormat menghormati sesama manusia semakin luntur telah menyebabkan keamanan tergugat dan suasana jahiliah moden mulai merosakkan suasana. Suasana jahiliah sebelum ini menyaksikan penyembahan terhadap berhala serta akhlak rosak termasuk membunuh anak perempuan hidup-hidup. Jahiliah moden lebih dashsyat dengan penyembahan terhadap ideology dan system ciptaan manusia sehingga kehidupan beragama disempitkan kepada ibadat khusus sahaja sehingga kerosakan akhlak semakin teruk termasuk penzinaan yang menyebabkan anak yang tidak berdosa tanpa mengira jantina dibunuh tanpa perikemanusiaan. Oleh itu marilah kita kembali memperkasakan usaha dalam melahirkan umat yang sentiasa menjaga solat dan menunaikan zakat kerana ia juga merupakan asas kepada kelangsungan kepimpinan yang bertaqwa yang selamat di dunia dan akhirat sebagaimana Firman Allah dalam ayat 41 Surah al-Hajj:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 55 surah an-Nuur :

وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya : Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka

Perjuangan dan tugas nabi Muhammad s.a.w dalam mengubah dunia kepada keadaan yang tunduk patuh kepada perintah Allah terus disambung agar dunia tidak kembali rosak oleh kelam jahiliah. Oleh itu tindakan segera Sayyidina Abu Bakar dalam menyelesaikan masalah kepimpinan telah memberi kesan yang besar ketika suasana umat Islam pada masa itu seumpama anak ayam kehilangan ibu. Peranan yang begitu besar dan berat telah dimainkan oleh Sayyidina Abu Bakar terutama dalam memulihkan semangat umat Islam disamping mengambil tegas terhadap golongan murtad, nabi palsu dan golongan yang enggan membayar zakat. Semuanya ini menyedarkan kita bagaimana betapa pentingnya kepimpinan dalam mencorak suasana dalam negara samada kepada taat kepada Allah atau menderhakaiNya, samada tunduk kepada sistem Islam atau mengenepikannya, samada melahirkan ahli ibadat atau meramaikan lagi kaki maksiat, samada mendapat keberkatan daripada langit dan bumi atau mengundang bala daripada Allah. Kepimpinan juga menentukan jatuh bangun sesebuah negara disamping menjaga kedaulatan negara dan apa yang lebih penting menjaga kesucian Islam dan maruah umatnya daripada dipermainkan oleh musuh Islam. Kita berasa malu mempunyai pemimpin yang nampak seumpama jaguh dalam memerangi Israel sedangkan penasihatnya adalah yahudi dan kapal dagang Israel terus berlabuh di negara ini silih berganti. Kita berasa malu mempunyai pemimpin yang bangga membantu rakyat dengan habuan yang sedikit sedangkan harta dan kekayaan negara dirompak dan disalahguna tanpa sekatan dan tindakan sewajarnya. Renungilah ucapan Sayyidina Abu Bakar ketika dilantik menjadi khalifah pertama setelah kewafatan nabi Muhammad sa.w dengan katanya:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya aku telah dilantik dikalangan kamu sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik. Maka jika aku melakukan kebaikan maka bantulah aku tetapi sekiranya aku terpesong maka perbetulkanlah aku. Benar itu adalah amanah dan dusta itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu merupakan orang yang kuat disisiku sehingga aku akan menunaikan kemahuannya serta memberikan haknya semula. Manakala orang yang kuat di kalangan kamu merupakan orang lemah disisiku sehingga aku akan mengambil kembali hak yang telah dirampas. Oleh itu taatilah aku selagimana aku mentaati Allah dan rasulNya dan jika aku mengengkari Allah dan rasulNya maka janganlah kamu mentaatiku”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 51 surah al-A’araf :

الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَهْوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۚ فَالْيَوْمَ نَنسَاهُمْ كَمَا نَسُوا لِقَاءَ يَوْمِهِمْ هَـٰذَا وَمَا كَانُوا بِآيَاتِنَا يَجْحَدُونَ

Maksudnya : (Tuhan berfirman: Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa (tidak hiraukan persiapan-persiapan untuk) menemui hari mereka ini, dan juga kerana mereka selalu mengengkari ayat-ayat keterangan Kami

Antara kewajipan kepimpinan Islam ialah menjaga kesucian Islam daripada dipersenda. Kita begitu marah dengan tindakan seorang warga Arab Saudi yang bacul menghina nabi Muhammad s.a.w dalam tulisannya baru-baru ini yang menggambarkan bagaimana nabi Muhammad s.a.w seperti manusia biasa tanpa ada keistimewaan sehingga dia turut menyatakan bahwa dia suka kepada setengah ajaran nabi dan membenci sebahagian yang lain disamping tidak mahu berselawat kepada nabi. Manusia seperti ini mesti diambil tindakan tegas agar dia insaf dan tidak melarat penyakit yang merosakkan aqidah ini kepada orang lain. Mimbar Jumaat hari ini juga mengutuk dan mengecam tindakan tidak bertamadun tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membakar al-Quran di Afghanistan walau pun mereka telah maaf atas perbuatan biadap itu. Punca musuh Islam berani menghina al-Quran buat sekian kali kerana hanya rakyat bawahan yang bangkit menentang sedangkan pemimpin di atas hanyut dibuai mimpi. Penghinaan terbaru yang berlaku di Negara kita apabila akhbar The Star menyiarkan gambar artis luar negara Erykah yang mempunyai tatoo nama Allah sedangkan gambar sebenar tidak mempunyai kalimah yang mulia itu. Penghinaan ini merupakan kes ketiga The Star menghina Islam setelah kes pertama adalah tulisan seorang editor The Star yang mempertikaikan tindakan Mahkamah Syariah di Pahang yang menjatuhkan hukuman sebat terhadap seorang wanita Islam yang meminum arak. Kes pula kedua adalah kes daging babi panggang untuk berbuka puasa yang disiarkan bulan Ramadhan lalu. Walau pun The Star telah mengantung tugas 2 pekerjanya namun tindakan lebih tegas mesti diambil oleh pemimpin Islam yang bermaruah dan cintakan Islam agar pihak yang menghina Islam tidak berani melakukan perbuatan biadap tersebut pada masa akan datang. Bangkitlah wahai umat Islam bermaruah. Jangan biarkan nama Allah dicerca, Jangan biarkan nabi Muhamamd s.a.w dihina, Jangan biarkan al-Quran dicaci, Jangan biarkan Islam dimaki. Biar bermandi darah kebiadapan musuh wajib disanggah, biar berpisah nyawa dari badan namun kesucian Islam tetap dipertahankan

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

147. ULAMA’ TERPIMPIN UMAT TERBIMBING

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam  ayat 144 surah ali Imran :

وما محمد إلا رسول قد خلت من قبله الرسل , أفإن مات أو قتل انقلبتم على  أعقبكم  , ومن ينقلب على عقبيه فلن يضر الله شيئا , وسيجزي الله الشكرين .

Maksudnya : Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul. Sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul . Apakah jika baginda wafat atau dibunuh maka kamu akan berpaling tadah (murtad)?. Sesiapa yang berpaling tadah maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun. Dan Allah akan memberi balasan kepada mereka yang bersyukur

Kita masih berada bulan Rabiul Awwal yang dijadikan bulan perayaan dalam memperingati Maulidurrasul s.a.w. Pujian ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w meniti di mulut-mulut umat Islam bagi menandakan betapa kasih dan sayangnya kita terhadap nabi yang banyak menabur jasa dalam menyampaikan risalah Islam dialam buana ini. Nabi Muhammad s.a.w mesti dijadikan contoh teladan yang paling mulia oleh seluruh umat manusia dalam semua perkara samada dari segi akhlaknya, pemerintahannya, kemasyarakatannya dan kehidupannya. Nabi Muhammad s.a.w telah meninggalkan segala kemewahan dunia kerana bimbang lebih ramai umatnya akan dikufurkan dan dihanyutkan oleh godaan dunia yang mempesona. Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan ketua keluarga, pemimpin negara, nabi kepada seluruh umat manusia telah menunjukkan kepada kita semua melalui percakapan dan perbuatannya yang berdasarkan wahyu bukannya nafsu tentang bagaimanakah cara yang terbaik di dalam mengejar keredhaan Allah demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Kini lebih 1400 tahun nabi Muhammad s.a.w meninggalkan kita tetapi kerana keyakinan yang tinggi terhadap kebenaran dan kesucian Islam maka kita sebagai umat yang menyatakan bahawa kita lebih cintakan akhirat melebihi cinta kita terhadap dunia fana terus memperjuangkan pelaksanaan Islam dalam diri dan alam nyata dalam seluruh aspek kehidupan. Ini bagi membuktikan bahawa kita mahu menjadi golongan yang dikasihi dan dicintai oleh nabi iaitu golongan yang mencintai dan mengasihi nabi walau pun tidak pernah bertemu dengan baginda semasa hayatnya dan juga terus mengikut ajaran nabi dan memperjuangkan Islam.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Perjuangan dalam meneruskan dakwah Islam dan pelaksanaan seluruh sistem Islam yang melibatkan ibadat, kemasyarakatan, pemerintahan telah diwariskan kepada para ulama’ akhirat yang soleh dan bertaqwa. Hadis nabi yang menyatakan” العلماء ورثة الأنبياء “iaitu para ulama’ itu merupakan pewaris para nabi dalam mengembangkan usaha dakwah dan melaksanakan seluruh amanah Allah dalam mentadbir dunia dengan hukuman Allah dan menjaga kesucian Islam daripada dicemari oleh tangan-tangan kotor yang berusaha menjauhkan umat manusia daripada  ajaran Islam yang menyeluruh. Nabi Muhammad s.a.w turut menyatakan bahawa umat manusia tidak akan sesat selama-lamanya jika terus menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai pedoman dalam setiap tindakan mereka. Inilah betapa hebat dan terjaganya Islam di mana Allah telah menyatakan bahawa al-Quran terus terjaga daripada sebarang pengurangan atau penambahan oleh mana-mana pihak sehingga ia menjadi sumber tertinggi kepada seluruh umat manusia. Al-Quran tidak akan terjadi sebagaimana kitab Taurat dan Injil yang telah diselewengkan sesuka hati oleh paderi dan pendita yahudi dan Kristian. Hadis nabi turut dijaga oleh ulama’ dari segi kesohihannya sebelum dijadikan hujah di mana para ulama’ hadis sentiasa berusaha dalam menolak hadis-hadis palsu agar kesucian hadis nabi terus terjaga.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Pemilihan ulama’ sebagai pewaris kepada perjuangan nabi turut meletakkan Islam sebagai agama yang berasaskan ilmu bukannya terdiri di atas kejahilan dan paksaan. Ulama’ akhirat terpaksa memikul amanah yang berat ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan tidak boleh dilaksanakan secara sambil lewa. Memandangkan betapa besarnya peranan ulama’ dalam mengembalikan semula keagungan Islam sebagai agama yang memerintah dunia bukannya agama yang diperintah oleh manusia berdasakan akal yang lemah bersesuaian dengan peranan ulama’ sebagai pewaris kepada perjuangan nabi maka musuh-musuh Islam terus memainkan peranan penting dalam memburuk-burukkan para ulama’ yang ikhlas berjuang untuk Islam bukannya untuk wang. Yahudi dan Kristian terutamanya tidak senang duduk apabila melihat ulama’ menjadi ketua kepada umat Islam dalam memperjuangkan Islam. Kristian tidak dapat menafikan kepentingan paderi dan cerdik pandai mereka sebelum ini dalam menyebarkan Kristian dan pembangkit semangat juang dalam menghancurkan Islam terutama semasa penjajahan tetapi setelah amalan sekularisme diamalkan akibat cengkaman paderi yang begitu kuat ke atas rakyat maka pengikut Kristian sendiri memisahkan di antara peranan paderi dan pemerintah. Kita juga dapat melihat peranan paderi dan ilmuan yahudi di dalam kerajaan Israel hari ini di mana paderi inilah yang memainkan peranan besar dalam menghasut umat yahudi terutama melalui kitab Talmud yang merupakan kitab yang paling keras menentang Islam dan bangsa selain daripada yahudi di mana paderi yahudi ini merupakan penyokong kuat terhadap kebiadapan dan penindasan ke atas umat Islam di Palestin. Tidak ketinggalan peranan sami hindu yang melampau dalam membangkitkan rasa permusuhan terhadap umat Islam di India sehingga pelampau Hindu sanggup membakar dan membunuh umat Islam sesuka hati. Tanpa peranan dan semangat yang ditanamkan oleh golongan ulama’, paderi, sami atau ilmuan dalam agama maka perjuangan seluruh agama tidak begitu kuat. Oleh itu kita sebagai umat Islam yang cintakan Allah dan rasulNya maka semestinya terus berada dibelakang para ulama’ yang ikhlas berjuang untuk sama-sama meninggikan kalimah Allah yang tinggi. Biar dikeji, dicaci, dimaki dan dilontar dengan pelbagai tohmahan namun perjuangan Islam mesti terus diteruskan sehingga hari qiamat. Kita begitu yakin dengan janji kemenangan oleh Allah kepada Islam yang sempurna ini. Waktu dan ketika untuk datangnya pertolongan dan kemenangan daripada Allah itu sudah begitu hampir.  Cuma persediaan kita dalam melahirkan diri sebagai umat yang bakal duianugerahkan dengan kemenangan yang dijanjikan ini sahaja yang mesti disiapkan segera..Tiada lagi masa untuk kita berehat dan bergurau senda untuk mencapai perkara ini

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Kekuatan Islam juga tidak berdiri di atas kekuatan perseorangan tetapi ia tertegak di atas kekuatan jemaaah. Perjuangan Islam mesti dilakukan ikhlas kerana Allah bukannya disebabkan seseorang pemimpin. Oleh itu Allah sendiri mengingatkan umat Islam agar tidak kembali murtad disebabkan kewafatan nabi kerana nabi merupakan pemimpin yang juga akan mati setelah selesainya tugas yang dijalankan. Tugas dan peranan nabi selepas itu mesti diteruskan oleh para ulama’ bukannya terhenti dengan kewafatan nabi s.a.w. Kita ingat bagaimana adanya umat Islam yang kembali murtad dan ramai yang lemah semangat serta tidak kurang yang tidak dapat menerima hakikat bahawa nabi telah wafat termasuk Sayyidina Umar al-Khottab sendiri sehingga dalam keadaan yang tidak terkawal ini lalu Sayyidina Abu Bakar berdiri gagah dihadapan para muslimin dan mengeluarkan kata-katanya yang tegas :

أيها الناس ! من كان يعبد محمدا فإن محمدا قد مات  ,  ومن كان يعبد الله  فإن الله حي لا يموت

Maksudnya : Wahai sekalian manusia! Sesiapa dikalangan kamu yang menyembah Sayyidina Muhammad s.a.w maka sesungguhnya nabi Muhammad telah wafat dan sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah terus hidup dan tidak sekali-kali akan mati

Oleh itu kita jangan letakkan perjuangan disebabkan seseorang tetapi ia mesti dilakukan secara jemaah agar kekuatan dan perjuangan Islam terus kuat dan utuh.

Firman Allah dalam ayat 128 dan 129 surah at-Taubah

لقد جاءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتم حريص عليكم بالمؤمنين رؤوف رحيم  .  فإن تولوا فقل حسبي الله لاإله إلا هو  عليه توكلت وهو رب العرش العظيم  .

Maksudnya : Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin. Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah : “Cukuplah Allah bagiku, tiada tuhan selain Dia, hanya kepadaNya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung”.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن

Kepimpinan Berteraskan Wahyu Menyanggah Pemujaan Nafsu

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 55 surah an-Nuur :

وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya : Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka

Kedatangan nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi akhir zaman di mana dakwahnya meliputi seluruh alam tanpa terhad pada sesuatu bangsa atau negara tertentu sahaja. Kejayaan gemilang yang telah dicatat oleh baginda dalam mengubah dunia daripada penindasan jahiliah kepada keadilan Islam, daripada kelam kekufuran kepada cahaya iman. Tugas nabi yang mulia ini diteruskan oleh khulafa’ ar-Rasyidin selepas kewafatan baginda pada bulan Rabiul Awwal tahun 11 Hijrah bagi memastikan suasana yang baik dan teratur tidak kembali menjadi buruk dan berterabur. Sesuai dengan maksud khalifah itu sendiri iaitu kepimpinan dalam mengurus dunia berdasarkan agama ke arah menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Sesuai dengan contoh kehidupan yang terbaik yang telah ditonjolkan oleh nabi yang bukan sahaja sebagai seorang ahli ibadat yang tawadhu’, pendakwah yang cekal, ketua keluarga yang penyayang, ahli masyarakat yang sopan, ketua tentera yang bijak malah sebagai pemimpin negara yang hebat. Jangan sekali-kali memisahkan cara hidup nabi dalam setiap kehidupan dengan hanya melihat nabi sebagai pendakwah yang tidak berpolitik atau hanya memakmurkan masjid tidak terlibat dalam mengurus negara. Kewafatan nabi bukan bererti berakhirnya dakwah Islam sebagaimana permusuhan terhadap Islam terus berlangsung hingga hari qiamat. Jahiliah yang pernah dibanteras oleh nabi akan kembali subur semula akibat gagalnya sistem Islam dilaksanakan atas muka bumi ini. Jatuh bangun, maju mundur, bahagia derita, merdeka dijajah umat Islam bergantung kepada kejayaan atau kegagalan dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Nabi dan kepimpinan Islam yang berjaya sebelum ini telah mengubah jahiliah kepada Islam sedangkan kita yang terkial-kial mencari kebahagiaan dan kegemilangan akibat membuang Islam dengan mengambil kembali jahiliah

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Ketika menyingkap tentang kepimpinan yang berjaya maka bermula daripada pemimpin mesti memiliki segala sifat yang terpuji antaranya Sidiq iaitu benar dalam percakapan, benar dalam tindakan. Beradanya kita pada akhir zaman di mana banyak keadaan menjadi terbalik sehingga yang baik dipandang jahat, penipu dipandang jujur, orang paling rosak akhak dijadikan pemimpin. Akhirnya berlaku rompakan demi rompakan terhadap harta rakyat disamping rasuah dan pecah amanah dijadikan budaya hidup sehingga meletakkan negara semakin tinggi hutang yang mendekatkan kepada bankrap. Namun begitu pembohongan dengan lakonan yang hebat melalui TV, radio dan media massa yang digunakan semaksima yang mungkin dalam menyembunyikan masalah pecah amanah, rasuah sehingga rakyat terus tertipu dan terpedaya. Rakyat digula-gulakan dengan habuan yang sedikit sehingga tidak menghirau lagi rompakan harta rakyat yang begitu besar. Ingatlah amaran nabi s.a.w dalam suatu hadis:

إِيَّاكُم وَالْكَذِبَ فَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَلاَ يَزَالُ الْرجل يَكْذِبُ وَيَتَحَرَّى الْكَذِبَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ كَذَّاباً – رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : Berhatilah kamu dengan penipuan. Sesungguhnya penipuan membawa kepada maksiat dan maksiat membawa kepada neraka. Seseorang itu akan berterusan dan bersunguh-sungguh menipu sehinggalah dia dicatatkan sebagai penipu

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 58 Surah an-Nisa’:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Sifat yang wajib ada pada pemimpin juga ialah amanah dengan menjauhi pengkhianatan terhadap tanggungjawab yang dipikul kerana meyakini bahawa setiap apa yang dilakukan bakal ditanya di Mahkamah Allah di padang mahsyar nanti. Sifat amanah akan membawa pemimpin untuk berlaku adil dan telus dalam tindakan. Ketiadaan amanah menyebabkan kezaliman semakin meluas sehingga rakyat yang mencuri alat dapur kerana kesempitan hidup diberkas sedangkan perompak wang negara berjuta-juta terus hidup bebas. Rakyat yang melakukan rasuah sedikit diambil tindakan sedangkan orang berkedudukan yang melakukan rasuah terus dibiarkan. Akhirnya terjadi sebagaimana suatu peristiwa yang menggemparkan negara apabila seorang bekas imam bertindak melempar kasut ke arah hakim kerana tidak berpuas hati dengan layanan kehakiman sehingga dijatuhkan hukuman penjara sedangkan masalah sebenar yang dibangkitkan oleh bekas imam tersebut berkenaan penyelewengan wang masjid tidak dihirau. Ingatlah kita bagaimana kedudukan seorang pemimpin bukan untuk memperbanyakkan harta peribadi dan mengabaikan tanggungjawab terhadap orang bawahan sebagaimana pesanan penting yang pernah diungkapkan oleh Sayyidina Abu Bakar dengan katanya : “Amanah adalah harta kekayaan sebenar hasil daripada keimanan yang teguh, ia adalah sifat sekalian kekasih Allah. Maka jadikanlah amanah sebagai perhiasan iman, jauhi kecurangan dan pangkat kemegahan kerana ia akan membinasakan kamu seperti umat terdahulu yang binasa.”

Memandangkan perlantikan pemimpin daripada kalangan orang yang amanah maka kita sebagai rakyat wajib amanah dalam memilih pemimpin agar kepimpinan dan hasil mahsul Negara tidak disalah urus yang membawa kepada kerosakan. Pilihlah pemimpin yang sentiasa menangis kerana takut kepada Allah jika gagal melaksanakan amanah kepimpinan bukannya memilih pemimpin yang menangis untuk menagih simpati untuk terus menjadi pemimpin dalam meneruskan pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diberi.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sifat terpuji lain yang wajib ada kepada pemimpin ialah Fathonah iaitu bijaksana di mana jika untuk berniaga, mengurus keluarga, mengurus syarikat wajib ada ilmu apatah lagi untuk mengurus negara. Kebijaksanaan yang ada membolehkan pemimpin membawa rakyat jelata bukan sahaja nikmat keamanan di dunia dengan sistem Islam malah apa yang lebih penting untuk meraih kebahagiaan berkekalan di akhirat nanti. Pemimpin yang bijaksana sentiasa berfikir macamana mahu melaksanakan seluruh sistem Islam dalam kehidupan manakala pemimpin yang tidak bijak akan sentiasa berfikir bagaimana mahu mengaburi rakyat untuk terus mengagungkan sistem penjajah. Kita begitu bimbang bila umat Islam boleh mengeluarkan kenyataan bahawa hukum hudud adalah rekaan ahli feqah bukannya datang daripada al-Quran. Orang seperti ini berfikiran seperti Orientalis barat yang mengatakan bagaimana fardhu haji hanya rekaan kerajaan Arab Saudi untuk menarik ramai pelancong. Malah kenyataan tidak melaksanakan hukum Hudud bagi menjaga Maqasid Syariah meletakkan seolah-olah hukum Allah gagal menjaga agama, akal, nyawa, harta, keturunan daripada diceroboh. Kita begitu marah bila ada pihak tidak bertanggungjawab meletakkan kepala babi dalam masjid, kita mengutuk perbuatan biadap tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membakar al-Quran di Afghanistan, kita mengecam akhbar The Star menyiarkan gambar artis luar negara Erykah yang mempunyai tatoo nama Allah maka kita juga wajib bangun menyanggah sebarang penghinaan terhadap sistem Islam terutama bila ia dilakukan oleh umat Islam sendiri. Oleh itu antara kewajipan yang dilakukan oleh pemimpin yang bijaksana adalah memperkasakan ilmu Islam kepada rakyat kerana manusia akan memusuhi apa yang mereka tidak tahu disamping pemimpin wajib mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menghina Islam. Ingatlah suatu pesanan besar bagaimana ikatan atau simpulan Islam akan dirungkai satu demi satu bermula dengan pengabaian terhadap solat lima waktu berakhir dengan menyisihkan sistem Islam yang lain termasuk politik, ekonomi dan perundangan Islam. Begitu juga wasiat terpenting yang pernah diungkapkan oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w sebelum meninggalkan umatnya selama-lamanya ialah

رواه أبو دأود عن علي رضي الله عنه قال: كَانَ  آخِرُ كَلاَمِ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وسلم: الصَّلاَة ُالصَّلاَة اتَّقُوْا اللهَ  فِيْمَا مَلَكَتْ  أَيْمَانُكُمْ

Maksudnya: Adalah kalimah terakhir yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w : Sembahyang, sembahyang! Takutkan sekalian kamu kepada Allah pada apa yang dimiliki oleh tangan-tangan kanan kamu (daripada zakat)

2 perkara besar yang diperingatkan oleh nabi iaitu sembahyang dan zakat merupakan suatu yang begitu penting dalam memastikan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia berjalan dengan baik bagi menjamin keberkatan dan ketenangan hidup. Oleh itu kewajipan yang terletak atas bahu pemimpin juga bukannya menyerah kepada ibubapa sahaja iaitu usaha ke arah melahirkan umat yang sentiasa menjaga solat dan menunaikan zakat kerana ia juga merupakan asas kepada kelangsungan kepimpinan yang bertaqwa yang selamat di dunia dan akhirat sebagaimana jaminan Allah melalui ayat 41 Surah al-Hajj:

الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ