• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3











  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,676,525 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 6,409 other followers

66. ISLAM MEMULIAKAN SESUATU BANGSA


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  26 surah Ali ‘Imran :

قل اللهم مــلك الملك تؤتى الملك من تشاء وتنزع الملك ممن تشاء وتعز من تشاء وتذل من تشاء بيدك الخير  إنك على كل شيء قدير

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu

Kemampuan dan kekuasan manusia adalah terbatas tidak mampu melawan apa yang telah ditetapkan oleh Allah yang Maha Berkuasa atas segala-galanya. Walau bagaimana kuat dan hebatnya seseorang manusia dalam mentadbir dan memerintah manusia namun ia tidak boleh lari daripada kelemahan dan kemampuan yang terbatas. Cuma natijah kepada kekuasaan dan pemerintahan yang dianugerahkan oleh Allah kepada seseorang yang berbeza di mana ada yang berlaku adil berdasarkan kehendak wahyu sehingga Allah menurunkan ketenangan dan rahmat yang melimpah serta jasanya terus dikenang setelah kematiannya. Tidak kurang yang melakukan kezaliman dan penindasan serta melanggar hukum Allah dalam pemerintahan yang menyebabkan rakyat menderita dan negara menjadi huru hara serta kematian atau kejatuhan pemimpin jenis ini terus di maki hamun oleh rakyat yang tertindas selama ini. Apabila kita menyebut tentang keadilan maka ia semestinya berkait rapat dengan agama di mana seseorang pemimpin yang berpegang teguh kepada ajaran Islam yang menyeluruh bukan sahaja pada dirinya tetapi meliputi aspek pemerintahan, perundangan, ekonomi dan kemasyarakatan maka insya Allah keadilan dapat ditegakkan. Tetapi jika pemimpin hanya Islam pada nama tetapi kufur pada politiknya, perundangannya, ekonominya, kemasyarakatannya maka kebanyakan mereka akan melakukan kezaliman dan penindasan kerana matlamat mereka adalah untuk mengekalkan kuasa bagi mengejar takhta dan harta semata-mata bukannya untuk berbakti kepada agama. Akibat meninggalkan ajaran Islam yang menyeluruh telah menyebabkan banyak kerajaan Islam dijatuhkan oleh Allah sebelum ini dan masa kini. Amanah dalam memperjuangkan Islam telah diatur baik oleh Allah Tuhan yang Maha Bijaksana di mana setiap bangsa telah diberi peluang untuk menjadi suatu bangsa yang mulia dengan syarat mengamalkan seluruh ajaran Islam. Tetapi apabila bangsa yang sama mula menyeleweng dan meninggalkan Islam maka Allah akan menghinanya dengan kejatuhan dan penjajahan. Amanah dalam memikul kerja dalam melaksanakan Islam telah diberi kepada bangsa Arab kemudian bertukar kepada bangsa lain seperti Kurdi, Tartar, Turki dan sebagainya selagimana mereka melaksanakan Islam. Malah bangsa Melayu sendiri yang dulunya begitu mundur telah menjadi bangsa yang mulia apabila pemimpin mereka yang diketuai oleh Sultan Melayu telah menjadikan Islam sebagai cara hidup. Tetapi apabila raja Melayu mula lari daripada landasan Islam maka bermulanya zaman penjajahan yang menyebabkan umat Islam terus terjajah. Sabda nabi dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh  imam Bukhari :

لاتَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِيْ ظَاهِرِيْنَ عَلَى الحَقِّ لايَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللهِ

Maksudnya : Akan terus wujud segolongan umatku yang berani menyatakan kebenaran di mana tidak akan memudharatkan mereka oleh orang-orang yang menyanggahinya sehingga datangnya ketentuan daripada Allah.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

            Apabila menyebut tentang kejatuhan dan penjajahan maka kita terus terbayang mengenai penjajahan terbaru terhadap bumi milik umat Islam iaitu Iraq. Apabila ditanya tentang sebab penjajahan ini boleh berlaku maka yang paling besar ialah kerana umat Islam berpecah malah sanggup membantu musuh dalam menyerang saudara seagama. Bila disebut tentang bersatu maka kita sentiasa bertanya tentang dengan apa, untuk apa dan kerana siapa umat Islam mesti bersatu. Selagi wujudnya umat Islam yang berkefahaman kebangsaan yang sempit dan juga mereka yang mencari jalan bersatu atas sifat kemanusiaan semata-mata maka selama itulah umat Islam terus terjajah dan dimamah oleh musuh. Kita mesti bersungguh untuk bersatu atas dasar Islam kerana Allah demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Jangan terus mengamalkan dasar kuku besi yang menyebabkan ketakutan sahaja yang membolehkan rakyat bersatu tetapi apabila kuasa pemimpin ini menjadi lemah atau digulingkan maka rakyat terus berpecah tanpa ada tempat untuk mengadu. Jangan ketika keadaan aman maka rakyat terutama ulama’ ditindas malah pengajian agama cuba dikuburkan tetapi apabila tersepit ketika berdepan dengan musuh terutama kuffar yang lebih kuat maka barulah dilaungkan laungan jihad sebagaimana Saddam Husein. Ketika aman inilah kita mesti bersatu dan kembali kepada Islam bukannya apabila tersepit baru menyebut mahu kembali kepada Islam.

            Apabila telah meresap rasa yakin kepada kemampuan Islam yang sememangnya telah terbukti kehebatannya dalam memerintah dunia serta terhakisnya semangat assabiyyah perkauman yang sempit maka barulah umat Islam mampu bersatu. Malah laungan baru para ulama’ agar umat Islam tidak lagi menjadikan kuffar barat sebagai pasaraya umat Islam dalam bergantung harap kepada sumber hasil ekonomi mestilah disambut dengan penuh semangat. Kita melihat apabila berlakunya serangan terhadap Iraq maka pemimpin negara umat Islam hanya nampak lantang dari segi bercakap tetapi tidak mampu bersepakat untuk menekan Amerika dan sekutunya disebabkan negara umat Islam sendiri sebenarnya masih dijajah. Kebanyakan negara umat Islam terlalu bergantung kepada kuasa kuffar untuk meningkatkan tahap ekonomi. Malah kepakaran dari sudut persenjataan turut bergantung kepada teknologi barat. Adakah umat Islam tidak mampu membina kekuatan ekonomi persenjataan sendiri. Jawapannya ialah kita mampu berbuat demikian jika semangat jihad tertanam kukuh dalam diri pemimpin dan rakyat. Bermula dengan jihad pada aqidah, jihad pada persaudaraan, jihad pada ekonomi dan jihad pada persenjataan maka umat Islam mampu membentuk suatu kuasa yang kuat bertepatan dengan bilangan kita yang begitu ramai meliputi satu perlima daripada jumlah penduduk dunia.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Kejatuhan  Kota Baghdad yang merupakan kota Tamadun dan gedung ilmu baru-baru ini yang berlaku pada bulan Sofar telah mengingatkan kita bagaimana pada bulan yang sama pada tahun 656 Hijrah di mana tentera Tartar Monggol yang berasal dari hujung negara China yang diketuai oleh Halagu telah datang menyerang Kota Baghdad dan menghancurkannya. Kejayaan tentera Tartar Monggol  yang turut menyaksikan Kejatuhan Kerajaan Abbasiyah setelah 5 kurun memerintah berpusat di Baghdad di mana ketika itu diperintah oleh al-Musta’sim disebabkan perpecahan umat Islam pada waktu itu disamping umat Islam meninggalkan ajaran Islam yang menyeluruh sehingga ramai yang hanyut dengan hiburan yang melalaikan. Malah pada masa itu perpecahan antara puak Sunni dan Syiah telah pun berlangsung hingga hari ini. Kezaliman pemerintah yang menyebabkan rakyat berpecah turut menambah lagi masalah yang sedia ada malah salah seorang menterinya yang dikenali dengan ’Alqami telah berpaling tadah dengan meminta pertolongan daripada Halagu pemimpin tentera Tartar untuk menyerang Baghdad. Kita dapat melihat bagaimana perbuatan berpaling tadah sentiasa berlaku jika umat Islam hanya diikat dengan dasar paksaan pemimpin kuku besi dan tawaran harta tetapi ia jarang berlaku apabila diikat kukuh dengan ikatan aqidah.

            Tentera Tartar Monggol telah melakukan kerosakan yang begitu teruk dalam Kota Baghdad sehingga banyak kitab karangan ulama’ dibakar dan dihumban ke dalam sungai sehingga air sungai menjadi hitam akibat dakwat daripada kitab tersebut. Malah mereka bertindak mencuri hiasan di kubah masjid serta memusnahkan banyak bangunan. Menurut ahli sejarah tentera Tartar telah membunuh antara 1 juta sehingga 1 juta 8 ratus ribu rakyat Baghdad ketika serangan itu dibuat. Cara tentera Tartar itu turut dilakukan oleh tentera Amerika pada hari ini di Iraq yang membunuh rakyat awam, memusnahkan bangunan termasuk Istana serta membiarkan kecuriaan termasuk muzium yang menyimpan banyak barangan bersejarah di Iraq. Apa yang ajaibnya ialah Halagu pemimpin Tartar selepas melakukan pelbagai kezaliman dan pembunuhan telah diberi hidayah oleh Allah untuk memeluk Islam begitu juga anak cucunya yang memerintah selepas itu. Islam telah mengubah bangsa Tartar daripada ganas dan zalim kepada budi pekerti mulia dan adil. Ingatlah bahawa Allah akan memberi kerajaan kepada sesiapa yang dikehendakinya dan akan melucutkan kerajaaan daripada sesiapa yang dikehendakinya. Oleh itu sebelum terlambat maka diseru kepada seluruh pemimpin negara umat Islam agar kembali kepada seluruh ajaran Islam dengan melaksanakan semua system Islam dalam negara jika tidak mahu Allah menghina mereka dengan dilucutkan jawatan dalam penuh kehinaan dan di akhirat pula akan disiksa oleh Allah di atas kesesatan dan kezaliman yang dilakukan semasa diberi amanah untuk memerintah manusia.

Ingatlah firman Allah   ayat 38 surah Muhammad :

هــأنتم هؤلاء تدعون لتنفقوا  فى سبيل الله  فمنكم من يبخل ومن يبخل فإنما يبخل عن نفسه والله الغني وأنتم الفقراء وإن تتولوا يستبدل قوما غيركم ثم لايكونوا أمثــلكم

Maksudnya : (Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian di mana kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang bakhil, sedangkan sesiapa yang bakhil maka sesungguhnya dia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatu pun), sedangkan kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepada Allah dalam segala hal) dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: