• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3











  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,676,525 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 6,409 other followers

35. MERDEKAKAN SELURUH SISTEM ISLAM


 

 

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 188 surah Ali ‘Imran :

لاتحسبن الذين يفرحون بمآ أتوا ويحبون أن يحمدوا بمالم يفعلوا فلاتحسبنهم بمفازة من العذاب ولهم عذاب أليم

Maksudnya : Janganlah sekali-kali  kamu menyangka bahawa orang-orang yang gembira dengan apa yang telah mereka kerjakan dan mereka suka supaya dipuji terhadap perbuatan yang belum mereka kerjakan. Janganlah kamu menyangka bahawa mereka terlepas daripada siksa dan bagi mereka siksaan yang pedih

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Detik 31 Ogos tidak pernah lekang daripada ingatan seluruh rakyat negara ini kerana ia merupakan tarikh bersejarah yang telah menyaksikan negara ini diberi kemerdekaan oleh pihak penjajah yang begitu lama menguasai bumi tercinta ini. Penjajah telah bersetuju memberi kemerdekaan dengan syarat dasar pemerintahan mestilah terus berkiblatkan sistem yang diamalkan oleh mereka. Akhirnya golongan yang menjadi anak didik penjajah telah berjaya mendapatkan kemerdekaan tersebut sedangkan satu golongan lagi yang dipelopori oleh para ulama’ yang betul-betul memperjuangkan kemerdekaan bukan setakat bertukarnya kulit putih kepada kulit sawa matang dan daripada pemimpin yang berbangsa Inggeris kepada pemimpin berbangsa melayu malah sistem Islam yang telah dilaksanakan oleh kesultanan melayu sebelum datangnya Portugis pada 1511 berjaya dilaksanakan semula namun mereka gagal mendapat tempat di hati penjajah. Golongan ulama’ terus dipinggirkan daripada pemerintahan di mana sehingga sekarang ulama’ bukan sahaja dimaki hamun tetapi diperangi sehingga ada yang terbunuh pada zaman pemerintahan anak didik penjajah. Pengorbanan ulama’ bukan sahaja tidak disanjungi malah mereka dituduh sebagai pengkhianat yang mahu hancurkan negara.

 

Sidang Jumaat yang dihormati,

            Sebelum merdeka kita menentang penjajah yang sememangnya memusuhi Islam malah merekalah yang bertindak membuang seluruh sistem Islam daripada dilaksanakan di negara ini. Setelah penjajah pulang ke negara mereka dengan membawa begitu banyak hasil mahsul dari negara ini maka segala dasar pemerintahan penjajah diteruskan oleh anak didik mereka. Tugas umat Islam pada awalnya dijangka lebih mudah setelah mendapat kemerdekaan tetapi sehingga hari ini tugas untuk memartabatkan kembali sistem Islam di negara ini terus mendapat halangan dan tentangan mungkin lebih hebat daripada zaman penjajah. Tugas dalam meninggikan kalimah Allah tidak cukup setakat kita mendapat kemerdekaan sedangkan sistem Islam terus dipenjara daripada dilaksanakan. Kita menentang penjajah bukanlah kerana mereka berbangsa Inggeris dan kita menentang penjajah bukanlah disebabkan mereka bukan anak tempatan tetapi kita menentang penjajah kerana mereka memerangi Islam dan menghalang daripada terlaksananya sistem Islam di negara ini. Oleh itu kita pada hari ini terus menegur pemimpin negara walau pun mereka seagama dengan kita kerana mereka meneruskan sistem penjajah yang berlawanan dengan Islam sedangkan penjajah telah lama meninggalkan negara kita.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi,

            Pada zaman penjajah mereka mengakui bahawa begitu susah untuk memurtadkan umat Islam lalu mereka menjauhkan kita daripada Islam melalui sistem pendidikan disamping system perundangan yang diamalkan. Kita pernah mendengar bagaimana peristiwa Natrah yang diambil balik daripada keluarga angkatnya yang beragama Islam di Singapura oleh keluarga asalnya yang beragama Kristian maka seluruh umat Islam bangun menentang sehingga menggerunkan penjajah. Tetapi selepas merdeka ramai umat Islam yang telah murtad di mana umat Islam bukan sahaja dilarang bangkit menentangnya malah perundangan yang ada telah memberi keselesaan dan ruang yang luas kepada umat Islam untuk murtad. Kes Aisyah Bukhari misalnya di mana pihak Kristian berjaya mendapatkan perintah daripada mahkamah agar ayah Aisyah merelakan anaknya dimurtadkan. Begitu juga kes Kartini Kamarudin di mana ayahnya yang cuba  membawa balik anaknya namun dihalang oleh mereka yang memurtadkannya malah terpaksa mempertahankan dirinya ketika ditikam dengan senjata tajam tetapi dia pula dituduh di mahkamah cuba mencederakan penculik anaknya yang boleh membawa hukuman penjara 14 tahun. Perkara ini berlaku pada masa ini dan apakah yang bakal berlaku di zaman anak cucu kita jika kita gagal memerdekakan negara ini daripada sistem penjajah. Sematkan dalam diri dan gerakkkan seluruh anggota kita agar kemerdekaan negara yang telah dicapai buat kali pertama dengan berjayanya kita menghalau penjajah kembali ke negara mereka dan kini kita mengorak langkah dalam memerdekakan negara daripada sistem penjajah ke arah pelaksanaan sistem Islam yang pasti akan memberi keamanan dan kebahagiaan yang sebenar di dunia dan akhirat.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Penjajah tersenyum girang apabila melihat kejayaan pemimpin yang merupakan anak didik mereka berjaya menghalang kebangkitan Islam malah lebih berani daripada mereka sendiri. Mereka seronok melihat rakyat negara ini rosak sebagaimana rosaknya moral anak mereka. Sistem pendidikan negara yang diwarisi daripada penjajah telah menjauhkan rakyat daripada Islam malah telah merosakkan anak bangsa. Setelah ramai anak muda beragama Islam memenuhi pusat serenti kerana terlibat dengan dadah maka sekarang ini lebih banyak penyakit sosial yang lebih merbahaya dan menggugat umat Islam telah melanda negara. Kita dikejutkan oleh Black Metal yang menjadikan Syaitan sebagai tuhan mereka ditambah dengan gejala pink metal iaitu golongan anak muda yang terlibat dengan lumba haram dengan mempertaruhkan perempuan sebagai hadiah. Perkara ini sebenarnya telah lama berlaku tetapi ia dianggap remeh-temeh kerana ia hanya menggugat keamanan negara bukannya menggugat kedudukan pemimpin. Perkara yang lebih diambil berat oleh pemimpin ialah pengajian agama serta kuliah di masjid-masjid dan juga ceramah yang boleh menggugat kedudukan mereka sebagai pemimpin di mana mereka dengan segala kuasa yang ada pada mereka terus menyekat program yang berjaya menyedarkan masyarakat tentang kesesatan dan kezaliman sistem dan pemimpin yang ada serta-merta sedangkan masalah penyakit sosial yang sebenar hanya diambil tindakan secara sambil lewa.

 

Sidang Jumaat yang dihormati,

            Pada zaman penjajah kita dapat saksikan bagaimana ramai pejuang kemerdekaan dipenjara dan dibunuh. Tidak kurang jiwa rakyat negara ini dijadikan benteng dalam melawan musuh penjajah. Rakyat dijadikan mangsa untuk kepentingan kuasa penjajah. Cara ini turut digunakan pada hari ini di mana rakyat yang beruniform terpaksa berhadapan dengan rakyat yang bangkit menentang kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh pemimpin yang telah merobek dengan tangan mereka sendiri sistem yang selama ini dipertahankan oleh mereka. Pemimpin tanpa rasa bersalah memenjarakan rakyat tanpa membicarakan kesalahan mereka yang dikatakan golongan militan yang mahu menggulingkan pemimpin dengan alasan mereka pernah berlatih di Pakistan dan pernah membantu golongan mujahidin di Afghanistan dalam menghalau kuasa komunis Russia. Pemimpin menyembunyikan hasrat mereka yang sebenar iaitu menjadikan rakyat sebagai umpan bagi memujuk Presiden Amerika Syarikat dengan menyatakan bahawa pemimpin negara ini juga benci kepada mujahidin terutama Usama Laden yang memerangi Amerika Syarikat dan sekutu kuffarnya. ٍBertepatan dengan persiapan untuk menyambut hari kemerdekaan negara pada 31 Ogos depan maka kita menyeru agar pemimpin membebaskan mereka yang tidak bersalah atau bicarakan mereka jika mereka benar-benar bersalah. Hormatilah negara ini yang telah merdeka dan merdekakan Islam untuk dilaksana.

.Firman Allah dalam ayat 167  surah An-Nisa’ :

إن الذين كفروا وصدوا عن سبيل الله قد ضلوا ضللا بعيدا

Maksudnya : Sesungguhnya orang kafir dan menghalangi (manusia) daripada jalan Allah benar-benar telah sesat sejauh-jauhnya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: