• Ahlan Wa Sahlan

    Selamat Datang Ke Blog Khutbah Pilihan yang menampilkan lebih 300 teks khutbah Jumaat dan Hari raya yang dinukilkan oleh Ibnuatiq bermula tahun 1999 hingga kini. Ia merupakan salah suatu usaha dakwah dalam mengembangkan syiar Islam di mana para pengunjung digalakkan untuk mengambil teks khutbah ini untuk sebaran umum. Sebarang teguran kepada kesilapan dan cadangan atau ingin khutbah terbaru bolehlah daftar melalui facebook.com/ekhutbah . Semoga kita semua dirahmati dan diberkati oleh Allah.

  • Kandungan Blog

  • ekhutbah Audio MP3



  • Kategori Khutbah

  • Arkib Khutbah

  • Tulisan Terbaik

  • Capaian Terhangat

  • Pengunjung Blog

    • 1,770,139 tetamu
  • Tetamu Online

  • Enter your email address to follow this blog and receive notifications of new posts by email.

    Join 10,025 other followers

91. ISLAM DIJULANG JAHILIAH DIBUANG


 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

فرمان الله تعالى دالم أية    7 – 8   سورة الفرقان :

وقالوا مال هذا الرسول يأكل الطعام ويمشى فى الأسواق لولآ أنزل إليه ملك فيكون معه نذيرا   أو يلقى إليه كنز أو تكون له جنة يأكل منها وقال الظــلمون إن تتبعون إلا رجلا مسحورا

Maksudnya :  Dan mereka(orang kafir) berkata : “ Mengapakah rasul ini memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar?. Mengapakah tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama-sama dengannya?. Atau (mengapakah tidak) diturunkan kepadanya perbendaharaan atau ada kebun baginya di mana dia dapat makan hasilnya?”. Dan orang-orang yang zalim itu berkata lagi :” Kamu sekalian tidak lain hanyalah mengikuti seorang lelaki yang terkena sihir”.

                Kelahiran nabi Muhammad s.a.w merupakan suatu rahmat yang besar kepada umat akhir zaman setelah begitu lama bumi ini gersang daripada pengutusan nabi dan rasul serta terhentinya penurunan wahyu dari langit yang mengakibatkan ramai umat manusia berada dalam kesesatan jahiliah. Kedatangan Rasulullah s.a.w yang diutuskan untuk sekalian umat manusia tanpa terbatas kepada umat tertentu sahaja telah menyuburkan kembali bumi dengan siraman keimanan serta berlalunya kegelapan jahiliah dengan bersinar kembali cahaya Islam. Penghantaran nabi Muhammad s.a.w bersama wahyu al-Quran merupakan antara tanda kasih dan belas kasihannya Allah S.W.T terhadap makhlukNya yang telah lama menunggu lahirnya seorang nabi dan rasul dalam meneruskan perjuangan para nabi dan rasul sebelum ini. Sesungguhnya Allah S.W.T tidak akan mengazabkan sesuatu kaum atau bangsa sehinggalah mereka bertindak mengengkari perintah Allah S.W.T setelah datangnya kepada mereka penjelasan dan keterangan melalui nabi atau rasul yang diutuskan.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

                Pemilihan nabi dan rasul daripada kalangan manusia itu sendiri turut membuktikan kepada kita bagaimana hebatnya perancangan Allah S.W.T dalam memastikan umat manusia dapat mencontohi segala perbuatan nabi dengan mudah dan bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia itu sendiri. Cuba kita bayangkan bagaimana kita mahu mencontohi nabi jika baginda dilantik dari kalangan malaikat seumpama masalah adab makan dan tidur sedangkan malaikat tidak berperangai sebagaimana manusia. Sesuai dengan akhlak nabi adalah al-Quran itu sendiri di mana baginda dianggap al-Quran yang bergerak sehingga kita dengan mudah dapat merujuk al-Quran jika mahu mengetahui dan mencontohi bagaimana akhlak Rasulullah s.a.w yang sebenar. Oleh itu walau pun sudah begitu lama nabi Muhammad s.a.w meninggalkan kita dan kita sendiri tidak sempat bertemu dengan baginda namun wahyu al-Quran terus kekal sebagai pedoman utama bersama hadis nabi dalam memberi petunjuk ke arah jalan kebenaran. Nabi Muhammad s.a.w bukan suatu dongengan, bukan suatu rekaan, bukan suatu khayalan malah ia adalah seorang tokoh manusia agung yang benar-benar wujud dan telah banyak menabur jasa dan bakti dalam mengubah cara hidup manusia daripada kesesatan kepada kebenaran, daripada jahiliah kepada Islam, daripada kekufuran kepada keimanan.

            Kisah tentang keelokan akhlak nabi dan betapa hebatnya perjuangan nabi dalam meninggikan kalimah Allah S.W.T di muka bumi ini bukan suatu yang cukup sekadar disebut dimulut tetapi ia mesti diikut dengan penuh keyakinan dan kesungguhan. Ingatlah kita bahawa berpegang dan menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w di akhir zaman ini bagaikan menggenggam bara api malah ganjaran bagi mereka yang memperjuangkan dan mempertahankan sunnah nabi ini ganjarannya begitu besar sebagaimana yang tersebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi :

 من تمسك بسنتي عند فساد أمتي فله أجر مائة شهيد   

Maksudnya : Sesiapa yang berpegang teguh dengan sunnahku ketika kerosakan umatku maka baginya pahala seratus orang mati syahid

 

 

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w dalam suasana masyarakat jahiliah memerlukan kepada suatu penjagaan yang begitu rapi bagi memastikan pengaruh jahiliah tidak meresap dalam merosakkan aqidah dan akhlak baginda. Oleh itu nabi ditarbiah langsung daripada Allah sehingga dada baginda pernah dibedah untuk dicucikan hatinya oleh malaikat bagi memastikan persediaan awal dalam membina peribadi yang tinggi sebelum dibangkit menjadi nabi lagi rasul akhir zaman. Suasana sekeliling banyak memberi kesan dan pengaruh dalam pembinaan diri kita di mana ramai di kalangan kita yang hidup dalam suasana keluarga dan masyarakat persekitaran yang berpegang teguh kepada agama mampu lahir sebagai seorang yang soleh. Ramai pula di kalangan mereka yang hidup dalam suasana keluarga dan masyarakat yang jauh daripada agama telah lahir sebagai seorang yang turut jauh daripada pegangan agama. Namun begitu tidak dapat dinafikan ada juga di kalangan manusia yang hidup dalam suasana yang berpegang teguh kepada agama tetapi dirinya menjadi jahat akibat dirasuk dengan godaan nafsu. Begitu juga ada segelintir manusia yang hidup dalam suasana yang jauh daripada agama tetapi dirinya mampu lahir sebagai peribadi soleh kerana mendapat hidayah Allah sehingga dia terus berusaha dalam menghindari kesesatan dengan menjadikan system Islam sebagai cara hidup. Oleh itu marilah kita sama-sama berusaha dalam memastikan keluarga dan masyarakat sekeliling kita berpegang teguh kepada ajaran Islam dalam setiap aspek kehidupan agar generasi kita sekarang dan akan datang terus terjaga dan terbela di bawah kawalan sistem Islam.

Ingatlah kita bahawa mulianya nabi dan umat Islam terdahulu apabila mereka menukarkan system jahiliah kepada Islam, mengubah cara hidup daripada kekufuran kepada keimanan. Sedangkan umat Islam hari ini terus menjadi mangsa kezaliman dan penindasan musuh Islam akibat ramai di kalangan kita sendiri mengambil tindakan yang salah dengan menukar atau terus rela memilih system jahiliah dengan menolak Islam, menggunakan cara hidup yang menghampiri kekufuran daripada memilih jalan yang menambah keimanan. Tidak cukup sekadar mengatakan kita sudah melaksanakan Islam hanya dengan mencampur adukkan antara system Islam dengan jahiliah, campur antara iman dengan kufur atau menerima sebahagaian ajaran Islam dan menolak sebahagian yang lain sebagaimana seekor lembu yang dipotong kakinya lalu diganti dengan kaki manusia maka ia tetap dipanggil lembu bukannya manusia walau pun kakinya telah digantikan dengan kaki manusia.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

            Kita jangan sama sekali dihanyutkan dengan nikmat keamanan sehingga kita semakin jauh daripada cara hidup Islam dan terus hanyut dengan kemewahan serta hiburan yang melalaikan. Kita jangan lupa kepada penderitaan umat Islam di Palestin yang saban hari menjadi mangsa kekejaman pengganas yahudi. Ketika kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera Amerika dan Britain yang sudah sakit jiwa akibat dipaksa berperang di Iraq sehingga menyiksa tahanan Iraq di penjara Abu Gharib dengan penderaan yang tidak bertamadun maka kita  turut menyelar tindakan pemimpin yang membiarkan tahanan ISA disiksa dengan cara yang hampir sama termasuk dipaksa berbogel, diludah, dibakar janggut dan sebagainya serta dilarang solat Jumaat. Tidak lupa kita kepada keadaan pelampau Kristian yang gila darah sehingga membunuh ratusan umat Islam di Nigeria dan kini umat Islam bangkit menyerang balas tindakan kejam tersebut. Begitu juga keadaan di Maluku, Indonesia yang kembali bergolak antara Islam dan Kristian. Kita juga mesti lebih mengambil berat tentang perancangan jahat Amerika di Selatan Thailand sehingga terbunuhnya lebih 100 orang umat Islam termasuk yang sedang beriktikaf dalam Masjid Kerisik. Sandiwara yang menjadikan umat Islam sebagai mangsa merupakan antara cara dalam menghalalkan kedatangan Amerika ke Selatan Thailand bagi membendung kebangkitan Islam di rantau ini. Kita turut mendesak agar pemimpin memandang serius terhadap penjajahan baru ini serta kemasukan Amerika di Selat Melaka atas undangan Singapura. Janganlah disebabkan ada pakar Amerika yang merancang dalam menjadikan pilihanraya lalu sebagai yang terburuk dan paling keji dalam sejarah negara menyebabkan pemimpin berlembut hati dengan Amerika. Akhirnya umat Islam terutama di Malaysia dikepung dari Selatan Thailand dan Selat Melaka oleh musuh Islam. Kembalilah kepada Islam dan jangan sama sekali tunduk kepada musuh. Islam menawarkan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat sedangkan musuh sentiasa berusaha dalam menghancurkan umat Islam samada kita tunduk atau melawan mereka. Islamlah nescaya kita mulia dan bahagia di dunia dan akhirat.

Firman Allah dalam ayat 15  surah al-Hujurat :

إنما المؤمنون الذين ءامنوا بالله ورسوله ثم لم يرتابوا وجــهدوا بأمولهم وأنفسهم فى سبيل الله  أولئك هم الصــدقون

Maksudnya : Sesungguhnya  orang-orang yang beriman hanyalah mereka yang beriman kepada Allah S.W.T dan rasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah S.W.T. Mereka itulah orang-orang yang benar

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: