• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Kuliah Maghrib Tuan Guru Hj Abdul Hadi di Pondok Pasir Tumboh malam ini

YB Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang ahli Parlimen Marang akan mengadakan kuliah maghrib di Masjid Pondok Pasir Tumboh malam ini 30 April 2010. Muslimin muslimat dijemput hadir dalam memeriahkan lagi majlis ini

Selepas itu beliau akan menziarahi Tuan Guru Hj Hashim selaku mudir Pondok Pasir Tumboh yang sedang uzur

Bantah pengajian seks di sekolah

Oleh HJ NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) berpendapat subjek pendidikan seks atau pendidikan reproduktif tidak wajar diajar diperingkat sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Meskipun objektif subjek tersebut dikatakan adalah untuk membendung gejala pembuangan bayi dan juga memberikan pemahaman mengenai hubungan seksual secara konseptual, namun kaedah yang hendak diaplikasikannya tidak tepat.

Sepertimana kami maklum, subjek Pendidikan Islam dan Moral telah sekian lama diterapkan diperingkat sekolah, malah dilengkapi dengan pelbagai aktiviti ko-kurikulum, kaunseling dan program pendisplinan pelajar. Adakah semua modul tersebut tidak mampu menangani kebejatan syakhsiyah pelajar?

Maka, atas keprihatinan ini, pihak Dewan Pemuda PAS Pusat dengan rasa penuh kesedaran ingin bertemu dengan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan agensi-agensi yang berkaitan untuk tujuan perbincangan secara serius bagi mencari formula terbaik untuk menggariskan langkah pencegahan dan modul pendidikan yang terbaik untuk pelajar dan tenaga-tenaga pendidik di Malaysia.

Dewan Pemuda PAS Pusat juga ingin melontarkan beberapa cadangan untuk diberikan perhatian yang serius dan sewajarnya.

Pertamanya, subjek Pendidikan Islam perlu sentiasa diperkemaskan dan disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami dan menarik supaya para pelajar tidak menganggapnya sebagai subjek yang remeh dan kurang bernilai. Pihak kami menggalakkan agar aktiviti-aktiviti praktikal dapat diperbanyakkan supaya ia lebih mudah dihayati.

Kedua, modul Fiqh Munakahat (Perkahwinan) dapat diterjemahkan lebih awal diperingkat sekolah rendah dan menengah mengikut kesesuaian dan taraf pemikiran mereka. Meskipun, subjek ini secara formal diajar diperingkat pengajian tinggi, namun ada beberapa topik atau intipati-intipati penting untuk disampaikan memandangkan keperluan pada hari ini lebih mendesak.

Ketiga, pihak kaunseling sekolah perlu diperkasakan peranannya supaya dapat lebih memantau dan membimbing para pelajar yang bermasalah dengan lebih efektif. Pelajar yang bermasalah perlu diberikan perhatian yang lebih termasuk curahan kasih sayang supaya mereka rasa dihargai dan diadili.

Keempat, kami menyeru kepada tenaga-tenaga pakar atau kumpulan-kumpulan konsultansi yang memberikan fokus kepada motivasi, bimbingan dan latihan agar lebih agresif membantu pihak sekolah dalam mendidik para pelajar.

Melihat kepada kebimbangan ini, pihak DPPP juga menyarankan agar semua rakyat khususnya para pendidik agar dapat lebih mengikhlaskan diri, lebih komited dan tidak berputus asa dalam penglibatan mereka membentuk modal insan di negara ini.

Batalkan syarahan Tony Blair Di Malaysia!

Oleh: miratnunia

“MAJLIS PERUNDINGAN PERTUBUHAN ISLAM MALAYSIA ( MAPIM ) 24-3-2, Tingkat 3, Jln 4/50, Diamond Square Off Jln. Gombak, 53000, Kuala Lumpur Hotline : 019 4747141 / 012 3333825 Pejabat : 03-4023 5155 Fax : 03-4023 4155

SEGERA DAN PENTING

Kepada semua Pengerusi dan Imam Qariah

Kepada semua Khatib

Kepada semua Penda’wah

Assalamualaikum wr.wb.

MEMOHON AGAR DIBACA PENGUMUMAN BERIKUT KEPADA AHLI JAMAAH DI SEMUA QARIAH Pada 24 hb April 2010 sebuah syarikat Success Resources berpengkalan di Singapore dan juga beroperasi di Malaysia akan menjemput bekas Perdana Menteri , Tony Blair untuk menyampaikan ceramah di National Achieves Congress 2010 di Sunway Pyramid Convention Center , Petaling Jaya. Tony Blair sudah dikenali dan dicop sebagai penjenayah dan pembunuh kemanusiaan yang bersekongkol dengan bekas Presiden Amerikat Syarikat , Presiden Bush .

Dengan menjemput Blair, mereka yang menganjurkan Kongres itu telah menunjukkan betapa tidak sensitifnya mereka terhadap penderitaan berjuta rakyat Iraq, mangsa yang tidak bersalah akibat tindakan jenayahnya, dan perasaan rakyat Malaysia yang menyokong mereka sepenuhnya. Sebagai ganti diberikan penghormatan sebagai penceramah, beliau sepatutnya berdepan dengan perbicaraan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di atas jenayah kejam yang dilakukan olehnya.

Tony Blair adalah seorang yang bertanggungjawab merencana dan melaksanakan pencerobohan ke atas Iraq melalui penghantaran tentera UK bersama dengan tentera Amerika.

Perang pencerobohan Amerika Syarikat-Britain terhadap Iraq pada tahun 2003 telah mengakibatkan kekejaman terhadap rakyat Iraq dan kemusnahan sepenuhnya tanah air mereka. Lebih daripada 1 juta orang mati akibat daripada perang itu. Hampir 5 juta orang kehilangan tempat tinggal, 2.7 juta di dalam negara dan 2.3 juta lagi menjadi pelarian di negara jiran. Ekonomi Iraq, hospital, sekolah, dan infrastruktur untuk kemudahan asas sosial turut musnah.

Oleh sebab itu, tidak dapat difahami bagaimana sebuah syarikat Malaysia memilih untuk menjemput penjenayah perang Tony Blair sebagai penceramah utama di Kongres itu apabila begitu ramai pemimpin terkemuka dalam perniagaan dan politik yang dari segi moral dan perundangan belum lagi tercemar untuk dipilih.

Sehubungan itu, kami menggesa:

• Pihak penganjur membatalkan syarahan itu bagi menghormati permintaan dan perasaan rakyat Malaysia.

• Orang ramai supaya mengadakan demonstrasi terhadap kunjungan Blair. • Kepada mereka yang mampu untuk mendekati Blair untuk menguatkuasakan tangkapan ke atas beliau kerana tindakan beliau melakukan jenayah kemanusiaan.

• Pihak berkuasa hendaklah mengharamkan penjenayah perang seperti Blair dan Bush daripada memasuki Malaysia.

ATAS NAMA ISLAM , MARI KITA BANGKIT MEMBANTAH DAN JANGAN BENARKAN SEORANG PEMBUNUH DAN PENJENAYAH KE ATAS UMAT ISLAM DAN KEMANUSIAAN BERNAMA TONY BLAIR UNTUK MENJEJAK KAKI DI MALAYSIA

Kerjasama tuan-tuan semua di dahului dengan jazakallahu khair

Ditanda-tangani oleh:

Mohd Azmi Abdul Hamid

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia

Disokong dan ditandatangani:

1. Nusantara Initiative for Justice and Peace 2. Citizens International 3. Salimah (Muslima Movement of Malaysia) 4. Secretariate for the Ulama Assembly of Asia (SHURA) 5. TERAS Pengupayaan Melayu 6. Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM) 7. National Muslim Students Federation 8. Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia 9. Persatuan Ulama Malaysia 10. Persatuan Ulama Kedah 11. Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak (JAMA’IY) 12. Majlis Permuafakat Pertubuhan Islam Kedah (WEHDAH) 13. Angkatan Pemuda Islam , Penang 14. Forum Umat Islam , Penang 15. Instittut Penyeledikan dan Pengenbangan Syariah Malaysia (ISRA’) 16. Gabungan NGO Islam Pahang (Barakah) 17. Gabungan NGO Islam Kelantan (NGK) 18. Majlis Bertindak Wanita Islam Malaysia 19. Institut Masyarakat Madani 20. Institut Penyelidikan dan Pengemblengan Masyarakat (IMPAK) 21. Forum Komunikasi Masyarakat Indonesia (FORKUMI) 22. Pusat Perkhidmatan Pelarian Rohingya –TERAS 23. Wadah Pencerdesan Umat Kedah (WADAH Kedah) 24. Gerakan Qariah Malaysia 25. Ummah Aid , Malaysia 26. Persatauan Kebajikan Rakyat Desa Malaysia (Rural Citizen)

SUMBER : http://anakfelda09.blogspot.com/

Mahkamah bebas 5 pelajar pondok pakai serban

TUMPAT, 22 April: Mahkamah Majistret di sini pagi ini membebaskan kelima-lima pelajar Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Yusufiah Pondok Banggol Naim, Pasir Mas yang dituduh menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar semasa ditahan polis pada 27 April 2008 lalu.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat semasa membuat keputusan itu mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan bahawa wujudnya satu keraguan yang munsabah.

Peguambela Amir Syafiq Venkadesh Narayanan ketika bercakap kepada media di luar mahkamah berkata kelima-lima ‘orang kena saman’ (OKS) itu telah dilepaskan dan dibebaskan.

“Majistret memutuskan pihak pembelaan berjaya membuktikan bahawa wujudnya satu keraguan yang munasabah. So, saya fikir ini menjadi satu prosiding,” katanya.

Lima pelajar OKS dari ‘Pondok Gelang Mas’ yang dibebaskan itu ialah Adli Ab Halim, 23, Afizul Mohamed, 23, Ahmad Hafidz Saari, 24, Che Mohd Noor Che Soh, 28, dan Mohd Azam Mohd Arifin, 24.

Mereka ditahan kira-kira pukul 12.00 tengah malam semasa dalam perjalanan pulang dari menghadiri sembahyang jenazah di Masjid Jar Besar, Tumpat pukul 10.00 malam sebelum menghadiri ceramah Israk dan Mikraj di Surau Geting, Tumpat.

Mereka dituduh di bawah Kaedah 4 (motorsikal topi keledar keselamatan) 1973 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 338/87) yang dibaca bersama Seksyen 128 (1) Akta yang sama.

Sepanjang tempoh perbicaraan kes itu sejak 2008, seramai 11 orang saksi telah memberikan keterangan bagi pihak pembelaan, manakala pihak pendakwaan mengemukakan empat saksi.

Kelima-lima OKS semasa ditahan polis, semuanya menunggang motosikal dengan masing-masing membawa pembonceng tanpa memakai topi keledar tetapi sebaliknya hanya memakai serban dan berjubah putih.

Menurut Amir Syafiq, di bawah undang-undang, ada pengecualian di mana seseorang itu tidak perlu memakai topi keledar semasa menunggang motorsikal iaitu golongan ‘Haji’, ‘Hajah’, ‘Lebai’ dan ‘Sikh’. “Namun dalam undang-undang itu tidak dijelaskan apakah yang dimaksudkan dengan ‘lebai’, yang (undang-undang itu) terpakai sejak digubal oleh Parlimen,” katanya.

Bantah ubah hukuman sebat

KENYATAAN AKHBAR
PRESIDEN PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA (PGSM)

PGSM dengan ini mengeluarkan kenyataan tentang pendirian PGSM sebagaimana berikut:-

1. Tidak menyokong sepenuhnya tindakan perlaksanaan hukuman khidmat masyarakat ke atas Kartika bagi menggantikan perlaksanaan hukuman sebat. Ini adalah kerana sebagai peguam syarie yang beramal di Mahkamah Syariah kami menyatakan bahawa sebagai Ketua Agama Negeri, Baginda Sultan mempunyai kuasa ekslusif untuk mengurangkan atau meringankan, menambah atau mengubah apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah. Kuasa ekslusif ini terbahagi kepada 2 keadaan berikut iaitu pertama apabila pesalah itu membuat permohonan rayuan kepada Baginda Sultan dan kedua apabila Baginda Sultan sendiri berkenan memberi pengampunan walaupun tidak dirayu atau dipohon oleh pesalah.

2. Keadaan pertama : Mengikut enakmen pentadbiran Agama Islam Pahang di bawah seksyen 209, sultan boleh mengurang, menambah atau mengubah hukuman dengan syarat tertuduh kena melalui rayuan terlebih dahulu hingga selesai kes mahkamah rayuan. Dalam kes Kartika ini, dia tidak membuat sebarang rayuan. Keadaan Kedua : Seksyen 133 tatacara jenayah Pahang pula mengatakan sultan atas nasihat mufti berkuasa meringankan hukuman dengan ganti kepada hukuman yang lebih ringan walaupun tak dirayu atau dimohon oleh pesalah dengan menggantikan drpd sebat kepada penjara atau penjara kepada denda. Itu sahaja kuasa sultan dari sudut perundangan, tiada disebutkan ganti kepada khidmat masyarakat. Tambahan ikut jumhur ulama’ kesalahan minum arak adalah termasuk dlm hukuman hudud dan hukumnya adalah disebat sekurang-kurangnya 40 rotan.

3. PGSM berpandangan bahawa hukuman sebatan adalah kesalahan yang berbentuk kesalahan hudud.

4. Penggantian hukuman sebat kepada hukuman khidmat masyarakat menggambarkan seolah-olah Sultan mengatasi undang-undang syariah walaupun sultan mempunyai kuasa esksekutif.

5. PGSM menimbulkan persoalan samada nasihat mufti telah diperolehi terlebih dahulu selari dengan peruntukan Seksyen 133 tatacara jenayah Pahang yang mengatakan sultan atas nasihat mufti berkuasa meringankan hukuman dengan ganti kepada hukuman yang lebih ringan walaupun tak dirayu atau dimohon oleh pesalah dengan menggantikan drpd sebat kepada penjara atau penjara kepada denda.

6. Pengumuman tersebut mengejutkan pengamal undang-undang syarie dan ianya memberi kesan kepada pandangan orang ramai terhadap Mahkamah Syariah sebagai institusi keadilan Islam memandangkan kepada hukuman yang telah dijatuhkan dan perintah yang telah dikeluarkan oleh Hakim sebelum daripada ini serta pendirian Kartika Sari sendiri yang sudah bersedia untuk menjalani hukuman tersebut sebelum ini.

Sekian, untuk siaran.

(MOHAMAD ISA ABD RALIP)

Presiden PGSM

Rasulullah s.aw DiPertahan Hukum Allah DiPerjuang

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali Imran :
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani
Kasih dan cinta kita kepada nabi Muhammad s.a.w tidak pernah padam malah terus membara dalam diri. Kita pernah mendengar bagaimana para sahabat nabi sanggup mati demi mempertahankan baginda daripada sebarang penghinaan mahu pun serangan terhadap batang tubuh nabi. Malah ‘Urwah ibn Mas’ud yang diutuskan oleh kaum Quraisy kepada Rasulullah SAW dalam Perjanjian Hudaibiah bila melihat penghormatan para sahabat terhadap nabi lalu memberitahu kafir Quraisy bagaimana jika Nabi SAW berwuduk, air wuduknya menjadi rebutan para sahabat hingga mereka hampir berbunuh-bunuhan kerananya. Tidaklah nabi SAW berludah dan berkahak, melainkan mereka menadahnya dengan telapak tangan mereka, lalu menggosok-gosokkannya ke muka dan badan mereka. Tiada sehelai rambut nabi SAW pun yang jatuh ke tanah, kecuali mereka berebut-rebut mengambilnya. Apabila nabi mengeluarkan suatu perintah, mereka segera melakukannya. Apabila nabi berbicara, mereka merendahkan suara di hadapannya. Mereka tidak menajamkan pandangan mereka kepada nabi SAW kerana memuliakannya. Pernah tercatat bagaimana telah berjalannya suatu operasi penghantaran skuad pembunuh untuk membunuh Ka’ab bin Al-Asyraf seorang Yahudi Bani An Nadhir kacukan Arab di mana dia adalah penyair terkenal dan bangsawan kerana menggubal syair-syair yang menghina Rasulullah, Ummu Mukminin dan para Sahabat. Apabila Rasulullah membuat tawaran untuk sesiapa menjalankan operasi ini lalu bangunlah Muhammad bin Maslamah bersama beberapa sahabat yang lain di mana mereka bukan sahaja berjaya membunuh Ka’ab bin Al-Asyraf bahkan membawa bersama kepala Ka’ab dan dicampakkan di hadapan Rasulullah tanda bukti dan kejayaan. Tanda kasih kepada Rasulullah. Tanda sanggup korbankan diri untuk mempertahan dan membela Rasulullah. Kita pada hari ini buat sekian kalinya dituntut untuk mempertahan kemuliaan nabi apabila 3 buah akhbar Sweden dengan penuh biadap menyiarkan kartun menghina Nabi Muhammad s.a.w.dengan lakaran tubuh nabi seperti seekor anjing. Tunjukkan tanda kasih kita kepada nabi dengan apa sahaja kemampuan yang ada. Biar nyawa melayang bukti cinta pada nabi untuk meraih Syurga yang tinggi, biar darah merah mengalir bukti kasih pada nabi untuk merasai betapa lazatnya air kolam Kauthar di akhirat nanti.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ ………(متفق عليه)
Maksudnya : Setiap anak yang lahir adalah lahir dalam fitrah. Dua ibu-bapanyalah yang menjadikannya yahudi atau nasrani atau majusi…….
Jika pada 9 Mac lalu menyaksikan pelancaran buku berkaitan Natrah yang diKristian oleh ibubapa asalnya dari Belanda setelah dirampas daripada ibubapa angkatnya melalui mahkamah maka pada 11 Mac sekali lagi negara menyasikan bagaimana kes hampir sama yang melibatkan penjagaan anak kecil apabila Mahkamah Tinggi Ipoh menyerahkan hak penjagaan 3 orang anak bagi seorang muallaf bernama Muhammad Riduan Abdullah, kepada seorang ibu kandung yang bukan beragama Islam walau pun penghakimannya tidak begitu jelas ekoran belum ada lagi penghakiman bertulis dari mahkamah terbabit disamping masih peringkat rayuan untuk menangguh keputusan hakim. Kini nasib Ummu Salamah, 13, dan Abu Bakar, 12, yang dilaporkan tinggal bersama-sama ibu mereka di Ipoh, manakala Ummu Habibah, 2 masih dijaga oleh Muhammad Ridhuan sendiri masih terumbang-ambing. Apa yang jelas ialah Islam tidaklah menghalang secara mutlak akan hak penjagaan ibu atau bapa non muslim terhadap anak apabila salah seorang daripada mereka memeluk ajaran Islam , melainkan meletakkan syarat yang ketat demi menjamin agama dan kesejahteraan insaniah manusia itu sendiri. Penghakiman ini menuntut kita untuk sama-sama bangkit mempertahan akidah anak kecil ini disamping memberi sokongan moral termasuk doa kita kepada Muhamamd Ridhuan yang begitu tertekan sejak berusaha sedaya mungkin dalam mempertahankan agama anak-anaknya hingga kini. Kes ini juga memberi isyarat jelas kepada kita supaya lebih bersungguh dalam memperkasakan kuasa dan peranan Mahkamah Syariah kerana dalam kes seperti ini ada peruntukan mahkamah syariah dalam melarang seseorang daripada menyerah anak kepada orang bukan Islam memandangkan hukum berkaitan muallaf sepatutnya dibicara di Mahkamah Syariah. Ingatlah bahawa masalah agama lebih penting daripada segala-galanya dan jangan memandang ia suatu masalah kecil. Tanpa agama manusia binasa, tanpa aqidah manusia sengsara

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 32 surah al-Isra’ :
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya : Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
Ketika negara masih panas dengan isu penderaan terhadap kanak-kanak sehingga ada kes yang membawa kepada pembunuhan ditambah pula dengan masalah pembuangan bayi yang tidak berdosa disamping isu pengajaran seks di sekolah yang belum lagi selesai. Kini kita dikejutkan pula dengan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bahawa seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun 2009 iaitu purata 47 orang sehari anak luar nikah ini dilahirkan. Oleh itu semua pihak bertanggungjawab dalam menangani masalah yang semakin kronik ini. Ibubapa wajib memberi didikan agama dan menjaga pergerakan anak-anak kerana banyak kes hari ini harga diri anak-anak lebih murah daripada anak ayam apabila ibubapa lebih bimbang anak ayam yang tidak pula ke reban daripada anak sendiri terutama anak gadis yang tidak pulang ke rumah walau pun telah lewat malam. Kerajaan pula wajib menutup pintu-pintu zina yan dibuka luas dengan lesen yang diikitiraf seperti kelab malam, pesta hiburan, rancangan tv, majalah tidak senonoh dan sebagainya. Kita boleh mencontohi kerajaan Acheh yang mempunyai polis syariah yang diberi kuasa untuk mengambil tindakan kepada rakyat yang memakai pakaian yang menyalahi syarak disamping pasangan-pasangan yang belum kahwin boleh ditangkap di tempat terbuka termasuk tepi pantai. Pergaulan antara jantina yang berbeza mesti dibataskan termasuk di sekolah, pejabat, tempat kerja dan majlis umum yang lain. Pendidikan seks yang mahu dilaksanakan juga wajib berteraskan Islam bukannya mengikut acuan barat yang hanya takut pada penyakit AIDS bukannya takut kepada Allah sehingga menggalakkan zina asalkan memakai kondom sebagai contohnya. Pendidikan seks cara Islam contohnya diberi kefahaman dari awal tentang masalah aurat, penjagaan mata dan anggota yang lain daripada pintu zina, pemisahan tempat tidur anak-anak yang berlainan jantina serta penerapan bahawa tidak boleh bergaul bebas apatah lagi berzina dengan menggalakkan perkahwinan serta hukuman yang berat bagi sesiapa yang berzina. Tanpa agama manusia hina, tanpa iman manusia derita

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Bumi Palestin buat sekian kalinya kembali bergolak akibat tindakan kejam zionis yahudi yang berusaha untuk meruntuhkan Masjid Aqsa bagi dibina kuil Haikal Sulaiman. Yahudi buat sekian kalinya cuba menipu dunia bagi menghalalkan tindakan jahat mereka dengan alasan bahawa Masjid Aqsa dibina atas kuil purba milik mereka sedangkan Masjid Aqsa dibina oleh nabi Ibrahim a.s sedangkan yahudi sendiri lahir daripada umat nabi Musa as yang mengengkari ajaran Taurat yang jauh terkemudian daripada pembinaan Masjd Aqsa itu sendiri. Malah kita pernah ingat bagaimana yahudi cuba menjatuhkan kemuliaan nabi Muhammad s.a.w kononnya bangsa arab dilahirkan hasil penzinaan antara nabi Luth a.s dengan anak perempuannya ’Urubah namun pendustaan yahudi jelas ditolak kerana bangsa arab lahir daripada keturunan nabi Ismail a.s yang merupakan anak nabi Ibrahim a.s yang juga sepupu kepada nabi Luth a.s. Oleh itu kita sebagai umat Islam bermaruah wajib bangun menyatakan bahawa Palestin terutama Masjid Aqsa milik umat Islam. Kita tidak akan sama sekali menyerahkan walau pun satu inci tanah wakaf milik seluruh umat Islam itu kepada zionis yahudi walau pun terpaksa melayang nyawa, menumpah darah ke bumi. Ketika kita begitu benci kepada kejahatan dan kezaliman zionis yahudi maka kita begitu sedih dan marah apabila pemimpin negara sanggup bersekongkol dengan syarikat pro zionis yahudi dalam mengurus banyak perkara penting berkaitan negara. Malaysia bagaikan dikawal oleh zionis yahudi atas sikap yang bacul dan tidak bertanggungjawab ini. Tambah sedih lagi apabila lesen judi yang diluluskan semakin bertambah disamping ada laporan agensi berita asing bahawa kerajaan bercadang mempertimbangkan agar pertaruhan atau judi sukan dibenarkan di negara ini. Dunia terbalik apabila orang bukan Islam lebih bersungguh dalam memerangi judi sedangkan orang Melayu yang majoritinya Islam terus seronok bergelumang dengan najis judi dan hasil haramnya. Apabila musuh dijadikan penasihat utama, racun berbisa dijadikan ubat penawar maka tunggulah saat kehancuran yang lebih dahsyat jika tidak ditangani dengan segera dan bersungguh. Umat Islam hanya berjaya bila meletakkan sistem al-Quran di hadapan untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Sebaliknya umat Islam terus mundur dan terjajah dalam negara mereka sendiri bila membelakangi sistem al-Quran. Islamlah nescaya kita selamat dunia dan akhirat
Firman Allah dalam ayat 101 surah al-Baqarah :
وَلَمَّا جَاءَهُمْ رَسُولٌ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَهُمْ نَبَذَ فَرِيقٌ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ كِتَابَ اللَّهِ وَرَاءَ ظُهُورِهِمْ كَأَنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya : Dan apabila datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah (Nabi Muhammad s.a.w), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian dari orang-orang yang telah diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak mengetahui (kebenarannya).
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ