• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3








  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,721,504 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 9,897 other followers

70. SANJUNGI RASULULLAH & JUNJUNGI AGAMA ALLAH


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 6-11 surah ad-Duha:

ألم  يجدك يتيما فئاوى ووجدك ضالا فهدى ووجدك عائلا فأغنى فأما اليتيم فلاتقهر وأما السائل فلا تنهر وأما بنعمة ربك فحدث

Maksudnya :  Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia memberikan perlindungan? Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayat petunjuk (dengan wahyu Al-Quran)? Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Dia memberikan kekayaan? Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya. Adapun orang yang peminta bantuan maka janganlah engkau tengking herdik. Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.

            Rabiul Awwal hampir tiba ke penghujungnya di mana tidak lama lagi ia bakal meninggalkan kita buat sekian kalinya namun suara meriah dalam memuji kehebatan dan kemuliaan nabi Muhammad s.a.w terus berkumandang. Umat Islam terus melahirkan rasa syukur di atas pengutusan nabi Muhammad s.a.w sebagai rasul akhir zaman yang berjaya memecah benteng assobiyyah berdasarkan bangsa, budaya, bahasa dan negara. Nama nabi Muhammad s.a.w terus disebut dan ajarannya terus diikut oleh umat Islam tidak kira di mana mereka berada walau pun baginda telah lama meninggalkan kita. Nama nabi Muhammad s.a.w terus disanjung dan perjuangan Islam terus dijunjung walau pun adanya tangan-tangan jahat musuh Islam yang cuba bersunguh-sungguh untuk memadamkannya. Al-Quran yang merupakan mukjizat terbesar dan kekal terus dijaga oleh Allah daripada diselewengkan, hadis nabi turut dikawal daripada direka dan sirah perjalanan hidup nabi turut dijauhi daripada anasir penipuan. Pengutusan nabi daripada kalangan manusia bersesuaian dengan tugas manusia itu sendiri sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Allah tidak melantik malaikat yang hanya dianugerahkan akal sebagai nabi kerana payah untuk diikuti oleh manusia yang mempunyai akal dan nafsu. Oleh itu umat manusia tidak mempunyai sebarang alasan untuk menolak ajaran Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w kerana setiap perbuatan nabi merupakan contoh dan ikutan terbaik dalam mencari keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

            Kejayaan Rasulullah s.a.w yang menghilangkan kekufuran umat manusia dengan iman yang kukuh telah dinodai oleh umat Islam hari ini yang meninggalkan perundangan Islam yang menyebabkan umat manusia kembali kufur setelah beriman ditambah pula dengan adanya usaha dalam mewujudkan suatu pertubuhan dalam menyamakan kedudukan semua agama dan membenarkan kebebasan untuk murtad di negara ini. Kejayaan Rasulullah s.a.w dalam menghilangkan amalan jahiliah seperti menanam anak perempuan hidup-hidup dengan ajaran Islam turut dinodai oleh umat Islam yang memilih perundangan ciptaan manusia yang sesat menyebabkan amalan yang lebih buruk iaitu membuang dan membunuh anak lelaki dan perempuan terus meluas. Selagi umat Islam lebih memilih kekufuran daripada iman serta memilih cara hidup jahiliah daripada Islam maka selama itulah kita akan dihinakan oleh Allah.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Melalui catatan sejarah maka kita dapati bagaimana kehidupan Rasulullah s.a.w telah dikawal oleh Allah semenjak masih kecil lagi bagi menjamin dakwahnya apabila dilantik menjadi nabi lagi rasul mudah diterima oleh masyarakat manusia. Walau pun hidup dalam suasana masyarakat jahiliah yang sesat bertuhankan nafsu namun diri Rasulullah s.a.w terus dijaga oleh Allah. Rasulullah s.a.w tidak pernah terlibat dalam penyembahan berhala, minum arak, berjudi malah tidak pernah berhibur dengan hiburan yang melalaikan walau pun pernah nabi semasa remajanya cuba menghadiri suatu majlis perkahwinan yang diadakan acara hiburan namun nabi tertidur sehingga tamat majlis. Rasulullah s.a.w turut bersifat amanah sehingga di gelar “ al-Amin” serta sentiasa menjaga pergaulan dan percakapan seharian. Didikan dan tarbiah daripada Allah ini akan menjadi dalil dan hujah yang kuat dalam melaksanakan tugas sebagai nabi lagi rasul nanti.

            Rasulullah s.a.w turut dididik dengan ujian bagi mematangkan pemikiran dan tindakannya di mana sejak kecil lagi nabi telah kehilangan ayahandanya Abdullah yang wafat di Madinah semasa bondanya Siti Aminah baru mengandung nabi dua bulan. Ketika nabi masih memerlukan belaian kasih sayang seorang ibu maka sekali lagi nabi diuji dengan kawafatan ibundanya Siti Aminah dalam perjalanan pulang dari melawat makam ayahandanya Abdullah iaitu di Abwa’. Penjagaan nabi yang kini yatim piatu diambil alih oleh datuk kesayangan Abdul Muttalib. Allah menguji lagi nabi dengan kematian datuknya itu ketika baru berusia lapan tahun di mana pemeliharaan baginda berpindah kepada bapa saudaranya Abu Tolib. Cubalah kita bayangkan bagaimana nabi yang bakal melaksanakan tugas Islam yang begitu besar dan berat telah diuji dengan kehilangan ahli keluarga yang begitu penting dalam mengasuhnya ketika usianya begitu kecil. Allah Maha Penentu segala-galanya di mana setiap sesuatu yang dibuat ada di sana hikmatnya yang tersendiri. Ujian kepada kewafatan ahli keluarga tercinta telah banyak melahirkan nabi sebagai seorang yang cepat matang dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain. Melalui ujian ini juga mampu mendidik jiwa nabi agar mengasihani terhadap anak yatim apatah lagi ketika menjadi pemimpin maka ramai di kalangan rakyatnya terdiri daripada anak yatim terutama mereka yang kehilangan ayah yang gugur semasa mempertahankan Islam. Jika Rasulullah s.a.w memberi layanan yang baik kepada anak yatim maka kita pada hari ini mestilah melakukan perkara yang sama kepada anak yatim sekitar kita atau pun menghulurkan bantuan kepada mangsa perang yang kehilangan tempat bergantung terutama di Palestin, Iraq dan terbaru di Aceh, Indonesia.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

            Rasulullah s.a.w turut diuji dengan kemiskinan di mana ibundanya Siti Aminah setelah kewafatan ayahanda tercinta Abdullah maka kehidupannya agak susah sehingga pada mulanya tiada perempuan yang mahu menyusukan nabi setelah menyedari keluarga baginda miskin. Namun akhirnya Halimah Sa’adiah yang tidak mendapati kanak-kanak lain lagi untuk disusui telah bersetuju untuk mengambil nabi. Tanda kenabian nabi Muhammad s.a.w telah terserlah apabila pelbagai peristiwa pelik berlaku kepada keluarga Halimah Sa’adiah antaranya binatang peliharaannya yang selama ini kurus menjadi gemuk dan mengeluarkan susu yang banyak. Ketika berada dalam asuhan Halimah lah maka dada Rasulullah s.a.w telah dibelah oleh dua malaikat bagi membersihkan hatinya daripada penyakit dunia dan syaitan bagi persediaan awal kepada kenabian. Hati merupakan raja segala anggota di mana jika hati baik maka manusia akan baik tetapi jika hati jahat maka manusia turut bersikap jahat. Dalam menjaga hati maka umat Islam mestilah sentiasa mengingati Allah sepanjang masa. Umat Islam yang mempunyai hati yang sentiasa ingat dan dekat kepada Allah sahaja lah yang akan diberikan pertolongan dan kemenangan oleh Allah di dunia dan akhirat manakala umat Islam yang hatinya sentiasa lalai daripada mengingati Allah maka ia mudah dikalahkan oleh musuh terutama syaitan.

عن ابن عباس  رضى الله عنهما قال : قال الرسول e  : الشَيْطَانُ جَاثِمٌ عَلَى قَلْبِ ابْنِ آدَمَ فَإِذَا ذَكَرَ الله َتَعَالَى خَنَسَ وَإِذَا غَفَلَ وَسْوَسَ    ( أخرجه البخاري مُعَلَّقًا )

Daripada Ibnu ‘Abbas katanya : Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : Syaitan itu duduk mencangkung di atas hati manusia. Apabila manusia menyebut nama Allah maka ia akan mengundur diri dan apabila manusia lalai maka ia akan membisikkan kejahatan.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Lahirnya nabi Muhammad s.a.w sebagai seorang buta huruf yang tidak tahu membaca dan menulis bukanlah melemah dan mencacatkan keadaan baginda yang bakal menjadi nabi lagi rasul sebaliknya ianya membenarkan lagi kenabiannya. Antara sebab kepada buta hurufnya nabi ialah bagi membuktikan lagi kenabiannya dan mukjizat kehebatannya di mana walau pun tidak tahu membaca dan menulis tetapi apabila diturunkan sesuatu wahyu maka nabi dapat mengingatinya dengan baik sebelum disampaikan kepada umatnya tanpa menambah dan mengurangkannya walau sedikit pun dengan pertolongan daripada Allah. Jika nabi Muhammad s.a.w  bukannya nabi maka dengan keadaannya yang buta huruf sudah pasti dia tidak dapat mengingati ayat Allah dengan baik. Ini dijelaskan oleh Allah dalam  ayat 6 surah al-A’la :

سنقرئك فلا تنسى

Maksudnya : Wahai Muhammad! Kami akan bacakan al-Quran kepadamu maka engkau tidak akan lupa

            Keadaan Rasulullah s.a.w yang buta huruf yang menyebabkan baginda tidak mampu membaca dan menulis Kitab yang terdahulu daripada al-Quran serta tidak pernah belajar daripada cerdik pandai dan rahib pada masa itu maka ia tentunya menjadi hujjah bahawa al-Quran adalah mukjizat dan buta hurufnya nabi merupakan suatu kelebihan dalam menjawab tohmahan liar musuhnya yang mengatakan bahawa nabi mereka-reka al-Quran dan pandai kerana belajar daripada rahib pada masa itu. Al-Quran menjelaskan keadaan ini melalui ayat 48 surah al-‘Ankabut :

وما كنت تتلوا من قبله من كتـب ولا تخطه بيمينك إذا لارتاب المبطلون

Maksudnya : Dan engkau tidak pernah membaca sebelumnya (al-Quran) sesuatu Kitab pun dan engkau tidak pernah menulis sesuatu Kitab dengan tangan kananmu. Sekiranya engkau pernah membaca dan menulis maka benar-benar ragulah orang yang mengengkarimu.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebelum kenabiannya nabi Muhammad s.a.w turut memelihara kambing dan sentiasa berbangga dengan kerjanya itu dengan menyatakan bahawa kebanyakan nabi memelihara kambing. Jika kita bercakap tentang kerja nabi iaitu memelihara kambing kepada masyarakat yang dihidapai penyakit kebendaan maka mereka akan mengatakan bahawa pekerjaan ini merugikan masa dan tidak menguntungkan. Umat Islam hari ini ramai yang merasa hina untuk menjadi pengembala binatang ternakan sehingga negara umat Islam begitu bergantung kepada binatang dan daging import untuk kegunaan mereka. Apa yang peliknya ada umat Islam di negara ini merasa jijik menjadi pengusaha lembu dan kambing tetapi dalam masa yang sama tidak merasa berdosa menjadi pengusaha babi. Jika tidak kerana bala Allah dengan penyakit JE maka ramai lagi umat Islam yang menjadi kaya raya kerana menternak babi. Akhirnya Malaysia yang dilaungkan sebagai sebuah negara Islam menjadi antara pengeluar utama daging babi sehingga mampu dieksport keluar sedangkan dalam masa yang sama terpaksa mengimport daging lembu dari luar. Setelah babi mendatangkan penyakit JE dan ditambah dengan penyakit sindrom pernafasan teruk ( SARS ) yang terbaru maka sedarlah wahai umat Islam bahawa lebih banyak hasil halal yang diperlukan daripada hasil haram. Hasil halal menyembuh penyakit sedangkan hasil haram mendatangkan penyakit. Ambillah yang halal dan tinggallah yang haram dalam mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Firman Allah dalam ayat 128 dan 129 surah at-Taubah

لقد جاءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتم حريص عليكم بالمؤمنين رؤوف رحيم  .  فإن تولوا فقل حسبي الله لاإله إلا هو  عليه توكلت وهو رب العرش العظيم  .

Maksudnya : Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin. Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah : “Cukuplah Allah bagiku, tiada tuhan selain Dia, hanya kepadaNya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung”.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: