• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Islam DiLaksana Dunia Bahagia Akhirat Sentosa

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Renungilah firman Allah dalam ayat 30 surah an-Nahlu :

وَقِيلَ لِلَّذِينَ اتَّقَوْا مَاذَا أَنزَلَ رَ‌بُّكُمْ ۚ قَالُوا خَيْرً‌ا ۗ لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا فِي هَـٰذِهِ الدُّنْيَا حَسَنَةٌ ۚ وَلَدَارُ‌ الْآخِرَ‌ةِ خَيْرٌ‌ ۚ وَلَنِعْمَ دَارُ‌ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya : Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertaqwa: “Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?” Mereka menjawab: “Kebaikan” orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa

Kini kita telah pun berada pada awal bulan Sya’aban di mana tidak berapa lama lagi kita akan sama-sama menyambut ketibaan Ramadhan. Masa berlalu begitu pantas dengan keadaan umat manusia yang bermacam-macam samada mengambil manfaat dengan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah dengan menambah bekalan akhirat atau menambah bebanan dosa maksiat. Setiap diri manusia sentiasa inginkan kebahagiaan walau pun usaha ke arah mencapainya tidak sama di mana ada yang bersungguh-sungguh berusaha memenuhi syarat dan cara untuk mencapai kebahagiaan hidup dunia seterusnya akhirat. Ada pula yang hanya berangan-angan sahaja untuk mencapai kebahagiaan sedangkan tindak tanduknya tidak lebih daripada menempah kesengsaraan hidup dunia dan akhirat.

Abdullah ibnu Abbas pernah menyatakan 7 tanda atau petunjuk kita mendapat kebahagiaan dunia yang menjadi gambaran awal untuk turut mengecapi kebahagiaan di akhirat nanti. [1] Memiliki hati yang selalu bersyukur dan menerima segala nikmat dengan penuh keikhlasan. Setiap Muslim wajib bersyukur ke atas pelbagai nikmat dikurniakan Allah SWT, baik kecil mahupun besar. Bersyukur dan mengingati Allah akan memudahkan semua amalan serta kegiatan

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Perkara ke-[2] antara petunjuk mendapat kebahagiaan dunia ialah memiliki pasangan hidup iaitu suami yang soleh atau isteri yang solehah. Islam daripada awal lagi menyeru umatnya supaya menjadikan agama sebagai pilihan terbaik ketika mahu memilih pasangan hidup. Seorang salafussolleh iaitu Abdullah ibnu Mubarak pernah menyatakan sekiranya kita memilih pasangan hidup berdasarkan keturunan semata-mata maka ia seumpama yahudi yang begitu berbangga dengan bangsa, sekiranya memilih pasangan berdasarkan kecantikan maka ia seperti Kristian manakala pemilihan pasangan berdasarkan harta seumpama Majusi. Berapa ramai pasangan yang asalnya baik menjadi rosak akibat salah pilih pasangan sehingga yang sentiasa menjaga solat mula mengabaikannya, yang menutup aurat mula membukanya. Oleh itu letaklah agama sebagai syarat utama pemilihan pasangan hidup agar kita dan keturunan kita mampu membina mahligai rumahtangga yang bahagia di dunia dan akhirat.

قال الرسول : أَ لاَ  أُخْبِرُكَ  بِخَيْرِ مَا يُكْنَزُ ؟ المَرْأَةُ الصَّالِحَةُ الَّتِى  ِإذَا نَظَرَ   ِإليَهْاَ سَرَّتْهُ، وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ، وَإِذَا غَابَ  عَنْهَا حَفِظَتْهُ  –  رواه أبو داود والحاكم

Maksudnya : Sukakah engkau aku beritahu tentang apakah simpanan yang paling baik?. Iaitu isteri yang solehah yang apabila engkau melihat kepadanya hati menjadi senang, apabila dia disuruh lalu dia menurutinya dan apabila suami tiada di rumah dia tetap menjaga kesetiaan terhadap suami

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 28 surah al-Anfal:

وَاعْلَمُوا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللَّـهَ عِندَهُ أَجْرٌ‌ عَظِيمٌ

Maksudnya : Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar

Tanda kebahagiaan dunia yang ke-[3] pula ialah memiliki anak soleh. Mahu memiliki anak soleh bukan senang kerana ia memerlukan kesungguhan dan pematauan yang berterusan. Jadilah kita sebagai ibu bapa yang pandai mendidik anak dengan mengisi keperluan zahir dan batin bukan hanya tahu ‘menternak’ anak dengan hanya memberi makan minum, pakaian, tempat tinggal sahaja tanpa menghirau aspek rohani. Seorang ulama’ iaitu Abdullah Naseh Ulwan dalam kitabnya Tarbiyatul Aulad menggariskan 5 panduan dalam kaedah mendidik anak serta mengekalkan disiplinnya. [1] Menunjukkan contoh teladan iaitu mengambil Nabi Muhammad s.a.w sebagai ikutan. [2] Memastikan disiplin anak dengan cara kebiasaannya. Pujangga Arab berkata, sesiapa yang terdidik dari kecilnya maka akan terbiasa sehingga dewasa. Bahkan imam Ghazali menyatakan, akhlak adalah perbuatan yang tidak perlu kepada berfikir dahulu, iaitu tindakan terus akibat menjadikan perbuatan itu adat kebiasaannya. [3] Menggunakan nasihat dan bimbingan. Bukan sekadar ibu bapa perlu menasihatkan anak, malah ibu bapa wajar meminta pandangan dan nasihat dari anak mereka. [4] Pendidikan berterusan dengan pemerhatian serta pengawasan ibu bapa. Apabila anak meningkat remaja, ibu bapa perlu mengawasi anak daripada berbuat perkara yang menyalahi agama. [5] Disiplinkan anak dengan denda dan hukuman. Ia bukan bersifat menghukum tetapi lebih kepada mendidik agar mereka mematuhi konsep tarbiah dalam kehidupan seharian.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 119 surah at-Taubah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَكُونُوا مَعَ الصَّادِقِينَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar

Petunjuk kebahagiaan dunia yang ke-[4] persekitaran yang merangsang untuk iman kita. Kita disuruh supaya bersahabat dengan orang yang dapat memberi kebaikan dan sering menasihati kepada perkara makruf serta menegah daripada kemungkaran. Pihak kerajaan pula wajib mewujudkan suasana yang menggalakkan rakyat untuk menjadi hamba Allah yang taat bukan menambah program maksiat yang merosakkan akhlak rakyat sehingga penagihan dadah terus bertambah, penzinaan dan pelbagai masalah jenayah terus bercambah.

Kebahagian dunia turut dicapai dengan memiliki perkara ke-[5]  iaitu harta yang halal. Ingatlah amaran nabi bagaimana walau pun sedikit daging yang tumbuh daripada sumber yang haram maka api neraka lebih layak membakarnya. Saban tahun kita diingatkan tentang Isra’ Mikraj termasuk balasan orang yang terlibat dengan riba yang menyebabkan perut mereka membesar sehingga tak dapat bergerak. Kita melihat system riba semakin subur termasuk dalam pinjaman pengajian PTPTN dan pegawai kerajaan. Negara juga masih banyak bergantung kepada sumber haram seperti judi dan arak yang mana cukai keduanya bagi tempoh 4 tahun dari 2006-2011 menjangkau RM 24.4 bilion. Dengan dasar kerajaan yang liberal, Malaysia kini membawa imej pengeksport industri judi terkenal di dunia bila akhbar NST 5 Jun lalu melaporkan syarikat Malaysia iaitu Genting Malaysia Bhd kini sedang berusaha untuk mendapat kelulusan mengembangkan pelaburan kasino perjudian sehingga ke New York, Amerika Syarikat. Ini belum bercakap berkenaan isu rasuah dan pecah amanah

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 11 surah al-Mujaadalah:

…. يَرْ‌فَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَ‌جَاتٍ ۚ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ‌

Maksudnya : …supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan

Kebahagiaan dunia yang ke-[6] dicapai dengan memiliki semangat memahami dan mendalami ilmu agama. Beruntunglah orang yang sentiasa berusaha dalam meningkatkan ilmu akhirat tanpa mengira usia dan kerjaya. Bagaimana kita mahu menambah bekalan akhirat dan menjauhi api neraka Allah tanpa ilmu mengenainya. Kita tidak mahu lagi mendengar anak-anak yang telah akil baligh tak tahu mengucap 2 kalimah syahadah, bakal pengantin yang tak tahu solat, orang tua tak tahu halal haram dan pelbagai penyakit buta agama yang lain. Wujudkan dalam rumahtangga dan suasana sekitar dengan budaya ilmu. Jangan hanya mengejar kejayaan cemerlang dalam ilmu dunia sedangkan ilmu agama tercorot di belakang. Jangan hanya tahu menjawab soalan temuduga ketika minta kerja dan naik pangkat dunia sahaja sedangkan soalan mungkar nakir dalam lubang kubur tak pernah difikirkan

 

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Tanda kebahagiaan dunia yang ke-[7] bila dianugerahkan dengan umur yang diberkati Allah. Antara 4 tanda memilki keberkatan umur ialah [1] suka bersedekah kerana ia merupakan perisai daripada api neraka. [2] Selalu menyuruh ke arah kemanfaatan dan kebaikan dalam kehidupan seharian. Manusia yang mahu bahagia sentiasa suka memberi nasihat dan suka juga mendengar nasihat [3] sentiasa berbakti kepada kedua-dua ibu bapa ketika mereka masih hidup atau telah meninggal dunia. Kita melihat suasana perderhakaan terhadap ibubapa semakin parah dalam masyarakat seolah-olah begitu banyak terpengaruh dengan budaya hidup masyarakat barat yang tersasar daripada agama [4] Memelihara hubungan sesama insan sama ada dengan ibu bapa, kaum kerabat, jiran tetangga dan juga sesama ummah. Kesibukan dengan urusan dunia tidak memandulkan sifat kasih sayang terhadap saudara seagama. Oleh itu rafakkan doa kepada Allah agar pembunuhan terhadap rakyat sendiri di Syria dihentikan. Kita turut meminta tindakan tegas daripada kerajaan untuk segera berusaha dalam menghentikan penghapusan etnik Ronghiya di Myanmar di mana ramai anak gadis Islam dirogol, mayat dicincang kemudian dicampak dalam rumah yang dibakar, menangkap seterusnya menembak mati seluruh isi rumah di mana 1 300 dilaporkan terbunuh manakala 3000 yang lain cedera tanpa mendapat rawatan yang disekat. Kita juga berdoa kepada Allah agar kemenangan tokoh gerakan Islam di Mesir segera diumum dan diiktiraf ketika musuh Islam berhempas pulas untuk menafikan kemenangan ini. Musuh Islam terutama zionis yahudi Israel begitu gerun dengan keputusan pilihanraya Presiden Mesir ini yang bakal mencorak masa depan Negara haram yahudi samada diteruskan atau dihapuskan. Yakinlah kita bahawa cahaya Islam tidak mampu dipadamkan walau pun pelbagai usaha jahat dilakukan oleh musuh. Kebangkitan Islam tidak mampu disekat dengan pelbagai kekuatan material yang digunakan. Di Mana bumi dipijak disitu Islam dijunjung. Takkan hilang Islam di dunia. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat.

Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Anfal:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَ‌ةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ ۗ وَالَّذِينَ كَفَرُ‌وا إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُ‌ونَ

Maksudnya :  Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Amalan puasa sunat Syaaban persiapan tempuh Ramadan

Latihan awal pelengkap nilai tambah ibadat wajib

DETIK akhir Syaaban adalah proses pecutan terakhir menghadapi Ramadan. Dalam mana-mana pertandingan besar, latihan penting kerana tanpa latihan yang bersungguh, maka dikhuatiri persembahan terbaik menjadi luntur.
Begitu juga Ramadan, menghadapinya bukan isu biasa tetapi sesiapa yang gagal mengutip peluang keemasan pada Ramadan itu, celaka jawabnya. Walaupun ibadah wajib itu suatu yang dibudayakan, nilai tambah amalan sunnah dalam Ramadan peluang setahun sekali.
Sebab itu Nabi SAW mengaminkan doa dipohon Jibril AS ketika Baginda menaiki mimbar. Ketika itu Jibril berdoa: “Celaka seseorang yang masuk Ramadan, puasa pada siangnya dan solat pada malamnya kemudian meninggal dan tidak diampuni dosanya dan ia dimasukkan ke neraka.” (Hadis riwayat Bukhari dalam Adab al-Mufrad)

Justeru, langkah drastik perlu dilakukan untuk menghadapi Ramadan. Contohnya, latihan berpuasa sunat Syaaban ibarat ibadah solat sunat rawatib yang menjadi ‘pengapit’ solat fardu, sebelum dan sesudahnya.

Berkata Imam Ibnu Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Lathaif Al-Ma’arif: “Seperti solat rawatib adalah solat yang mempunyai keutamaan kerana ia mengiringi solat wajib, sebelum atau sesudahnya, demikian puasa Syaaban kerana puasa Syaaban sangat dekat dengan puasa Ramadan; maka puasa itu mempunyai keutamaan dan puasa ini boleh menyempurnakan puasa wajib pada Ramadan.”

Pada masa sama, ada banyak lagi riwayat sahih menunjukkan Nabi SAW memperbanyakkan puasa pada Syaaban seperti hadis Ummul Mukminin Aisyah: “Bahawasanya Rasulullah SAW berpuasa hingga kami menyatakan, Baginda tidak berbuka. Dan Baginda berbuka (tidak berpuasa) hingga kami menyatakan, Baginda tidak berpuasa.”

Jelas kepada kita Baginda mengkhususkan Syaaban untuk memperbanyakkan puasa dibandingkan bulan lain. Ini disebabkan bulan berkenaan sering dilupakan kerana berada antara Rejab dan Ramadan.

Kemuliaan puasa Syaaban dijelaskan dalam hadis Usamah Zaid: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: Ya Rasulullah, aku tidak melihat engkau berpuasa pada bulan lain seperti engkau berpuasa pada Syaaban. Rasulullah menjawab: Bulan itu (Syaaban) adalah bulan yang dilupakan manusia, iaitu bulan antara Rejab dan Ramadan. Bulan itu bulan diangkatnya amal manusia kepada Tuhan semesta alam. Aku suka amalku diangkat sementara aku sedang berpuasa.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan an-Nasaie)

Walaupun memperbanyakkan puasa Syaaban itu satu sunnah, timbul persoalan adakah disunnahkan berpuasa penuh sepanjang Syaaban kerana ada riwayat antaranya dari Ummu Salamah: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa dua bulan berturut-turut kecuali Baginda pernah mencantumkan Syaaban dan Ramadan.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Nasaie)

Diriwayatkan Abu Daud: “Rasulullah SAW tidak pernah berpuasa lengkap dalam mana-mana bulan dalam setahun kecuali Syaaban iaitu Baginda mencantumkannya dengan Ramadan.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Ulama berselisih pandangan dalam memahami hadis itu kerana ada mengatakan maksud sebenar berpuasa sepanjang Syaaban hanya dilihat dari aspek bahasa. Imam Ibn Hajar berkata, maksud Baginda berpuasa penuh sepanjang Syaaban ialah berpuasa hampir keseluruhannya saja.

Kemudian Ibn Hajar mengatakan, maksud keseluruhannya pada kebiasaan orang Arab bererti ‘hampir keseluruhan atau hampir kesemuanya’.

Kemudian timbul pula isu bolehkah berpuasa selepas pertengahan Syaaban. Perkara ini menjadi perselisihan ulama berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah yang maksudnya: “Jika sudah tiba pertengahan bulan Syaaban maka janganlah kalian berpuasa.” (Hadis riwayat al-Khamsah – Ahmad, Abu Daud, Tirmizi, Nasaie dan Ibnu Majah)
Pandangan kalangan Mazhab Syafie, menegah dari berpuasa bermula 16 Syaaban. Ada yang menganggap makruh malah ada menafsirkan larangan yang dimaksudkan di sini ialah haram sama sekali.

Bagaimanapun, aliran mazhab Syafie tidak mengharamkan secara menyeluruh. Pengharaman ini dikecualikan kepada mereka yang sudah biasa berpuasa sebelum pertengahan Syaaban sama ada berpuasa pada hari tertentu seperti Isnin dan Khamis.

Jumhur ulama pula membolehkan berpuasa selepas separuh Syaaban kerana mereka mengklasifikasikan hadis itu sebagai hadis daif. Antaranya Imam Ahmad bin Hanbal dan Yahya bin Ma’in yang berhujjah hadis ini hadis mungkar kerana diriwayatkan oleh al-‘Alla’ bin Abdurrahman.

Turut mendaifkannya ialah al-Baihaqi dan al-Tahawi. Pendapat ini juga disokong oleh imam Mazhab Hanbali iaitu Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam kitabnya al-Mughni.

Bagi yang memegang pandangan jumhur ulama, maka ia boleh berpuasa selepas separuh bulan Syaaban manakala yang melihat kehebatan hujah itu lebih tepat mengikut pandangan Mazhab Syafie dan ulama terkemudian, maka lebih baik ia meninggalkan berpuasa selepas separuh Syaaban.

Kecuali bagi mereka yang melazimkan puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa nazar dan puasa ganti. Begitu juga bagi mereka yang sudah mula berpuasa dari awal Syaaban. Namun penulis lebih kuat berpegang kepada pandangan kedua dari Mazhab Syafie dengan mengambil kata-kata dari Al-Qari:

“Larangan berpuasa separuh akhir Syaaban bertujuan menjauhi perkara buruk kerana ia adalah suatu rahmat kepada umat supaya mereka tidak menjadi lemah dalam menunaikan ibadat puasa pada bulan Ramadan nanti. Tetapi bagi mereka yang berpuasa sepanjang Syaaban, sudah terbiasa dengan puasa dan ini tidak akan menyukarkan mereka melakukan ibadat itu.”

Khutbah Audio 39 – Islam DiLaksana Dunia Bahagia Akhirat Sentosa

Islam Dilaksana Maruah Terjaga

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 144 surah al-Baqarah :
قَدْ نَرَى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاء فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّواْ وُجُوِهَكُمْ شَطْرَهُ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوْتُواْ الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ وَمَا اللهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ
Maksudnya : Sesungguhnya Kami lihat engkau sentiasa mengadah ke langit, maka Kami palingkan engkau (menghadap) ke kiblat yang engkau ingini. Sebab itu, palingkanlah mukamu ke pihak Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, hadapkanlah mukamu ke pihaknya. Dan sesungguhnya orang yang diberi kitab mengetahui bahawasanya itu adalah kebenaran daripada Tuhan mereka. Dan Allah tidak lalai terhadap apa pun yang kamu kerjakan.
Kini kita berada pada awal bulan Sya’aban yang pernah melakar beberapa peristiwa besar dalam sejarah Islam antaranya peristiwa perubahan Qiblat daripada mengadap ke arah Masjid al-Aqsa di Palestin ketika mula-mula sampai di Madinah kepada mengadap Ka’abah di Masjidil Haram, Mekah selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah s.a.w memohon daripada Allah. Pertukaran qiblat ini telah menghentikan ejekan kaum yahudi terhadap nabi Muhammad s.a.w dan para muslimin kerana yahudi menganggap baginda tidak benar serta tidak tetap pendirian kerana terpaksa menghadap ke arah qiblat yang sama dengan yahudi iaitu Baitul Maqdis. Peristiwa ini memberi pengajaran besar kepada umat Islam agar kita mesti memerdekakan diri kita daripada mengikut jejak langkah musuh Islam terutama yahudi dan Kristian dalam setiap aspek kehidupan samada dalam sistem ekonomi, sosial, politik, perundangan dan sebagainya. Selagi sistem yang digunakan oleh oleh umat Islam masih berqiblat kepada sistem kuffar maka selagi itulah kita terus mundur dan terjajah dalam negara sendiri. Kita dapat saksikan bagaimana umat Islam sendiri kini hilang identity akibat meninggalkan solat, terlibat dengan pergaulan bebas yang menjurus kepada zina, minum arak, menagih dadah dan paling teruk keruntuhan aqidah. 2 minggu lepas kita mendengar berita tentang kematian Bertha atau nama Islamnya dulu Natrah yang pernah meninggalkan nostalgia berdarah pada tahun 1950 apabila dia dirampas daripada keluarga angkat dan suami tercinta seterusnya dimurtadkan oleh keluarga asal di Belanda. Kini bukan lagi anak angkat berbangsa Inggeris yang dimurtadkan tetapi anak orang Islam sendiri sebagaimana peristiwa pemurtadan secara terancang Aisyah Bukhari, Kartina Kamarudin dan ramai lagi, tidak terkecuali Lina Joy. Malahan minggu lepas kecoh di Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila 9 penganut Kristian termasuk dua pelajar UPM sendiri ditangkap atas dakwaan cuba menukar agama pelajar universiti tersebut. Walau pun mereka telah dibebaskan dengan dakwaan tidak melakukan perkara tersebut namun kita mesti berhati-hati supaya golongan yang cuba melanggar Undang-undang negara yang melarang seseorang bukan Islam menyebarkan agama kepada seorang Muslim dapat disekat. Beringat sebelum kena, cegah sebelum parah, sekat sebelum merebak. Akibat umat Islam hilang identity dan mandul perasaan terhadap agama menyebabkan kes murtad menjadi suatu perkara biasa yang tidak perlu dibimbangkan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar
Bulan Sya’aban juga pernah berlakunya Peperangan Bani Mustaliq iaitu pada tahun 6 Hijrah . Peperangan ini meletus selepas Rasulullah s.a.w bertindak pantas menghantar tentera apabila mendengar bahawa Bani Mustaliq pimpinan al-Harith bin Abi Dirar sedang bersiap untuk menyerang umat Islam. Tindakan nabi itu telah menyebabkan perancangan jahat Bani Mustaliq dapat dipatahkan dengan mudah sehingga ramai yang menjadi tawanan. Inilah kehebatan dan ketegasan kerajaan Islam di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w yang tidak mampu dipermain dan diperlekehkan oleh musuh Islam sesuka hati kerana meletakkan Islam di tempat mulia
Tidak sebagaimana umat Islam hari ini yang dijangkiti penyakit terlalu cinta dengan dunia dan takut kepada mati terus berdepan dengan keganasan musuh Islam silih berganti tanpa pembelaan sewajarnya. Belum reda pembunuhan kejam di Masjid Selatan Thailand kini kita dapat menyaksikan bagaimana adanya umat Islam Uighur, China ditembak di depan masjid secara rambang. 6 Julai sahaja menyaksikan hampir 200 umat Islam ditembak mati oleh polis China secara rambang, 800 cedera dan lebih seribu yang dipenjara. Perlu diketahui bagaimana umat Islam berbangsa Uighur telah dijajah semenjak 1949 sehingga dipaksa menganut fahaman komunis dengan meninggalkan Islam. Sesiapa yang didapati sembahyang akan dikupas kulit kepala, tapak kaki dan dicabut kaki dan kepala menggunakan trak, diseksa dalam penjara tanpa diberi mandi dan melihat cahaya matahari selama 1 – 2 tahun, dimasukkan bom dalam kemaluan perempuan. Kekejaman ini seolah mahu dimulakan kembali terhadap umat Islam sehingga umat Islam dilarang menunaikan haji bermula 2007, umat Islam bawah 18 tahun dilarang ke masjid dan ada masjid ditutup daripada solat Jumaat dan Fardhu atas alasan bimbang membangkitkan semangat untuk merusuh. Begitu juga pembunuhan kejam pada 1 Julai lalu terhadap seorang ibu muda bernama Marwah Syarbini yang berasal dari Mesir di mana beliau yang sedang mengandung 3 bulan ditikam sebanyak 18 kali oleh seorang pemuda Jerman berbangsa Rusia dalam Mahkamah Jerman ketika membicarakan kes pemuda tersebut yang mengganggu dan menghina beliau semata-mata kerana bertudung. Apa yang lebih kejam apabila suaminya yang ingin membantu isterinya daripada ditikam, telah ditembak oleh pasukan keselamatan Jerman sehingga cedera parah dengan alasan tersilap tembak. Umat Islam diperlakukan lebih hina daripada binatang oleh musuh Islam. Namun sedihnya dunia cuba menyembunyikan pembunuhan kejam ini dan Marwah Syarbini disemadikan di Mesir dengan kehadiran umat Islam yang agak ramai walau pun tidak sehebat dunia meratap kehilangan Raja Pop Michael Jackson. Begitu juga dengan penderitaan umat Islam di Palestin yang terus dibunuh dan dirampas tanah mereka oleh zionis yahudi tanpa dibantu oleh kerajaan umat Islam yang lain. Kita berasa kecewa dengan tindakan Menteri Pertahanan negara kita yang sanggup duduk semeja dengan pembunuh Ehud Barak Menteri Pertahanan Israel bagaikan mengiktiraf negara haram tersebut dan menghalalkan pembunuhan saudara seagama di Palestin bumi Isra’ Mikraj dan Qiblat pertama umat Islam.
Sidang Jumaat Yang diberkati Allah ,
Firman Allah dalam ayat 11 surah an-Nur :
إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ ۚ لاَ تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَكُمْ ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَكُمْ ۚ لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ مَا اكْتَسَبَ مِنَ الإِثْمِ ۚ وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Maksudnya : Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari kalangan kamu juga. Janganlah kamu anggap bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik untukmu. Setiap orang dari mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya. Dan sesiapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam menyiarkan berita bohong itu maka baginya azab yang amat besar
Ketika pulang dari Peperangan Bani Mustaliq ini tersebarnya khabar Ifk atau berita bohong yang dilempar terhadap diri Siti Aisyah yang dituduh melakukan perbuatan sumbang dengan Safwan bin al-Mu’tal. Fitnah ini dimainkan oleh golongan munafik pimpinan Abdullah bin Ubai bagi menjatuhkan maruah Rasulullah s.a.w sendiri sebagai nabi dan suami, maruah Abu Bakar dan isterinya Ummu Ruman sebagai ibubapa kepada Siti Aisyah, maruah Siti Aisyah sendiri sebagai isteri nabi, maruah Safwan bin al-Mu’tal sebagai seorang muslim yang setia kepada Islam dan maruah seluruh umat Islam yang lain. Fitnah ini begitu kuat sehingga Rasulullah s.a.w sendiri tidak mampu berbuat apa-apa terutama wahyu tidak turun selama sebulan selepas peristiwa tersebut. Akhirnya turunnya ayat 11 surah an-Nur yang menjelaskan bagaimana bersihnya Siti Aisyah daripada sebarang tuduhan liar yang ditujukan kepadanya. Selepas itu, Rasulullah s.a.w sendiri meminta agar diselidik mengenai orang yang mula-mula menaburkan fitnah yang dahsyat ini di mana akhirnya 3 orang dihukum dengan hukuman qazaf 80 kali sebatan iaitu Hasan bin Thabit, Musytaq dan seorang perempuan bangsawan Quraisy. Peristiwa ini memberi pengajaran yang begitu besar kepada umat Islam supaya berhati-hati dan cermat terutama dalam berdepan dengan fitnah dan tuduhan liar terhadap Islam dan umatnya. Pada hari ini menjadi suatu kebiasaan menuduh orang berzina atau liwat tanpa bukti demi menjatuhkan maruah seseorang untuk kepentingan diri
Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia maka kita buat kalinya mendesak agar undang-undang rimba ISA dihapuskan. Umat Islam bermaruah dan bencikan kezaliman diseru untuk datang ke Kuala Lumpur pada hari Sabtu depan 1 Ogos bagi menghadiri Himpunan 100 ribu mansuhkan ISA. Umat Islam juga dianjurkan untuk banyakkan solat hajat dan berdoa kepada Allah agar dilembutkan hati pemimpin untuk menghapuskan ISA yang menyebabkan tahanan dan ahli keluarga mereka menderita. ISA bukan untuk menjaga kemananan negara sebaliknya untuk mempertahankan pemimpin daripada pangkat yang ada. ISA adalah suatu tindakan yang zalim dan kejam yang bukan sahaja bercanggah dengan semangat demokrasi malah bertentangan dengan Islam. Takutlah pada amaran Allah melalui ayat 58 surah Al-Ahzab :
وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti (menyeksa) mukiminin atau mukminat dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan perbuatan atau kesalahan yang dilakukan, maka sesungguhnya mereka itu menanggung pembohongan dan dosa besar yang nyata,”
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khutbah Audio 38 – Isra’ Mikraj DiHayati Sistem Islam DiJulang Tinggi

Malaysia bawa imej pengeksport judi dunia

KUALA LUMPUR: “Dengan dasar kerajaan yang liberal, Malaysia kini membawa imej pengeksport industri judi terkenal di dunia,” kata Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid .

Katanya, hal ini dapat dilihat dalam laporan akhbar NST semalam (5 Jun) di ruangan Business Times yang melaporkan syarikat Malaysia iaitu Genting Malaysia Bhd kini sedang berusaha untuk mendapat kelulusan mengembangkan pelaburan kasino perjudian sehingga ke New York, Amerika Syarikat.

Dalam kenyataannya berdasarkan aliran tunainya yang kukuh ia mungkin membida salah satu lesen kasino yang ditawarkan di New York atau di Florida.

Ia berdasarkan operasi kasino yang dijalankan oleh Resorts World Genting yang didapati sangat kukuh.

Mohd Azmi berkata, dalam laporan NST semalam, berita mengenai cadangan syarikat judi itu berunding dengan pihak kerajaan di Amerika Syarikat sedang diusahakan.

Beliau menambah, World Resorts Genting memang terkenal dengan industri judi, malah Singapura sendiri telah mengundangnya untuk membina kasino di negara itu beberapa tahun yang lalu.

Katanya, ditambah lagi kini laporan berjudi dalam Kejohanan Bola sepak Negara Eropah (Euro) @012 sudah bermula dan akan melibatkan pertaruhan berjuta ringgit dan Malaysia tidak ketinggalan.

“Sindiket pertaruhan setiap perlawanan bolasepak dunia sudah lama bertapak di Malaysia. Hanya semada pertaruhan itu beroperasi secara berlesen atau tidak,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, dianggarkan nilai industri judi di Malaysia mencecah anggaran RM10 bilion setahun.

“Soalnya dasar kerajaan yang liberal mengenai judi menyebabkan amalan berjudi sangat berleluasa,” katanya lagi.

Sehubungan itu, ujarnya Mapim menyatakan pendiriannya bahawa kerajaan sepatutnya mewujudkan polisi yang tegas untuk menghapuskan industri judi secara beransur-ansur kerana implikasi negatif kepada sosial, ekonomi dan keselamatan negara sangat jelas.

“Kami percaya bahawa semua kaum dan agama di negara ini menerima hakikat bahawa keburukan judi adalah jauh lebih besar berbanding manfaat,” ujarnya.

Oleh itu, tegasnya tidak ada sebab kenapa kerajaan harus terus melanjutkan polisi mewujudkan lesen judi untuk mengawal judi haram.

Beliau berkata, Mapim menilai bahawa isu lesen judi bola yang pernah dilulus oleh kerajaan dan kemudian ditarik balik dan ditangguh kelulusannya tiga tahun yang lalu menunjukkan kerajaan sendiri tidak tegas dengan menghapus sebuah industri yang mendatangkan kesan buruk kepada negara.

“Kami dengan ini menuntut supaya pengeluaran lesen judi dinilai semula dan polisi ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara sifar judi harus menjadi dasar yang diamalkan di Malaysia,” ujarnya

Apa fatwa tinggal puasa Ramadhan rai Sukan Olimpik

Oleh Salmiyah Harun

KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa terhadap atlet beragama Islam yang akan menyertai sukan Olimpik pada bulan Ramadan bermula 27 Julai ini.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berpandangan walaupun Malaysia mempunyai peserta bukan Islam tetapi bagaimana dengan peserta Islam yang bertanding bagi acara yang tidak sesuai untuk berpuasa sama ada etika berpakaian yang tidak sesuai dengan Islam.
Setiausaha Agung, Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid juga berkata, adalah tidak sesuai untuk umat Islam menggadaikan kesucian Ramadan hanya kerana hendak mengejar medal Olimpik.

“Itu adalah sesuatu yang tidak wajar, peserta umat Islam perlu utamakan penghormatan bulan Ramadan dan etika bersukan di peringkat antarabangsa.  Pendirian Majlis Fatwa dapat menjelaskan perkara ini,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau melahirkan kebimbangan terhadap senario ini,  apabila kewajaran Olimpik memulakan ‘precedent’ pada bulan Ramadan tambahan pula umat Islam seluruh dunia tidak ambil kisah maka tidak mustahil ia boleh dilakukan lagi selepas ini.

“Bila acara dunia seperti ini memulakan pada bulan Ramadan pun kita tidak kisah, maka sudah menjadi alasan mereka tidak ambil kisah tentang sensitiviti agama selepas ini,” katanya.

Jelasanya, senario ini menunjukkan barat tidak ambil kisah tentang agama walaupun mereka sering kata menghormati agama Islam di peringkat dunia.

Bagi Mapim, penentu atur cara Olimpik sepatutnya dari awal memastikan tidak berlaku pada bulan Ramadan sebagai menghormati penyertaan peserta-peserta dari negara Islam.

Dan, Mapim tidak menolak penganjuran ini wujudnya unsur-unsur tidak menghormati budaya dan agama di peringkat global.

“Apabila teruskan jadual itu maka negara-negara Islam harus bersepakat untuk menentukan sikap sama ada sesuai atau tidak peserta  Islam menyertai sukan itu.  Sudah tentu ianya adalah suatu hak negara untuk tentukan sama ada mahu menyertai atau tidak kerana alasan agama,” katanya.

Mapim melahirkan kekecewaan malah membantah sikap penganjur sukan Olimpik yang tidak bersikap toleransi dengan budaya dan agama tidak diambil kira,  dalam acara itu memperjelaskan lagi bahawa agenda global sudah menguasai sampai mengenepikan unsur-unsur agama.

Sementara itu, Angkata Belia Islam Malaysia (Abim) turut mempunyai pandangan yang sama di mana Majlis Fatwa Kebangsaan juga wajar menasihati pimpinan negara bagi mengatasi masalah ini.

Ini kerana menurut Presiden Abim,  Amidi Abd Manan  ada yang berpendapat dibenarkan meninggalkan puasa Ramadan kerana bersukan dan perkara ini perlu diperjelaskan sebaiknya.

“Kalau kita diniatkan untuk bermusafir di Olimpik nanti untuk dibenarkan tidak berpuasa, kita harus ingat musafir ada tempoh tempoh tertentu. Malah ada ramai juga mengatakan kalau kita turun tengok bola, itupun dalam negara kita tidak boleh dikira musafir,” katanya.

Bagaimanapun beliau akan berbangga sebagai orang Islam dan warga negara Malaysia  jika melihat atlet negara yang sanggup tarik diri kerana pentingkan syariat.

“Tinggal puasa semata-mata untuk raikan Sukan Olimpik perkara ini perlu diperhalusi  kerana ia menjadi contoh kepada masyarakat, kerana dibimbangi alasan ini akan dipakai selepas ini.
Perlu tengok luas-luas perkara ini,” katanya.

Sukan Olimpik 2012 dijadualkan berlangsung di London bermula 27 Julai sehingga 12 Ogos, sebanyak 204 buah negara menyertai sukan ini termasuklah negara Islam.  Kira-kira 10, 250 atlet akan bertanding dalam 300 acara dan 26 sukan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong  berkata, terpulang kepada atlet berkenaan sama ada mahu meneruskan puasa mereka apabila beraksi di pentas Olimpik nanti walaupun beliau secara peribadi menganggap bersukan juga satu perjuangan dan ada ketikanya ibadat itu dibolehkan untuk digantikan pada waktu lain

150. ISRA’ MIKRAJ PERINGATAN BERHARGA

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :

سبحن الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذي بركنا حوله لنريه من ءايتنا  إنه هو السميع البصير

Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

            Bulan Rejab telah mencatatkan suatu peristiwa penting yang telah berlaku terhadap diri Rasulullah s.a.w iaitu Isra’ dan Mikraj di mana melalui peristiwa inilah maka umat Islam diwajibkan agar mendirikan sembahyang lima waktu sehari semalam. Isra’ yang merupakan perjalanan nabi pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa manakala Mikraj pula merupakan perjalanan nabi dari Masjidil al-Aqsa ke langit tertinggi di mana peristiwa ini yang merupakan antara mukjizat nabi Muhammad s.a.w telah berlaku terhadap tubuh dan ruh Rasulullah s.a.w bukannya secara ruh sahaja sebagaimana pendapat sesetengah golongan. Jika melihat kepada maksud diperjalankan hambaNya di mana erti hamba itu sendiri ialah tubuh dan ruh bukan ruh sahaja disamping perjalanan ini ditemani oleh malaikat Jibril dengan menaiki Buraq di mana jika perjalanan itu hanya dengan ruh sahaja maka tidak perlu kepada binatang tunggangan. Malah nabi Muhammad s.a.w turut dibelah hatinya untuk dibersihkan hatinya dengan air zamzam yang menambahkan lagi keyakinan bahawa peristiwa Isra’ dan Mikraj ini berlaku terhadap tubuh dan ruh nabi.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

            Ada juga golongan yang mengatakan bahawa Isra’ dan Mikraj hanya berlaku secara ruh iaitu melalui mimpi dengan menafsirkan makna الرؤيا dalam ayat 60 surah al-Isra’ sebagai mimpi bukannya melihat dengan mata iaitu Firman Allah S.W.T :

وما جعلنا الرؤيا التى أريناك إلا فتنة للناس

Maksudnya sebagaimana tafsiran golongan tersebut :  Dan bukanlah Kami jadikan mimpi yang Kami perlihatkan kepada engkau (Wahai Muhammad) melainkan sebagai ujian bagi umat manusia.

            Tafsiran ini ditolak kerana maknaالرؤيا  dalam ayat tersebut ialah melihat dengan mata bukannya sekadar mimpi. Malah kalimah فتنة bererti ujian yang datang dalam ayat ini menjelaskan lagi tentang maksud الرؤيا sebelumnya di mana jika Isra’ dan Mikraj hanya berlaku secara mimpi maka ia tidak begitu menguji keimanan manusia kerana mimpi mudah dipercayai walau sejauh mana pun seseorang itu pergi dalam masa yang sekejap sedangkan apabila nabi memberitahu manusia bahawa baginda diperjalankan dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa seterusnya naik ke langit dalam suatu malam sahaja maka  ia sudah tentu menguji keimanan seseorang sehingga yang kufur semakin kufur dan yang telah Islam ada yang kembali murtad.

            Ulama’ turut menolak hujah mereka yang mengatakan peristiwa Isra’ dan Mikraj hanya melalui mimpi dengan menimbulkan beberapa persoalan seperti adakah arahan kewajipan sembahyang lima waktu yang merupakan tiang agama hanya diterima melalui mimpi sehingga ia menjadi arahan yang begitu lemah tidak sebagaimana rukun Islam yang lain. Adakah dikira suatu mukjizat yang hebat jika Isra’ dan Mikraj hanya berlaku secara mimpi kerana manusia biasa pun boleh bermimpi sedangkan jika ia berlaku secara tubuh dan ruh maka ia menampakkan lagi tanda kenabian nabi Muhammad s.a.w.

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

             Ada juga golongan yang cuba mempertahankan Isra’ dan Mikraj dengan ruh sahaja dengan menggunakan hadis yang didakwa daripada Siti Aisyah iaitu :

مَافَقَدْتُّ جَسَدَ رَسُوْلِ اللهِ وَاِنَّمَا أَسْرَى بِرُوْحِهِ

Maksudnya : Aku tidak pernah kehilangan tubuh Rasulullah dan adapun baginda diperjalankan dengan ruhnya

            Ulama’ menyatakan bahawa hadis ini mungkin direka dan bukan daripada percakapan Siti Aisyah memandangkan dia belum berkahwin lagi dengan nabi apatah lagi tinggal serumah dengan baginda semasa Isra’ dan Mikraj yang berlaku sebelum Hijrah di mana Siti Aisyah hanya tinggal serumah dengan nabi selepas Hijrah. Melalui beberapa hujah yang diterangkan secara ringkas maka yakinlah kita bahawa peristiwa Isra’ dan Mikraj yang merupakan antara mukjizat nabi Muhammad s.a.w berlaku terhadap tubuh dan ruhnya.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

                Antara pengajaran yang dapat diambil daripada peristiwa bersejarah ini ialah tentang siksaan ahli neraka yang telah diperlihatkan kepada nabi Muhammad s.a.w semasa dibawa melawat neraka. Antaranya siksaan terhadap orang yang meninggalkan sembahyang di mana mereka memecahkan kepala mereka sendiri. Ini merupakan suatu amaran yang keras agar kita dan keluarga kita  serta masyarakat sekitar dapat menjaga sembahyang dengan baik terutama pada hari ini ramai di kalangan umat Islam tanpa segan silu meninggalkan sembahyang dengan pelbagai alasan termasuk kerana terlalu sibuk dengan kerja. Bermula daripada meninggal sembahyang inilah maka umat Islam mula melanggar segala perintah dan larangan Allah yang lain yang menyebabkan kita hidup melarat di dunia. Oleh itu insaflah kita dengan sentiasa memenuhi masjid sepanjang masa bukannya hanya pada hari Jumaat atau hari raya sahaja. Kita turut menyeru agar pemimpin menghentikan sebarang usaha dalam menyekat kebebasan masjid daripada berfungsi sebagaimana sepatutnya agar rakyat kembali jinak dengan masjid sehingga lahirnya lebih ramai umat bertaqwa yang hampir kepada Allah yang menjamin keselamatan negara.

            Nabi turut melihat bagaimana siksaan terhadap mereka yang tidak menunaikan zakat di mana mereka dihalau seumpama binatang dan kemudiannya mereka memakan buah Zaqqum daripada bara api neraka yang begitu panas sehingga hancur tubuh mereka. Oleh itu tunaikan zakat kita samada zakat fitrah, perniagaan, harta, tanaman, pendapatan dan selainnya sehingga harta kita benar-benar dapat dibersihkan daripada harta hak orang lain. Jika seluruh umat Islam dapat menunaikan zakat dan ia pula dapat diagih dengan baik maka ini semua dapat mengurangkan kadar kemiskinan dalam negara serta merendahkan jurang antara golongan kaya dan miskin. Kita begitu bimbang apabila kekayaan hanya berlegar di kalangan orang kaya dan pemimpin sahaja sehingga jurang antara golongan kaya dan miskin serta kaum semakin tinggi yang menyebabkan suasana sebagaimana keadaan sebelum meletusnya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei hampir berulang kembali sekarang ini.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T,

            Nabi Muhammad s.a.w turut diperlihatkan bagaimana golongan penzina yang bertindak memilih daging yang mentah dan busuk berbanding daging yang telah masak dan baik. Ini memberi peringatan kepada kita agar sentiasa menjauhi sebarang pintu dan punca yang membawa kepada zina. Agak malangnya negara yang dilaungkan Islam Hadhari dalamnya tetapi telah membuka pintu zina yang begitu luas seumpama penambahan kepada bilangan disko, penambahan kilang arak terutama perancangan pembinaan kilang arak di Johor oleh syarikat Filiphina, program tv yang membangkitkan nafsu, majalah separa lucah yang begitu bebas, halalnya program hiburan yang melampau sehingga golongan yang melawan mufti bebas bercakap dan bertindak mengikut nafsu serta keberanian dalam melarang kaum wanita daripada memakai pakaian yang sepatutnya sedangkan pakaian yang membuka aurat lebih digalakkan. Kita bimbang penzinaan akan menjadi suatu budaya yang dianggap lambang kemajuan sebagaimana rosaknya masyarakat barat yang telah lama tergadai harga diri. Kita begitu gerun apabila Islam Hadhari meneruskan lagi dasar Islam digari sehingga maksiat semakin berleluasa sedangkan amalan dan tindakan baik terus dipenjara. Kita turut mengutuk dan mengecam tindakan kerajaan Islam Hadhari yang menghalalkan konsert Scorpion pada 13 September ini yang bukan sahaja menghina umat Islam yang memperingati peristiwa Isra’ dan Mikraj malah bakal merosakkan lagi akhlak muda mudi. Jika dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj nabi tidak menyahut panggilan Kristian tetapi hari ini tanpa segan silu pemimpin menjemput dakyah Kristian dalam meneruskan pencabulan kehormatan hari kebesaran umat Islam sedangkan taqwim hijrah sudah diketahui umum. Inilah antara tanda betapa rosaknya pemimpin yang mahu mengubati penyakit keruntuhan akhlak dengan racun berbisa.

            Seterusnya Rasulullah s.a.w melihat bagaimana orang yang tidak menunaikan amanah dipaksa mengangkat seberkas kayu di mana walau pun tidak mampu memikulnya tetapi dia tetap menambah bilangan kayu itu. Ini memberi peringatan agar kita tidak terlalu mengejar pangkat dan kedudukan kerana ia merupakan suatu amanah yang besar. Betapa malangnya apabila jawatan dan kedudukan direbut sehingga menghalalkan rasuah yang digelar dengan politik wang sehingga pangkat dikira sebagai suatu pelaburan yang menguntungkan di mana semakin tinggi jawatan maka semakin banyak untung yang diperolehi. Sedangkan antara perkara yang diajar oleh politik Islam ialah semakin tinggi jawatan maka semakin besar amanah yang menyebabkan harta semakin kurang kerana banyak dihabiskan untuk membantu rakyat jelata yang semakin ramai di bawah tanggungjawabnya. Ingatlah pesanan Khalifah Umar bin Abdul Aziz di mana semakin kaya pemimpin maka semakin miskin rakyatnya dan semakin miskin pemimpin maka semakin kaya rakyatnya. Pemimpin yang berlaku adil dalam menunaikan amanah bakal berada di bawah bayangan arasy serta syurga Allah sedangkan pemimpin yang mengkhianati amanah bakal menempah api neraka. Sayyidina Hassan bin Ali pernah berpesan bahawa dosa yang paling besar ialah tidak beramal tetapi mahu pahala, mahu syurga tetapi melakukan amalan ahli neraka.

Firman Allah S.W.T dalam ayat 13 – 15 surah an-Najmu :

ولقد رءاه نزلة أخرى عند سدرة المنتهى عندها جنة المأوى

Maksudnya : Dan sesungguhnya nabi Muhammad telah melihat malaikat Jibril pada waktu lain ketika berada di Sidratul Muntaha di mana disampingnya ada Syurga al-Ma’wa

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

55. IKTIBAR PERISTIWA ISRA’ DAN MIKRAJ

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah

Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :

سبحن الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذي بركنا حوله لنريه من ءايتنا  إنه هو السميع البصير

Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Kita kini sedang berada di bulan Rejab yang telah mencatatkan suatu peristiwa penting di mana pada tanggal 27 Rejab tahun kesebelas selepas daripada kenabian Rasulullah s.a.w dan 2 tahun sebelum berlakunya hijrah nabi s.a.w ke Madinah Munawwarah, telah berlaku peristiwa isra’ dan mikraj di mana ia merupakan satu bukti tentang kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah dalam memperjalankan diri Rasulullah s.a.w dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa, Baitul Maqdis Palestin dan seterusnya nabi di angkat ke langit untuk bertemu Allah dalam masa yang begitu singkat.

Peristiwa ini telah membongkarkan tentang keimanan dan keyakinan umat manusia terhadap kekuasaan Allah dan kebenaran kepada kenabian nabi Muhammad s.a.w. Orang kafir sendiri menjadikan peristiwa Isra’ dan Mikraj ini sebagai suatu pembohongan yang menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah nabi. Manakala keadaan umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat di mana ada yang terus membenarkan nabi seperti Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, ada pula yang mahu penjelasan terperinci dengan menguji nabi melalui beberapa pertanyaan seperti bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran kepada cerita tersebut dan ada pula yang bersikap menolak terus cerita nabi dan kembali murtad daripada Islam. Perkara seperti inilah juga yang terpaksa dihadapi oleh kita pada hari ini apabila usaha dalam melaksanakan semula semua sistem Islam dalam negara maka di sana timbulnya beberapa golongan iaitu golongan pertama yang seratus peratus yakin dengan kemampuan Islam serta berusaha dengan kemampuan yang ada untuk melaksanakannya.

Golongan yang kedua terdiri daripada mereka yang tahu tentang kemampuan sistem Islam tetapi sentiasa mencari jalan agar ia tidak dapat dilaksanakan dengan memcari pelbagai alasan. Golongan ketiga iaitu golongan pelampau terdiri daripada mereka yang menolak terus sistem Islam malah memberi amaran akan melakukan huru hara jika ada pihak yang berusaha untuk melaksanakannya dalam negara ini. Jika umat dahulu berasa pelik apabila nabi menceritakan tentang Isra’ dan Mikraj maka umat zaman kini merasa pelik apabila disebut tentang sistem Islam yang menyeluruh sedangkan sistem ini pernah dilaksanakan di negara ini pada masa pemerintahan Kesultanan Melayu sebelum datangnya penjajah. Umat Islam menjadi pelik dengan agama mereka sendiri kerana mereka telah diajar dan diasuh oleh pemimpin yang jahil dan sesat saban hari melalui tv, radio, akhbar dan sebagainya agar memusuhi dan memerangi sistem Islam yang menyeluruh.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku selepas nabi diuji dengan kematian dua orang yang paling rapat dan banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Tolib. Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua insan yang disayangi semakin bertambah di mana jika kita perkirakan dari segi logik akal maka Islam pasti akan terkubur tetapi kuasa Allah melebihi segala-galanya di mana selepas penolakan dakwah oleh penduduk Taif, nabi telah dihiburkan dengan Isra’ dan Mikraj dan seterusnya diizinkan untuk berhijrah ke Madinah sehingga membina Daulah Islamiah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada lemah kepada memerintah. Dalam peristiwa di Taif di mana penduduknya bukan sahaja menolak mentah-mentah dakwah Islam malah telah melontar batu ke arah nabi sehingga berlumuran darah. Kita dapat melihat nabi telah diberi peluang untuk menang mudah iaitu tawaran daripada malaikat penjaga bukit untuk menjadikan bukit bawah jagaannya sebagai emas tetapi ditolak oleh nabi sebagaimana nabi menolak tawaran malaikat penjaga bukit yang ingin menghancurkan penduduk Taif yang begitu degil dengan menjatuhkan bukit ke atas penduduk Taif. Penolakan nabi ini memberi banyak pengajaran kepada kita umat Islam di mana kekayaan bukanlah faktor utama dalam menegakkan Islam kerana jika kita perhatikan pada hari ini kebanyakan negara umat Islam dianugerahkan dengan hasil mahsul negara yang banyak tetapi ia tidak membantu pelaksanaan sistem Islam dan tidak pula membantu untuk umat Islam bersatu dalam menghentikan penderitaan umat Islam yang sedang ditindas. Kekayaan hanya dibolot oleh pemimpin dan mereka yang dekat dengan pemimpin sedangkan rakyat terus menderita dan ditegah daripada bersuara menegur kesesatan dan kezaliman pemimpin. Islam bukan mampu bangkit dengan kekuatan ekonomi semata-mata tetapi Islam bangkit melalui kekuatan aqidah yang ditanam dalam diri. Islam juga bukan tersebar atas paksaan tetapi ia mampu menawan hati manusia dengan keadilan dan keindahan seluruh sistemnya sehingga tawaran kesenangan dunia dengan sendiri akan ditolak apabila semangat Islam telah menguasai diri seseorang. Kekuatan aqidah inilah yang menjadi musuh kepada mereka yang melawan Islam daripada golongan kuffar dan munafik. Kita perlu ingat bahawa tiada istilah menang mudah dalam memperjuangkan Islam kerana ia menuntut kepada kesabaran dan istiqamah sebelum datangnya janji kemenangan daripada Allah

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Peristiwa Isra’ Mikraj berlaku di dua tempat utama di bumi sebelum nabi dinaikkan ke sidratul muntaha iaitu bumi Mekah dan Palestin malah melalui ayat 1 surah Isra’ menjelaskan bagaimana Allah memberkati bumi isra’ dan sekitarnya. Sehingga kini bumi Isra’ iaitu Baitul Maqdis, Palestin terus menjadi rebutan tiga agama iaitu Islam, Kristian dan yahudi di mana keganasan yahudi dalam membunuh dan merampas tanah milik umat Islam terus berjalan tanpa perikemanusiaan. Kuasa Kristian yang dibeli oleh yahudi terutama Amerika Syarikat turut menggalakkan pembunuhan umat Islam malah kuasa kristian atas nama memerangi keganasan terus menjadikan umat Islam sebagai sasaran kepada senjata milik mereka. 2 kuasa besar masa kini iaitu kuasa Kristian dan yahudi seumpama 2 kuasa besar Rom dan Parsi yang pernah dihadapi oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat pada zaman itu di mana akhirnya turut tunduk dan patuh kepada pemerintahan Islam. Kemenangan Islam dalam menakluki 2 kuasa besar tersebut telah diperolehi samada melalui perang atau pun perdamaian. Sebagaimana kuasa Rom dan Parsi memandang rendah kepada Daulah Islamiah yang dibina oleh nabi di Madinah pada awalnya tetapi akhirnya mereka sendiri merasa gerun melihat kehebatan sebuah pemerintahan Islam yang diasaskan atas aqidah dengan membina kemajuan tamadun kebendaan tanpa mengabaikan pembangunan insan. Begitulah terjadi pada hari ini di mana selepas penjajahan dan negara-negara umat Islam diberikan kemerdekaan maka kuasa penjajah terutama kristian begitu mengambil berat tentang kepimpinan yang sedang dan akan memerintah di negara jajahan mereka sebelum ini agar pemimpin yang dilantik mestilah meneruskan dasar penjajah walau dengan apa cara sekali pun termasuk cara kekerasan dengan menekan rakyat agar tidak kembali kepada pemerintahan Islam. Dunia kini secara keseluruhan mula kembali semula kepada Islam terutama selepas serangan terhadap 2 bangunan di Amerika pada 11 September 2001 yang lepas. Kuasa yahudi dan kristian berasa gerun dengan perubahan yang mendadak lalu mengambil tindakan lebih ganas dan kejam dengan menggelarkan umat Islam sebagai pengganas yang mesti dihapuskan dari muka bumi ini. Mereka  menekan seluruh negara umat Islam seperti Palestin, Afghanistan, Kashmir, Iraq, Indonesia dan lain-lain. Kita ingatkan kuffar bahawa dunia Islam tidak selamanya ditimpa gerhana tetapi ia akan kembali bercahaya dengan syarat seluruh umat Islam kembali bersatu atas dasar Islam dengan menolak semangat kebangsaan yang memecahbelahkan kesatuan umat Islam sebelum ini. Islamlah nescaya kita akan beroleh kemenangan bersama kerdehaan Allah di dunia dan akhirat.

Renungilah firman Allah dalam  ayat 286 penutup surah al-Baqarah yang merupakan ayat yang diterima oleh nabi semasa bertemu Allah pada malam Isra’ Mikraj selain daripada kewajipan solat lima waktu sehari semalam:

لايكلف الله نفسا إلا وسعها لها ما كسبت وعليها ما اكتسبت ربنا لا تؤاخذنا إن نسينا أو أخطأنا  ربنا ولا تحمل علينا إصرا كما حملته على الذين من قبلنا  ربنا ولا تحملنا مالا طاقة لنا به واعف عنا واغفرلنا وارحمنا أنت مولئنا فانصرنا على القوم الكفرين

Maksudnya : Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat ganjaran kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau mengirakan kami berdosa jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami!Janganlah Engkau bebankan ke atas kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan ke atas kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami, oleh itu bantulah kami dalam mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kufur.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Solat Gerhana Bulan pada malam 4 Jun nanti

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meminta semua masjid dan surau mengadakan solat sunat “khusuf” berserta khutbah sempena gerhana bulan separa Isnin ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha, berkata fasa pertama gerhana itu dijangka bermula pada 4.49 petang (waktu Malaysia) dan mencapai tahap kemuncak pada 7.03 malam.

 

“Gerhana dijangka berakhir pada 9.17 malam. Justeru, umat Islam disunat menunaikan solat sunat “khusuf” berjemaah disertai dengan khutbah gerhana,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

 

Beliau berkata, JAKIM akan menganjurkan solat sunat itu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan di ibu negara selepas solat Maghrib.

Katanya, Seksyen Falak jabatan itu dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia akan mengadakan aktiviti cerapan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada hari berkenaan.

“Orang ramai terutama penduduk Putrajaya dijemput menyaksikan fenomena alam semula jadi serta menunaikan solat sunat itu,” katanya. – BERNAMA