• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3











  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,675,833 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 6,409 other followers

110. HIJRAH DIHAYATI NABI DISANJUNGI


 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 100  surah an-Nisa’ :

ومن يهاجر فى سبيل الله يجد فى الأرض مرغما كثيرا وسعة ومن يخرج من بيته مهاجرا إلى الله ورسوله ثم يدركه الموت فقد وقع أجره على الله  وكان الله غفورا رحيما

Maksudnya : Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah S.W.T  nescaya mereka mendapati di bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah S.W.T dan rasulNya kemudian kematian menimpanya sebelum tiba ke tempat yang dituju maka telah tetap pahala di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang

Kedatangan bulan Muharram menandakan masuknya kita kepada tahun baru 1427 Hijrah. Adalah suatu yang amat malang apabila ada di kalangan umat Islam sendiri yang tidak sedar tentang ketibaan tahun baru hijrah setelah begitu lama taqwim hijrah diketepikan oleh penjajah dan diteruskan hingga kini. Umat Islam yang dulunya dijadikan contoh teladan dan sumber rujukan kepada bangsa lain termasuk dalam membina tamadun kebendaan kini bertukar menjadi umat yang terpaksa tunduk kepada bangsa lain akibat daripada sikap kebanyakan umat Islam yang menjauhi system Islam dalam kehidupan. Umat Islam hilang jatidiri serta identiti yang sepatutnya dimiliki sehingga merasakan bahawa system ciptaan manusia lebih baik dan sempurna berbanding system Islam. Keadaan umat Islam dahulu yang sentiasa menjunjung segala perintah Allah sehingga mereka dimulia dan dianugerahkan kemenangan yang gemilang sedangkan umat Islam kini telah ramai yang lahir sebagai umat yang mahu mengajar Allah bagaimana cara terbaik untuk mentadbir dunia sehingga ditimpakan dengan kehinaan dan kemunduran. Umat Islam dahulu berasa gembira kerana mampu berdikari dengan menjadikan wahyu sebagai panduan hidup sedangkan umat Islam hari ini kehilangan arah tuju yang menyebabkan nafsu menjadi ikutan sehingga aqidahnya kabur, akhlaknya hancur dan semangat juangnya kendur.

            Sempena kedatangan tahun baru hijrah ini marilah kita sama berhijrah dari segi niat agar lebih dekat dengan apa yang dikehendaki oleh Allah disamping bertindak dengan lebih bersungguh dalam melaksanakan seluruh system Islam dalam kehidupan bermula daripada diri kita, keluarga, masyarakat, negara dan seterusnya dunia

قال الرسول e  : لا هِجْرَةَ بَعْدَ الفَتْحِ وَلكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ  – رواه البخاري

Maksudnya: Tiada lagi hijrah selepas pembukaan Kota Mekah tetapi yang ada hijrah pada jihad dan niat

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

            Ketika menyoroti peristiwa hijrah yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w maka kita dapati bagaimana ia bukan berlaku secara tergesa-gesa dan mudah sebaliknya hijrah itu didahului dengan pelbagai perancangan dan strategi yang rapi terutama dalam membina umat Islam yang mantap aqidahnya serta bersedia untuk memperjuangkan Islam walau pun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan. Modal manusia yang dibina atas asas taqwa merupakan aset penting dalam membantu Rasulullah s.a.w ketika mendirikan Daulah Islamiah yang gemilang di Madinah.  Kegagalan melahirkan pemimpin dan umat yang  benar-benar kukuh aqidahnya, utuh budi pekertinya dan bersungguh dalam meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini menyebabkan umat Islam gagal mengembalikan kejayaan system Khilafah yang pernah menerajui dunia sebelum ini. Umat Islam yang tidak mampu melawan godaan dunia berbentuk politik wang dan juga cabaran yang lebih keras seperti undang-undang rimba ISA, buang kerja dan sebagainya sudah pasti tidak mampu mengembalikan kegemilangan Islam kerana mereka lebih rela menjadi hamba nafsu daripada mengorbankan segala kemampuan yang ada dalam melaksanakan arahan wahyu.

            Hijrah yang berjaya ialah hijrah yang berjaya menukarkan umat melarat kepada umat berdaulat, umat dihina kepada umat memimpin dunia, umat yang lemah bertukar menjadi gagah. Hijrah yang berjaya juga mengubah dunia daripada kongkongan jahiliah kepada keluasan Islam, daripada gelap kekufuran kepada terangnya iman, daripada kezaliman nafsu kepada keadilan wahyu. Umat yang mahu berjaya mesti berhijrah daripada mengikut hawa nafsu kepada tunduk dengan segala arahan wahyu tanpa rasa was-was dan ragu-ragu lagi.

قال الرسول e  : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ  – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي

Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Kedatangan tahun baru hijrah sepatutnya mengubah diri kita daripada terus tunduk kepada sistem ciptaan manusia dengan berhijrah kepada sistem Islam. Kita lihat bagaimana perundangan manusia telah gagal apabila masalah Hiv/AIDS menunjukkan peningkatan dengan Malaysia kini berada di tempat kelima di rantau Asia Pasifik. Begitu juga dengan laporan bagaimana 5000 orang gadis Melayu menjadi tukang urut di sekitar Lembah Klang sahaja. Kini timbul pula golongan terutamanya bukan Islam yang mendesak agar mahkamah syariah berada di bawah kehakiman sivil yang sekuler sebagaimana pada era penjajah selepas perebutan mayat pendaki gunung Everest baru-baru ini. Desakan ini begitu merbahaya terutama agama Islam bakal dikawal sepenuhnya oleh mahkamah sivil. Perundangan yang sedia ada sekarang pun sudah banyak menyekat kebebasan umat Islam untuk mengamalkan seluruh sistem Islam apatah lagi jika ia dipinda. Malah desakan itu turut meminta agar menghalalkan perkahwinan bukan Islam dengan orang Islam tanpa perlu terlebih dahulu memeluk Islam, memberi kebebasan untuk murtad dan membuang identiti agama daripada kad pengenalan di mana kesemua desakan ini akan meletakkan umat Islam dalam penuh kehinaan di negara majoriti umat Islam. Kita bertambah terkejut dan bimbang dengan kenyataan Mufti Besar Negeri Perak yang memberitahu kini terdapat hampir 250,000 umat Islam yang murtad di negara ini iaitu kira-kira 100,000 orang Islam Melayu yang telah masuk Kristian. Manakala, 100,000 orang lagi sedang membuat permohonan menunggu untuk murtad. Selebihnya termasuk mereka yang memohon untuk menukar nama Islam di dalam kad pengenalan kepada nama fahaman lain. Apa sudah jadi pada umat Islam negara ini akibat gagal berhijrah daripada undang-undang ciptaan manusia kepada undang-undang Allah. Bolehkah kita hidup tenang, tidur senang, makan kenyang bila memikirkan tentang kerosakan aqidah dan akhlak yang semakin hari semakin berat ini. Sudah sampai saat dan ketikanya, sudah tiba waktu dan masanya untuk kita berhijrah daripada sistem jahiliah kepada sistem Islam dalam mengembalikan kemuliaan dan kejayaan umat Islam. Islamlah nescaya kita selamat dunia dan akhirat

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Sempena hari Jumaat yang mulia dan berada pula pada tahun baru hijrah maka kita sebagai umat Islam yang bermaruah dan sayangkan Rasulullah s.a.w mengutuk sekeras-kerasnya tindakan akhbar Denmark diikuti dengan beberapa akhbar negara seperti Norway, Perancis, Jerman dan Itali serta tidak berkecuali sebuah akhbar di Sarawak dan akhbar edisi petang negara ini yang melakukan kerja biadap dengan menyiarkan karikatur yang menghina nabi Muhammad s.a.w atas alasan kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara ada batasannya. Kesabaran ada tahap dan caranya. Jangan cuba bermain api dengan umat Islam. Biar nyawa melayang namun kemuliaan nabi Muhammad s.a.w tetap dipertahankan. Biar darah tumpah ke bumi namun kita tidak akan biarkan nabi dimaki. Umat Islam ada maruah bukannya boleh dpermainkan sesuka hati. Tunjukkan kemarahan kita terhadap kebiadapan musuh Islam ini dengan penuh hikmat dan jangan sekali-kali kita merasa perkara ini adalah kecil. Kita ingat kepada pesan imam as-Syafie : Sesiapa yang merasa marah tetapi dia tidak meluahkannya maka dia seumpama keldai dan sesiapa yang merasa redha terhadap sesuatu tetapi dia tidak dapat menerimanya maka dia seperti syaitan yang mana redha dengan ketuhanan Allah tetapi tidak mahu tunduk pada perintahNya

Firman Allah dalam ayat  74 surah al-Anfal :

والذين ءامنوا وهاجروا وجــهدوا فى سبيل الله والذين ءاووا ونصروا  أولئك هم المؤمنون حقا  لهم مغفرة ورزق كريم

Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: