• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3

  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,989,233 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 40,643 other followers

  • Advertisements

Sanggah Pemikiran Lee Kuan Yew Untuk Lemahkan Umat Islam

Oleh Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi

Saat dunia dan seluruh tokohnya bersidang serata dunia mencari formula penyelesaian terhadap konflik yang mencetus huru hara kepada dunia serta penghuninya, saya sangat kesal dengan sikap Lee Kuan Yew yang telah menyemarakkan lagi semangat dendam kesumat dan permusuhan yang tebal terhadap Islam dan ummatnya dengan prasangka – prasangka negatif tanpa berasaskan maklumat tepat mengenai Islam yang sebenar

2. Buku terbarunya Hard Truths to Keep Singapore Going menampilkan pemikiran Lee Kuan Yew yang telah luput tarikh dan zaman apabila beliau mengaitkan Islam sebagai halangan kepada untuk mewujudkan integrasi kaum dan pembangunan di negaranya.

3. Saya melihat zaman kegemilangan Lee Kuan Yew telah berakhir apabila beliau selaku tokoh negarawan besar Asia bahkan dunia telah mula berfikir seperti pejuang militan yang rasis dan mengalami penyakit Islamophobia yang parah . Biarpun beliau begitu lama hidup dekat dengan komuniti ummat Islam, ternyata beliau masih gagal melihat secara positif bagaimana Islam dan ummatnya menjalani kehidupan dan menyertai politik mahupun ekonomi.

4. Tokoh sebijak Lee Kuan Yew sepatutnya tidak tergesa – gesa membuat kesimpulan mengenai Islam yang mungkin dilihat melalui kacamata yang salah dan serong tanpa terlebih dahulu merujuk kepada tokoh – tokoh ulama’ Islam sebagai pihak yang berauthoriti untuk menjelaskan kedudukan Islam dan ummatnya secara tepat dan benar.

5. Lee Kuan Yew selayaknya menyedari bahawa penghalang sebenar kepada keharmonian kaum sehingga mencetus sentimen perkauman yang melampau malah mendorong berlakunya jenayah adalah hasil dari penolakan agama Islam atau salah faham yang serius terhadap agama Islam.

6. Justeru Islam adalah agama yang sangat toleransi kaum dan menghubungkan silaturrahim. Definisi mudah mengenai ajaran Islam ini boleh difahami dari kenyataan Duta Besar Islam ke Habsyah Saiyyidina Jaafar bin Abi Talib dihadapan Raja Najasyi :

Wahai Raja, kami dahulunya orang – orang Jahiliyyah. Kami menyembah berhala, memakan bangkai, melakukan kekejian [ zina ], memutuskan ikatan kekeluargaan, jahat terhadap jiran dan orang yang kuat dari kalangan kami akan menindas orang yang lemah. kami terus dalam keadaan begitu, sehingga lah Allah membangkitkan kepada kami Rasul dari kalangan kami. Kami kenal titisan keluarganya, sifat benarnya, amanahnya dan bersihnya dari melakukan dosa.

Lalu ia mengajak kami kepada Allah, supaya mengEsakanNya dan menyembahNya, meninggalkan apa yang disembah oleh kami dan nenek moyang kami sebelum ini akan patung – patung dan berhala.

Ia menyuruh kami bercakap benar, menunaikan amanah, menghubungkan tali kekeluargaan, berbaik dengan jiran, meninggalkan perkara yang haram, dan meninggalkan pertumpahan darah. Ia melarang kami dari kekejian [zina], bercakap bohong, memakan harta anak yatim dan menuduh perempuan yang bersih dengan tuduhan zina.

Ia menyuruh kami menyembah Allah Tuhan yang Maha Esa dengan tidak mempersekutukanNya dengan suatu yang lain. Ia menyuruh kami mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan berpuasa …….

7. Kenyataan diatas jelas menunjukkan bagaimana orientasi ajaran Islam. Berpegang teguh atau komited dengan ajaran ini tidak menjadikan masyarakat berpecah belah apalagi terperangkap dalam permusuhan dan perkauman sempit yang mencetus huru hara. Sebaliknya Islam menganjurkan kebaikan dan persaudaraan.

8. Sayugianya Lee Kuan Yew menyeru ummat Islam berpegang teguh dengan ajaran Islam yang dianuti oleh mereka agar lahirnya sebuah masyarakat yang sejahtera, harmonis dan membangun. Cara Lee Kuan Yew melihat Islam sebagai penghalang tidak ubah seperti musuh – musuh Islam melihat Islam dengan api dendam dan permusuhan yang berpanjangan.

9. Lebih ketara apabila Lee Kuan Yew turut menaruh rasa curiga yang mendalam terhadap negara jirannya seperti Malaysia dan Indonesia sebagai sebuah negara Islam yang akan mengugat kedaulatan negaranya. Cara fikir dan sikap yang diambil oleh Lee Kuan Yew adalah suatu yang berisiko tinggi bagi keselamatan serantau ini. Malah ianya adalah fikiran yang aktif ke arah mencetus konfrantasi laksana gunung berapi yang aktif sedang menanti masa untuk memuntahkan lavanya.

10. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa supaya Lee Kuan Yew lebih banyak mengkaji Islam dan mempelajarinya dari tokoh Islam yang mempunyai authoriti untuk membetulkan persepsi beliau terhadap Islam. [ Dewan Pemuda PAS Malaysia bersedia untuk memberi penjelasan mengenai Islam kepada Lee Kuan Yew andai diberi peluang untuk berbuat demikian ] Jika tidak,reputasi Lee Kuan Yew akan terus menjunam dan beliau semakin tidak popular sebaliknya dunia termasuk rantau ini sedang menumpu ke arah gaya, sikap dan pemikiran pemimpin – pemimpin muda yang dilihat oleh rata – rata penganalisis politik dan sosial sebagai lebih rasional dan efektif.

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan

Advertisements

Ketuanan Islam DiCapai Keberkatan Hidup DiRai

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Jumaat :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya),
Islam merupakan agama yang melengkapi seluruh aspek kehidupan manusia bagi memudahkan kita untuk menguruskan dunia berdasarkan agama. Islam mengajar umatnya supaya mempunyai jatidiri dan tidak terikut-ikut dengan cara hidup yang bercanggah dengan agama apatah lagi yang merosakkan aqidah seperti salah suatu syiar Islam ialah laungan azan yang bermula di Madinah pada tahun pertama hijrah. Abdullah bin Umar menceritakan bagaimana semasa orang Islam mula sampai di Madinah dan berkumpul menunggu menunaikan solat tetapi tiada yang menyeru untuk bersembahyang sehinggalah pada satu hari Rasulullah SAW mengumpulkan sahabat untuk membincangkan cara mengingatkan umat Islam mengenai masuk waktu solat dan mengajak mereka ke masjid menunaikan solat berjemaah. Dalam perbincangan itu, ada mencadangkan supaya dikibarkan bendera, ditiupkan serunai atau terompet, dibunyikan loceng dan dinyalakan api di atas bukit. Namun, semua usul itu ditolak Nabi Muhammad SAW kerana sama dengan amalan agama lain seperti Nasrani (Kristian) dan Yahudi. Kemudian Saidina Umar mencadangkan supaya dilaungkan ayat ‘telah datang waktu solat’ dan cadangan itu diterima Nabi, tetapi Baginda menukar lafaznya kepada ‘marilah solat berjemaah’. Sehinggalah pada suatu malam Abdullah bin Zaid dan Umar bin al-Khattab sama-sama bermimpi, mengenai cara lebih baik untuk menghebahkan solat dengan mengumandangkan ‘azan’ sebagaimana lafaz yang ada pada hari ini.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 58 surah al-Maidah :
وَإِذَا نَادَيْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ اتَّخَذُوهَا هُزُوًا وَلَعِبًا ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْقِلُونَ
Maksudnya : Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal
Laungan azan bukan suatu perkara kecil dan remeh temeh sebaliknya ia mesti dijaga daripada sebarang pertikaian atau penghinaan. Keajaiban azan yang merupakan antara syiar Islam terbukti apabila azan akan berkumandang di setiap minit selama 24 jam sehari di seluruh dunia berdasarkan perbezaan waktu dan tempat. Ribuan muazzin atau bilal akan melaungkan azan Subuh seawal 5.30 pagi, bermula di bahagian timur Indonesia dan bergerak ke barat kepulauan Indonesia. Belum pun laungan azan itu selesai di seluruh Indonesia, azan akan bergema pula di Malaysia, kemudian disambut di Thailand, Myanmar, China dan seterusnya. Azan akan terus bersahutan di Bangladesh dan bergema pula di India. Sebelum berakhir di Pakistan, laungan azan Subuh akan dilaungkan di Afghanistan dan Oman, kemudian di Emiriah Arab Bersatu, di tanah suci Makkah, Madinah dan negara lain. Proses ini berterusan setiap detik sehingga ke pantai timur Atlantik dalam jangka masa sembilan jam setengah. Sebelum azan subuh bergema di situ, azan Zohor sudah berkumandang di Indonesia semula dan begitulah seterusnya laungan azan akan bersahut-sahutan di serata pelusuk dunia melaungkan keagungan Allah dan Nabi Muhammad SAW setiap detik, sepanjang waktu tanpa henti.
Sehubungan dengan itu apabila timbulnya masalah berkaitan azan seperti isu terbaru apabila seorang peguam bukan Islam menghantar memorandum kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan beberapa pihak berkaitan membantah laungan azan di Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur 2 minggu lepas di mana dia kemudiannya memohon maaf dengan alasan salah faham antara laungan azan dengan kuliah Subuh. Rentetan daripada peristiwa yang menghiris hati umat Islam itu maka timbul pula suara sumbang supaya kerajaan mengkaji dan mengawal selia penggunaan pembesar suara di masjid mahupun surau yang mirip taktik yang digunapakai di Singapura untuk membendung Islam di mana Singapura melarang laungan azan didengar dari luar lingkungan kawasan rumah ibadat termasuk masjid. Kita menyokong penuh kenyataan Mufti Selangor dalam mengulas isu ini dengan menyatakan laungan azan adalah satu syiar Islam yang menjadi tanggungjawab kepada umat Islam khasnya pemerintah yang beragama Islam untuk mempertahankan perkara ini kerana ia begitu sensitif sekiranya diperlahankan sedangkan tujuan azan untuk memberitahu umat Islam terutama yang berada di luar masjid tentang masuknya waktu solat bukan setakat makluman kepada yang telah berada dalam masjid. Peristiwa ini sepatutnya membuka mata umat Islam agar menghargai laungan azan untuk sama-sama mendirikan solat terutama secara berjemaah. Salah faham orang bukan Islam mesti ditangani dengan penuh hikmat antaranya melalui perbincangan untuk memberi faham kepada mereka tentang syariat Islam. Kita sepatutnya malu apabila orang bukan Islam bukan setahun dua menjadi warga negara Malaysia sebaliknya puluhan tahun namun kefahaman mereka tentang Islam masih kabur. Kita berasa kagum dengan suatu catatan bagaimana sekurang-kurangnya 100,000 penduduk Britain memeluk Islam sejak satu dekad lalu dan secara purata, 5,000 setiap tahun, menurut kajian terbaru satu badan kajian agama, Faith Matter. Mereka memeluk Islam di tengah pemimpin dan masyarakat bukan Islam sedangkan orang bukan Islam di negara kita semakin jahil tentang Islam akibat kelalaian kita. Kita mesti mengembalikan semula ketuanan Islam dalam negara dengan umat Islam sendiri kembali faham dan mengamal kewajipan agama manakala orang bukan Islam diberi penerangan yang jelas dari masa ke semasa tentang kehebatan Islam bukan setakat dalam kitab sahaja tetapi melalui pelaksanaan seluruh sistem Islam dalam kehidupan. Islam yang gagal dilaksana umpama gadis cantik tetapi tidak bernyawa maka tiada yang tertarik kepadanya. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Akibat jahil dan tidak mematuhi larangan Allah menyaksikan masih ramai umat Islam sendiri terlibat dengan industri arak. Kita menyokong penuh usaha Kerajaan Selangor yang menyediakan RM 10 juta untuk membantu pekerja Islam yang bekerja di premis-premis seperti kilang arak, kelab malam dan premis-premis yang melibatkan arak untuk memilih pekerjaan alternatif yang lebih lumayan dan berkat. Jika rakyat bawahan ramai bekerja dengan industri arak, begitu juga masih ada yang kaya terlibat sebagai pemegang saham syarikat arak di samping kerajaan yang terus bergantung pada hasil arak sehingga Malaysia pernah tercatat sebagai pengguna arak ke 10 paling tinggi di dunia. Kita belum pernah mendengar syarikat penerbangan Brunei yang mengharamkan arak menanggung kerugian sedangkan syarikat MAS telah banyak kali menghabiskan wang rakyat untuk menampung kerugian walaupun arak terus disaji melibatkan pramugara dan pramugari serta pekerja Islam yang lain. Kita mesti ingat amaran nabi melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud :
قال االرسول  : لَعَنَ اللَّهُ الْخَمْرَ وَشَارِبَهَا وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَمُبْتَاعَهَا وَعَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ
Maksudnya : Allah melaknati arak. (Allah juga melaknati) yang meminumnya, yang menuangnya, yang menjualnya, yang memerah anggur (untuk dijadikan arak), yang membantu memerah anggur itu, pembawanya dan mereka yang menerimanya
Manusia yang dilaknat atau jauh daripada rahmat Allah sepastinya hidupnya menderita di dunia apatah lagi di akhirat walau pun harta bertimbun, pangkat menggunung, pengikut berduyun, kenderaan bersusun. Bahaya arak juga begitu besar kesannya kepada negara kerana kebanyakan orang yang gila dan mendapat gangguan saraf adalah disebabkan arak. Kebanyakan orang yang bunuh diri ataupun yang membunuh kawannya adalah disebabkan arak. Arak menyebabkan sakit jantung, radang paru-paru, batuk kering, barah mulut dan kerongkong, radang, kerosakan dan barah hati serta melemahkan sistem pertahanan badan. Di Amerika saja mencatatkan jumlah kematian yang disebabkan oleh arak adalah seramai 100,000 orang setiap tahun. Sudah tibanya masanya untuk kerajaan memikirkan cara terbaik untuk membebaskan rakyat daripada arak sebagaimana dadah. Buat apa mengharapkan keuntungan hasil arak sedangkan kesan bahaya kepada negara begitu besar. Kembalilah kita untuk membina negara berkat dengan mengembalikan semula ketuanan Islam dalam negara.
Firman Allah dalam ayat 219 surah al-Baqarah:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا ۗ وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir:
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Amanah DiSisih Umat Merintih

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 155 – 157 surah al-Baqarah :
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعونَ أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ
Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah maka mereka mengucapkan : إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعونَ . Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk
Kita di negeri Pantai Timur masih berada di musim tengkujuh di mana di sesetengah kawasan telah atau sedang menghadapi banjir sehingga ramai terpaksa berpindah dengan mengalami pelbagai kerugian dan kesulitan. Jadilah kita hamba Allah yang sentiasa mendapat pahala kebaikan dalam apa jua keadaan dengan bersyukur bila mendapat nikmat dan bersabar bila ditimpa musibah. Ujian yang datang samada sebagai peringatan atas kelalaian kita atau meningkat tahap keimanan kita yang diiringi dengan balasan pahala serta keampunan dosa bagi sesiapa yang mengikut adab-adab yang telah digariskan oleh agama bukannya menjadi manusia derhaka yang menyalahkan takdir atas apa yang berlaku. Oleh itu bagi kita yang tidak ditimpa musibah seumpama banjir maka hulurkanlah bantuan mengikut kemampuan kita dengan sama-sama merebut kelebihannya sebagaimana galakan nabi melalui banyak hadis antaranya :
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَيُّمَا مُسْلِمٍ كَسَا مُسْلِمًا ثَوْبًا عَلَى عُرْيٍ كَسَاهُ اللَّهُ مِنْ خُضْرِ الْجَنَّةِ وَأَيُّمَا مُسْلِمٍ أَطْعَمَ مُسْلِمًا عَلَى جُوعٍ أَطْعَمَهُ اللَّهُ مِنْ ثِمَارِ الْجَنَّةِ وَأَيُّمَا مُسْلِمٍ سَقَى مُسْلِمًا عَلَى ظَمَإٍ سَقَاهُ اللَّهُ مِنْ الرَّحِيقِ الْمَخْتُومِ. (رواه أبو داود)

Maksudnya : “Mana-mana orang Islam yang memberi pakaian kepada seorang Islam yang sedang terdedah anggotanya yang sepatutnya tertutup, Allah akan memakaikan penderma itu dengan pakaian (penduduk) syurga yang (serba indah dan) berwarna hijau. Demikian juga mana-mana orang Islam yang memberi makan kepada seorang Islam yang sedang lapar, Allah akan memberi makan kepada penderma itu dari buah-buahan syurga. Demikian juga mana-mana orang Islam yang memberi minum kepada seorang Islam yang sedang dahaga, Allah akan memberi minum kepada penderma itu dengan sejenis minuman syurga yang (serba lazat dan) termeteri kemas bekasnya.”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 33 surah Luqman :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ وَاخْشَوْا يَوْمًا لَا يَجْزِي وَالِدٌ عَنْ وَلَدِهِ وَلَا مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَنْ وَالِدِهِ شَيْئًا ۚ إِنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ ۖ فَلَا تَغُرَّنَّكُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَلَا يَغُرَّنَّكُمْ بِاللَّهِ الْغَرُورُ
Maksudnya : Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah
Ketika merenungi pelbagai ujian dan musibah yang datang seperti banjir besar, rebut salji, gunung berapi, tanah runtuh, tsunami, ribut taufan dan pelbagai lagi peristiwa dahsyat maka ini semua mengingatkan kita betapa tua dan uzurnya bumi yang sepastinya terlalu hampir kepada saat kehancuran. Malah antara perkara pelik yang berlaku di Amerika Syarikat yang turut memeningkan para ahli saintis apabila hampir 5,000 ekor burung hitam mati jatuh dari langit seminggu selepas lebih 100,000 ikan ditemui mati di Sungai Arkansas. Di Britain pula sebanyak 40,000 ekor ketam setan merah turut mati manakala di Itali 8000 merpati mati, di Brazil 100 tan ikan sardin, sejumlah ikan keli dan gelama mati serta beratus-ratus ekor ikan siakap ditemui mati di New Zealand. Pelbagai andaian dibuat antaranya kesan letupan bunga api sambutan tahun baru, perubahan drastik antara cuaca sejuk dan panas, akibat percubaan senjata atau akibat penyakit. Malah isu teori qiamat yang bakal berlaku pada tahun depan 2012 kembali bergema di mana Idea perlanggaran planet Nibiru dikemukakan sejak 1535 oleh seorang ahli falsafah Perancis, Notramadus. Idea asalnya peristiwa ini akan berlaku pada 2003, namun tertunda hingga ke 2012. Kiraan ini dibuat berdasarkan kiraan kalendar kaum Mayan dari Amerika Tengah. Tarikh kalendar ini berakhir pada 21 Disember 2012, oleh yang itu perlanggaran ini akan berlaku sebelum tarikh akhir kalendar ini. Namun dakwaan planet Nibiru akan melanggar bumi dan menyebabkan kerosakan teruk pada 2012 adalah tidak benar. Bahkan kewujudan Nibiru itu sendiri masih diragui. Ia telah dijawab termasuk dalam Dewan Negara beberapa bulan lepas. Malah tarikh tersebut didedahkan oleh setengah pengkaji bukan tarikh kehancuran bumi sebaliknya tarikh untuk yahudi berpakat dengan musuh Islam lain dalam menghancurkan seluruh umat Islam. Oleh itu kita yang berpegang kepada al-Quran dan Sunnah mestilah yakin bahawa semua itu adalah antara tanda-tanda bahawa bumi ini terlalu dekat dengan qiamat. Gunalah masa yang masih ada untuk memperbanyakkan lagi bekalan akhirat disamping bertaubat memohon keampunan sebelum nyawa berada dihujung halkum, sebelum matahari naik sebelah barat.
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “كَيْفَ أَنْعَمُ وَصَاحِبُ الْقَرْنِ قَدِ الْتَقَمَ الْقَرْنَ وَاسْتَمَعَ الْإِذْنَ مَتَى يُؤْمَرُ بِالنَّفْخِ فَيَنْفُخُ”، فَكَأَنَّ ذَلِكَ ثَقُلَ عَلَى أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ لَهُمْ: “قُولُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْنَا”. أخرجه أحمد ، والترمذي ، وابن حبان ، والحاكم
Maksudnya : “Bagaimana boleh aku berasa tenteram dan tenang sedangkan Malaikat Israfil telah meletakkan serunai sangkakala ke dalam mulutnya, menumpukan perhatian dan memusatkan pendengarannya sambil menunggu perintah untuk meniupnya.” Maka keadaan itu menyebabkan para sahabat merasa terlalu bimbang maka sabda nabi kepada mereka ucapkanlah : “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Dialah sebaik-baik pengurus, kepada Allah segala urusan kami serahkan.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Negara kita turut menghadapi pelbagai musibah termasuk jenayah yang banyak dan bebanan kos sara hidup yang terus meningkat. Ketika pelajar universiti yang masih muda diburu dengan hutang pengajian maka selepas ini rakyat bakal diburu dengan saman ekor yang kejam. Malaysia yang merupakan antara pengeluar minyak utama dunia tetapi kenaikan harga minyak diikuti harga barangan terus berlaku. Jika sebelum ini krisis kekurangan gula di pasaran berakhir dengan kenaikan harga gula maka kini negara menghadapi krisis minyak masak sedangkan Malaysia antara pengeluar utama minyak kelapa sawit akibat nafsu serakah pengeluar yang mengambil kesempatan untuk mendapat keuntungan dengan mengeksport minyak masak ke luar negara kerana ia lebih menguntungkan sehingga rakyat biasa terpaksa berdepan dengan ketiadaan bekalan minyak masak. Jika pemimpin hanya bekerja untuk memenuhi kantung, peniaga pula hanya tahu cari untung maka rakyat di bawah hanya dapat melolong dan terlopong. Siapakah yang salah maka hitunglah diri sendiri sebelum menyalahkan orang lain. Ingatlah suatu amaran nabi sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Abdullah ibnu Umar:
يَا مَعْشَرَ المُهَاجِرِيْنَ خَمْسٌ إِذَا ابْتَلَيْتُمْ بِهِنَّ وَأَعُوْذُبِاللهِ أَنْ تُدْرِكُوْهُنَّ لَمْ تَظْهَرِ الفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوْا ِبهَا إِلا فَشَا فِيْهِمُ الطَّاعُوْنُ وَالأوْجَاعُ الَّتِى لَمْ تَكُنْ مَضَتْ ِفى أَسْلافِهِمُ الَّذِيْنَ مَضُوْا, وَلَمْ يَنْقُصُوْا المِكْيَالَ وَالِمْيزَانَ إِلا أُخِذُوْا بِالسِّنِيْنَ وَشِدَّةِ المُؤْنَةِ وَجَوْرِ السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ, وَلَمْ يَمْنَعُوْا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلا مُنِعُوْا القَطْرَ مِنَ السَّمَآءِ وَلَوْ لا البَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوْا, وَلَمْ يَنْقُضُوْا عَهْدَ اللهِ وَعَهْدَ رَسُوْلِ اللهِ إِلا سَلَّطَ اللهُ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ غَيْرِهِمْ فَأَخَذُوْا بَعْضَ مَا فِى أَيْدِيْهِمْ, وَمَالَمْ تَحْكُمْ أَئِمَّتُهُمْ بِكِتَابِ اللهِ وَيَتَخَيَّرُوْا ِمماَّ أَنْزَلَ اللهُ إِلا جَعَلَ اللهُ بَأْسَهُمْ بَيْنَهُمْ
Maksudnya : Wahai kaum Muhajirin! Ada 5 perkara di mana jika telah menimpa kamu maka tiada lagi kebaikan bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah S.W.T agar kamu tidak menemui zaman itu. 5 perkara itu ialah: [1] Tidak bermaharajalela perbuatan zina pada suatu kaum sehingga mereka berani secara terang-terang melakukannya melainkan akan ditimpa penyakit Taun yang merebak dengan cepat dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang lain. [2] Tiada mereka mengurangi sukatan atau timbangan melainkan mereka akan diuji dengan kemarau panjang dan kesulitan dalam mencari rezeki serta berhadapan dengan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka. [3] Dan tidak menahan mereka akan zakat harta benda melainkan ditahan juga untuk mereka air hujan dari langit. Jika tiada binatang yang hidup di muka bumi ini nescaya mereka tidak diberikan hujan oleh Allah S.W.T. [4] Dan tiada mereka menyalahi akan janji Allah S.W.T dan rasulNya melainkan Allah S.W.T akan menurunkan kepada mereka musuh yang akan merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka. [5] Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah S.W.T yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan utama maka Allah S.W.T akan menjadikan bencana di kalangan mereka sendiri
Sempena berada di tahun baru maka berubahlah ke arah yang terbaik terutama dalam melaksanakan arahan Allah dalam setiap aspek kehidupan termasuk memilih pemimpin bertaqwa agar mendapat negara berkat
Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :
وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ
Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Isteri Mudir Pondok Pasir Tumboh meninggal dunia pagi tadi

Hajah Radhiah iaitu isteri Tuan Guru Hj Hashim Mudir Pondok Pasir Tumboh telah meninggal dunia pada jam 4 pagi tadi kerana uzur. Al-marhumah yang lebih dikenali dengan panggilan Maksu Haji telah lama uzur tetapi yang amat ketara dalam masa 4 hari terakhir ini

Jenazah al-Marhumah akan disembahyangkan pada jam 11.00 pagi ini. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada ruh al-Marhumah yang telah begitu banyak berbakti dalam mendidik anak bangsa sepanjang hidup beliau….Al-Fatihah

Gara-gara khutbah, imam dipanggil ke balai polis

Harakahdaily
KOTA BHARU, 3 Jan: Gara-gara berkhutbah mengingatkan umat Islam menghindarkan gejala maksiat menyebabkan seorang imam dipanggil ke Balai Polis bagi diambil kenyataan.

Imam Muda Masjid Gong Dermin, bersebelahan Mukim Pondok Pasir Tumbuh, Rosadi Awang, 50, petang tadi dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu ekoran menyampaikan khutbah Jumaat lalu dengan mengupas tajuk tersebut.

Katanya, sudah menjadi kebiasaan di negara ini sambutan tahun baru disambut dengan hiburan dan tarian sehingga larut malam.

“Saya sebut dalam khutbah mengingatkan umat Islam supaya menjauhi amalan tersebut kerana ia boleh mengundangkan gejala sosial.

“Sepatutnya anggota polis yang mengawal ketenteraman tidak membenarkan perkara seperti berlaku dan bukannya melancarkan program hiburan dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya juga pegawai polis yang mengambil kenyataannya berhubung perkara itu memberitahu ada laporan polis dibuat penduduk tempatan terhadap khutbah yang disampaikannya.

Rosadi berada kira-kira dua jam di IPD untuk diambil kenyataan berhubung isi khutbah yang disampaikan.

“Anggota polis datang ke rumah saya kira-kira jam 2 petang tadi dan meminta saya ke balai untuk diambil kenyataan,” ujarnya.

Bagaimana kata beliau pihak polis akan memanggilnya semula sekiranya belum berpuas hati terhadap siasatan awal yang dilakukan.

Sementara itu Adun Pasir Tumbuh, Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, imam terbabit menjalankan tugasnya bagi mengingatkan anak mukim supaya menjauhi gejala yang merosakkan.

Katanya, perkara itu tidak sepatutnya dipertikaikan kerana gejala sosial sekarang semakin parah terutamanya di bandar-bandar besar.

“Namun kerana tidak faham agama mereka tidak mahu isu seperti itu disentuh dalam khutbah mungkin bagi mengelakkan penduduk kampung tahu isu semasa yang berlaku,” katanya

66. ISLAM MEMULIAKAN SESUATU BANGSA

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  26 surah Ali ‘Imran :

قل اللهم مــلك الملك تؤتى الملك من تشاء وتنزع الملك ممن تشاء وتعز من تشاء وتذل من تشاء بيدك الخير  إنك على كل شيء قدير

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu

Kemampuan dan kekuasan manusia adalah terbatas tidak mampu melawan apa yang telah ditetapkan oleh Allah yang Maha Berkuasa atas segala-galanya. Walau bagaimana kuat dan hebatnya seseorang manusia dalam mentadbir dan memerintah manusia namun ia tidak boleh lari daripada kelemahan dan kemampuan yang terbatas. Cuma natijah kepada kekuasaan dan pemerintahan yang dianugerahkan oleh Allah kepada seseorang yang berbeza di mana ada yang berlaku adil berdasarkan kehendak wahyu sehingga Allah menurunkan ketenangan dan rahmat yang melimpah serta jasanya terus dikenang setelah kematiannya. Tidak kurang yang melakukan kezaliman dan penindasan serta melanggar hukum Allah dalam pemerintahan yang menyebabkan rakyat menderita dan negara menjadi huru hara serta kematian atau kejatuhan pemimpin jenis ini terus di maki hamun oleh rakyat yang tertindas selama ini. Apabila kita menyebut tentang keadilan maka ia semestinya berkait rapat dengan agama di mana seseorang pemimpin yang berpegang teguh kepada ajaran Islam yang menyeluruh bukan sahaja pada dirinya tetapi meliputi aspek pemerintahan, perundangan, ekonomi dan kemasyarakatan maka insya Allah keadilan dapat ditegakkan. Tetapi jika pemimpin hanya Islam pada nama tetapi kufur pada politiknya, perundangannya, ekonominya, kemasyarakatannya maka kebanyakan mereka akan melakukan kezaliman dan penindasan kerana matlamat mereka adalah untuk mengekalkan kuasa bagi mengejar takhta dan harta semata-mata bukannya untuk berbakti kepada agama. Akibat meninggalkan ajaran Islam yang menyeluruh telah menyebabkan banyak kerajaan Islam dijatuhkan oleh Allah sebelum ini dan masa kini. Amanah dalam memperjuangkan Islam telah diatur baik oleh Allah Tuhan yang Maha Bijaksana di mana setiap bangsa telah diberi peluang untuk menjadi suatu bangsa yang mulia dengan syarat mengamalkan seluruh ajaran Islam. Tetapi apabila bangsa yang sama mula menyeleweng dan meninggalkan Islam maka Allah akan menghinanya dengan kejatuhan dan penjajahan. Amanah dalam memikul kerja dalam melaksanakan Islam telah diberi kepada bangsa Arab kemudian bertukar kepada bangsa lain seperti Kurdi, Tartar, Turki dan sebagainya selagimana mereka melaksanakan Islam. Malah bangsa Melayu sendiri yang dulunya begitu mundur telah menjadi bangsa yang mulia apabila pemimpin mereka yang diketuai oleh Sultan Melayu telah menjadikan Islam sebagai cara hidup. Tetapi apabila raja Melayu mula lari daripada landasan Islam maka bermulanya zaman penjajahan yang menyebabkan umat Islam terus terjajah. Sabda nabi dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh  imam Bukhari :

لاتَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِيْ ظَاهِرِيْنَ عَلَى الحَقِّ لايَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللهِ

Maksudnya : Akan terus wujud segolongan umatku yang berani menyatakan kebenaran di mana tidak akan memudharatkan mereka oleh orang-orang yang menyanggahinya sehingga datangnya ketentuan daripada Allah.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

            Apabila menyebut tentang kejatuhan dan penjajahan maka kita terus terbayang mengenai penjajahan terbaru terhadap bumi milik umat Islam iaitu Iraq. Apabila ditanya tentang sebab penjajahan ini boleh berlaku maka yang paling besar ialah kerana umat Islam berpecah malah sanggup membantu musuh dalam menyerang saudara seagama. Bila disebut tentang bersatu maka kita sentiasa bertanya tentang dengan apa, untuk apa dan kerana siapa umat Islam mesti bersatu. Selagi wujudnya umat Islam yang berkefahaman kebangsaan yang sempit dan juga mereka yang mencari jalan bersatu atas sifat kemanusiaan semata-mata maka selama itulah umat Islam terus terjajah dan dimamah oleh musuh. Kita mesti bersungguh untuk bersatu atas dasar Islam kerana Allah demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Jangan terus mengamalkan dasar kuku besi yang menyebabkan ketakutan sahaja yang membolehkan rakyat bersatu tetapi apabila kuasa pemimpin ini menjadi lemah atau digulingkan maka rakyat terus berpecah tanpa ada tempat untuk mengadu. Jangan ketika keadaan aman maka rakyat terutama ulama’ ditindas malah pengajian agama cuba dikuburkan tetapi apabila tersepit ketika berdepan dengan musuh terutama kuffar yang lebih kuat maka barulah dilaungkan laungan jihad sebagaimana Saddam Husein. Ketika aman inilah kita mesti bersatu dan kembali kepada Islam bukannya apabila tersepit baru menyebut mahu kembali kepada Islam.

            Apabila telah meresap rasa yakin kepada kemampuan Islam yang sememangnya telah terbukti kehebatannya dalam memerintah dunia serta terhakisnya semangat assabiyyah perkauman yang sempit maka barulah umat Islam mampu bersatu. Malah laungan baru para ulama’ agar umat Islam tidak lagi menjadikan kuffar barat sebagai pasaraya umat Islam dalam bergantung harap kepada sumber hasil ekonomi mestilah disambut dengan penuh semangat. Kita melihat apabila berlakunya serangan terhadap Iraq maka pemimpin negara umat Islam hanya nampak lantang dari segi bercakap tetapi tidak mampu bersepakat untuk menekan Amerika dan sekutunya disebabkan negara umat Islam sendiri sebenarnya masih dijajah. Kebanyakan negara umat Islam terlalu bergantung kepada kuasa kuffar untuk meningkatkan tahap ekonomi. Malah kepakaran dari sudut persenjataan turut bergantung kepada teknologi barat. Adakah umat Islam tidak mampu membina kekuatan ekonomi persenjataan sendiri. Jawapannya ialah kita mampu berbuat demikian jika semangat jihad tertanam kukuh dalam diri pemimpin dan rakyat. Bermula dengan jihad pada aqidah, jihad pada persaudaraan, jihad pada ekonomi dan jihad pada persenjataan maka umat Islam mampu membentuk suatu kuasa yang kuat bertepatan dengan bilangan kita yang begitu ramai meliputi satu perlima daripada jumlah penduduk dunia.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Kejatuhan  Kota Baghdad yang merupakan kota Tamadun dan gedung ilmu baru-baru ini yang berlaku pada bulan Sofar telah mengingatkan kita bagaimana pada bulan yang sama pada tahun 656 Hijrah di mana tentera Tartar Monggol yang berasal dari hujung negara China yang diketuai oleh Halagu telah datang menyerang Kota Baghdad dan menghancurkannya. Kejayaan tentera Tartar Monggol  yang turut menyaksikan Kejatuhan Kerajaan Abbasiyah setelah 5 kurun memerintah berpusat di Baghdad di mana ketika itu diperintah oleh al-Musta’sim disebabkan perpecahan umat Islam pada waktu itu disamping umat Islam meninggalkan ajaran Islam yang menyeluruh sehingga ramai yang hanyut dengan hiburan yang melalaikan. Malah pada masa itu perpecahan antara puak Sunni dan Syiah telah pun berlangsung hingga hari ini. Kezaliman pemerintah yang menyebabkan rakyat berpecah turut menambah lagi masalah yang sedia ada malah salah seorang menterinya yang dikenali dengan ’Alqami telah berpaling tadah dengan meminta pertolongan daripada Halagu pemimpin tentera Tartar untuk menyerang Baghdad. Kita dapat melihat bagaimana perbuatan berpaling tadah sentiasa berlaku jika umat Islam hanya diikat dengan dasar paksaan pemimpin kuku besi dan tawaran harta tetapi ia jarang berlaku apabila diikat kukuh dengan ikatan aqidah.

            Tentera Tartar Monggol telah melakukan kerosakan yang begitu teruk dalam Kota Baghdad sehingga banyak kitab karangan ulama’ dibakar dan dihumban ke dalam sungai sehingga air sungai menjadi hitam akibat dakwat daripada kitab tersebut. Malah mereka bertindak mencuri hiasan di kubah masjid serta memusnahkan banyak bangunan. Menurut ahli sejarah tentera Tartar telah membunuh antara 1 juta sehingga 1 juta 8 ratus ribu rakyat Baghdad ketika serangan itu dibuat. Cara tentera Tartar itu turut dilakukan oleh tentera Amerika pada hari ini di Iraq yang membunuh rakyat awam, memusnahkan bangunan termasuk Istana serta membiarkan kecuriaan termasuk muzium yang menyimpan banyak barangan bersejarah di Iraq. Apa yang ajaibnya ialah Halagu pemimpin Tartar selepas melakukan pelbagai kezaliman dan pembunuhan telah diberi hidayah oleh Allah untuk memeluk Islam begitu juga anak cucunya yang memerintah selepas itu. Islam telah mengubah bangsa Tartar daripada ganas dan zalim kepada budi pekerti mulia dan adil. Ingatlah bahawa Allah akan memberi kerajaan kepada sesiapa yang dikehendakinya dan akan melucutkan kerajaaan daripada sesiapa yang dikehendakinya. Oleh itu sebelum terlambat maka diseru kepada seluruh pemimpin negara umat Islam agar kembali kepada seluruh ajaran Islam dengan melaksanakan semua system Islam dalam negara jika tidak mahu Allah menghina mereka dengan dilucutkan jawatan dalam penuh kehinaan dan di akhirat pula akan disiksa oleh Allah di atas kesesatan dan kezaliman yang dilakukan semasa diberi amanah untuk memerintah manusia.

Ingatlah firman Allah   ayat 38 surah Muhammad :

هــأنتم هؤلاء تدعون لتنفقوا  فى سبيل الله  فمنكم من يبخل ومن يبخل فإنما يبخل عن نفسه والله الغني وأنتم الفقراء وإن تتولوا يستبدل قوما غيركم ثم لايكونوا أمثــلكم

Maksudnya : (Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian di mana kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang bakhil, sedangkan sesiapa yang bakhil maka sesungguhnya dia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatu pun), sedangkan kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepada Allah dalam segala hal) dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ