• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3











  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,678,031 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 6,416 other followers

25. PEMBANGUNAN TANPA IMAN PUNCA KEMUSNAHAN


 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ ….

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  7 surah al-Hasyru :

ما أفاء الله على رسوله من أهل القرى فلله وللرسول ولذى القربى واليتمى والمســكين وابن السبيل كي لايكون دولة بين الأغنياء منكم  وما ءاتئكم الرسول فخذوه وما نهئكم عنه فانتهوا  واتقوا الله إن الله شديد العقاب

Maksudnya : Apa yang Allah kurniakan kepada rasulNya dari harta penduduk negeri maka ia adalah tertentu bagi Allah , bagi Rasulullah, bagi kaum kerabatnya, anak-anak yatim, orang miskin serta ibnu sabil. Ketetapan tersebut supaya harta itu tidak hanya berlegar di kalangan orang kaya daripada kamu. Dan setiap apa yang di bawa oleh rasul kepadamu maka terimalah dan setiap apa yang dilarangnya terhadapmu maka jauhilah. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat azab seksaNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Hubungan rapat antara kehidupan dunia yang fana ini dengan hari akhirat yang kekal selamanya mestilah di semat sebaik mungkin dari segi keyakinan dan pengamalannya dalam kehidupan seharian agar kita tidak terjerumus ke lembah kesesatan dan kehinaan. Pemisahan antara kehidupan dunia dengan pembalasan hari akhirat menyebabkan manusia rosak dan melakukan penindasan di muka bumi ini. Pemisahan antara dunia dengan panduan agama menyebabkan kezaliman berleluasa dan keadilan tergugat oleh tangan-tangan ganas yang sentiasa dahagakan huru-hara.

Kesakitan Rasulullah s.a.w pada penghujung bulan Sofar yang membawa kepada kewafatan baginda pada bulan Rabiul Awwal tahun 11 Hijrah bersama dengan peninggalan dua panduan yang berharga iaitu al-Quran dan as-Sunnah bagi menjamin keamanan sejagat agar terus terjaga. Islam sebagaimana yang diberitahu oleh al-Quran dan diterangkan oleh hadis tidak pernah melarang umatnya untuk maju dan membina tamadun yang tinggi tetapi dengan syarat mesti selari antara kemajuan kebendaan dengan rohani. Pembinaan tamadun berdasarkan Islam bukan bertujuan untuk menunjuk kemegahan dengan sesuatu binaan yang paling tinggi dan paling besar sahaja tetapi ia mesti disertai dengan manfaat pembangunan tersebut kepada rakyat disamping pembangunan kebendaan itu naik bersama suburnya pembangunan insan. Pembinaan tamadun Islam tidak dibina bersama dengan penindasan terhadap rakyat di mana ia dibina setelah kebajikan semua rakyat telah mencukupi bukannya dibina ketika rakyat memerlukan wang untuk menyara kehidupan dan bukan juga dibina atas hutang yang menyebabkan rakyat terus merana. Tamadun Islam mempunyai nilai kebendaan yang tinggi disamping penerapan kepada nilai kemanusiaan berasaskan agama yang unggul. Ini diakui oleh Kerajaan Sepanyol melalui kenyataan mereka beberapa bulan yang lepas di mana mereka mengatakan pembinaan tamadun oleh kerajaan Islam yang pernah bertapak di Cardova begitu hebat tetapi Kerajaan Sepanyol hari ini hanya mampu menjadikannya sebagai peninggalan sejarah yang agung tanpa dapat menghidupkan ruh kepada tamadun tersebut kerana hanya Islam sahaja yang mampu menghidupkan tamadun yang dibina oleh mereka di Sepanyol itu dengan meniupkan kembali ruh Islam ke dalamnya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Ibnu Khaldun di dalam al-Muqaddimah telah menggariskan beberapa sebab atau punca yang menyebabkan keruntuhan sesebuah kerajaan antaranya ialah masalah wang atau aktiviti mega yang berbentuk mewah. Sesuatu yang harus diketahui ialah pada awalnya kerajaan itu mengekalkan cara hidup badawiyah atau sederhana. Kerajaan itu memiliki kualiti kasih sayang terhadap rakyatnya. Segala pembelanjaan adalah sederhana dan terancang serta menghormati harta orang lain. Ia menghindarkan cukai yang berat sebelah, mengawasi ketelusan, bijaksana sewaktu mengutip wang dan para pegawai mengamalkan sikap bertanggungjawab. Pada waktu itu tiada perbelanjaan yang boros yang membolehkan kerajaan tidak memerlukan wang yang banyak. Lama kelamaan timbul penguasaan dan perluasan kuasa di mana kedaulatan semakin menyerlah. Keadaan ini menyebabkan wajarnya kemewahan yang menyebabkan perlunya pertambahan dari segi perbelanjaan negara. Perbelanjaan pemimpin dan keluarganya secara umumnya meningkat sehingga kecenderongan ini meluas kepada penduduk bandar.

Peningkatan taraf hidup itu menyebabkan bertambahnya kadar gaji bagi tentera dan gaji pegawai. Perbelanjaan yang berlebihan semakin meningkat sehingga rakyat turut boros  dalam berbelanja mengikuti tabiat para pemimpinnya. Ini menyebabkan pemimpin berasa harus mengenakan cukai ke atas barang dagangan di pasaran demi memperbaiki kewangannya. Pemimpin melihat kemewahan hidup masyarakat bandar sebagai mewajarkannya berbuat demikian sehingga melupakan keadaan penduduk kampung yang susah. Pentadbiran negara dan para tentera semakin bertambah dan cukai kastam pula tidak lagi mampu menampung perbelanjaannya. Ia menyebabkan kerajaan yang telah mencapai mercu kekuasaannya mula memaksa rakyat di bawah pengawasannya. Kekuasaannya telah memungkinnya untuk merampas harta rakyat melalui cukai kastam, urus niaga perdagangan dan kadangkala melalui paksaan terhadap rakyat dengan pelbagai dalih dan sebab tidak munasabah.

Pada peringkat ini, para pemungut cukai di dalam kerajaan itu telah menjadi kaya raya kerana banyak hasil cukai yang berada ditangannya dan kedudukan mereka menjadi begitu penting. Ini menimbulkan perasaan curiga kerana memiliki wang yang banyak di mana masing-masing saling mencela sesama sendiri kerana dengki dan seorang demi seorang mengalami tekanan dan seksaan. Akhirnya kekayaan lenyap dan mereka mengalami kehancuran. Kerajaan telah kehilangan kemegahan dan kecemerlangan yang telah diperolehi melalui usaha-usaha mereka.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Setelah kekayaan mereka dilenyapkan maka kerajaan maju setapak lebih jauh dengan mengambil harta benda rakyatnya yang kaya. Pada peringkat ini, tanda-tanda kelemahan telah kelihatan pada kekuatan (syawkah) yang ada. Ternyata kerajaan itu sudah lemah untuk mengekalkan kuasa. Dasar pemimpin pada ketika ini ialah secara bijaksananya berusaha mengurus segala persoalan dengan menggunakan wang. Baginda berpendapat bahawa dengan cara ini lebih baik daripada pedang. Akhirnya keperluannya terhadap wang melampaui keperluannya untuk perbelanjaan dan gaji anggotanya di mana usaha ini tidak mencukupi. Kelemahan yang dialami semakin hari semakin parah yang menyebabkan kuasa luar semakin berani menentang kedaulatannya. Keadaan ini membuka ruang kepada kuasa luar untuk merampas kuasa daripada kerajaan sedia ada yang menyebabkan segala kebanggaan yang ada terlepas kepada kuasa luar.

Perkara ini dapat dilihat dalam masa kelemahan yang berlaku pada pemerintahan khalifah Islam di Sepanyol di antaranya disebabkan faktor mereka mengutamakan projek mewah. Kesan pencapaian ekonomi mendorong Khalifah menumpukan kepada projek mega yang berunsurkan kemewahan yang tidak menghasilkan pulangan ekonomi yang menguntungkan negara. Apabila kemewahan mula hilang dan kekayaan negara sudah susut menyebabkan negara menerima tentangan daripada kuasa luar dan rakyat sendiri. Pemimpin mula lupa kepada amanah agama yang menyebabkan mereka meminta bantuan kuasa Kristian Rom. Apabila mengetahui perkara ini maka kerajaan Islam Murabitun yang kecil yang berpusat di Afrika menyelamatkan keadaan dengan memberi bantuan sehingga khalifah Islam mampu berfungsi kembali. Tetapi selepas itu perkara yang sama berulang apabila pemimpin negara terus terpesona dengan dunia. Ini menyebabkan kerajaan Islam Murabitun Afrika menghantar wakil untuk bertemu dengan imam al-Ghazali bagi meminta fatwanya mengenai keharusan kerajaan Islam menyerang kerajaan Islam besar yang lain demi menjaga daripada ia jatuh ke tangan Kristian lalu imam al-Ghazali menyatakan harus berbuat demikian kerana kesan buruk yang lebih besar jika kerajaan Islam jatuh kepada Kristian berbanding dengan serangan kerajaan Islam terhadap kerajaan Islam yang lain. Serangan yang dilakukan bukan untuk menghancurkan kerajaan Islam tetapi untuk menyelamatkannya daripada jatuh ke tangan Kristian akibat pemimpin yang leka dengan kemewahan dunia.

Ini antara kesan buruk apabila pembangunan yang dibina tidak berasaskan kehendak Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :

وما كان ربك ليهلك القرى بظلم وأهلها مصلحون

Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Satu Respons

  1. MAJLIS-MAJLIS ILMU :

    JUMAAT 11.03.2011 : Majlis Maulidur Rasul S.A.W Darul Murtadza : http://mawlidnabi.blogspot.com/2011/03/majlis-maulidur-rasul-saw-darul.html

    SABTU 12.03.2011 : Haul Sheikh Abdul Qadir Al Jailani di BA’ALAWI KL : http://melayucyber.blogspot.com/2011/03/majlis-haul-sheikh-abdul-qadir-al.html

    AHAD 13.03.2011 : Syeikh Nuruddin @ Masjid Negeri Shah Alam : http://melayucyber.blogspot.com/2011/03/syeikh-nuruddin-masjid-negeri-shah-alam.html

    ISNIN 14.03.2011 : KINRARA BERSELAWAT : http://melayucyber.blogspot.com/2011/03/kinrara-berselawat.html

    FACEBOOK MAJLIS2 ILMU : http://www.facebook.com/pages/PONDOK-HABIB/295419981998

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: