• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Khutbah Audio 36 – Ulama’ Berani Menegur Umat Makmur

Ulama’ Berani Menegur Umat Makmur

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 1-2 surah al-Mulk :

تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿١﴾الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Maksudnya : Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);

            Islam mengajar kita tentang hakikat dunia fana dan akhirat yang kekal selamanya supaya kita tidak lupa dan hanyut dengan tipuan dunia disamping sentiasa bersiap dengan bekalan akhirat yang sepastinya kita semua akan menuju ke sana. Semasa berada di alam dunia ini yang merupakan alam percubaan terhadap iman maka kita wajib menyemai sebanyak mungkin amalan soleh supaya kita dapat sama-sama menuai hasilnya dengan pahala untuk mendapatkan nikmat Syurga di akhirat nanti. Antara cara untuk kita tidak terpedaya dengan tipuan dunia ialah dengan sentiasa mendekati al-Quran dengan membaca dan memahami seterusnya menghayatinya dalam kehidupan seharian disamping mengingati mati.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم {أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اَللَّذَّاتِ: اَلْمَوْتِ} رَوَاهُ اَلتِّرْمِذِيُّ, وَالنَّسَائِيُّ, وَصَحَّحَهُ ابْنُ حِبَّانَ

Maksudnya : Perbanyakkanlah dalam mengingati perkara yang menghapuskan kelazatan dunia iaitu mengingati mati

Imam Al-Ghazali membahagikan manusia yang mengingati mati kepada 3 tingkatan iaitu [1] orang yang tenggelam dalam tipu daya dan hawa nafsu dunia. Mereka tidak ingat kematian dan enggan diingatkan mengenai kematian. Golongan seperti itu tidak mempersiapkan bekalan untuk menghadapi kematian bahkan hidup mereka terus bergelumang dosa dan maksiat. [2] Golongan yang bertaubat memohon keampunan daripada Allah dan mereka banyak mengingati kematian yang mendorongnya beramal dan mempersiapkan bekalan menuju akhirat. [3] Golongan yang mengetahui kedudukan dirinya di hadapan Allah. Mereka sentiasa mengingati kematian bahkan selalu menanti saat kematian kerana kematian baginya adalah pertemuan dengan Allah.

            Malah saintis barat seperti kajian yang dibuat oleh Matthew Gailliot dan pasukannya dalam Buletin Personaliti dan Psikologi Sosial pada tahun 2008 menunjukkan peningkatan kesedaran mengenai kematian akan memberi motivasi dalam meningkatkan memperbaiki kesihatan fizikal dan membantu orang ramai meletakkan semula keutamaan matlamat dan nilai hidup. Mengingati kematian juga mempromosikan kesihatan yang lebih baik seperti kurang merokok atau lebih banyak bersenam. Bilangan orang ramai yang suka membantu orang tidak dikenali 40 peratus lebih baik di kawasan perkuburan berbanding kawasan jauh daripada situ

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 83 Surah al-Qasos:

تِلْكَ الدَّارُ الْآخِرَةُ نَجْعَلُهَا لِلَّذِينَ لَا يُرِيدُونَ عُلُوًّا فِي الْأَرْضِ وَلَا فَسَادًا ۚ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya : Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa

            Takhta dan harta merupakan antara ujian dunia yang berkait rapat dan banyak merosakkan umat manusia akibat menguruskan keduanya berdasarkan kepada hawa nafsu dengan menolak panduan suluhan wahyu Allah. Al-Quran memberi contoh yang begitu banyak dan jelas antara kerosakan yang dilakukan oleh pemimpin yang mengikut hawa nafsu dalam mentadbir negara seterusnya mempertahankan kuasa yang ada daripada digugat sebagaimana Firaun yang dihancurkan oleh takhta sehingga begitu berani melawan Allah dan sanggup membunuh anak-anak lelaki daripada bani Israel kerana bimbang akan menggugat kerajaannya. Firaun juga dikelilingi oleh Menteri seperti Haman dan tukang-tukang sihir yang memburukkan lagi keadaan akibat menghasut Firaun kepada kejahatan bukan memperbetulkannya kepada kebenaran kerana terlalu mengejar kesenangan dunia dan menolak akhirat.

            Kisah al-Quran ini bukan setakat untuk dibaca dan didengar sahaja sebaliknya wajib diambil pengajaran agar ia tidak berulang kerana Firaun telah lama mati lemas namun pemimpin yang bersikap seumpama Firaun terus datang silih berganti. Begitu juga menteri seumpama Haman terus datang dan pergi. Kita dapat lihat bagaimana betapa ramai pemimpin yang merasakan takhta yang dipegang bukan suatu amanah yang akan dipertanggungjawab di mahkamah Allah di akhirat kelak sebaliknya takhta dijadikan batu loncatan untuk mengaut keuntungan sebanyak mungkin daripada harta rakyat jelata. Pemimpin jenis ini akan berusaha mempertahankan takhta yang dimiliki dengan apa jua cara sekali pun walau terpaksa membunuh rakyat sendiri. Kita dapat saksikan bagaimana keadaan di beberapa negara seperti Syria bila pemimpin sanggup menghalakan senjata kepada rakyat sendiri. Tidak ketinggalan di negara kita sendiri yang sanggup melanggar prinsip demokrasi apatah lagi Islam dalam mempertahankan kuasa yang ada. Pemimpin jenis ini begitu takut kehilangan kuasa kerana bimbang hartanya akan hilang dan penyelewengan akan terbongkar yang menyebabkan mereka akan di dakwa di mahkamah dunia sebelum dihisab di mahkamah Allah di akhirat nanti. Inilah juga antara kesan kepada golongan yang berpegang dengan fahaman sekulerisme yang memisahkan antara agama dan urusan dunia sehingga pecah amanah dianggap biasa, rasuah menjadi amalan harian, penyelewengan dijadikan sumber rezeki. Sedangkan Islam sentiasa memperingatkan supaya kita wajib menguruskan urusan dunia dengan agama. Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa pemimpin yang baik serta adil akan menjadi salah satu daripada tujuh golongan mendapat naungan dan perlindungan Allah pada hari kiamat kelak. Sebaliknya pemimpin yang kejam dan tidak amanah pula adalah salah satu daripada tiga kelompok yang dikategorikan sebagai penyakit kronik dalam agama yang hanya mengakibatkan kemudaratan serta kesengsaraan bagi agama, bangsa dan negara

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 47-48 Surah Taha :

فَأْتِيَاهُ فَقُولَا إِنَّا رَسُولَا رَبِّكَ فَأَرْسِلْ مَعَنَا بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَا تُعَذِّبْهُمْ ۖ قَدْ جِئْنَاكَ بِآيَةٍ مِّن رَّبِّكَ ۖ وَالسَّلَامُ عَلَىٰ مَنِ اتَّبَعَ الْهُدَىٰ ﴿٤٧﴾إِنَّا قَدْ أُوحِيَ إِلَيْنَا أَنَّ الْعَذَابَ عَلَىٰ مَن كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰ

Maksudnya : “Oleh itu, pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepadanya (Firaun), kemudian katakanlah: “Bahawa sesungguhnya kami ini Rasul-rasul dari Tuhanmu, maka bebaskanlah kaum Bani lsrail mengikut kami, dan janganlah engkau menyeksakan mereka. Sesungguhnya kami telah datang kepadamu membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhanmu! Dan selamat sejahtera itu adalah untuk orang-orang yang menurut petunjuk agama Allah. “Sesungguhnya telah diwahyukan kepada kami bahawa azab seksa di dunia dan di akhirat ditimpakan kepada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling daripadanya”.

Kezaliman dan penindasan pemimpin wajib dihentikan melalui tugas menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kejahatan. Jika pada zaman adanya nabi dan rasul maka golongan yang mulia itu telah berada di saf hadapan dalam menegakkan kebenaran dan menyanggah kesesatan. Pada zaman kita pula maka ia dipikul oleh golongan ulama’ pewaris nabi yang mesti berada di saf hadapan dalam menyedarkan pemimpin tentang kesalahan yang dilakukan. Kita pernah menyaksikan bagaimana keberanian ulama’ dalam menjalankan tugas yang penting ini membolehkan pemimpin diperbetulkan dan kezaliman dapat disekat. Ramai ulama’ yang terpaksa merengkok dan diseksa dalam penjara dan tidak kurang yang mati dibunuh demi menegakkan kebenaran dan melawan kebatilan. Sebagai contoh Imam Ahmad Hanbal terpaksa berdepan dengan penjara bagi memastikan kesucian al-Quran dan ketinggian Islam terus terpelihara. Begitu Said bin Zubair  iaitu anak kepada sahabat nabi Zubair bin Awwam di mana beliau ditangkap oleh Gabenor Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi dan dihukum penggal kepala atas keberaniannya dalam menegur kezaliman pemimpin. Sebelum dipenggal kepalanya, Said sempat berdoa: “Ya Allah! Semoga saya ini adalah orang terakhir yang dibunuh oleh Hajjaj. Selepas hari ini, janganlah dibuka lagi kesempatan bagi Hajjaz untuk berbuat begini terhadap hamba-Mu”. Mendengar doa Said itu, Hajjaj hanya tertawa. Selepas satu minggu kematian Said, Hajjaj ditimpa penyakit gila dan dia mati dalam keadaan yang mengerikan.

Negara kita tidak ketinggalan mempunyai ulama’ yang berani berjuang dalam menegur kezaliman pemimpin sehingga ada yang gugur syahid, tidak kurang yang menderita dalam penjara dan sebagainya. Kita terus menuntut keberanian ulama’ disamping bijak pandai dalam pelbagai bidang yang diceburi seperti bidang ekonomi bagi menjelaskan kepada rakyat bahawa negara bankrap akibat penyelewengan wang rakyat bukan kerana beri pendidikan percuma kepada rakyat. Pakar sains pula boleh menjelaskan bagaimana rakyat bakal berdepan dengan kerasukan kapitalis yang mahu membunuh rakyat dengan kelulusan sebuah kilang Lynas dari Australia yang memproses nadir bumi (rare earth) atau logam lathanides yang mana sisanya boleh mengeluarkan radioaktif di Pahang. Akibat mahu keuntungan yang sedikit maka nyawa rakyat dipertaruhkan. Jangan menjadi bijak pandai yang hanya tahu mengipas dan mengampu pemimpin kerana tamakkan harta dunia

Jadilah kita umat yang terbaik dengan menyuburkan amar makruf nahi mungkar dalam kehidupan agar kita kembali menjadi umat terbaik yang bahagia dunia akhirat.

 

Firman Allah dalam ayat 110 Surah Ali ‘Imran:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya : Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Pengajian jangka pendek untuk muslimat

Terbuka untuk 30 orang muslimat sahaja terutama lepasan SPM/STPM/STAM/IPT dan umum

Tarikh : Mulai Mei 2012 dalam jangkamasa 1-3 bulan

Tarikh Tutup Daftar :

Bila Cukup Bilangan Yang diTetapkan iaitu 30 orang sahaja

(Tempah dan Sahkan pendaftaran melalui telefon / sms)

 

 

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Muslimat berumur 16 tahun ke atas (terhad 30 orang sahaja)
  • RM 10 pendaftaran dan RM 40 per bulan (meliputi penginapan, elektrik dan air)
  • RM 6 – RM9 sehari bagi minggu pertama untuk makan minum manakala urusan makan minum selepas itu akan diurus sendiri oleh pelajar samada masak secara kumpulan atau beli di kedai berhampiran

Tempat Program

Madrasah Fununiah Tunjuniah, Pondok Tunjung,

KM7, Jln Kuala Krai,

16210 Mulong, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Pengajian kitab pilihan
  • Risalah Masbuk & Muafiq Dalam Solat
  • Bab Haidh dan Nifas
  • Kitab Penawar Bagi Hati
  • Tazkirah dan ceramah motivasi
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Tadarrus al-Quran

Pakaian harian, bantal , selimut, cadar tilam , alat tulis

Hubungi :

Tel: 09-7126708 (P) / 016-9381870 (Ust. Azmi)-Pondok Tunjung

e-mail : bakriah1954@gmail.com

Khutbah Audio 35 – Nasihat Subur Umat Makmur

Nasihat Subur Umat Makmur

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam 71 surah at-Taubah :

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَـٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّـهُ ۗ إِنَّ اللَّـهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya : Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana

            Islam merupakan agama yang bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia. Oleh itu setiap arahan dan larangan Allah adalah untuk kebaikan dan kebahagiaan hidup kita di dunia dan akhirat. Bagi memastikan kelangsungan kepada kebaikan dalam diri, keluarga seterusnya masyarakat dan negara maka budaya nasihat dan menyuruh berbuat kebaikan serta mencegah daripada kemungkaran mesti disubur dan dihidupkan. Sebagaimana pesan Sayyidina Umar al-Khattab : “Tidak ada kebaikan yang dapat diharapkan dari umat yang enggan untuk saling menasihati dan umat yang tidak mahu menerima nasihat. Semoga Allah merahmati seseorang yang menasihati dari kekeliruan.”

Kita diasuh bagaimana kehidupan dunia berkait rapat dengan kehidupan akhirat yang menanamkan rasa insaf bahawa setiap amalan kita di dunia pasti akan dihisab dan ditimbang di padang Mahsyar nanti. Kefahaman ini menyebabkan kita lahir sebagai manusia yang bersyukur dan bersabar yang sentiasa ingat kepada Allah samada ketika kaya dan papa, senang dan susah, sihat dan sakit, lapang dan sempit. Kita wajib mengelak daripada dijangkiti oleh penyakit merbahaya yang dihidapi oleh manusia yang menolak agama dengan menjadikan dunia sebagai matlamat hidup sehingga setiap tindakan mereka mesti mendapat hasil yang segera sehingga ramai yang membunuh diri apabila gagal dalam peperiksaan, rumahtangga, perniagaan, kerjaya dan sebagainya kerana merasakan kehidupan mereka telah ranap dan hancur.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Masyarakat yang mengabaikan budaya nasihat pasti hancur dan rugi di dunia dan akhirat. Sebab itu banyak ayat al-Quran dan hadis nabi yang memperingatkan kita tentang perkara penting ini untuk kebaikan kita semua antaranya :

عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْمِ بْنِ أَوْسٍ الدَّارِي أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الدِّیْنُ النَّصِيْحَةُ.
قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُوْلِهِ، وَلِأَئِمَّةِ المُسْلِمِيْنَ، وَعَامَّتِهِمْ – رواه مسلم.

Maksudnya : Agama itu adalah nasihat. Kami berkata: Untuk siapa? Baginda bersabda: Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para pemerintah muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya

            Ulama’ menerangkan bagaimana nasihat pertama untuk Allah iaitu mengimaniNya tanpa syirik dengan sesuatu, ikhlas dalam mengerjakan ibadah kerana Allah disamping mentaati segala perintahNya serta menjauhi laranganNya dalam setiap aspek kehidupan. Kita begitu bimbang dengan gejala murtad akibat umat Islam sendiri jahil tentang agamanya sendiri sehingga mudah terikut dengan pegangan sesat seperti masalah hanya percaya kepada perkara yang logik dan nyata sehingga menolak adanya Allah atas alasan tidak nampak dan perkara ghaib yang lain. Begitu juga golongan yang menganggap hak asasi manusia lebih besar daripada hak Allah sehingga mempertikai masalah arahan menutup aurat, pergaulan bebas, hukum Hudud dengan menganggap bahawa agama adalah hak peribadi bukan untuk dilaksana dalam memaksa orang lain untuk tunduk kepadanya. Akhirnya cara hidup songsang cuba dihalalkan sehingga masyarakat Melayu sendiri terlibat dengan penukaran jantina di mana antara yang terbaru kes seorang lelaki kecewa apabila mendapati dia berkahwin dengan isteri yang asalnya lelaki.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 114 surah al-An’am :

أَفَغَيْرَ اللَّـهِ أَبْتَغِي حَكَمًا وَهُوَ الَّذِي أَنزَلَ إِلَيْكُمُ الْكِتَابَ مُفَصَّلًا ۚ وَالَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْلَمُونَ أَنَّهُ مُنَزَّلٌ مِّن رَّبِّكَ بِالْحَقِّ ۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ

Maksudnya : (Katakanlah wahai Muhammad): “Patutkah aku (terpedaya dengan kata-kata dusta Syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dia lah yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu (tentang yang benar dan yang salah)?” Dan orang-orang yang Kami berikan kitab, mengetahui bahawa Al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang ragu-ragu

           Manakala maksud nasihat untuk Kitab Allah ialah beriman bahawa ia diturunkan oleh Allah kepada nabi Muhammad s.a.w, berusaha memperelokkan bacaan dan memahami isi kandungnya seterusnya melaksanakan sistem al-Quran dalam setiap aspek kehidupan. Kita begitu bimbang apabila kadar buta al-Quran semakin ramai apatah lagi yang memahami dan mengamalkannya. Umat Islam sendiri meninggal ilmu fardhu ‘ain yang penting atas alasan memenuhi tuntutan fardhu Kifayah sehingga kekeliruan terhadap hukum hakam Islam semakin parah. Ilmu fardhu ‘ain begitu penting dalam melahir ahli ibadat yang diterima, keluarga yang bahagia, ahli perniagaan yang berjaya, pekerja yang amanah dan pemimpin yang adil. Benarlah kata cucu nabi iaitu Sayyidina Hussein : “Aku merasa hairan pada sekelompok manusia yang hanya sibuk memikirkan apa yang harus dimakan, namun sama sekali tidak berfikir ilmu apakah yang sepatutnya dimiliki.”

            Akibat mengenepikan hukum al-Quran maka kita dapati masalah sosial seperti penzinaan dan buang anak semakin meningkat, jenayah seperti culik, bunuh dan curi terus bertambah, pecah amanah seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa semakin bercambah. Kita merasa gerun mendengar ucapan pemimpin bagaimana pihak keselamatan negara sepatutnya lebih terkehadapan daripada penjenayah dalam menguasai teknologi yang menggambarkan penjenayah lebih hebat. Itu belum lagi dikira dengan desakan agar kerajan membuat siasatan yang telus tentang penjenayah menguasai pihak keselamatan sehingga boleh mengatur banyak perkara di mana ia jelas membahayakan negara. Oleh itu sudah tiba saat dan ketikanya, waktu dan masanya untuk kita sama-sama kembali berhukum dengan hukum al-Quran agar tidak berulang hukuman seperti bekas imam dihukum penjara setahun kerana melempar selipar terhadap hakim sedangkan 3 gadis Melayu yang menjual maruah dengan terlibat dalam tarian tiang hanya didenda RM25 sahaja.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Ahzab :

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا

Maksudnya : Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata

            Nasihat ketiga untuk Rasulullah s.a.w iaitu membenarkan kenabiannya, mengikut ajarannya, kasih dan cinta kepadanya, mengagungkan sunnahnya, berakhlak dengan akhlaknya serta bersungguh melaksanakan ajarannya dalam kehidupan disamping mempertahankan nabi dari dicaci dan dihina. Kita merasa marah dan sedih dengan tindakan biadap 2 pemuda warga Tunisia yang menghina Nabi Muhammad di dalam Facebook dengan menyiarkan lakaran nabi berbogel di mana keduanya dijatuhkan hukuman penjara 7 tahun oleh kerajaan Tunisia.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 117 surah Huud :

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ

Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri

            Nasihat keempat untuk pemimpin umat Islam iaitu melibatkan pemimpin dan Ulama’ di mana kedua-duanya berkait rapat dalam memastikan kemajuan dan keadilan dalam negara. Sekiranya pemimpin menjalankan amanah maka kewajipan rakyat di bawah untuk taat sebaliknya bila mereka melakukan kezaliman maka kita wajib menegurnya agar kezaliman dapat dihindar. Sebagaimana pesanan Khalifah Umar Abdul Aziz : “Mana-mana saja pegawai yang menjauhi kebenaran dan tidak beramal dengan al-Quran dan al-Sunnah, tidak perlu kalian mentaatinya. Urusannya saya serahkan kepada kalian sehingga kebenaran dikembalikan dan dia pun tercela”.

            Antara golongan yang paling hadapan untuk menasihati pemimpin ialah golongan Ulama’. Sebaliknya jika ulama’ mengambil sikap berdiam diri tidak memperbetul kesalahan pemimpin atau yang teruk banyak  bertindak sebagai golongan yang sentiasa mempertahankan kedudukan pemimpin selaras misi dan visi golongan tertentu tanpa menghiraukan Haq dan Batil sehingga mereka hanya sekadar bertindak sebagai pelembut kepada masyarakat yang cuba mempertikai tindakan dan kezaliman pemimpin. Oleh itu kedudukan Ulama’ wajib diperkasakan dengan diberi kuasa seperti Mufti supaya fatwa yang dikeluarkan tidak lagi dipermainkan oleh pemimpin apatah lagi rakyat jelata

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 6 surah at-Tahrim :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّـهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan

            Nasihat kelima ialah untuk masyarakat umum bermula dengan pemimpin yang wajib memastikan rakyat berilmu dengan ilmu Islam agar mereka faham dan melaksanakan cara hidup Islam dalam negara. Negara sepatutnya bersungguh dalam memberi pendidikan cara percuma kepada rakyat bukannya mencari pelbagai helah untuk melahirkan graduan berhutang. Pemimpin sibuk memburu siswazah yang berhutang sedangkan dengan mudah melupuskan ratusan juta hutang kroni. Sebanyak 22 negara seluruh dunia yang memberi pendidikan percuma kepada rakyat bukannya 3 sebagaimana yang didakwa. Kita tidak mahu akibat kedekut untuk melahirkan rakyat berilmu menyebabkan belanja untuk menanggung kos banduan di penjara dan pusat serenti semakin meningkat dan inilah yang bakal menambah masalah dalam negara. Negara tidak bankrap bila harta negara digunakan untuk kebaikan rakyat sebaliknya negara bakal muflis akibat pembaziran dan pecah amanah dalam mengurus harta rakyat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ