• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3

  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,989,233 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 40,643 other followers

  • Advertisements

Nabi Muhammad s.a.w DiContoh Jahiliah DiRoboh

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 107-108 surah al-Anbiya’ :
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ قُلْ إِنَّمَا يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَهَلْ أَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
Maksudnya : Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku?”
Setiap kali tibanya bulan Rabiul Awwal maka umat Islam seluruh dunia menyebut-nyebut tentang kelahiran bayi bertuah di Kota Mekah pada Tahun Gajah oleh ibunya Aminah yang diberi nama Muhammad bin Abdullah. Kelahirannya adalah pilihan Allah sebagai nabi akhir zaman untuk membawa cahaya iman ketika kegelapan jahiliah, menggantikan penindasan nafsu serakah kepada keadilan Islam. Kehebatan nabi Muhamamd s.a.w bukan sahaja diiktiraf oleh para sahabat malah turut diakui oleh musuh Islam sebagaimana ungkapan kata-kata daripada ‘Urwah bin Ath-Thaqafi yang ditugaskan untuk berunding dengan nabi Muhammad s.a.w dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiah : “Demi Allah! Aku pernah menemui raja-raja Rom, Farsi dan Habsyah. Demi Allah! Aku tidak pernah melihat raja itu disanjung dengan membesarkannya seperti para sahabat nabi Muhammad melakukannya kepada nabi Muhammad. Demi Allah! Jika baginda mengeluarkan kahak nescaya ia akan jatuh ke atas tangan salah seorang daripada mereka lalu disapukan dikulit dan mukanya. Apabila baginda menyuruh sesuatu maka mereka akan berlumba-lumba untuk menunaikan suruhannya. Apabila baginda berwudhu’, mereka seperti mahu berperang kerana berebut-rebut untuk mengambil air wudhu’nya. Kalau baginda bercakap maka semuanya diam dan jika mereka bercakap akan direndahkan suara kerana menghormatinya. Mereka tidak merenung tajam kepadanya kerana menghormatinya. Baginda telah mengemukakan suatu rancangan yang baik untuk kamu wahai pemimpin Quraisy maka terimalah”. Begitu juga kehebatan para sahabat nabi yang bermati-matian mempertahankan nabi dan Islam sebagaimana diungkapkan oleh panglima Maharaja Rom bahawa kerajaan Rom pasti jatuh ditangan tentera Islam di mana mereka bukan manusia sebarangan iaitu ahli ibadat beribadat pada malam hari, tangkas seperti singa di medan perang di siang hari, sentiasa bersembahyang, berpuasa, tidak pernah meminum arak, tidak berzina malah andaikata anak pemimpin mereka sendiri yang mencuri nesaya dikerat tangannya. Setiap tentera Islam berlumba-lumba mati syahid sebelum saudaranya yang lain.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا
Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya
Sempena kedatangan bulan Maulidurrasul maka kita sepatutnya menggandakan lagi usaha dalam menonjolkan kehebatan nabi dan sistem Islam yang telah disampaikannya kepada kita. Tanamkan dalam diri umat Islam bahawa inilah contoh teladan yang sebenar untuk diikut terutama ketika semakin ramai umat Islam sendiri tidak lagi mengenal nabi Muhammad s.a.w sebagai manusia hebat dan contoh terbaik dalam setiap aspek kehidupan sesuai dengan pengutusannya untuk membawa rahmat ke seluruh alam. Setiap kali kita menyebut bagaimana dahsyatnya zaman jahiliah di mana nafsu serakah menjadi ikutan sehingga anak perempuan ditanam hidup-hidup di samping seribu macam penindasan dan kesesatan yang lain. Namun begitu bila berdepan pula dengan jahiliah moden di mana ubat mujarrab iaitu al-Quran ada di depan mata tetapi racun diguna pakai sehingga bukan setakat anak perempuan yang dibunuh malah anak lelaki turut menjadi mangsa di samping pelbagai penyakit sosial yang lain terus merebak dan membarah.
Malah pada tahun ini bagaikan berlakunya pertembungan antara sambutan memuja Paderi Valentine yang berjaya menjatuhkan kerajaan Islam Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi dengan sambutan memperingati kelahiran nabi Muhammad s.a.w pada keesokan harinya. Ramai di kalangan umat Islam terutama golongan remaja lebih teruja untuk menyambut Hari Kekasih berbanding mencontohi nabi Muhammad s.a.w manusia Agong yang begitu kasih pada umatnya. Ingatlah bahawa kasih sayang wajib ada sepanjang masa bukan pada hari tertentu sahaja serta saluran untuk menyatakan kasih sayang mestilah bertepatan dengan syarak bukannya mengikut hawa nafsu apatah lagi meniru budaya agama lain. Manusia yang paling wajib kita kasih ialah junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Sehubungan dengan ini kita menyeru agar umat Islam supaya mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 yang memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam”. Ingatlah amaran nabi s.a.w melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Said al-Khudri:
قال الرسول : لَتَتَّبِعُنَّ سُنَنَ اَّلذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاٍع حَتَّى لَوْدَخَلُوْا فِى حُجْرِ ضَبٍّ لاتبَّعْتُمُوْهُمْ قُلْنَا : يارسولَ الله آليَهُوْدُ وَالنَّصَارَى؟. قَالَ : فَمَنْ ؟
Maksudnya: Kamu akan mengikut jejak langkah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka memasuki lubang dhob nescaya kamu pun akan turut mengikuti mereka. Para sahabat bertanya : “ Ya Rasulullah! Adakah Yahudi dan Nasrani?. Nabi bersabda: Siapa lagi kalau tidak mereka

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pengutusan nabi Muhammad s.a.w berjaya mengubah dunia kepada keadaan yang lebih baik yang bukan sahaja dirasai oleh umat Islam malah seluruh umat manusia serta makhluk Allah yang lain. Namun pada hari ini suasana gelap jahiliah kembali mencemari dunia termasuk di negara umat Islam sendiri akibat sistem Islam digantikan dengan sistem jahiliah. Contohnya cara pemakaian yang mendedah aurat lebih suka dipakai sama ada lelaki atau perempuan. Malah kaum perempuan lebih suka bertelanjang dengan memakai pakaian nipis dan singkat, ramai juga bertudung tetapi tubuhnya pula terdedah sana-sini, malah ada yang bertudung seperti paderi Perempuan dan juga fesyen bertudung tetapi menampak jelas bentuk rambut yang disanggul seperti bonggok unta yang dimurkai oleh nabi semakin digemari. Itu belum dikira orang lelaki yang memakai gelang, rantai leher, subang telinga dan pelbagai macam cara jahiliah yang dianggap kacak sedangkan hakikatnya lebih hodoh daripada binatang. Begitu hebatnya godaan syaitan dan jarum Yahudi yang menyerang cara pemakaian umat Islam. Inilah antara kesan dahsyat bila umat Islam tidak menjadikan nabi sebagai contoh teladan sebaliknya para artis, pemain sukan dan lain-lain sebagai ikutan. Malah ketika negara sedang menghadapi masalah penyakit tekanan jiwa yang begitu kronik maka sepatutnya cara Islam diguna pakai seperti nasihat Ibnu Mas’ud bila jiwa bercelaru maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat.Pertama, tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya. Kedua, engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah. Ketiga, engkau cari waktu dan tempat yang sunyi. Di sana, engkau bertafakur mengabdikan diri kepada Allah. Malangnya bila cara jahiliah seperti hiburan melampau, arak, dadah dijadikan ubat akhirnya bukan setakat tubuh yang binasa malah akal yang rosak musnah

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Ketika dunia menghadapi masalah kejatuhan ekonomi yang teruk akibat penindasan dan kezaliman sistem riba maka sistem ekonomi Islam terus diperangi daripada dilaksanakan kerana bakal melingkupkan penghisap darah kapitalis. Apa yang lebih memalukan apabila lebih 70 peratus orang bukan Islam lebih percaya dan menggunakan sistem perbankan Islam berbanding umat Islam sendiri. Begitu juga usaha untuk kembali menggunakan wang dinar dan perak terus dipandang serong oleh umat Islam sendiri patah lagi Yahudi sedangkan inilah antara jalan terbaik dalam mengembalikan keadilan ekonomi dunia.
Begitu juga bila dunia hari ini melihat satu demi satu pemimpin kuku besi dan zalim jatuh tersungkur seperti yang terbaru di Tunisia diikuti kebangkitan rakyat di Mesir, Yaman, Algeria dan banyak negara yang lain akibat pemimpin sedia ada gagal mencontohi keadilan yang ditunjukkan oleh nabi akibat menyisihkan Islam dalam sistem pemerintahan. Akhirnya rakyat yang ditindas begitu lama sanggup turun di jalanraya sehingga jatuhnya pemimpin dalam keadaan hina. Perubahan yang berlaku sentiasa diambil kesempatan terutama oleh pengganas utama dunia Amerika Syarikat dan Israel agar pemimpin yang baru terus menjadi kuda tunggangan mereka. Malah keadaan yang masih kabur di Mesir terutama selepas tentera mengambil alih kuasa dibimbangi diguna oleh musuh Islam untuk terus menjajah terutama Mesir yang begitu penting untuk kepentingan Israel. Oleh itu kita mestilah sentiasa merafakkan doa kepada Allah agar setiap perubahan dan pertukaran pemimpin akan menguntungkan Islam dan umatnya bukan meneruskan sistem jahiliah serta permusuhan terhadap Islam dan umatnya. Semoga pemerintahan yang adil sebagaimana yang telah ditunjuk oleh nabi, para sahabat dan khalifah Islam sebelum ini kembali mewarnai dunia. Islamlah nescaya kita selamat dunia dan akhirat
Firman Allah dalam ayat 26 surah Ali ‘Imran :
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Advertisements

Ajaran Nabi DiMartabat Negara Selamat

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا
Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya.
Setiap kali kedatangan bulan Rabiul Awwal maka umat Islam seluruh dunia tanpa mengira muda atau tua, bangsa dan bahasa, budaya dan warna kulit, tempat dan pangkat sama mengingati kelahiran manusia agung yang membawa rahmat kepada sekalian alam yang diberi nama nabi Muhammad s.a.w. Bangsa baginda adalah arab tetapi Islam yang dibawa dianuti oleh semua bangsa bukannya terbatas kepada bangsa arab sahaja. Tempat kelahiran baginda pula di Mekah namun dakwah Islam dirasai oleh umat seluruh pelusuk dunia tanpa terhad di sekitar bumi arab sahaja. Pada diri nabi Muhammad s.a.w adalah contoh yang terbaik dari segenap segi di mana baginda adalah bapa mithali, pendakwah contoh, anggota masyarakat yang amanah dan juga pemimpin yang terbaik. Sebagai umat yang mencintai nabi Muhammad s.a.w maka tiada manusia lain yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan kita melainkan nabi yang tercinta. Tiada cara berkeluarga yang lebih bahagia melainkan apa yang diajar oleh nabi. Tiada cara berdakwah yang lebih berkesan melainkan apa yang ditonjol oleh nabi. Tiada cara bersosial yang lebih baik melainkan apa yang dilakukan oleh nabi. Tiada cara berpolitik, berekonomi dan memimpin negara yang lebih hebat melainkan apa yang ditunjukkan oleh nabi.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
قال الرسول  : وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُؤْ مِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلِدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ – متفق عليه
Maksudnya: Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia
Antara adab yang perlu dilakukan oleh kita sebagai tanda kasih dan cinta kita kepada nabi ialah : [1] mentaati nabi dengan mengikut segala jejak langkah perjalanan hidupnya dalam urusan agama dan dunia [2] Cinta kepada nabi dan menghormatinya lebih daripada segala yang lain [3] Cinta kepada orang yang dicintai oleh nabi dan benci kepada orang yang dibenci oleh nabi, redha dengan apa yang diredhai oleh nabi dan marah kepada apa yang dimarahi oleh nabi [4] Menjunjung tinggi nabi dengan berselawat kepadanya apabila disebut namanya serta mengagungkan segala sifat dan akhlak nabi [5] Membenarkan segala apa yang diberitakan oleh nabi samada daripada urusan agama atau dunia [6] Menghidupkan sunnah nabi, menzahirkan syariatnya serta menyampaikan dakwah Islam dan melaksanakan segala pesanan nabi [7] Merendahkan suara ketika berada di sisi maqam nabi dan dalam masjid nabawi bagi yang berkesempatan ke sana [8] Cinta kepada ulama’ dan orang soleh serta setia kepada mereka semata-mata kerana nabi cinta kepada golongan tersebut. Kita juga mesti benci kepada orang fasik serta memusuhi mereka dengan sebab nabi benci dan memusuhi golongan ini

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru :
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).
Tanda kasih dan sayang kita kepada junjungan besar nabi Muhammad s.a.w tidak cukup sekadar memuji sifat dan perjalanan hidupnya sahaja tetapi kita mesti melaksanakan segala ajarannya yang meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk ibadat khusus, ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. Kegagalan dalam menghayati cara hidup yang pernah ditunjukkan oleh nabi berasaskan al-Quran menyaksikan pelbagai kerosakan dan kemusnahan yang berlaku di sekeliling kita. Jika pada masa kelahiran nabi Muhammad s.a.w, manusia berada dalam jahiliah akibat jauh daripada petunjuk wahyu Allah sehingga terkenal dengan amalan yang jahat seperti membunuh anak perempuan hidup-hidup atas alasan membawa sial maka pada hari ini akibat meninggalkan sistem al-Quran maka manusia tanpa perikemanusiaan sanggup membuang dan membunuh anak kecil yang tidak berdosa tanpa mengira jantina yang kebanyakannya lahir daripada hasil zina kesan daripada kejahilan, cara hidup bebas daripada agama. Kecurian, samun, ragut, pecah rumah semakin meningkat dan membimbangkan tanpa mengira tempat dan masa bagaikan tidak gerun terhadap hukuman yang kebanyakannya jauh daripada sistem perundangan Islam ditambah lagi dengan sikap umat Islam sendiri yang lebih yakin kepada undang-undang ciptaan manusia daripada undang-undang Allah. Adakah manusia takabbur ini yakin bahawa dia lebih hebat daripada Allah dan dia mampu melawan kuasa Allah. Tidak cukup sekadar berarak membawa sepanduk sebagai tanda cinta kepada nabi sedangkan sifat amanah yang ditunjukkan oleh baginda tidak mahu diikut yang menyebabkan masalah rasuah dan pecah amanah terus membarah sehingga menggugat keselamatan negara seperti yang terbaru laporan bahawa adanya penjualan rahsia keselamatan negara kepada negara lain selepas isu penjualan enjin jet dan kapal selam yang baru tidak mampu menyelam dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Kita sentiasa diperingatkan tentang peristiwa besar terhadap diri nabi Muhammad s.a.w ketika berada dalam asuhan Halimah di mana dada Rasulullah s.a.w telah dibelah oleh dua malaikat bagi membersihkan hatinya daripada penyakit dunia dan syaitan bagi persediaan awal kepada kenabian. Hati merupakan raja segala anggota di mana jika hati baik maka manusia akan baik tetapi jika hati jahat maka manusia turut bersikap jahat. Dalam menjaga hati maka umat Islam mestilah sentiasa mengingati Allah sepanjang masa. Umat Islam yang mempunyai hati yang sentiasa ingat dan dekat kepada Allah sahaja lah yang akan diberikan pertolongan dan kemenangan oleh Allah di dunia dan akhirat manakala umat Islam yang hatinya sentiasa lalai daripada mengingati Allah maka ia mudah dikalahkan oleh musuh terutama syaitan.
عن ابن عباس رضى الله عنهما قال : قال الرسول  : الشَيْطَانُ جَاثِمٌ عَلَى قَلْبِ ابْنِ آدَمَ فَإِذَا ذَكَرَ الله َتَعَالَى خَنَسَ وَإِذَا غَفَلَ وَسْوَسَ ( أخرجه البخاري مُعَلَّقًا )
Maksudnya : Syaitan itu duduk mencangkung di atas hati manusia. Apabila manusia menyebut nama Allah maka ia akan mengundur diri dan apabila manusia lalai maka ia akan membisikkan kejahatan.
Imam al-Ghazali menukilkan bagaimana berlakunya perbuatan dosa kerana didorong oleh empat faktor iaitu: [1]Sifat Rububiyyah (sifat ketuhanan) iaitu apabila seseorang itu mengambil atau memakai sifat-sifat Tuhan seperti takabbur, sukakan pujian dan sanjungan. Pada hal sifat-sifat itu hanya layak bagi Allah SWT. [2] Sifat Syaitaniyyah (sifat syaitan)Apabila wujud dalam diri seseorang sifat seperti hasad dengki, tipu helah dan sebagainya, kerana sifat ini boleh mendorong kepada perbuatan mungkar, maksiat dan seumpamanya. [3]Sifat Bahimiyyah (sifat kehaiwanan) Seperti tamak haloba, memperturutkan hawa nafsu perut, menimbun harta kekayaan untuk kepuasan nafsu semata-mata dan sebagainya. [4] Sifat-sifat Subu’iyyah (sifat kebuasan) Seperti marah, dendam, membunuh, memukul, mencaci maki orang dan seumpamanya. Semua sifat berkenaan adalah punca dan pendorong ke arah perlakuan dosa dan maksiat. Apabila ia dibiarkan bermaharajalela, maka akan rosak binasalah manusia. Dosa itu ibarat racun dalam tubuh manusia yang akan meresap ke seluruh tubuh badan dan boleh membawa maut jika tidak diubati dengan segera.
Firman Allah dalam ayat 27-28 surah al-Anfal :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ وَاعْلَمُوا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

69. MAULIDURRASUL S.A.W SEMARAKKAN PERJUANGAN ISLAM

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 29 surah al-Fathu:

محمد رسول الله والذين معه أشداء على الكفار رحماء بينهم ترئهم ركعا سجدا يبتغون فضلا من الله ورضـونا سيماهم فى وجوههم من أثر السجود ذلك مثلهم فى التورئة ومثلهم فى الإنجيل كزرع أخرج شطئه فئازره فاستغلظ فاستوى  على سوقه يعجب الزراع ليغيظ بهم الكفار وعد الله الذين ءامنوا وعملوا الصــلحــت منهم مغفرة  وأجرا عظيما

Maksudnya :  Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya adalah tegas terhadap orang-orang kafir serta berlemah lembut sesama mereka. Kamu melihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaanNya. Tanda-tanda mereka nampak jelas pada muka mereka daripada kesan sujud. Demikianlah sifat mereka dalam Taurat dan sifat mereka dalam Injil iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu membesar dan tegak lurus di atas pokoknya di mana tanaman itu menyenangkan hati penanamnya kerana Allah hendak menyakitkan hati orang-orang kafir dengan kekuatan orang-orang mukmin. Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh di antara mereka keampunan dan pahala yang besar

            Rabiul Awwal pernah mencatat sejarah gemilang dengan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w nabi akhbir zaman yang telah membawa rahmat kepada seluruh alam yang selama ini tenggelam dalam kejahilan. Hadirnya bersama wahyu al-Quran bagaikan mentari yang bercahaya terang menerangi alam semesta yang dulunya diselubungi kegelapan jahiliah yang penuh dengan kesesatan dan penindasan. Sudah menjadi sunnatullah di mana setiap yang batil akan dikalahkan oleh yang hak, setiap kesesatan nafsu akan dikuburkan oleh kebenaran wahyu, setiap kegelapan jahiliah akan dihilangkan dengan cahaya Islam dan setiap ancaman kekufuran akan dipadamkan oleh siraman keimanan. Oleh itu, Allah melalui para rasulNya termasuk nabi kita Muhammad s.a.w telah memberi petunjuk yang jelas kepada umatnya dalam membeza antara yang hak dan batil seterusnya menyuruh agar diikut ajaran yang benar dengan menolak sebarang ajaran yang sesat. Ini ditambah pula dengan betapa sempurnanya ajaran Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi lagi rasul akhir zaman di mana ajarannya meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk aqidah, ibadat, muamalat, perundangan.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

            Kedatangan Rabiul Awwal kali ini sewajarnya digunakan sebaik mungkin oleh seluruh umat Islam pada hari ini untuk kembali semula kepada semua ajaran dan sistem Islam yang menyeluruh agar kita kembali menjadi umat mulia. Apa gunanya kita menghabiskan wang yang beribu dalam memperingati hari kelahiran nabi Muhammad s.a.w sedangkan apabila dituntut agar dilaksanakan seluruh ajaran nabi maka kita tidak mahu. Bezakanlah sambutan Maulidurrasul yang kita adakan saban tahun dengan Maulidurrasul yang pernah dilakukan oleh Abu Lahab. Kita mesti ingat bagaimana Abu Lahab sanggup memerdekakan hambanya Suwaibah serta menyembelih 100 ekor unta kerana terlalu gembira menyambut kelahiran Rasulullah s.a.w tetapi akhirnya apabila nabi menyatakan tentang kenabiannya serta dakwah Islam maka dialah antara mereka yang paling utama menentang nabi sehingga dia mengatakan celaka kepada nabi tetapi Allah telah menyatakan bahawa Abu Lahab dan isterinya Ummu Jamil yang celaka bukannya nabi sebagaimana yang tertera dalam surah al-Masad. Kita dapat saksikan bagaimana permusuhan Abu Lahab terhadap nabi begitu kuat antaranya dia sanggup mengahwinkan dua orang anaknya dengan  anak nabi iaitu Ruqayyah dan Ummi Kalthom tetapi apabila nabi menyatakan kenabiannya maka Abu Jahal menyuruh agar kedua anaknya itu menceraikan anak nabi bagi menambah bebanan dan tekanan terhadap nabi. Begitu juga ketika berlakunya pemulauan terhadap suku Bani Hashim maka Abu Lahab turut serta memulaunya walau pun dia sendiri dari suku yang sama kerana bencinya terhadap nabi. Manakala isterinya Ummu Jamil sanggup menyakiti nabi dengan meletak duri disepanjang jalan yang digunakan oleh nabi.

            Oleh itu umat Islam perlu sedar dan insaf  bahawa sambutan Maulidurrasul yang diadakan mestilah selari antara apa yang dipuji dalam bacaan berzanji dan selawat dengan apa yang dilakukan dalam kehidupan seharian. Janganlah pula kita begitu bersungguh memuji akhlak nabi dan cara baginda menangani masalah sosial dengan sistem Islam sedangkan adanya umat Islam hari ini yang berusaha bersungguh-sungguh dalam memerangi pengajian agama sedangkan dalam masa yang sama menggalakkan hiburan yang melalaikan serta penambahan kelab malam yang lebih banyak melahirkan pelacur dari kalangan umat Islam sendiri. Jangan kita hanya tahu memuji nabi yang mengharamkan arak sedangkan adanya umat Islam yang mengizinkan pembinaan 27 kilang arak dalam negara. Jangan hanya tahu memuji nabi yang mengharamkan judi yang banyak membawa masalah kepada negara sedangkan adanya umat Islam yang terang-terang memberi lesen dalam menambah bilangan pusat perjudian dalam negara. Jangan hanya tahu memuji nabi yang telah berjaya menyampaikan dakwah Islam kepada umat manusia serta berusaha dalam memperkukuhkan aqidah dan mengawal daripada berlakunya murtad dengan perundangan Islam sedangkan umat Islam hari ini bukan sahaja tidak melakukan kerja dakwah bersungguh-sungguh malah aqidah umat Islam semakin tercabar disamping tiada hukuman Islam bagi membasmi kemurtadan yang bertambah serius memandangkan perundangan yang ada itu sendiri telah pun murtad bagaimana mahu menjaga umat Islam daripada murtad. Jangan hanya tahu memuji nabi yang mampu membina ekonomi berasaskan Islam yang kukuh dengan menghapuskan riba sedangkan umat Islam hari ini ramai yang terus bergelumang dengan riba serta negara dihantui oleh masalah ceti haram yang sememangnya menghidupkan amalan riba.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Sambutan Maulidurrasul s.aw yang kita adakan saban tahun jika benar-benar dilakukan dengan ikhlas kerana Allah sebagai menyambut tubuh dan seluruh ajaran yang dibawa oleh nabi akan menjadi dalil dalam menjawab tohmahan dan cacian tokoh kafir Quraisy yang pernah mengatakan : “ Biarkan Muhammad  kerana dia akan mati tanpa meninggalkan seorang pun anak lelaki dan perjuangannya tak lama lagi akan berakhir begitu sahaja”. Nabi Muhamma s.a.w yang diuji dengan kewafatan kesemua anak lelakinya ketika kecil iaitu Qasim, Abdullah dan Ibrahim agak tertekan dengan cacian tersebut sehinggalah Allah menghiburkan nabi dengan turunnya ayat 1-3 surah al-Kauthar :

إنا أعطيناك الكوثر فصل لربك وانحر إن شانئك هو الأبتر

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) nikmat yang melimpah ruah. Oleh itu, dirikanlah solat dengan ikhlas kerana Tuhanmu dan korbankanlah pada hari raya haji. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau maka dialah orang yang putus keturunan.

            Surah ini menyatakan bahawa nabi Muhammad s.a.w dikurniakan nikmat yang terlalu banyak dan berterusan serta menolak dakwaan bahawa dakwah nabi akan terputus kerana tiada anak lelaki yang bakal meneruskan dakwahnya. Sebaliknya Allah menyatakan bahawa mereka yang kufur sebenarnya yang terputus kejahatannya kerana nama nabi Muhammad s.a.w terus disanjung sehingga hari ini sedangkan mereka yang menentangnya terus dilupa. Malah dakwah Islam terus berkembang sehingga seluruh pelusuk dunia sedangkan kekufuran yang dibawa oleh oleh musuhnya terus lenyap. Keimanan, kebenaran dan kebajikan tidak mungkin terputus kerana ia tetap menghulurkan dahan-dahan dan cabang-cabangnya dan menunjangkan akar-umbinya jauh ke dalam. Sebaliknya apa yang terputus ialah kekufuran, kebatilan dan kejahatan walau bagaimana pun ia membesar dan kuat.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Semoga kehadiran Rabiul Awwal kali ini memberi sinar kepada umat Islam sebagaimana bersinarnya dunia setelah kelahiran Rasulullah s.a.w. Umat Islam mesti kembali bersatu atas landasan Islam dengan menolak sekuler dan semangat kebangsaan sempit. Umat Islam mesti bersatu atas dasar iman dengan menolak ideologi ciptaan manusia yang sesat dan membawa kepada kekufuran. Cukuplah dengan penjajahan baru yang berlaku di Afghanistan, Iraq dan penderitaan umat Islam di Palestin terutama Menteri Dalam Negeri Israel telah mengumumkan bahawa yahudi dibenarkan masuk ke kawasan Masjid al-Aqsa untuk beribadat. Jangan tunggu sehingga satu demi satu negara umat Islam dijajah barulah kita mahu bersatu terutama Asia Tenggara kini mula bergolak kembali setelah Asia Barat dihancurkan. Selatan Filiphina telah kembali bertelagah setelah gencatan senjata ditarik balik. Kedudukan Acheh bagaikan menunggu masa untuk dihancurkan oleh saudara seagama Indonesia walau pun usaha baru damai sedang dijalankan. Malah tuduhan bahawa militan Islam terlibat dalam menyerang kem tentera di Yala tidak lebih daripada usaha Thailand dalam menjemput Amerika membuka pusat anti pengganas di Selatan Thailand yang diduduki oleh majoriti umat Islam. Oleh itu kembalilah bersatu sebagaimana yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya :

مَثَلُ المُؤْمِنِيْنَ فِى تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ كَمَثَلِ الجَسَدِ الوَاحِدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالحُمَّى

Maksudnya : Perumpamaan orang-orang beriman dalam erti kasih sayang, belas kasihan dan bertimbang rasa sesama mereka seperti tubuh yang satu iaitu apabila mana-mana anggota badan berasa sakit maka seluruh tubuh yang lain turut berjaga malam dan menanggung kesakitan

Bersungguh dalam bersatu dengan Islam sebagai wadah perjuangan. Semarakkan semangat jihad agar kita tidak terus menjadi  mangsa penindasan kuffar. Kita tidak akan sama sekali tunduk kepada kekufuran. Biar bermandi darah asalkan Islam kembali gagah. Biar darah membasahi bumi asalkan Islam dijulang tinggi. Yakinlah kepada pertolongan Allah dan kemenangan yang dijanjikan. Umat Islam yang bermaruah tidak sama sekali menyerah kalah walau pun kita sedar bahawa kemenangan Islam bukannya mudah. Biar pelbagai ujian, halangan, cabaran dan tentangan yang datang dalam perjalanan mencari keredhaan Allah namun perjuangan Islam mesti diteruskan sehingga datangnya ketentuan daripada Allah.

Firman Allah dalam ayat  65 surah al-Anfal:

يـــأيها النبي حرض المؤمنين على القتال إن يكن منكم عشرون صــبرون يغلبوا مائتين وإن يكن منكم مائة يغلبوا ألفا من الذين كفروا بأنهم قوم لايفقهون

Maksudnya :  Wahai nabi! Semarakkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antara kamu maka mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang-orang kafir disebabkan orang-orang kafir itu merupakan kaum yang tidak mengerti

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ