• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3











  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,677,030 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 6,409 other followers

58. PERTAHANKAN KEUTUHAN TAMADUN ROHANI


 

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Anfal :

إن الذين كفروا ينفقون أمولهم ليصدوا عن سبيل الله فسينفقونها ثم تكون عليهم حسرة ثم يغلبون والذين كفروا إلى جهنم يحشرون

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir itu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi manusia daripada jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu kemudian menjadi sesalan bagi mereka dan mereka kemudiannya dikalahkan. Dan mereka yang kufur akan dihimpunkan di dalam neraka jahannam

Iman dan kufur sentiasa bertarung, Islam dan jahiliah sentiasa bertembung, kebenaran dan kesesatan sentiasa berlawan, keadilan dan kezaliman sentiasa bercanggah. Keganasan dan penindasan yang berlaku pada hari ini akibat nafsu menguasai manusia dalam melawan kebenaran wahyu Allah. Manusia rakus hanya melihat dunia ini sebagai suatu matlamat yang mesti dikejar dengan menafikan adanya hari akhirat sehingga mereka sanggup menyelesaikan pertikaian mereka dengan menindas orang lain. Ilmu pengetahuan yang diperolehi bukan digunakan untuk menjaga keamanan dunia sebaliknya dijadikan modal dalam mengejar sebanyak mungkin kemewahan dunia walau pun terpaksa mengorbankan orang lain. Ilmu pengetahuan bukan dijadikan ubat dalam menyelesaikan masalah sejagat tetapi ia dijadikan alat dalam melakukan keganasan demi merebut harta dan takhta. Ilmu pengetahuan yang dianugerahkan bukan dijadikan panduan dalam memikirkan alam ciptaan Allah sehingga memungkinkan manusia beriman kepada Allah sebaliknya ia menjadi alat dalam melakukan kerosakan di muka bumi serta melawan Kebijaksaan Allah Maha Kuasa. Inilah antara kesan betapa bahayanya apabila ilmu dibuang ruh agama sehingga ilmu pengetahuan yang ditimba telah digunakan sewenangnya tanpa panduan wahyu Allah malah manusia secara terang-terangan menggunakan kepintaran yang ada dalam menolak peranan agama dalam menyelesaikan masalah pentadbiran dunia. Ilmu sains dan beberapa ilmu yang lain pernah digunakan untuk membangunkan tamadun maju yang bersepadu antara kerohanian dan kebendaan pada zaman Khalifah Islam se`belum ini tetapi  apabila ilmu yang sama dicuri oleh barat dengan dibuang ruh agama telah menampakkan hasil yang berbeza di mana dari segi kebendaan dilihat tamadun barat begitu maju dan canggih tetapi dari segi membina sifat keinsanan dalam diri manusia telah nampak jelas kegagalannya sehingga lebih banyak manusia bersifat kebinatangan yang dilahirkan yang menyebabkan keamanan gagal diwujudkan dalam negara. Intelek dan pakar yang dilahirkan lebih banyak memikirkan untuk memenuhi kepentingan peribadi bukannya menjaga maslahat umum sehingga lahir lebih ramai pengganas yang mengancam masyarakat daripada lahirnya golongan intelek yang berfikir bagaimana cara untuk mewujudkan keamanan dan melahirkan manusia yang elok budi pekertinya. Keadaan bertambah celaru dalam tamadun kebendaan barat apabila paderi di gereja dibenarkan untuk mengampuni dosa manusia sehingga masyarakat semakin jauh daripada Allah Tuhan Pencipta mereka.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Kegagalan tamadun barat dalam membina manusia telah disembunyikan sebaik mungkin dengan lebih banyak menonjolkan kejayaan mereka dari segi tamadun kebendaan sehingga umat Islam terus merasa ketinggalan dan mundur serta berusaha meniru barat agar dapat bersaing dengan mereka. Malangnya umat Islam mula lupa diri apabila cuba meniru seratus peratus tamadun kebendaan barat dengan mengabaikan banyak peranan agama dalam memastikan tamadun yang dibina seimbang antara roh dan material. Umat Islam mula meletakkan peranan agama ditempat kedua selepas ekonomi yang menyebabkan mereka bukan sahaja gagal menyaingi tamadun kebendaan barat malah tamadun rohani yang masih ada di negara umat Islam mula luntur dan hampir padam apabila semakin tipisnya aqidah umat Islam disebabkan pengabaian terhadap peranan agama. Umat Islam yang jahil dan dijahilkan tidak lagi melihat Islam sebagai agama yang membawa kemajuan sehingga mereka lupa kepada kejayaan khalifah Islam sebelum ini yang berjaya menggunakan ilmu sains dalam membina tamadun rohani dan kebendaan secara serentak. Umat Islam lupa dan dilupakan tentang dendam dan permusuhan kuffar barat terhadap kejayaan Islam yang terus menjaga pembinaan insan tanpa mengabaikan pembinaan tamadun kebendaan yang disuluhi cahaya wahyu bukannya dicemari kesesatan hawa nafsu. Barat mahu melupakan kegagalan mereka dalam membina tamadun insan dengan cara menghancurkan umat Islam yang masih memiliki tamadun insan. Barat hanya merasa bahagia dan senang hati apabila umat Islam terus mundur dalam kedua-dua tamadun iaitu rohani dan kebendaan. Sebaliknya jika umat Islam terus menjaga tamadun insan yang masih ada disamping terus bergerak dalam mengembalikan semula ilmu-ilmu Islam yang dicuri dengan meniupkan kembali ruh Islam yang dibuang daripada ilmu tersebut maka barat akan terus bimbang dan memusuhi Islam. Malah serangan 11 September telah menjelaskan lagi kebimbangan kuffar terutama yahudi terhadap kebangkitan tamadun Islam walau pun kuffar sebelum ini  menyatakan bahawa umat Islam tidak bertamadun dan mundur. Jika umat Islam benar-benar tidak bertamadun dan mundur maka kuffar tidak perlu memerangi umat Islam kerana ia bukan saingan kepada tamadun kebendaan barat. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya apabila serangan 11 September itu berlaku beberapa bulan selepas sebuah negara umat Islam mencadangkan agar diadakan suatu majlis peradaban ilmu yang membolehkan seluruh wakil agama mampu duduk dalam satu majlis untuk berbincang masalah keamanan dunia berdasarkan ilmu dan agama di mana yahudi yang terlalu bimbang tentang matlamat mereka untuk menguasai dunia akan terbantut disamping bimbang Islam akan menang mudah telah membuat perancangan lebih rapi dalam melakukan serangan tersebut di mana ia dijadikan alasan dalam menuduh umat Islam adalah pengganas serta yahudi memainkan peranan penting dalam melakukan beberapa serangan yang lain termasuk ke atas Aghanistan dan hari ini di Iraq disamping meneruskan penjajahan dan penindasan terhadap umat Islam di Palestin.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Setelah menyedari betapa pentingnya tamadun insan yang begerak di atas aqidah yang kukuh maka sepatutnya seluruh negara umat Islam berusaha bersungguh-sungguh menjaganya daripada dirosakkan disamping berusaha melahirkan pakar dalam ilmu sains dan teknologi moden melalui sistem pendidikan Islam yang bersepadu antara ilmu fardhu ‘ain dengan ilmu fardhu kifayah. Jangan terus biarkan umat Islam hanyut dengan ilmu moden yang dibuang ruh Islam di mana akibat pemisahan ini akan menyebabkan lahirnya manusia yang hanya mementingkan kekayaan diri dengan mengenepikan kepentingan masyarakat umum disamping melahirkan manusia yang mengenepikan peranan agama dalam menangani permasalahan umat. Pemimpin negara umat Islam sewajibnya menyediakan sistem pendidikan sepadu yang akan melahirkan ulama’ profesional dan profesional yang faham Islam serta sentiasa berfikir bagaimana mahu memajukan umat Islam disamping sentiasa berkerjasama dengan ulama’ dalam menangani masalah masyarakat. Umat Islam semakin berpecah apabila pemimpin negara umat Islam tunduk kepada sistem dua aliran yang berpisah antara ilmu agama dan ilmu moden yang menyebabkan lahirnya dua masyarakat yang berlawanan iaitu yang memahami agama secara lengkap dengan mereka yang mengenali Islam untuk adat dan ibadat khusus sahaja. Apabila wujudnya masyarakat ini akan menyebabkan negara menjadi celaru apabila golongan pertama yang faham agama sentiasa menegur kesilapan yang berlaku di mana kebanyakan golongan ini tidak banyak diberi tempat dalam pentadbiran samada kerana kurang pakar dalam ilmu moden atau sengaja disisihkan demi kepentingan pemimpin manakala golongan kedua yang tidak faham agama akan menggunakan kepakaran yang ada dengan mengenepikan agama serta menuduh golongan yang faham agama sebagai kolot kerana hanya tahu menegur sahaja. Sepatutnya apabila wujudnya sistem pendidikan sepadu antara fardhu ‘ain dan fardhu kifayah maka negara bakal melahirkan umat yang bersatu atas asas Islam dan berusaha memajukan negara dalam membina tamadun rohani dan kebendaan secara serentak. Inilah yang membimbangkan kuffar dan anak didik mereka. Seorang sarjana Islam ( Dr Umar Farikh) telah mengingatkan bagaimana liciknya perancangan barat dalam menghancurkan perpaduan dan kefahaman umat Islam mengenai Islam melalui serangan dalam sistem pendidikan negara.

Katanya : “ Sesungguhnya dunia Timur milik umat Islam telah tumbang dari sudut kehidupan berpolitik dan juga berbangsa kerana institusi pendidikan asing yang terdapat di negara umat Islam telah memecah belahkan perpaduan anak watan menjadi berpuak-puak.  Oleh itu tidak hairanlah matlamat anak watan turut terbengkalai malah jalan yang boleh menyampaikan kepada matlamat tersebut semakin jauh. Pendidikan adalah satu-satunya kekuatan tarbiah yang agong yang tidak sepatutnya berada pada tangan orang asing yang mempermain-mainkannya dan memonopolinya untuk kepentingan kuffar. Sesungguhnya pendidikan negara yang bersepadu walau pun menghadapi pelbagai kekurangan adalah jauh lebih baik daripada sistem pendidikan asing yang saling menjauhkan umat Islam daripada Islam itu sendiri walau bagaimana canggih sekali pun”.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Firman Allah dalam ayat 28 surah Fathir :

إنما يخشى الله من عباده العلمــؤا إن الله عزيز غفور

Maksudnya : ….. Sesungguhnya golongan yang paling takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya ialah para ulama’. Sesungguhya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun

Kerosakan akhlak dan masalah jenayah yang semakin bertambah dalam negara  bukan disebabkan negara kita tidak maju dari segi kebendaan tetapi disebabkan terabainya tamadun insan. Pemimpin lebih bimbang kepada rakyat yang menegur kejahilan dan kesesatan mereka sahaja dengan menahan mereka di bawah ISA atas tuduhan pengganas yang membahayakan negara sedangkan perompak bersenjata semakin subur dalam membunuh pengawal keselamatan dan orang ramai. Apabila diminta agar dilaksanakan sistem perundangan Islam maka antara alasannya ialah rakyat kurang faham tetapi dalam masa yang sama sekolah agama rakyat diperangi habis-habisan. Pemimpin pernah membangkitkan bahawa sukar mahu laksanakan hudud kerana saksi yang tidak fasik payah ditemui pada masa kini sedangkan dalam masa yang sama pemimpin tidak mahu lahirnya lebih ramai ulama’ dalam negara. Malah beberapa perkara yang berlaku di sekolah kebangsaan sendiri yang berkaitan dengan Islam seperti berseluar panjang dan berbaju labuh turut ditegur oleh pemimpin yang mendakwa bahawa negara ini adalah negara Islam. Sepatutnya sistem pendidikan bersepadu mesti dilaksanakan segera bukannya memerangi pengajian agama secara membuta-tuli. Jangan sama sekali runtuhkan tamadun insan yang dibina atas asas agama yang dijaga sebelum ini atas alasan ia membantut kemajuan material. Ingatlah bahawa kemajuan kebendaan semata-mata akan membawa kehancuran di dunia dan akhirat. Tiada ulama’ yang anti kemajuan kebendaan tetapi ramai pemimpin jahil yang anti agama. Siapa benar dan siapa salah bukan akal dan nafsu sebagai ukuran sebaliknya wahyu al-Quran dan sunnah nabi sebagai neraca penimbang. Pilihlah samada mahu melaksanakan Islam atau memerangi Islam. Sedarlah bahawa kita diajar erti dosa dan pahala dan apakah syurga dan neraka.

Firman Allah dalam  ayat 32 surah Muhammad:

إن الذين كفروا وصدوا عن سبيل الله وشاقوا الرسول من بعد ماتبين لهم الهدى لن يضروا الله شيئا وسيحبط أعمــلهم

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir dan menghalangi manusia daripada jalan Allah serta memusuhi rasul setelah jelas kepada mereka petunjuk di mana mereka tidak dapat memberi mudharat kepada Allah sedikit pun. Dan Allah akan menghapuskan pahala segala amalan mereka

 بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: