• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

Sebat: Antara Menerima Hukuman Allah Dan Matlamat Pelaksanaannya

Oleh Mohd Sayuti Omar

TIGA orang pesalah jenayah syariah telah dihukum sebat, dua menerima enam kali sebatan dan seorang menerima empat kali sebatan. Mereka dihukum sebat kerana didapati bersalah melakukan zina sehingga melahirkan anak. Ketiga-tiga mereka telah menjalani hukuman berkenaan di penjara Kajang pada 9 Februari lepas.

Hukuman berkenaan adalah kali pertama di negara ini bagi kesalahan seumapama itu. Hukuman ke atas mereka itu dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Persekutuan Kuala Lumpur di bawah Seksyen 23 (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan antara Disember 2009 hingga Januari lalu.

Menurut laporan ketiga-tiga mereka yang berusia 18 hingga 20-an telah menerima dengan redha hukuman ke atas mereka. Mereka merasa lega dan insaf kerana sudah terlepas dari belenggu dosa. Dari hubungan dunia dan tatahukum negara ini mereka sudah bebas dan suci.

Perundangan Islam negara ini tidak lagi boleh mencela mereka kerana mereka menerima tanpa bantahan. Mereka boleh dianggap bersih dan masyarakat tidak wajar mempertikaikan kesalahan mereka lagi. Sebaliknya umat Islam negara ini dan mereka yang membesarkan perundangan Islam mengalu-alukan langkah dan penerimaan mereka. Atas kesediaan dan keikhlasan mereka sewajarnya kalau mereka diberikan hadiah dan sokongan moral.

Kalau Kartika Sari Dewi yang belum disebat atas kesalahan minum arak dipuja dan diberikan berbagai hadiah dan insentif termasuk menawarkan tikit pergi menunaikan umrah, kenapa tidak dengan ketiga mereka itu?

Bagaimana pun hukuman itu dipertikaikan oleh pihak lain yang menganggap ia sebagai satu kezaliman dan diskrimiansi ke atas wanita. Maka ada pihak yang cuba mempertikai hukuman sebat berkenaan. Pertikaian itu sudah pasti atas perasaan peri kemanusiaan dan bukannya kerana melihat kepentingan hukuman berkenaan dan filsfat kenapa ia dibenarkan dalam konteks agama.

Sebenarnya dalam konteks hukum ketiga wanita itu ia bukan didiskriminasi, kerana pasangan mereka juga turut dikenakan hukuman sama. Mereka menjalani hukuman sebat di penjara Sungai Buloh. Macam mana pihak tertentu menganggap ia satu diskriminasi dan penganiayaan kepada kaum wanita?

Kalaulah yang wanita saja disebat ia boleh dianggap diskriminasi. Begitu juga kalau kalau kebetulan pasangan wanita itu bukan Islam yang terlepas dari sebatan ia tetap juga bukan diskriminasi. Kerana kewajiban menerima hukuman Islam itu bagi orang Islam yang beriman saja.

Atas keyakinan bahawa menerima hukuman itu mereka terlepas dari dosa, menyebabkan mereka merasa puas dan redha dengan keputusan itu. Seperti mana dipetik laporan akhabar salah seorang yang menerima hukuman itu beliau kini merasakan bebas dari belenggu dosa selepas menerima hukuman berkenaan.

Katanya dia redha menerima hukuman sebat itu kerana lebih takut kepada hukuman di akhirat kelak di samping mengharap dengan keredhaan itu beliau akan diringankan menerima hukuman di akhirat. Walaupun dia sendiri tidak dapat merasai keazaban di akhirat namun atas keyakinan (iman) daripada apa yang didoktrinkan kepadanya menyebabkan pesalah beranggapan demikian.

Undanag-undang Islam berkaitan dan ada hubungan rapat dengan keimanan seseorang. Kalau seseorang itu beriman dengan Islam dan undang-undang itu menurut kaedah Islam apa yang hendak dirisaukan. Kita semua patut mengalu-alukan dan mengucap syabas kepada pesalah berkenaan kerana tidak membantah hukuman yang kenakan ke atas mereka. Atas kepercayaan Islam itu adil, Islam itu bersih, Islam itu agama penyelamat. Islam itu agama membersih apa juga yang dicerminkan Islam hendaklah diterima dengan baik. Saya percaya sikap terbuka dan redha ketiga pesalah itu kerana mereka yakin dengan Islam.

Dalam hal ini biarlah kulit mereka pedih dan sakit asalkan mereka terlepas dari azab yang menyeksakan. Hanya bagi orang yang tidak yakin dan beriman kepada hari akhirat saja merasakan hukuman itu satu kezaliman dan penganiayaan secara membabi buta.

Dalam kes-kes seperti ini, iaini mencari keredhaan, hanya mereka yang beriman saja tidak gentar dan rela menyerahkan diri untuk menerima balasan setimpal dengan diosa dan kesalahan yang dilakukan. Hukum sebat itu adalah diyakini balasan Allah atas perbuatan mereka yang terkutuk itu. Jadi kerana itu mereka redha dan rela.

Sebaliknya bagi mereka yang tidak beriman, akan merasa satu kezaliman dan tidak adil serta membebankan. Apa lagi yang berfikir dengan logik akan merasakan hukuman itu tidak adil dan satu kezaliman. Kenapa tidak, pasangan berkenaan rela melakukan zina dan rela pula menyerahkan diri kepada Jawi, kenapa lagi mereka harus disebat. Sepatutnya mereka dimaaf tanpa menyakitikan. Begitulah fikiran mereka yang kurang senang dengan pelaksanaan hukuman berkenaan.

Bagaimana pun pada saya dalam meneliti pelaksanaan hukuman itu timbul persoalan apakah ia menepati maksud dan falsafat hukuman itu sendiri yang mana antara lain bertujuan untuk memberi keinsafan. Kita tahu hukuman itu bukan saja untuk menghapuskan dosa pesalahnya tetapi ia juga untuk memberi kesedaran kepada mereka yang lain.

Sejauh manakah hukuman itu dapat dijadikan iktibar dan memberi keinsafan kepada mereka di luar sana. Bukankah hukuman sebat itu dijalankan di dalam penjara yang hanya disaksikan oleh beberapa orang kaki tangannya saja. Ini bermakna ‘kesadisan’ ‘kekejaman’ atau ‘kezaliman’ hukuman berkenaan yang diharapkan dapat menimbulkan ketakutan dan keinsafan kepada orang lain tidak tercapai.

Bukan dengan cara melaksanakan hukuman itu secara tersembunyi, mungkin atas maslahat untuk mengelakkan keaiban ia tidak dapat memberi kesan takut dan insaf kepada pihak lain. Ringkasnya kalau itu caranya tujuan hukuman sebat itu dilaksanakan tidak mencapai tujuan secara menyeluruh melainkan kepada ketiga mereka yang menghadapi dan beberapa orang yang menyaksikannya saja.

Mungkin untuk lebih afdal dan mencapai maksud di sebalik perlaksanaan hukuman berkenaan wajar kalau ia dilaksanakan di hadapan umum. Sekiranya untuk tidak mengaibkan mungkin muka si pesalah boleh ditutup. Dengan cara itu pada saya dari ukuran akalnya ia lebih mencapai natijah yang dimaksudkan di sebalik pelaksanaan hukuman berkenaan. [d’kota kl 6:15 pm 19/02/10]

http://msomelayu.blogspot.com/

67. BERSATU HADAPI TENTERA BERGAJAH MODEN

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  1- 5 surah al-Fiil :

ألم تركيف فعل ربك بأصحــب الفيل ألم يجعل كيدهم فى تضليل وأرسل عليهم طيرا أبابيل ترميهم بحجارة من سجيل فجعلهم كعصف مأكول

Maksudnya : Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? . Dan Dia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpuak-puak; .Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras; .Lalu Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.

            Kita mula mahu meninggalkan bulan Sofar bagi sama-sama menyambut kedatangan bulan Rabiul Awwal yang telah mencatatkan pelbagai peristiwa penting dalam sejarah umat Islam terutama sekali saban tahun apabila tibanya bulan Rabiul Awwal maka seluruh umat Islam sedunia sama-sama mengingati tarikh kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Kelahiran dan kebangkitan nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi lagi rasul akhir zaman telah memecahkan benteng pemisah antara jurang bangsa, budaya, negara kepada umat yang berpegang kepada aqidah yang satu dengan mengadap ke arah qiblat yang satu serta mengamalkan ajaran dan sistem yang ditunjukkan oleh al-Quran yang satu. Tidak timbul dalam hati mereka yang beriman dari kalangan bukan berbangsa arab tentang wajarkan mereka menerima Islam yang di bawa oleh seorang nabi yang berbangsa arab dan tidak timbul perasaan ragu-ragu tentang sistem pemerintahan, ibadat, ekonomi, kemasyarakatan yang ada dalam al-Quran yang berbahasa arab samada sesuai untuk dilaksanakan di negara dan oleh bangsa selain arab. Kekuatan aqidah terhadap Allah dan rasulNya telah melenyapkan segala perasaan ragu-ragu atau was-was tentang keadilan dan kemurnian system Islam yang bukan sahaja berkaitan dengan hubungan antara manusia dengan Allah, manusia dengan dirinya sendiri malah meliputi hubungan antara manusia sesama manusia samada seagama atau berlainan agama.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

            Ketika mengingati tahun kelahiran nabi Muhammad s.a.w maka ia tidak dapat dipisahkan daripada menyebut tentang peristiwa serangan tentera bergajah pimpinan Abrahah dari Yaman ke atas Kota Mekah bagi menghancurkan Ka’abah. Perbuatan dan tindakan Abrahah ini akibat daripada perasaan dengki terhadap sambutan yang telah diberikan kepada Kota Mekah dengan adanya Ka’abah sehingga tidak mampu diberi saingan oleh kerajaan Abrahah walau pun telah membuat pelbagai pembangunan bagi menarik minat ramai. Oleh itu kedudukan Ka’abah mengikut pandangan Abrahah mesti dirobohkan segera bagi memastikan manusia mengalih tumpuan ke Yaman pula. Walau pun ada yang cuba menghalang tetapi telah dikalahkan oleh Abrahah yang mempunyai angkatan tentera yang kuat. Apabila hampir dengan Kota Mekah lalu datuk nabi iaitu Abdul Muttalib datang bertemu dengan Abrahah agar diserahkan 200 ekor untanya bukannya berunding agar Abrahah tidak meruntuhkan Ka’abah. Ketika menjawab pertanyaan Abrahah lalu Abdul Muttalib mengatakan bahawa dia hanya meminta unta kerana ia adalah miliknya sedangkan Ka’abah mempunyai tuan yang akan menjaganya iaitu Allah. Selepas itu Abdul Muttalib meminta agar kaumnya berlindung di sebalik bukit agar tidak menjadi mangsa kepada tentera Abrahah manakala dia bersama beberapa orang lagi telah menuju ke Ka’abah dan memegang gelang pintunya sambil berdoa memohon pertolongan daripada Allah. Akhirnya Allah telah menghantar tentera berupa burung-burung kecil yang melontar batu ke atas tentera bergajah Abrahah sehingga hancur kulit-kulit mereka dan mereka mati dalam penuh kehinaan.

            Tindakan tentera Abrahah adalah sama dengan tindakan Amerika yang telah dihasut oleh yahudi dalam menentang umat Islam. Akibat bimbang umat Islam akan kembali kepada ajaran Islam yang menyeluruh yang boleh membawa kepada kurang bergantungnya umat Islam kepada system ciptaan kuffar terutama yahudi serta betapa tergugatnya kedudukan negara haram Israel jika umat Islam kembali bersatu atas dasar iman dan taqwa menentangnya maka suatu usaha yang rapi berbentuk serangan saraf dan fizikal telah dilancarkan secara besar-besaran agar negara umat Islam dapat dijajah kembali. Kuffar telah melihat hasil penjajahan sebelum ini telah berjaya memecah belahkan umat Islam serta menjauhkan mereka daripada ajaran Islam yang sebenar. Kuffar berjaya mengaut keuntungan hasil perpecahan umat Islam dengan mengaut hasil bumi yang ada serta hasil daripada penggunaan kepada system ciptaan mereka seperti kapitalis, sosialis dan komunis. Dendam dan dengki kuffar terutama yahudi terhadap Islam terus membara dan bila ia meletus maka ramailah rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman.

            Firman Allah dalam ayat 109 surah al-Baqarah:

ود كثير من أهل الكتــب لو يردونكم من بعد إيمــنكم كفارا حسدا من عند أنفسهم من بعد ماتبين لهم الحق فاعفوا واصفحوا حتى يأتي الله بأمره إن الله على كل شيء قدير

Maksudnya :  Ramai di kalangan Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana perasaan dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, kamu maafkanlah dan biarkanlah mereka, sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Menyedari tentang bahaya dan ruginya perpecahan di kalangan umat Islam yang menyebabkan kita terus dijajah maka kita wajib kembali bersatu. Umat Islam cukup merana dan menderita akibat penjajahan baru ke atas negara umat Islam dengan alasan mahu membasmi keganasan. Kuffar yang diketuai oleh yahudi telah berusaha meranapkan negara umat Islam yang berpengalaman dengan peperangan seperti Afghanistan dan terbaru Iraq disamping amaran keras terhadap Syria dan Iran serta menghancurkan gerakan Islam yang mempunyai kelengkapan dan latihan senjata bagi melumpuhkan golongan mujahidin yang selama ini banyak membantu saudara agama yang tertindas seperti di Bosnia dan Kosova. Kita jangan ingat bahawa setelah berjaya menghancurkan umat Islam yang berpengalaman dalam penggunaan senjata maka kuffar akan berhenti daripada memerangi umat Islam. Ini adalah kerana api permusuhan kuffar terhadap umat Islam tidak pernah padam sehinggalah kita sujud di bawah kaki mereka. Sebagai suatu umat yang bermaruah dan  pilihan maka kita tidak sama sekali tunduk kepada kehendak kuffar sebaliknya kita mesti mengorak langkah dengan seberapa segera untuk kembali bersatu di atas dasar iman dan Islam. Banyak laungan agar umat Islam bersatu tetapi tidak jelas tujuan dan matlamatnya. Adakah umat Islam boleh mengatakan bahawa mereka mesti bersatu atas dasar kebangsaan yang sempit dan menyesatkan. Adakah umat Islam boleh melaungkan kalimah bersatu atas dasar sekularisme yang sesat. Adakah boleh bersatu atas dua dasar yang berlawanan iaitu iman dan kufur. Adakah boleh bersatu atas dua dasar yang bertentangan iaitu Islam dan jahiliah. Jika kita mahu bersatu maka mesti memilih satu jalan sahaja iaitu iman dengan menolak kufur, memilih Islam dengan menolak jahiliah serta bersatu kerana Allah bukan keranamu Malaysia. Malaysia insya Allah selamat jika kita berjuang kerana Allah dengan melaksanakan seluruh system Islam dalam negara tetapi ia hancur sebagaimana Iraq dan selainnya jika berjuang atas dasar bangsa dan ideology ciptaan manusia dengan mengenepikan system Islam yang adil.

Firman Allah dalam ayat 4 surah as-Sof :

إن الله يحب الذين يقــتلون فى سبيله صفا كأنهم بنيــن مرصوص

Maksudnya : Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Yakinlah kita bahawa dengan Islam sahaja maka kita mampu meraih kemuliaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Jadikanlah diri kita sebagai pejuang agama Allah bukan penentang Islam. Ingatlah bahawa kita bukan orang pertama dan terakhir yang memperjuangkan Islam sebaliknya kita ialah rantaian kepada perjuangan umat terdahulu dan akan datang. Ingatlah juga bahawa kita bukan orang yang memulakan perjuangan Islam sebaliknya kita adalah penerus dan penyambung kepada tugas yang telah dilakukan oleh para nabi dan rasul serta pejuang Islam sebelum ini. Tiada erti letih dalam berjuang jika kita yakin bahawa perjuangan Islam adalah suci sebaliknya kuffar dan golongan munafik lebih letih menentang pejuang Islam kerana mereka berjuang untuk mendapat habuan dunia berbentuk takhta dan harta.

            Ingatlah firman Allah   ayat 14 surah as-Sof :

يــأيهاالذين ءامنوا كونوا أنصار الله كما قال عيسى ابن مريم للحواريـــن من أنصارى إلى الله قال الحواريون نحن أنصار الله فـئامنت طائفة من بني إسرائيل وكفرت طائفة فأيدنا الذين ءامنوا على عدوهم فأصبحوا ظــهرين

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Mariam (ketika dia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

134. ISLAM DIABAI MARUAH TERGADAI

 

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :

فليقـتل فى سبيل الله الذين يشرون الحيـوة الدنيا بالآخرة ومن يقـتل فى سبيل الله فيقتل أو يغلب فسوف نؤتيه أجرا  عظيما

Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar

            Umat Islam sentiasa diajar dan diperingatkan berkenaan hubungan antara kehidupan dunia ini dengan akhirat. Kehidupan dunia ini hanya sementara di dalam mencari bekalan yang terbaik sebelum menempuh kehidupan yang kekal di akhirat nanti. Kita juga diasuh agar lebih mengutamakan kebahagiaan hidup di negeri akhirat yang menjadi tempat pembalasan dan menerima ganjaran di atas segala amalan di dunia. Betapa beruntung bagi umat yang datang menemui Allah di negeri akhirat dengan bekalan amalan soleh yang dimakbulkan oleh Allah dan dalam masa yang sama betapa rugi bagi mereka yang menemui Allah dalam keadaan amalan mereka ditolak oleh Allah ditambah pula dengan dosa kerana derhaka kepada Allah sepanjang kehidupan dunia. Oleh itu gunakanlah peluang hidup yang masih ada ini sebelum datangnya saat kematian dan berlakunya qiamat dalam menambahkan amalan soleh sebagai bekalan akhirat kita. Jangan jual akhirat kita untuk memenuhi keseronokan hidup dunia dan jangan sekali-kali menjual agama kita untuk memenuhi kehendak nafsu yang mendorong kepada kejahatan dan maksiat terhadap Allah. Ingatlah kita kepada sebuah hadis  yang diriwayatkan oleh imam Bukhari daripada Anas bin Malik :

قال الرسول e  : يَكْبُرُ ابْنُ آدَمَ وَيَكْبُرُ مَعَهُ اثْنَتَانِ حُبُّ المَالِ وَطُوْلُ العُمُرِ

Maksudnya: Anak Adam itu membesar dan turut membesar bersamanya dua perkara iaitu terlalu cinta kepada harta dan inginkan panjang umurnya

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Firman Allah dalam ayat  36  surah al-Anfal :

إن الذين كفروا ينفقون أموالهم ليصدوا عن سبيل الله , فسينفقونها ثم تكون عليهم حسرة ثم يغلبون والذين كفروا إلى جهنم يحشرون

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir itu menafkahkan harta mereka untuk menghalangi jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu kemudian ia menjadi penyesalan bagi mereka dan mereka akan dikalahkan dan ke dalam neraka jahannam mereka akan dikumpulkan.

Musuh Islam sentiasa mencari jalan dan sanggup menghabiskan harta kekayaan mereka dalam memastikan umat Islam terus dijajah. Sebab itu tidak pelik apabila kebanyakan negara umat Islam termasuk negara kita telah lama diberikan kemerdekaan oleh penjajah tetapi system hidup yang digunakan terus berqiblatkan system penjajah kerana pemimpin kita hanya mengusir orang barat secara politik tetapi terus mempengaruhi rakyat dengan system barat yang dipusakai. Oleh itu lahirlah dalam masyarakat umat Islam sendiri golongan yang berpegang bahawa jika mahu kemajuan dan kekuatan maka mesti mengenepikan agama dengan membataskan peranan agama di tempat ibadat sahaja. Timbul juga golongan yang meragui tentang kehebatan system Islam serta merasakan bahawa Islam menyekat kebebasan manusia termasuk dalam bab pergaulan bebas, hiburan yang melalaikan, pemakaian menutup aurat dan sebagainya. Kita dapat saksikan pada hari ini usaha dalam melahirkan masyarakat yang pandai menyanyi dan menari begitu banyak dan mendapat sambutan dengan hadiah yang begitu lumayan berbanding usaha dalam menanam kefahaman agama kepada rakyat. Aqidah umat Islam semakin luntur sehingga adanya orang Islam yang mengistiharkan murtad secara terang-terangan serta mencabar pula keistimewaan Islam dalam perlembagaan Negara. Malah kita berasa hina apabila pemuda Melayu mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga dalam pertandingan menghidang arak bagi mewakili negara ke peringkat antarabangsa baru-baru ini yang disiarkan oleh akhbar berbahasa Inggeris. Kita pada hari ini sedang menanggung bala yang diundang, bahaya yang ditempah di mana kadar jenayah pada 5 bulan pertama tahun ini semakin meningkat terutama kes rogol. Pemimpin hanya tahu menyalahkan rakyat bila berlakunya jenayah sedangkan mereka memberikan kebebasan yang melampau dalam melahirkan manusia perosak.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 17-18   surah Al-Hijr:

وحفظنـها من كل شيطـن  رجيم. إلا من استرق السمع فأتبعه شهاب مبين

Maksudnya : Dan Kami pelihara (urusan) langit itu daripada (masuk campur) tiap-tiap syaitan yang kena rejam. Kecuali syaitan yang cuba mencuri dengar percakapan (malaikat di langit) maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menyala yang nyata kelihatan

            Musuh Islam juga sedang bermain api dengan umat Islam dengan cuba menguji kepekaan umat Islam terhadap kesucian agama Islam dan kemuliaan nabi Muhammad s.a.w apabila tindakan bacul dan biadap kerajaan Britain yang memberikan gelaran Sir atau Kesatria kepada Salman Rushdi yang berasal dari India tetapi terpaksa mendapat perlindungan Britain kerana penulisan dalam bukunya bertajuk Ayat-ayat Syaitan yang menghina Allah, nabi Muhammad dan al-Quran di mana antara tulisannya dalam menghina al-Quran yang dikatakan ayat syaitan yang diterima oleh nabi Muhammad s.a.w. Tuduhan ini hampir sama dengan tuduhan kafir Quraisy pada zaman nabi Muhammad s.a.w yang mendakwa nabi menerima al-Quran daripada syaitan ketika berada di gua Hira’ bukannnya wahyu daripada Allah. Umat Islam yang cintakan Allah dan rasulNya di seluruh dunia bangkit dalam menyatakan kemarahan di atas tindakan bacul kerajaan Britian ini. Sepanjang hampir 20 tahun Salman Rushdi berada di dalam buangan di Britian telah membawa musibah besar kepada Britain itu sendiri di mana keadaan keluarga Ratu Inggeris semakin huru-hara sehingga memalu dan boleh menjatuhkan raja Inggeris dan bangsa Inggeris, tanah jajahannya yang luas sebelum ini hilang satu demi satu kerana terpaksa diberikan kemerdekaan sehingga Britain yang dulunya sebuah empayar besar bertukar menjadi negara kuasa besar yang tidak lagi menjadi negara pertama dunia sebaliknya menjadi boneka kepada Amerika Syarikat. Kita merasa kecewa apabila kerajaan Malaysia selaku pengerusi  Pertubuhan Negara Islam (OIC) bukan sahaja berdiam diri dalam masalah ini malah menghantar wakil untuk meraikan sambutan ulangtahun Ratu yang mengizinkan penghinaan terhadap nabi Muhammad s.a.w itu.

Firman Allah dalam ayat 25   surah at-Takwir:

وماهو بقول شيطـن رجيم

Maksudnya : Dan sebenarnya al-Quran itu bukanlah perkataan syaitan yang direjam

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

                Kita turut mengutuk tindakan tidak bertamadun golongan yang rela menjadi boneka kepada zionis yahudi dan Amerika sehingga sanggup menggulingkan kerajaan pilihan rakyat di bumi Palestin. Hadiah berupa sekatan ekonomi yang ditarik balik, bayaran hanya beberapa peratus daripada jutaan cukai rakyat Palestin yang dirampas oleh Israel serta pembebasan hanya 250 orang daripada ratusan ribu warga Palestin dari penjara Israel telah dianugerahkan kepada boneka yahudi ini yang telah berusaha hampir 18 bulan dalam menumbangkan kerajaan sah HAMAS pilihan rakyat. Kini dunia menyaksikan bagaimana bekas Perdana Menteri Britian dilantik sebagai pengerusi dalam mendamaikan antara Palestin-Israel di mana perlu diingat bagaimana kerajaan Britian inilah yang telah bertindak merampas bumi umat Islam Palestin untuk diserahkan kepada zionis yahudi selepas perang dunia kedua dulu. Perkaitan rapat antara zionis Kristian yang jarang kita dengar istilah ini dengan zionis yahudi dalam menguasai bumi Palestin dan meruntuhkan masjid al-Aqsa kerana masing-masing mempunyai matlamat yang tersendiri. Zionis Kristian sanggup menghabiskan cukai rakyat Amerika bagi membiayai zionis yahudi dalam menjajah Palestin dengan anggapan bila yahudi telah membina biara atas runtuhan masjid Aqsa maka nabi Isa akan turun dan akan memerintah dunia dengan ajaran Kristian di mana penganut yahudi dan umat Islam yang tidak mahu masuk Kristian akan dibunuh sehingga Kristian akan merajai dunia. Anggapan sesat ini bercanggah dengan Islam tetapi mengapa musuh Islam boleh yakin dan bersungguh dalam melaksanakan rancangan jahat mereka sedangkan kita umat Islam masih tidak mengambil berat dalam membebaskan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa. Bagaimana kita mahu menang sekiranya musuh kurang tidur untuk menentang kita, musuh kurangkan waktu rehat untuk menghancurkan Islam, musuh sanggup membelanjakan segala harta kekayaan dalam menjajah umat Islam sedangkan usaha dan pengorbanan kita tidak seberapa. Islam tidak akan menang dengan angan-angan kerana perjuangan ini perlu kepada pengorbanan dan usaha yang berterusan.  Firman Allah dalam ayat 160 surah Ali Imran :

إن ينصركم الله فلا غالب لكم وان يخذلكم فمن ذا الذى ينصركم من بعده وعلى الله فليتوكل المؤمنون

Maksudnya : Jika Allah menolong kamu maka tiada lagi orang yang dapat mengalahkan kamu. Jika Allah membiarkan kamu (dengan tidak memberi pertolongan) maka siapa lagi yang dapat menolong kamu selain daripada Allah sesudah itu.  Oleh itu hanya kepada Allah sahajalah orang beriman berserah diri

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ