150. ISRA’ MIKRAJ PERINGATAN BERHARGA


 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :

سبحن الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذي بركنا حوله لنريه من ءايتنا  إنه هو السميع البصير

Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

            Bulan Rejab telah mencatatkan suatu peristiwa penting yang telah berlaku terhadap diri Rasulullah s.a.w iaitu Isra’ dan Mikraj di mana melalui peristiwa inilah maka umat Islam diwajibkan agar mendirikan sembahyang lima waktu sehari semalam. Isra’ yang merupakan perjalanan nabi pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa manakala Mikraj pula merupakan perjalanan nabi dari Masjidil al-Aqsa ke langit tertinggi di mana peristiwa ini yang merupakan antara mukjizat nabi Muhammad s.a.w telah berlaku terhadap tubuh dan ruh Rasulullah s.a.w bukannya secara ruh sahaja sebagaimana pendapat sesetengah golongan. Jika melihat kepada maksud diperjalankan hambaNya di mana erti hamba itu sendiri ialah tubuh dan ruh bukan ruh sahaja disamping perjalanan ini ditemani oleh malaikat Jibril dengan menaiki Buraq di mana jika perjalanan itu hanya dengan ruh sahaja maka tidak perlu kepada binatang tunggangan. Malah nabi Muhammad s.a.w turut dibelah hatinya untuk dibersihkan hatinya dengan air zam-zam yang menambahkan lagi keyakinan bahawa peristiwa Isra’ dan Mikraj ini berlaku terhadap tubuh dan ruh nabi.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

            Ada juga golongan yang mengatakan bahawa Isra’ dan Mikraj hanya berlaku secara ruh iaitu melalui mimpi dengan menafsirkan makna الرؤيا dalam ayat 60 surah al-Isra’ sebagai mimpi bukannya melihat dengan mata iaitu Firman Allah S.W.T :

وما جعلنا الرؤيا التى أريناك إلا فتنة للناس

Maksudnya sebagaimana tafsiran golongan tersebut :  Dan bukanlah Kami jadikan mimpi yang Kami perlihatkan kepada engkau (Wahai Muhammad) melainkan sebagai ujian bagi umat manusia.

            Tafsiran ini ditolak kerana maknaالرؤيا  dalam ayat tersebut ialah melihat dengan mata bukannya sekadar mimpi. Malah kalimah فتنة bererti ujian yang datang dalam ayat ini menjelaskan lagi tentang maksud الرؤيا sebelumnya di mana jika Isra’ dan Mikraj hanya berlaku secara mimpi maka ia tidak begitu menguji keimanan manusia kerana mimpi mudah dipercayai walau sejauh mana pun seseorang itu pergi dalam masa yang sekejap sedangkan apabila nabi memberitahu manusia bahawa baginda diperjalankan dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa seterusnya naik ke langit dalam suatu malam sahaja maka  ia sudah tentu menguji keimanan seseorang sehingga yang kufur semakin kufur dan yang telah Islam ada yang kembali murtad.

            Ulama’ turut menolak hujah mereka yang mengatakan peristiwa Isra’ dan Mikraj hanya melalui mimpi dengan menimbulkan beberapa persoalan seperti adakah arahan kewajipan sembahyang lima waktu yang merupakan tiang agama hanya diterima melalui mimpi sehingga ia menjadi arahan yang begitu lemah tidak sebagaimana rukun Islam yang lain. Adakah dikira suatu mukjizat yang hebat jika Isra’ dan Mikraj hanya berlaku secara mimpi kerana manusia biasa pun boleh bermimpi sedangkan jika ia berlaku secara tubuh dan ruh maka ia menampakkan lagi tanda kenabian nabi Muhammad s.a.w.

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

             Ada juga golongan yang cuba mempertahankan Isra’ dan Mikraj dengan ruh sahaja dengan menggunakan hadis yang didakwa daripada Siti Aisyah iaitu :

مَافَقَدْتُّ جَسَدَ رَسُوْلِ اللهِ وَاِنَّمَا أَسْرَى بِرُوْحِهِ

Maksudnya : Aku tidak pernah kehilangan tubuh Rasulullah dan adapun baginda diperjalankan dengan ruhnya

            Ulama’ menyatakan bahawa hadis ini mungkin direka dan bukan daripada percakapan Siti Aisyah memandangkan dia belum berkahwin lagi dengan nabi apatah lagi tinggal serumah dengan baginda semasa Isra’ dan Mikraj yang berlaku sebelum Hijrah di mana Siti Aisyah hanya tinggal serumah dengan nabi selepas Hijrah. Melalui beberapa hujah yang diterangkan secara ringkas maka yakinlah kita bahawa peristiwa Isra’ dan Mikraj yang merupakan antara mukjizat nabi Muhammad s.a.w berlaku terhadap tubuh dan ruhnya.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

                Antara pengajaran yang dapat diambil daripada peristiwa bersejarah ini ialah tentang siksaan ahli neraka yang telah diperlihatkan kepada nabi Muhammad s.a.w semasa dibawa melawat neraka. Antaranya siksaan terhadap orang yang meninggalkan sembahyang di mana mereka memecahkan kepala mereka sendiri. Ini merupakan suatu amaran yang keras agar kita dan keluarga kita  serta masyarakat sekitar dapat menjaga sembahyang dengan baik terutama pada hari ini ramai di kalangan umat Islam tanpa segan silu meninggalkan sembahyang dengan pelbagai alasan termasuk kerana terlalu sibuk dengan kerja. Bermula daripada meninggal sembahyang inilah maka umat Islam mula melanggar segala perintah dan larangan Allah yang lain yang menyebabkan kita hidup melarat di dunia. Oleh itu insaflah kita dengan sentiasa memenuhi masjid sepanjang masa bukannya hanya pada hari Jumaat atau hari raya sahaja. Kita turut menyeru agar pemimpin menghentikan sebarang usaha dalam menyekat kebebasan masjid daripada berfungsi sebagaimana sepatutnya agar rakyat kembali jinak dengan masjid sehingga lahirnya lebih ramai umat bertaqwa yang hampir kepada Allah yang menjamin keselamatan negara.

            Nabi turut melihat bagaimana siksaan terhadap mereka yang tidak menunaikan zakat di mana mereka dihalau seumpama binatang dan kemudiannya mereka memakan buah Zaqqum daripada bara api neraka yang begitu panas sehingga hancur tubuh mereka. Oleh itu tunaikan zakat kita samada zakat fitrah, perniagaan, harta, tanaman, pendapatan dan selainnya sehingga harta kita benar-benar dapat dibersihkan daripada harta hak orang lain. Jika seluruh umat Islam dapat menunaikan zakat dan ia pula dapat diagih dengan baik maka ini semua dapat mengurangkan kadar kemiskinan dalam negara serta merendahkan jurang antara golongan kaya dan miskin. Kita begitu bimbang apabila kekayaan hanya berlegar di kalangan orang kaya dan pemimpin sahaja sehingga jurang antara golongan kaya dan miskin serta kaum semakin tinggi yang menyebabkan suasana sebagaimana keadaan sebelum meletusnya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei hampir berulang kembali sekarang ini.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T,

            Nabi Muhammad s.a.w turut diperlihatkan bagaimana golongan penzina yang bertindak memilih daging yang mentah dan busuk berbanding daging yang telah masak dan baik. Ini memberi peringatan kepada kita agar sentiasa menjauhi sebarang pintu dan punca yang membawa kepada zina. Agak malangnya negara yang dilaungkan Islam Hadhari dalamnya tetapi telah membuka pintu zina yang begitu luas seumpama penambahan kepada bilangan disko, penambahan kilang arak terutama perancangan pembinaan kilang arak di Johor oleh syarikat Filiphina, program tv yang membangkitkan nafsu, majalah separa lucah yang begitu bebas, halalnya program hiburan yang melampau sehingga golongan yang melawan mufti bebas bercakap dan bertindak mengikut nafsu serta keberanian dalam melarang kaum wanita daripada memakai pakaian yang sepatutnya sedangkan pakaian yang membuka aurat lebih digalakkan. Kita bimbang penzinaan akan menjadi suatu budaya yang dianggap lambang kemajuan sebagaimana rosaknya masyarakat barat yang telah lama tergadai harga diri. Kita begitu gerun apabila Islam Hadhari meneruskan lagi dasar Islam digari sehingga maksiat semakin berleluasa sedangkan amalan dan tindakan baik terus dipenjara. Kita turut mengutuk dan mengecam tindakan kerajaan Islam Hadhari yang menghalalkan konsert Scorpion pada 13 September ini yang bukan sahaja menghina umat Islam yang memperingati peristiwa Isra’ dan Mikraj malah bakal merosakkan lagi akhlak muda mudi. Jika dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj nabi tidak menyahut panggilan Kristian tetapi hari ini tanpa segan silu pemimpin menjemput dakyah Kristian dalam meneruskan pencabulan kehormatan hari kebesaran umat Islam sedangkan taqwim hijrah sudah diketahui umum. Inilah antara tanda betapa rosaknya pemimpin yang mahu mengubati penyakit keruntuhan akhlak dengan racun berbisa.

            Seterusnya Rasulullah s.a.w melihat bagaimana orang yang tidak menunaikan amanah dipaksa mengangkat seberkas kayu di mana walau pun tidak mampu memikulnya tetapi dia tetap menambah bilangan kayu itu. Ini memberi peringatan agar kita tidak terlalu mengejar pangkat dan kedudukan kerana ia merupakan suatu amanah yang besar. Betapa malangnya apabila jawatan dan kedudukan direbut sehingga menghalalkan rasuah yang digelar dengan politik wang sehingga pangkat dikira sebagai suatu pelaburan yang menguntungkan di mana semakin tinggi jawatan maka semakin banyak untung yang diperolehi. Sedangkan antara perkara yang diajar oleh politik Islam ialah semakin tinggi jawatan maka semakin besar amanah yang menyebabkan harta semakin kurang kerana banyak dihabiskan untuk membantu rakyat jelata yang semakin ramai di bawah tanggungjawabnya. Ingatlah pesanan Khalifah Umar bin Abdul Aziz di mana semakin kaya pemimpin maka semakin miskin rakyatnya dan semakin miskin pemimpin maka semakin kaya rakyatnya. Pemimpin yang berlaku adil dalam menunaikan amanah bakal berada di bawah bayangan arasy serta syurga Allah sedangkan pemimpin yang mengkhianati amanah bakal menempah api neraka. Sayyidina Hassan bin Ali pernah berpesan bahawa dosa yang paling besar ialah tidak beramal tetapi mahu pahala, mahu syurga tetapi melakukan amalan ahli neraka.

Firman Allah S.W.T dalam ayat 13 – 15 surah an-Najmu :

ولقد رءاه نزلة أخرى عند سدرة المنتهى عندها جنة المأوى

Maksudnya : Dan sesungguhnya nabi Muhammad telah melihat malaikat Jibril pada waktu lain ketika berada di Sidratul Muntaha di mana disampingnya ada Syurga al-Ma’wa

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

About these ads

3 Respons

  1. Khutbah memang menarik dan sesuai disampaikan kepada semua umat Islam agar menyuntik kesederan tentang wajib patuh dan taat kepada ajaran Islam.

  2. MAJLIS ILMU & ISRA’ & MI’RAJ HUJUNG MINGGU INI

    TARIKH : 17 JULAI 2009
    JAM : 7.00PM
    TEMPAT YAYASAN SOFA, N. SEMBILAN
    PENCERAMAH: HABIB UMAR ALJUFFRI/SYEIKH FUAD

    TARIKH : 18 JULAI 2009
    MASA 7.30PM
    TEMPAT: MASJID BAITUL AMAN

    TARIKH :19 JULAI 2009
    MASA: 6.00PM
    TEMPAT : MASJID TAMAN TAR
    PENCERAMAH :HABIB UMAR ALJUFFRI/SYEIKH FUAD

    Keterangan lanjut klik : http://pondokhabib.wordpress. com

  3. salam. semoga penghayatan tentang isra mikraj ini lebih didedahkan kepada masyarakat takut tersalah maklumat. contohnye tentang batu terabung…maassalamah.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 5,961 other followers

%d bloggers like this: