• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3











  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,677,510 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 6,409 other followers

12. TAWADHU’ SAMBUT KEMENANGAN


 

 

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Renungilah firman Allah dalam ayat  18  dan  19   surah   Luqman  :

ولا تصعر خدك للناس ولا  تمش فى الأرض مرحا  إن الله لايحب كل مختال فخور  واقصد فى مشيك واغضض من صوتك  إن أنكر الأصوات لصوت الحمير

Maksudnya :  Dan   janganlah  kamu  memalingkan  muka  kamu  daripada  manusia  kerana  sombong  dan  janganlah  kamu  berjalan  di  muka  bumi  dengan  angkuh.  Sesungguhnya  Allah  tidak  menyukai  orang-orang  yang  sombong  lagi  membanggakan  diri.  Dan  sederhanakanlah  kamu  dalam  berjalan  dan  lunakkanlah  suaramu. Sesungguhnya  seburuk-buruk suara  ialah  suara  keldai.

            Kemenangan  merupakan  antara  nikmat  yang dianugerahkan  oleh  Allah  yang  sepatutnya  kita  sambut  dengan  penuh  kesyukuran  dengan  tidak  melampaui  batas-batas  yang  telah  ditetapkan  oleh  syarak.  Antara  sifat  yang  perlu  ada  dalam  diri  pejuang  Islam  dalam  menyambut  kemenangan  ini  ialah  sifat  tawadhu’  sebagaimana  yang  telah  diajar  oleh  Allah  melalui  nabi  Muhammad  s.a.w yang  sepatutnya  dicontohi  oleh  semua  umat  Islam.

            Tawadhu’  ini  mengikut  pendapat  beberapa  orang  tokoh  Islam  di antaranya  al-Fadhl  bin  ‘Iyadh  ketika  ditanya  apakah  erti  tawadhu’?. Jawabnya  :  Tunduk  kepada  kebenaran  dan  menerima  segala  anjuran  Allah  dan   rasulNya.  Al-Junaid  pula  berkata   bahawa  tawadhu’  ialah  merendahkan  diri  kepada  Khalik (pencipta)  dan  merasa  kemanisan  berhubung  dengan  Allah.  Kata al-Hasan pula bahawa  tawadhu’ adalah  tidak  adanya   perasaan  dalam  hati  seseorang  itu  melainkan  kemuliaan.

            Dari  sini  bolehlah  dirumuskan  bahawa  tawadhu’  adalah  ibarat  daripada  khusu’  hati  dan  rendah  diri  seluruh  anggota  dengan tunduk  patuh   kepada  allah.  Islam  tidak  menyukai  seseorang  muslim  itu  bersifat  takabbur  kerana  ia  akan   mengingkari  kebenaran  Allah  sebagaimana  firman  Allah  dalam  ayat  23  surah  an-Nahlu  : 

لاجرم أن الله يعلم ما يسرون وما يعلنون إنه لايحب المستكبرين

Maksudnya  :  Tidak diragukan lagi bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka zahirkan. Sesungguhnya  Allah  tidak   menyukai  orang-orang  yang  sombong.

            Begitu  juga  Allah  membenci  mereka  yang  menghina  diri   dan  merasa  serba  kekurangan   sedangkan  orang-orang  Islam  adalah  umat  yang  gagah  dan  kuat  lagi  mulia  dan  tinggi  di  sisi  Allah  sebagaimana  firman  Allah  dalam  ayat   8  surah  al-Munafiqun  :

يقولون لئن رجعنا إلى المدينة ليخرجن الأعز منها الأذل ولله العزة ولرسوله وللمؤمنين ولكن المنفقين لايعلمون

Maksudnya  :  Mereka berkata : “ Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, benar-benar orang yang kuat akan mengusir orang-orang yang lemah daripadanya “. Kekuatan  dan  kemuliaan  bagi  Allah, rasul  dan  orang-orang  mukmin tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Kita  dapat  lihat  bagaimana  Rasulullah  s.a.w  telah  memerintahkan  agar  sebarang  bentuk  kesyirikan  kepada  Allah  mestilah  dihapuskan  terlebih  dahulu  di sekitar  Ka’abah  apabila  baginda  memerintah  agar  para  sahabat  menghancurkan  berhala  ketika  mula-mula  masuk  ke kota Mekah  dalam  peristiwa  Pembukaan  Kota  Mekah  yang  gemilang. Baginda  bukannya  menyambut  kemenangan  yang  gemilang  itu  dengan  perayaan  yang  melekakan.

            Begitu  juga  dengan  peristiwa  penyerahan  anak  kunci  masjid  al-Aqsa  yang  berjaya  di buka oleh  tentera  Islam  pada  zaman  Sayyidina  Umar  al-Khottab.  Ketika  menuju  ke Palestin  Sayyidina  Umar  bergilir-gilir  dengan  khadamnya dalam  menaiki  kuda  tunggangan. Apabila  sampai  berhampiran  masjid   al-Aqsa  maka  ketika  itu  tiba  giliran  Sayyidina  Umar   menarik  kuda manakala  khadamnya  menunggangnya. Orang  ramai  yang  melihat  peristiwa  tersebut  terus  meminta  agar  Sayyidina  Umar  menggantikan  khadamnya  untuk  menunggang  kuda  tersebut demi menjaga  kedudukan  beliau  sebagai  khalifah  di hadapan  khalayak  ramai.  Lalu  Sayyidina  Umar  dengan  suaranya  yang  lantang  mengeluarkan  kata-katanya  yang  masyhur  :

نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما نبتغي العزة بغير ما أعزنا الله أذلنا الله

Maksudnya  :  Kita  adalah  suatu  kaum  yang  dimuliakan  oleh  Allah  dengan  Islam.   Selama  mana  kita  mencari  kemuliaan  yang  bukan  apa  yang  memuliakan  kita  dengannya   oleh Allah maka  kita  akan  mendapat  kehinaan  daripada  Allah..

            Kita  juga  pernah  menyaksikan  bagaimana  Sultan  Muhammad   al-Fateh  setelah  berjaya  membuka  kota  Konstantinapol  iaitu   dikenali  dengan  kota  Istanbul , Turki  sekarang  ini  di mana  beliau  telah  memasuki  sebuah  gereja  yang terbesar  pada  masa itu  yang  dinamakan  Sofia  lalu  menunaikan  solat  sunat   2  rakaat  tanda  kesyukuran.  Kemudian  beliau  menukarkan  gereja  tersebut  menjadi  masjid.

 

Sidang  Jumaat  yang  dihormati  sekalian,

            Orang-orang  yang  bersifat  tawadhu’  adalah  mereka  yang  dapat  melayakkan  dirinya  dalam  pelbagai  bidang. Samada  dalam  urusan  periibadi  mahu pun  urusan  kemasyarakatan.  Sifat  tawadhu’  bukan  beerti  seseorang  itu  lemah, merasa  hina  diri  atau  rendah  diri  terhadap  orang  atasn  atau  pun merasa  diri  kurang  berbanding  orang  lain . Ini  adalah  kerana  sifat seperti  itu  boleh  membawa  seseorang  kepada  sakit  jiwa  sedangkan  sifat  tawadhu’  yang  sebenar  adalah sifat  yang  mulia  dan  akhlak  pejuang  Islam  yang  mampu  menimbulkan  kekuatan  jiwa  dan  mental.

            Sebagaimana  kita  pernah  membaca  dalam  sejarah  Rasulullah  s.a.w  di mana  baginda  menjahit  kasut  dan  menampung  pakaiannya  sendiri  tetapi  dalam  masa  yang  sama  baginda  dapat  melaksanakan  urusan  rumahtangga  dan  kemasyarakatan  serta  kepimpinan  negara  dengan  baik  dan saksama.  Sekali pun  baginda  merupakan  seorang  pemimpin  negara  dan  ketua  agama  namun  baginda juga  melakukan  kerja-kerja  kecil  samada  berbentuk  peribadi  mahu pun  negara. 

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Sifat  tawadhu’  ini  bukanlah  menjatuhkan  martabat  pemimpin  kepada  kelas  bawahan  malah  sifat  inilah  yang  akan  meningkatkan  lagi  martabat  kepimpinan  yang  mana  akan  dihormati  oleh  setiap  lapisan  masyarakat.

            Tidak  syak  lagi  bahawa  sifat  tawadhu’  ini  adalah  suatu  sifat  yang  mulia   di  sisi  Allah  dan  dihormati  oleh  masyarakat  umum. Ianya  akan  melahirkan  rasa  kasih  sayang  antara  anggota  muslim, lemah-lembut dan bertimbang  rasa  terhadap  saudara  seagama, mudah  mesra  ketika  berbicara  serta  tidak  ada  rasa  bangga  diri  dan  sombong. Oleh  itu  sewajarnya  setiap  individu  muslim  bersifat  dengan  sifat  tawadhu’  kerana  ia  bukan  sahaja  sifat  yang  mulia  dan  disanjungi  oleh  masyarakat  tetapi ia  juga  sebagai  bekalan  utama  ke arah  perjuangan  menegakkan  syiar  Islam  di atas  muka  bumi  ini sebagaimana  yang  dikehendaki  oleh  Allah.Tanpa  sifat  tawadhu’  maka  seseorang  itu  tidak  mampu  menjalankan  usaha  dakwah  ke jalan  Allah  kerana  memang  fitrah  manusia  tidak  suka  kepada  orang-orang  yang  takabbur  bahkan  sifat  takabbur  itu  sendiri  akan  lebih  meliarkan  mereka  dari  jalan  Allah.

           

Renungilah  firman  Allah  dalam  ayat  63  surah  al-Furqan  :

وعباد الرحمن الذين يمشون على الأرض هونا وإذا خاطبهم الجــهلون قالوا سلــما

Maksudnya  :  Dan  hamba-hamba  Tuhan  yang  Maha  Penyayang itu  ialah  orang  yang  berjalan di atas  muka  bumi  dengan  rendah  diri  dan  apabila  orang-orang  jahil  menyapa  mereka, mereka  mengucapkan  kata-kata  yang  baik.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: