• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3

  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,989,233 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 40,643 other followers

  • Advertisements

115. AQIDAH GOYAH AKHLAK MUSNAH

 

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

فرمان الله تعالى دالم أية    110    سورة   آل عمران :

كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله ولو ءامن أهل الكتـب لكان خيرا لهم منهم المؤمنون وأكثرهم الفـسقون

Maksudnya : Kamu adalah sebaik-baik umat yang telah dikeluarkan antara manusia kerana kamu menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran serta beriman kepada Allah S.W.T. Dan sekiranya ahli Kitab itu beriman nescaya itulah yang lebih baik bagi mereka tetapi ada di antara mereka yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik

                Umat Islam sentiasa diperingatkan oleh oleh Allah dan rasulNya bahawa kehidupan dunia ini penuh dengan pelbagai ujian dan cabaran dalam menguji tahap keimanan dan ketaatan kita kepada Allah dan rasulNya. Betapa ramai umat Islam sendiri yang hanya tahu bercakap tentang kekuatan iman yang ada dalam diri sedangkan bila diuji oleh Allah maka jelaslah bagaimana keadaan diri mereka yang sebenar. Ramai umat Islam yang merasa cukup taat kepada Allah tetapi bila ditinjau mengenai perjalanan hidup mereka maka masih terdapat banyak lagi perkara yang dilakukan bercanggah daripada apa yang telah digariskan oleh Islam. Menyedari bahawa antara sifat kekurangan yang ada pada diri kita sebagai makhluk yang bergelar manusia iaitu lupa maka wajiblah kita memperingati antara satu sama lain dengan menghidupkan budaya nasihat dalam masyarakat sehingga yang salah dapat diperbetulkan, yang silap dapat perbaiki, yang sesat dapat dihindari. Kita tidak mahu arahan Allah agar kita sentiasa menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran hanya terhenti setakat atas mimbar khutbah Jumaat sahaja tanpa dilaksanakan dalam kehidupan seharian. Kejayaan sesuatu umat bergantung kepada kesungguhan dalam melaksanakan amar makruf nahi munkar dalam kehidupan seharian. Kita wajib melaksanakan tugas suci ini tanpa perlu merasa takut kepada sebarang ugutan, cacian dan tindakan manusia. Ingatlah kita kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Ahmad :

قال الرسول e  : لايَمْنَعَنَّ أَحَدَكُمْ رُهْبَةُ النَّاسِ أَنْ يَقُوْلَ بِحَقٍّ إِذَا رَآهُ أَوْ شَهِدَهُ فَإِنَّهُ لايُقَرِّبُ مِنْ أَجْلِ وَلايَنْقُصُ عَنْ رِزْقٍ أَنْ يَقُوْلَ بِحَقٍّ أَوْ يَذْكَرُ بِعَظِيْمٍ

Maksudnya: Janganlah kerana takut kepada manusia menyebabkan engkau takut bercakap perkara yang benar apabila engkau tahu dan melihatnya. Maka sesungguhnya bercakap benar itu tidak memendekkan umur dan mengurangkan rezeki bila bercakap benar atau menyebut perkara yang besar

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat  36  surah al-Anfal :

إن الذين كفروا ينفقون أموالهم ليصدوا عن سبيل الله , فسينفقونها ثم تكون عليهم حسرة ثم يغلبون والذين كفروا إلى جهنم يحشرون

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir itu menafkahkan harta mereka untuk menghalangi jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu kemudian ia menjadi penyesalan bagi mereka dan mereka akan dikalahkan dan ke dalam neraka jahannam mereka akan dikumpulkan.

            Kita juga sedar bagaimana musuh Islam sentiasa mencari jalan samada secara keras atau lembut dalam menyesat dan menjauhkan umat Islam daripada ajaran dan system Islam yang sebenar. Hidup di zaman di mana hati-hati umat Islam sendiri lebih mencintai dunia daripada akhirat maka suatu usaha yang lebih bersungguh mestilah dibuat agar kesedaran ke arah mengembalikan system Islam dalam setiap aspek kehidupan dapat dicapai. Kekuatan umat Islam bertunjang daripada aqidah maka jika aqidah umat Islam runtuh menyebabkan pelbagai masalah lain terutama keruntuhan akhlak akan berlaku dengan lebih meluas tanpa kawalan. Oleh itu suatu kajian yang lebih mendalam bersama tindakan yang tegas berdasarkan Islam perlu dibuat oleh kerajaan terutama berkenaan kenyataan Mufti Perak yang mendakwa kira-kira 100,000 orang Islam di negara termasuk seorang yang bergelar ‘ustazah’ telah murtad hasil daripada suatu  kajian sekumpulan  profesional dan intelektual Melayu yang menjalankan kajian mengenai masalah itu pada tahun lepas. Malah umat Islam bermula daripada pemimpin mesti serius dalam menghadapi tekanan dan perancangan jahat musuh Islam yang semakin berani menentang Islam termasuk dalam kes terbaru menukar agama (murtad) yang dituntut Azlina Jailani atau lebih dikenali dengan nama Lina Joy bagi memadamkan perkataan Islam pada kad pengenalannya. Ini semua adalah antara perancangan jahat musuh Islam di mana jika kita masih berlembut maka usaha musuh Islam untuk membuang perkataan Islam daripada kad pengenalan akan berjaya tidak lama lagi dikuti dengan kuasa Mahkamah Syariah terhakis dan apa yang paling bahaya ialah keistimewaan Islam akan dibuang daripada perlembagaan.

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

            Tidak cukup dengan masalah murtad maka masalah penyebaran luas Islam Liberal juga mesti diambil perhatian yang serius. Suara-suara sesat daripada puak Islam Liberal ini semakin jelas berlaku seperti mempertikaikan talak yang hanya diberikan kepada kaum lelaki, pembahagian pesaka yang melebihkan kaum lelaki, amalan poligami yang dipandang menzalimi wanita, menuduh ulama’ feqah sebagai pereka agama dan antara yang terbaru ialah mempertikaikan pandangan mufti agar dihentikan amalan kongsi raya yang boleh menjejaskan aqidah umat Islam. Jika kita lihat kepada kesan kongsi raya memang begitu merbahaya apabila aqidah umat Islam yang telah rapuh akan bertambah rapuh sehingga menganggap semua agama adalah sama. Mula-mula umat Islam hanya mengikut upacara yang tidak bercanggah dengan Islam tapi lama-kelamaan mereka turut terheret dengan budaya dan adat agama lain yang bercanggah dengan Islam dalam keadaan sedar atau pun tidak. Inilah sebenarnya yang dikehendaki oleh musuh Islam di mana umat Islam tidak payah masuk kristian, budha, hindu tetapi cukuplah bahawa umat Islam yang gila raya ini mengiktiraf bahawa agama-agama itu semuanya betul

            Bila aqidah telah rosak maka keadaan akhlak semakin parah terutama kita berasa terhina dan malu jika benarnya dakwaan bahawa masyarakat Melayu membelanjakan RM1 bilion setahun untuk minum arak dan RM3 bilion lagi untuk berjudi  iaitu 75 peratus yang tikam ekor sekarang ini merupakan orang-orang Melayu sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah majalah. Kenyataan ini ditambah dengan cadangan kementerian pelancongan supaya kelab malam dibuka sehingga jam 5 pagi sempena tahun melawat Malaysia 2007 nanti. Ke manakah sebenarnya arah tuju Islam Hadhari yang dicanangkan selama ini samada Islam yang dipertahan atau jahiliah yang dijulang. Adakah kita sebagai umat Islam yang bermaruah rela melihat keruntuhan aqidah dan akhlak terus berlangsung dalam negara tanpa sebarang usaha untuk menanganinya. Muliakah kita jika memandang semua bahaya tersebut hanya masalah orang lain bukannya melibatkan anak dan cucu kita. Adakah kita boleh mati dengan tenang ketika keruntuhan aqidah dan akhlak ini semakin mengancam anak cucu kita. Apakah bekalan yang kita bekalkan kepada anak cucu kita samada harta atau pun agama yang berharga.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Kita turut merasa sedih dan marah apabila musuh Islam dengan kejam terus meratah tubuh umat Islam tanpa rasa kasihan. Kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan bacul yahudi Israel yang terus mengebom bangunan dan membunuh umat Islam di Palestin disamping menahan puluhan menteri dan ahli parlimen Palestin. Setelah gagal menjatuhkan kerajaan HAMAS Palestin dengan sekatan kewangan maka zionis yahudi kini atas alasan mahu membebaskan seorang pegawai tenteranya yang diculik sedang berusaha menggulingkan sebuah kerajaan pilihan rakyat disamping meruntuhkan masjid Aqsa. Kita turut mengutuk tindakan tidak bertamadun yahudi yang mengebom lapangan terbang Beirut, Lubnan serta membunuh puluhan rakyat yang tidak berdosa. Zionis yahudi tidak mengenal erti perdamaian tetapi mereka hanya tahu membunuh dan menghancurkan sesiapa sahaja yang dianggap sebagai musuh mereka. Oleh itu marilah kita sama-sama membantu saudara seagama dengan kemampuan yang ada terutama melalui doa-doa kita bersama.

Firman Allah dalam ayat 17  surah Luqman :

يبني أقم الصلـوة  وأمر بالمعروف وانه عن المنكر واصبر على ما أصابك إن ذلك من عزم الأمور

Maksudnya : Wahai anakku! Dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan dan tegahlah daripada kemungkaran serta sabarlah di atas cubaan yang menimpa engkau. Sesungguhnya demikian itu merupakan perkara yang dikehendaki ambil berat mengenainya

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Advertisements

138. PENGUSIRAN YAHUDI BANI NADHIR

                                                                                                                 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  Janganlah  kita  hanya  tahu  mendengar  sahaja  perkataan  taqwa  serta  menyebutnya  sedangkan  ia  tidak  menyerap  ke dalam  sanubari  kita . Hitunglah  diri kita  setiap  masa  samada  semakin  hampir  kepada  Allah atau  sebaliknya.  Adakah  amalan  soleh  kita  semakin  meningkat  atau pun  menurun….

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 2 surah al-Hasyr

هو الذي أخرج الذين كفروا من أهل الكتاب من ديارهم لأول الحشر ما ظننتم أن يخرجوا وظنوا أنهم مانعتهم حصونهم من الله فأتئهم الله من حيث لم يحتسبوا  وقذف فى قلوبهم الرعب  يخرجون بيوتهم بأيديهم وأيدى المؤمنين فاعتبروا يأولى الأبصر .

Maksudnya : Dialah (Allah) yang mengeluarkan orang-orang kafir di antara ahli-ahli kitab dari kampung-kampung mereka pada saat pengusiran kali pertama, kamu tiada menyangka bahawa mereka akan keluar dan mereka pun yakin bahawa benteng-benteng mereka akan dapat mempertahankan mereka daripada siksaan Allah. Maka Allah mendatangkan kepada mereka hukuman dari arah yang tidak mereka sangka  dan Allah mencampakkan ketakutan ke dalam hati-hati mereka, mereka memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan tangan-tangan orang-orang yang beriman.Maka ambillah kejadian itu untuk menjadi iktibar wahai orang-orang yang mempunyai pandangan.

            Pada hari ini jika renung kepada nasib umat Islam maka kita dapati ianya masih belum menemui sinar dan kebahagian yang hakiki setelah begitu lama dijajah dan terjajah oleh kesesatan ideologi ciptaan manusia di samping beberapa lagi negara umat Islam sedang menghadapi serangan fizikal yang telah mengorbankan banyak nyawa sebagaimana di Ambon, Selatan Filipina, Kashmir, Palestin dan sebagainya. Musuh Islam kuffar dan anak didikan mereka menyerang umat Islam dari pelbagai sudut dengan penuh kebencian  dan  tidak memberi langsung ruang untuk umat Islam bangkit. Suasana ini berlainan dengan zaman kehebatan dan keagungan Islam ketika ia berada ditampuk pemerintahan sebagaimana yang pernah kita saksikan pada zaman Rasulullah s.a.w. Sebagai contohnya ialah berlakunya peristiwa pengusiran yahudi Bani Nadhir dari kota Madinah setelah mereka cuba membunuh Rasulullah s.a.w. Yahudi yang terkenal dengan sikap penakut telah mengadakan hubungan sulit dengan orang munafiq dan musyrikin dalam merancang pakatan jahat untuk berhadapan dengan umat Islam. Mereka sebenarnya tidak berani berperang secara berdepan terutamanya selepas tindakan yang dikenakan oleh Rasulullah s.a.w ke atas yahudi Bani Qainuqa’ dan Ka’ab bin Asyraf.

            Peristiwa pengusiran yahudi Bani Nadhir berlaku apabila Rasulullah s.a.w  datang ke kampung mereka untuk  meminta supaya membayar diat berhubung dengan ‘Ammar bin Umaiyah ad-Dhamri yang telah membunuh 2 orang dari kalangan bani Kilab di mana mereka sebagai rakyat dalam negara Islam yang telah berjanji untuk memberi sumbangan sekiranya berlaku perkara seperti itu. Rasulullah s.a.w  pergi ke kampung tersebut bersama dengan beberapa orang sahabat. Setelah diberitahu tujuan kedatangannya maka bani Nadhir menyatakan kesanggupan mereka untuk menunaikan janji itu dan meminta agar Rasulullah s.a.w menunggu di tepi sebuah rumah dalam kampung itu bersama-sama dengan Sayyidina Abu Bakar dan para sahabat yang lain. Tiba-tiba orang yahudi itu telah membuat pakatan jahat untuk menggugurkan batu dari atas rumah di mana Rasulullah s.a.w berada. Seorang yang bernama ‘Amru bin Jahsy sanggup melakukan kerja itu walau pun salah seorang daripada kalangan mereka telah menegahnya iaitu Salam bin Misykam di mana dia telah memberi amaran dengan katanya : “ Jangan lakukan perkara ini, dia (rasululllah s.a.w) akan diberitahu dan kerja ini adalah melanggar perjanjian di antara kita dan dia “. Tetapi nasihat itu tidak diendahkan oleh mereka.

                       

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Malaikat Jibril telah diperintahkan oleh Allah supaya memberitahu kepada nabiNya tentang perancangan jahat itu. Setelah mendapat berita tersebut lalu Rasulullah s.a.w terus bangun lalu terus pulang dengan segera ke Kota Madinah. Para sahabat yang masih tidak tahu perkara sebenarnya turut mengikuti baginda pulang ke Madinah di mana setelah tiba di sana lalu mereka bertanya perkara yang sebenarnya yang menyebabkan baginda pulang secara tergesa-gesa ke Kota Madinah sedangkan urusan mereka belum selesai. Rasulullah s.aw terus menjelaskan kepada para sahabat tentang perancangan jahat yahudi bani Nadhir yang ingin membunuhnya dengan menggugurkan  batu dari atas rumah ke atasnya.

            Selepas itu nabi telah membuat tindakan segera dengan menghantar Muhammad bin Maslamah sebagai utusan untuk memberitahu Bani Nadhir bahawa mereka tidak dibenarkan lagi tinggal di Madinah. Mereka diberi tempoh selama 10 hari untuk meninggalkan Madinah di mana jika mereka gagal berbuat demikian maka hukumannya ialah pancung kepala. Tiada lagi jalan lain untuk mereka berdalih dan melepaskan diri lalu mereka pun membuat persediaan untuk meninggalkan Madinah. Tiba-tiba pemimpjn munafiq Abdullah bin Ubai menasihatkan mereka supaya jangan keluar dari Madinah dan mereka hendaklah bertahan dan menentang habis-habisan di mana kaum munafiq mempunyai 2 ribu orang yang akan bersama yahudi bani Nadhir dalam kota bagi menentang Rasuilullah s.a.w. Abdullah bin Ubai memberi jaminan bahawa kaum munafiq bersedia untuk mati bersama-sama yahudi bani Nadhir. Allah telah merakamkan pakatan ini dalam ayat 11 surah al-Hasyr :

ألم تر إلى الذين نافقوا يقولون لإخوانهم الذين كفروا من أهل الكتاب لئن أخرجتم لنخرجن معكم ولا نطيع فيكم أحدا أبدا  وإن قوتلتم لننصرنكم  والله يشهد إنهم لكذبون .

Maksudnya : Apakah kamu tidak memerhatikan orang-orang munafiq yang berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir di antara ahli kitab :” Sesungguhnya jika kamu diusir nescaya kami pun akan keluar bersama-sama kamu dan kami selama-lamanya tidak akan patuh kepada sesiapa pun untuk menyusahkan kamu dan jika kamu diperangi pasti kami akan membantu kamu. Sesungguhnya Allah menyaksikan bahawa mereka merupakan kaum yang berdusta.

            Perangsang dan jaminan yang diberi oleh Abdullah bin Ubai menyebabkan orang-orang yahudi itu naik semangat terutamanya pemimpin mereka Huyai bin Akhtab. Mereka mengambil keputusan menghantar utusan kepada Rasulullah s.a.w dengan katanya : “ Kami tidak akan keluar dari rumah-rumah kami, lakukanlah apa yang kamu mahu”.

            Keadaan semakin tegang, Rasulullah s.a.w bertakbir diikuti oleh para sahabat yang lain. Semangat untuk berperang sedang marak membara terutamanya mereka mengetahui tentang perancangan jahat yahudi yang ingin membunuh nabi yang disayangi dan dikasihi.

 

Sidang Jumaat yang berbahagia

            Bala  tentera Islam dikerah untuk bertindak ke atas bani Nadhi di mana kampung mereka mesti diserang. Rasulullah s.a.w menugaskan Ibn Maktum untuk menjadi imam di masjid Madinah. Sayyidina Ali pula ditugaskan sebagai pembawa bendera dalam bala tentera Islam. Memang menjadi kebiasaan yahudi yang pengecut dan tidak berani bertempur secara berdepan di medan di mana mereka berkubu dalam kota dengan melontar batu dan panah serta berlindung di sebalik pokok-pokok tamar dan kebun-kebun mereka. Rasulullah s.a.w telah memerintah supaya kebun dan pokok tamar yang menjadi penghalang serangan agar ditebang dan dibakar. Bersempena dengan arahan ini Allah berfirman dalam ayat 5 surah al-Hasyr :

ما قطعتم من لينة أو تركتموها قائمة على أصولها فبإذن الله وليخزى الفسقين

Maksudnya : Apa sahaja yang kamu tebang dari pohon-pohon kurma milik orang-orang kafir itu atau yang kamu biarkan berdiri di atas pokoknya maka semuanya itu adalah dengan izin Allah dan kerana dia hendak membiarkan kehinaan kepada orang-orang yang fasiq

            Ketika mereka diserang dan dikepung oleh tentera Islam, rakan-rakan mereka dari kalangan yahudi yang lain mengambil sikap tidak peduli begitu juga dengan Abdullah bin Ubai serta pengikutnya yang didakwa berjumlah 2 ribu orang di samping qabilah bani Ghatfan yang menjadi sekutu mereka tidak memberi apa-apa bentuk bantuan. Kepungan itu tidaklah lama iaitu 6 hari sahaja(setengah ulama’ mengatakan 15 hari). Sehinggalah Allah mencampakkan ke dalam hati mereka perasaan takut dan gentar, lalu mereka menyerah diri dan meletakkan senjata. Kemudian mereka menghantar utusan untuk menemui Rasulullah s.a.w bagi menyatakan bahawa mereka bersedia keluar dari Madinah.

            Rasulullah s.a.w membenarkan mereka keluar dari Madinah bersama-sama hamba shaya mereka dengan membawa barangan sekadar muat di atas unta kecuali senjata mereka mesti ditinggalkan. Mereka pun keluar dari Madinah sebagaimana yang diarahkan di mana didapati mereka telah merobohkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan membawa pintu-pintu, jendela-jendela serta alat-alat rumah yang mampu dibawa bersama. Hanya 2 orang sahaja yang menerima Islam iaitu Yamin bin ‘Amru dan Abu Sa’ad bin Wahab manakala yang lain meninggalkan kampung mereka menuju ke Khaibar dan bakinya menuju ke Syam.

            Inilah dia kekuatan dan kehebatan Islam yang tidak mampu dicabar oleh pengkhianat dan musuh pada zaman kegemilangannya sedangkan pada hari ini betapa ramai umat Islam menjadi pelarian dan juga menjadi orang yang terjajah dinegara sendiri.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Memorandum Bantah anti Syariah

10 hb Oktober 2009

Masjid Solihin , Teras Jernang , Bandar Baru Bangi, Selangor , Darul Ehsan

Menyedari bahawa Undang-undang syariah berdasarkan rujukan sumber dalil dan nas Quran , Al Sunnah dan Ijma Ulama dan ia adalah undang-undang yang dicernakan dari perintah Allah S.W.T. dan setiap umat Islam dan pemerintah Islam yang dimandatkan dengan kuasa oleh umat Islam, wajib melaksanakan undang-undang syariah dengan sesempurna mungkin,

Beriman dan menyakini serta menginsafi bahawa undang-undang syariah adalah undang-undang Allah S.W.T yang terbaik dan paling adil dan paling layak dan berkesan untuk menyelesaikan serta menangani segala masalah sosio-ekonomi politik kehidupan umat Islam khususnya dan masyarakat awam keseluruhannya,

Menegaskan bahawa undang-undang syariah semada dalam urusan muamalah mahupun jenayah adalah undang-undang yang sah dan berkewajipan di kuatkuasakan oleh agensi-agensi mengikut peruntukan yang jelas dinyatakan secara tersurat seperti yang diperundangkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Mengambil perhatian bahawa hukuman sebat sudah diperuntukkan dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah Syariah) 1965 (pindaan 1984).Akta itu diwujudkan menurut kuasa diberikan mengikut Perlembagaan Persekutuan dalam Jadual Kesembilan Senarai II (Senarai Negeri).

Memahami kes Kartika Sari Dewi Shukarno telah dijatuhkan hukuman sabit dengan kesalahan menurut peruntukan Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dibaca bersama Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987,dan Mahkamah Syariah tersebut berbidangkuasa menjatuhkan hukuman ke atas pesalah yang melakukan kesalahan meminum minuman yang memabukkan, iaitu dengan hukuman denda tidak melebihi RM 5000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau disebat tidak melebihi 6 sebatan.

Menegaskan lagi bahawa umat Islam berhak untuk melaksanakan serta mengembangkan undang-undang syariah seperti yang tercakup dalam undang-undang Islam yang meliputi semua aspek kehidupan umat islam.

Mengambilkira bahawa perlaksanaan undang-undang syariah di Malaysia maseh memerlukan pemerkasaan yang sewajarnya dengan mempertingkatkan bidangkuasa dan kecekapan agensi-agensi Islam seperti JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri , Jabatan Islam Negeri , Majlis Fatwa Negeri dan Majlis Fatwa Kebangsaan , Jabatan Penjara , Jabatan Peguam Negara dan Mahkamah Syariah,

Menyedari wujudnya kekeliruan dikalangan masyarakat awam mengenai undang-undang syariah,

Mengambil perhatian serius ujudnya kumpulan tertentu yang berusaha menimbulkan kekeliruan serta memburuk-burukkan perlaksanaan undang-undang syariah dan cuba menghapuskan undang-undang syariah di Negara ini

Maka ,

Kami dengan tegas menyatakan pendirian kami membantah dengan keras percubaan sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka Joint Action Group For Gender Equality (dianggotai antaranya oleh Sisters in Islam, SUARAM, Selangor Community for Community Awareness ,HAKAM) yang cuba menolak dan menghalang perlaksanaan undang-undang jenayah syariah di negara ini melalui memorandum yang dihantar kepada Perdana Menteri pada 1 hb Oktober 2009.
Membantah dengan keras bahawa kumpulan ini telah menyatakan dengan terang dan biadab bahawa hukuman sebat berdasarkan undang-undang syariah seperti yang dijatuhkan ke atas Kartika bersabit kesalahan minum arak sebagai kejam dan menjejaskan imej Negara yang dianggap Negara Islam moderat.
Kami juga membantah keras mereka yang berusaha dengan mengguna saluran undang-undang meminta semakan kehakiman (judicial review) dilakukan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan terhadap kes Kartika Sari Dewi Shukarno supaya perlaksanan hukum jenayah syariah seperti yang diperuntukan dalam undang-undang syariah dihalang perlaksanaannya .
Kami dengan tegas membantah kenyataan beberapa pemimpin negara yang mempersoalkan wibawa dan autoriti agensi perlaksanaan undang-undang Syariah yang dengan kenyataan mereka berpendirian bahawa hukuman sebat seperti yang diperuntukan dalam Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah tidak perlu didilaksanakan. Kenyataan mereka menjejaskan imej dan undang-undang Islam di negara ini sekaligus berimplikasi menghina Mahkamah Syariah.
Dengan ini kami mendesak supaya siasatan dan tindakan diambil terhadap kumpulan yang sengaja menimbulkan kemarahan umat Islam dan mencabar kuasa agensi Islam yang diperuntukan dalam undang-undang mengenai status undang-undang Islam di negara ini sekaligus mencabar kuasa Raja-raja yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Islam.
Kami menegaskan lagi bahawa undang-undang syariah di negara ini hendaklah diperkasakan dan semua agensi-agensi yang terlibat seperti JAKIM, Jabatan Agama negeri-negeri, Jabatan Penjara, Polis, Jabatan Peguam Negara, Mahkamah Syariah dan agensi-agensi yang lain hendaklah memberi kerjasama penuh untuk merealisasikan perlaksanaan undang-undang Islam dengan sempurna di negara ini.
Kami membantah dan menolak dengan keras sebarang campurtangan pihak luar semada oleh media atau mana-mana kumpulan NGO atau politik dari luar mahupun dari dalam Negara atas nama hak asasi manusia atau gender yang cuba memberi tekanan ke atas Negara khususnya agensi penguatkuasa undang-undang syariah supaya undang-undang syariah tidak dilaksanakan di Negara ini.
Diperakui oleh

Mohd Azmi Abdul Hamid

Penyelaras Kempen Pertahan undang-undang Syariah

Presiden TERAS Pengupayaan Melayu

1.Amidi Manan

Timbalan Preisden ABIM

2.Ust Abdul Ghani Samsudin

Pengerusi SHURA

3.Prof Madya Salleh Hj. Ahmad

Timbalan YDP Persatuan Ulama Malaysia

4.Hj. Zainol Rijal

Setiusaha Persatuan Peguam Syarie Malaysia

5. Fadhlina bt. Siddiq

Naib Presiden ABIM

6.Masadah Sajadi

Pengerusi Majlis Bertindak Wanita Islam

7.Dr. Khairuddin Datuk Malik

Pengerusi JAMA’IY Perak

8.Prof. dr. Wan Salim Mohd Nor

Pengerusi FORUM Negeri P.Pinang

9.Dr. Abdul Rahman Ahmad

Timbalan Pengerusi WEHDAH Kedah

10. Mohd Idris Mohd Yussoff

Presiden GAMIS