• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3











  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,677,030 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 6,409 other followers

Isikanlah Kemerdekaan Dengan Islam


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah S.W.T dalam ayat 34 surah al-Namlu :

قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ 

Raja perempuan itu (Balqis) berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia kepada hina-dina; dan demikian itulah mereka akan lakukan

            Penjajahan sesebuah bangsa dan negara kebanyakannya membawa suatu perubahan yang besar kepada rakyat dan keadaan negara yang terjajah. Kebiasaannya setiap penjajahan kuffar terhadap negara umat Islam akan membawa 3 matlamat utama iaitu pertamanya Tuhan atau agama penjajah, keduanya kemasyhuran dengan kejayaan menjajah yang dilakukan dan ketiganya mengaut keuntungan daripada hasil mahsul yang didapati di negara jajahan. Kedatangan Portugis ke Tanah Melayu dengan runtuhnya Empayar Kesultanan Melayu memulakan era penjajahan di negara kita. Penjahan kuffar ini bukan sahaja mengubah system politik. sosial dan ekonomi Islam kepada system ciptaan manusia malah penjajah turut berjaya melahirkan umat Islam yang berfikiran penjajah melalui system pendidikan yang begitu memberi kesan besar hingga hari ini. Sebab itulah pada awal kewujudan sekolah aliran Inggeris ianya ditentang oleh golongan Ulama’ terutama daripada pondok-pondok. Golongan ulama’ ini telah nampak bahawa matlamat pendidikan Inggeris bukan sahaja menjurus ke  arah memberi pendidikan secara formal tetapi turut menanam pemikiran agar lebih yakin kepada system penjajah berbanding Islam serta meracuni pemikiran umat Islam bahawa Islam hanya perkara yang berkaitan dengan ibadat khusus sahaja seperti solat, puasa, haji dan zakat tanpa mempedulikan masalah sosial, perundangan, politik, ekonomi dan sebagainya. Pemikiran yang dikenali sebagai sekulerisme ini terus subur dalam diri umat Islam di negara ini dari dulu hingga kini dan ia semakin membarah sehingga suburnya fahaman Islam Liberal walau pun telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2006 lagi. Oleh itu hasil daripada pembawaan agama penjajah telah menyebabkan lahirnya begitu ramai umat Islam tidak lagi yakin kepada system Islam dan apa yang lebih malang lagi betapa ramai umat Islam yang telah murtad secara terang-terangan dan berani pula mencabar melalui mahkamah sivil untuk menukar agama.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah S.W.T dalam ayat 44-45 surah al-An’am :

فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُمْ بَغْتَةً فَإِذَا هُمْ مُبْلِسُونَ  فَقُطِعَ دَابِرُ الْقَوْمِ الَّذِينَ ظَلَمُوا ۚ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ 

Maksudnya : Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan). Lalu kaum yang zalim itu dibinasakan sehingga terputus keturunannya. Dan (dengan itu bersyukurlah kerana musnahnya kezaliman, dengan menyebut): “Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian Alam”

            Sempena menyambut hari kemerdekaan negara kali ke-51 sepatutnya system penjajah semakin hilang, cara berpakaian dan cara hidup penjajah semaki banyak dibuang tetapi betapa malangnya apabila apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sistem penjajah semakin dijulang ketika system Islam semakin dihakiskan, system kuffar menjadi pujaan ketika system Islam dijadikan bahan cacian, system ciptaan manusia dijadikan suatu kebanggaan manakala system Allah didakwa punca kemunduran. Umat Islam lebih berbangga dan gembira berada di bawah system penjajah yang menghina mereka dunia dan akhirat. Umat Islam berasa malu dan takut dengan system Islam yang pernah menjulang umat Islam dulu. Pejuang kemerdekaan bermati-matian menghalau penjajah dan sistem kuffar sedangkan generasi baru yang mendakwa telah merdeka terus menjemput dan mengagung-agungkan penjajah dan sistem kuffar. Kita mendesak agar Jemaah Menteri membatal jemputan seorang artis barat walau pun sebelum ini ia telah pun dibatalkan tetapi kemudiannya diluluskan semula kerana ia bukan sahaja mencemar sambutaan kemerdekaan malah kedatangan bulan Ramadhan. Kita minta agar menteri fikirkan tentang kesan daripada penganjuran program maksiat dan merosak akhlak sebelum ini samada dapat mengurangkan atau menambahkan lagi jumlah penagih dadah, peminum arak, penzina, anak luar nikah dan bermacam lagi kesan buruk yang lain. Golongan yang cerdik ialah orang yang mencegah kerosakan dengan mengawal program maksiat daripada dijalankan serta berusaha mengubati kerosakan dengan ubat yang mujarrab. Manakala golongan yang kurang waras ialah orang yang menghidangkan racun untuk merosakkan rakyat serta mengubat penyakit dengan racun berbisa. Melalui mimbar Jumaat ini juga kita mendesak agar program bagi menyambut ambang kemerdekaan negara mesti dibuat dengan cara yang berakhlak terutama ia akan berlangsung ketika kita mahu menyambut awal Ramadhan. Jangan cemari Ramadhan dengan amalan maksiat sebagaimana Ramadhan pernah dicemari dengan sambutan tahun baru beberapa tahun yang lepas. Pejuang kemerdekaan tidak pernah meminta anak cucunya mencemari kemerdekaan dengan maksiat sebaliknya mereka menagih amalan soleh dan doa daripada kita yang masih hidup.

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Firman Allah S.W.T S.W.T dalam ayat 85 surah al-Baqarah :

…… أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ ۚ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَٰلِكَ مِنْكُمْ إِلاَّ خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰ أَشَدِّ الْعَذَابِ ۗ وَمَا اللهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ 

Maksudnya : …….Adakah kamu beriman dengan sebahagian Kitab dan engkar sebahagian yang lain?. Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian dari kalanganmu melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia dan pada hari qiamat pula mereka dikembalikan kepada siksaan yang amat berat. Allah S.W.T tidak lengah daripada apa yang kamu perbuat

             Ketika mahu mengisi kemerdekaan yang dicapai maka semestinya kita menjadikan Islam sebagai asas pengisian. Kita perlu faham tentang hakikat kemerdekaan sebenar sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh Rub’i bin Umair ketika menjawab pertanyaan Rustam panglima Parsi ketika berlakunya peperangan al-Qadisiah tentang sebab beliau membawa tentera Islam ke Parsi lalu dengan tegas beliau menjawab : “ Allah telah mengutuskan kami untuk memerdekakan sesiapa yang dikehendaki dari menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah yang Esa. Dan memerdekakan manusia daripada kesempitan dunia kepada lapang dan luasnya akhirat dan daripada belenggu kezaliman agama lain yang sesat kepada keadilan Islam”. Sudah sampai masa, waktu dan ketikanya untuk kita memperkasakan pengajian agama serta menukarkan qiblat sistem pendidikan negara kepada memahami dan menjulang cara hidup Islam dengan menguburkan perasaan terlalu taksub kepada sistem ciptaan penjajah. Kita berasa kesal dengan tindakan jahat dalam memerangi pengajian agama termasuk membatalkan kerjasama antara kolej dalam negara dengan Universiti Al-Azhar yang berjalan baik sebelum ini sehingga mengorbankan nasib ribuan pelajar Islam. Mengapa takut kepada pelajar agama sedangkan golongan artis yang kebanyakannya menyuburkan budaya penjajah terus diberikan laluan dan peluang seluasnya untuk dilahirkan saban hari.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

            Ketika menyambut kemerdekaan juga maka ia sepatutnya menambahkan lagi usaha dan semangat kita dalam memperkasakan perundangan Islam terutama ketika ada pihak yang bergerak secara terancang untuk menguburkan Mahkamah Syariah. Malah penjelasan Majlis Fatwa Kebangsaan yang berpendapat bahawa proses perundangan perlu berjalan terlebih dahulu sebelum dibuat lafaz sumpah laknat (muhabalah) seperti yang berlaku baru-baru ini dalam tuduhan liwat turut menambah keyakinan kepada kita semua bahawa sebarang fitnah ini hanya dapat disekat dengan kembali melaksanakan perundangan Islam. Isikanlah kemerdekaan negara dengan Islam. Raikanlah kemerdekaan dengan menjulang tinggi sistem Islam

Firman Allah dalam ayat 19 surah an-Nur :

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ۚ وَاللهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لاَ  تَعْلَمُونَ 

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman maka bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat.  Dan Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Satu Respons

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: