• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3











  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,678,031 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 6,416 other followers

19. RASULULLAH S.A.W DAN TARBIAH


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ ….

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 2 surah al-Jumaat :

هو الذى بعث فى الأميين رسولا منهم يتلوا عليهم ءايــته ويزكيهم ويعلمهم الكتب والحكمة وإن كانوا من قبل لفي ضلل مبين

Maksudnya : Dialah yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf seorang rasul di kalangan mereka, yang membaca ayat-ayatNya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajar kepada mereka tentang Kitab dan segala hukum-hakam. Dan sesungguhnya mereka sebelum ini benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata.

Kalimah berzanji dan selawat ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w terus dialun bagi memeriahkan lagi ketibaan Rabiul Awwal yang pernah melakarkan peristiwa bersejarah dengan kelahiran bayi bertuah pada tahun Gajah di Kota Mekah oleh Siti Aminah  ibu yang tabah setelah kematian suaminya Abdullah. Kelahiran nabi pada awal tahun Gajah di mana pada tahun tersebut, tentera bergajah pimpinan Abrahah datang menyerang Mekah bertujuan meruntuhkan Ka’abah. Datuk nabi iaitu Abdul Muttalib ketika bertemu Abrahah bagi menuntut 200 ekor unta yang dirampas oleh Abrahah telah disoal tentang tindakannya yang bersungguh menuntut unta bukannya bertegas dalam menahan tentera bergajah daripada merobohkan Ka’abah. Lalu Abdul Muttalib dengan tegas menyatakan bahawa beliau adalah pemilik unta manakala Ka’abah mempunyai pemiliknya yang sentiasa menjaganya daripada sebarang pencerobohan. Setelah kembali ke Mekah lalu Abdul Muttalib bersama beberapa orang lagi pembesar Quraisy telah berdoa kepada Allah di sisi Ka’abah agar dilindungi Ka’abah lalu Allah telah menghantarkan tenteranya iaitu burung Ababil sehingga tentera bergajah Abrahah dihancurkan. Di sini kita mesti yakin bahawa pertolongan Allah sentiasa bersama mereka yang benar-benar berjuang untuk meninggikan agama Allah dan musuh walau pun pada zahirnya nampak kuat akan dihancurkan oleh Allah dengan mudah. Ingatlah bahawa doa orang yang dizalimi adalah doa yang dimaqbulkan.

 

Sidang Jumaat yang dihormati,

            Keberkatan Allah telah melimpah ke atas nabi semenjak kecil lagi di mana ketika qabilah bani Sa’ad yang terkenal dengan penyusuan dan kefasihan bahasa datang ke Mekah lalu ditawarkan baginda untuk disusui oleh tetapi  mereka menolak termasuk Halimah Sa’diyah sendiri kerana mereka hanya menerima bayi yang bapanya terkenal sedangkan nabi adalah anak yatim yang tidak mempunyai harta yang banyak. Namun begitu Allah telah meniupkan perasaan kasih ke dal;am hati Halimah Sa’diyah dan mengilhamkan agar diambil nabi untuk disusukan. Akhirnya setelah gagal mendapatkan bayi lain untuk  disusukan lalu Halimah Sa’diyah mengambil nabi untuk dibawa pulang. Kehidupannya selepas itu terus berubah dimana tanamannya menjadi subur, binatang ternakannya telah membiak dan mengeluarkan susu yang banyak. Setelah genap 2 tahun lalu dihantar nabi kepada Siti Aminah dan dia meminta agar dibenarkan untuk terus menjaga nabi lalu Siti Aminah membenarkan Halimah Sa’diyah untuk terus menjaga nabi kerana bimbang dengan keadaan Kota Mekah yang begitu berat masalah sosialnya. Sehinggalah nabi berumur 4 atau 5 tahun maka 2 malaikat telah datang untuk membelah dadanya bagi membersihkan hatinya dengan air zamzam. Halimah Sa’diyah yang bimbang tentang keadaan nabi terus membawanya bertemu Siti Aminah lalu dijelaskan mengenai perkara itu lalu dengan tenang Siti Aminah menyatakan bahawa bukan syaitan yang datang membelah dada anaknya tetapi ia merupakan kehendak Allah memandangkan anaknya itu merupakan orang yang mulia berdasarkan mimpinya ketika mengandung nabi di mana dilihat cahaya terang benderang yang keluar telah menyinari seluruh tanah arab. Inilah ia antara keberkatan yang melimpahi nabi di mana dakwah Islam yang dibawanya bermula dari tanah arab terus berkembang sehingga serata dunia disamping pengajaran bagaimana hati merupakan anggota yang penting ke arah memperelok akhlak di mana jika rosak hati maka rosaklah diri kita. Bila hati dijangkiti dengan penyakit tamakkan dunia maka akan tergadailah hari akhirat.

 

 

 

Sidang Jumaat yang dikasihi,

            Nabi menerima tarbiah daripada Allah secara langsung sehingga lahir dengan akhlak yang tinggi. Antaranya Rasulullah s.a.w ketika berumur 6 tahun telah diuji dengan kematian ibundanya Aminah di Abwa’. Setelah beberapa tahun berada dalam jagaan datuknya Abdul Muttalib maka ketika nabi berumur 8 tahun datang pula ujian dengan kematian datuknya dan penjagaannya selepas itu berpindah kepada bapa saudaranya Abu Tolib. Ujian ini begitu besar bagi seorang anak kecil yang begitu memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya dalam menjalani proses kedewasaan. Tarbiah ini menimbulkan kasih sayang nabi kepada anak yatim dan orang miskin sehingga baginda lahir sebagai pemimpin Agong yang dikasihi oleh setiap lapisan masyarakat. Tidak pernah timbul soal mementingkan kemewahan diri sendiri sehingga setelah kewafatan ada baju perang milik nabi masih tergadai di kedai seorang yahudi. Kesederhanaan yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w dicontohi oleh para sahabat dan beberapa pemimpin Islam yang lain seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang telah membahagikan seluruh barangan di istananya apabila tiada barangan lain untuk dibahagikan kepada rakyat miskin. Menjadi suatu perkara yang menakjubkan apabila dalam masa 2 tahun pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz maka masalah kemiskinan berjaya diselesaikan sehingga wang di Baitul Mal penuh dan hasil kutipan zakat bertimbun tidak habis dibahagikan. Khalifah memerintahkan agar wang itu diberi kepada pemuda yang mahu berkahwin. Apabila  ada seorang gabenor yang menulis surat kepada khalifah untuk meminta wang tambahan kerana peruntukan tidak mencukupi lalu Khalifah Umar bin Abdul Aziz mengutus surat yang memberi kata dua yang berbunyi samada engkau berlaku adil atau pun engkau akan diazab. Ini adalah kerana jika gabenor itu berlaku adil maka wang akan mencukupi atau pun lebih kerana rakyat akan sentiasa membantu kerajaan yang berlaku adil kepada mereka. Sebaliknya wang peruntukan tidak akan mencukupi jika ia disalahgunakan sehingga menafikan hak orang lain.

            Perkara ini berbeza dengan keadaan kita hari ini di mana kebanyakan pemimpin yang dahulunya susah tetapi setelah menjadi pemimpin maka mereka mampu hidup mewah dimahligai yang indah hasil rompakan terhadap wang rakyat. Rakyat jelata turut terpengaruh dengan gelagat pemimpin sehingga mereka berusaha dalam mencari kekayaan untuk turut hidup mewah sebagaimana pemimpin mereka sebagai membenarkan lagi sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan bahawa antara tanda qiamat ialah orang miskin akan membina bangunan yang tinggi. Kadang-kadang mereka terlibat dengan benda haram seperti rasuah, riba dan ramai juga yang terpesona dan terpedaya dengan skim cepat kaya sehingga suasana mengejar kemewahan dunia telah memenuhi ruang pemikiran yang menyebabkan banyak kewajipan agama telah diabaikan. Banyak masa dihabiskan untuk mengejar dunia sehingga masa untuk beribadat bagi menambahkan bekalan akhirat semakin hari semakin sedikit.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Keseronokan dalam mengadakan majlis bacaan berzanji dan selawat janganlah sekadar untuk memuji keelokan akhlak Rasulullah s.a.w sahaja tetapi ia mesti disertakan dengan pengamalannya dalam kehidupan seharian. Kita juga mesti bersungguh dalam melaksanakan segala sunnah Rasulullah s.a.w di mana sunnah yang paling besar ialah menegakkan Daulah Islamiah bagi menjamin keadilan Islam mampu terlaksana dalam semua aspek kehidupan bukannya dalam masalah ibadat khusus sahaja. Jangan kita jadikan sambutan Maulidurrasul yang disambut sebagaimana yang dilakukan oleh Abu Lahab yang memerdekan hambanya Suwaibah kerana terlalu gembira dengan kelahiran nabi Muhammad tetapi dialah orang yang paling kuat menentang Islam apabila nabi mula menyampaikan dakwah Islam. Jangan pula kita jadikan diri kita sebagaimana yahudi yang mengenali sifat Rasulullah s.a.w sebagaimana mereka mengenali anak sendiri tetapi merekalah golongan pengkhianat yang cuba membunuh nabi. Ini dapat kita lihat ketika nabi berusia 12 tahun telah keluar menuju ke Syam untuk berniaga bersama dengan Abu Tolib. Setelah tiba di Busra rombongan ini telah berjumpa dengan Rahib Buhaira lalu dia melihat tapak tangan Rasulullah s.a.w. Selepas itu dia meminta agar nabi segera dibawa pulang ke Mekah agar tidak dijumpai oleh yahudi kerana mereka pasti akan membunuhnya. Kita tidak mahu menjadi sebagaimana yahudi di mana kita semua tahu mengenai diri Rasulullah s.a.w dan juga segala ajarannya tetapi kitalah yang menjadi golongan yang tidak mengamalkan ajaran Rasulullah malah menentang hukum Islam yang tidak bersesuaian dengan nafsu kita.

Firman Allah dalam ayat 2  surah Muhammad :

والذين ءامنوا وعملوا الصــلحت وءامنوا بما نزل على محمد وهو الحق من ربهم كفر عنهم سيئاتهم وأصلح بالهم

Maksudnya : Dan orang-orang beriman dan mengerjakan amalan soleh serta beriman kepada apa yang diturunkan kepada nabi Muhammad dan itulah kebenaran daripada Tuhan mereka,Allah akan menghapuskan segala kesalahan mereka dan memperbaiki keadaan mereka

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Satu Respons

  1. terima kasih, saya sangat terbantu dalam membuat naskah khutbah jum’at, kalo bisa lebih banyak lagi variasi bahasan-bahasan yang up to date dalam dunia Islam

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: