• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3








  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,721,504 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 9,897 other followers

68. MAULIDURRASUL S.A.W PEMANGKIN KESATUAN UMMAH


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  65 surah al-Anfal:

يـــأيها النبي حرض المؤمنين على القتال إن يكن منكم عشرون صــبرون يغلبوا مائتين وإن يكن منكم مائة يغلبوا ألفا من الذين كفروا بأنهم قوم لايفقهون

Maksudnya :  Wahai nabi! Semarakkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antara kamu maka mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang-orang kafir disebabkan orang-orang kafir itu merupakan kaum yang tidak mengerti

            Kita kini sedang menyambut ketibaan bulan Rabiul Awwal yang telah mencatatkan pelbagai peristiwa penting dalam sejarah umat Islam terutama sekali saban tahun apabila tibanya bulan Rabiul Awwal maka seluruh umat Islam sedunia sama-sama mengingati tarikh kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w rasul bertuah, putera kepada Abdullah dan Siti Aminah pada Tahun Gajah di bumi Mekah sebagai perubah kepada dunia yang kelam dalam kegelapan jahiliah. Kelahiran dan kebangkitan nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi lagi rasul akhir zaman telah membawa sinar bahagia kepada umat yang selama ini ditindas dan bermusuhan antara satu sama lain di mana yang kuat memerintah yang tidak berdaya, yang kaya memeras yang miskin, yang gagah menindas yang lemah. Perundangan terletak pada pandangan nafsu bukannya wahyu sehingga dunia menjadi bercelaru kehilangan pedoman dan ketiadaan sistem yang mampu dijadikan tempat rujukan untuk berlindung. Kelahiran nabi Muhammad s.a.w sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam semakin terserlah dengan penghapusan kepada semangat kebangsaan sempit bersesuaian dengan pengutusan nabi Muhammad s.a.w itu sendiri sebagai rasul pembawa agama Islam untuk semua bangsa bukannya dikhususkan kepada sesuatu bangsa tertentu sahaja sebagaimana nabi-nabi sebelum ini. Kekuatan Islam dapat dilihat dengan jelas apabila umatnya bersatu dalam satu aqidah, mengadap ke arah satu Ka’abah, mengguna pakai seluruh sistem berdasarkan satu al-Quran kalimah Allah. Manakala kelemahan umat Islam dapat dilihat juga dengan jelas apabila aqidah umat Islam dipecahkan sehingga ramai yang mengambil ideologi ciptaan kuffar sebagai pedoman hidup serta ramai di kalangan umat Islam menyuburkan kembali semangat kebangsaan yang sempit yang menyebabkan jurang pemisah mula timbul kembali setelah dihapuskan oleh Rasulullah s.a.w. Disamping itu umat Islam hanya menggunakan al-Quran sebagai bahan bacaan dalam mengejar pahala semata-mata sedangkan segala system yang terkandung dalam al-Quran yang turut melibatkan masalah pemerintahan, perundangan, ekonomi, kemasyarakatan  terus diabaikan dan ada juga menerima pakainya tetapi dalam bab yang berkenan di hati sahaja. Inilah antara penyakit yang merbahaya yang timbul dalam masyarakat Islam sehingga mereka dihinakan oleh Allah dengan pelbagai penyakit termasuk peperangan.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

            Apapila menyebut tentang tahun kelahiran Rasulullah s.a.w sebagai seorang rasul berjasa, pemimpin bijaksana, pendakwah setia, ketua keluarga mulia maka ia tidak dipisahkan daripada turut mengingati peristiwa bersejarah apabila Ka’abah Baitullah di Kota Mekah tempat tumpuan ummah dalam beribadat hampir diroboh oleh tentera bergajah pimpinan Abrahah  akibat daripada perasaan hasad dengki yang menguasai diri. Seorang pemimpin angkuh merasakan kedudukannya masih belum sempurna di singgah sana kerajaan Yaman selagi ramai umat manusia terus tertumpu ke Kota Mekah menziarahi Ka’abah rumah Allah walau pun beliau telah membina dan mewujudkan banyak pembangunan di Yaman untuk menarik perhatian ramai. Oleh itu tindakan nekad diambil iaitu Ka’abah mesti diruntuhkan di mana suatu bala tentera yang besar dan kuat dikerahkan menuju ke Kota Mekah. Walau pun cuba dihalang tetapi keangkuhan dan kekuatan tentera bergajah pimpinan Abrahah  terus mara. Umat manusia pada masa itu termasuk kaum quraisy pimpinan Abdul Muttalib datuk nabi hanya mampu melihat sambil berlindung disebalik bukit agar tidak menjadi mangsa amukan tentera penceroboh yang ganas. Dalam masa yang begitu cemas masih terdetik di hati Abdul Muttalib untuk pergi bersama di Ka’abah bagi memanjat doa meminta pertolongan daripada Allah Yang Maha Kuasa agar menyelamatkan Ka’abah. Keyakinan bahawa Ka’abah ada pemiliknya iaitu Allah dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada adanya suatu kuasa yang lebih kuat dan hebat daripada tentera bergajah Abrahah iaitu kuasa Allah yang menyebabkan Allah menurunkan pertolongan dengan dihantarkan burung-burung kecil yang melontar batu beracun yang membawa kepada hancurnya kulit tentera Abrahah dan kemudiannya mereka mati dalam penuh kehinaan di dunia dan di akhirat nanti bakal menerima seksaan yang lebih dahsyat. Kekuatan Ka’abah sebagai punca kepada penyatuan  ummah terus berlangsung sehingga hari qiamat. Sebab itulah dengan pelbagai kekurangan dan kelemahan umat Islam yang berpecah tetapi masih ada sinar harapan untuk kembali disatukan terutama setiap tahun ramai di kalangan umat Islam yang mewakili bangsa dan negara datang berkunjung Baitullah di Mekah dalam menunaikan ibadat fardhu haji yang sedikit sebanyak dapat meniupkan semula ruh persaudaraan berdasarkan aqidah yang satu. Maka tidak hairanlah adanya suara bacul daripada pengganas yahudi mencadangkan agar Ka’abah dibom bagi memastikan umat Islam terus berpecah  tanpa ada di sana suatu titik untuk kembali bercantum.

            Tindakan tentera Abrahah adalah sama dengan tindakan Amerika pada hari ini yang telah dihasut oleh yahudi dalam menentang umat Islam. Akibat bimbang umat Islam akan kembali kepada ajaran Islam yang menyeluruh yang boleh membawa kepada kurang bergantungnya umat Islam kepada system ciptaan kuffar terutama yahudi serta betapa tergugatnya kedudukan negara haram Israel jika umat Islam kembali bersatu atas dasar iman dan taqwa menentangnya maka suatu usaha yang rapi berbentuk serangan saraf dan fizikal telah dilancarkan secara besar-besaran agar negara umat Islam dapat dijajah kembali. Kuffar telah melihat hasil penjajahan sebelum ini telah berjaya memecah belahkan umat Islam serta menjauhkan mereka daripada ajaran Islam yang sebenar. Kuffar berjaya mengaut keuntungan hasil perpecahan umat Islam dengan mengaut hasil bumi yang ada serta hasil daripada penggunaan kepada system ciptaan mereka seperti kapitalis, sosialis dan komunis. Dendam dan dengki kuffar terutama yahudi terhadap Islam terus membara dan bila ia meletus maka ramailah rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman. Cuma kekuatan Amerika adakah terus dapat bertahan bagi meneruskan keganasan atau akan dihancurkan penuh kehinaan sebagaimana tentera bergajah Abrahah. Kita dapat lihat bahawa dunia sudah tidak dapat menerima keganasan Amerika yang tidak menghormati kawan dan lawan sehingga timbulnya pakatan baru terutama dari segi persenjataan antara Perancis, Jerman dan Russia dalam menangani masalah Amerika yang mahu ianya sahaja yang berkuasa di atas dunia pada hari ini. Keganasan tidak dapat dielakkan apabila ada kuasa besar yang tamak dan bongkak yang bertindak sesuka hati tanpa peraturan dan ia akan hancur lebih cepat sebagaimana hancurnya kuasa Rom dan Parsi sebelum ini akibat perkara yang sama.

           

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Menyedari tentang bahaya dan ruginya perpecahan di kalangan umat Islam yang menyebabkan kita terus dijajah maka kita wajib kembali bersatu atas dasar Islam sebagaimana yang telah dilakukan dengan jayanya oleh Rasulullah s.a.w. Sempena menyambut ketibaan bulan Rabiul Awwal ini maka seluruh umat Islam bukan sahaja menyebut tentang kemuliaan dan kehebatan yang ada pada diri Rasulullah s.a.w tetapi mesti bertindak segera dalam mengikuti segala yang telah dilaksanakan oleh nabi kita dalam mengembalikan semula kegemilangan dan kemuliaan umat Islam. Biarlah perasaan gembira yang kita gambarkan dalam mengadakan sebarang majlis Maulidurrasul sama keadaannya antara perasaan pada zahir dan batin bukannya pada zahir kita begitu gembira menyambut hari kelahiran Rasulullah s.a.w sedangkan pada batinnnya umat Islam sedang menangis hiba akibat dijajah dan diperangi oleh musuh akibat kesilapan dan kesalahan mereka sendiri. Permintaan ulama’ agar amalan dasar kuku besi oleh pemimpin di negara umat Islam perlu  dihentikan segera mestilah disahut dengan penuh ikhlas oleh semua pemimpin agar umat Islam dapat disatukan kembali atas dasar Islam. Tiada gunanya pemimpin  bermati-matian memerangi pejuang Islam dalam negara atas alasan pengganas disamping berusaha menghapuskan pusat pengajian agama, membuang masalah jihad daripada mata pelajaran kerana ini semua akan merugikan umat Islam. Sedarlah bahawa umat Islam lebih mudah dijajah apabila tiada kefahaman yang mendalam terhadap agama Islam dan masalah jihad. Sebenarnya pengajian agama dan masalah jihad bukan penyebab kepada kemunduran, pengangguran dan juga keganasan tetapi agama dan jihad adalah perkara yang menggerunkan musuh Allah terutama Yahudi dan Kristian yang menyebabkan mereka menekan pemimpin negara umat Islam agar segera menghapuskannya. Musuh Allah tidak akan berhenti daripada menyerang umat Islam sekali pun pemimpin telah menghapuskan pengajian agama dan masalah jihad. Oleh itu kurangkan perpecahan antara umat Islam dan tumpukan perhatian untuk bersatu di bawah panji Islam dari semua segi. Jangan sama sekali tunduk kepada kehendak kuffar yang sememangnya sentiasa mencari jalan untuk melagakan umat Islam. Kenyataan seorang yahudi yang menyatakan bahawa hanya 2 agama sahaja yang akan ada di atas muka bumi iaitu yahudi dan Kristian kerana Islam akan dihancurkan lebih-lebih lagi umat Islam sudah lemah di mana dalam setiap peperangan terbaru maka Islam akan kalah. Kata-kata penghinaan ini mesti disahut oleh seluruh umat Islam dengan kembali bersatu atas dasar iman dan Islam serta berkorban dengan seluruh kemampuan yang ada dalam mempertahankan Islam. Islam tidak sama sekali hancur tetapi hanya pejuang Islam yang sentiasa bertukar silih berganti sehingga datangnya kemenangan daripada Allah. Ingatlah kita bahawa jika kita tidak mahu memperjuangkan Islam maka Allah mempunyai orang lain untuk memperjuangkannya dan umat Islam yang tidak mahu berjuang tadi akan dihancurkan oleh Allah dengan penuh kehinaan di dunia dan akhirat.

Firman Allah dalam ayat 39 surah at-Taubah :

إلا تنفروا يعذبكم عذابا أليما ويستبدل قوما غيركم ولاتضروه شيئا والله على كل شىء قدير

Maksudnya : Jika kamu tidak turut serta berangkat untuk berperang nescaya Allah akan menyiksa kamu dengan siksaan yang pedih dan digantikan kamu dengan suatu kaum yang lain dan kamu tidak dapat memberi kemudharatan kepadaNya sedikit pun. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Yakinlah kita bahawa dengan Islam sahaja maka kita mampu meraih kemuliaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Jadikanlah diri kita sebagai pejuang agama Allah bukan penentang Islam. Ingatlah bahawa kita bukan orang pertama dan terakhir yang memperjuangkan Islam sebaliknya kita ialah rantaian kepada perjuangan umat terdahulu dan akan datang. Ingatlah juga bahawa kita bukan orang yang memulakan perjuangan Islam sebaliknya kita adalah penerus dan penyambung kepada tugas yang telah dilakukan oleh para nabi dan rasul serta pejuang Islam sebelum ini. Tiada erti letih dalam berjuang jika kita yakin bahawa perjuangan Islam adalah suci sebaliknya kuffar dan golongan munafik lebih letih menentang pejuang Islam kerana mereka berjuang untuk mendapat habuan dunia berupa takhta dan harta yang semuanya berbentuk sementara. Yakinlah kepada janji pertolongan dan kemenangan daripada Allah. Islam kan subur tatkala kuffar semakin hancur, Islam kan menang ketika kuffar mula keletihan, Islam kan berdiri gagah ketika kuffar semakin lemah, Islam kan kembali merajai dunia ketika kuffar jatuh penuh hina.

            Ingatlah firman Allah   ayat 14 surah as-Sof :

يــأيهاالذين ءامنوا كونوا أنصار الله كما قال عيسى ابن مريم للحواريـــن من أنصارى إلى الله قال الحواريون نحن أنصار الله فـئامنت طائفة من بني إسرائيل وكفرت طائفة فأيدنا الذين ءامنوا على عدوهم فأصبحوا ظــهرين

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Mariam (ketika dia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka jadilah mereka orang-orang yang menang.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: