• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3

  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,989,233 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 40,643 other followers

  • Advertisements

UJIAN DITEMPUH IMAN UTUH

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 144 surah Ali  ‘Imran :

وما محمد إلا رسول قد خلت من قبله الرسل , أفإن مات أو قتل انقلبتم على  أعقبكم  , ومن ينقلب على عقبيه فلن يضر الله شيئا , وسيجزي الله الشكرين .

Maksudnya : Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul. Sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul . Apakah jika baginda wafat atau dibunuh maka kamu akan berpaling tadah (murtad)?. Sesiapa yang berpaling tadah maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun. Dan Allah akan memberi balasan kepada mereka yang bersyukur

         Kita baru sahaja meninggalkan bulan Rabiul Awwal yang telah banyak mencatatkan peristiwa besar kepada sejarah Islam terutama yang berlaku ke atas diri Rasulullah s.a.w sendiri antaranya peristiwa Maulidurrasul , Hijraturrasul ke Madinah dan kewafatan nabi s.a.w. Ketiga-tiga peristiwa ini telah membawa kesan yang besar kepada umat manusia sebagai umat akhir zaman di mana kelahiran nabi Muhammad s.a.w sebagai pembawa rahmat kepada umat manusia yang ketika itu tenggelam dalam kelam jahiliah dan kekufuran setelah begitu lama terhenti penurunan wahyu dengan tiadanya pengutusan nabi atau rasul. Selaku makhluk yang ditugaskan dalam memimpin urusan dunia sebagai khalifah maka manusia begitu memerlukan petunjuk daripada Allah agar tidak terus hanyut dengan kesesatan maka Allah telah mengutuskan nabi Muhammad s.a.w bersama wahyu al-Quran. Manakala peristiwa Hijraturrasul s.a.w dari Kota Mekah ke Kota Madinah bukan untuk lari daripada penyiksaan yang diterima sepanjang berada di Mekah dalam mengembangkan dakwah Islam tetapi sebagai meluaskan lagi peranan Islam yang bukan sahaja berkait tentang aqidah,akhlak dan ibadat khusus sahaja  sebaliknya meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk pemerintahan, ekonomi dan sosial. Peristiwa kewafatan Rasulullah s.a.w pula sebagai memberi isyarat bahawa telah lengkapnya ajaran Islam yang diturunkan kepada nabi serta telah selesainya tugas nabi dalam memberi tunjuk ajar agar umat manusia dapat membezakan antara iman dan kufur, antara Islam dan jahiliah. Walau bagaimana tinggi menggunungnya rasa kasih dan sayang umat Islam terhadap nabi tetapi Allah Maha Berkuasa di atas segala-galanya di mana setelah selesainya segala tugas kenabian dan kerasulannya maka nabi Muhammad s.a.w mesti dikembalikan kepada Allah tetapi dakwah dan tugas dalam mengembangkan Islam mesti diteruskan oleh umat Islam berdasarkan 2 panduan yang berterusan iaitu al-Quran dan Sunnah nabi.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

         Sesungguhnya peristiwa kelahiran nabi Muhammad s.a.w telah menguji keimanan umat manusia terutama golongan ahli Kitab di kalangan Kristian dan yahudi di mana ada di antara mereka yang cuba membunuh nabi walau pun mengenalinya melalui kita Taurat dan Injil tetapi disebabkan nabi berbangsa arab bukannya sebangsa dengan mereka lalu ia dijadikan sebab utama untuk membunuh dan menolak kenabiannya. Begitu juga peristiwa Hijraturrasul yang disebabkan usaha dalam melaksanakan Islam secara menyeluruh di Mekah bagaikan tiada peluang akibat penentangan begitu kuat bermula daripada keluarga nabi yang terdekat. Lanjutan kepada ujian keimanan terutama kepada umat Islam sendiri terus berlangsung dengan kewafatan Rasulullah s.a.w sehingga ada yang kembali murtad kerana tidak dapat menerima berita yang begitu menyedihkan hati itu. Malah para sahabat yang terdekat turut menafikan berita ini termasuk Sayyidina Umar al-Khottab yang memberi amaran akan membunuh sesiapa yang mengatakan nabi Muhammad s.a.w telah wafat kerana baginya Rasulullah s.a.w tidak akan wafat melainkan setelah kaum munafik dihancurkan. Dalam keadaan yang tidak terkawal ini lalu Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq berdiri gagah dihadapan para muslimin lalu mengeluarkan kata-katanya yang tegas :

أيها الناس ! من كان يعبد محمدا فإن محمدا قد مات  ,  ومن كان يعبد الله  فإن الله حي لا يموت

Maksudnya : Wahai sekalian manusia! Sesiapa dikalangan kamu yang menyembah Sayyidina Muhammad s.a.w maka sesungguhnya nabi Muhammad telah wafat dan sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah terus hidup dan tidak akan mati

Kemudian Sayyidina Abu Bakar membaca ayat 144 surah Ali  ‘Imran yang mengingatkan para sahabat agar dapat menerima tentang kewafatan nabi walau pun perasaan kasih sayang terhadap nabi begitu mendalam. Bahkan dakwah dan perjuangan Islam mesti diteruskan dalam mengembangkan Islam ke seluruh pelusuk dunia memandangkan kewafatan nabi hanya sebagai isyarat bahawa ajaran Islam telah sempurna dan tugas nabi telah selesai bukannya dijadikan isyarat bahawa dakwah Islam sudah terhenti. Para sahabat dan generasi akan datang termasuk kita pada hari ini mestilah meneruskan tugas suci dan mulia ini walau pun nabi sudah tiada di sisi dan wahyu dari langit sudah terhenti dengan kewafatan nabi.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

         Kasih dan cinta kita kepada nabi Muhammad s.a.w mestilah tinggi dan mendalam bersesuaian dengan ingatan dan betapa kasihnya nabi kepada generasi yang terus beriman dan memperjuangkan Islam walau pun tidak pernah hidup bersama nabi dan tidak pernah melihat wajahnya yang mulia sebagaimana yang pernah dirasai oleh generasi awal terutama para sahabatnya. Kita beriman dan sayang kepada nabi Muhammad s.a.w bukanlah disebabkan mempunyai tali persaudaraan dengan nabi atau sebangsa dengannya sebaliknya kerana atas dasar iman yang mendalam dan perakuan yang tidak berbelah bahagi bahawa baginda adalah nabi lagi rasul akhir zaman. Jika para sahabat nabi dan generasi awal mempunyai kelebihan kerana dapat hidup bersama nabi dan beriman kepadanya serta dapat menyaksikan penurunan wahyu terbaru kepada nabi namun umat Islam yang terus beriman dan memperjuangkan Islam serta kasih kepada nabi walau pun tidak pernah menatap wajahnya tetap mempunyai kelebihannya sendiri. Ini dapat kita fahami daripada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Jum’ah al-Ansori :

قَالَ قُلْتُ يَا رَسُوْلَ الله ِهَلْ مِنْ قَوْمٍ أَعْظَمَ أَجْرًا مِنَّا آمَنَّابِكَ وَاتَّبَعْنَاكَ؟ . مَا يَمْنَعُكُمْ مِنْ ذلِكَ وَرَسُوْلُ اللهِ بَيْنَ أَظْهَرَكُمْ  يَأْتِيْكُمْ بِالوَحْيِ مِنَ السَّمَاءِ بَلْ قَوْمٌ يَأْتُوْنَ مِنْ بَعْدِكُمْ يَأْتِيْهِمْ كِتَابُ اللهِ بَيْنَ لَوْحَيْنِ فَيُؤْمِنُوْنَ بِيْ وَيَعْمَلُوْنَ بِمَا فِيْهَ أُولئِكَ أَعْظَمُ مِنْكُمْ أَجْرًا    

 ( رواه أحمد والدارمي والباقوردي وابن قانع فى مجمع الصحابة والبخاري فى تاريخه والطبراني والحاكم عن أبي جمعة الأنصاري )

Maksudnya : Telah berkata Abu Jum’ah al-Ansori bahawa aku telah bertanya : Wahai Rasulullah! Adakah suatu kaum yang lebih besar pahalanya daripada kami sedangkan kami beriman kepada engkau dan kami mengikuti engkau?. Lalu nabi bersabda yang bermaksud : Apakah yang menghalang kamu untuk beriman kepadaku sedangkan diri Rasulullah s.a.w ada di sisi kamu dan wahyu datang kepadamu langsung dari langit. Tetapi akan ada lagi suatu kaum yang akan datang kepada mereka Kitab Allah (al-Quran) yang ditulis di antara dua Luh maka mereka lantas beriman kepadaku dan mereka amalkan apa yang tersebut di dalamnya. Mereka itulah merupakan golongan yang mendapat pahala yang besar daripada kamu.

         Begitu juga dengan sebuah lagi hadis daripada Abu Said al-Khudri di mana dia berkata :

أَنَّ رَجُلا قَالَ : يَارَسُوْلَ اللهِ طُوْبَى لِمَنْ رَآكَ وَآمَنَ بِكَ  قَالَ : طُوْبَى لِمَنْ رَآنِي وَآمَنَ بِي وَ طُوْبَى  ثُمَّ طُوْبَى ثُمَّ طُوْبَى لِمَنْ آمَنَ بِيْ وَلَمْ يَرَنِيْ           ( أخرجه أحمد وابن حبان عن أبي سعيد الخدري )

Maksudnya : Bahawasanya seorang lelaki  berkata kepada Rasulullah s.a.w : Berbahagialah bagi sesiapa yang melihat engkau dan beriman kepada engkau. Lalu baginda bersabda yang bermaksud :  Berbahagialah bagi sesiapa yang melihat aku dan beriman kepadaku. Dan berbahagialah kemudian berbahagialah kemudian berbahagialah bagi sesiapa yang beriman kepadaku sedangkan dia tidak pernah melihatku.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Kedatangan Rabiul Akhir kali ini bersama dengan berterusannya  jenayah terbaru yahudi di bumi Palestin pada hari ini terutama dalam memastikan seluruh bumi umat Islam di Asia Barat terus tunduk dan mengiktiraf negara haram Israel selepas penjajahan baru di Iraq telah mengingatkan kita bahawa betapa lemahnya umat Islam hari ini akibat perpecah dan menjauhi ajaran Islam yang menyeluruh berbanding umat Islam dahulu yang begitu kuat dalam membebaskan Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin. Kita ingat bagaimana Peperangan Hittin yang berlaku pada bulan Rabiul Akhir tahun 583 Hijrah bersamaan bulan Julai tahun 1187 Masihi di mana tentera Islam telah berkumpul dalam melancarkan serangan secara besar-besaran di persisiran pantai berhampiran dengan Tasik Tiberias di Palestin di bawah pimpinan panglima Salahuddin Al-Ayubi. Manakala tentera musuh yang terdiri dari tentera Salib pula berkumpul di sebelah Barat Tasik Tiberias dan terus berada di sana pada malam tersebut. Pasukan tentera perisik dari angkatan tentera Islam telah berjaya mengikuti perjalanan tentera dan tempat-tempat perkhemahan musuh. Lalu angkatan tentera Salahuddin membuat kepungan terhadap tentera Salib pada waktu malam sehinggalah terbit cahaya pagi di mana pada pagi tersebut memang ternyata berlakunya peperangan yang sangat besar berhampiran dengan kampung Hittin di sebelah barat Tasik Tiberias dan di sebelah timur bandar Akko dan Haifa. Pada masa tersebut tentera Salib yang begitu ramai berjaya ditumpaskan kesemuanya di mana tentera Salib yang tinggal hanyalah seramai 150 orang sahaja di mana mereka kemudiannya dijadikan tawanan termasuk pembesar-pembesar dan pemimpin-pemimpin mereka. Peperangan Hittin adalah merupakan mercu tanda kemenangan Islam yang sangat gemilang sejak zaman berzaman yang membawa kepada pembebasan Masjid Aqsa dan seluruh bumi Palestin daripada cengkaman tentera Salib. Semoga kejayaan ini dapat berulang kembali dalam menghentikan darah umat Islam Palestin daripada terus dihirup oleh zionis yahudi serta bangsa pengganas yahudi yang banyak melakukan kerosakan di atas muka bumi ini dapat dihancurkan segera. Jika yahudi terus berada di bumi Palestin maka bukan sahaja kedudukan Qiblat pertama umat Islam iaitu Baitul Maqdis terus terancam malah Masjid Nabawi di Madinah serta Ka’abah di Mekah turut tergugat terutama bangsa yahudi pengganas ini telah beberapa kali mencadangkan agar Ka’abah dibom. Takutlah kepada Allah nescaya manusia akan hormat kepada kita. Sebaliknya jika kita tidak takut kepada Allah maka semestinya kita akan takut kepada manusia.

Firman Allah dalam ayat 128 dan 129 surah at-Taubah

لقد جاءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتم حريص عليكم بالمؤمنين رؤوف رحيم  .  فإن تولوا فقل حسبي الله لاإله إلا هو  عليه توكلت وهو رب العرش العظيم  .

Maksudnya : Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin. Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah : “Cukuplah Allah bagiku, tiada tuhan selain Dia, hanya kepadaNya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung”.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Advertisements

Rasulullah DiJulang Asobiyyah DiBuang

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam  ayat 21 surah al-Ahzab :

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا

Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.

            Setiap kali kedatangan bulan Rabiul Awwal maka umat Islam seluruh dunia tanpa mengira muda atau tua, bangsa dan bahasa, budaya dan warna kulit, tempat dan pangkat sama mengingati kelahiran manusia agung yang membawa rahmat kepada sekalian alam yang diberi nama nabi Muhammad s.a.w. Bangsa baginda adalah arab tetapi Islam yang dibawa dianuti oleh semua bangsa bukannya terbatas kepada bangsa arab sahaja. Tempat kelahiran baginda pula di Mekah namun dakwah Islam dirasai oleh umat seluruh pelusuk dunia tanpa terhad di sekitar bumi arab sahaja. Pada diri nabi Muhammad s.a.w adalah contoh yang terbaik dari segenap segi di mana baginda adalah bapa mithali, pendakwah contoh, anggota masyarakat yang amanah dan juga pemimpin yang terbaik. Sebagai umat yang mencintai nabi Muhammad s.a.w maka tiada manusia lain yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan kita melainkan nabi yang tercinta. Tiada cara berkeluarga yang lebih bahagia melainkan apa yang diajar oleh nabi. Tiada cara berdakwah yang lebih berkesan melainkan apa yang ditonjol oleh nabi. Tiada cara bersosial yang lebih baik melainkan apa yang dilakukan oleh nabi. Tiada cara berpolitik, berekonomi dan memimpin negara yang lebih hebat melainkan apa yang ditunjukkan oleh nabi.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

قال الرسول e  : وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ  يُؤْ مِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلِدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ 

– متفق عليه

Maksudnya: Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia

            Antara adab yang perlu dilakukan oleh kita sebagai tanda kasih dan cinta kita kepada nabi ialah : [1] mentaati nabi dengan mengikut segala jejak langkah perjalanan hidupnya dalam urusan agama dan dunia [2] Cinta kepada nabi dan menghormatinya lebih daripada segala yang lain [3] Cinta kepada orang yang dicintai oleh nabi dan benci kepada orang yang dibenci oleh nabi, redha dengan apa yang diredhai oleh nabi dan marah kepada apa yang dimarahi oleh nabi  [4] Menjunjung tinggi nabi dengan berselawat kepadanya apabila disebut namanya serta mengagungkan segala sifat dan akhlak nabi  [5] Membenarkan segala apa yang diberitakan oleh nabi samada daripada urusan agama atau dunia [6] Menghidupkan sunnah nabi, menzahirkan syariatnya serta menyampaikan dakwah Islam dan melaksanakan segala pesanan nabi  [7] Merendahkan suara ketika berada di sisi maqam nabi dan dalam masjid nabawi bagi yang berkesempatan ke sana [8] Cinta kepada ulama’ dan orang soleh serta setia kepada mereka semata-mata kerana nabi cinta kepada golongan tersebut. Kita juga mesti benci kepada orang fasik serta memusuhi mereka dengan sebab nabi benci dan memusuhi golongan ini

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Firman Allah dalam ayat  7 surah al-Hasyru :

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya :Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).

Tanda kasih dan sayang kita kepada junjungan besar nabi Muhammad s.a.w tidak cukup sekadar memuji sifat dan perjalanan hidupnya sahaja tetapi kita mesti melaksanakan segala ajarannya yang meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk ibadat khusus, ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. Kita juga wajib menjauhi segala tegahan yang disampaikan oleh nabi tanpa ada rasa ragu. Akhir-akhir ini kita dapati bagaimana media massa termasuk tv, radio, akhbar dan sebagainya cuba membangkitkan semangat kebangsaan atau perkauman sempit yang merbahaya terutama di negara yang mempunyai pelbagai bangsa dan agama. Golongan yang mendakwa mereka adalah pejuang bangsa bangun menonjol diri kepada masyarakat dengan menyeru supaya kembali bersatu atas dasar bangsa demi memastikan kedaulatan bangsa terus dipertahankan. Golongan ini hanya bertempik menjaga kedaulatan bangsa setelah tersepit kerana kuasa mereka digoyah oleh rakyat yang bencikan kezaliman dan penindasan. Ketika berada dipuncak pemerintahan dengan kuasa begitu besar hasil sokongan rakyat maka kita dapati golongan ini tanpa rasa bersalah dan bertanggungjawab kepada bangsa dan agama membiarkan masalah murtad tanpa menghiraukan agar digubalkan suatu undang-undang berdasarkan Islam bagi menangani masalah yang menggugat agama ini. Golongan ini juga begitu rakus menarik bantuan kepada sekolah agama rakyat serta menuduh sebagai sarang pengganas sehingga banyak yang terpaksa ditutup, penafian biasiswa kepada pelajar dengan menukar kepada pinjaman riba yang membebankan, meruntuh masjid dan menyekat kebebasannya sedangkan dalam masa yang sama aktiviti maksiat dan hiburan melampau diberikan kebebasan yang sepenuhnya sehingga kerosakan akhlak rakyat bertambah melarat. Malah apa yang lebih malang apabila ketika berlangsungnya kempen pilihanraya baru-baru ini kita dapati adanya pihak tertentu yang menghina Islam dengan tindakan yang boleh merosakkan aqidah dengan menulis sepanduk “ Mampus Bersama Islam dan Hidup Melayu” , “ Pergi Jahannam Islam Hidup Melayu” dan seumpamanya. Inilah antara bahayanya bila berpegang kepada semangat kebangsaan yang sempit bila bangsa dianggap lebih berharga dan bernilai daripada agama sehingga golongan ini tanpa rasa bersalah sanggup menghina Islam. Kita  mesti yakin bahawa mulianya sesuatu bangsa kerana berpegang kepada Islam dan hina serta mundurnya suatu bangsa kerana membuang Islam daripada kehidupan mereka. Ingatlah kita kepada kata-kata Sayyidina Umar yang masyhur ketika beliau  berjaya membebaskan Baitul Maqdis yang berbunyi :

نَحْنُ  قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللهُ بِاللإسْلامِ فَمَهْمَا نبَتْغَيِ العِزَّةَ بِغَيْرِمَا أَعَزَّنَا اللهُ أَذَلَّنَا اللهُ

Maksudnya : Kita adalah suatu kaum yang  dimuliakan oleh  Allah  dengan  Islam. Selama mana kita mencari kemuliaan dengan sesuatu  yang bukan  apa yang  telah dimuliakan kita dengannya  iaitu  Islam  maka kita akan dihina oleh Allah.

 

 

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

            Ketika menyambut Maulidurrasul ini kita sepatutnya ingat dan patuh kepada amaran keras nabi tentang bahayanya Assobiyah atau semangat kebangsaan sempit. Berjayanya Daulah Islamiah bermula pada zaman Rasulullah s.a.w sehingga diteruskan oleh para Khulafa’ Rasyidin dan khalifah-khalifah Islam selepas itu sehingga menguasai dunia antaranya dengan menghapuskan semangat assobiyah yang merbahaya ini. Jatuhnya Khilafah Islamiah Turki sehingga umat Islam sampai hari ini berpecah tanpa tunduk pada suatu pemerintah antara puncanya ialah kejayaan yahudi dan Kristian membangkitkan semula semangat kebangsaan sempit sehingga orang arab terutamanya merasakan bahawa Khilafah Islamiah Turki untuk bangsa Turki bukannya untuk orang arab dan seluruh umat Islam sehingga mereka dengan semangat kebangsaan arab tanpa rasa bersalah menjatuhkan Khilafah Islamiah Turki. Sehingga hari ini kita dapat menyaksikan bagaimana kebanyakan negara-negara Arab tanpa rasa bersalah merayakan suatu perayaan yang dinamakan Hari Revolusi Arab bagi tarikh penggulingan Khilafah Islamiah Turki itu. Kita sendiri di negara ini pernah melalui suatu peristiwa berdarah 13 Mei akibat sikap perkauman yang sempit. Oleh itu kita jangan terpedaya dan tertipu dengan permainan golongan yang melaungkan semangat kebangsaan ini kerana mereka hanya mencari peluang untuk meraih simpati demi kepentingan peribadi bukannya untuk bangsa dan agama. Mereka ingin menutup penyalahgunaan kuasa, kezaliman dan penindasan terhadap rakyat, rasuah dan jenayah yang meningkat dengan laungan kebangsaan sempit. Ingatlah sebuah hadis daripada Jabir bin Mut’im

قال الرسول e  : لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ  ولَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ على عَصَبِيَّةٍ و لَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ على عَصَبِيَّةٍ

Maksudnya :Bukan daripada golongan kami sesiapa yang menyeru kepada asobiyah, bukan daripada golongan kami sesiapa yang berjuang atas dasar asobiyah dan bukan daripada golongan kami sesiapa yang mati atas dasar asobiyah

Daripada Wa’iah bin al-Asqa’ katanya :

قُلْتُ : يَا رَسُوْلَ الله! مَا العَصَبِيَّةُ؟ قَالَ : أَنْ تُعِيْنَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ

Maksudnya :Aku bertanya : Wahai Rasulullah! Apakah itu Asobiyah?. Lalu sabda baginda : Engkau menolong kaummu di atas dasar kezaliman

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ