• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • Tulisan Terbaik

  • Arkib Khutbah

  • ekhutbah Audio MP3

  • Tetamu Online

  • Pengurusan Blog

123. GENERASI MUDA BERILMU UMAT MAJU

 

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 7-8 surah Yunus :

إن الذين لايرجون لقاءنا ورضوا بالحيــوة الدنيا واطمأنوا بها والذين هم عن ءايــتنا غــفلون . أولئك مأوئهم النار بما كانوا يكسبون

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan untuk menemui Kami (pada hari Akhirat untuk menerima balasan) dan yang redha dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengan kehidupan dunia dan orang-orang yang tidak mengendahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda kekuasaan) Kami. Orang-orang yang demikian keadaannya (di dunia) maka tempat tinggal mereka ialah neraka disebabkan oleh keengkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan

                Kita pada hari ini berada dalam zaman yang penuh dengan pelbagai ujian, cabaran dan fitnah terhadap agama. Kita sebagai umat Islam mestilah memiliki jatidiri yang kukuh dengan memperkuatkan keimanan, memperbanyakkan amalan soleh  serta istiqamah dalam memperjuangkan Islam agar diri kita tidak menjadi bahan mainan kepada musuh yang terdiri daripada hawa nafsu dalam diri, syaitan penggoda yang tidak pernah serik untuk merosakkan kita serta manusia yang tidak suka kepada Islam daripada golongan kuffar dan munafik. Kini kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang terbit daripada kalangan kita sendiri akibat kejahilan serta jauh daripada pengamalan terhadap suruhan agama. Sebagai contohnya marilah kita sama-sama renungi dan mengambil iktibar yang sebaiknya daripada sebuah hadis nabi yang berbunyi :

قال االرسول e  :لاتَقُوْمَ السَّاعّةُ حَتَّى يَكُوْنَ الوَلَدُ غَيْظًا وَالمَطَرُ قَيْظًا وَيفِيْضَ اللِّئَامِ فَيْضًا وَيَغِيْضَ الكِرَامِ غَيْضًا وَيَجْتَرِئ َالصَّغِيْرُ عَلَى الكَبِيْرِ وَاللَّئِيْمِ عَلَى الكَرِيْمِ      – رواه الطبراني فى الأوسط

Maksudnya : Tidak akan berlaku hari qiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibubapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang dan cuaca akan menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurangan orang yang baik, dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

            Melalui hadis tadi, Rasulullah s.a.w memberi ingatan bagaimana didikan terhadap anak-anak mesti dititiberatkan agar anak kita dapat lahir sebagai insan yang sentiasa patuh dan taat kepada ibubapa serta mampu mencurahkan bakti ketika keduanya masih hidup dan mampu berdoa setelah mereka meninggal dunia nanti. Tiada ilmu yang paling baik dan berkesan daripada melahirkan anak yang soleh melainkan ilmu agama yang khusus. Kebanyakan ibubapa hari ini tidak berkira tentang wang asalkan anak mereka berjaya dalam peperiksaan sedangkan dalam masa yang sama ramai ibubapa yang terlalu berkira bila mahu menambahkan ilmu agama dan tarbiah rohani kepada anak-anak sehingga akhirnya anak-anak hanya tahu mencari makan tetapi tidak tahu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah. Malah apa yang lebih malang anak-anak ini tidak lagi tahu atau menghirau tentang halal haram, dosa pahala dalam kehidupan. Akhirnya timbulnya masyarakat yang tidak lagi tunduk kepada Allah apatah lagi taat kepada ibubapa. Kita dapat lihat sendiri akibat kecuaian dalam mendidik anak-anak agar tunduk kepada arahan agama seperti  mendirikan sembahyang yang merupakan tiang agama telah menyebabkan lebih banyak penyakit masyarakat yang timbul. Kita merasa begitu gerun apabila di Terengganu sahaja jumlah pelajar yang tidak pandai sembahyang berjumlah lebih kurang 5 ribu orang. Bagaimana jika dicampur dengan negeri-negeri yang lain dan ditambah pula dengan golongan yang malas atau sembahyang bila terdesak sahaja. Bagaimana kita mahu melahirkan umat berjaya dari segi kebendaan dan rohani jika masyarakat Islam sendiri meruntuhkan tiang agamanya sedangkan Allah memberi jaminan bahawa sembahyang mampu menyelesaikan masalah kerosakan akhlak

إن الصلوة تنهى عن الفحشاء والمنكر

Maksudnya : ….Sesungguhnya sembahyang itu dapat mencegah daripada perkara yang keji dan mungkar…

               

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam  ayat 82 surah al-Isra’ :

وننزل من القرءان ما هو شفاء للناس ورحمة للمؤمنين ولايزيد الظــلمين إلا خسارا

Maksudnya : Dan Kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi mereka yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang zalim selain kerugian

            Umat Islam hanya berjaya mencapai kebahagiaan dan kemuliaan hidup di dunia dan akhirat dengan kembali melaksanakan isi kandungan al-Quran. Tanyalah diri kita berapa banyak ayat al-Quran yang kita dapat baca dan amalkan dalam masa sehari. Apabila kita sendiri menjauhkan diri daripada al-Quran dalam kehidupan seharian maka tiada ubat lain yang dapat membantu kita. Kita dapat lihat sendiri cara pemakaian anak-anak muda kita yang menjolok mata bukan untuk menyelesaikan masalah malah menambahkan masalah yang sedia ada. Berapa ramai ibubapa yang mempunyai anak-anak yang berpakaian tidak senonoh itu telah bertindak menegur dan melarang berbanding ibubapa yang hanya diam membisu malah yang lebih teruk turut menggalakkan anak-anak supaya berpakaian dengan cara yang bercanggah dengan al-Quran. Bermula dari segi pemakaian melarat kepada pergaulan bebas yang membawa kepada zina dan apa yang lebih malang bukan sedikit umat Islam menjadi pelacur. Kita baru-baru ini dikejutkan dengan kajian yang menunjukkan dalam negara kita ada 4000 orang pelacur kanak-kanak. Adakah kita hanya mampu menitiskan air mata bila mendengar masalah ini sekiranya kita sendiri tidak mengawal cara berpakaian dan pergaulan anak-anak kita sendiri. Berapa ramai anak-anak yang tidak diasuh dengan baik ini lari daripada rumah dan akhirnya terjebak dengan perbuatan yang tidak bermoral. Itu belum masuk masalah mat rempit yang bukan sahaja membahayakan keselamatan diri sendiri dan orang ramai malah berani melawan pihak keselamatan. Kita semua bermula daripada ibubapa, masyarakat sekitar dan kerajaan mestilah sama-sama bangkit dalam menangani masalah ini berasaskan panduan al-Quran bukannya hanya menjadi pemerhati sahaja

Firman Allah dalam ayat 30 surah as-Syura :

وما أصــبكم من مصيبة فبما كسبت أيديكم ويعفوا عن كثير

Maksudnya : Dan apa sahaja musibah yang menimpa maka ia disebabkan perbuatan tangan kamu sendiri dan Allah memaafkan sebahagian besar dari kesalahan kamu

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Masalah paling besar yang sedang kita hadapi sekarang ialah umat Islam hari semakin berani untuk murtad secara terang-terangan dan ditambah dengan penganut agama lain sudah tidak takut untuk memurtadkan umat Islam termasuk di negeri kita Kelantan. Kita mesti ambil berat jika adanya sesuatu kumpulan yang menyewa kedai dan bergerak dalam menarik anak-anak muda yang akhirnya bertindak memurtadkan mereka. Kita juga dapati adanya pensyarah-pensyarah pusat pengajian tinggi yang menjadi pendakyah dalam memurtadkan pelajar. Kita merasa kecewa apabila masalah murtad ini dipandang remeh oleh kerajaan malah orang yang melapor tentang masalah murtad akan disiasat segera sedangkan laporan tentang murtad tidak diambil tindakan sewajarnya. Kita tidak mahu slogan Islam Hadhari adalah mesra Kristian, Hindu dan lain-lain agama sedangkan umat Islam dianaktirikan. Bangkitlah wahai umat Islam! Kini telah tiba masanya untuk kita lebih bersungguh bergerak memerangi usaha musuh dalam memurtadkan umat Islam dan menggugat keistimewaan Islam sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan negara. Kita sudah tiada masa untuk bergurau dan bercakap kosong. Kita mesti memastikan aqidah kita dan saudara kita tidak digugat. Sayangilah anak cucu kita yang bakal meneruskan kehidupan. Biarlah keringat kita mengalir dan nyawa kita melayang asalkan anak cucu kita sebagai generasi masa depan dapat diselamatkan daripada fitnah murtad yang membahayakan di dunia dan akhirat.

Firman Allah dalam ayat  41 surah al-Ankabut :

مثل الذين اتخذوا من دون الله أولياء  كمثل العنكبوت اتخذت بيتا  وإن أوهن البيوت لبيت العنكبوت لو كانو يعلمون

Maksudnya : Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung selain daripada Allah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah jika mereka  mengetahui

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 

NGO Islam minta Kabinet kaji semula status anak anut agama asal

       
 
Friday, 24 April 2009 18:42
KUALA LUMPUR –  Kira-kira 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam hari ini membantah dan meminta Kabinet mengkaji semula keputusan jemaah menteri berhubung status anak-anak kekal menganut agama asal meskipun salah seorang ibu atau bapa memeluk agama lain.

Mereka mendakwa keputusan itu dibuat tanpa mengambil kira undang-undang sedia ada dan pandangan pihak-pihak yang berkenaan.Antara NGO Islam yang hadir ialah, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Alliance Coordinating Committee of Islam (Accin), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Muafakat dan Khalifah Institute, Malaysian Chinese Muslim Association (Macma).

 

“Kami menegaskan apa-apa cadangan perubahan yang berkaitan mesti mengambilkira undang-undang yang sedia ada dan pandangan semua pihak yang berkenaan.

“Proses ini harus melibatkan perbincangan yang menyeluruh dan lengkap serta tidak terlalu reaktif kepada tekanan mana-mana pihak,”kata Pengerusi Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Mohamad Isa Ralip dalam satu kenyataan bersama pertubuhan-pertubuhan bukan Islam yang dibacakan di Sekteriat PGSM di sini hari ini.

Semalam, Kabinet membuat keputusan bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata keputusan itu adalah antara penyelesaian jangka panjang yang dicapai oleh Kabinet semalam memandangkan lebih banyak kes seperti yang melibatkan Mohd Ridzuan Abdullah dan isterinya Indra Gandhi, dijangka muncul pada masa akan datang.

Mohd Ridzuan, atau Patmanathan a/l Krishnan, 40, bekas penganut Hindu, yang kini memeluk Islam, dilaporkan telah menukar agama anaknya Tevi Darsiny, 12, Karan Dinesh, 11, dan Prasana Diksa, 1 kepada Islam pada 12 April serta memohon hak penjagaan terhadap mereka di Mahkamah Syariah walaupun emak mereka masih beragama Hindu.

Menurut Mohamad Isa, isu tersebut perlu ditangani dengan segera kerana ia dibimbangi tidak berlaku adil kepada semua pihak yang terlibat.

“Mengambil kira sensitiviti yang tinggi dengan kes-kes seupama ini. Kami menyeru semua pihak menangani isu ini secara bersama dan saksama.

“Kami pertubuhan-pertubuhan Islam sekali lagi menyatakan kesediaan untuk terlibat dalam proses ini,”katanya.

Jelasnya, walaupun tiada peruntukan dalam Undang-undang Syariah berkaitan isu tersebut namun mengikut kaedah fiqyah (hubungan nasab), agama perlu dipertahankan.

“Apabila seseorang itu telah memeluk Islam maka agama yang baru dianuti oleh seseorang itu perlu dipertahankan. Ini secara tidak langsung menunjukkan Islam mahu berlaku adil kepada semua,”katanya.

Menurut Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Yusri Mohamad berkata, keputusan Kabinet semalam seolah-olah ia telah diiktiraf sebagai undang-undang sedangkan ia belum diwartakan sebagai undang-undang.

“Kabinet harus mengambilkira pandangan semua pihak dalam aspek-aspek yang melibatkan hukum syarak. Mereka (Kabinet) sepatutnya mendapatkan pandangan daripada Mufti,pakar-pakar perundangan Islam dan pandangan Sultan perlu diambilkira terlebih dahulu.

“Kami bimbang ia akan dimanipulasi oleh pihak-pihak lain. Dalam perlembagaan sendiri ada menyatakan berhubung isu agama, bahawa agama anak itu ditentukan oleh ibu atau bapa,”katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Pembela Islam (PPI), Zainul Rijal Abu Bakar berkata keputusan jemaah menteri telah melangkaui keputusan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

“Perkara ini telah disebut dalam perkara 12.4 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa salah seorang ibu atau bapa yang memeluk Islam boleh menentukan agama anaknya.

“Keputusan Kabinet juga boleh dilihat subjudis terhadap kes yang masih belum diputuskan oleh mahkamah,”katanya.

Timbalan Pengerusi Persatuan Peguam Muslim, Mohamad Burok pula menyifatkan keputusan Kabinet semalam telah mengelirukan rakyat sedangkan Kabinet tidak mempunyai kuasa melaksanakan undang-undang.

“Kenyataan Kabinet semalam memperlihatkan seolah-seolah mereka mempunyai kuasa undang-undang.

“Ia tidak ubah apa-apa kecuali jika ada undang-undang dipinda di Parlimen barulah ia diterima. Jadi ini menggemparkan rakyat. Keputusan Kabinet semalam juga bercanggah dengan undang-undang syariah,”katanya.

Menurut Setiausaha Accin, Sabariah Abdullah, keputusan Kabinet semalam telah membuatkan orang Islam menjadi cemas kerana kenyataan tersebut belum digazetkan sebagai undang-undang.

“Kita memohon supaya setiap masalah agama dan kaum dianalisis dengan betul dan dirujuk sebelum apa-apa kenyataan dibuat. Kita harap perkara agama tidak diekploitasi oleh mana-mana pihak,”katanya.

Presiden Dakwah dan Kebajikan Saudara Baru India SeMalaysia (Al-Hidayah) Abdul Latif Sathrean Abdullah berkata kerajaan perlu menangani masalah tersebut segera.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pihaknya bersama NGO lain akan menghantar kerajaan memorandum untuk membantah keputusan tersebut jika kerajaan tidak langkah segera untuk menangani masalah tersebut. – mStar Online

Kemenangan DiRai Islam DiSanjungi

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam  ayat 76 surah an-Nisa’:

الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ ۖ إِنَّ كَيْدَالشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا

Maksudnya : Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah dan orang-orang yang kafir berperang di jalan Toghut, oleh itu perangilah kawan-kawan syaitan itu kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah

            Kita masih berada dalam bulan Rabiul Akhir yang turut mencatatkan beberapa peristiwa penting dalam sejarah Islam. Antaranya berlakunya Peperangan Hittin pada bulan Rabiulakhir tahun 583 Hijrah bersamaan Julai tahun 1187 Masihi di mana tentera Islam di bawah pimpinan Solahuddin Al-Ayubi telah berkumpul bagi menyerang secara besar-besaran di persisiran pantai berhampiran dengan Tasik Tiberias, Palestin manakala tentera Salib pula berkumpul di sebelah Barat. Pasukan tentera perisik daripada angkatan tentera Islam telah berjaya mengikuti perjalanan tentera musuh dan tempat-tempat perkhemahan mereka. Lalu angkatan tentera Solahuddin  al-Ayyubi membuat kepungan terhadap tentera Salib pada waktu malam sehinggalah terbit cahaya pagi di mana pada pagi tersebut memang ternyata berlaku peperangan yang sangat besar berhampiran dengan kampung Hittin di sebelah barat Tasik Tiberias dan di sebelah timur bandar Akko dan Haifa. Pada masa tersebut tentera Salib yang begitu ramai berjaya ditumpaskan kesemuanya di mana tentera Salib yang tinggal hanyalah seramai 150 orang sahaja yang kemudiannya mereka semua dijadikan tawanan termasuk pembesar-pembesar dan pemimpin-pemimpin tentera Salib. Peperangan Hittin adalah merupakan mercu tanda kemenangan Islam yang sangat gemilang dalam sejarah Islam dan ia boleh dijadikan penyuntik semangat kepada  pejuang Islam pada hari ini semua dalam membebaskan Masjid Aqsa daripada cengkaman zionis yahudi. Tiada erti perdamaian bagi zionis yahudi kerana mereka hanya mampu diusir daripada bumi wakaf milik umat Islam dengan semangat jihad yang tinggi dan menuntut kepada mengalirnya darah para syuhada’. Umat Islam silam memerdekakan bumi Palestin dengan darah mereka maka kita pada hari ini pun tiada jalan lain untuk mengembalikan semula bumi berkat milik umat Islam kecuali dengan darah jihad. Sahutlah panggilan jihad yang pernah dilaungkan oleh Rasulullah s.a.w melalui suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim :

قال الرسول e  : وَاعْلَمُوْا أِن َّالجَنَّةَ تَحْتَ ظِلاَلِ السُّيُوْفِ

Maksudnya: Ketahuilah bahawa Syurga itu di bawah bayangan libasan mata pedang

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Peristiwa bersejarah kedua yang berlaku pada bulan Rabiul Akhir  ialah permulaan kepada terdirinya Kerajaan Islam Umawiyah di Andalusia atau Sepanyol di mana selepas kerajaan Umawi mengalami kekalahan di Syam, pemerintah kerajaan Umawi pada masa itu iaitu Abdul Rahman Ad-Dakhil masih lagi sempat melarikan diri dari Syam menuju ke Mesir kemudian ke Morocco Jauh. Setelah itu beliau menyeberangi laut untuk pergi ke Andalusia di dalam perjalanan yang sangat menakjubkan. Abdul Rahman Ad-Dakhil mempunyai hubungan nasab keturunan yang sampai kepada Muawiyah bin Abi Sufian di mana nasab inilah merupakan sandaran beliau di dalam menentukan bahawa beliau berhak memegang teraju pemerintahan. Beliau dapat membentuk angkatan tentera yang kuat dengan bantuan beberapa kabilah Yaman yang berhijrah ke Andalusia sehinggalah beliau berjaya mengalahkan kabilah Mudhar yang berkuasa di Andalusia pada masa tersebut di dalam peperangan yang besar yang dinamakan Al-Musarrah pada tahun 138 Hijrah. Kejayaan ini membolehkan Abdul Rahman Ad-Dakhil memasuki Cordoba untuk memerintah Andalusia selama 34 hun di mana tahun-tahun ini merupakan tahun-tahun yang sangat agung bagi pemerintahan kerajaan Umawi di Andalusia atau Sepanyol. Hingga hari ini kesan kemajuan tamadun Islam yang pernah dibangunkan oleh kerajaan Islam terus dapat dilihat walau pun pihak kerajaan Sepanyol cuba menghapuskan tanda-tanda yang boleh membangkitkan ruh Islam dalam bangunan-bangunan tinggalan sejarah itu. Berdirinya kerajaan Islam di Andalusia membolehkan Islam tersebar luas di bumi Eropah yang ketika itu masih ketinggalan dalam banyak sudut. Islam menukar wajah Eropah daripada gelap jahiliah kepada cahaya iman, zalimnya sistem manusia kepada adilnya sistem Islam. Peristiwa ini mengajar kita bagaimana umat Islam mesti bersungguh dalam menyebar sistem Islam walau terpaksa merantau meninggalkan tanahair tercinta kerana Islam bukan hanya terbatas kepada negara tertentu malah Islam didatangkan untuk seluruh dunia sesuai dengan pengutusan nabi Muhammad s.a.w itu sendiri bukan untuk bangsa arab sahaja tetapi untuk sekalian umat manusia.

Firman Allah dalam ayat 107 surah al-Anbiya’ :

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ 

Maksudnya : Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 1-3 surah an-Nasr :

إِذَا جَآءَ نَصْرُ اللهِ وَالفَتْحُ وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُوْنَ فِى دِيْنِ اللهِ أَفْوَاجًا فَسَبِّحْ ِبحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا

Maksudnya : Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah),Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai, Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia Amat menerima taubat.

            Perjuangan Islam menempuhi pelbagai ujian dan keputusan. Ia melalui pasang surut, menang kalah yang menjadi sunnah perjuangan. Umat Islam diajar supaya bersyukur bila menyambut kemenangan dan bersabar bila diuji dengan kekalahan kerana kedua-duanya bagi umat Islam bakal menerima ganjaran besar di akhirat nanti. Tiada istilah menang jadi arang, kalah jadi abu bagi pejuang yang memperjuangkan Islam kerana perjuangan Islam adalah perjuangan yang suci tuntutan agama bukannya perjuangan yang berlandaskan hawa nafsu. Melalui surah an-Nasr yang dibaca tadi memberi banyak pengajaran penting kepada kita dalam menyambut kemenangan Islam. Kita diajar bahawa sesuatu kemenangan itu adalah anugerah Allah di mana kita hanya mampu berusaha dan mengatur pelbagai strategi tetapi yang menentukan kalah dan menang ialah Allah. Oleh itu jangan takabbur bila dianugerahkan kemenangan sebaliknya kita diminta agar banyakkan bertasbih menyucikan Allah daripada sebarang sifat kekurangan serta banyak memuji Allah di atas bantuan yang diberikan sepanjang memperjuangkan Islam. Semasa berjuang hati kita tidak boleh lalai daripada mengingati Allah, begitulah juga apabila dianugerahkan kemenangan maka jangan sesekali kita lupa kepada Allah. Kita turut diminta agak memperbanyakkan istighfar memohon keampunan Allah bila meraih kemenangan kerana sepanjang berjuang sudah pasti adanya salah silap yang kita lakukan samada kepada Allah seperti perasaan putus asa setelah begitu kuat berjuang tetapi belum diberikan kemenangan atau kesilapan kita sesama manusia melalui kata-kata mahu pun perbuatan. Betapa indahnya ajaran dan adab mulia yang dianjurkan oleh Islam sehingga Islam dilihat sebagai agama perpaduan dan kasih sayang bukannya agama yang menganjurkan perpecahan dan permusuhan

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

            Tugas yang paling besar apabila dianugerahkan kemenangan ialah mengisi kemenangan dengan Islam. Tunjukkan kepada dunia bagaimana cantik dan adilnya sistem Islam terutama ketika dunia sedang mencari suatu sistem yang terbaik dalam menangani masalah ekonomi, sosial yang semakin parah. Pemimpin mesti menunjukkan bagaimana Islam memerangi rasuah, pecah amanah sehingga kepercayaan orang bukan Islam terhadap pemimpin Islam semakin bertambah. Hidupkanlah al-Quran dalam kehidupan seharian sehingga orang bukan Islam turut terbuka hati mereka untuk mengkaji apa keistimewaan al-Quran. Buangkanlah benteng yang memisahkan Islam daripada orang bukan Islam melalui pengamalan kita terhadap isi al-Quran. Dunia Eropah menyaksikan betapa ramai penduduknya memeluk Islam selepas tragedi 11 September apabila mereka mula mengkaji Islam dan al-Quran. Islam untuk semua bukan untuk sesuatu bangsa tertentu sahaja. Sejarah pernah menyaksikan bagaimana orang Kristian meminta pertolongan daripada tentera Islam daripada penindasan pemimpin mereka sehingga menjadi salah suatu faktor kepada pembukaan Turki. Begitu juga penduduk di suatu negeri hujung negara China pernah meminta Khilafah Islamiah Turki untuk menghantar wakil bagi menjadi pemimpin negara mereka kerana mahu membebaskan diri daripada kezaliman dan yakin dengan keadilan pemimpin serta sistem Islam. Sejarah ini boleh berulang sekiranya kita mampu menunjukkan contoh terbaik kepada orang bukan Islam tentang keadilan Islam. Rasa takut dan gerun orang bukan Islam terhadap Islam akan berkurangan malah hilang bila contoh ini mampu kita sebar luaskan. Inilah indahnya bila ia dilaksana di atas bumi nyata. Islamlah nescaya kita selamat dunia dan akhirat.

Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Soff :

يُرِيدُونَ لِيُطْفِؤُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ 

Maksudnya : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

61. PERANAN AGAMA DALAM PEMBANGUNAN NEGARA

 

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 133 surah al-Baqarah :

أم كنتم شهداء  إذ حضر يعقوب الموت إذ قال لبنيه ما تعبدون من بعدي قالوا نعبد إلهك وإله ءابائك إبرهــم  وإسمـــعيل وإسحــق إلها وحدا ونحن له مسلمون

Maksudnya : Adakah kamu hadir ketika nabi Yaakub didatangi tanda-tanda maut di mana baginda bertanya kepada anak-anaknya : “ Apakah yang kamu akan sembah selepas kewafatanku ini?”. Lalu mereka menjawab : “ Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk moyang kami iaitu Allah Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepadaNya”.

                Manusia dan agama tidak dapat dipisahkan dalam menjamin kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat. Allah telah mengutuskan kepada setiap bangsa seorang nabi atau rasul bagi memberi tunjuk ajar kepada umat manusia tentang kewajipan yang perlu dipatuhi dan larangan yang mesti dihindari agar kehidupan mereka diredhai oleh Allah. Para nabi dan rasul tidak meninggalkan harta benda yang banyak untuk diwarisi oleh umat manusia sebaliknya mereka meninggalkan ilmu agama yang mengukuhkan aqidah Islam dalam memastikan keluarga terdekat dan kaum mereka terus menyembah Allah selepas kewafatan mereka. Jika para nabi dan rasul meninggalkan harta maka ia pasti akan kehabisan dan umatnya akan menjadi lebih kufur kepada Allah serta saling berperang kerana berebutkan harta kekayaan dunia. Sebaliknya dengan meninggalkan ilmu agama maka ilmu dan agama terus berkembang sehingga umatnya terus berada di bawah suluhan wahyu Allah dan sentiasa berhati-hati dalam mencari harta kekayaan dunia agar tidak terlibat dengan sebarang penindasan terhadap orang lain dan juga tidak terlibat dengan sumber haram seperti riba, judi, rasuah dan sebagainya.

            Barat walau pun dipenuhi dengan pelbagai kejayaan dalam mencapai kegemilangan tamadun kebendaan namu mereka tidak dapat menafikan peranan agama dalam mengisi jiwa manusia. Jiwa manusia yang dijauhkan daripada pengaruh agama kebanyakannya tidak lebih daripada bangkai bernyawa yang saling menguasai antara satu sama lain. Si kuat dan kaya sentiasa menggunakan pengaruh yang ada dalam memaksa si lemah untuk terus menjadi hamba abdi dalam menambahkan kekayaan yang ada tanpa memikirkan perasaan kemanusiaan yang ada dalam setiap jiwa manusia. Manakala si lemah dan miskin terus tunduk walau pun hatinya terus merintih sayu mengharap belas kasihan tuan mereka sehingga mereka tanpa kerelaan berperanan seumpama robot yang berkerja siang malam dalam memberikan kekayaan kepada tuan mereka. Hasil yang diperolehi oleh si kaya tidak tersebar kepada orang yang susah sebaliknya digunakan untuk memuaskan nafsu serakah sehingga kekayaan yang dicapai tidak pernah mencukupi. Akhirnya si kaya sentiasa berfikir bagaimana cara untuk mendapatkan keuntungan yang lebih banyak termasuk mengorbankan orang lain. Inilah yang menyebabkan negara barat yang dianggap maju tetapi mereka tidak mampu menangani masalah jenayah dan kemanusiaan terhadap rakyat mereka sendiri. Contohnya Amerika Syarikat sendiri tidak mampu menangani masalah jenayah yang semakin bertambah dalam negara serta masalah rakyatnya yang tiada rumah yang semakin tinggi disamping masalah yang lain tetapi Amerika cuba menutup kegagalan mereka itu  dengan menumpukan kepada dasar luar seperti serangan terhadap negara lain dengan matlamat menjajah dan mengaut keuntungan hasil serangan dan pembunuhan termasuk di Iraq pada hari ini. Inilah bahayanya apabila kemajuan kebendaan dipisahkan daripada pengaruh agama yang menyebabkan manusia rosak dan merosakkan pula orang lain.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Tumpuan umat Islam untuk mencapai kemajuan kebendaan tidak pernah ditegah oleh agama asalkan peranan agama mesti diutamakan. Negara umat Islam jangan hanya melihat kejayaan tamadun kebendaan barat sahaja tetapi kita juga mesti melihat kepada kegagalan tamadun barat dalam mendidik jiwa manusia sehingga runtuhnya tamadun rohani yang lebih penting dalam menjamin keamanan sejagat. Umat Islam mesti meletakkan aqidah dahulu sebelum ekonomi jangan berbuat sebaliknya kerana kita bakal hancur sebagaimana hancurnya barat daripada segi kemajuan rohani. Kita jangan nilaikan sesuatu ilmu itu mengikut hasil gaji yang diperolehi oleh pemiliknya seperti seorang pakar perubatan dianggap lebih berjasa dan berharga berbanding ulama’ yang menjaga kesucian agama atau seorang pakar membina bangunan tinggi dipandang lebih mulia berbanding golongan agama yang berjaya membina kemanusia dalam diri manusia. Apa yang kita perlu nilaikan ialah setiap diri umat Islam mesti berperanan dalam membina tamadun rohani dan kebendaan secara serentak sehingga bebanan doktor di hospital dalam mengubati penyakit ketagih arak dan dadah semakin kurang kerana ulama’ telah diberi kebebasan yang sewajarnya dalam memberi ubat pencegah berbentuk ilmu agama dan pelaksanaan perundangan Islam agar umat manusia dijauhkan lebih awal daripada 2 penyakit yang merbahaya tadi. Bangunan tinggi yang dibina oleh pakarnya dapat diselamatkan daripada dirompak dan diruntuhkan oleh pengganas kerana golongan agama berperanan membina sifat kemanusian dalam jiwa setiap warganegara sehingga lahirnya suatu generasi yang menjaga keamanan menurut ilmu agama bukannya mengikut hawa nafsu. Jika kita menolak peranan agama dalam membina kemajuan negara atau pun ilmu agama hanya dipandang sebagai sesuatu yang kecil dan kurang berharga berbanding ilmu moden yang lain maka kita akan melihat bagaimana akan runtuhnya tamadun rohani di negara umat Islam disamping tidak tercapainya kemajuan kebendaan yang dikejar sehingga umat Islam terus mundur dan ketinggalan dalam negara mereka sendiri. Ingatlah maksud sabda nabi s.a.w dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari :  Sesungguhnya dari tanda-tanda qiamat ialah diangkatkan ilmu, merebaknya kejahilan, arak diminum dan zina berleluasa.

           

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Dalam mengejar kemajuan kebendaan maka kita dilarang sama sekali mengorbankan peranan besar yang sepatutnya dimainkan oleh agama. Tindakan mengorbankan pusat pengajian agama termasuk sekolah agama rakyat seterusnya sekolah agama swasta di negara ini mesti diambil perhatian yang sewajarnya oleh umat Islam. Kita mesti bersungguh-sungguh dalam memberi peringatan kepada pemimpin yang telah mengkhianati agama secara jelas dan terang tetapi dengan menggunakan seluruh media yang dikuasai maka pemimpin mengatakan bahawa tujuan menghancurkan sekolah agama adalah bagi memastikan kemajuan negara dapat dicapai dengan jaya sedangkan jika sekolah agama terus hidup maka ia akan membantut kemajuan. Mereka lupa bagaimana hasil kekayaan negara ini telah banyak disalah gunakan sehingga menimbulkan hutang negara yang begitu banyak. Ini membawa kepada tunduknya kita kepada kehendak negara barat kuffar untuk terus menjajah negara ini. Perkara ini semua bukan disebabkan terlalu ramai pelajar yang belajar agama sebaliknya kerana pemimpin bertindak membuang peranan agama dalam pemerintahan. Kemajuan negara boleh dicapai dengan syarat pemimpin dan negara ini kembali kepada seluruh sistem Islam bukannya menghancurkan pengajian agama. Ingatlah betapa bahayanya jika pemimpin dan rakyat hanya tahu mengejar dunia dengan mengenepikan agama kerana jahilnya mereka terhadap Islam berbanding dengan golongan yang belajar agama tetapi tidak mahu mengejar kemewahan dunia yang ada. Pemimpin yang jahil hanya nampak bahawa agama akan menyekat kepada kemajuan kerana setiap tindakan mereka yang bercanggah dengan agama akan ditentang oleh mereka yang faham agama. Mereka tidak sedar bahawa orang jahil yang mengejar dunia tidak pernah puas hati dengan kekayaan yang ada sebaliknya terus melakukan apa sahaja dalam mengaut keuntungan tanpa mengira dosa pahala, syurga neraka. Mereka sentiasa merasa miskin walau pun telah mempunyai mahligai mewah, harta bertimbun serta sanggup menggunakan cara yang haram dalam mencari kekayaan.

Firman Allah dalam ayat 268 surah al-Baqarah :

الشيطــن يعدكم الفقر ويأمركم بالفحشاء والله يعدكم مغفرة منه وفضلا والله وسع عليم

Maksudnya : Syaitan menakut-nakutkan kamu dengan kemiskinan  dan menggalakkan kamu berbuat kejahatan sedangkan Allah menjanjikan untukmu keampunan daripadaNya dan  kurniaan. Dan Allah Maha Luas kurniaan lagi Maha Mengetahui

         

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Kedatangan Islam ke negara ini mengikut catatan sejarahnya agak mudah tanpa berlakunya pertumpahan darah iaitu apabila pedagang Islam berjaya mengIslamkan raja Melaka maka seluruh rakyat jelata turut memeluk Islam. Oleh itu nikmat Islam yang masuk secara mudah ke negara ini mesti dipertahankan walau dengan apa cara sekali pun. Jangan pula kita mudah alpa dan lupa sehingga negara ini menjadi kufur semula dengan dijadikan negara sekularisme penuh sebagaimana yang telah berlaku di Turki melalui tindakan pemimpin yang mengaku Islam tetapi lebih banyak mengorbankan kepentingan Islam demi mencapai kemewahan dan kekuasaan dunia daripada bertindak menjaga kesucian agama dan melaksanakan seluruh sistem Islam dalam negara.

Firman Allah dalam  ayat 217 surah al-Baqarah:

ولا يزالزن يقاتلونكم حتى يردوكم عن دينكم إن استطاعوا ومن يرتدد منكم عن دينه فيمت وهو كافر فأولئك حبطت أعمالهم فى الدنيا والآخرة  وأولئك أصحــب النار هم فيها خــلدون

Maksudnya : Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka mahu memalingkan kamu daripada agama kamu kalau mereka sanggup melakukan demikian itu. Dan sesiapa di antara kamu yang murtad daripada agamanya Islam lalu dia mati sedangkan dia tetap kafir maka mereka merupakan orang yang rosak binasa amalannya yang baik di dunia dan akhirat dan mereka itulah ahli neraka di mana mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

 بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

103. TAMADUN ISLAM DIJULANG TAMADUN BARAT DIBUANG

 

                                               

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 6 surah al-An’am :

ألم يروا كم أهلكنا من قبلهم من قرن مكنـهم فى الأرض مالم نمكن لكم وأرسلنا السماء عليهم مدرارا وجعلنا الأنهــر  تجري من تحتهم فأهلكنــهم بذنوبهم وأنشأنا من بعدهم قرنا ءاخرين

Maksudnya:  Apakah mereka tidak memerhatikan berapa banyak umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka di mana Kami telah meneguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu. Dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya serta Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka. Kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka sendiri dan Kami ciptakan sesudah mereka umat yang lain.

            Al-Quran telah menyifatkan beberapa tamadun sebagai melampau dan membawa kerosakan kerana ia berdiri di atas asas dan lambang kebendaan semata-mata serta bermegah dengan kilang dan bangunan pencakar langit sedangkan sifat kemanusiaan dan ruh agama diketepikan. Al-Quran telah menerangkan kepada kita bagaimana ada tamadun yang dihancurkan akibat penentangan terhadap ayat Allah S.W.T dan para rasulNya. Ada tamadun yang hancur akibat rakyat terlalu mengikut penguasa zalim yang hidup berfoya-foya serta melakukan kerosakan di bumi tanpa melakukan pembaikan. Ada umat yang dihancurkan akibat terlalu bangga dengan pengetahuan kebendaan sehingga berpaling daripada wahyu Allah S.W.T. Tidak kurang umat yang dimusnahkan akibat terpesona dengan kekuatan kebendaan dan kekayaan harta sehingga tidak menghiraukan lagi kemurkaan Allah S.W.T. Banyak juga yang dihancurkan akibat kezaliman dan rasa bongkak yang melampaui batas khususnya terhadap golongan miskin dan lemah. Ada umat yang dimusnahkan akibat melakukan perbuatan keji dan mengikut hawa nafsu. Tidak ketinggalan umat yang dihancurkan akibat meluaskan kerosakan dan kemungkaran di bumi secara terang-terangan tanpa ada usaha untuk menghentikannya. Segala yang telah diberitahu oleh Allah S.W.T melalui al-Quran bukan setakat untuk dijadikan pengetahuan sahaja tetapi apa yang lebih penting ialah berusaha ke arah membina suatu tamadun bersepadu berasaskan Islam dengan menghindari sebarang bentuk kesesatan dan kemungkaran yang bakal mengundang laknat dan azab Allah S.W.T

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

                Kita sebagai umat Islam yang mempunyai pegangan dan dasar yang kukuh wajib mengetahui dan mengakui tentang banyak kelemahan tamadun kebendaan barat yang diagungkan selama ini dalam memberi kebahagiaan dan ketenangan kepada umat manusia walau pun kita tidak nafikan tentang beberapa kebaikan yang terhasil daripadanya. Walau pun tamadun moden hari ini yang dinisbahkan kepada barat telah memberikan kekuatan dan kemudahan kebendaan kepada manusia dengan apa yang belum pernah dimiliki oleh tamadun sebelum ini. Namun ia gagal mengambil kira aspek fitrah kejadian manusia yang telah diletakkan oleh Allah S.W.T dalam diri manusia itu sendiri. Ia tidak menjaga ciri-ciri tersendiri bagi diri manusia serta tidak mempedulikan masa depan dan nasib umat manusia sehingga symbol tamadun dan kemajuan yang dicapai itu sendiri menjadi ancaman kepada manusia seumpama pembinaan senjata canggih akhirnya telah mengancam keselamatan dan keamanan dunia di mana kuasa kuat menekan dan menindas negara lemah disamping peperangan dijadikan suatu kemestian bagi memastikan senjata yang dibina dapat dipasarkan. Ini semua melahirkan keganasan sebagaimana di Palestin, Iraq, Afghanistan dan sebagainya di mana umat Islam menjadi mangsa kemajuan tamadun kebendaan yang hilang sifat kemanusiaannya.

            Kelemahan tamadun kebendaan barat ini disebabkan ia tidak mengenal Allah serta menjauhkan Allah S.W.T daripada pemerintahan dalam kerajaanNya sehingga tamadun ini berperanan seolah-olah ia adalah penguasa agung dunia ini Penguasa kepada tamadun barat turut merasakan bahawa mereka lebih unggul daripada bangsa lain serta  berpendapat bahawa mereka diciptakan untuk memimpin, memerintah dan menguasai bangsa lain. Sedangkan bangsa lain dilihat sebagai golongan yang diciptakan untuk menjadi hamba abdi dan tunduk kepada mereka.  Tamadun ini mengagungkan kebendaan disamping memandang remeh terhadap kerohanian. Kemajuan hanya diukur dengan jumlah terbanyak kepada penghasilan produk dan perkhidmatan, juga kadar yang paling maksima dalam memenuhi kehendak nafsu syahwat walau pun terpaksa mengorbankan nilai murni dan akhlak. Tidak hairanlah tamadun ini ruhnya kosong meskipun jasadnya besar, cahayanya padam sekali pun bara apinya tetap ada. Akhirnya wujud dunia tanpa agama, ilmu tanpa iman dan manusia tanpa akhlak.

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

            Umat manusia begitu memerlukan suatu tamadun yang memiliki misi dan matlamat yang berbeza daripada misi dan matlamat tamadun barat yang bertunjangkan 2 aliran iaitu Kapitalisme dan Komunisme di mana kedua-duanya adalah berasal daripada sumber yang sama iaitu fahaman kebendaan yang berubah-rubah tanpa pendirian tetap yang merupakan pohon yang terlaknat dalam al-Quran, Injil dan Taurat. Kita begitu memerlukan suatu tamadun yang dapat mengembalikan iman kita kepada Allah S.W.T dan ajaran rasulNya di mana tamadun idaman ini dapat meniupkan kembali ruh kemanusiaan dan menjadikan hidup kita lebih bermakna di dunia dan akhirat. Kita berhajat kepada suatu tamadun baru yang meniupkan ruh agama tanpa menghilangkan ilmu pengetahuan, memberi cahaya iman tanpa melenyapkan penggunaan akal, menanam sifat kerohanian tanpa menghalang kebendaan, menitikberatkan akhirat tanpa mengenepikan dunia, menegakkan kebenaran tanpa menyisihkan kekuatan serta menyuburkan akhlak mulia tanpa merampas erti kebebasan sebenar manusia. Dunia begitu merindukan kepada suatu tamadun yang dapat menghubungkan antara langit dan bumi di mana nilai-nilai Rabbani serta kepentingan kemanusiaan saling berkait rapat antara satu sama lain, antara akal fikiran dan hati yang beriman saling lengkap melengkapi di dalamnya. Lantas umat manusia mampu melangkah maju di dalam tamadun yang seimbang ini berasaskan agama dengan suluhan pelita wahyu Ilahiah dan cahaya fikiran manusia yang terkawal di mana kedua-duanya ini adalah kurniaan daripada Allah S.W.T kepada umat manusia. Bumi yang subur apabila ditanam dengan benih yang elok akan mengeluarkan suatu hasil yang baik. Begitulah tamadun yang dibina atas asas agama akan menghasilkan umat yang maju dari sudut kebendaan dan maju juga dari sudut kemanusiaan dan akhlak sehingga bumi dilimpahkan dengan nikmat zahir yang mampu dilihat dan ketenangan jiwa yang dirasai dalam hati sanubari disamping mencapai matlamat yang lebih tinggi iaitu keredhaan Allah.

 Firman Allah S.W.T dalam ayat 58 surah al-A’raf :

والبلد الطيب يخرج نباته بإذن ربه والذي خبث لايخرج إلا نكدا   كذلك نصرف الأيــت لقوم يشكرون

Maksudnya : Dan tanah yang baik akan mengeluarkan tanaman yang subur dengan izin Allah S.W.T dan tanah yang tidak baik pula tidak mengeluarkan hasil melainkan tanaman yang bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kekuasaan) Kami dengan pelbagai cara bagi mereka yang bersyukur

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

                Melihat kepada perbezaan jelas antara misi dan matlamat tamadun barat dan Islam maka kita wajib berusaha ke arah mengislamkan kembali tamadun kebendaan yang dibangunkan. Tamadun Islam tidak cukup hanya setakat laungan slogan seperti Islam Hadhari tanpa pelaksanaan yang bersungguh. Kita terlalu bimbang apabila nikmat keamanan yang dianugerahkan oleh Allah disalahgunakan dengan mengenepikan syariat sehingga akhlak rakyat runtuh sebagaimana di barat. Tidak cukup kes dadah yang tidak terkawal, negara menyaksikan bagaimana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mendaftarkan 70,430 anak luar nikah bagi tempoh lima tahun iaitu daripada 1999 hingga 2003 di mana anak luar nikah orang Islam paling ramai didaftarkan iaitu 30,978 orang. Manakala laporan Kementerian kesihatan Malaysia, sepanjang tahun 2002 dan 2003 seramai 13,734 kes pengidap HIV dan 2 269 pesakit AIDS telah direkodkan di negara ini di mana orang Melayu paling tinggi mengidapnya berbanding bangsa lain. Ini belum dikira kes rogol, samun, ragut, bunuh, pecah amanah dan jenayah-jenayah lain yang tidak mampu dibendung oleh perundangan negara yang telah lapuk dan ketinggalan zaman. Akhirnya rakyat nampak mewah tetapi takut dengan suasana keliling yang telah rosak. Kemajuan yang dibina hanya berbentuk kebendaan sedangkan nilai kemanusiaannya telah mulai luntur dan hancur akibat kedegilan dan keangkuhan diri menentang system Islam.  Firman Allah dalam ayat 112 surah al-Nahlu :

وضرب الله مثلا قرية كانت ءامنة مطمئنة يأتيها رزقها رغدا من كل مكان فكفرت بأنعم الله فأذقها الله لباس الجوع والخوف بما كانوا يصنعون

Maksudnya : Dan Allah memberikan suatu perbandingan sebuah negeri yang aman damai dan tenteram yang dilimpahkan rezeki yang mewah dari setiap tempat lalu penduduknya itu mengkufuri nikmat Allah itu. Maka Allah menimpakan mereka dengan kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang telah mereka lakukan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

هداية دتريما اومة سنتوسا

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

واهاي همب-همب الله ! برتقوىله سكالين كامو كڤد الله دڠن سبنر-بنر تقوى. دان جاڠنله كامو ماتي ملاءينكن دالم كادأن اسلام.

ساي مڽرو ديري ساي سنديري دان جوڬ سيدڠ جمعة سكالين اڬر كيت سام-سام منيڠكتكن كتقوأن كيت كڤد الله دڠن ملاكوكن سڬالا سوروهنڽ دان منجاوهي سڬالا يڠ دتڬهڽ.

سيدڠ جمعة يڠ دحرمتي سكالين

فرمان الله دالم اية 2 سورة الجمعة :

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

مقصودڽ : دياله ﴿الله﴾ يڠ تله مڠوتوسكن كڤد كالڠن اورڠ-اورڠ عرب يڠ بوتا حروف سأورڠ رسول دري بڠسا مريك سنديري يڠ ممباچاكن ايات-ايات الله يڠ ممبوقتيكن كاسأن الله دان ككواسأنڽ. دان ممبرسيهكن مريك درڤد عقيدة يڠ سست سرتا مڠاجركن مريك كتاب الله دان حكمة ڤڠتاهوان يڠ مندالم مڠناءي حكوم-حكوم شريعة. دان سسوڠڬوهڽ مريك سبلوم كداتاڠن نبي محمد صلى الله عليه وسلم اداله دالم كسستن يڠ ڽات.

اسلام دان علمو تيدق داڤت دڤيسهكن كران اسلام ايت سنديري ترتڬق د اتس كيقينن يڠ ڤستي ملالوءي علمو يڠ دسولوهي چهاي وحي الله. كقواتن اسلام يڠ بركمبڠ دان ممڤو ممبينا تمدون برسڤادو انتارا كمأنسيأن دان كبندأن اداله حاصيل درڤد كقواتن علمو بوكنڽ برداسر كڤد ڤقسأن دان كجاهيلن. اسلام يڠ مروڤاكن اڬام فطرة اداله اڬام يڠ ممڤو دڤلوق دان دعمالكن اوليه سلوروه اومت مأنسي تنڤا مڠيرا كادأن تختا دان هرتا، بڠسا دان نڬارا، اوسيا دان بوديا. كادأن فطرة مأنسي يڠ ماهوكن كبأيقكن دان بڬيتو بنچي كڤد كجاهتن تله مڽببكن هاتي مريك موده ترتاريق كڤد سلوروه اجارن اسلام يڠ سمڤورنا. اوليه ايت مأنسي ڤرلو كڤد هداية دالم مرايه بتاڤ مانيسڽ نعمة ايمان دان اسلام

سيدڠ جمعة يڠ درحمتي الله،

اد علماء ممبهاڬيكن هداية كڤد 5 ڤريڠكت ايايت :

ڤرتام : هداية الوِجْدَان الطبيعي يڠ برارتي ڤتونجوق يڠ تيمبول درڤد ڤراسان مڠيكوت طبيعة سمنجق لاهير ك دنيا سڤرتي لاڤر، داهاڬ، ڤانس، سجوق، ساكيت دان لاينڽ. سباڬاي چونتوهڽ باڬايمانا سأورڠ انق كچيل اكن مناڠيس اونتوق كسلامتن ديريڽ د مان تاڠيسن ايت برتوجوان ممينتا ايبو اتاو ڤڠاسوهڽ سوڤاي مڠوروسكنڽ. ستله منداڤت لاينن اتاو ڤڠوروسن يڠ سچوكوڤڽ مك ڤتونجوق درڤد راس ڤواس دالم ديري انق كچيل ايت مڽوروه دي اڬر برهنتي مناڠيس. هداية ڤريڠكت اين بلوم ممبنتو مأنسي درڤد مڠنل تنتڠ حقيقة الله دان اڬام

كدوا : هداية الحواس ايايت ڤتونجوق ڤنچاايندرا يڠ ليما ايايت مات، هيدوڠ، تليڠا، ليده دان كوليت. ڤتونجوق يڠ ترحاصيل درڤد رڠساڠن ڤنچاايندرا اين ميمڠ ڤرلو باڬي كسلامتن ديري مأنسي دالم منجأوهي سسواتو يڠ ممبهاياكن سرتا منيمبولكن ڤراسأن اونتوق مندكتي سسواتو يڠ ممبري منفعة كڤد ديري. نامون بڬيتو ڤتونجوق ڤنچاايندرا اين تيدق سنتياس بنر كران دالم باڽق كادأن مات مليهت بارڠ يڠ لولوس جادي بيڠكوق، ليده ترساله مراسا د مان سسواتو يڠ مانيس دراسڽ ڤاهيت، هيدوڠ ترساله باو د مان سسواتو يڠ هاروم دراس بوسوق دان سلاينڽ. كسيمڤولن درڤد سيني مك كيت داڤتي بهاوا ڤتونجوق ڤنچاايندرا تيدق چوكوڤ دالم منجاڬ كسلامتن مأنسي د مان كيت سموا ممرلوكن ڤتونجوق يڠ لبيه تيڠڬي اونتوق منچاڤي كسلامتن ديري د دنيا دان اخيرة.

سيدڠ جمعة يڠ دحرمتي سكالين،

فرمان الله دالم اية 190 سورة آل عمران :

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِأُولِي الْأَلْبَابِ

مقصودڽ : سسوڠڬوهڽ ڤد كجادين لاڠيت دان بومي، دان ڤد ڤرتوكرن مالم دان سياڠ، اد تندا-تندا ﴿ككواسأن، كبيجقسنأن، دان كلواسن رحمة الله﴾ باڬي اورڠ-اورڠ يڠ برعقل

كتيڬ : هداية العقل ايايت ڤتونجوق براسسكن عقل ايايت سواتو الة يڠ دأنوڬرهكن اوليه الله سباڬاي ڤنيمبڠ دان مميكيركن سسواتو يڠ دسمڤأيكن اوليه رڠساڠن ڤنچاايندرا دان اڤ يڠ تيمبول درڤد ڤراسان طبيعي. ستله دتيمبڠ دان دفيكيركن اوليه عقل مك مأنسي داڤت برتيندق اونتوق منچاڤأي سسواتو متلامت يڠ دراسكن داڤت ممبري كبهاڬيأن اونتوق ديريڽ. تتاڤي ستله مليهت اڤ يڠ برلاكو د هادڤن مات كيت باڬايمانا ڤتونجوق براسسكن عقل سمات-مات توروت ڬاڬل اونتوق مڠڬاڤاي كبهاڬيأن يڠ سجاتي كران تاهڤ ڤڠڬونأن عقل اداله ترباتس. تيندقكن براسسكن عقل سمات-مات سريڠكالي ترسيلڤ د مان سسواتو يڠ دفيكيركن باءيك تتاڤي منجادي سباليقڽ. اوليه ايت الله تله مڠانوڬرهكن ڤتونجوق يڠ لبيه تيڠڬي درڤد ڤتونجوق عقل كڤد مريك يڠ دكهندقكيڽ دالم منچاڤي جالن يڠ لوروس اونتوق كبهاڬيأن حقيقي د دنيا دان اخيرة.

كامڤت : هداية الدين ايايت ڤتونجوق دري لاڠيت يڠ دناماكن اڬام يڠ برارتي ڤراتورن يڠ دتورونكن اوليه الله اونتوق كسلامتن دان كبهاڬيأن هيدوڤ مأنسي سمادا يڠ بربنتوق اينديۏيدو اتاو مشاركت رامي. ملالوءي ڤتونجوق اڬام مك سساورڠ ايت داڤت مڠوجي دان ممڤربتولكن ڤنداڤت براساسكن عقلڽ منروسي ڤرتيمبڠن نراچا اڬام. سساورڠ ايت داڤت تاهو تنتڠ كبنرن دان كبهاڬيأن يڠ مستي دچاڤاي براسسكن كهندق اڬام بوكنڽ سمات-مات ملالوءي ڤنداڤت عقل سمات-مات. ملالوءي ڤتونجوق اڬام جوڬ مك ڤرجالنن هيدوڤ سسأورڠ ايت لبيه ترجامين دان تركاول. نامون بڬيتو رامي جوڬ ڬولوڠن يڠ چرديق ڤنداي دالم اوروسن اڬام يڠ ترساله لڠكه دان ترسست درڤد ڤتونجوق الله يڠ سبنر. رامي مريك يڠ فهم اڬام توروت ترسست جالن والاو ڤون تله ڤون دأنوڬرهكن دڠن ڤتونجوق اڬام. ڤركارا اين تتڤ برلاكو كران مريك تيدق دأنوڬرهكن هداية يڠ ڤاليڠ تيڠڬي. مريك موڠكين هاڽ مڠتاهوي تنتڠ اڬام ملالوءي ڤمبلاجرن دان ڤمباچان سهيڠڬ مڽنتوه هاتي تتاڤي تيدق ممڤو مڠڬوناكنڽ سچارا بتول كران ماسيه بلوم دبري هداية يڠ لبيه تيڠڬي.

سيدڠ جمعة يڠ دكاسيهي سكالين،

كليم : توفيق يڠ مروڤاكن هداية يڠ ڤاليڠ تيڠڬي ايايت ڤمبرين ڤتونجوق برسرتا دڠن انوڬره كماهوان دان كسڠڬوڤن دالم ديري اونتوق بربوات سڬالا سسواتو يڠ ممباوا كڤد كسلامتن دان كبهاڬيأن هيدوڤ دنيا دان اخيرة. اڤابيلا ديري كيت دبريكن توفيق مك بوكن سهاج كيت مڠتاهوي تنتڠ سسواتو ايت يڠ باءيك اونتوق دكرجكن دان سسواتو بوروق اونتوق دتيڠڬلكن تتاڤي سڬالا اڠڬوتا كيت توروت دبري كقواتن اونتوق ملقساناكن سڬالا ايت اونتوق منچاڤأي كريضأن الله. توفيق هاڽ ترلتق ڤد تاڠن الله يڠ بركواس سهاج تنڤا ممڤو دميليقكي اوليه سبارڠ مخلوق والاو دي سأورڠ رسول سباڬايمان نبي كيت محمد صلى الله عليه وسلم سنديري تيدق ممڤو ممبري هداية توفيق كڤد باڤ ساودارا كسايڠنڽ ابو طالب.

فرمان الله دالم ايات 56 سورة القصص:

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

مقصودڽ : سسوڠڬوهڽ اڠكاو ﴿واهاي محمد﴾ تيدق بركواس ممبري هداية ڤتونجوق كڤد سسياڤ يڠ اڠكاو كاسيهي ﴿سوڤاي اي منريما اسلام﴾، تتاڤي الله جواله يڠ بركواس ممبري هدايه ڤتونجوق كڤد سسياڤا يڠ دكهندقيڽ ﴿منوروت اوندڠ-اوندڠ ڤراتورنڽ﴾; دان دي له جوا يڠ لبيه مڠتاهوي اكن اورڠ-اورڠ يڠ ﴿اد ڤرسديان اونتوق﴾ منداڤت هداية ڤتونجوق ﴿كڤد مملوق اسلام﴾.

سيدڠ جمعة يڠ درحمتي الله،

هداية توفيق يڠ ترتيڠڬي اين مستيله كيت رايه دڠن سنتياس مندالمي علمو اڬام دان دعا كيت كڤد الله. كيت جوڬ مستي ممڤركاسكن 3 داسر اوتام ڤنديديقن براسسكن اسلام ايايت داسر ڤنديديقن ڤرتام اياله سسواتو علمو يڠ دأجر تيدق بوليه بيباس درڤد برڤڬڠ كڤد عقيدة اسلام ايايت مستيله دسرتاكن دڠن ايات القرءان دان حديث نبي. داسر ڤنديديقن كدوا يڠ دتكنكن اوليه الله اياله ڤمبرسيهن اومت مأنسي درڤد عقيدة سست. مانكالا داسر ڤنديديقن كتيڬ يڠ مستي دتراڤكن اياله ڤڠاجرن كڤد سلوروه اجارن اسلام يڠ مرڠكومي سموا اسڤيك كهيدوڤن. كيت تيدق ماهو كادأن كروسقكن اخلاق د كالڠن ڤلاجر سكوله تروس منيڠكت عقيبة سيستم ڤنديديقن نڬارا لبيه كڤد مڠجر دنيا. كيت بيمبڠ اومڤن موسوه ملالوءي

فرمان الله دالم ايات 8 سورة الصف:

يُرِيدُونَ لِيُطْفِؤُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

مقصودڽ : مريك سنتياس بروسها هندق ممادمكن چهاي الله ﴿أڬام اسلام﴾ دڠن مولوت مريك، سداڠ الله تتڤ مڽمڤورناكن چهايڽ، سكاليڤون اورڠ-اورڠ كافير تيدق سوك ﴿اكن يڠ دمكين﴾

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 

4S ايايت [1] Song ﴿ڽاڽين يڠ ملالايكن سهيڠڬ ترجبق كڤد ڤموجأن شيطان﴾، [2] Seks بيبس هيڠڬ لاهير بڬيتو راماي انق لوار نكاح، [3] Sport ﴿سوكن يڠ ملكاكن هيڠڬ راماي يڠ منيڠڬل كواجيڤن اڬام﴾، [4] Smooke ايايت عمالن مروكوق يڠ اخيرڽ ممباوا كڤد ترجبق دڠن نجيس داده اكن دتلن اوليه اومت اسلام سهيڠڬ مسئله برتمبه ڤاره. عقيدة اومت اسلام هاري اين جوڬ سماكين ڤاره اڤابيلا اداڽ دعوأن ڤلاتيه ڤروڬرام لاتيهن خدمت نڬارا ﴿PLKN﴾ يڠ مڠهادڤي 2 مسئله يڠ ڤاليڠ بسر ايايت مسئله تيدق تاهو ڤركارا اساس اڬام دان ڤرمينتأن اونتوق مرتد درڤد اسلام. كيت مستي برساتو دان برسوڠڬوه سرتا استقامه دالم مناڠني مسئله يڠ بڬيتو كرونيك اين. تياد ماس اونتوق كيت بريحت كران توڬس كيت سماكين برتمبه. چڬه سبلوم ڤاره، راوت سبلوم ترليوات، سكت سبلوم مربق

5 اوجين ترهادڤ اورڠ مؤمن


السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

واهاي همب-همب الله ! برتقوىله سكالين كامو كڤد الله دڠن سبنر-بنر تقوى. دان جاڠنله كامو ماتي ملاءينكن دالم كادأن اسلام.

ساي مڽرو ديري ساي سنديري دان جوڬ سيدڠ جمعة سكالين اڬر كيت سام-سام منيڠكتكن كتقوأن كيت كڤد الله دڠن ملاكوكن سڬالا سوروهنڽ دان منجاوهي سڬالا يڠ دتڬهڽ.

سيدڠ جمعة يڠ دحرمتي سكالين

فرمان الله تعالى دالم أية 214 سورة البقرة :

أم حسبتم أن تدخلوا الجنة ولما يأتكم مثل الذين خلوا من قبلكم مستهم البأسآء والضراء وزلزلوا حتى يقول الرسول والذين ءامنوا معه متى نصر الله ألآ إن نصر الله قريب

مقصودڽ : ادكه كامو مڽڠك بهاوا كامو اكن ماسوق شرڬ سداڠكن بلوم داتڠ كڤدمو اوجين سباڬايمان يڠ ڤرنه برلاكو كأتس اومة تردهولو سبلوم كامو؟. مريك دتيمڤا اوليه مالاڤتاك دان كسڠسارأن سرتا دڬونچڠكن دڠن ڤلباڬاي چوبأن سهيڠڬ بركاتله رسول دان اورڠ-اورڠ يڠ برايمان برسامڽ : “ بيلاكه لاڬي اكن داتڠڽ ڤرتولوڠن الله؟“. ايڠتله سسوڠڬوهڽ ڤرتولوڠن الله ايت امت دكت.

تله منجادي سنة كتتاڤن الله د مان ستياڤ ديري مأنسي اكن دچوبا، اكن داوجي، اكن دڤريقسا سمادا كڽاتأن كڤد كايمانن مريك كڤد الله دان سلوروه اجارنڽ ملالوءي كات-كات مريك اداله بتول دان دايكوتي اوليه ڤرلاكوان دان تيندقكن مريك اتاو ڤون هاڽ ترهنتي ستاكت د مولوت سهاج. كيت سباڬاي اومت اخير زمان يڠ هيدوڤ دالم زمان يڠ ڤنوه چابرن فتنة مك مستي ممڤوڽاءي بكلن علمو دان عقيدة يڠ كوكوه اڬر سڬالا كيقينن كيت د هاتي دايكوتي دڠن ڤڠوچاڤن كيت د مولوت دان دسرتاكن دڠن ڤڠعمالن ترهادڤ سلوروه كواجيڤن اڬام سباڬاي تندا توندوق دان ڤاتوه كڤد ڤرينته الله سمادا دالم كادأن سنڠ اتاو سوسه، صيحة اتاو ساكيت، مودا اتاو توا، لاڤڠ اتاو سونتوق. بتاڤ رامي اومة مأنسي سبلوم كيت تله داوجي اوليه الله سهيڠڬ جلسله كدودوقكن ايمان دان ڤڽراهن ديري مريك سمادا مريك بنر-بنر برايمان سهيڠڬ سڠڬوڤ مڽراهكن سلوروه جيواراڬ اونتوق اسلام دان تيدق كورڠ مريك يڠ تيواس دسببكن كيقينن يڠ نيڤيس ترهادڤ الله والاو ڤون مولوت مريك لنتڠ مڽاتاكن بهاوا مريك مروڤاكن اومة يڠ برايمان كڤد الله تتاڤي اڤابيلا داتڠڽ اوجين دان چابرن مك مريك تيدق ممڤو مڠهادڤيڽ.

سيدڠ جمعة يڠ بركتي الله،

كباڽقكن اومت اسلام داوجي دڠن ليما ڤركارا ايايت سودارا ساڬام يڠ سنتياس دڠكي ترهادڤڽ، اورڠ منافق يڠ سنتياس ممبنچيڽ، اورڠ كافير يڠ سنتياس ممراڠيڽ، شيطان يڠ سنتياس بروسها مڽستكنڽ دان بيسيقكن هوى نفسو يڠ سنتياس مڠڬونچڠ كايماننڽ. يڠ ڤرتام ايايت ساودارا ساڬام يڠ سنتياس دڠكي ترهادڤڽ د مان ڤراسأن حسد دڠكي بياسڽ داتڠ كران سيكڤ سوك منيمبولكن ڤرموسوهن، ڤراسان تكبور اتاو ممبسركن ديري، ڤراسان عجوب، ڬيلا كواس، ترلالو ممنتيڠكن ديري سنديري سهيڠڬ سڠڬوڤ مڠوربن اتاو مڠخيانتي اورڠ لاين دان ڤراسان حسد دڠكي جوڬ سنتياس برسارڠ دالم ديري دسببكن كباخيلنڽ. سلاڬي مان هاتي اين دكوتوري دڠن ڤڽاكيت حسد دڠكي مك ديريڽ سنتياس مموسوهي كبنرن دان ممبنچي سودارا ساڬام اتس داسر يڠ برچڠڬه دڠن شرع. اوليه ايت سباڬاي ممبوقتيكن كايمانن كڤد الله مك كيت واجب ممبرسيهكن ديري كيت درڤد صفة يڠ ترچلا اين دمي منچاڤأي كريضأن الله.

يڠ كدوا د مان كيت اكن داوجي دڠن سيكڤ ڤرموسوهن يڠ دچتوسكن اوليه ڬولوڠن منافق يڠ مروڤاكن موسوه د دالم سليموت. ڬولوڠن اين بڬيتو مربهاي كران مريك سنتياس مڽمبوڽيكن سيكڤ ڤرموسوهن مريك دڠن مڽاتاكن بهاوا مريك جوڬ برايمان كڤد الله سداڠكن باڽق كلاكوان دان تيندقكن مريك كأره ممراڠي اجارن اسلام يڠ مڽلوروه. ڬولوڠن منافق اين هاڽ مڠمبيل اجرن اسلام يڠ سسواي دڠن كهندق نفسو سراكه مريك دان مموسوهي سڬالا اجارن اسلام يڠ برلاونن دڠن كهندق مريك. كادڠ-كادڠ ڬولوڠن منافق اين لبيه تركهدڤن دالم مڽاتاكن كچينتأن مريك ترهادڤ اسلام سداڠكن دالم ماس يڠ سام دري سڬي تيندقكن مك مريكاله ڬولوڠن يڠ براني مڠهينا حكومن الله يڠ عاديل، منچاچي رسول الله صلى الله عليه وسلم، مماكي ڤارا علماء ڤواريث نبي دڠن منجاديكن عقل يڠ لمه سباڬاي سومبر علمو يڠ ترتيڠڬي مڠاتسي وحي الله.

سيدڠ جمعة يڠ دحرمتي سكالين،

يڠ كتيڬ د مان كيت اكن داوجي دڠن ڬولوڠن كفار يڠ سنتياس مموسوهي دان ممراڠي كيت دڠن ڤلباڬاي چارا سمادا ملالوءي سراڠن ڤميكيرن سهيڠڬ ممڤو منجاوهكن اومت اسلام درڤد اجارن اڬام مريك اتاو ڤون ملالوءي سراڠن فيزيكل يڠ مڽببكن رامي د كالڠن اومت اسلام يڠ منجادي مڠسا كڤد سنجات چڠڬيه ميليك كفار دورجان. سسوڠڬوهڽ كيت مستي ممڤراكوي بهاوا ڤرموسوهن يڠ دچتوسكن اوليه ڬولوڠن كفار تراوتما يهودي دان كريستيان اكن برلاروتن سهيڠڬ هاري قيامة كران ڬولوڠن كفار اين اكن بروسها سدايا اوڤاي مريك اونتوق ممبواتكن كيت اڬر برلوتوت د كاكي مريك والاو دڠن اڤ چارا سكالي ڤون. والاو ڤون جملة اومت اسلام هاري اين بڬيتو رامي تتاڤي كيت تيدق اوبه سڤرتي بويه اير بنجير اتاو بويه د لاوت دسببكن اومت اسلام دسراڠ دڠن دوا ڤڽاكيت يڠ مربهاي ايايت ترلالو چينتاكن دنيا سهيڠڬ سڠڬوڤ مڠوربنكن ڤرينسيڤ اڬام دان دسراڠ ڤڽاكيت ترلالو تاكوت كڤد كماتين سهيڠڬ سڠڬوڤ ممبياركن سودارا ساڬام تروس دتينداس دان منجادي مڠسا ڤلورو دان بوم كفار تراوتما د نڬارا يڠ داوجي دڠن ڤڤراڠن سڤرتي د فلسطين، أفغانستان، كسهمير، اينديا، امبون، سلاتن فيليفينا دان سلاينڽ. ڤڠڬانس كوففر كيني مڠهالاكن موچوڠ سنجات مريك كأره يڠ ساتو ايايت اومت اسلام كران اسلام دأڠڬڤ موسوه تراخير كفار يڠ تيدق ڤرنه ڤدم حاجة مريك اونتوق مڠواساءي دنيا دڠن ملاكوكن ڤلباڬاي ككجامن دان ڤنينداسن دمي ممبولوت حاصيل محصول بومي يڠ اد.

اوليه ايت ماريله كيت سباڬاي اومت اسلام يڠ برمروة كمبالي برساتو د باوه ڤنجي اسلام دڠن مڠنيڤيكن سيكڤ ڤرقومن دان كبڠسأن يڠ سمڤيت اونتوق سام-سام باڠون برجواڠ منڬقكن كمبالي ڤمرينتاهن اسلام سهيڠڬ كيت بوكن لاڬي منجادي رعيت يڠ ملارت د نڬارا سنديري، رعيت يڠ منجادي ڤلارين د تانهأير سنديري، اومت يڠ ترڤقسا مڠهادڤي هوجن ڤلورو دان بوم كفار دورجان، اومت يڠ ترڤقسا ممرهاتي اهلي كلوارڬ مريك دروڬول، ديڬيليس اوليه ڤڠڬانس كفار د هادڤن مات سنديري، اومت يڠ سنتياس دتماني اير مات كسديهن عقيبة كهيلڠن سودارا ترسايڠ عقيبة ككجامن كفار. ايڠتله بهاوا كيت اومت اسلام مروڤاكن اومت ڤيليهن دان اكن كمبالي منجادي اومت يڠ مليا اڤابيلا كمبالي برنأوڠ د باوه كسلوروهن سيستم اسلام يڠ مليڤوتي سلوروه اسڤيق كهيدوڤن ترماسوق ڤمرينتاهن، ايكونومي، كمشاركاتن دان لأين بوكنڽ هاڽ ترهنتي ستاكت عبادة خصوص سڤرتي صلاة، ڤواس دان حاج سهاج. كيت اومت اسلام اكن تروس دهينا اوليه الله سلاڬي مان كيت برڤڬڠ كڤد ايديولوجي چيڤتأن مأنسي سڤرتي سكولاريسمى يڠ مندكتكن كيت كڤد مرتد دان سيستم كاڤيتاليسمى يڠ ملتقكن كيت سطراف دڠن بيناتڠ عقيبة يڠ قوة اكن منينداس يڠ لمه، سي كاي اكن ممرس سي ميسكين، ڤميمڤين اكن ممقسا رعيت اڬر توندوق كڤد كڤنتيڠن ڤريبادي مريك.

سيدڠ جمعة يڠ دحرمتي سكالين،

يڠ كامڤت دان يڠ كليم كيت اكن مڠهادڤي ڬودان شيطان دان هوى نفسو يڠ مروڤاكن تمن راڤت دالم مموجوق كيت كأره كسستن. شيطان دان نفسو جاهت اكن سنتياس بروسها مڠهيريت كيت اونتوق ملاكوكن معصية سهيڠڬ مأنسي يڠ برتوهنكن نفسو دان سنتياس مڠيكوت تلونجوق شيطان اكن سنتياس ملاكوكن سڬالا تڬاهن الله سهيڠڬ سماكين ملواسڽ ڬجالا سوسيال سڤرتي ڤرڬأولن بيبس انتارا للاكي دان ڤرمڤوان، برتمبهڽ كيس سومبڠ محرم دان سباڬايڽ. دالم مڠهادڤي اوجين نفسو ڬانس دان شيطان اين مك مأنسي مستي دايسي دڠن علمو كفهمن اڬام يڠ سچوكوڤڽ دسمڤيڠ دكاول دڠن ڤلقسانأن حكومن براسسكن اڬام دمي كبهاڬيأن هيدوڤ د دنيا دان اخيرة. حكومن دنيا والاو ڤون سكرس مان ڤون تيندقكنڽ تتاڤي تيدق ممڤو مڠإنصفكن مأنسي دان جوڬ ڤنريما حكومن دنيا دالم كيس يڠ تله جلس حكومنڽ د سيسي الله اكن سكالي لاڬي منريما حكومن د اتس كسالهن يڠ سام د اخيرة ننتي. الڠكه سست دان ظاليمڽ حكومن دنيا بربنديڠ حكومن الله يڠ عاديل. اسلامله نچاي كيت سلامت دنيا دان اخيرة.

فرمان الله دالم ايات 146 سوره علي ‘عمران :

وكأين من نبي قــتل معه ربيون كثير فما وهنوا لمآ أصابهم فى سبيل الله وما ضعفوا وما استكانوا والله يحب الصــبرين

مقصودڽ : دان براڤ راماي نبي يڠ برڤراڠ برسام-سامڽ سجملة بسر درڤد ڤڠيكوت ستيا يڠ برتقوى. مريك تيدق منجادي لمه كران بنچان يڠ منيمڤا مريك د جالن الله دان تيدق لسو سرتا تيدق ڤولا مڽره كڤد موسوه. سسوڠڬوهڽ الله مڽوكأي مريك يڠ صبر.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن

126. PEMIMPIN & WANITA TERJAGA UMMAH BERJAYA

 

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 31 surah an-Nur :

وقل للمؤمنت يغضضن من أبصرهن ويحفظن فروجهن ولايبدين زينتهن إلا ماظهر منها وليضربن بخمرهن على جيوبهن ولايبدين زينتهن إلا لبعولتهن أو ءابائهن أو ءاباء بعولتهن أو أبنائهن أو أبناء بعولتهن أو إخوانهن أو بني إخونهن أو بني أخوتهن أو نسائهن أو ماملكت أيمنهن أو التبعين غير أولى الإربة من الرجال أو الطفل الذين لم يظهروا على عورت النساء ولايضربن بأرجلهن ليعلم مايخفين من زينتهن وتوبوا إلى الله جميعا أيه المؤمنون لعلكم تفلحون

Maksudnya : Dan katakanlah kepada kaum perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka daripada memandang perkara yang haram. Memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Mereka hendaklah menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka. Janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau adik beradik mereka atau anak saudara mereka daripada saudara lelaki atau anak saudara daripada saudara perempuan atau perempuan Islam atau hamba mereka atau orang gaji daripada lelaki yang lanjut usia dan tidak lagi mempunyai keinginan terhadap perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan. Janganlah pula mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka. Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah S.W.T wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beroleh kejayaan

            Kita umat Islam sedang menghadapi pelbagai serangan dan cabaran daripada pihak musuh Islam yang tidak pernah senang melihat umat Islam terutama golongan yang bersungguh-sungguh mahu mengembalikan semula pelaksanaan seluruh system Islam dalam kehidupan seharian. Musuh Islam sentiasa mencari jalan baagi melemahkan umat Islam serta menjauhkan kita daripada cahaya petunjuk al-Quran. Malah musuh Islam sanggup menghabiskan masa dan wang dalam menyelidik tentang cara untuk melemahkan umat Islam agar mereka terus dapat menjajah tubuh dan pemikiran umat Islam. Antara umpan musuh yang sedang ditelan oleh umat Islam ialah pergaulan bebas dan cara berpakaian yang menjolok mata di mana kesemua ini merupakan pintu ke arah penzinaan. Atas nama hak asasi manusia serta kebebasan maka umat Islam tanpa segan silu berpakaian mendedahkan bentuk tubuh badan ditambah dengan pergaulan yang melampaui batas yang dibenarkan oleh syarak. Kita masih ingat suatu cadangan yang pernah disyorkan oleh bekas Perdana Menteri Britain Gladstone pada awal penjajahan terhadap bumi umat Islam dengan katanya : “ Untuk menghancurkan kekuatan Islam, mestilah dibuang dahulu hijab daripada muka perempuan Islam, ditutup terlebih dahulu al-Quran dan mestilah membawa masuk benda-benda yang memabukkan, dadah, benda keji dan mungkar”.

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Renungilah sebuah hadis nabi daripada Abu Hurairah yang berbunyi :

قال االرسول e  :صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا  قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ البَقَرِ يَضْرِبُوْنَ ِبَها النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيْلاتٌ مَائِلاتٌ رُؤُوْسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ البُخْتِ المَائِلَةِ لايَدْخُلْنَ الجَنَّةَ وَلايَجِدْنَ رِيْْحَهَا وَاِنَّ رِيْْحَهَا لَيُوْجَدُ مِنْ مَسِيْرَةٍ كَذَا وَكَذَا     – رواه مسلم

Maksudnya : Ada 2 golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum lagi akau melihat mereka. Pertama, golongan penguasa yang mempunyai cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, golongan perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menghayun-hayunkan bahunya. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wangi syurga sedangkan bau wangi syurga itu sudah tercium daripada perjalanan yang sangat jauh daripadanya.

            Melalui hadis tadi, Rasulullah s.a.w memberi ingatan kepada kita semua bagaimana pentingnya dua golongan untuk diselamatkan barulah keadaan negara aman sejahtera. Golongan pertama yang mesti dijaga ialah pemimpin agar dipilih daripada orang yang benar-benar layak mengikut pandangan Islam sehingga kuasa dan amanah yang dipikul dapat dilaksanakan bukannya tampuk kepimpinan dianggap sebagai suatu jalan pintas dalam mengaut keuntungan dan membina kekayaan sehingga rakyat semakin lama diasak dengan pelbagai undang-undang yang keras demi menjaga kuasa yang ada. Kita berasa kecewa apabila pemimpin negara lambat bertindak apabila kes-kes murtad diketengahkan sebaliknya bila berlakunya pihak perebutan mayat A Rayappan maka pemimpin negara sendiri terus mengeluarkan kenyataan meminta pihak Peguam Negara (AG) campur tangan dan menentukan status agama A Rayappan jika kes si mati masih dibicarakan di mahkamah. Ia dianggap suatu usaha campur tangan dan tekanan daripada pihak eksekutif keatas Majlis Agama Islam Selangor (Mais) tambahan selepas sehari kenyataan pemimpin negara menyebabkan pihak Mais menarik balik permohonannya menuntut jenazah A Rayappan. Kita juga merasa kecewa apabila akhbar The Star dan The Sun telah membangkitkan isu tercatat perkataan Kristian dalam kad pengenalan A Rayappan bagi menunjukkan status si mati adalah bukan Islam sebaliknya beragama Kristian sedangkan bila dilihat keadaan sebenar tidak tercatat sebagaimana yang didakwa. Inilah antara bahayanya bila pemimpin yang dilantik lebih menyokong musuh Islam daripada mengambil berat tentang nasib saudara seagama.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Golongan kedua yang mesti diselamatkan ialah golongan perempuan yang kini terus dirosakkan oleh musuh Islam. Kita menyokong penuh tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam dalam menguatkuasakan undang-undang kecil yang sedia ada berkenaan pemakaian terutama terhadap jurujual perempuan Islam yang berpakaian menjolok mata. Kita sedar bahawa dalam mendidik umat Islam terutama dalam bab pemakaian dimulai dengan memberi ilmu kefahaman tentang cara pemakaian yang dibenarkan oleh syarak. Setelah itu maka suatu undang-undang diperlukan dalam memastikan mereka yang berdegil dapat diambil tindakan sehingga mereka gerun untuk melanggarnya. Jika sebelum ini dunia dihebohkan tentang perbalahan antara mufti dan Perdana Menteri Australia berkaitan perempuan yang suka mendedah tubuh yang diumpamakan oleh mufti negara berkenaan seperti daging mentah yang dijual digerai-gerai tepi jalan. Begitulah yang berlaku dalam negeri kita ini apabila adanya umat Islam sendiri yang tidak bersetuju dengan tindakan terhadap perempuan yang memakai menjolok mata atas nama menyekat kebebasan sedangkan kita tahu bagaimana kes rogol dan penzinaan dalam negara semakin meningkat disebabkan pemakaian yang menjolok mata semakin meluas. Sepatutnya kita sebagai umat Islam yang mempunyai maruah sama-sama berfikir bagaimana cara untuk menyedarkan golongan yang suka mendedah aurat agar kembali menutup aurat serta menutup kelab-kelab malam dan tempat maksiat bagi mengurangkan penzinaan kerana ramai di kalangan perempuan Islam sendiri yang turut berkerja di tempat-tempat ini yang bukan sahaja menuntut kepada mereka untuk berpakaian seksi tetapi mereka turut terdedah kepada bahaya rogol dan zina.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Tugas kita semakin lama semakin banyak dan berat kerana kita tahu dalam memperjuangkan Islam bukannya melalui jalan yang mudah dan senang sebaliknya memerlukan tumpahnya darah dan nyawa melayang. Kita mesti bersungguh-sungguh dalam memperbetulkan semula pemikiran umat Islam yang telah lama terjajah dengan cara pemikiran dan kehidupan penjajah yang bercanggah daripada Islam. Ini semua memerlukan kepada pengorbanan dan istiqamah barulah janji kemenangan dan kemuliaan daripada Allah S.W.T dapat diraih. Kita perlu ingat bahawa hidup pada zaman di mana orang yang jahat lebih berani daripada orang yang baik, orang yang buat maksiat lebih lantang daripada orang yang mencegahnya, orang penipu lebih dipercayai berbanding orang yang benar maka semangat serta keyakinan yang tinggi bahawa kita ini bekerja kerana Allah S.W.T mestilah sentiasa subur dalam diri sehingga maksiat dapat dicegah, kekufuran dapat dibanteras dan Islam dapat ditegakkan

Firman Allah dalam ayat  41 surah al-Ankabut :

مثل الذين اتخذوا من دون الله أولياء  كمثل العنكبوت اتخذت بيتا  وإن أوهن البيوت لبيت العنكبوت لو كانو يعلمون

Maksudnya : Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung selain daripada Allah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah jika mereka  mengetahui

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

121. AL-QURAN DIJULANG UMAT GEMILANG

 

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

فرمان الله تعالى دالم أية    89    سورة   النحل :

ونزلنا عليك الكتب تبيـنا لكل شيء وهدى ورحمة وبشرى للمسلمين

Maksudnya : Dan Kami telah turunkan kepada engkau (wahai Muhammad) al-Quran sebagai penjelas setiap sesuatu sebagai petunjuk, rahmat dan berita gembira bagi orang-orang beriman.

            Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar yang dianugerahkan oleh Allah kepada nabi Muhammad e di mana ia terus dapat dilihat dan diguna oleh umat akhir zaman. Kemenangan dan kemuliaan umat Islam sentiasa berkait rapat dengan al-Quran di mana semenjak diturunkan kepada nabi Muhammad e sehinggalah hari ini maka kita dapat lihat apabila al-Quran dilaksanakan sepenuhnya maka datangnya pertolongan dan kemuliaan daripada Allah kepada umat Islam manakala apabila al-Quran diketepikan maka turunnya kehancuran dan penghinaan terhadap umat Islam. Ketika al-Quran dijadikan tunjang dan rujukan utama dalam menggerakkan urusan agama dan juga urusan dunia yang melibatkan pemerintahan, ekonomi, sosial dan sebagainya maka kegemilangan umat Islam dapat dilihat begitu terserlah sedangkan apabila al-Quran tidak lagi menjadi ikutan dan rujukan utama dalam kehidupan seharian maka umat Islam berada ditahap yang begitu lemah dan terjajah dalam tanahair sendiri. Keyakinan yang tinggi bersama dengan pelaksanaan yang bersungguh-sungguh terhadap apa yang didatangkan oleh al-Quran telah mengubah keadaan dunia jahiliah yang kelam dan penuh kezaliman kepada dunia Islam yang terang bercahaya diliputi dengan keadilan. Sedangkan apabila umat Islam sendiri memilih jalan jahiliah dengan meninggalkan al-Quran maka keadaan mereka menjadi hamba kepada nafsu sehingga hilang arah tujuan hidup. Betapa berjaya dan beruntungnya umat yang dibekalkan ubat mujarrab iaitu al-Quran dalam menyembuh segala masalah yang dihadapi lalu menggunanya tanpa keraguan sehingga penyakit dapat diubat dan racun berbisa dapat disekat. Betapa ruginya umat yang hanya tahu tentang betapa mujarrabnya al-Quran dalam mencegah dan merawat segala masalah yang berlaku tetapi mereka bukan sahaja tidak yakin malah secara terang-terangan menolak al-Quran daripada digunakan sehingga mereka bukan sahaja tidak mampu menyembuh penyakit sedia ada malah menambah racun yang membinasa.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Kita pada hari ini diuji dengan pelbagai ujian berbentuk musibah dan juga penyakit-penyakit yang pelik akibat daripada perbuatan manusia itu sendiri yang cuba melawan kehebatan dan kebijaksanaan Allah. Kita umat Islam yang telah dibekalkan ubat mujarrab iaitu al-Quran sepatutnya  menggunanya dengan penuh yakin dan bersungguh bukannya meragui serta menolaknya akibat tidak mampu melawan kehendak nafsu. Betapa ruginya umat Islam apabila kita yang telah dibekalkan dengan ubat mujarrab tetapi tidak mahu menggunakan sebaliknya mencari racun berbisa dengan menggunakan system ciptaan manusia yang bukan sahaja tidak mampu menyembuh penyakit malah membinasakan kita. Ingatlah kita tentang kehebatan al-Quran apabila diguna dan bahayanya kita apabila menjauhi al-Quran sebagaimana yang pernah disebut oleh Rasulullah e  melalui sebuah hadis yang panjang yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan Darimi:

عن علي كرم الله وجهه قال : أَمَا إِنِّي سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ    e يَقُوْلُ  : أَلا إِنَّهَا سَتَكُوْنُ فِتْنَةٌ. قُلْتُ : مَا المَخْرَجُ مِنْهَا يَا رَسُوْلَ اللهِ ؟. قَالَ : كِتَابُ اللهِ فِيْهِ نَبَأُ مَا قَبْلَكُمْ وَخَبَرُ مَا بَعْدَكُمْ وَحُكْمُ مَا بَيْنَكُمْ هُوَ الفَصْلُ لَيْسَ بِالهَزْلِ مَنْ تَرَكَهُ مِنْ جَبَّاٍر قَصَمَهُ اللهُ وَمَنِ ابتْغَىَ الهُدَى فِى غَيْرِهِ أَضَلَّهُ اللهُ وَهُوَ حَبْلُ اللهِ المَتِيْنُ وَهُوَ الذِّكْرُ الحَكِيْمُ وَهُوَ الصِّرَاطُ المُسْتَقِيْمُ هُوَ الَّذِى لاتَزِيْغُ بِهِ الأهْوَاءُ وَلاتَلْتَبِسُ بِهِ الألْسِنَةُ وَلا يَشْبَعُ مِنْهُ العُلَمَاءُ وَلا يَخْلَقُ عَنْ كَثْرَةِ الرَّدِّ وَلا تَنْقَضِى عَجَائِبُهُ هُوَ الَّذِى لمَ ْتنَتْهَ ِالجِنُّ إَذْ سَمِعَتْهُ حَتَّى قَالُوْا : إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا يَهْدِى اِلىَ الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ  مَنْ قَالَ بِهِ صَدَقَ وَ مَنْ عَمِلَ بِهِ أُجِرَ وَ مَنْ حَكَمَ بِهِ عَدَلَ وَ مَنْ دَعَا إِلَيْهِ هُدِىَ إلى صِرَاطٍ مُسْتَقِيْمٍ

Maksudnya : Daripada Sayyidina Ali Karramallahu wajhah telah berkata : Ingatlah bahawa aku telah mendengar Rasulullah e bersabda : “Awaslah! Sesungguhnya akan berlaku kekacauan dan bala bencana yang besar”. Aku bertanya : “ Apakah caranya untuk menyelamatlkan diri daripada bencana itu wahai Rasulullah ?”.  Baginda menjawab : “ (Caranya ialah berpegang teguh dengan ajaran) Kitab Allah di mana ia mengandungi kisah-kisah tentang umat yang terdahulu daripada kamu dan berita mengenai perkara yang akan datang sesudah kamu serta hukum-hakam mengenai apa yang berlaku di antara kamu. Ialah (al-Quran) yang menjadi pemutus (antara yang hak dan batil) bukannya keterangan yang olok-olok. Sesiapa jua daripada golongan sombong dan angkuh yang meninggalkan al-Quran akan dibinasakan dan sesiapa yang mencari petunjuk yang lain daripada al-Quran akan disesatkan oleh Allah. Al-Quran merupakan tali Allah yang teguh kukuh dan ialah juga jalan yang lurus. Ialah Kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya maka hawa nafsu seseorang itu tidak akan menyeleweng atau terpesong. Ialah Kitab yang kalimah-kalimahnya tidak akan bercampur aduk atau kesamaran dengan kata-kata makhluk. Dan para ulama’ pula tidak merasa jemu daripada mengkaji isi kandungannya. Keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan susut dan hilang sekalipun ia dibaca berulangkali. Kandungannya yang menakjubkan tidak berkesudahan. Ialah Kitab yang menjadikan sekumpulan jin semasa mendengarnya tidak tertahan hati menerimanya sehingga mereka memujinya dengan berkata : “ Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan yang memimpin ke jalan yang benar lalu kami beriman kepadanya”. Demikian juga sesiapa yang memperkatakan sesuatu berdasarkan kitab itu (al-Quran) maka benarlah perkataannya. Sesiapa yang beramal dengan ajarannya maka dianugerahkan pahala. Sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukum-hakamnya maka adillah keputusannya. Sesiapa yang berdakwah supaya orang ramai menuruti ajarannya sudah tentu dia dan mereka akan beroleh hidayah petunjuk ke jalan yang lurus.

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

            Firman Allah dalam ayat 186 surah Ali ‘Imran :

لتبلون فى أمولكم وأنفسكم ولتسمعن من الذين أوتوا الكتب من قبلكم ومن الذين أشركوا أذى كثيرا وإن تصبروا وتتقوا فإن ذلك من عزم الأمور

Maksudnya : Kamu benar-benar akan diuji pada hartamu dan dirimu. Dan juga kamu benar-benar akan mendengar daripada mereka yang diberikan Kitab sebelum kamu dan daripada mereka yang menyekutukan Allah, gangguan yang banyak yang menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan.

            Kita dapat lihat pada hari ini bagaimana musuh Islam sentiada gerun dan benci kepada al-Quran sehingga mereka memusuhinya. Jika sebelum ini mereka bertindak menjauhkan umat Islam daripada al-Quran maka pada hari ini mereka bertindak biadap menghina al-Quran di mana antara kes terbaru di Amerika Syarikat ialah al-Quran dibakar dan dilumurkan najis. Kita peringatkan kepada mereka agar jangan bermain api dengan umat Islam. Umat yang bertaqwa kepada Allah S.W.T tdak pernah takut kepada mana-mana kuasa besar di mana betapa banyak banyak kuasa besar yang runtuh dan jatuh ke tangan umat Islam yang dipandang rendah dan lemah. Ingatlah bahawa kebangkitan umat Islam semakin hampir apabila tekanan terhadap kita semakin kuat. Islam semakin ditekan semakin melawan, semakin dihimpit semakin bangkit, semakin ditindas semakin bertunas.

            Kita begitu kecewa apabila system dan cara kuffar yang belum tentu berjaya malah banyak yang gagal terus diikut oleh umat Islam sehingga sanggup mengenepikan al-Quran. Antara terbaru ialah pembahagian kondom dan jarum percuma bagi mengangani penularan virus HIV sedangkan perkara ini masih hangat dibincangkan di Amerika Syarikat itu sendiri. Ia boleh menggalakkan penagihan dadah dan seks bebas sedangkan usaha ke arah menutup pintu-pintu tempat merebaknya AIDS tidak dititiberatkan. Inilah bahayanya apabila merawat didahulukan daripada mencegah. Wang rakyat akan dihabiskan lebih daripada 2oo juta setahun untuk menangani masalah HIV termasuk 1 juta bagi menyediakan jarum dan kondom percuma ini disamping pembaziran lain seperti pembiayaian terhadap program hiburan yang merosakkan rakyat sedangkan keperluan rakyat seperti subsidi diesel dicadang pula untuk ditarik balik. Akhirnya golongan rosak akhlak dipuja dan dijaga sedangkan rakyat yang tidak berdosa menanggung bebanan yang bertambah sepanjang masa.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Menyedari tentang betapa pentingnya hubungan yang rapat antara kita dan al-Quran dalam mencapai kemuliaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat maka kita wajib menunaikan kewajipan kita terhadap al-Quran. Pertamanya kita mesti membaca al-Quran sehingga pandai. Keduanya kita mesti membaca al-Quran sehingga memahami isi kandungannya. Ketiganya kita mesti membaca al-Quran sehingga mampu menghafaz keseluruhan atau setakat yang termampu oleh kita. Keempatnya kita mesti membaca al-Quran sehingga dapat mengamalnya dalam kehidupan seharian. Kelimanya kita mesti membaca al-Quran sehingga ia mampu dimasyarakatkan. Keenamnya kita mesti membaca al-Quran sehingga ia mampu didaulatkan. Apabila umat Islam mampu melaksanakan segala tanggungjawab terhadap al-Quran maka kemenangan yang dijanjikan oleh Allah semakin dekat.  Firman Allah dalam  ayat 71 surah al-Mukminun:

ولو اتبع الحق أهواءهم لفسدت السموت والأرض ومن فيهن بل أتينـهم بذكرهم فهم عن ذكرهم معرضون

Maksudnya : Dan Sekiranya kebenaran itu tunduk menurut kehendak hawa nafsu mereka nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta apa yang ada padanya. Bahkan Kami telah berikan kepada mereka itu al-Quran untuk kehormatan sebutan mereka namun mereka tetap berpaling daripada kehormatan itu.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 

100. RAIHKANLAH KEMULIAAN HIDUP DENGAN IMAN

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُفَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam  ayat 54  surah al-Maidah :

يــأيها الذين ءامنوا من يرتد منكم عن دينه فسوف يأتى الله  بقوم يحبهم ويحبونه أذلة على المؤمنين أعزة على الكــفرين يجــهدون فى سبيل الله ولايخافون لومة لآئم ذلك فضل الله يؤتيه من يشاء والله وسع عليم

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu yang murtad dari agamaNya maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum di mana Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai Allah, bersikap lemah lembut terhadap orang mukmin dan tegas terhadap orang kafir, berjihad pada jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Itulah suatu kurniaan Allah kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas pemberianNya lagi Maha Mengetahui

            Manusia sentiasa mencari kebahagiaan hakiki dan kemuliaan diri dengan pelbagai cara samada bersumberkan suluhan wahyu atau pun tersesat dalam kongkongan nafsu. Melalui neraca yang ditunjukkan oleh al-Quran dan hadis nabi serta catatan sejarah maka kita dapati bagaimana kebahagiaan hakiki dan kemuliaan abadi hanya mampu diraih apabila manusia tunduk kepada kehendak Allah dan rasulNya dengan mengikut segala ajaran Islam yang meliputi seluruh aspek kehidupan. Kebahagiaan dan keseronokan adalah sesuatu yang berbeza, begitu juga dengan kemuliaan dan kekayaan merupakan sesuatu yang berlainan. Ramai manusia yang membeli keseronokan dengan hanyut dalam hiburan yang melalaikan sehingga ada yang terlampau mahu mencari keronokan dengan menghampiri najis arak dan dadah namun begitu pada zahirnya mereka nampak seronok tetapi sebenarnya mereka gagal mendapat kebahagiaan di mana jiwa mereka terus kekosongan. Ramai manusia yang memiliki kekayaan tetapi tidak merasai ketenangan apatah lagi kemuliaan hidup di mana manusia disekelilingnya hanya sayang pada hartanya bukan mengasihi dirinya terutama kekayaan itu diperolehi daripada sumber yang haram. Oleh itu berhatilah kita dalam mencari kebahagiaan hakiki dan kemuliaan abadi dengan memastikan diri kita mengikuti jejak langkah yang telah diwahyukan oleh Allah dan ditunjukkan oleh Rasulllah s.a.w kepada kita.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Kebahagiaan hakiki dan kemuliaan abadi hanya dapat diraih apabila kita dapat merasai kemanisan iman dengan mencintai Allah dan rasulNya melebihi kasih kita kepada perkara yang lain serta mengasihi saudara Islam yang lain atas dasar iman bukan selainnya sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim daripada Anas:

قَالَ الرَّسُوْلُ : ثَلاثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ ِبهِنَّ حَلاوَةَ الإْيمَان : أَنْ يَكُوْنَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ ِمَّما سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لايُحِبُّهَ إِلا ِللهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُوْدَ فِى الكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِى النَّارِ

Maksudnya : Sesiapa yang memiliki tiga perkara ini nescaya dia akan dapat merasakan kemanisan iman iaitu dia mengasihi Allah dan rasulNya lebih daripada yang lain dan dia mengasihi seseorang semata-mata kerana Allah serta dia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas dia diselamatkan oleh Allah daripadanya sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka

            Setelah meraih rasa kasih yang tidak berbelah bahagi terhadap Allah dan rasulNya maka ia akan menyemarakkan lagi semangat kita untuk memperjuangkan Islam untuk kembali merajai dunia. Jika kita boleh menunaikan solat lima waktu, puasa Ramadhan, mengeluarkan zakat serta menunaikan haji tanpa banyak bertanya tentang apakah ganjaran dunia yang segera yang kita boleh dapat daripadanya maka begitulah juga dalam memperjuangkan system Islam yang lain untuk dilaksanakan di mana kita tidak akan bertanya tentang ganjaran dunia yang kita akan dapat daripadanya sebaliknya kita yakin dalam diri bahawa semua ini kita lakukan kerana kasih kita kepada Allah dan rasulNya. Kita perlu ingat bahawa jika kita tidak bersungguh apatah lagi tidak mahu memperjuangkan pelaksanaan sistem Islam yang menyeluruh maka Allah akan menghancurkan kita dengan menggantikan petugas dalam memperjuangkan Islam kepada bangsa lain yang lebih bersungguh. Oleh itu tunaikanlah segala amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan oleh Allah dengan sebaiknya serta bersungguh dengan penuh istiqamah dalam berjuang sehingga datangnya ketentuan daripada Allah

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Mulianya bani Israel sebelum ini bukan disebabkan mereka berketurunan nabi dan dalam bangsa mereka dilahirkan begitu ramai para nabi sebaliknya mulianya mereka kerana tunduk kepada Islam. Begitu juga mulianya bangsa arab bukanlah disebabkan al-Quran diturunkan dalam bahasa arab dan nabi dilahirkan daripada kalangan bangsa itu sebaliknya kerana bangsa arab terlebih dahulu memahami al-Quran dan beriman kepada nabi serta tunduk kepada seluruh ajaran Islam. Mulianya umat Islam bukan semata-mata kita mengaku beragama Islam sebaliknya mestilah disertakan dengan tertunainya pelbagai kewajipan dan tanggungjawab yang terpikul atas bahu kita bukan sahaja berkisar pada ibadat khusus tetapi meliputi seluruh aspek kehidupan yang lain. Kita perlu sedar bagaimana pelbagai penyakit dan bala yang menimpa umat Islam akibat daripada sikap sesetengah umat Islam yang meninggalkan ajaran Islam yang menyeluruh. Umat Islam telah diberi ubat mujarab yang mampu mencegah dan merawat ribuan penyakit di mana ubat itu berbentuk sistem Islam dalam menangani pelbagai masalah kita samada dari segi peribadatan, perundangan, pemerintahan, sosial dan sebagainya. Alangkah malangnya umat Islam yang meninggalkan ubat mujarab itu dengan mengguna pakai sistem ciptaan manusia yang bukan sahaja tidak berupaya mengubati satu penyakit pun malah membawa ribuan racun yang menambahkan lagi penyakit yang sedia ada.

Ingatlah kita bahawa hukuman selain hukuman Allah tiada jaminan dan pencegahan daripada Allah. Kita pernah membaca bagaimana kerajaan Amerika Syarikat cuba mengharamkan peminuman, pembelian, penjualan, pengeluaran dan pengedaran arak pada tahun 1930. Mereka mengemukakan pelbagai cara melalui penyelidikan yang teliti dan perbahasan ilmiah mengenai bahayanya arak untuk disebarkan kepada rakyat mengenainya. Media massa digunakan sepenuhnya untuk menerangkan mengenai perkara ini yang mana tujuan ini menelan belanja sebanyak US65 juta dan pencetakan sahaja meliputi US9 juta serta US4 juta lebih bagi tujuan pelaksanaan undang-undang ini. Menurut laporan dari bahagian penyelidikan dan pengkajian menunjukkan kesan pelaksanaannya antara Oktober 1933 telah menyebabkan 200 orang dihukum bunuh, seramai setengah juta orang dipenjara dan rampasan kepada arak mencapai angka US 1.5 juta serta denda yang dikenakan kerana kesalahan ini berjumlah US400 juta. Akhirnya undang-undang ini terpaksa dibatalkan pada akhir tahun 1933 memandangkan mereka kehilangan banyak nyawa dan juga denda yang dilakukan tidak mampu membendung masalah arak ini. Ini adalah kerana undang-undang yang dicipta oleh tangan manusia tidak mampu menimbulkan keinsafan dan juga tiadanya perhubungan antara duniawi dan ukhrawi tidak sebagaimana hukuman Allah yang Maha Adil dan memberi kesan kepada makhlukNya. Hukuman sebat ke atas peminum arak sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam mampu menginsafkan mereka yang terlibat untuk bertaubat dan berhenti daripada tabiat minum arak dan berupaya pula untuk mencegah orang lain daripada terjerumus dalam kesalahan yang sama.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

            Masalah umat Islam semakin bertambah terutama apabila kempen dalam membenci umat Islam terus disemarakkan ke seluruh dunia oleh kuffar yang diketuai oleh Amerika. Penjajahan baru turut menambah penderitaan umat Islam sebagaimana di Afghanistan yang sebelum ini telah berjaya menghapuskan penanaman candu tetapi selepas perlantikan kerajaan boneka telah menjadikan Afghanistan sebagai pengeluar candu terbesar dunia. Begitu juga penjajahan Iraq menyebabkan penjualan dadah mula merebak dengan meluas disamping yahudi menggunakan peluang yang ada untuk mengambil dan membeli tanah di Iraq bagi meluaskan lagi penempatan yahudi yang sedia ada di Palestin. Akhirnya umat Islam menghadapi dua masalah besar iaitu dalaman dengan pelbagai masalah sosial yang banyak membantut kemajuan ditambah dengan masalah luaran berbentuk penjajahan baru dengan pelbagai kekerasan yang dilakukan agar seluruh negara umat Islam terus tunduk kepada kuffar. Ketika berhadapan dengan musuh maka seluruh kekuatan mesti kita dilengkapkan terutama ikatan hati dengan Allah. Ingatlah kata-kata yang pernah dikeluarkan oleh Sayyidina Umar al-Khottab : Kamu hendaklah takut kepada dosa kamu sendiri berbanding musuh. Jika kamu mati di tangan musuh maka hanya jasad bercerai daripada roh sedangkan jika kamu mati dengan dosa maka ia akan kamu bawa ke akhirat. Orang kafir itu dikalahkan disebabkan kederhakaan mereka terhadap Allah. Sekiranya kamu umat Islam pun turut derhaka maka kamu tidak akan dibantu oleh Allah.

Ingatlah Firman Allah dalam ayat 162-163 surah al-An’am :

قل إن صلاتي ونسكي ومحياي ومماتي لله رب العــلمين لاشريك له وبذلك أمرت وأنا أول المسلمين

Maksudnya : Katakanlah : “ Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri kepada Allah

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن