• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3










  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,678,208 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 6,417 other followers

63. ISLAM BERKUASA MELAYU PERKASA


 

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 176 surah Ali  ‘Imran :

ولا يحزنك الذين يســرعون فى الكفر إنهم لن يضروا الله شيئا يريد الله ألا يجعل لهم حظا فى الآخرة ولهم عذاب عظيم

Maksudnya : Janganlah kamu disedihkan oleh orang-orang yang segera menjadi kafir. Sesungguhnya mereka tidak sekali-kali dapat memberi mudharat terhadap Allah sedikit pun. Allah berkehendak tidak akan memberi sesuatu bahagian daripada pahala kepada mereka di akhirat dan bagi mereka azab yang besar

                Kini kita berada pada awal bulan Zulhijjah yang mengingatkan kita kisah pengorbanan besar nabi Ibrahim sekeluarga dalam mencari keredhaan Allah. Tidak lama lagi umat Islam seluruh dunia akan sama-sama menyambut ketibaan Eidil Adha di mana dalam masa yang sama para jemaah haji di Mekah sedang sibuk menyempurnakan ibadat haji. Sebelum tibanya hari raya korban maka kita yang tidak menunaikan ibadat haji telah disunatkan untuk berpuasa sunat hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah di mana fadhilatnya begitu besar sebagaimana kita fahami daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim, Tarmizi, Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi daripada Abi Qatadah al-Ansori bahawa Rasulullah s.a.w telah ditanya mengenai puasa hari Arafah lalu jawab baginda yang bermaksud : Dikaffarahkan (diampunkan) dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Bahasa jiwa bangsa dan tiada bangsa tanpa bahasa di mana kekuatan sesuatu bangsa banyak terletak pada perkasa dan meluasnya kegunaan bahasa milik bangsanya. Sebagai contohnya bahasa Arab pada permulaannya hanya berlegar dalam tanah arab sahaja tetapi kedatangan Islam telah merubah segala-galanya apabila ia dijadikan bahasa wahyu al-Quran sehingga memungkinkannya tersebar ke serata dunia. Bahasa arab yang asalnya digunakan dalam kelompok masyarakat arab sahaja seterusnya berkembang sebagai bahasa komunikasi dan bahasa pembina tamadun terutama selepas runtuhnya kuasa besar Rom dan Parsi. Malah bahasa arab telah dijadikan bahasa rasmi oleh  khalifah Islam termasuk Khilafah Uthmaniah Turki walau pun Turki tidak termasuk negara arab di mana ia berterusan begitu lama sehinggalah Mustafa Kamal at-Tartuk bertindak menghapuskan penggunaan bahasa arab dalam pemerintahan Turki dengan digantikan bahasa arab kepada bahasa Turki rentetan daripada penghapusan kepada semua perkara yang bersangkutan dengan Islam bersesuaian dengan Turki sekuler. Bahasa arab menjadi bahasa yang terlalu penting kerana ia dijadikan bahasa rasmi kerajaan-kerajaan Islam yang bukan sahaja dikhususkan penggunaannya dalam kitab agama malah meliputi urusan pentadbiran, ekonomi, teknologi pembinaan tamadun dan sebagainya yang menyebabkan setiap bangsa terpaksa mempelajari bahasa arab dengan begitu bersungguh-sungguh.

            Malangnya selepas berlakunya pengkhianatan oleh Mustafa Kamal at-Tartuk lakanatullah yang menyebabkan hancurnya Khilafah Uthmaniah Turki 1924 telah menyebabkan bahasa arab mula dipinggirkan. Malah penjajah kuffar terus menjalankan segala perancangan jahat mereka dalam merosakkan bahasa arab seperti menggalakkan bangsa arab menggunakan bahasa arab pasar daripada bahasa arab al-Quran. Ini bertujuan untuk melahirkan suatu generasi daripada kalangan bangsa arab yang tidak memahami bahasa arab al-Quran malah mereka akan merasakan bahawa al-Quran merupakan Kitab Allah yang sukar difahami walau pun mereka merupakan bangsa arab. Kejayaan kuffar barat menghancurkan bahasa arab al-Quran telah memberi kesan yang besar bukan sahaja kepada umat arab bahkan secara menyeluruh kepada umat Islam sedunia dalam memahami al-Quran. Seterusnya barat mencari jalan dengan perancangan yang penuh rapi dalam memastikan seluruh umat Islam mengalihkan arah qiblat daripada Islam kepada mereka dan seterusnya berusaha agar umat Islam lebih mendewakan bahasa Inggeris daripada bahasa arab. Ini semua bagi memudahkan lagi kuffar barat dalam merosakkan Islam dengan tafsiran yang menyeleweng terhadap kesucian Islam di mana penyelewengan ini tidak disedari oleh umat Islam yang buta bahasa arab serta lebih banyak mengenali Islam melalui tulisan-tulisan orientalis upahan kuffar dalam bahasa Inggeris. Inilah antara bahaya apabila umat Islam dijauhkan daripada bahasa al-Quran akibat kelalaian sendiri.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Melihat kepada betapa pentingnya bahasa kepada sesuatu bangsa telah menyebabkan para ulama’ Melayu silam menghasilkan tulisan jawi yang ada sedikit penambahan huruf daripada huruf arab bersesuaian dengan sebutan Melayu. Jika bahasa Melayu dianggap tidak penting dalam memperkasakan bangsa Melayu maka sudah tentu para ulama’ Melayu lah yang menjadi golongan pertama yang menghancurkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan tamadun. Ulama’ silam yang ramai di kalangan mereka menjadi penasihat kepada Sultan Melayu yang memerintah sudah pasti menggunakan kedudukan mereka dalam mewajibkan rakyat jelata belajar dan menggunakan bahasa arab sebagai bahasa rasmi. Apa yang terjadi adalah sebaliknya di mana ulama’ Melayu lebih bijak dan berpandangan jauh apabila mereka lebih berusaha dalam menghasilkan tulisan jawi bagi mendekatkan masyarakat Melayu dengan tulisan arab serta me’Melayu’kan banyak perkataan arab ditambah lagi dengan penggunaan Nahu atau tatabahasa Melayu banyak dipengaruhi oleh Nahu atau tatabahasa arab dari dulu sehingga zaman Za’ba yang memudahkan masyarakat Melayu membaca al-Quran dan memamahaminya. Malah usaha gigih ulama’ Melayu telah menghasilkan banyak kitab karangan mereka terutama berkaitan dengan agama dalam tulisan jawi yang terus digunakan sehingga hari ini di Nusantara terutama di pusat pengajian pondok. Penghasilan tulisan jawi turut berjaya menyatukan umat Melayu Islam Nusantara yang disatukan dengan satu bahasa dan satu tulisan. Oleh itu kita sewajarnya meneruskan usaha yang telah dimainkan oleh ulama’ silam dalam memperkasakan bahasa Melayu sehingga ia menjadi bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa pembina kemajuan.

            Kegemilangan bahasa Melayu telah dicemari dengan kemasukan penjajah ke negara ini. Walau pun penjajah tidak mengharamkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu namun tulisan rumi mula diperkenalkan di mana ia digunakan secara meluas sehingga menenggelamkan penggunaan tulisan jawi yang mula terhad. Bahasa Melayu turut menerima pakai perkataan Inggeris yang di melayukan serta penggunaan tatabahasa Inggeris mula mempengaruhi bahasa Melayu sehingga bahasa Inggeris mula mengambil tempat bahasa arab yang menjadi rujukan utama sebelum ini. Akhirnya kebanyakan orang Melayu lebih rapat kepada bahasa Inggeris terutama tawaran pekerjaan lebih tertumpu kepada mereka yang mampu menguasai bahasa Inggeris. Ia turut memberi kesan apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa ilmu yang terpenting termasuk dalam memahami agama yang menyebabkan Islam ciptaan barat hasil tulisan orientalis dalam bahasa Inggeris mudah tersebar dalam menjajah pemikiran umat Melayu Islam. Ini menyebabkan lahirnya masyarakat Islam yang kurang meyakini kemampuan sistem Islam malah berani bangun menentang pelaksanaannya dalam negara.

           

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Menyedari betapa pentingnya bahasa maka kita terutama pemimpin wajib memperkasakan semula bahasa Melayu agar ia bukan sahaja berperanan sebagai bahasa perhubungan harian dan agama sebaliknya lebih meluas sebagai bahasa ilmu kepada semua bidang kehidupan termasuk ekonomi, sains dan teknologi. Jika penghapusan tulisan jawi sebelum ini telah menyebabkan ribuan rakyat buta al-Quran dan agama maka penukaran bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik boleh memberi kesan akan terhakisnya kepentingan penggunaan bahasa Melayu di negara ini. Kita mesti ingat bagaimana tulisan jawi terselamat daripada terkubur dengan adanya pusat pengajian pondok dan sekolah agama malah kedua-dua pusat pengajian ini juga berjaya menyelamatkan mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah kebangsaan daripada disisihkan apabila ia dijadikan mata pelajaran pilihan dengan Pendidikan Seni.

            Kita terlalu bimbang dengan keadaan dan tindakan yang diambil oleh pemimpin yang sanggup mengkhianati bahasa dan bangsanya sendiri dengan menghapuskan penggunaan bahasa Melayu dalam ilmu moden. Ini boleh membawa kepada hilang minat dan kesungguhan bangsa Melayu sendiri apatah lagi bangsa lain untuk mempelajari bahasa Melayu malah mereka hanya mempelajarinya untuk lulus peperiksaan sahaja bukannya untuk kegunaan dalam mentadbir dan memajukan negara. Akhirnya bahasa Melayu dikubur dan ditalqinkan oleh bangsa dalam negaranya sendiri. Bahasa Melayu selepas ini hanya dipelajari di pusat pengajian pondok sahaja yang semenangnya terus menggunakan kitab jawi karangan ulama’ silam serta penggunaannya hanya terhad untuk komunikasi sesama sendiri sahaja bukan lagi berperanan sebagai bahasa ilmu dan tamadun sebagaimana sebelum ini. Bahasa Melayu bakal menjadi bahasa yang dikenang sebagai bahan sejarah sebagaimana bahasa Sanskrit tua dan tidak lebih nasibnya seperti bahasa Jawa dan orang Asli yang hanya digunakan untuk berhubung sesama sendiri bukannya dijadikan bahasa ilmu. Jika kerajaan Thailand berusaha secara halus menghancurkan bahasa Melayu ditambah pula dengan pengkhianatan kerajaan negara ini terhadap bahasa Melayu maka bahasa Melayu bakal diletakkan di muzium sebagai bahan sejarah bukannya sebagai bahasa yang perkasa sebagaimana yang dilakukan oleh ulama’ Melayu silam.

 

 

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Kita perlu fahami bahawa bahasa Inggeris dipelajari oleh bangsa lain kerana ia digunakan begitu meluas bukan semata-mata sebagai bahasa perhubungan sahaja sebaliknya bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa ilmu dalam menguasai pelbagai bidang ilmu moden. Jika bahasa Inggeris hanya digunakan untuk bahasa komunikasi semata-mata maka bangsa lain tidak akan berminat dan bersungguh-sungguh mempelajarinya. Oleh itu kedudukan orang yang terlalu mendewa-dewakan bahasa Inggeris sehingga sanggup menghancurkan bahasa kepada bangsanya sendiri adalah orang yang masih terjajah pemikirannya serta tidak yakin tentang kemenangan Islam atau pun mereka memang anti Islam. Jika selepas kejatuhan Khilafah Islamiah telah menyaksikan bahasa arab diketepikan maka apabila tibanya zaman kemenangan Islam bakal menyaksikan bahasa Inggeris akan dipandang sepi apabila bahasa arab akan berperanan kembali. Ini menyebabkan pakar bahasa arab begitu diperlukan sedangkan pemimpin yang berpandangan sempit dan kolot telah bertindak kejam menghancurkan sekolah agama rakyat yang sememangnya diperlukan oleh generasi selepas kemenangan Islam.  Yakinlah kita bahawa Islam dijulang bangsa Melayu gemilang, Islam Berkuasa bahasa Melayu perkasa.

Firman Allah dalam  ayat 177 surah Ali ‘Imran:

إن الذين اشتروا الكفر بالإيمان لن يضروا الله شيئا ولهم عذاب أليم

Maksudnya : Sesungguhnya mereka yang menukar iman dengan kufur sekali-kali mereka tidak akan dapat memberi mudharat terhadap Allah sedikit pun dan bagi mereka azab yang pedih.

 بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: