• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

151. IKTIBAR PEPERANGAN BANI MASTALIQ 6H

 

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat  6 surah al-Hujurat :

يـأيها الذين ءامنوا إن جاءكم فاسق بنبإ فتبينوا أن تصيبوا قوما بجهــلة فتصبحوا على ما فعلتم نــدمين

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepadamu orang fasik membawa berita maka periksalah terlebih dahulu bahawa nanti kamu mengenakan sesuatu kaum secara jahil yang menyebabkan kamu menjadi orang yang menyesal

Kita sekarang ini berada di bulan Sya’aban yang merupakan suatu bulan persediaan sebelum menyambut ketibaan bulan Ramadhan. Bulan Sya’aban pernah memahatkan beberapa sejarah penting dalam kalendar umat Islam antaranya Peperangan Bani Mustaliq yang berlaku pada bulan Sya’aban tahun Keenam Hijrah . Peperangan ini meletus selepas Rasulullah s.a.w bertindak pantas menghantar tentera apabila mendengar bahawa Bani Mustaliq pimpinan al-Harith bin Abi Dirar sedang bersiap untuk menyerang umat Islam. Tindakan nabi itu telah menyebabkan perancangan jahat Bani Mustaliq dapat dipatahkan dengan mudah sehingga ramai yang menjadi tawanan. Apa yang menariknya para sahabat telah memerdekakan tawanan perang yang memeluk Islam malah Rasulullah s.a.w sendiri telah menjadikan anak kepada ketua Bani Mustaliq yang telah memeluk Islam iaitu Juwairiyyah sebagai isteri. Tindakan ini merupakan antara strategi dakwah yang telah membuka hati ramai di kalangan Bani Mustaliq untuk memeluk Islam setelah melihat bagaimana Islam bukan agama yang menganjurkan keganasan sebaliknya begitu banyak menawar erti keamanan dan perdamaian. Sepanjang peristiwa ini juga mencatat bagaimana sikap golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai yang turut serta dalam tentera Islam bukan untuk mempertahan dan memperjuangkan Islam sebaliknya lebih banyak membuat kacau dan fitnah serta golongan ini hanya berminat untuk mendapatkan hasil rampasan perang melalui peperangan yang disertai itu. Allah mendedahkan sikap golongan munafik ini melalui ayat 47 surah at-Taubah :

لو خرجوا فيكم مازادوكم إلا خبالا ولأوضعوا خلـلكم يبغونكم الفتنة وفيكم سمــعون لهم والله عليم بالظــلمين

Maksudnya : Jika mereka keluar bersama-sama kamu tidaklah mereka menambahkan kepada kamu melainkan kerosakan dan tentulah mereka segera menjalankan hasutan di antara kamu dengan tujuan hendak menimbulkan fitnah (kekacauan) di kalangan kamu sedangkan di antara kamu ada orang-orang yang suka mendengar hasutan mereka dan ingatlah Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Ketika berlangsungnya peristiwa ini juga ada 2 orang sahabat dari golongan Muhajirin dan Ansor bertengkar sehingga Rasulullah s.a.w memarahi mereka yang menyebabkan mereka menghentikan perbalahan lalu bertaubat kepada Allah. Abdullah bin Ubai begitu marah mendengar berita tentang 2 sahabat itu yang kembali berbaik semula lalu berkata : “ Adakah munasabah dia melakukan demikian, apabila mereka (Muhajirin) sudah ramai dalam negeri kita maka mereka hendak menunjukkan kekuatan samalah seperti kata pepatah gemukkan anjingmu kemudian ia akan menggigitmu. Tengoklah nanti apabila pulang ke Madinah tahulah dia bagaimana orang mulia (Ansor) akan mengeluarkan orang yang hina ( Nabi dan Muhajirin)”.

Mendengar kata-kata biadap yang keluar daripada mulut Abdullah bin Ubai itu lalu Sayyidina Umar meminta izin daripada nabi untuk membunuhnya tetapi nabi menegahnya bagi mengelakkan fitnah yang mengatakan nabi membunuh sahabatnya sendiri. Hasil daripada kesabaran ini juga menyebabkan lebih ramai orang membenci Abdullah bin Ubai sehingga dia semakin terpinggir. Allah turut merakamkan  peristiwa bagi menjawab tuduhan Abdullah bin Ubai terhadap nabi dan golongan Muhajirin melalui ayat 8 surah al-Munafiqun :

يقولون لئن رجعنا إلى المدينة ليخرجن الأعز منها الأذل  ولله العزة ولرسوله وللمؤمنين ولـكن المنـفقين لايعلمون

Maksudnya : Mereka (golongan munafik) berkata : “ Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah maka benar-benar orang yang kuat akan mengusir orang yang lemah daripadanya”. Sedangkan kekuatan itu hanyalah bagi Allah S.W.T, bagi rasulNya dan bagi orang-orang mukmin tetapi orang munafik itu tidak mengetahui.

Api fitnah tidak terhenti setakat peristiwa yang melibatkan golongan munafik itu  malah suatu lagi peristiwa fitnah yang paling besar yang berlaku semasa perjalanan pulang daripada Peperangan Bani Mustaliq ialah khabar Ifk atau berita bohong yang dilempar terhadap diri Siti Aisyah yang tertinggal daripada rombongan yang pulang ke Madinah kerana ingin mengambil sesuatu barang yang tercicir. Setelah menyedari dia ditinggalkan oleh ahli rombongan lalu Siti Aisyah kembali semula ke kawasan perkhemahan asal dengan harapan ada di kalangan ahli rombongan yang akan datang mencarinya. Tiba-tiba datanglah Safwan bin al-Mu’tal yang sudah menjadi kebiasaannya suka tidur sehingga sentiasa ditinggal oleh ahli rombongan. Dia yang melihat ada seorang perempuan yang masih tinggal di kawasan perkhemahan itu lalu mendekatinya dan dia begitu terkejut apabila mendapati bahawa perempuan itu ialah Siti Aisyah. Tanpa banyak soal dia meminta Siti Aisyah untuk menaiki untanya lalu dia menariknya sehinggalah mereka bertemu semula dengan ahli rombongan yang lain di Nahru Zahirah. Tentera Islam yang melihat ketibaan mereka merasa terkejut dan Abdullah bin Ubai menggunakan peluang itu untuk menabur fitnah. Fitnah ini begitu kuat sehingga Rasulullah s.a.w sendiri tidak mampu berbuat apa-apa sehinggalah turunnya wahyu yang menjelaskan bagaimana bersihnya Siti Aisyah daripada sebarang tuduhan liar yang ditujukan kepadanya. Penurunan wahyu ini telah menenangkan hati Rasulullah s.a.w, Siti Aisyah sendiri dan para sahabat terutama Sayyidina Abu Bakar.

Firman Allah dalam ayat  11 surah an-Nur :

إن الذين جاءو بالافك عصبة منكم لاتحسبوه شرا لكم بل هو خير لكم لكل امرئ منهم مااكتسب من الإثم والذى تولى كبره منهم له عذاب عظيم

Maksudnya : Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari kalangan kamu juga. Janganlah kamu anggap bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik untukmu. Setiap orang  dari mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya.  Dan sesiapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam menyiarkan berita bohong itu maka baginya azab yang amat besar.

 

Siang Jumaat yang dikasihi,

            Peristiwa ini telah banyak meninggalkan kesan kepada tentera Islam terutama dalam berhadapan dengan fitnah dan berita bohong serta sikap golongan munafiq. Kita pada hari ini turut diserang dengan pelbagai berita bohong dan fitnah dalam menghancurkan kesatuan umat Islam dan juga menanam rasa benci orang bukan Islam terhadap Islam melalui propaganda yang dimainkan oleh musuh Islam terutama yahudi yang menguasai seluruh media massa. Musuh cuba menunjukkan kepada dunia bahawa Islam dan umatnya adalah pengganas di mana setiap keganasan yang berlaku dinisbahkan kepada Islam disamping menggambarkan umat Islam sebagai lambang kemunduran dan kelemahan. Oleh itu setiap umat Islam wajib bangkit dengan kemampuan yang ada bagi menjawab segala tohmahan liar itu melalui tindakan bukan setakat cakap kosong sahaja ke arah mengembalikan semula kehebatan dan kemuliaan umat Islam dengan kita sama-sama kembali mengamalkan semula Islam dalam setiap system kehidupan. Tunjukkan kepada dunia tentang ajaran Islam yang sebenar melalui pengamalan sehingga tohmahan itu dapat dijawab. Kita mesti yakin dengan kebenaran dan kemampuan Islam dalam mengembalikan keamanan dunia yang kini dirosakkan oleh kuffar yang diketuai oleh yahudi.

            Umat Islam juga mesti kembali bersatu di bawah panji Islam dengan menghentikan tabiat suka menaburkan fitnah dan menyebar berita bohong terutama dalam menzalimi saudara seagama sebagaimana yang terjadi kepada tahanan ISA. Kita turut dilarang memperbesarkan suatu berita bertujuan menakutkan orang ramai seperti kes selsema burung di mana ia masih lagi terkawal di negeri ini disamping ayam di sini selamat dimakan bukan sebaliknya.

Firman Allah dalam ayat 19 surah an-Nur :

إن الذين  يحبون أن  تشيع الفــحشة فى الذين ءامنوا لهم عذاب أليم فى الدنيا والآخرة والله يعلم وأنتم لاتعلمون

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman maka bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat.  Dan Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

94. BERSATU BERQIBLATKAN SISTEM ISLAM

 

 

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  145 surah al-Baqarah :

ولئن أتيت الذين أوتوا الكتب بكل ءاية ماتبعوا قبلتك وماأنت بتابع قبلتهم ومابعضهم بتابع قبلة بعض ولئن اتبعت أهواءهم من بعد ما جاءك من العلم إنك إذا لمن الظــلمين

Maksudnya : Dan sesungguhnya jika kamu datang kepada orang-orang yahudi dan kristian yang diberikan kitab Taurat dan Injil dengan segala keteranga maka mereka tetap tidak akan mengikut kiblatmu dan engkau pun tidak akan mengikut kiblat mereka. Malah sebahagian mereka pun tidak mengikut kiblat sebahagian yang lain. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti keinginan mereka (yahudi dan kristian) setelah datangnya ilmu kepadamu maka engkau termasuk golongan orang-orang yang zalim

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Kini kita berada dipenghujung bulan Sya’aban di mana tidak lama lagi kita akan menyambut ketibaan bulan Ramadhan bulan rahmat dan bulan maghfirah. Sebelum menyambut kedatangan Ramadhan yang dinanti-nantikan maka kita sepatutnya sentiasa menghitung diri sendiri tentang segala amalan soleh kita adakah semakin bertambah atau sebaliknya, adakah telah dilakukan dengan penuh cermat dan ikhlas kepada Allah atau dilakukan sambil lewa sahaja. Bulan Sya’aban inilah sepatutnya kita gunakan dengan sebaik mungkin sebagai bulan persediaan ke arah menyiapkan diri dalam menyambut kedatangan Ramadhan agar  amalan soleh yang bakal kita kerjakan lebih baik daripada sebelumnya.

Bulan Sya’aban ini turut memahat peristiwa penting untuk sama-sama kita renungi di mana pada waktu mula-mula tiba di Madinah maka nabi dan umat Islam diperintah oleh Allah agar mengadap ke arah Baitul Maqdis ketika solat sehingga ia menjadi bahan cercaan dan ejekan yahudi dan kuffar yang lain. Nabi sentiasa berdoa dan memandang ke langit mengharapkan turunnya wahyu yang mengizinkannya dan para sahabat berpaling ke Baitullah di Mekah. Akhirnya selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah s.a.w menghadap ke Baitul Maqdis, barulah Allah memerintahkan agar baginda menghadap ke Ka’abah. Daripada peristiwa ini kita dapat lihat bagaimana serangan kuffar terutama yahudi sentiasa berjalan samada secara fizikal atau  serangan saraf dalam memastikan dakwah Islam dapat dihentikan. Nabi Muhammad s.a.w begitu bersungguh berdoa kepada Allah agar ditukarkan arah qiblat bagi menguatkan keimanan dan keyakinan umat Islam serta menperjelaskan lagi perbezaan antara qiblat umat Islam dengan yahudi. Rasulullah s.a.w melihat bahawa masalah qiblat ini adalah begitu penting dalam mematahkan serangan saraf musuh Islam sehingga membolehkan umat Islam beribadat kepada Allah dengan penuh tenang dan dapat membezakan antara ajaran Islam dengan agama lain secara lebih jelas lagi

 

Sidang Jumaat yang dikasihi,

            Jika Rasulullah s.a.w begitu bersungguh berdoa kepada Allah agar mengubah arah qiblat daripada Baitul Maqdis yang merupakan qiblat yang digunakan oleh orang yahudi kepada menghadap ke Masjidil Haram maka kita umat Islam hari ini mesti lebih bersungguh dalam memanjatkan doa kepada Allah serta meningkatkan usaha dalam mengembalikan semula kemuliaan umat Islam dengan kita sama-sama kembali semula kepada seluruh ajaran Islam yang meliputi setiap aspek kehidupan bukannya terus terpenjara di bawah sistem jahiliah yang kebanyakannya dicipta oleh kuffar terutama yahudi samada dalam aspek pemerintahan, sosial, ekonomi dan sebagainya. Jika Rasulullah s.a.w dapat melihat secara jelas bagaimana bahayanya jika umat Islam terus menghadap ke arah qiblat yang sama dengan yahudi maka kita umat Islam yang berpegang kepada seluruh ajaran Islam mestilah sedar bagaimana bahayanya jika umat Islam hanya beribadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji mengikut ajaran Islam sedangkan amalan kehidupan mereka yang lain terutama cara memerintah mengikut sistem sekularisme dan dari sudut ekonomi pula menggunakan sistem kapitalisme yang ditaja oleh yahudi dan kristian maka kemuliaan umat Islam terus tenggelam malah umat Islam akan terus menjadi mangsa kezaliman dan penindasan kuffar durjana.

            Kita sepatutnya lebih menggandakan usaha dalam melaksanakan semula seluruh ajaran Islam agar keadilan dan kehebatan sistem Islam dapat dilihat dan dirasai bukan sahaja oleh umat Islam tetapi turut sama dinikmati oleh orang bukan Islam. Apabila seluruh sistem Islam dapat dilaksanakan di bumi yang nyata bukan lagi setakat tercatat dalam al-Quran dan hadis nabi serta kitab-kitab karangan ulama’ muktabar maka umat Islam dapat melihat perbezaan yang jelas antara ajaran Islam yang lengkap dengan ajaran agama dan ideologi lain yang sesat. Ini akan membantu usaha dalam meningkatkan dakwah dan mengurangkan musuh apabila Islam mula dilihat oleh dunia sebagai agama yang bergerak dan kemampuannya tidak lagi dapat dipertikaikan apabila setiap orang dapat melihat sendiri kesesuaian pelaksanaannya.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi,

            Pertembungan antara Islam dengan yahudi serta agama lain terus berjalan sehingga hari qiamat. Rasulullah s.a.w sendiri semasa baru tiba di Madinah dan seterusnya mendirikan Daulah Islamiah telah berhadapan dengan yahudi. Begitu juga semasa pemerintahan berjalan sehinggalah seluruh yahudi dihalau keluar dari Madinah akibat kedegilan dan kejahatan mereka yang cuba melakukan pemberontakan terhadap kerajaan Islam. Para sahabat nabi meneruskan dasar yang telah dibuat oleh Rasulullah s.a.w dalam memerangi golongan pengganas dan pelampau terutama yahudi sehingga dunia dapat diselamatkan daripada tangan yang ganas itu. Firman Allah dalam ayat 4 surah al-Isra’ :

وقضينا إلى بني إسرائيل فى الكتب  لتفسدن فى الأرض مرتين ولتعلن علوا كبيرا

Maksudnya : Dan telah Kami tetapkan kepada bani Israel dalam kitab itu : “Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakan di muka bumi ini 2 kali dan kamu pasti menyombong diri dengan kesombongan yang melampau

            Ada di kalangan ulama’ tafsir dalam menafsirkan ayat ini sehingga ayat 7 surah al-Isra’ mengatakan bagaimana yahudi akan dihancurkan oleh Allah sebanyak 2 kali iaitu kali pertama apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat dan kali kedua ialah pada zaman ini di mana jika kita perhatikan disebalik setiap keganasan yang berlaku maka akan didapati adanya yahudi dibelakangnya sebagai perancang. Yahudi kini begitu mendesak agar Amerika menyerang Iraq kerana minyak dan juga memang perancangan yahudi dalam membina negara Israel Raya bermula dari Syria ke Mesir dan Iraq. Musuh Islam turut menjatuhkan kerajaan taliban Afghanistan setahun yang lalu kerana minyak memandangkan Amerika dan kuasa besar yang lain kini hampir kehabisan sumber minyak.

 

 

Sidang Jumaaat yang diberkati Allah,

Setelah hampir berjaya menghancurkan negara umat Islam seperti Palestin, Iraq, Afghanistan kini yahudi dan kuffar mula mengganas di Asia Tenggara dengan berlakunya letupan di Bali, Indonesia diikuti Zamboanga, Filiphina dan beberapa hari lepas di Fatani, Thailand. Kuffar telah merancang dengan begitu rapi keganasan ini yang dikaitkan dengan umat Islam. Kuffar terutama yahudi sebenarnya adalah dalang dalam menghalalkan kemasukan tentera asing ke Asia Tenggara seterusnya kuffar akan menyedut sebanyak mungkin hasil minyak yang memang begitu banyak di sebelah sini.

            Malah pemilihan Malaysia sebagai pusat latihan anti-pengganas adalah antara senjata utama dalam menjajah negara ini secara mudah. Mengapakah kuffar tidak memilih sahaja Singapura iaitu pusat yahudi Asia Tenggara untuk tujuan berikut. Malaysia dipilih antara yang kita nampak ialah kerana negara ini aman dan rakyatnya kurang terdedah kepada peperangan besar yang membolehkan kuffar bergerak dengan senang.  Keduanya disebabkan hasil minyak negara ini begitu banyak samada yang telah digali atau bakal mendarat. Ketiganya kerana kemenangan gerakan Islam semakin dekat maka ia mesti disekat awal-awal lagi demi kepentingan kuffar durjana.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Ketika umat Islam berhadapan dengan serangan pengganas kuffar, kerosakan akhlak, buta agama, budaya malas belajar tiba-tiba kita dikejutkan dengan tindakan khianat dan tidak bertanggungjawab pimpinan negara yang menghentikan bantuan perkapita kepada semua sekolah agama rakyat. Kita mengecam tindakan yang tidak bertamadun dan melemahkan lagi umat Islam yang kini sedang dihimpit dari pelbagai sudut. Kita tidak dapat nafikan bagaimana setiap mereka yang ingin melawan Islam maka antara senjatanya iaitu wang tetapi mereka lupa bahawa umat Islam yang benar-benar yakin dengan Islam sentiasa menjaga aqidahnya dan tidak boleh dijual beli dengan kesenangan dunia. Kita pernah menyaksikan bagaimana golongan kuffar dan munafik cuba menghasut golongan Ansar Madinah agar tidak membantu golongan Muhajirin dari Mekah supaya mereka lari daripada Rasululllah s.a.w kerana susah sehingga nabi sendiri tidak lagi mempunyai pengikut setia serta tidak mampu mendirikan Daulah Islamiah dalam melaksanakan Islam yang menyeluruh. Tetapi usaha musuh ini tidak berjaya kerana keimanan dan keyakinan golongan Ansar terlalu tinggi terhadap Allah dan rasulNya sehingga Daulah Islamiah berjaya dibina hasil daripada pengorbanan seluruh umat Islam pada masa itu. Tindakan seperti ini sentiasa dilakukan oleh musuh Islam selagi Islam bertapak di muka bumi ini kerana perjuangan Islam bukannya merempuh jalan yang mudah sebaliknya memerlukan pengobanan yang tinggi daripada umatnya sehingga datangnya janji kemenangan daripada Allah.

Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Munafiqun :

هم الذين يقولون لاتنفقوا على من عندرسول الله حتى ينفضوا ولله خزائن السموت والأرض ولكن المنفقين لايفقهون

Maksudnya : Mereka(golongan munafik) menghasut golongan Ansar dengan katanya:  ” Janganlah kamu memberi bantuan kebendaan kepada golongan Muhajirin yang ada di samping Rasulullah supaya mereka berpecah meninggalkan nabi”. Sedangkan segala perbendaharaan langit dan bumi adalah milik Allah tetapi golongan munafik tidak memahami

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن

257 000 anak luar nikah di Malaysia antara tahun 2000-2008

Oleh Fadhil Osman

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) melahirkan kebimbangan di atas jumlah 257,000 sijil kelahiran dari tahun 2000 hingga Julai 2008 yang tidak mencatatkan nama bapa. Merujuk kepada titah ucapan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang menyebut perangkaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan 2,500 anak luar nikah direkodkan setiap bulan atau purata 84 kes setiap hari. Dalam ucapan baginda turut menyebut, anak luar nikah berketurunan Melayu meningkat daripada 16,100 pada tahun 2007 kepada 16,541 dalam tahun 2008 dan 17,303 pada 2009.

DPPWP merasa terpanggil untuk turut sama berkongsi rasa bimbang dan kecewa di atas peningkatan jumlah anak luar nikah ini. DPPWP berpandangan, kes kelahiran anak luar nikah ini berpunca dari pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang keterlaluan. Budaya hedonisme dan candu hiburan, berpeleseran, bersekududukan, mengunjungi pusat-pusat hiburan adalah faktor penyumbang kepada terjebaknya remaja kepada aktiviti perzinaan. DPPWP mempersoalkan mengapakah dalam keadaan kes kelahiran dan pembuangan bayi semakin meningkat ini, kerajaan membenarkan pusat-pusat hiburan beroperasi tanpa kawalan. Di dalam pusat-pusat hiburan inilah pelbagai aktiviti maksiat berlaku seperti percampuran bebas lelaki dan perempuan, arak, dadah, dan pelacuran.

Selain itu, penganjuran konsert-konsert hiburan yang terlalu banyak menyumbang kepada gejala kelahiran anak luar nikah. Mengapakah kerajaan sanggup membenarkan penganjuran konsert berlangsung tanpa kawalan yang ketat. Apakah kerajaan mampu menjamin keselamatan anak-anak gadis dari dinodai dan digoda oleh remaja-remaja lelaki sebaya dengannya. Apakah kerajaan mampu memantau setiap pergerakan remaja dan kemana mereka pergi setelah tamat menonton konsert.

Tambahan pula, dengan ledakan maklumat melalui internet dan telefon bimbit yang tiada had meloloskan segala kemungkaran dengan mudah untuk diakses. DPPWP bimbang kemungkaran dan maksiat sangat mudah diperolehi melalui internet dan telefon bimbit sehingga ke setiap rumah di Malaysia.

DPPWP juga berpendapat, penekanan terhadap tarbiyah dan pendidikan agama yang longgar menyemarakkan lagi faktor kelahiran anak luar nikah. Sistem pendidikan negara hari ini gagal membentuk peribadi dan syakhsiyah remaja untuk menjadi muslim yang soleh dan solehah. Bagaimana kita boleh mengharapkan generasi akan datang menjadi insan yang baik dan bebas dari maksiat sedangkan generasi yang lahir pada hari ini ramai lagi yang jahil dan buta agama?

Justeru DPPWP mengharapkan semua pihak memainkan peranan dalam memastikan angka kelahiran anak luar nikah dapat dibendung. Kerajaan perlu membendung gejala maksiat hingga ke akar umbi. Jangan benarkan lagi pusat-pusat hiburan beroperasi dalam negara walau apa alasan sekalipun. Selain itu, konsert-konsert hiburan yang lagha dan melalaikan tidak wajar diadakan sama sekali walau di mana pun. Kerajaan juga perlu melakukan sesuatu dalam menyekat penyebaran maksiat melalui internet dan telefon bimbit. Penekan tarbiyah dan pendidikan agama sangat penting bagi memastikan pelajar-pelajar tahu hukum halal dan haram serta segala aspek yang berkaitan dengan ruhiyyah.

Ibu bapa pula perlu berperanan dalam memastikan pendidikan dan pergaulan anak-anak terjaga. Membiarkan anak-anak bergaul bebas tanpa kawalan merupakan satu kesilapan besar ibu bapa. Ibu bapa juga diharapkan dapat memastikan aurat anak-anak remaja khususnya wanita dijaga sebaik mungkin.

Akhir sekali, DPPWP turut mengharapkan masyarakat turut bersama memainkan peranan dalam memastikan gejala zina dapat dihentikan. Institusi masjid, pusat komuniti, kempen kesedaran, kumpulan pencegah maksiat, kem-kem motivasi adalah usaha yang baik bagi membantu membendung budaya zina dan kelahiran anak luar nikah dari berleluasa