• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3










  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,678,208 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 6,417 other followers

Rasulullah s.a.w DiPertahan Umat Gemilang


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Ayat  surah ar-Rom :

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا

Maksudnya : Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata

            Setiap kali tibanya bulan Rabiul Awwal maka umat Islam seluruh dunia tanpa mengira muda atau tua, bangsa dan bahasa, budaya dan warna kulit, tempat dan pangkat sama mengingati kelahiran nabi Muhammad s.a.w yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Ketika ada golongan yang anti Islam cuba memburuk-burukkan nabi Muhammad s.a.w supaya baginda dibenci dan Islam dijauhi di mana antara penghinaan yang terbaru apabila tv Israel menyiarkan bagaimana seorang yahudi dengan biadapnya mengatakan bahawa nabi Muhammad s.a.w lebih hina daripada tapak kasutnya. Oleh itu ketika berada dalam bulan Rabiul Awwal ini maka kita mesti menggunakan sebaik mungkin dalam menyatakan kepada dunia bagaimana Nabi Muhammad s.a.w merupakan contoh ikutan yang terbaik dalam setiap aspek kehidupan manusia. Tiada cara berkeluarga yang lebih bahagia, cara berdakwah yang lebih berkesan, cara bersosial yang lebih baik, cara berpolitik, berekonomi dan memimpin negara yang lebih hebat melainkan apa yang telah ditunjukkan oleh nabi Muhammad s.aw. Kehebatan dan keindahan yang ada pada diri Rasulullah s.a.w dan Islam tidak mampu diterangkan secara tepat dan terangkan melainkan ianya dilaksanakan di atas bumi nyata

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Firman Allah dalam ayat  7 surah al-Hasyru :

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya :Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).

            Kejayaan dan kemuliaan umat Islam bergantung kepada sejauh manakah kita mampu mencontohi cara hidup yang telah ditunjukkan oleh nabi Muhamamd s.a.w dalam setiap aspek kehidupan termasuk berpakaian, berkeluarga, bersosial, berekonomi, memerintah dan sebagainya. Kegagalan umat Islam untuk kembali kepada ajaran dan system yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w menyebabkan kita berada dalam penuh kehinaan yang pelbagai masalah yang terus bertambah parah. Cara berpakaian dan pergaulan bebas umat Islam hari ini yang berqiblatkan barat telah meruntuhkan akhlak umat Islam. Umat Islam menukar ikutan dan idola hidup mereka dengan memuja artis dan manusia yang rosak akhlak daripada menjadikan nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh teladan yang sebenar. Ramai umat Islam menjadi mangsa kekejaman musuh seperti di Palestin, Iraq, Afghanistan dan sebagainya akibat umat Islam sendiri terperangkap dalam semangat Assobiyyah yang dibencikan oleh Rasulullah s.a.w disamping memiliki pemimpin yang tidak amanah dan bencikan Islam. Rasulullah s.a.w telah menunjuk kepada dunia bagaimana ekonomi yang terbaik ialah ekonomi yang bersih daripada amalan riba dan pada hari ini terbukti bagaimana gagalnya ekonomi kapitalis sehingga banyak negara Asia dan Eropah turut melaksanakan system ekonomi Islam. Malah pakar ekonomi turut mengakui jika Malaysia kembali kepada dinar emas maka rizab negara akan bertambah dan bertahan bukannya sebagaimana hari ini yang semakin menguncup. Rasulullah s.a.w turut mendidik rakyat agar menjauhi perbuatan yang merosakkan rakyat seperti judi tetapi malangnya Malaysia semakin menggalakkan judi apabila Kementerian Kewangan telah meluluskan 10 cabutan ‘special draw’ (cabutan khas) pada tahun 2008  bagi mengutip lebih RM77 juta cukai untuk membiayai pelbagai program dan projek pembangunan yang berbentuk sukan, kebajikan, pendidikan, kesihatan dan kemasyarakatan. Betapa hinanya bila negara ini dibiayai dengan wang judi yang merosakkan kaki judi dan pengguna wang judi termasuk orang Islam. Rasulullah s.a.w telah membawa datang perundangan yang terbaik dalam menangani pelbagai masalah termasuk kes jenayah tetapi malangnya hukum Islam pada hari ini bukan sahaja tidak dilaksana malah dihina oleh segolongan umat Islam sendiri sehingga keadaan jenayah dalam negara terus meningkat tanpa sekatan termasuk kes buli di sekolah kembali meningkat sehingga kepada pembunuhan

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Firman Allah dalam ayat 27-28 surah Az-Zumar :

وَلَقَدْ ضَرَبْنَا لِلنَّاسِ فِي هَٰذَا الْقُرْآنِ مِنْ كُلِّ مَثَلٍ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ  قُرْآنًا عَرَبِيًّا غَيْرَ ذِي عِوَجٍ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ 

Maksudnya : “Dan sungguh telah Kami buatkan dalam Al-Quran ini segala macam perumpamaan bagi manusia agar mereka dapat pengajaran iaitu Al-Quran dalam bahasa Arab, tiada kebengkokan (di dalamnya) agar mereka bertaqwa.”

            Rasululllah s.a.w lahir dalam masyarakat arab yang terkenal dengan ketinggian gaya bahasanya lalu wahyu al-Quran pun turun dalam bahasa Arab dalam mengalahkan penyair-penyair arab yang selama ini berbangga dengan kehebatan syair mereka. Turunnya al-Quran menggunakan bahasa arab turut mengajar kita bagaimana dalam menjayakan sesuatu kerja maka kita mesti menggunakan bahasa yang dapat menerangkan dan memahamkan konsep dan falsafah kebenaran sebagaimana matlamat utama kenapa Al-Quran menggunakan bahasa Arab sebagai pengantar ialah untuk menjelaskan makna dan intisari ajaran Islam kepada bangsa Arab. Bahasa yang tidak tercemar dengan makna dan faham yang terlepas dari konsep ketauhidan Allah dan membolehkan mesej asas Islam mengenai Ketuhanan disampaikan adalah punca kenapa Al-Quran memilih bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Lantaran itu Bahasa Melayu yang telah sarat melalui proses Islamisasi adalah bahasa yang paling wajar dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara untuk menjayakan proses pembinaan tamadun Islam dalam masyarakat Malaysia. Banyak ayat al-Quran yang menjelaskan betapa bahasa ada kaitan dengan mesej risalah Islam yang disampaikan kepada manusia. Manakala bahasa Melayu yang sarat dengan konsep Islam daripada Al-Quran diketepikan penggunaannya dalam pengembangan ilmu, maka kesan sekularisasi bahasa yang telah berlaku dalam sejarah pengembangan bahasa Inggeris yang sangat dipengaruhi oleh sejarah sekularisasi agama Kristian akan mempunyai impak kepada masyarakat Melayu Islam di negara ini. Oleh itu melalui mimbar Jumaat pada hari ini kita menyokong penuh usaha yang dijalankan oleh pejuang bahasa termasuk himpunan 100 ribu esok di Kuala Lumpur dalam mendesak agar kerajaan menghapuskan pengajian Inggeris dalam Sains dan Matematik. Tidak cukup lagikah dengan pengkhianatan terhadap tulisan jawi sehingga lahirnya umat Islam yang bukan sahaja buta jawi malah turut buta al-Quran dan agama. Pengurangan kepada penggunaan bahasa Melayu merupakan suatu pengkhianatan terhadap bangsa dan agama. Ingatlah bagaimana usaha gigih ulama’ Nusantara silam yang berjaya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa untuk mengembangkan Islam dan menyatukan rakyat terutama di Asia Tenggara. Bahasa melambang kehebatan bangsa. Ibnu Khaldun pernah menyatakan betapa bangsatnya suatu bangsa yang bergantung kepada bahasa penjajahnya untuk mencapai kemajuan

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

            Ketika menyambut Maulidurrasul ini kita tidak lupa bagaimana adanya pihak yang selama ini sentiasa cuba untuk melunturkan pegangan umat Islam terhadap Islam dengan tuntutan dan tindakan yang melampau. Kita pernah berdepan dengan usaha dalam menghancurkan peranan Mahkamah Syariah, usaha dalam menghalalkan murtad termasuk kes Lina Joy. Pada hari ini isu penggunaan nama Allah dalam majalah Kristian kembali bergema sedangkan adanya penafian paderi sendiri yang menyatakan bahawa tidak pernah ada penggunaan Allah dalam Bible. Kita bimbang kesungguhan dalam meminta penggunaan nama Allah ini oleh Kristian akan mengaburkan lagi pegangan yang sebenar terhadap makna Allah yang sebenar mengikut ajaran Islam sedangkan kita jelas bagaimana makna Tuhan dalam Kristian jauh berbeza dengan Allah yang kita percaya iaitu Tuhan yang tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Kita tidak mahu akan terjadi beri betis mahu peha kerana sebelum ini banyak lagi permintaan Kristian antaranya dakwaan permintaan untuk memasukkan modul Kristian dalam Program Latihan Khidmat Negara walau pun khusus untuk orang bukan Islam tetapi bimbang terbias kepada pelajar Islam yang hari ini semakin ramai yang tidak faham Islam apatah lagi berpegang kepada ajaran Islam sehingga ada yang memohon untuk murtad secara terbuka. Bersatulah kita dalam mempertahan dan mengembangkan Islam walaupun terpaksa menggadaikan nyawa

Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Soff :

يُرِيدُونَ لِيُطْفِؤُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ 

Maksudnya : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: