• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3











  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,676,525 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 6,409 other followers

33. MERDEKAKAN NEGARA DARIPADA PENINDASAN


 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 6 surah Lukman :

ومن الناس من يشترى لهو الحديث ليضل عن سبيل الله بغير علم ويتخذها هزوا  أولئك لهم عذاب مهين

Maksudnya : Dan ada di antara mausia mereka yang membelanjakan hartanya kepada cerita dan hiburan yang melalaikan sehingga menyesatkan daripada jalan Allah tanpa berdasarkan ilmu. Ada juga orang yang menjadikan agama sebagai bahan ejekan. Merekalah orang yang ditimpa azab yang hina.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Hari ini 31 Ogos maka tibalah kita pada tarikh bersejarah iaitu sambutan kemerdekaan negara kali ke-44. Malam tadi telah menyaksikan bagaimana anak yang merdeka daripada ikatan agama melaung bersorak menyebut perkataan merdeka sedangkan pakaian, akhlak dan maruah mereka berkiblat kepada penjajah. Kesuciaan hari Jumaat telah dikotori dengan program maksiat yang diambil daripada penjajah. Pemimpin menghalalkan apa yang haram dan mengharamkan apa yang halal semata-mata seronok menyambut kemerdekaan. Laungan merdeka tidak membawa apa erti kepada mereka kerana mereka hanya tahu untuk berseronok . Perjuangan ulama’ dan pejuang kemerdekaan yang terpaksa bermandi darah untuk mendapatkan kemerdekaan telah dikotori dengan pesta maksiat dan arak. Dahulunya ulama’ dan pejuang kemerdekaan berjuang menghalau penjajah tetapi anak selepas merdeka membawa masuk kembali sistem dan budaya penjajah yang menyesatkan. Sepatutnya sambutan kemerdekaan diisi dengan semangat jihad dan majlis ilmu yang mampu memerdekakan rakyat daripada perasaan takut sesama hamba dan juga memerdekakan rakyat daripada kejahilan yang menyebabkan akhlak dan aqidah mereka terancam dan menjunam. Sepatutnya perasaan syukur kepada Allah di atas nikmat kemerdekaan dan terima kasih kepada ulama’ dan pejuang kemerderkaan kita sambut dengan majlis berlandaskan agama serta angkatkan tangan memohon kepada Allah agar kemerdekaan ini tidak dicemari oleh kezaliman, kesesatan dan keruntuhan akhlak yang akan mengancurkan negara bukannya diisi dengan pesta maksiat dan arak yang menjemput lagi turunnya bala Allah.

 

Sidang Jumaat yang dihormati,

            Kibaran bendera jalur gemilang menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan. Jangan biarkan kibaran bendera tersebut seolah-olah kita mengibarkan bendera putih sebagai tanda menyerah kalah kepada anak didik penjajah yang terus menjajah negara ini menggunakan sistem dan budaya penjajah. Jadikanlah kibaran bendera negara sebagai penyemarak semangat jihad berdasarkan jalur merah yang bererti berani dalam memerdekakan Islam yang dilambangkan sebagai bulan dan bintang dalam bendera negara. Setelah 44 tahun mencapai kemerdekaan maka kita sepatutnya telah merasai sistem Islam dalam setiap aspek kehidupan sebagaimana yang pernah dirasai oleh datuk moyang kita sebelum kedatangan Portugis 1511 yang lampau. Malangnya sistem Islam terus dipenjarakan oleh anak didik penjajah yang lebih rela menjadi hamba abdi kepada yahudi dan sekutu kuffar daripada memerdekakan Islam untuk dilaksana. Malah anak didik penjajah bertanggungjawab penuh dalam menakutkan umat Islam dan orang bukan Islam terhadap Islam yang menyebabkan usaha untuk melaksanakan semua system Islam di negara ini terus terbantut. Atas alasan masyarakat majmuk maka hak Allah iaitu tertegaknya sistem Islam dalam negara terus dinafikan kerana bimbang akan berlakunya huru-hara. Siapakah yang mahu membuat huru-hara tersebut dan mengapakah usaha untuk membanterasnya tidak dilakukan jika mereka benar-benar wujud. Jika rakyat yang bangun menegur kezaliman dan kesesatan yang dilakukan oleh pemimpin boleh ditangkap tanpa bicara mengapakan mereka yang boleh membahayakan keselamatan negara apabila tertegaknya Islam tidak mampu diambil tindakan. Kita turut mempersoalkan bilakah negara ini akan kembali menjadi masyarakat tidak majmuk yang membolehkan terlaksananya amanah Allah yang besar itu. Masyarakat majmuk sebenarnya bukan sebagai penghalang jika Islam mampu tersebar dengan luasnya bukannya sebagaimana hari ini di mana orang bukan Islam masih ramai yang tidak faham tentang Islam dan orang Islam sendiri ramai yang telah murtad akibat kelalaian pemimpin. Banyak suruhan ke arah kemungkaran dan kerosakan yang dibuat berbanding arahan kepada kebaikan.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi,

            Sempena sambutan merdeka juga kita mahu melihat bagaimana tiada lagi pemimpin kuku besi yang begitu ghairah melakukan penindasan dan kezaliman berdasarkan sistem penjajah yang sesat sedangkan mereka merdeka daripada tindakan undang-undang. Kita tidak mahu lagi adanya pemimpin yang kita benci kerana kezaliman dan kesesatan mereka dan mereka pula membenci rakyat kerana berani menegur kesalahan mereka disamping mereka berani menghina hukum Islam, mencaci sunnah nabi serta memaki para ulama’ pewaris nabi. Kita mahu lahirnya pemimpin yang bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah agama dan pemerintahan dalam mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat sebagaimana sabda nabi s.a.w dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim dalam sohihnya :

قال الرسول : خيار أئمتكم الذين تحبونهم ويحبونكم  ويصلون عليكم وتصلون عليهم  وشرار أئمتكم الذين تبغضونهم ويبغضونكم وتلعنونهم ويلعنونكم …….

Maksudnya : Sebaik-baik pemimpin kamu ialah mereka yang kamu cinta dan mereka mencintaimu, mereka sentiasa menghubungi kamu dan kamu sentiasa menghubungi mereka. Dan sejahat-jahat pemimpin kamu ialah mereka yang kamu benci dan mereka pula membencimu, mereka yang kamu kutuk dan mereka pula mengutuk kamu…..

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Sejarah Islam telah menyaksikan bagaimana Sayyidina Abu Bakar mengarahkan bala tentera untuk melepaskan anjing yang tersepit dihujung negara. Sejarah turut mencatat bagaimana Khalifah Muktasim yang mendengar seorang wanita muslimah yang diketawakan oleh sekumpulan kafir di tengah-tengah bandar telah menghantarkan bala tentera untuk menjaga maruah seorang wanita muslimah. Apa yang berlaku hari ini adalah sebaliknya di mana rakyat diminta mengibar bendera dan melaungkan merdeka sedangkan adanya rakyat yang terpenjara tanpa dapat mempertahankan haknya. Golongan yang berpesta dengan maksiat yang meruntuhkan akhlak dan membahayakan aqidah diberikan kemerdekaan sedangkan rakyat yang hadir majlis ceramah untuk memberi kesedaran dalam memastikan negara ini tidak hancur dan dijajah kali kedua telah ditangkap dan bermandi hujan asid.

            Pemimpin bagaikan bersandiwara meminta para ulama’ bangun menyedarkan masyarakat dan bersama dengan pemimpin dalam memajukan negara sedangkan dalam masa yang sama ada ulama’ yang ditangkap, tauliah kuliah agama di masjid ditarik malah adanya mufti yang dipecat kerana menangkap orang Islam yang terlibat dengan pertandingan ratu cantik yang tidak bermoral. Jika sebelum ini seorang muslimah yang dipecat kerana memakai purdah ketika bekerja maka tidak mustahil pada masa akan datang ramai rakyat yang berjubah dan berserban semasa berkerja akan dibuang berdasarkan kepada arahan terbaru yang dikeluarkan oleh anak didik penjajah yang lebih berani dan bacul daripada penjajah. Pada masa keruntuhan akhlak yang begitu kuat melanda maka pemakaian berdasarkan sunnah diperangi sedangkan mereka yang membuka aurat diberikan kemerdekaan yang seluasnya.

            Sempena sambutan hari kemerdekaan maka kita seru agar semua tahanan yang dipenjara tanpa bicara diberi pengadilan yang sewajarnya. Janganlah pemimpin boleh berseronok di mahligai mewah sedangkan rakyat terkurung dikandang besi penuh resah. Kasihanilah anak dan isteri mereka. Mereka pun anak merdeka dan berhak menerima pembelaan yang sewajarnya. Ingatlah bahawa doa orang yang dizalimi merupakan senjata tajam yang boleh menggugat kedudukan orang yang zalim. Keranamu Malaysia kami kan tegakkan negara Islam merdeka. Keranamu Malaysia kami akan tunaikan hak Allah yang sememangnya menjamin hak manusia tanpa mengira batasan agama dan bangsa.

Firman Allah dalam ayat 19  surah Lukman :

واقصد من مشيك واغضض من صوتك إن أنكر الأصوات لصوت الحمير

Maksudnya : Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, rendahkan suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: