• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Sanggah artikel YADIM halal lesen judi

“Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani”

Akhbar Utusan Malaysia pada hari Isnin bertarikh 24.5.2010 telah menyiarkan satu rencana yang telah dikarang oleh saudara Mohd Shauki Abdul Majid, pengurus penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIEM) yang bertajuk ‘Kerajaan Tidak Menghalalkan Judi dan Arak’. Rencana itu dikarang dengan tujuan menjawab isu lesen perjudian bola sepak yang diberikan oleh kerajaan Malaysia. Di dalam rencana tersebut pengarang mendakwa bahawa pemberian lesen perjudian tersebut tidak bercanggah dengan kaedah siasah syariyyah sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w dan Saidina Umar al-Khattab.

Namun setelah diteliti dengan mendalam mengikut nas-nas al-Quran dan hadis serta kaedah syarak, rencana tersebut secara jelas tidak dapat memberikan hujjah yang benar dan didapati banyak kesilapan yang telah dilakukan oleh pengarang dalam usaha membenarkan dakwaan beliau. Secara ringkas, pengarang mahu menyamakan hukum berkaitan arak dengan hukum perjudian yang mana membenarkan sebuah negara membuka ruang aktiviti perjudian sebagaimana arak dibenarkan kepada bukan Islam berdasarkan maslahah. Di sini pihak saya akan menyatakan kesilapan-kesilapan tersebut berdasar beberapa perkara dibawah:

Kesilapan Pertama:

Pengharaman judi disamakan dengan pengharaman arak

Dalam muqaddimah rencana tersebut, pengarang telah menyebut perihal pengharaman arak secara beransur-ansur (tadarruj) sebagaimana yang tersebut di dalam Al-Quran pada surah Al-Baqarah (ayat 219), surah Al-Nisaa’(ayat 43) dan surah Al-maidah (ayat 90). Tujuan pengharaman arak secara beransur-ansur adalah untuk meraikan keadaan dan suasana umat Islam pada ketika itu yang masih lagi dalam peringkat pembinaan iman. Pengarang walaubagaimana pun telah menyamakan pengharaman judi dengan arak semasa mengulas ayat 43 surah al-Nisaa’ dengan kata beliau:

“Pada peringkat kedua, Allah SWT menurunkan ayat selanjutnya, iaitu ayat 43, surah al-Nisa. Antara kandungannya ialah Allah melarang orang Islam menunaikan solat ketika mereka mabuk, sehinggalah mereka benar-benar mengetahui apa yang mereka bacakan. Pada tahap itu, arak dan judi masih belum diharamkan secara tegas.”

“Akhirnya, Allah menurunkan firman-Nya dalam surah al-Maidah, ayat 90 yang dengan tegas mengatakan bahawa arak, judi, menyembelih korban untuk berhala dan nujum adalah lebih keji dan lahir daripada perbuatan syaitan.”

Pada hakikatnya pengharaman judi tidak boleh disamakan dengan pengharaman arak dari sudut tadarruj (bertahap). Pengharaman judi sebenarnya adalah sama dengan pengharaman zina, bunuh, mencuri, merompak dan lain-lain yang mana pengharamannya datang secara terus tanpa disebut secara bertahap sebagaimana pengharaman arak kerana mudarat aktiviti perjudian amat besar kepada masyarakat berbanding arak yang mana ia digunakan juga untuk aktiviti lain seumpama tujuan perubatan oleh masyarakat pada ketika itu selain daripada minuman.

Oleh itu pengharaman sekaligus telah diwahyukan oleh Allah dalam surah Al-Maidah ayat 90. Maka jelaslah di sini pengharaman secara bertahap adalah dikhususkan untuk arak tidak termasuk judi dengan hikmah tertentu. Walaupun pengharaman judi tidak disebut di dalam al-Quran sebagaimana arak tetapi ia tidak bermakna judi dihalalkan oleh Islam sebelum dinyatakan secara jelas di dalamnya. Kalaulah kaedahnya begitu, maka perbuatan lain seperti membunuh, merompak dan berzina dikira halal sebelum diharamkan oleh al-Quran.

Kesilapan Kedua:

Mendakwa dalil orang bukan Islam boleh meminum arak berdasarkan perbuatan Rasulullah s.a.w menyuruh para sahabat membayar ganti rugi(dhoman) terhadap bekas arak yang dipecahkan.

Pengarang berkata:

“Pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW, beberapa sahabat memecahkan tempat menyimpan arak milik bukan Islam. Rasulullah telah meminta supaya para sahabat berkenaan membayar diat (ganti rugi) yang jumlahnya setimpal dengan nilai barangan yang telah dirosakkan. Ini boleh dijadikan asas bahawa orang bukan Islam boleh meminum minuman yang memabukkan atau memprosesnya selagi tidak memudaratkan orang lain”

Pertama, pengarang mengistilahkan ganti rugi dengan perkataan diat. Istilah tepat yang sepatutnya digunakan mengikut ilmu feqh adalah dhoman. Kedua, hadis tersebut langsung tidak menyebutkan orang bukan Islam harus minum arak secara jelas (sorih) atau melalui mafhumnya (samada mafhum muwafaqah, mafhum mukhalafah dan lain-lain yang digunakan untuk memahami nas).

Ketiga, Rasulullah menyuruh para sahabat membayar ganti rugi adalah kerana merosakkan harta iaitu bekas-bekas yang masih boleh digunakan sedangkan yang diharamkan adalah arak bukan bekas-bekas tersebut. Bekas-bekas tersebut tiada kaitan dengan pengharaman arak.

Keempat, hukum bukan Islam meminum arak di dalam syariat Islam juga adalah berdosa dan dihisab pada hari akhirat. Ini kerana mengikut pendapat yang paling kuat di sisi para ulama, bukan Islam juga ditaklifkan dengan perkara furu’ (seperti solat, zakat dan lain) sebagaimana mereka ditaklifkan dengan perkara usul (iaitu beriman dengan Allah). Maka tiada dalil yang membenarkan atau mengharuskan perbuatan tersebut mengikut nas Al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.

Cuma perkara yang membenarkan mereka meminum arak adalah berdasarkan dasar toleransi Islam itu sendiri yang membenarkan penganut agama lain yang berada dalam negara Islam melakukan aktiviti yang dibenarkan oleh agama mereka seperti meminum arak dan memakan daging khinzir. Sesebuah negara Islam itu tidak boleh menghalang mereka dalam soal tersebut. Ianya berlainan dengan judi yang tidak dibenarkan atau dihalalkan oleh mana-mana agama utama di dunia. Oleh itu Khilafah Islamiah sejak dahulu tidak membenarkan judi kerana diharamkan oleh seluruh agama di dunia. (Rujuk Ghairul Muslimin Fi Mujtama’ Islami, Dr. Yusuf Al-Qaradawi, ms 47-48, cetakan Maktabah Wahbah, Kaherah)

Seterusnya pengarang berkata:

“Namun, mereka perlu sedar bahawa perbuatan tersebut bercanggah dengan ajaran umat Islam. Jika mereka hendak meneruskan juga perbuatan itu, maka hendaklah dilakukan secara yang tidak mengganggu umat Islam seperti di tempat-tempat khusus dan tersembunyi.

Pengajaran dan pembinaan hukum Islam seperti dalam kes pengharaman arak ini amat sesuai dengan situasi yang wujud di Malaysia, iaitu umat Islam dan bukan Islam hidup bersama dalam sebuah entiti negara.”

Kemudian pengarang berkata lagi:

“Prinsip itu terkandung dalam siasah syariah. Imam Syafie r.a. dalam kitabnya Asybah Wa al-Nazair ada membincangkan satu kaedah yang bermaksud: Pemimpin seharusnya bertindak ke atas rakyatnya berdasarkan kesesuaian maslahah (kebajikan dan kepentingan umum).”

Memang diakui sekiranya bukan Islam ingin melakukan aktiviti yang dibenarkan oleh agama mereka tetapi diharam oleh Islam (seperti kes minum arak), maka hendaklah dilakukan ditempat khusus dan tersembunyi supaya tidak menyinggung perasaan umat Islam. Tetapi persoalannya, adakah perkara ini betul-betul diangkat menjadi undang-undang Malaysia atau diamalkan secara baik?

Apa yang terjadi adalah berlawanan sebagaimana yang dakwaan-dakwaan yang terdapat di dalam rencana tersebut yang berkaitan dengan arak. Kita boleh lihat sendiri arak dijual secara berleluasa tanpa kawalan, dihidangkan di dalam hotel-hotel, dijual oleh peramugari beragama Islam di dalam kapal terbang, kilang yang terbesar di Asia Tenggara dan diminum serta dijual secara terbuka oleh orang Islam sendiri. Adakah wujud satu kaedah khusus dalam Islam yang membenarkan sebuah negara menjalankan aktiviti perniagaan arak sampai ke tahap itu? Di mana maslahah yang didakwa?

Keadah yang disebutkan oleh pengarang sedikit pun tidak tepat dengan realiti yang berlaku ataupun boleh dianggap telah menyeleweng daripada maksud yang tujuan asal. Apa yang berlaku sekarang adalah satu mafsadah dan bukan maslahah. Adakah tepat sekiranya semata-mata ingin menjaga satu kepentingan kita mengundang satu kecelakaan kepada umat? Adakah sama perbuatan Saidina Umar mengutip cukai import arak dengan keadaan sekarang? Itu adalah persoalan kepada pengarang kerana saya tidak mahu membahaskan persoalan maslahah di dalam Islam secara panjang lebar kerana isu yang diulas adalah berkaitan judi.

Kesilapan Ketiga:

Pengarang silap menyebut kaedah syara’

Samada secara sedar atau tidak, pengarang sebenarnya telah melakukan kesilapan dalam menyebut satu kaedah penting iaitu katanya:

“Malah dalam usul fikah juga terdapat perkara yang menekankan menangani bahaya yang khusus adalah lebih diutamakan daripada bahaya yang umum (yang boleh melibatkan kemudaratan yang lebih besar).”

Kaedah yang sebenarnya adalah berbunyi, “menangani bahaya yang umum (melibatkan masyarakat umum atau lebih besar) lebih diutamakan daripada bahaya khusus (yang bersifat peribadi dan kecil).

Bagi sesiapa yang mempelajari Fiqhul Muwazanah (rujuk Siasah Syariyyah, Dr. Yusuf al-Qaradawi, m.s 300-301, Maktabah Wahbah, Kaherah) akan memahami dengan mudah kaedah tersebut. Kaedah yang sama dalam bahasa arab berbunyi:

“دفع المفسدة العامة يقدم على المفسدة الخاصة”
Mengelak kemudaratan umum lebih utama daripada yang khusus

“ضحى بالمصلحة الخاصة من أجل المصلحة العامة”
Dikorbankan maslahah khusus kerana menjaga kepentingan umum

“يتحمل الضرر الأدنى لدفع الضرر الأعلى”
Ditanggung mudarat yang lebih kecil kerana mengelakkan mudarat yang lebih besar

“يتحمل الضرر الخاص لدفع الضرر العام”
Ditanggung mudarat yang khusus untuk mengelak mudarat yang umum

Semua kaedah di atas mempunyai maksud yang hampir sama iaitu menjaga kepentingan umum diutamakan dengan menggadaikan kepentingan khusus atau mengelakkan bahaya yang lebih besar dan yang melibatkan masyarakat secara amnya perlu diutamakan dengan hanya menanggung bahaya yang lebih kecil atau khusus.(Qawaid Fiqhiyyah, Dr. Abdul Aziz Muhammad Azzam, m.s 144, Darul Hadith, Kaherah)

Pengarang berkata:

“Pada masa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, beliau pernah mengenakan cukai import ke atas minuman keras yang dibawa masuk dari luar negara. Hasil kutipan tersebut dimasukkan ke dalam sumber am negara dan dibelanjakan untuk pengurusan infrastruktur seperti jalan raya.

Ini menggambarkan suatu pemerintahan yang bijaksana apabila pengimportan najis tersebut dibenarkan dan dikawal. Maksudnya, pemerintah telah mengambil langkah memilih bahaya (kemudaratan) yang sedikit daripada bahaya yang lebih besar.”

Untuk pengetahuan pembaca, kaedah yang digariskan adalah kaedah“menanggung bahaya yang lebih ringan daripada dua bahaya atau Irtikab Akhaffu dharurain”. Maksudnya lebih kurang kaedah di atas. Selain itu, soal yang dilaksanakan oleh Saidina Umar adalah berkaitan arak dengan berdasarkan toleransi Islam dengan bukan Islam seperti yang telah saya nyatakan tadi dalam perbahasan kedua. Kerajaan Islam yang dipimpin oleh sahabat Nabi Muhammad yang agung ini tiada kena mengena sedikit pun dengan urusan perjudian.

Selain itu juga, kaedah ini juga tidak terpakai dalam isu judi kerana memberikan lesen perjudian pada hakikatnya akan menimbulkan darurat yang lebih besar kepada negara bahkan menggalakkan aktiviti perjudian di kalangan rakyat kerana mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan. Mereka juga tidak menanggung risiko penanggkapan polis.

Oleh itu, sekiranya kaedah ini ingin digunakan maka yang sepatutnya yang dilaksanakan ialah kerajaan seharusnya mengharamkan aktiviti perjudian dan menangkap mereka yang berjudi sekalipun terpaksa mengorban harta, masa dan tenaga kerana risiko pengorbanan itu lebih ringan berbanding membiarkan rakyat terjebak dengan aktiviti yang keji lagi mempunyai mudarat yang besar. Dengan itu, barulah kaedah yang tersebut di atas tepat pada perlaksanaannya sebagaimana yang disebut oleh para fuqaha’ serta kerajaan juga dapat mendidik masyarakat agar tidak terjebak dengan arak dan judi.

Kesilapan Keempat:

Menqiyaskan hukum arak dengan hukum judi

Kesilapan yang paling utama dan juga tujuan utama rencana ini dikarang adalah untuk membenarkan tindakan kerajaan mengeluarkan lesen judi dengan membawa dalil-dalil yang mengharuskan perniagaan arak dalam negara Islam.

Maaf, saya ingin katakan bahawa pengarang belum memahami selok belok ilmu siasah syariyyah dengan baik atau memahami ilmu qawaid fiqhiyyah secara sempurna sehinggakan dalil yang dibawa untuk mengharuskan arak dijual dalam negara Islam pun banyak menyeleweng dan salah. Apatah lagi ingin menggunakan hujjah tersebut untuk menghalalkan aktiviti perjudian. Pengarang telah menyebut dalam rencana tersebut:

“Inilah persepsi yang sepatutnya difahami apabila kerajaan mengizinkan pengimportan ke atas arak, atau mengeluarkan lesen judi. Kerajaan juga tidak menghalalkan arak dan judi atau mendorong dan menggalakkan rakyatnya berjudi dan meminum arak.”

“Tegasnya arak dan judi adalah untuk mereka yang bukan beragama Islam, yang menjadikan judi dan arak itu sebagai lumrah dalam kehidupan mereka. Lagi pun undang-undang dalam enakmen syariah di setiap negeri ada memperuntukkan fasal-fasal yang menjatuhkan hukuman ke atas kegiatan dan penglibatan umat Islam dalam kes judi dan arak.”

Sekali lagi ingin saya nyatakan bahawa Islam tidak membenarkan langsung aktiviti perjudian kerana semua agama di dunia tidak menghalalkannya. Ini berlainan dengan isu arak yang mana ia merupakan hak bukan Islam untuk meminumnya dalam negara Islam kerana ia dibenarkan oleh sebahagian agama mereka walaupun Islam meletakkan piawaian tertentu untuk mengelakkan berlaku kemudaratan. Hak ini samalah dengan hak mereka untuk beribadat di kuil-kuil, merayakan hari kebesaran agama mereka dan lain-lain.

Kesimpulan hujjah yang didakwa pengarang ialah judi diharamkan bersama arak yang mana pengharamannya secara bertahap. Judi juga adalah amalan dan budaya jahiliyyah seperti arak maka hukumnya adalah seperti arak. Memberikan lesen judi pula adalah daripada satu perinsip pemimpin negara untuk menjaga maslahah umum dan menanggung mudarat yang ringan.

Setelah dijawab satu persatu maka jelaslah dalil-dalil tersebut adalah dalil rekaan yang tidak berdasarkan keilmuan yang jitu dan tidak menepati realiti. Mereka yang benar-benar mengkaji hukum dan tarikh tasyri’ sangat mudah untuk mematahkan hujjah yang dangkal tersebut.

Tegasnya, mengqiyaskan soal arak dengan soal judi dalam persoalan ini adalah Qiyas maal fariq. Sejarah Islam belum pernah mencatatkan mana-mana kerajaan di bawah mana-mana Khalifah membenarkan aktiviti judi kerana judi itu seolah-olah telah membunuh aktiviti ekonomi rakyat.

Akhir sekali, saya menyeru dan mencadangkan kepada kerajaan Malaysia supaya mengharamkan aktiviti perjudian dan menasihati kepada golongan agamawan dalam sektor-sektor kerajaan supaya berani menegur kesilapan dan bukannya mengeluarkan fatwa yang menyeleweng. Saya memohon ampun sekiranya jawapan ringkas ini mengandungi kelemahan. Wallahu A’lam.

Oleh:
Khairul Anuar Bin Ismail
Pengerusi Felow Manhal PMRAM 2010
ibnubarqi.blogspot.com
MENYANGKAL TULISAN SAUDARA MOHD SHAUKI ABDUL MAJID PENGURUS PENYELIDIKAN YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA (YADIEM) BERKAITAN ISU LESEN PERJUDIAN.

Ceramah wakil Palestin lepas Solat Jumaat esok

Suatu majlis ceramah berkaitan perjuangan membebaskan Masjid Aqsa dan bumi Palestin oleh wakil Palestin akan diadakan sejurus selesai solat Jumaat esok 28 Mei 2010 di Masjid Pondok Pasir Tumboh

Suatu pameran jualan dan kutipan derma bagi tabung pembinaan sekolah dan bantuan pelajar Palestin turut diadakan.

Seluruh muslimin dan muslimat dijemput hadir

Bukan Islam pun sertai demo bantah judi

Mohd Shubihi Zain

ALOR SETAR, 25 Mei: Pemuda Gerakan Kedah dan 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menyatakan kesediaan untuk menyertai Himpunan Membantah Judi yang akan diadakan di Dataran Zero, Sungai Petani, selepas solat Jumaat, 28 Mei ini.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Mohd Nasir Zakaria mengajak seluruh rakyat di negeri ini untuk bersama-sama dalam himpunan besar-besaran itu.

Katanya, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda DAP (DAPSY) negeri juga telah menyatakan kesediaan untuk menyertai himpunan tersebut.

Menurutnya, himpunan itu adalah bertujuan menyatakan bantahan rakyat terhadap kelulusan lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010 yang dianugerahkan oleh Kerajaan Umno BN kepada Kumpulan Berjaya.

“Himpunan ini adalah rentetan daripada beberapa himpunan yang diadakan di negeri-negeri lain Jumaat lalu dan kemuncaknya rakyat akan berhimpun di Kuala Lumpur untuk menyerahkan tuntutan rakyat terhadap aktiviti perjudian kepada Yang di-Pertuan Agong pada 3 Julai nanti,” jelasnya yang juga merupakan Ahli Parlimen Padang Terap.

Menurut Nasir lagi, penganjur juga turut menjemput semua pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik termasuk Umno dan MCA untuk bersama-sama menyertai himpunan itu.

“Perhimpunan ini terbuka kepada semua pihak dan ianya bukan untuk rakyat beragama Islam sahaja, semua agama tidak membenarkan judi kerana judi mengundang banyak keburukan.

“Kita menjemput kesemua NGO-NGO dan parti-parti politik yang ada di negeri ini tapi sehingga kini Umno dan MCA tak memberikan jawapan balas,” katanya.

Kutuk, kecam Facebook hina Nabi Muhammad s.a.w

LAHORE – Beribu-ribu rakyat Pakistan dijangka membanjiri jalan-jalan raya hari ini bagi meluahkan kemarahan terhadap Facebook dan Barat berhubung penyebaran karikatur Nabi Muhammad S.A.W yang dianggap mencabul Islam.

Ia berikutan tindakan seorang pengguna Facebook (FB) membuka laman FB dengan menyeru pengguna FB menghantar lukisan Nabi Muhammad.

Laman itu dinamakan sebagai ‘Hari Melukis Gambar Nabi Muhammad’ yang kononnya bertujuan ‘menggalakkan kebebasan bersuara’, yang diilhamkan oleh seorang kartunis Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun tindakan itu menimbulkan reaksi kemarahan hebat di negara Islam tersebut yang dihuni 170 juta penduduk.

Islam melarang sebarang lukisan yang menggambarkan Nabi Muhammad S.A.W dan menganggapnya sebagai kufur.

Perselisihan terbaru itu turut membangkitkan perbandingan dengan bantahan-bantahan di seluruh dunia Islam berhubung penerbitan kartun yang menyindir Nabi Muhammad dalam akhbar-akhbar Eropah pada 2006. -AFP

Anak 1 Malaysia Lebih Teruk daripada Abu Jahal dan Firaun

Oleh Ustaz Saiful Bahri

Kalau ditakdirkan Abu Jahal dan Firaun hidup semula di Malaysia nescaya dia pun terkejut beruk. Zaman sekarang canggih lagi pada zaman mereka. Yelahh… Malaysia bolehlah katakan. Sebab zaman jahiliyyah mereka membunuh anak perempuan sahaja dan zaman Firaun mereka membunuh anak lelaki sahaja. Sedangkan zaman kini mereka tak peduli lelaki ke perempuan.

Mereka bunuh dengan pelbagai cara. Ada yang dihanyutkan ke sungai, dibakar, disumbat ke dalam lubang tandas, dibuang ke longkang dan dicampak ke tempat pembuangan sampah. Semuanya ini menimbulkan persoalan bilakah episod kejam itu akan berakhir. Dan episode terkini di Melaka baru-baru ini mereka mewarisi kerja zaman jahiliyyah dengan membunuh anak dengan menanam hidup-hidup bayi yang baru dilahirkan ke dalam tanah.

Disebut didalam al-Quran betapa kejinya kelakuan Firaun apabila mereka membunuh anak-anak lelaki rakyatnya dikalangan Bani Israel. Ia difirmankan:-

إِذْ أَنْجَاكُمْ مِنْ آلِ فِرْعَوْنَ يَسُومُونَكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ وَيُذَبِّحُونَ أَبْنَاءَكُمْ وَيَسْتَحْيُونَ نِسَاءَكُمْ وَفِي ذَلِكُمْ بَلَاءٌ مِنْ رَبِّكُمْ عَظِيمٌ
Ketika dia menyelamatkan kamu dari (Fir’aun dan) pengikut-pengikutnya, mereka menyiksa kamu dengan siksa yang pedih, mereka menyembelih anak-anak laki-lakimu, membiarkan hidup anak-anak perempuanmu; dan pada yang demikian itu ada cobaan yang besar dari Tuhanmu”. (Surah Ibrahim: 6)

Firasat dari ahli nujum bahawa akan lahir dari kalangan Bani Israel seorang anak lelaki yang menentang dan bakal menghancurkan kekuasaan Firaun. Beliau lantas mengambil tindakan untuk membunuh semua bayi lelaki dari kalangan Bani Israel tetapi membiarkan anak perempuan mereka hidup.

Begitu juga di zaman era jahiliyyah sebelum kebangkitan Rasulullah Saw. Mereka membunuh anak-anak perempuan mereka. Firman Allah Swt:-

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا . وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
31. Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu Karena takut kemiskinan. kamilah yang akan memberi rezki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar. 32. Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk.

Menjadi amalan jahiliah apabila mereka membunuh anak-anak perempuan mereka dan mereka berbangga dengan anak lelaki mereka. Kedatangan Islam menghapuskan amalan jahiliyyah ini yang amat keji. Bagi mereka anak perempuan akan menyusahkan mereka untuk member makan dan minum. Status mereka hanya sekadar pemuas syahwat dan kilang kepada melahirkan anak. Perempuan tidak mampu berperang bahkan menjadi tawanan yang memerlukan tebusan. Semua ini mendorong mereka merasa malu untuk memiliki anak perempuan bahkan mereka memilih untuk membunuh anak perempuan mereka hidup-hidup.
Inilah kanak-kanak yang bakal mengheret ibu-bapa mereka ke dalam neraka sebagaimana firman Allah Swt dalam surah at-Takwir ayat: 8-9 :-

وَإِذَا الْمَوْءُودَةُ سُئِلَتْ . بِأَيِّ ذَنْبٍ قُتِلَتْ
8. Dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya. 9. Kerana dosa apakah dia dibunuh,

Memanglah ibu-bapa yang membunuh itu berdosa dan salah. Tetapi dalam konteks bernegara Kerajaan UMNO-BN menanggung kesalahan 90% kerana merekalah bapa kepada rakyat keseluruhannya. Dan kesalahan UMNO-BN kerana meninggalkan ajaran Islam daripada dilaksanakan di Malaysia. Mereka mengamalkan dasar sekularisme dan inilah bala serta hasil yang ditimpakan kepada rakyat Malaysia. Dan inilah hasrat penjajah selepas memerdekakan Tanah Melayu melebihi separuh abad yang lalu. Menggunakan pakai dasar nasionalisme dan meninggalkan ajaran Islam yang sudah sedia terpakai sebelum kedatangan penjajah. Kegagalan kerajaan dalam menjaga 5 perkara dharuri iaitu Agama, Aqal, Zuriat, Harta & Nyawa. Kelima-lima perkara itu hanya akan terpelihara dengan menegakkan hukum Allah diatas mukabumi ini.
Bagaimana kalau pemimpin yang bersekongkol dengan APCO Yahudi, menghalalkan judi, penaja kepada kehidupan bebas, hiburan yang berleluasa, mengabaikan pendidikan Islam hendak kita amanahkan dan diharap untuk melaksanakan hukum Islam. Ish jauh panggang dari api. Akibatnya ia bukan penyelesai masalah tetapi pimpinan negara inilah sebenarnya pembawa dan punca masalah.

Lihatlah angka berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Bagaimana yang belum dilahirkan tahun1999 dan sebelumnya? Pada 2007 sahaja ia mencatatkan seramai 16,100 orang anak luar nikah didaftarkan di JPN dikalangan orang Melayu manakala pada 2008 seramai 16,541 orang dan pada tahun 2009 jumlah tersebut makin meningkat seramai 17,303 anak luar nikah atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara iaitu purata 47 orang sehari. Siapa mereka ini. Inilah anak-anak 1 malaysia.

Ia bukan sekadar masalah tetapi sudah menjadi bala. Inilah akibat yang disabdakan oleh Rasulullah Saw yang diriwayatkan oleh Abu Dawuud:-

عَنْ مَيْمُونَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا لَمْ يَفْشُ فِيهِمْ وَلَدُ الزِّنَا فَإِذَا فَشَا فِيهِمْ وَلَدُ الزِّنَا فَيُوشِكُ أَنْ يَعُمَّهُمْ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِعِقَابٍ
Maksudnya: Daripada Maimunah Radhiallahu anha, Isteri Rasulullah Saw berkata: “ Aku mendengar Rasulullah Saw bersabda: Umatku (ini) akan terus berada dalam kebaikan selama tidak tersebar luas anak zina di kalangan mereka.apabila anak zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir sahaja Allah azza wajalla akan menurunkan azab seksa kepada mereka seluruhnya.( Haditis riwayat Ahmad, baik sanadnya).

Hari ini bala bukan setakat meluasnya zina dan bunuh anak tetapi semua aspek. Keruntuhan sosial, kebejatan ekonomi, kadar jenayah yang semakin meningkat. Sedangkan penyelesaian Islam sudah ada. Untuk mencegah anak zina kita mesti menutup setiap pintu zina dan maksiat. Kaedah usul-fiqh قاعدة سد الذرائع telah menyebut agar menutup segala lubang-lubang yang boleh membawa kepada penzinaan.
Bermula dari pendidikan sejak awal, Pentarbiyyahan diperingkat institusi kekeluargaan, Mewujudkan bi’ah dan persekitaran yang Islami disemua lapisan serta pengukuhan pendidikan Islam dan suasana yang terkawal serta berakhlak islam dan terakhir adalah pengukuhan Negara Islam dan pelaksanaan syariat Islam.

Realitinya pencegahan yang dilakukan sekarang hanya sekadar solekan semata-mata. Tidak menyelesaikan ke akar umbi penyakit. Bab member pil tahan sakit sahaja. Sama seperti melapkan air yang tumpah tetapi paip yang bocor tidak dibaiki. Para ulama dan pendakwah disalahkan jika berlaku penyakit social tetapi mereka tidak boleh menutup punca sebenar segala permasalahan. Kerana kuncinya dipegang oleh para pemerintah.

Ketika Rasulullah saw berada di Mekah, diera jahiliyyah didapati keadaan seperti ini wujud. Kekuasaan yang berada ditangan bangsawan Quraish yang tidak Islam tidak memberi apa-apa kemudahan dan pertolongan bahkan penguasaan amalan jahiliyyah yang parah dipaksakan diatas penduduk. Inilah yang membawa Rasulullah Saw berpindah ke Madinah dan membentuk Negara Islam serta mewujudkan infra dan pembinaan umat Islam disetiap sudut meskipun Madinah ketika itu berbilang agama dan berbilang bangsa. Sehinggalah ke peringkat perlaksanaan undang-undang sebagaimana firman Allah Swt:-

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. [Maksud surah al-Nur : 2]

I’Allah inilah yang menjadi matlamat perjuangan kita dalam menyelesaikan secara total permasalahan masyarakat yang ada sekarang.

Lepas arak, judi halal kini pelacuran halal pula

Ali Hashim

BUTTERWORTH, 18 Mei: Naib Yang Dipertua II Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Nordin menyelar tindakan kerajaan membenarkan perjudian sempena bola sepak Piala Dunia pada bulan Jun depan.

Menurut beliau, sekiranya kerajaan boleh meluluskan lesen untuk membenarkan perjudian dilaksanakan, maka tidak mustahil sekiranya suatu hari nanti ia akan merebak kepada perbuatan haram lain pula seperti zon pelacur selamat dengan alasan untuk mengelakkan Aids atau siplis dengan bersyarat pula.

“Judi adalah suatu perbuatan yang ternyata haramnya. Ia diharamkan oleh Allah dan tiada khilaf di kalangan ulama sekalipun, judi ini tetap haram.

“Kita juga meragui tindakan meluluskan lesen perjudian ini kerana pada saat ini penyakit sosial semakin parah dan tenat, keruntuhan moral di kalangan generasi muda juga semakin melarat, tiba-tiba lesen perjudian ini diberikan. Ia bukan saja mencemarkan nama baik kerajaan malah negara ini juga turut tercalar dengan pemberian lesen ini,” katanya.

Beliau yang juga merupakan mantan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang menegaskan bahawa dalam apa jua situasi pertaruhan dan perjudian bola sepak Piala Dunia ini tidak seharusnya dibenarkan oleh sesiapa sahaja dan dalam apa jua keadaan.

“Mereka yang ketagih judi boleh menimbulkan natijah yang buruk bukan saja kepada diri mereka sendiri, malah akan memburukkan keadaan. Kemungkinan rumah tangga akan porak-peranda yang seterusnya akan mengakibatkan masyarakat berada dalam keadaan yang tidak tenang.

“Kalah judi dan berhutang boleh menimbulkan kesan yang lebih parah. Faktor ini juga harus menjadi perkiraan kepada mereka yang meluluskan lesen dan permit perjudian ini,” tambahnya lagi.

Bila Ayah Pin muncul kembali

Oleh Ustaz Saiful Bahri

Pemimpin kumpulan ajaran sesat Kerajaan Langit, Ariffin Mohamed yang lebih dikenali dengan panggilan Ayah Pin, kini muncul di laman Facebook. Dengan menggunakan nama ‘Arifin Muhamad’ profil itu menyebut alamat penulis di Sungai Padi, Thailand. Pandangan politiknya dinyatakan sebagai ‘Kerajaan Langit’ dan pandangan agamanya ‘sangat liberal’. Dia menyifatkan Islam sebagai ‘mempunyai nilai moral rendah’ dan menggesa orang ramai supaya keluar dari agama Islam. Bersama lampiran perakuan sumpah murtadnya ia menyesatkan orang lain dengan ajaran karutnya.

Kumpulan Ayah Pin merupakan antara lima kumpulan ajaran sesat paling tegar dikesan di Malaysia dan mula bergerak pada tahun 1982. Ia antara lain, mengamalkan ratib secara kuat dalam gelap dengan bercampur antara lelaki dan wanita. Pemimpinnya pula, Arrifin Muhammad , 65 tahun mengaku dirinya sebagai tuhan, pencipta semua agama serta pemegang kunci ke syurga.

Dalam satu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Ayah Pin difatwakan sebagai sesat dan diwartakan pada 4 Disember 1997. Antara perkara yang terdapat dalam ajaran Ayah Pin adalah dia pernah mendakwa dirinya sebagai Tuhan. Katanya, di dalam ajaran itu juga;

• Menyatakan Rukun Islam dan hukum-hukum syarak seperti puasa dan zakat tiada kena mengena dengan Allah. Ayah Pin mendakwa pergi ke Mekah menunaikan haji adalah sia-sia. Kiamat tidak akan berlaku kerana Allah tidak bodoh menjadikan alam kemudian dimusnahkan.
• Jika seseorang itu hendak menjadi Islam, perlulah menjadi kafir terlebih dahulu. Dia juga mendakwa al-Quran yang ada sekarang adalah tidak benar. Ayah Pin mendakwa syurga adalah terhad kepada pengikutnya sahaja dan orang lain adalah seperti babi (Khinzir) belaka (kotor).
• Mendakwa dia akan menjadi Perdana Menteri di akhirat nanti dan juga pernah naik ke langit serta duduk di atas arasy. Ajaran Ayah Pin juga tidak percaya kepada Rasulullah kerana Rasulullah adalah manusia dan boleh mengatasinya dengan berzikir.
• Berzikir adalah lebih afdal daripada sembahyang lima waktu dan jika seseorang itu telah ilham, zuk, kasyaf, maka sembahyang lima waktu digugurkan.
• Waktu Solat subuh berpanjangan hingga ke Zuhur.
• Apabila bermimpi anak gadis pengikutnya berkahwin, si bapa perlu ‘menyerahkannya’ kepada ayah Pin untuk diserahkan kepada lelaki bertuah itu. Anjur upacara pengampunan yang dilakukan ketika bulan mengambang dan pengikut wanita perlu menanggalkan pakaian yang tidak suci serta perlu bersetubuh dangan ‘tuhan’ untuk mendapat lebih berkat. Pengikut perempuan dikehendaki bernikah secara batin dengan ‘Tuhan’ (ayah Pin)
• Ayah Pin mempunyai keajaiban menyumpah orang menjadi batu dan menukarkan individu menjadi muda. Wang diberikan Ariffin tidak akan habis apabila dibelanjakan.
• Ayah Pin boleh membawa roh pengikut untuk berjumpa nenek moyang setahun sekali.
• Isteri ayah Pin bukan orang biasa tetapi Puteri Gunung Ledang, Puteri Saadong, Puteri Nanu dan Puteri Matahari.
• Semua benda boleh dimakan termasuk yang diharamkan oleh agama Islam.

Ayah Pin juga mendakwa:-

• Tidak ada orang lain selain saya dan Nabi Muhammad saw yang berguru dengan Jibril”. Setiap kali Sembahyang hendaklah beriktikad bahawa Ayah Pin berada di hadapan.
• Quran perlu dibakar dan abunya dilumur pada tubuh Ayah Pin. Setiap kali berhimpun di Gua Bayu, Gua Musang, Kelantan. Sebiji Quran akan dibakar dan abunya akan dilumur pada tubuh Ayah Pin.
• Mendakwa beliau telah melalui semua agama-agama barulah jadi Islam dan menerima syahadah secara langsung dengan Tuhan. Di atas muka bumi ini tiada orang lain yang memimpin manusia melainkan Ayah Pin seorang.
• Nyawa manusia yang ada di atas muka bumi adalah duduk ditangannya kerana dia memegang segal kunci-kunci akhirat. Kalau bersyair memuji-muji di atas nama Ayah Pin adalah lebih afdhal daripada berzikir dan bersembahyang. Semasa mengucap dua kalimah syahadah hendaklah beriktikad dalam hati kepada Ayah Pin.
• Jika ada ahli yang akan mati, Ayah Pin akan pergi dahului untuk menentukan bagi simati syurga atau neraka.
Bukan beliau sahaja mendakwa bukan Islam tetapi juga antara pengikutnya. Termasuklah Kamariah Ali, 54, dan Daud Mamat, 63, yang pernah ke mahkamah untuk memohon pengistiharan atas hak kebebasan beragama seperti dalam Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan yang merangkumi hak seseorang beragama Islam yang mencapai umur majoriti untuk keluar daripada agamanya.

Ekoran itu ayah pin didakwa di bawah Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana dikatakan bertindak menghina pihak berkuasa agama di rumahnya di Kampung Batu 13, Mukim Tenang, Hulu Besut pada 20 Julai 2005. Tertuduh dikatakan mengingkari fatwa bahawa ajaran yang diamalkannya sesat dan menyeleweng serta boleh membawa ancaman kepada ketenteraman awam serta boleh merosakkan akidah.

Apabila timbul isu kemunculan semula Ayah Pin dan orang ramai mempersoalkan kenapa tindakan tidak diambil? Apabila ditujuk kepada pihak polis mereka mendakwa bahawa pihak JHEAT (Jabatan agama Islam) negeri itu kata tidak perlu. Kemudiannya ia dinafikan pula oleh pihak JHEAT.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhamad Ramli Nuh yang mendakwa keutamaan kerajaan negeri ialah menghapuskan ajaran itu dan bukan mengheret Ayah Pin ke mahkamah. Beliau menyifatkan tindakan menahan dan membicarakan Ayah Pin tidak penting tetapi yang paling penting ialah tindakan ‘menghalau’ Ayah Pin (ke Selatan Thailand) sudah berjaya. Beliau juga melahirkan rasa keraguan dan tidakpercaya kepada keupayaan mahkamah syariah dan menyatakan Ayah Pin mungkin boleh terlepas. Katanya, untuk menahan seseorang yang dikaitkan dengan kesalahan membabitkan ajaran sesat sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan.

Persoalannya kenapakah terlalu lemah pihak kerajaan pimpinan UMNO-BN dan JHEAT sehingga tidak dapat membawa bukti dan saksi bahawa Ayah Pin telah memesongkan aqidah Islam. Sedangkan semua senarai kesesatan yang dilakukan secara jelas dan nyata bahkan kerajaan langit Ayah pin dibinasakan di Besut. Kenyataan Ayah Pin sendiri divideokan dan dikeluarkan VCD. Lapuran pegawai penyiasat pun dah berapa kali lapuran. Kajian akademik tentang ajaran Ayah Pin pun dah berapa kajian yang dihasilkan. Fatwa pun dah diwartakan. Tinggal apa lagi.

Sebenarnya yang tersirat adalah pihak kerajaan pimpinan UMNO-BN takut bertindak terhadap Ayah Pin. Kalau semasa Derih Jusoh mungkin segan kerana hubungan baik Ayah Pin dengan keluarga Derih. Tetapi dizaman Mat Said ni, kenapa tak berani nak ambil tindakan. Bukankah Mat Said ni gedebe. Kalau orang lain diajak bergocoh takkan demi agama Islam dan menentang ajaran sesat Mat Said takut. Takkan takut kot nak ambil tindakan terhadap Ayah Pin.
Hakikatnya, UMNO-BN bersama JHEAT takut untuk dihadapkan Ayah Pin ke mahkamah kerana semasa kerajaan Pas memerintah telah meluluskan rang enakmen tambahan termasuk Hudud, Qisas & Ta’zir. (2001). Bayangkan kalau dibicarakan menurut hukum Hudud, mereka akan dihukum bunuh. Sanggupkah UMNO-BN menghadapi kontraversi untuk melaksanakan hukuman tersebut. Kalaulah hukuman sebat hanya sekadar 5 rotan terhadap pesalah minum arak Kartika Saridewi pun UMNO-BN Pahang kecut perut sehingga terpaksa berselindung disebalik kuasa Sultan, apatah lagi jika kes hukuman bunuh. Mereka takut dituduh teroris oleh Obama dan kuncu-kuncunya. Apatah lagi kalau diketahui oleh APCO. Mengamuk sakan Yahudi tu.

Tindakan yang paling selamat menurut YB Ramli Nuh adalah menghalau ke Selatan Thailand. Sekarang ini kerajaan langit menggunakan facebook untuk menyesatkan orang-ramai. Apakah tindakan UMNO-BN itu berkesan. Apakah tindakan seterusnya. Adakah nak dibiarkan beliau terus menyesatkan orang ramai?

Kes Ayah Pin ini lebih kurang sama dengan kes di Jakarta beberapa hari lepas. Seorang datuk 15 cucu mendakwa melawat syurga dua kali. Beliau mengaku pernah mi’raj ke langit ketujuh dan melihat Surga serta menerima wahyu dari Tuhan sekembalinya ke Bumi mendapat kejutan Jumaat lalu apabila dipenjarakan setahun kerana mempersendakan agama. Bakri Abdullah, 70, juga dikenali Amaq Bakri, Papuq Junaedi dan Abdullah. Beliau ditahan Oktober tahun lalu selepas dia menyebabkan penduduk kampungnya di timur Lombok berang kerana mendakwa seorang nabi. Dia mendakwa dua kali dibawa ke syurga, pertama pada 1970-an dan sekali lagi pada 2005, dari sebuah hutan di cerun Gunung Rinjani Lombok. Pada kali kedua diangkat ke langit, dia juga melawat alam lain iaitu alam roh.

Walaupun di penjarakan setahun tetapi paling kurang ada tindakan yang dilakukan. Dimana sebenarnya sikap UMNO-BN ini terhadap ajaran sesat. Hari-hari kita lihat kepercayaan tahyul dan khurafat semakin berkembang. Lapuran Jakim menyebut ajaran sesat bukannya menurun tetapi semakin meningkat. Tv, Radio, Cerita-cerita dan drama di tayangkan dengan kisah-kisah tahyul. Cerita hantu dan kisah karut-marut rekaan manusia. Ini memberi ruang dunia hitam dan kejahatan berkembang kembali.
Dimana peranan UMNO-BN untuk membendung budaya sesat ini. Banyak lagi ajaran sesat di Terengganu sendiri. Bukannya makin kurang bahkan makin menyusut. Sudah tidak selamat lagi aqidah anak bangsa Terengganu. Kenapa dibiarkan sahaja. Kalau xtvt Pas, siap ada SB mengikuti dengan mencatat dan merakam. Tetapi ajaran sesat dibiarkan sahaja. Kenapa?Adakah UMNO-BN menjaga kepentingan politik? Sebab kebanyakan mereka ini memberi sokongan kepada UMNO-BN. Apakah UMNO-BN sendiri bersekongkol dengan ajaran-ajaran seperti ini. Atau adakah UMNO sendiri itu terseleweng dari Islam? Kalau begitu macamana nak diharapkan ketam mengajar anaknya berjalan lurus.

http://ustsaifulbahri.blogspot.com/

Bukan Islam tolak judi, Orang Islam gila judi

Hashim Abdullah
JERANTUT, 10 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) amat dukacita dan malu kerana hasrat mengadakan judi sukan datangnya daripada pemimpin Umno yang mengaku beragama Islam sedangkan pemimpin bukan Islam termasuk daripada DAP menuntut supaya kegiatan perjudian dihadkan.

Justeru, katanya PAS membantah keras sebarang usaha untuk meluluskan lesen perjudian walau apa bentuk sekali pun termasuk judi sukan sebagaimana yang dihasratkan pemimpin Umno.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, berkata hasrat memperluaskan kegiatan perjudian di negara ini merupakan suatu pengkhianatan terhadap negara yang sedang bergelut dalam krisis moral yang sangat dahsyat.

Tuan Ibrahim mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, baru-baru ini yang menyatakan kerajaan mungkin mempertimbangkan untuk mengeluarkan lessen pertaruhan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 kononnya bagi mengelak aktiviti perjudian haram.

Menurutnya, alasan yang digunakan untuk menyekat kegiatan perjudian tanpa lessen adalah tidak logik malahan pemikiran sedemikian amat bertentangan dengan ajaran Islam.

“Apa pun dalam Islam judi tetap haram. Tak ada istilah judi halal, kalau judi tetap haram. Nak guna alasan untuk sekat kegiatan judi haram bukan itu caranya. Selama ini pun kerajaan telah luluskan banyak lesen judi tetapi judi tanpa lesen tetap berlaku. Kita tak boleh terima itu, kita bantah keras,” katanya.

Kecam mahu jadikan Malaysia Serambi Las Vegas

Idris Ahmad

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan tindakan pemimpin Umno melalui Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein yang mahu menimbangkan sekali lagi cadangan meluluskan lesen judi Bolapsepak Piala Dunia 2010.

Hal ini sudah jelas mendapat tentangan rakyat sejak cadangan pertamanya tahun lepas. Namun kali ini ia berbangkit lagi dengan alasan bahawa kerajaan gagal membanteras aktiviti sindiket perjudian haram. Alasan ini dengan sendirinya membuktikan kelemahan sistem pentadbiran dan penguatkuasaan kerajaan. Bila sudah gagal mereka keluarkan lesen untuk menghalalkan pula.

Kempen memerangi dadah masih diteruskan walaupun belum berjaya menghapuskan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah. Dadah diistihar sebagai musuh negara. Kenapa selepas bertahun-tahun gagal membasmi dadah hingga ke akar umbi Kerajaan tidak mengeluarkan lesen pengedaran dadah pula.

Kerajaan kata dadah itu merosakan rakyat dan menjadi ancaman kepada negara kerana menyebabkan ketagihan serta dorongan melakukan jenayah. Apakah judi tidak memainkan peranan yang sama. Berapa ramai rakyat Malaysia yang jadi kaki judi mengabaikan keluarga mereka, malah ada yang sanggup jadi penjenayah untuk mendapatkan modal berjudi. Sepatutnya judi diistihar sebagai musuh utama negara juga.

Rakyat Kelatan khususnya pasti bersyukur dengan kekalahan Umno dan Awang Adek dalam pilihanraya lalu dinegeri itu. Jika beliau menang dan Umno rampas kerajaan Kelantan, pastilah beliau yang kononnya mahu diangkat menjadi Menteri Besar akan menjadikan Kelantan sebagai Negeri Serambi Las Vegas bukan lagi Serambi Mekah.

Disebabkan gagal di Kelantan beliau yang mendapat peluang jadi Menteri melalui ehsan Najib mahu jadikan Malaysia pula sebagai serambi Las Vegas. Tak dapat Kelantan, satu negara diperjudikannya.

Mungkin tindakan ini terdorong dek peluang yang dinikmati Singapura yang baru-baru ini mendapat suntikan pelaburan sebanyak USD 5.7 Bilion dari Las Vegas Sand Corp yang mahu membina sebuah Resort Perjudian mewah dinegara itu bagi menyaingi Genting Highland. Projek Marina Bay Sand itu dijangkakan mendatangkan pulangan USD 2 Bilion setahun dan menjadi antara sumber kewangan baru bagi Kerajaan Singapura.

Oleh itu, Awang Adek cuba menunjukan Malaysia lebih terbuka dari Singapura dengan harapan syarikat Perjudian antarabangsa berminat membuka resortnya di Malaysia pada masa akan datang. Krisis kewangan global menjadikan pemimpin Umno buta mata, dan sanggup mengambil apa sahaja peluang untuk mengaut keuntungan bagi membiayai projek-projek politik yang mereka janjikan kepada rakyat sejak PRU-12.

Tahun ini usia Umno 64 tahun, bermakna sudah lebih 64 tahun mereka bergelumang dengan perjudian. Di awal penubuhannya berbondong-bondong Ulama’ dan Ustaz-Ustazah keluar dari Umno menubuhkan PAS kerana kedegilan pemimpin Umno yang tekad menjadikan loteri kebajikan dan pelbagai jenis judi sebagai aktiviti ekonomi mereka hingga ke hari ini.

Hari ini Umno masih bersandarkan hasil judi untuk terus berdiri megah di PWTC. Lihat sahaja senarai pemegang saham dan ahli Lembaga Pengarah beberapa syarikat judi dalam negara. Malah, bila sebut pasal tokoh pelaburan judi dalam Umno rakyat akan terbayang wajah Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor.

PAS berharap agar rakyat membuka mata dan bangkit menolak dasar-dasar perjudian yang cuba dihalalkan Umno. PAS yakin, tanpa duit hasil judi, ekonomi negara ini mampu melangkah jauh ke hadapan

ARB labur dalam Magnum: Mufti diminta beri pandangan

KUALA LUMPUR, 29 April: Para mufti khasnya Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria diminta memberikan fatwa tentang maklumat kononnya Amanah Raya Berhad (ARB) mempunyai saham dalam syarikat perjudian, Magnum Corporation Berhad.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Abdullah Karim dalam facebook menulis, Harussani adalah Penasihat Shariah ARB.

Menurutnya, ARB yang dimilki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia bukan sahaja mempunyai saham dalam syarikat arak, Carlsberg tetapi juga dalam Magnum.

“Rujuk Laporan Tahunan Magnum Corporation 2006. ARB miliki lebih 11 juta unit saham dalam syarikat judi Magnum Corporation Berhad,” tulis Abdullah dalam facebooknya.

Abdullah adalah Naib Ketua Pemuda PAS Pahang. Beliau yang merupakan seorang peguam kini sedang bercuti panjang di London (gambar).

Selain meminta para mufti bersuara dalam hal ini, beliau juga mempersoalkan kenapa Perkasa yang dipimpin oleh Datuk Ibrahim Ali yang sentiasa mendakwa sebagai pejuang Islam dan Melayu mendiamkan diri.

Menurut Abdullah, laporan tahunan 2009 Carlsberg Brewery, Perkeso yang terletak di bawah Kementerian Sumber Manusia mempunyai saham dalam syarikat itu iaitu sebanyak 2,155,700 unit.

Amanah Raya Berhad pula mempunyai saham sebanyak 585,300 unit saham dalam Carlesberg.

“Perkeso duduk di bawah Kementerian Sumber Manusia. ARB pula GLC di bawah Kementerian Kewangan dan menguruskan hal ehwal pesaka orang Islam. Kenapa Umno tak bising?” soal beliau.