• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3







  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,720,305 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 9,891 other followers

112. TARBIAH PEMANGKIN KEJAYAAN DAKWAH


 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 128 dan 129 surah at-Taubah

لقد جاءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتم حريص عليكم بالمؤمنين رؤوف رحيم  .  فإن تولوا فقل حسبي الله لاإله إلا هو  عليه توكلت وهو رب العرش العظيم  .

Maksudnya : Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul daripada kalangan kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin. Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah : “Cukuplah Allah bagiku, tiada tuhan selain Dia, hanya kepadaNya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung”.

12 Rabiul Awwal mencatat sejarah gemilang dengan kelahiran seorang bayi yang akhirnya dilantik menjadi nabi lagi rasul bagi mengubah dunia daripada kelam kufur kepada terangnya iman, daripada kezaliman hukum berdasarkan nafsu kepada keadilan system berasaskan wahyu, daripada penindasan jahiliah kepada keluasan Islam. Pengutusan nabi Muhammad s.a.w bersama kitab al-Quran merupakan suatu rahmat bagi sekalian alam di mana dunia yang telah lama gersang daripada turunnya wahyu mula subur kembali, umat manusia yang bergerak tanpa pedoman mula menemui semula sinar kebenaran. Sempena kedatangan bulan Rabiul Awwal buat sekian kalinya mestilah digunakan dengan sebaik mungkin bukan sahaja dalam menyebut keindahan akhlak dan perjuangan Rasulullah s.a.w tetapi apa yang lebih penting ialah kita mesti mengikut segala jejak langkah dan ajaran yang ditinggalkan oleh baginda. Kita wajib menyanjung Rasulullah s.a.w dan dalam masa yang sama kita mestilah menjunjung segala perintah Allah S.W.T dan rasulNya. Pastikan perasaan kasih dan sayang kita kepada diri Rasulullah s.a.w benar-benar ikhlas dengan memastikan setiap tindakan dan kelakuan kita selari dengan apa yang diajar dan disuruh oleh Rasulullah s.a.w. Kita tidak mahu menjadi umat yang hanya gembira menyebut akhlak dan jasa nabi tetapi mereka sendiri tidak mahu mengikut jejak langkah dan ajaran nabi. Buktikanlah rasa syukur kita di atas kurniaan Allah S.W.T yang begitu besar iaitu pengutusan nabi Muhammad s.a.w dengan kita sentiasa berselawat ke atas baginda dan bersungguh-sungguh dalam mempertahankan kemulian nabi serta menjulang kembali seluruh system Islam yang telah dibawa oleh nabi biar apa pun yang berlaku. Ingatlah kita kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim yang bermaksud : Tidaklah beriman seseorang itu sehinggalah aku lebih dikasihinya daripada dirinya sendiri, anak, ayah dan manusia seluruhnya.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 6-11 surah ad-Duha:

ألم  يجدك يتيما فئاوى ووجدك ضالا فهدى ووجدك عائلا فأغنى فأما اليتيم فلاتقهر وأما السائل فلا تنهر وأما بنعمة ربك فحدث

Maksudnya :  Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia memberikan perlindungan? Dan didapatiNya engkau kebingungan mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayat petunjuk (dengan wahyu Al-Quran)? Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Dia memberikan kekayaan? Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya. Adapun orang yang peminta bantuan maka janganlah engkau tengking herdik. Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.

            Melalui berapa ayat daripada surah ad-Dhuha, kita dapati bagaimana kehidupan Rasulullah s.a.w telah dikawal oleh Allah semenjak masih kecil lagi bagi menjamin dakwahnya apabila dilantik menjadi nabi lagi rasul mudah diterima oleh masyarakat. Rasulullah s.a.w diuji dengan kematian beberapa orang kesayangan bermula dengan ayahnya Abdullah diikuti pula dengan bondanya Aminah dan datuknya Abdul Muttalib ketika baginda masih memerlukan perhatian dan kasih sayang. Ujian kepada kewafatan ahli keluarga tercinta ini telah banyak melahirkan nabi sebagai seorang yang cepat matang dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain. Melalui ujian ini juga mampu mendidik jiwa nabi agar mengasihani terhadap anak yatim kerana baginda sendiri pernah merasai keperitan hidup sebagai anak yatim piatu. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul

            Rasulullah s.a.w turut diuji dengan kemiskinan dan kesusahan di mana ibundanya Siti Aminah setelah kewafatan ayahanda tercinta Abdullah maka kehidupannya agak susah. Kemiskinan dan kesusahan yang dihadapi telah mengajar erti kesabaran dan kasih sayang kepada orang lain. Rasulullah s.a.w yang terkenal dengan gelaran al-Amin iaitu seorang yang amanah kerana benar percakapannya, mulia akhlaknya dan menjadi kepercayaan ramai telah berusaha menyara hidup dengan melakukan pelbagai pekerjaan yang halal. Akhirnya Allah S.W.T menjadikan nabi sebagai peniaga yang berjaya ditambah lagi melalui perkahwinan baginda dengan wanita hartawan iaitu Siti Khadijah. Kesenangan yang dicapai tidak melupakan nabi kepada manusia yang susah kerana baginda sendiri telah merasai kesusahan hidup. Ini semua melahirkan sifat kasih dalam diri nabi kepada orang susah walau pun telah menjadi pemimpin yang agong. Malah kejayaan besar yang dicapai oleh nabi Muhammad s.a.w adalah hasil daripada sifat baginda yang sanggup mengharungi kesusahan bersama dengan umatnya sehingga baginda lebih suka memilih jalan susah daripada mewah. Ia berbeza dengan sikap sesetengah pemimpin pada hari ini yang menyuruh rakyat hidup papa sedangkan dia sendiri hidup kaya raya, sanggup melihat rakyat hidup menderita akibat rumah diroboh sedangkan dia membina mahligai yang menelan belanja berjuta-juta, menyuruh rakyat berjimat-cermat sedangkan banyak wang negara dibazirkan pada perkara yang tidak berfaedah untuk rakyat.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Sabda Rasulullah s.a.w :

مَثَلُ المُؤْمِنِيْنَ فِى تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ كَمَثَلِ الجَسَدِ الوَاحِدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الجَسَدِ بِالسَّهْرِ وَالحُمَّى

Maksudnya : Perumpamaan orang-orang beriman dalam erti kasih sayang, belas kasihan dan bertimbang rasa sesama mereka seperti tubuh yang satu iaitu apabila mana-mana anggota badan berasa sakit maka seluruh tubuh yang lain turut berjaga malam dan menanggung kesakitan

                Sifat kasih sayang yang ditunjukkan oleh nabi Muhammad s.a.w mestilah dicontohi dan diteladani oleh kita semua dalam mengembalikan kemenangan dan kemuliaan umat Islam. Umat Islam yang masih terasa bagaimana kebiadapan musuh Islam yang bertindak menghina nabi Muhammad s.a.w melalui lukisan karikatur mestilah bangkit dalam mempertahankan kemuliaan nabi disamping bersungguh-sungguh mengembalikan semangat bantu-membantu terhadap saudara seagama yang sedang ditindas dan dijajah oleh musuh Islam. Kita wajib berusaha dalam menghentikan kezaliman musuh Islam terutama terhadap saudara kita di Iraq yang saban hari dibunuh dengan kejam. Umat Islam juga wajib membantu saudara kita di Palestin yang sedang ditekan oleh Amerika dan sekutu kuffarnya kerana menjaga kepentingan yahudi Israel. Musuh Islam sepatutnya menghormati kemenangan gerakan Islam HAMAS yang baru membentuk kerajaan di Palestin sesuai dengan dakwaan mereka yang mendokong sistem demokrasi. Tindakan kejam menarik segala bantuan serta meminta agar bank-bank dunia tidak memberi ruang kepada sebarang bantuan untuk disalurkan kepada kerajaan Palestin adalah suatu yang bacul dan tidak bertamadun. Oleh itu menjadi kewajipan kita bersama untuk menghulurkan bantuan kepada saudara seagama di Palestin melalui cara yang termampu. Kita turut mendesak agar pemimpin-pemimpin negara umat Islam supaya berani menyalurkan bantuan kepada Palestin. Jangan tunduk kepada tekanan musuh Islam sehingga saudara kita terus menderita. Tiada untungnya tunduk kepada musuh yang tidak pernah belas kasihan kepada umat Islam. Jangan serahkan batang tengkuk kita untuk disembelih oleh kuffar sebaliknya tunjukkanlah keberanian kita berasaskan Islam agar musuh tidak lagi berani menghina dan menindas umat Islam sesuka hati

Firman Allah dalam ayat 15  surah al-Hujurat :

إنما المؤمنون الذين ءامنوا بالله ورسوله ثم لم يرتابوا وجــهدوا بأمولهم وأنفسهم فى سبيل الله  أولئك هم الصــدقون

Maksudnya : Sesungguhnya  orang-orang yang beriman hanyalah mereka yang beriman kepada Allah S.W.T dan rasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah S.W.T. Mereka itulah orang-orang yang benar

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: