• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3











  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,675,833 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 6,409 other followers

137. DAULATKAN ISLAM SELAMATKAN MALAYSIA


 

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat  144 surah al-Baqarah :

قد نرى تقلب وجهك في السماء فلنولينك قبلة ترضئها  فول وجهك شطر المسجد الحرام   وحيث ماكنتم فولوا وجوهكم شطره  وإن الذين أوتوا الكتب ليعلمون أنه الحق من ربهم  وما الله بغفل عما يعملون

Maksudnya : Sesungguhnya Kami lihat engkau sentiasa mengadah ke langit, maka Kami palingkan engkau (menghadap) ke kiblat yang engkau ingini. Sebab itu, palingkanlah mukamu ke pihak Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, hadapkanlah mukamu ke pihaknya. Dan sesungguhnya orang yang diberi kitab mengetahui bahawasanya itu adalah kebenaran daripada Tuhan mereka. Dan Allah tidak lalai terhadap apa pun yang kamu kerjakan.

Kita kini berada pada penghujung bulan Sya’aban dan marilah kita sama-sama berdoa agar sempat bertemu dengan bulan Ramadhan bagi merebut segala tawaran istimewa yang dijanjikan oleh Allah padanya. Tidak lupa ketika berada pada bulan Sya’aban yang turut mempunyai kelebihannya yang tersendiri maka kita sama-sama mengingati bagaimana sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda diarahkan agar menghadap ke arah Baitul Maqdis dan ramai di kalangan penduduk Madinah waktu itu daripada golongan Yahudi di mana sememangnya qiblat mereka adalah Baitul Maqdis. Oleh itu kaum yahudi sentiasa mengejek dan mencerca nabi Muhammad s.a.w dan kaum muslimin kerana yahudi mendakwa baginda tidak benar serta tidak tetap pendirian kerana terpaksa menghadap ke arah qiblat yang sama dengan yahudi iaitu Baitul Maqdis. Cercaan dan ejekan yahudi ini agak memberi kesan mendalam terhadap umat Islam pada masa itu sehingga nabi berdoa dan memandang ke langit mengharapkan turunnya wahyu yang mengizinkannya dan para sahabat berpaling ke Baitullah di Mekah. Akhirnya selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah s.a.w menghadap ke Baitul Maqdis, barulah Allah memerintahkan agar baginda menghadap ke Ka’abah di mana ia berlaku pada bulan Sya’aban

 

Sidang Jumaat yang dikasihi,

            Peristiwa pertukaran Qiblat ini memberi isyarat yang jelas kepada umat Islam agar kita mesti berusaha memerdekakan diri kita daripada belenggu penjajahan samada dari segi aqidah, sosial, budaya, ekonomi, perundangan dan sebagainya. Umat Islam yang benar-benar merdeka ialah umat yang berjaya memerdekakan dirinya di dunia ini daripada hasutan hawa nafsu dan syaitan seterusnya memerdekakan diri kita daripada sifat-sifat mazmumah atau tercela daripada terus menguasai diri sehingga lahirnya kita sebagai umat bertaqwa. Taqwa adalah lambang kemerdekaan yang hakiki yang mesti dicapai oleh umat Islam. Taqwa tidak mampu dihasilkan melainkan dengan memiliki 4 ciri utama yang pernah disebut oleh Sayyidina Ali Karramallahu wajhah iaitu [1] takut kepada Allah dalam setiap perkara, [2] sentiasa redha dengan pemberian Allah walau pun sedikit, [3] sentiasa melaksanakan sistem Islam dalam kehidupan sebagaimana yang telah diturunkan oleh Allah melalui al-Quran [4] dan sentiasa bersedia dengan bekalan terbaik bagi menghadapi kehidupan akhirat yang kekal abadi. Setelah kita sendiri mampu memerdekakan diri kita daripada tunduk kepada perkara yang ditegah oleh Allah dalam setiap aspek kehidupan maka kita sendiri mesti memerdekakan ahli keluarga bermula anak isteri dan seterusnya saudara-mara dan sahabat handai seterusnya masyarakat sekitar agar mereka turut tunduk kepada Allah sehingga kemerdekaan yang hakiki dapat dicapai. Umat merdeka yang mahu selamat dunia dan akhirat mesti mempunyai tiga syarat utama iaitu [1] mesti menyuruh masyarakat membuat perkara makruf, [2] mencegah mereka daripada perkara mungkar [3] dan mesti beriman kepada Allah. Selamatnya sebuah negara bila wujudnya golongan yang sentiasa bersungguh memperbaiki kerosakan dalam masyarakat sebagaimana firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :

وما كان ربك ليهلك القرى بظلم وأهلها مصلحون

Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.

 

 

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Kita baru sahaja menyambut 50 tahun kemerdekaan negara di mana sepatutnya dengan usia sebegini maka belenggu penjajahan telah banyak dapat kita kikis. Kita mesti menghayati erti kemerdekaan sebenar sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh Rub’i bin ‘Umair ketika menjawab pertanyaan Rostam Panglima Parsi iaitu : Allah mengutuskan kami untuk memerdekakan sesiapa yang dikehendaki daripada menyembah manusia kepada menyembah Allah Tuhan Pencipta manusia, Dan daripada kesempitan dunia kepada kelapangan dan keluasan akhirat seterusnya daripada kezaliman sistem ciptaan manusia kepada keadilan Islam.

Kita lihatlah diri apa yang berlaku dalam negara samada benar-benar telah merdeka atau masih dijajah. Adakah rakyat dalam negara kita benar-benar menyembah Allah dalam setiap perkara  atau masih tunduk sesama manusia. Kita perhatikan sendiri bagaimana keadaan umat Islam sendiri terhadap suruhan Allah seperti solat lima waktu di mana semakin ramai yang mengabaikannya kerana jahil, malas dan pelbagai alasan lagi. Pernah dalam satu laporan akhbar di mana ada sebuah sekolah yang menganjurkan perkhemahan mendapati daripada 200 orang peserta program itu hanya 3 orang sahaja yang cukup sembahyangnya. Begitu juga pengalaman seorang guru yang pernah menguji sekelas pelajar tingkatan 4 di sekolahnya untuk mengucap 2 kalimah syahadah di mana hanya seorang sahaja yang dapat mengucap. Adakah generasi ini bakal meneruskan kemerdekaan negara sedangkan kata Imam Ghazali keadaan akhlak pemuda pada waktu ini mencerminkan kepimpinan pada masa hadapan samada baik atau buruk. Ingatlah suatu amaran melalui firman Allah dalam ayat 59  surah Maryam :

فخلف من بعدهم خلف أضاعوا الصلوة واتبعوا الشهوت فسوف يلقون غيا

Maksudnya : Maka datanglah sesudah mereka pengganti yang mensia-siakan solat dan menurut hawa nafsunya maka mereka kelak akan menemui kesesatan

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Setelah 50 tahun merdeka juga adakah aqidah umat Islam semakin kuat atau rosak, akhlak umat Islam semakin baik atau musnah. Sebuah syair arab ada menyebut: Demi umur kamu, dunia atau negeri tidak akan sempit dengan ramai penduduknya tetapi dunia atau negeri menjadi sempit akibat perangai buruk penduduknya. Kita pada hari ini melihat hanya laungan merdeka yang dilaungkan tetapi diri rakyat terus dijajah dengan cara pemikiran, pemakaian dan system penjajah. Kerosakan aqidah, kemusnahan akhlak dengan kadar jenayah terus meningkat telah menyebabkan rakyat melaungkan kemerdekaan dalam suasana penuh ketakutan dan kebimbangan. Keadaan ini akibat daripada suasana sekitar yang dirosakkan termasuk pengaruh media massa terutama tv. Profesor Diraja Engku Aziz sebagai antara cerdik pandai negara ini menyatakan bahawa beliau sendiri sudah lama tidak menonton tv kerana rancangan tv adalah sampah yang memusnahkan aqidah dan akhlak rakyat sekarang. Limpahan sampah dengan rancangan hiburan melampau dan aksi ganas telah banyak mempengaruhi budaya hidup rakyat terutama anak muda masa kini. Malah sambutan kemerdekaan yang dipenuhi dengan hiburan melampau bukan memerdekakan kita daripada penjajahan budaya malah menambahkan lagi masalah yang sedia ada. Oleh itu kita turut kecewa apabila ada menteri meminta agar kerajaan Kelantan tidak mencampur adukkan antara agama dan budaya atas alasan di Mesir pun tidak difatwa tentang haramnya tarian gelek. Inilah bahaya bila negara belum merdeka daripada dicengkam oleh manusia yang menurut hawa nafsu kepada menyembah Allah. Kegagalan dalam memerdekakan rakyat daripada mengharap habuan dan projek dunia yang sedikit dan sementara kepada mengingat serta bersiap dengan bekalan akhirat yang lebih besar dan kekal nikmatnya turut menyebabkan manusia ini terlibat dengan rasuah bermula daripada pemimpin hingga rakyat bawahan. Keadaan jenayah semakin tidak terkawal bila rasuah begitu banyak, begitu juga kerosakan bangunan tidak dapat ditangani bila pecah amanah berlaku di mana-mana. Oleh itu merdekakan negara dengan kembali melaksanakan system Islam dalam seluruh aspek kehidupan barulah kita merdeka di dunia, merdeka di daripada siksaan kubur dan merdeka daripada siksaan neraka Allah di akhirat nanti. Daulatkan Islam Selamatkan Malaysia nescaya Dunia bahagia Akhirat sejahtera

            Firman Allah dalam ayat 44 surah al-An’am :

فلما نسوا ما ذكروا به فتحنا عليهم أبوب كل شيء حتى إذا فرحوا بما أوتوا أخذنــهم بغتة فإذاهم مبلسون

Maksudnya : Maka apabila mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka lalu Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan, Kami siksa mereka dengan tiba-tiba.Maka ketika itu mereka terdiam putus asa

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: