85. TUJUH GOLONGAN DILINDUNGI ALLAH S.W.T

 

                                                                        

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 51-52 surah al-Furqan :

ولو شئنا لبعثنا فى كل قرية نذيرا . فلاتطع الكــفرين وجــهدهم به جهادا كبيرا

Maksudnya : Dan sekiranya Kami menghendaki nescaya Kami bangkitkan pada setiap negeri itu seorang rasul yang memberi peringatan. Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir dan berjihadlah terhadap mereka dengan al-Quran melalui jihad yang besar

Umat Islam mesti menitikberatkan garisan antara iman dan kufur dalam kehidupan. Kita mesti berhati-hati terhadap perbezaan antara Islam dan jahiliah. Kita wajib mengetahui secara mendalam tentang halal haram, pahala dan dosa serta Syurga dan neraka. Umat Islam yang dijanjikan kemenangan oleh Allah S.W.T sentiasa menghidupkan budaya ilmu dan dakwah dalam kehidupan seharian agar pergerakan kita sentiasa disuluhi cahaya wahyu bukannya ditutupi dengan kegelapan nafsu. Kita mesti lahirkan diri kita antara golongan yang bakal dibayangi oleh ‘Arasy Allah S.W.T pada hari akhirat nanti sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis :

وعن أبي هريرة رضى الله عنه عن النبي e قال : سَبْعَةٌ يُظِلُّمُهُمُ اللهُ فِى ظِلِّهِ يَوْمَ لاظِلَّ إِلا ظِلُّهُ : إِمَامٌ عَادِلٌ وَشَابٌ نَشَأَ فِى عِبَادَةِ اللهِ عَزَّوَجَلَّ وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ بِالمَسَاجِدِ وَرَجُلانِ تَحَابَّا فِى اللهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ و َرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَة ٌذَاتُ مَنْصَبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ : إِنِّي أَخَافُ اللهَ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتّى لاتَعْلَمَ شِمَالُهُ مَاتُنْفِقُ َيمِيْنُهُ وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ تَعَالَى خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ   ( متفق عليه )

Maksudnya : 7 golongan yang akan mendapat perlindungan Allah S.W.T pada hari yang tiada perlindungan melainkan perlindungan Allah S.W.T pada hari akhirat nanti iaitu :

Golongan pertama ialah pemimpin yang adil di mana kebiasaannya jika pemimpin tunduk dan patuh kepada Allah S.W.T serta adil dalam bertindak mengikut garisan yang telah ditetapkan oleh syarak maka rakyat bawahan pun ramai yang mengikut jejak langkahnya dalam mencari keredhaan Allah S.W.T di dunia dan akhirat. Rosaknya pemimpin maka ramailah rakyat jelata yang turut rosak kerana rakyat megikut agama pemimpin mereka. Kita sentiasa mengalu-alukan perancangan kerajaan untuk memastikan pelajar sekolah rendah wajib khatam al-Quran dan memahami agama dengan baik tetapi dalam masa yang sama pemimpin mestilah bukan sahaja mampu membaca al-Quran tetapi bersungguh-sungguh dalam melaksanakan segala tuntutan al-Quran yang menyeluruh termasuk ekonomi, perundangan, sosial dan sebagainya bukannya menjadikan Islam sebagai agama ibadat khusus semata-mata. Musuh Islam tidak pernah gerun terhadap pemimpin umat Islam yang kaya harta jika kurangnya agama sebaliknya musuh Islam sentiasa berusaha dalam memerangi pemimpin umat Islam yang miskin harta tetapi kaya agama kerana harta tidak pernah menggugat kedudukan kuffar tetapi agama telah banyak meruntuhkan kezaliman dan kesesatan kerajaan kuffar sebelum ini.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

            Golongan kedua ialah pemuda yang hidupnya sentiasa beribadat kepada Allah S.W.T di mana golongan ini mestilah dilahirkan dalam sesebuah negara bagi mengelakkan lebih banyak kemungkaran dan kerosakan yang berlaku. Apabila umat Islam sentiasa menjaga ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat ditambah dengan makan minum perkara yang halal dari hasil yang halal, menguruskan keluarga, masyarakat dan negara mengikut kehendak syarak disamping berusaha melaksanakan seluruh tuntutan Islam dalam setiap kerja dan pergerakannya sehingga semua itu dihisab sebagai ibadat oleh Allah S.W.T maka segala masalah jenayah dan keruntuhan akhlak dapat ditangani dengan baik. Sebaliknya jika umat Islam memisahkan urusan dunia seperti ekonomi, perundangan, sosial daripada dosa pahala maka keadaan kehidupan mereka semakin lama semakin hancur serta semakin dekat kepada kekufuran yang menyebabkan tiada lagi perbezaan yang ketara antara umat Islam dengan bukan Islam. Inilah yang bakal mengundang kemurkaan Allah S.W.T dan penghinaanNya. Kita begitu bimbang apabila program Khidmat Negara yang bakal bermula pada pertengahan bulan Februari nanti tidak memasukkan jadual waktu sembahyang dalam aktivitinya yang bakal menyukarkan peserta yang majoritinya beragama Islam untuk sembahyang atas alasan ia adalah isu peribadi. Jika sembahyang sebagai tiang agama diabaikan bagaimana negara mahu melahirkan warganegara yang soleh. Oleh itu kita desakkan agar sebelum program ini dijalankan maka waktu sembahyang mestilah diletakkan dalam jadual secara hitam putih. Ingatlah bahawa solat 5 waktu tidak boleh ditinggal melainkan pada perkara yang dibenarkan oleh syarak walau pun berada dipuncak gunung-ganang, berada di tengah hutan, meredah lautan, membentang belanjawan dan sebagainya. Kita dapat lihat kesan daripada tidak sembahyang menyebabkan ramai pemuda Islam yang runtuh akhlaknya dan banyak melakukan jenayah sehingga menggugat keamanan negara.

            Golongan ketiga ialah seseorang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid di mana pemimpin wajib berusaha menghidupkan masjid bukan berusaha mematikannnya agar negara dapat melahirkan lebih ramai rakyat yang sentiasa berjemaah di masjid serta menghidupkannya dengan pelbagai aktiviti yang dapat mengembalikan semula kegemilangan Islam. Tindakan jahat pemimpin yang menyekat kebebasan kuliah agama di masjid dan ada yang bertindak lebih kejam dengan merobohkan surau disamping pengawasan terhadap program di masjid lebih daripada tempat latihan pengganas amatlah dikesali. Begitu juga dengan penerusan kepada menjadikan hari Jumaat sebagai hari berkerja di kebanyakan negeri sebagaimana dibuat oleh penjajah merupakan suatu yang menyempitkan masa umat Islam untuk beribadat. Tindakan yang tidak bertamadun ini boleh menyebabkan umat Islam semakin jauh daripada masjid

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

            Golongan keempat ialah 2 orang yang berkasih sayang kerana Allah S.W.T di mana mereka bersatu dan berpisah kerana Allah di mana kasih sayang yang ditanamkan atas dasar iman ini begitu penting terutama dalam berhadapan dengan kekejaman musuh Islam. Betapa bahayanya apabila kasih sayang seumpama ini tiada dalam hati sanubari umat Islam terutama pemimpin sehingga  sanggup menyerahkan negara dengan mudah kepada orang bukan Islam dengan memberikan kerusi yang lebih banyak kepada orang bukan Islam dalam parlimen daripada memperbanyakkan lagi jumlah wakil beragama Islam dalam parlimen. Pemimpin jenis ini lebih sanggup menggadaikan agama daripada harta dan kuasa yang dimilikinya. Begitu juga kasih sayang berasaskan iman wajib disuburkan agar saudara seagama sentiasa dibantu walau di mana mereka berada. Kita mesti sentiasa membantu sekurang-kurangnya dengan doa agar Allah S.W.T membantu umat Islam yang sedang ditindas di Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Selatan Filiphina, Acheh dan sebagainya. Begitu juga dengan tekanan disebabkan larangan bertudung ke atas umat Islam di Perancis. Tidak lupa kepada nasib yang menimpa umat Islam di Selatan Thailand termasuk Fatani, Narathiwat, Yala yang kini ditekan akibat pembakaran sekolah, bom balai polis dan kehilangan senjata 2 minggu lalu yang telah menyebabkan pelbagai tindakan keras dikenakan termasuk perintah berkurung yang menjejaskan perjalanan majlis ilmu pada waktu malam serta pemeriksaan ke atas pondok-pondok bila-bila masa yang dikehendaki sehingga baru-baru ini ada kubur yang baru ditanam mayatnya diperintah agar digali semula atas alasan disyaki dijadikan tempat simpan senjata. Umat Islam terus ditekan sedangkan bukti yang menyatakan umat Islam yang terlibat dalam kejadian itu belum diketahui.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

            Golongan kelima ialah seorang lelaki yang dipujuk oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik untuk berzina lalu dia menyatakan bahawa dia takutkan Allah  di mana usaha dalam memastikan kebanyakan pintu zina ditutup mestilah ditingkatkan. Jika terlalu banyak pintu zina dibuka maka semakin ramai yang cuba dan menghampirinya sehingga semakin teruknya keruntuhan akhlak rakyat. Betapa malangnya apabila ramai yang lantang bersuara membantah tindakan kerajaan Terengganu yang membuat etika berpakaian terhadap orang bukan Islam supaya lebih sopan. Sedangkan suara ini tidak kedengaran apabila wanita dijadikan alat pelaris barangan melalui iklan yang menjolok mata. Apa yang lebih malang ialah apabila pernah berlaku di mana seorang mufti boleh dipecat kerana menegur ratu cantik. Kita turut mendesak agar program Khidmat Negara diasingkan antara peserta lelaki dan perempuan serta dititikberatkan adab mengikut Islam bukannya nafsu. Jangan rosakkan rakyat dengan aktiviti pergaulan bebas sepanjang program tersebut sehingga anak-anak yang dididik begitu lama oleh ibubapa dan guru-guru akhirnya dirosakkan dalam masa beberapa bulan.

            Golongan keenam ialah seseorang yang bersedekah lalu dia sembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya di mana umat Islam sentiasa dilatih agar memberikan barangan miliknya kepada orang yang lebih memerlukannya melalui zakat. Apabila diri sentiasa dilatih dengan perkara yang wajib lalu melembutkan hati untuk melakukan sedekah sunat dengan penuh keikhlasan.  Sedekah jenis inilah yang digeruni oleh musuh Islam kerana ia bakal menguatkan kembali kesatuan umat Islam dan ekominya yang bakal menggugatkan kedudukan musuh.

 

 

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah ,

Golongan ketujuh ialah seseorang yang mengingati Allah S.W.T dalam keadaan sunyi lalu menitislah air matanya di mana umat Islam mesti berusaha untuk lahir sebagai golongan yang bertindak cergas seumpama singa disiang hari ketika melawan musuh serta begitu rapat hubungannya dengan Allah S.W.T terutama waktu malam. Golongan inilah yang digeruni oleh musuh Islam kerana mereka bakal dibantu oleh Allah S.W.T. Ingatlah bahawa persediaan untuk melawan musuh bukan semata-mata bergantung kepada kekuatan tentera dan senjata tetapi apa yang lebih penting ialah ikatan perhubungan umat Islam dengan Allah S.W.T yang membolehkan datangnya pertolongan dan kemenangan  daripada Allah S.W.T.

Firman Allah dalam ayat  63-64 surah al-Furqan :

وعباد الرحمن الذين يمشون على الأرض هونا وإذا خاطبهم الجــهلون قالوا سلــما . والذين يبيتون لربهم سجدا وقيــما

Maksudnya : Dan hamba-hamba Allah Yang Maha Penyayang itu ialah orang-orang yang berjalan di atas muka bumi ini dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka lalu mereka ucapkan kata-kata yang baik. Dan mereka melalui malam hari dengan bersujud serta berdiri bagi menyembah Allah

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 

 

76. HINDARI CIRI MASJID DHIRAR

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُفَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 107dan 108 surah al-Taubah :

والذين اتخذوا مسجدا ضرارا وكفرا وتفريقا بين المؤمنين وإرصادا لمن حارب الله ورسوله من قبل وليحلفن إن أردنا إلا الحسنى والله يشهد إنهم لكــذبون . لاتقم فيه أبدا لمسجد أسس على التقوى من أول يوم أحق أن تقوم فيه فيه رجال يحبون أن يتطهروا والله يحب المطهرين

Maksudnya : Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) kekufuran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:” Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata “. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta. Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), lebih patut engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan ( mensucikan ) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)

Kita kini telah berada dalam bulan Rejab yang turut mencatatkan beberapa peristiwa penting dalam kalendar umat Islam terutama yang paling masyhur ialah pada bulan ini telah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj. Tidak ketinggalan juga untuk umat Islam mengingati suatu lagi peristiwa yang amat penting ialah peperangan Tabuk yang berlaku pada bulan Rejab tahun 9H di mana Rasulullah s.a.w telah berjaya mengumpulkan 30 000 orang tentera bagi mengajar kebiadapan dan kezaliman kerajaan Rom yang telah membunuh Farwah bin ‘Amru Al-Jazami yang merupakan salah seorang ketua yang dilantik oleh Rom setelah mengetahui bahawa beliau telah memeluk Islam dan menjalankan kerja dakwah Islam di kawasan tersebut. Sepanjang peperangan ini tidak berlakunya pertempuran yang sengit kerana musuh berundur diri di mana Rasulullah s.a.w melarang tentera Islam daripada mengejar mereka kerana bimbang akan terjatuh dalam perangkap musuh yang kemungkinan besar akan datang menyerang secara mengejut dan juga disebabkan peluang memang mudah yang diperolehi digunakan sebaik mungkin untuk menghantar wakil ke kawasan berhampiran bagi menyebarkan dakwah Islam. Islam bukan berperang untuk membalas dendam sebaliknya apabila keadaan memaksa seperti berlakunya penindasan terhadap umat Islam atau mempertahankan diri apabila musuh mahu menyerang serta bertujuan mengembangkan dakwah di mana orang bukan Islam Islam hanya perlu bersetuju untuk tunduk kepada sistem Islam sehingga mereka layak untuk mendapat hak keamanan sebagai rakyat bukannya memaksa mereka agar memeluk Islam.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Peperangan yang dibenarkan oleh Islam begitu berbeza jauh dengan penjajahan terutama yang baru dilakukan oleh kuasa besar kuffar yang diketuai oleh Amerika yang berusaha meranapkan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengannya terutama negara umat Islam. Amerika yang baru sahaja memperingati tahun kedua serangan 11 September di mana dalam masa yang sama telah 2 buah negara negara umat Islam baru dijajah iaitu Afghanistan dan Iraq disamping musuh bersiap sedia untuk meluaskan penjajahan ke atas Iran dengan alasan yang sama semasa menyerang Iraq iaitu berusaha membangunkan nuklear dan senjata merbahaya. Tidak ketinggalan di mana umat Islam di Palestin juga semakin tertekan terutama apabila Iraq mula dijajah sehingga hampir setiap hari adanya umat Islam yang terbunuh dan cedera serta rumah mereka ranap dimusnahkan oleh rejim yahudi. Negara arab sekelilingnya hanya melihat saudara seagama ditindas tanpa ada suatu tindakan yang sewajarnya kerana kebanyakan pemimpin negara umat Islam sanggup menjadi hamba kepada yahudi dan Amerika. Perasaan takut kepada mati dan terlalu cintakan dunia telah menyebabkan bumi Isra’ Mikraj iaitu Baitul Maqdis hampir ditawan sepenuhnya. Umat Islam di Palestin terpaksa berhadapan dengan musuh yang lengkap bersenjata sedangkan mereka tiada apa-apa kelengkapan yang spatutnya sehingga banyak serangan berani mati terpaksa dilakukan. Kita perlu faham bahawa seluruh rakyat yahudi Israel ialah rakyat yang sedia terlatih dengan latihan ketenteraan dan peperangan yang menyebabkan mereka termasuk dalam hukum kafir harbi yang menjajah bumi umat Islam dan boleh diperangi bila-bila masa sahaja. Ingatlah kita bahawa umat Islam bukan tidak pernah berdamai dengan yahudi malah perjanjian damai yang terbaru dilanggar oleh yahudi terlebih dahulu sebelum gerakan Islam bertindak menarik balik gencatan senjata dan menyerang balas yang menyebabkan bumi Isra’ hari ini begitu kacau bilau. Yahudi bagaikan benci pada perdamaian sebaliknya hanya menunggu saat yang dijanjikan oleh Allah iaitu yahudi bakal dikumpulkan di suatu tempat untuk dihancurkan oleh umat Islam yang benar-benar memperjuangkan kesucian agama Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Selepas selesai dalam misi peperangan di Tabuk maka Rasulullah s.a.w telah dijemput oleh golongan munafik untuk merasmikan sebuah masjid yang di bina oleh mereka yang digelar oleh Allah sebagai masjid Dhirar. Masjid ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam ayat 107 surah at-Taubah yang telah dibaca pada awal khutbah tadi mempunyai 4 ciri buruk yang membezakannya daripada masjid yang dibina atas asas taqwa seperti Masjid Quba’. Ciri pertama yang ada pada masjid Dhirar ialah mendatangkan kemudharatan terhadap ummah, kedua untuk mengkufurkan kaum muslimin, ketiga untuk memecahbelahkan perpaduan di kalangan umat Islam dan keempat ia menjadi pusat intipan untuk memerangi Allah dan rasulNya.

Cuba kita bayangkan bagaimana jahatnya golongan munafik di mana sanggup mempergunakan masjid untuk kepentingan mereka bukannya untuk memperkasakan lagi kekuatan umat Islam dalam mengembangkan dakwahnya yang suci melalui masjid sebagaimana sepatutnya. Jika masjid yang dibina bukan atas taqwa serta mendatangkan keburukan kepada umat Islam telah diarahkan agar diruntuhkan oleh Allah lalu dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w apatah lagi tempat yang lain yang dibina untuk menghancurkan kekuatan umat Islam serta menjadi tempat untuk melakukan maksiat kepada Allah seperti kelab malam, pusat judi, kedai arak maka ia lebih utama untuk diruntuhkan. Cuma cara meruntuhkan tempat sarang maksiat ini mengikut kebijaksanaan pemerintah samada meruntuhkan bangunan atau melalui tindakan undang-undang dan perlesenan yang ketat. Tempat maksiat yang melawan arahan dan larangan Allah ini tidak boleh dibiarkan merebak kerana ia akan merosakkan masyarakat seterusnya menggugat kestabilan negara.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Amat malang apabila masjid hari ini begitu dikawal ketat lebih daripada pusat maksiat sehingga ia banyak memberi kesan kepada pembinaan insan itu sendiri. Ada juga masjid yang hanya terkenal sebagai tempat pelancongan untuk dilihat kecantikan seni binanya sedangkan pengisian untuk menghidupkannya begitu terhad. Malah ada yang bertindak lebih rakus dengan meletakkan kamera dan alat perakam untuk mengintip majlis yang ada dalam masjid sehingga ia dianggap bagaikan sarang yang melahirkan pengganas sedangkan pusat maksiat yang lain dibiarkan bebas dan tidak dikawal begitu ketat. Kita ingat kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaki yang bermaksud : Akan datang suatu zaman di mana tidak tersisa daripada Islam kecuali tinggal namanya sahaja. Tidak tersisa daripada al-Quran kecuali tulisannya. Masjid-masjid mereka megah dan cantik tetapi jauh daripada petunjuk Allah…..

Oleh itu kita janganlah menjadikan masjid berperanan sebagaimana masjid Dhirar malah kita hendaklah menghidupkannya dengan majlis ilmu dan program yang dapat menyemarakkan lagi kehebatan Islam dan umatnya. Jangan liar dan jauh daripada masjid sehingga kita dijauhkan daripada mendapat rahmat daripada Allah. Jadikan masjid sebagai pusat yang membangkitkan lagi semangat persaudaraan dan semangat jihad dalam mengembalikan semula kegemilangan Islam.

Firman Allah dalam ayat 109 dan 110 surah al-Taubah:

أفمن أسس بنيــنه على تقوى من الله ورضون خير أم من أسس بنيــنه على شفا جرف هار فانهار به فى نار جهنم والله لايهدى القوم الظــلمين . لايزال بنيــنهم الذي بنوا ريبة فى قلوبهم إلا أن تقطع قلوبهم والله عليم حكيم

Maksudnya : Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu bangunannya itu jatuh bersamanya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Bangunan-bangunan yang mereka dirikan itu sentiasa menjadi pangkal keraguan dalam hati mereka kecuali bila hati mereka telah hancur. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

54. IKTIBAR PEPERANGAN TABUK

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 38surah at-Taubah :

يــأيهاالذين ءامنوا مالكم إذا قيل لكم انفروا فى سبيل الله اثاقلتم إلى الأرض أرضيتم بالحــيوة الدنيا من الآخرة فما متــع الحــيوة الدنيا فى الآخرة إلا قليل

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya apabila diseru kepada kamu : “Berangkatlah untuk berperang pada jalan Allah”. Kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu. Adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat sedangkan kenikmatan hidup di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat hanyalah sedikit.

Kita sekarang berada dalam bulan Rejab yang mengingatkan kita tentang beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w seperti peristiwa yang kita sentiasa sebutkan iaitu Isra’ dan Mikraj dan juga satu lagi peristiwa yang telah meninggalkan kesan yang besar dalam penyebaran Islam ke luar daripada kawasan tanah arab iaitu peperangan Tabuk yang berlaku pada bulan Rejab tahun 9H. Peperangan Tabuk meletus apabila Rasulullah s.a.w menerima berita tentang pembunuhan Farwah bin ‘Amru Al-Jazami yang merupakan salah seorang ketua yang dilantik oleh Rom bagi kawasan Ma’an di mana beliau telah dibunuh dengan direbus di dalam kawah air panas apabila Rom mengetahui dia telah memeluk agama Islam dan merupakan wakil kepada nabi Muhammad S.A.W di dalam mengerjakan dakwah Islamiah di sana. Inilah suatu sikap dan tindakan tegas yang telah diambil oleh nabi selaku pemimpin negara Islam Madinah dalam mempertahankan kehormatan diri dan nyawa umat Islam di mana seorang dibunuh di negara musuh maka tentera Islam terus dikerah untuk mengajar kebiadapan musuh tentang harga diri umat Islam adalah begitu mahal nilainya bukannya boleh dibunuh sesuka hati. Tetapi malangnya apa yang berlaku kepada umat Islam hari ini di mana sudah tidak dihormati lagi sehingga musuh boleh membunuh, membakar, menembak, mengebom umat Islam sesuka hati di tanahair mereka sendiri. Penderitaan ini ditambah lagi dengan penyeksaan yang dilakukan oleh pemimpin negara umat Islam sendiri yang terus menindas rakyat demi kepentingan peribadi. Pemimpin negara umat Islam lebih suka melobi dan melutut di hadapan pengganas kuffar sedangkan pengganas kuffar terus bersandiwara dan mempermainkan mereka seperti tindakan Amerika Syarikat sesuka hati menutup kedutaannya di Kuala Lumpur dan Jakarta pada 11 September lalu atas alasan bimbang dengan serangan pengganas dan juga kegagalan 150 pelajar Malaysia yang pulang bercuti untuk masuk semula ke Amerika kerana tidak diberi visa. Jika pengganas Amerika menghormati pemimpin negara ini maka mereka tidak akan berbuat demikian sesuka hati. Dulu musuh tunduk kepada kemuliaan Islam dan umatnya tetapi kini akibat umat Islam meninggalkan Islam maka musuh menjadikan umat Islam sebagai bahan mainan.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Rasulullah S.A.W telah mengerahkan agar para tentera Islam untuk keluar berjihad ke Tabuk dengan menjelaskan kepada mereka tujuan tersebut secara terang-terangan di mana baginda berjaya mengumpulkan 30 000 orang tentera. Penjelasan ini adalah disebabkab keadaan pada masa itu agak panas dan banyak kesulitan yang berlaku. Rasulullah S.A.W telah mengarahkan agar tentera Islam bersiap sedia dengan segala kelengkapan yang ada. Rasulullah S.A.W juga mengarahkan agar para muslimin yang mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan harta mereka untuk tujuan berjihad di jalan Allah agar bersedekah untuk tujuan tersebut sekadar yang termampu. Antara para sahabat yang menyahut seruan itu ialah Sayyidina Abu Bakar yang memberi kesemua harta beliau, Sayyidina Umar yang memberi setengah daripada harta beliau, begitu juga dengan Sayyidina Uthman dan Abdul Rahman Al-‘Auf serta ramai lagi sahabat yang lain yang turut berbuat demikian. Inilah antara contoh pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh para sahabat dalam memastikan Islam bukan sahaja dapat dipertahankan malah akan terus tersebar luas ke seluruh alam. Pengorbanan yang telah ditunjukkan ini sepatutnya dapat menyedarkan umat Islam hari ini yang hanya tahu bertanya bilakah penderitaan umat Islam akan berakhir dan bilakah janji kemenangan oleh Allah akan hadir sedangkan diri umat Islam sendiri terus dihanyutkan oleh kesenangan dunia yang menyaluti diri serta dijangkiti pula dengan penyakit takut mati. Selagi umat Islam terus kaku memerhati penderitaan saudara seagama yang lain dan telah merasa cukup dengan pengorabanan yang tidak seberapa dalam memastikan kemenangan Islam maka jawapan kepada kemenangan yang dijanjikan Allah masih jauh malah penderitaan yang sedang dan akan dihadapi oleh umat Islam akan bertukar silih berganti. Oleh itu ikutilah jejak langkah nabi dan para sahabat serta pejuang Islam selepas mereka yang bersedia sepanjang masa dalam mengorbankan seluruh kemampuan yang ada demi Islam bukannya mengorbankan kemuliaan Islam demi kepentingan diri. Jika kita sedar tentang tanggungjawab kita sebagai pejuang Islam yang dibebankan dengan amanah yang banyak dan berat maka kita tidak lagi mempunyai masa untuk ketawa dan kita juga sedar bahawa tugas kita lebih banyak daripada masa yang ada. Kita sudah tidak punyai masa lagi untuk melengahkan kerja kerana di hadapan kita ada dua jawapan samada berkorban sehingga beroleh kejayaan atau terkorban dengan beroleh mati syahid yang diidamkan.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Perjuangan Islam terpaksa menghadapi pelbagai cubaan, cabaran, halangan, dugaan, tentangan dan rintangan. Begitulah yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w sebelum keluar ke Tabuk di mana baginda terpaksa berhadapan dengan beberapa golongan iaitu golongan yang menangis kerana tiada kelengkapan terutama tunggangan untuk turut sama ke sana. Mereka terdiri daripada tujuh orang daripada golongan Ansar dan Bani Amru bin Auf. Manakala golongan kedua ialah golongan yang meminta keuzuran daripada Rasulullah daripada turut serta dalam peperangan dengan alasan yang tidak diterima oleh Allah kerana mereka cukup dengan kelengkapan tetapi takut dan malas untuk berbuat demikian demi kepentingan peribadi. Mereka terdiri daripada 82 orang dari Bani Ghafar. Golongan yang ketiga yang menjadi musuh dalam selimut ialah golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Golongan munafik ini dibahagi kepada tiga kumpulan yang mana kumpulan pertama akan mempengaruhi tentera Islam yang lain agar tidak turut serta dalam peperangan ini dan mereka sendiri tidak menyertainya. Kumpulan kedua pula akan memecahkan kesatuan dalam tentera Islam yang bertujuan mengkhianati Rasulullah S.A.W.

Manakala golongan ketiga pula terdiri daripada mereka yang menunggu kepulangan Rasulullah s.aw untuk merasmikan masjid yang bina oleh golongan munafik dikenali dengan Masjid Dhirar bertujuan untuk bermegah-megah,memecah belahkan hati para muslimin, asas yang membawa kepada kekufuran dan pengkhiatan kepada Islam. Jika kita perhatikan kepada golongan yang telah menyusahkan nabi ini maka golongan yang sama terpaksa kita hadapi pada hari ini dalam berdepan dengan musuh. Umat Islam yang cintakan Islam terpaksa berhadapan dengan pemimpin mereka sendiri yang lebih cintakan dunia daripada Islam sehingga ramai yang terbunuh dan menderita terpenjara serta tertekan akibat dikenakan pelbagai sekatan daripada bergerak dalam menyatakan kebenaran. Kita juga terpaksa berhadapan dengan saudara seagama yang tidak mahu berkorban untuk Islam tetapi lebih banyak bertanya apakah yang mampu Islam berikan untuk kesenangan mereka. Tidak terlepas juga di mana kita terpaksa berhadapan dengan golongan munafik yang merosakkan Islam dan kesatuan umat Islam. Setelah cabaran dan ujian daripada ketiga-tiga golongan ini berjaya dilalui maka kita mampu berdepan dengan pengganas kuffar dengan lebih mudah dan senang. Sebab itulah kuffar terus menaja dan menjaga kepentingan ketiga-tiga golongan yang lahir dalam kelompok umat Islam ini agar pejuang Islam tidak terus berdepan dengan kuffar sebaliknya terpaksa melawan halangan daripada kalangan umat Islam terlebih dahulu.

Kita ingatkan kepada kuffar bahawa dunia Islam bukan selama-lamanya suram sebaliknya ia akan kembali terang. Kami tidak akan izinkan lagi saudara kami dibunuh di Palestin, Afghanistan, India, Kashmir, Selatan Filiphina, Iraq dan lainnya. Walau pun sudah ramai mujahidin yang telah gugur syahid namun pertempuran ini akan terus berlangsung selagi kuffar merajai dunia dengan kesesatan dan keganasan. Islam akan terus melahirkan mujahidin termasuk yang masih berada dalam perut muslimat-muslimat yang bakal dilahirkan untuk menyambut kemenangan Islam. Biar darah membasahi bumi tetapi Islam tetap dijulang tinggi. Biar nyawa terpisah dari badan namun kemuliaan Islam tetap dipertahankan. Semoga kemenangan yang pernah dicapai oleh nabi dan tentera Islam dalam peperangan Tabuk tanpa menumpahkan banyak darah kerana musuh berundur ketakutan maka begitulah juga kita semua sama-sama berusaha dan berdoa kepada Allah agar kemenangan Islam dapat dicapai dalam masa terdekat hasil kesatuan umat Islam yang sama-sama kembali semula kepada seluruh sistem Islam dalam kehidupan seharian demi mencapai keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah :

انفروا خفافا وثقالاوجــهدوا بأمولكم وأنفسكم فى سبيل الله ذلكم خيرلكم إن كنتم تعلمون

Maksudnya : Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Nostalgia Natrah Yang DiMurtadkan

Oleh Mohd Sayuti Omar

Sebaik mengetahui berita kematiannya, Rabu lalau saya melayari internret mencari kisah-kisah mengenai Natrah. Membaca semula kronologi apa yang berlaku terhadap diri Natrah. Ringkasnya, Natrah seorang gadis berbangsa Belanda yang menjadi polimek dan rebutan dua agama dan dua budaya. Agama Islam dan Kristian dan budaya Melayu dan Belanda. Secara tidak langsung Natrah juga menjadi penguji kepada sejauh mana keimanan umat Islam negara ini.

Natrah dilahirkan di Tjimah, Jawa, Indonesia pada 24 Mac 1937 dari sepasang suami isteri berbangsa Belanda beragama Khatolik, Adrimus Petrus Hertogh, seorang sarjan askar dan ibunya bernama Adeline.

Semasa berusia lima tahun beliau diserahkan oleh ibunya dan neneknya Nor Louisyen kepada seorang penjual kain batik berasal dari Kemaman, Terengganu, Che Aminah Mohammad. Penyerahan Natrah kepada Che Aminah adalah demi melindungi anaknya itu. Ia dipercayai dilakukan bertolak dari kasih sayang seorang ibu kepada anaknya.

Saat itu anti dan sentimen kebencian rakyat kepada Belanda di Indonesia memuncak. Mungkin atas kasih sayang seorang ibu kepada anak dan firasatnya demi menyelamatkan nyawa anaknya, Adeline menyerahkan kepada Che Aminah. Penyerahan Natrah kepada Che Aminah ini tidak diketahui oleh bapanya yang ketika itu yang dalam tawanan Jepun.

Che Aminah menerima tanggungjawab dan amanah Adeline itu dengan membawa balik Natrah ke Malaya menerusi Singapura. Bermula pada hari itu Che Aminah menerima Natrah sebagai anak kandungnya sendiri, malahan lebih dari itu. Bagi Che Aminah, Natrah bukan sekadar anak tetapi jiwanya. Di Terengganu dalam penjagaan Che Aminah, Natrah menjalani kehidupan baru dan selamat dunia akhirat. Beliau diberikan didikan budaya dan agama yang dianuti Che Aminah, agama Islam dan budaya Melayu.

Natrah dibesarkan dalam keadaan penuh kasih sayang dan hormat. Untuk menjamin dan menjaga keselamatan Natrah Che Aminah mengahwinkan Natrah dengan Mansor Adabi seorang guru ketika Natrah berusia 13 tahun dan Mansor 22 tahun. Perkahwinan ini adalah perkahwinan gantung kerana Natrah masih gadis sunti. Ia berlaku selepas keluaraga Natrah cuba menuntut Natrah dan sebagai ikhtiar Che Aminah menyelamatkan pertiwi jiwanya itu.

Kehidupan aman bahagia yang dilalui Nartrah bersama ibu barunya itu bagaimana pun terganggu apabila Adrimus sekembali ke Belanda mencari anaknya dan menuntut semula agar ia dikembalikan kepadanya. Di sinilah Natrah mula menjadi isu, polemik dan juga akhirnya mencetuskan tragedi berdarah.

Ayahnya menuntut Natrah di mahkamah di Singapura agar dikembalikan kepadanya yang berhak. Dalam perbicaraan ini Che Aminah berjaya memperolehi hak penjagaan ke atas Natrah. Bagaimanapun ia tidak berakhir di situ. Adrimus terus menuntut Natrah atas alasan Natrah tidak boleh dikahwinkan dengan Masnor.

Undang-undang Belanda digunapakai di mana menurut undang-undang Belanda wanita di bawah umur 16 adalah menjadi hak dan kewajiban keluarga bagi memutuskan masa depannya termausk dalam soal agama, perkahwinan dan sebagainya. Tuntutan ini diperolehi oleh Adrimus.

Keputusan mahkamah itu menyebabkan pada 12 Disember 1950, Natrah dirampas semula oleh keluarganya dan dibawa balik ke Belanda. Keputusan ini sudah tentu sesuatu yang berat bagi Natrah dan memilukan hati Che Aminah dan seluruh umat Islam.
Keputusan mahkamah ini meninggalkan rasa pedih dan satu tamparan kepada umat Islam. Bagi Che Aminah dan keluarganya usahlah diceritakan lagi. Anak yang selalu didodai dan dijaga bagaikan meruntun kelopak yang sedang berkembang mewangi, kehilangan Natrah seolah segala kehidupan Che Aminah dan juga Mansor bagaikan terpadamnya mentari dan bulan.

Mungkin keputusan mahkamah yang memberi hak kepada keluarganya menjaga Natrah tidak menimbulkan kemarahan. Tetapi apabila mahkamah juga memutuskan Nartrah dijadikan Khatolik (kembali ke agama asal orang tuanya) inilah yang menimbulkan kemarahan dan menderaukan darah.

Kemurtadan inilah menyebabkan berlakunya rusuhan. Umat Islam tidak boleh menerima kejadian ini kerana ia mencabar seluruh kehidupan mereka. Keputusan itu seolah menginjak-injak kesucian agama mereka.

Rusuhan berlaku kerana atas keyakinan demi menjaga akidah Natrah. Umat Islam bangkit cuba mempertahankannya. Dalam rusuhan ini seramai 18 orang terbunuh dan beratus-ratus cedera. Perisitwa dan tragedi ini adalah terbesar berlaku yang bertolak dari sentimen keagamaan. Tragedi inilah juga yang menjadi sejarah hitam bagi Natrah dan umat Islam Malaya ketika itu.

Mengenai meletusnya tragedi ini, Natrah tidak boleh dipersalahkan. Beliau tidak boleh berbuat sesuatu. Dalam usianya itu dia hanya mengikut saja. Ia tertakluk dibawa kekuasaan siapa yang kuat dan berkuasa. Natrah hanya sebuah piala rebutan antara keluarganya (Kristian) dengan umat Islam Malaya.

Yang jelasnya pemulangan Natrah ke Belanda menerusi keputusan mahkamah itu tidak menyeronokkannya? Betapa tidak Natrah terpaksa meninggalkan dua jiwa, ibunya (Che Aminah) dan suaminya (Mansor Adabi) serta kehidupan hakikinya di bawah penjagaan Che Aminah.

Sepanjang di Belanda tidak ada siapa tahu secara pasti apakah beliau berusaha untuk meloloskan diri dan kembali kepada kebahagiaan hakiki yang dinikmati di Malaya bersama Che Aminah dan Mansor Adabi serta bersama umat Islam lain. Namun surat-surat atau pesan-salam yang berlaku antara mereka menggambarkan bahawa hati Natrah masih di Malaya manakala yang berada di Belanda hanya lembaga raganya yang kosong saja.

Dari catatan dan laporan mengenai perjalanan hidupnya di Belanda, ia adalah berita-berita yang mengguriskan hati menyedih. Hidup Natrah digambarkan sebagai menyeksakan. Rumah tangganya yang dibina sebanyak dua atau tiga kali runtuh berselerakan. Untuk membiayai kehidupan Natrah juga dikatakan pernah berkerja sebagai pencuci hotel dan tukang masak.

Paling menghibakan hati apabila beliau juga dikatakan pernah mengalami gangguan jiwa dan ditangkap polis kerana merancang untuk membunuh suaminya. Sepanjang perkahwinan beliau dikurniakan 10 orang anak.

Semoga Natrah atau Bertha Hertogh damai dalam persemadian. [d’kota 6:10 am 10/07/09]

Islam DiMartabat Negara Berkat

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 85 surah Ali ‘Imran :
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya : Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi
Kita wajib mempertahankan usaha murni yang telah dimainkan oleh ulama’ pejuang kemerdekaan negara dan pakar perundangan Islam yang telah membolehkan kedudukan Islam di Malaysia hak dan kedudukan istimewa oleh perlembagaan dan dalam masa yang sama tidak pula menyekat hak kebebasan mengamalkan agama bagi penganut lain. Kedudukan Islam di Malaysia adalah jauh berbeza dengan Pancasila di Indonesia. Menurut prinsip Pancasila tiada satu agama pun berhak memonopoli kehidupan rakyat yang menyebabkan di Indonesia wujudnya pelbagai agama dalam satu keluarga dan murtad bukan suatu kesalahan. Oleh itu kita wajib bersatu dalam memastikan sebarang usaha jahat samada secara terang atau halus dalam mempertikai atau menghapuskan keistimewaan yang diiktiraf oleh perlembagaan kepada Islam. Kita tidak mahu sebarang sikap acuh tidak acuh dan tidak mengambil berat tentang sebarang pindaan untuk melemahkan Islam dan kuasa Mahkamah Syariah akan menyebabkan Islam dan umat Islam akan menerima nasibi sebagaimana Pancasila Indonesia. Tiada sebarang tolak ansur dalam usaha untuk melemahkan kedudukan Islam dalam perlembagaan dan undang-undang. Berlembut bererti redha Islam dihina dan diletakkan setaraf dengan agama lain
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ ………(متفق عليه)
Maksudnya : Setiap anak yang lahir adalah lahir dalam fitrah. Dua ibu-bapanyalah yang menjadikannya yahudi atau nasrani atau majusi…….
Minggu ini umat Islam dihangatkan kembali dengan isu cubaan jahat untuk meminda undang-undang yang berkaitan penjagaan anak apabila salah seorang ibu atau bapanya memeluk Islam supaya mengikut telunjuk kabinet negara yang memutuskan pada 23 April yang lalu bahawa status anak-anak yang berumur 18 tahun ke bawah kekal menganut agama asal meskipun salah seorang ibu atau bapa mereka memeluk agama lain termasuk Islam. Kita menyokong penuh kenyataan Majlis Raja-raja Melayu yang meminta agar pindaan ini ditangguh terlebih dahulu malah kita berdoa agar ia dibatalkan terus daripada pindaan yang bukan sahaja bercanggah dengan Islam malah akan menghapuskan bidang kuasa Mahkamah Syariah sedangkan dalam kes menyelesaikan pertikaian antara Mohd Ridzuan yang baru memeluk agama Islam dan isterinya Indra Ghandhi berhubung status agama tiga anak mereka yang berumur 18 tahun ke bawah telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan bahawa si bapa mempunyai autoriti dan kuasa untuk mengislamkan anak berlandaskan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan walaupun tanpa persetujuan ibu. “Sementara itu, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa agama bagi seseorang yang di bawah umur 18 tahun perlu ditentukan oleh ibu-bapa(salah seorang) atau penjaga. “Manakala Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 telah memperuntukkan bahawa seorang anak yang berumur 18 tahun ke bawah boleh memeluk agama Islam sekiranya ibu-bapa (salah seorang) atau penjaga anak tersebut memberi keizinan,”
Dari segi agama memang jelas menurut jumhur ulamak; hak penjaaan anak (hadhonah) tidak harus diberikan kepada ibu atau bapa yang tidak Islam kerana penjagaan anak adalah wilayah (penguasaan) dan Allah tidak membenarkan penguasaan orang tidak Islam ke atas orang beriman. Ia sama seperti larangan wanita muslim dikahwini lelaki bukan Islam kerana perkahwinan tersebut menyebabkan wanita muslim berada di bawah penguasaan orang bukan Islam. Menyerahkan anak untuk dijaga dan diasuh oleh orang bukan Islam akan menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan agama anak terbabit kerana ibu atau bapa yang bukan Islam sudah tentu cenderung untuk mendidik anak itu agar mengikut agamanya apabila besar nanti. Ketika orang bukan Islam tanpa mengira fahaman politik bersatu dalam memastikan keputusan kabinet itu diguna pakai maka kita sebagai umat Islam yang bermaruah wajib bangun dalam mempertahankan aqidah umat Islam yang cuba digadaikan dengan penuh biadap dan jahat

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah S.W.T dalam ayat 25 surah al-Anfal :
وَاتَّقُواْ فِتْنَةً لاَّ تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمْ خَآصَّةً وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : Dan takutlah kamu kepada siksaan yang tidak diturunkan khusus terhadap orang-orang yang zalim di antara kamu sahaja. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaanNya
Pelbagai fitnah dan musibah berbentuk kerosakan aqidah, kerosakan akhlak, peningkatan jenayah, merebaknya penyakit merbahaya akibat daripada kegagalan umat Islam dalam memahami dan melaksanakan cara hidup Islam dalam kehidupan. Kes selsema babi yang terus meningkat akibat kecuaian dan kedegilan setengah pihak seperti dakwaan kurang tegasnya dalam melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap pelancong yang datang kerana tidak mahu menjejaskan industri pelancongan negara. Akibat mahu menjaga pelancong maka nyawa rakyat menjadi taruhan. Begitu juga kedegilan penternak babi terutama yang bukan sahaja tidak mempunyai lesen kebenaran malah memelihara babi lebih daripada permintaan setempat yang menyebabkan masyarakat terdedah kepada penyakit yang merbahaya ini. Kes ini turut mengganggu pengajian akibat beberapa sekolah terpaksa ditutup malah kerja guru besar semakin bertambah kerana terpaksa dibebankan untuk memeriksa kesihatan pelajar dari masa ke semasa. Kita bimbang selepas ini doktor dan jururawat terpaksa di tempatkan di sekolah-sekolah bagi memeriksa kesihatan setiap hari. Orang lain bawa penyakit, orang lain pula yang terpaksa memikul bebannya. Ketika membaca cara-cara untuk menghindar daripada penyakit selsema babi seperti sentiasa membasuh tangan dan memasuk air ke rongga hidung supaya kuman-kuman keluar maka kita dapati betapa indahnya ajaran Islam yang mewajibkan kita mengambil air sembahyang setiap kali mahu solat lima waktu. Oleh itu sesiapa yang menjaga solat lima waktu dan suka berwudhu’ insya Allah akan dijauhkan daripada penyakit selsema babi. Sebagaimana kita pernah terbaca bagaimana perempuan yang sentiasa bertudung akan dijauhkan daripada penyakit rambut, kulit kepala dan sebagainya. Begitu juga umat yang sentiasa menutup auratnya insya Allah akan terhindar daripada penyakit kanser kulit yang merbahaya akibat terkena cahaya matahari seperti dicatatkan pada tahun 1998 sahaja seramai 2000 wanita di Amerika Syarikat mati akibat kanser kulit. Setiap arahan Allah ada hikmatnya yang tersendiri untuk kebaikan dan manfaat kita di dunia apatah lagi di akhirat. Islamlah nescaya kita hebat dan sihat. Firman Allah dalam ayat 81 surah an-Nahlu:
وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُمْ مِمَّا خَلَقَ ظِلَالًا وَجَعَلَ لَكُمْ مِنَ الْجِبَالِ أَكْنَانًا وَجَعَلَ لَكُمْ سَرَابِيلَ تَقِيكُمُ الْحَرَّ وَسَرَابِيلَ تَقِيكُمْ بَأْسَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُتِمُّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تُسْلِمُونَ
Maksudnya : Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian dari yang diciptakanNya: benda-benda untuk berteduh, dan Ia menjadikan bagi kamu sebahagian dari gunung-ganang tempat-tempat berlindung; dan Ia juga menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang memelihara kamu dari panas dan sejuk, juga pakaian-pakaian yang memelihara kamu semasa berjuang. Demikianlah, Ia menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu berserah diri kepadaNya dan mematuhi perintahNya

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Umat Islam mesti serius dan bersungguh dalam mengembalikan sistem Islam dalam menangani pelbagai masalah bermula dari Aqidah sehiggalah akhlak yang semakin parah. Kita tertarik dengan cadangan Mufti Negeri Kelantan beberapa bulan lepas supaya dilaksanakan hukum takzir sebat di khalayak ramai bagi jenayah yang tidak besar supaya penjara tidak sesak dan kos menjaga penjenayah tidak terus meningkat disamping kes-kes ini diselesai dengan berkesan dan cepat tanpa menghalang penjenayah untuk menjalankan tugasan harian selepas itu. Begitu juga cadangan menteri agama minggu lepas di Dewan Negara supaya dilaksanakan hukum hudud bagi menangani masalah ragut di mana cadangan ini mestilah benar-benar serius bukannya untuk mencari publisiti murah. Sudah tiba masanya ditubuhkan jawatankuasa khusus dalam menggubal hukum hudud peringkat pusat sebagaimana pernah dibuat oleh kerajaan Kelantan dan Terengganu sebelum ini. Sukatan pengajian berkenaan sistem perundangan Islam wajib diperkasakan disemua peringkat pengajian dari sekolah hingga universiti dalam memberi kefahaman mendalam berkenaan sistem Islam. Pilihlah samada laksana Islam dan kita dapat bahagia atau pun biarkan sistem Islam dipenjara sehingga kita bertambah derita. Pilihlah antara Islam sebagai ubat mujarrab dalam menyelesaikan pelbagai masalah atau lebih rela berhukum dengan sistem jahilah yang merupakan racun berbisa yang pasti menambahkan penyakit yang sedia ada
Firman Allah dalam ayat 96 surah al-A’araf :
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ وَلَكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ
Maksudnya : Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Islam DiSanjung Umat Bertamadun

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 41 surah ar-Rom :
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Maksudnya : Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Kita sebagai umat yang beriman wajib mengakui bahawa setiap bencana yang berlaku di atas muka bumi ini merupakan ujian Allah bagi menguji tahap keimanan umat manusia atau pun pembalasan daripada Allah bagi menimbulkan kesedaran dan pengajaran kepada umat manusia yang selama ini sering melakukan penderhakaan terhadap Allah disamping amaran bagi segelintir manusia yang merosakkan bumi Allah tanpa memikirkan keselamatan orang lain supaya segera menghentikannya. Hari ini dunia sedang bercakap tentang serangan penyakit selsema babi yang membimbangkan sehingga mengganggu industri pelancongan di mana menurut laporan, tempahan menginap di hotel telah mengalami penurunan penempahan sebanyak 10 peratus. Malah, penularan wabak ini turut menghempap kepada sektor makanan dan pengangkutan. Di seluruh dunia, jumlah kes jangkitan selsema babi sehingga kini sudah menjangkiti 53,110 orang di 99 negara dan membunuh 232 nyawa. Manakala dalam negara pula mencatat jumlah keseluruhan kes setakat ini ialah 91 kes iaitu 77 kes import dan 14 kes jangkitan tempatan dengan peningkatan mendadak 400 peratus dalam masa seminggu disamping 4 buah sekolah ditutup. Semua ini mengajar umat manusia untuk mengakui kehebatan dan kekuasaan Allah yang tidak mampu disekat oleh manusia. Malangnya walau pun kes selsema babi semakin meningkat namun industri penternakan babi terus dipertahankan seolah-olah dunia sudah dibeli oleh kapitalis penternak babi tidak sebagaimana menangani masalah selsema burung, lembu gila, penyakit kuku dan mulut yang kebanyakannya diambil tindakan segera dengan membunuh binatang tersebut. Bila manusia lebih rela membela penyakit maka masalah makin parah dan penderitaan makin bertambah. Demi menjaga keuntungan setengah pihak maka rakyat dibiarkan menderita. Oleh itu di dalam berdepan dengan serangan penyakit yang merbahaya ini kita meminta agar kerajaan menghapuskan segala punca penyakit ini disamping kita mesti memperbanyakkan solat hajat dan berdoa agar dihindarkan daripada musibah ini

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar
Mimbar Jumaat hari ini juga mengajak seluruh umat Islam yang bermaruah untuk sama-sama mengutuk dan mengecam laporan jahat dan biadap yang dikeluarkan oleh International Crisis Group (ICG) yang beribu pejabat di Belgium yang menuduh sekolah pondok telah dijadikan tempat melahirkan pemberontak di Selatan Thai berikutan kumpulan pemisah menggunakan pondok untuk merekrut dan melatih remaja Muslim. Ketika umat Islam dibunuh dengan kejam termasuk ditembak ketika sedang solat berjemaah di dalam masjid, masih ada lagi musuh Islam yang cuba menimbulkan sikap anti-Islam. Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia, kita mendesak agar pemimpin negara memainkan peranan penting dalam menekan kerajaan Thailand supaya menarik balik 30 ribu tentera di Selatan Thailand disamping menamatkan perintah darurat yang memberikan kuasa kepada pihak tentera untuk menahan penduduk yang majoritinya Islam tanpa sebarang dakwaan. Kita tidak mahu isu saudara seagama dibunuh sesuka hati dibiarkan begitu sahaja sehingga kita berasa kecewa apabila Parlimen menolak untuk membincangkannya baru-baru ini
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah ,
قَالَ الرَّسُوْلُ  : لاتَقُوْمَ السَّاعّةُ حَتَّى يَكُوْنَ الوَلَدُ غَيْظًا وَالمَطَرُ قَيْظًا وَيفِيْضَ اللِّئَامِ فَيْضًا وَيَغِيْضَ الكِرَامِ غَيْضًا وَيَجْتَرِئ َالصَّغِيْرُ عَلَى الكَبِيْرِ وَاللَّئِيْمِ عَلَى الكَرِيْمِ – رواه الطبراني فى الأوسط
Maksudnya : Tidak akan berlaku hari qiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibubapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang dan cuaca akan menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurangan orang yang baik, dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik
Kita telah beberapa hari berada dalam bulan Rejab yang mengingatkan kita tentang gambaran dunia dalam peristiwa Isra’ Mikraj yang berlaku pada diri nabi Muhammad s.a.w sebagai seorang yang terlalu tua iaitu dunia ini terlalu hampir dengan saat kehancurannya yang dipanggil Qiamat. Pelbagai tanda Qiamat samada kecil dan besar telah berlaku di zaman kita ini termasuk cuaca yang begitu panas dan merbahaya di samping masalah sosial dan jenayah yang begitu teruk bermula dalam keluarga, masyarakat kampung sehinggalah negara. Masalah dadah yang semakin runcing sehingga hampir setiap rumah ada yang terlibat dengan jenayah ini sehingga bukan sedikit wang rakyat dihabiskan untuk mengubati penyakit yang telah parah ini. Bila pusat serenti bukan sahaja penuh malah tidak lagi mampu menampung penagih tegar ditambah dengan beberapa rusuhan yang terbaru di mana 500 orang penghuni Pusat Serenti Kampung Selamat, Tasek Gelugor sehingga ada pelatih yang lari dan berapa banyak harta awam musnah. Ini antara gambaran bila manusia kosong hatinya daripada makanan rohani akibat negara diserang dengan hiburan melampau dan kehidupan yang jauh daripada panduan agama. Oleh itu system pendidikan agama bermula daripada keluarga, sekolah, pusat pengajian tinggi dan seterusnya apabila telah bekerja wajib diperkasakan supaya hati rohani rakyat tidak mati. Kita begitu bimbang apabila system pendidikan negara hari ini lebih menekan kepada keduniaan dari segi teori dan praktikal dengan menjadikan pendidikan agama hanya pelengkap jadual sahaja. Akhirnya dari segi kecemerlangan akademik, universiti negara kita jatuh tercorot berbanding Universiti Chulalongkon, Thailand apatah lagi universiti Singapura dan Indonesia. Begitu juga pendidikan peringkat rendah yang turut menjunam prestasinya sehingga hanya tinggi sedikit daripada Papua New Guinea. Ke mana sebenarnya arah tuju pendidikan negara yang nampaknya gagal dari segi dunia apatah lagi agama. Jangan asyik memuja Bahasa Inggeris sehingga gejala liberalisasi beragama, sekularisme yang menimpa umat Islam adalah majoriti daripada kelompok yang pro kepada pendidikan ala Inggeris dan pendidikan berteraskan bahasa berkenaan sedangkan bahasa Melayu telah lama dipakejkan dengan nilai Islam sejajar juga dengan perkembangan tulisan jawi yang menggantikan tulisan Pallava Sanskrit. Berubahlah kepada Islam agar dunia hebat, akhirat dapat.

Sidang Jumaat Yang diberkati Allah ,
Bulan Rejab dijadikan Bulan Sembahyang oleh Kerajaan Kelantan semenjak beberapa tahun yang lepas bagi memberi kesedaran kepada rakyat tentang betapa peri pentingnya solat dalam mencapai kecemerlangan dunia akhirat. Oleh itu betapa pentingnya peranan sistem pendidikan negara dalam melahirkan pelajar sekolah, universiti dan pegawai serta pekerja yang sentiasa menjaga solat 5 waktu. Kita menyokong usaha Kerajaan Kelantan yang berusaha memastikan antara syarat penerimaan bekerja dan kenaikan pangkat menjadikan solat sebagai antara syarat kelayakannya disamping cuba meminda perundangan bagi membolehkan rakyat yang meninggal solat boleh dijatuhkan hukuman berat. Kita juga mendesak agar kerajaan pusat menjadikan program seperti Biro Tatanegara (BTN) untuk melahirkan pegawai dan pekerja yang jaga solat, jauhi rasuah dan amalan buruk yang lain tidak sebagaimana sebelum ini yang diguna untuk memuja pemimpin dan meniup semangat perlkauman sempit yang bertujuan menjaga kedudukan pemimpin. Begitu juga modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mesti dikemaskan dari sudut pengisian agama dan pengambilan hendaklah kepada remaja bermasalah seperti masalah disiplin di sekolah, tinggal solat, rempit dan sebagainya tidak sebagaimana hari ini di mana kadang-kadang pengisian agama diganti dengan tarian dan sebagainya. Jangan biarkan wang negara dibazirkan untuk merosakkan lagi rakyat sebaliknya gunakanlah untuk mengisi rohani rakyat yang gersang daripada agama. Jangan biarkan hati rakyat terus mati yang menyebabkan pelbagai masalah terus bertambah. Sinarilah cahaya iman dalam hati rakyat, basahilah zikrullah pada lidah rakyat, pakaikan akhlak mulia pada diri rakyat nescaya dunia bahagia akhirat sentosa
Firman Allah dalam ayat 45 surah al-‘Ankabut :
اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
Maksudnya : Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

150. ISRA’ MIKRAJ PERINGATAN BERHARGA

 

 

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :

سبحن الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذي بركنا حوله لنريه من ءايتنا  إنه هو السميع البصير

Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

            Bulan Rejab telah mencatatkan suatu peristiwa penting yang telah berlaku terhadap diri Rasulullah s.a.w iaitu Isra’ dan Mikraj di mana melalui peristiwa inilah maka umat Islam diwajibkan agar mendirikan sembahyang lima waktu sehari semalam. Isra’ yang merupakan perjalanan nabi pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa manakala Mikraj pula merupakan perjalanan nabi dari Masjidil al-Aqsa ke langit tertinggi di mana peristiwa ini yang merupakan antara mukjizat nabi Muhammad s.a.w telah berlaku terhadap tubuh dan ruh Rasulullah s.a.w bukannya secara ruh sahaja sebagaimana pendapat sesetengah golongan. Jika melihat kepada maksud diperjalankan hambaNya di mana erti hamba itu sendiri ialah tubuh dan ruh bukan ruh sahaja disamping perjalanan ini ditemani oleh malaikat Jibril dengan menaiki Buraq di mana jika perjalanan itu hanya dengan ruh sahaja maka tidak perlu kepada binatang tunggangan. Malah nabi Muhammad s.a.w turut dibelah hatinya untuk dibersihkan hatinya dengan air zam-zam yang menambahkan lagi keyakinan bahawa peristiwa Isra’ dan Mikraj ini berlaku terhadap tubuh dan ruh nabi.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

            Ada juga golongan yang mengatakan bahawa Isra’ dan Mikraj hanya berlaku secara ruh iaitu melalui mimpi dengan menafsirkan makna الرؤيا dalam ayat 60 surah al-Isra’ sebagai mimpi bukannya melihat dengan mata iaitu Firman Allah S.W.T :

وما جعلنا الرؤيا التى أريناك إلا فتنة للناس

Maksudnya sebagaimana tafsiran golongan tersebut :  Dan bukanlah Kami jadikan mimpi yang Kami perlihatkan kepada engkau (Wahai Muhammad) melainkan sebagai ujian bagi umat manusia.

            Tafsiran ini ditolak kerana makna الرؤيا  dalam ayat tersebut ialah melihat dengan mata bukannya sekadar mimpi. Malah kalimah فتنة bererti ujian yang datang dalam ayat ini menjelaskan lagi tentang maksud الرؤيا sebelumnya di mana jika Isra’ dan Mikraj hanya berlaku secara mimpi maka ia tidak begitu menguji keimanan manusia kerana mimpi mudah dipercayai walau sejauh mana pun seseorang itu pergi dalam masa yang sekejap sedangkan apabila nabi memberitahu manusia bahawa baginda diperjalankan dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa seterusnya naik ke langit dalam suatu malam sahaja maka  ia sudah tentu menguji keimanan seseorang sehingga yang kufur semakin kufur dan yang telah Islam ada yang kembali murtad.

            Ulama’ turut menolak hujah mereka yang mengatakan peristiwa Isra’ dan Mikraj hanya melalui mimpi dengan menimbulkan beberapa persoalan seperti adakah arahan kewajipan sembahyang lima waktu yang merupakan tiang agama hanya diterima melalui mimpi sehingga ia menjadi arahan yang begitu lemah tidak sebagaimana rukun Islam yang lain. Adakah dikira suatu mukjizat yang hebat jika Isra’ dan Mikraj hanya berlaku secara mimpi kerana manusia biasa pun boleh bermimpi sedangkan jika ia berlaku secara tubuh dan ruh maka ia menampakkan lagi tanda kenabian nabi Muhammad s.a.w.

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

             Ada juga golongan yang cuba mempertahankan Isra’ dan Mikraj dengan ruh sahaja dengan menggunakan hadis yang didakwa daripada Siti Aisyah iaitu :

مَافَقَدْتُّ جَسَدَ رَسُوْلِ اللهِ وَاِنَّمَا أَسْرَى بِرُوْحِهِ

Maksudnya : Aku tidak pernah kehilangan tubuh Rasulullah dan adapun baginda diperjalankan dengan ruhnya

            Ulama’ menyatakan bahawa hadis ini mungkin direka dan bukan daripada percakapan Siti Aisyah memandangkan dia belum berkahwin lagi dengan nabi apatah lagi tinggal serumah dengan baginda semasa Isra’ dan Mikraj yang berlaku sebelum Hijrah di mana Siti Aisyah hanya tinggal serumah dengan nabi selepas Hijrah. Melalui beberapa hujah yang diterangkan secara ringkas maka yakinlah kita bahawa peristiwa Isra’ dan Mikraj yang merupakan antara mukjizat nabi Muhammad s.a.w berlaku terhadap tubuh dan ruhnya.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

                Antara pengajaran yang dapat diambil daripada peristiwa bersejarah ini ialah tentang siksaan ahli neraka yang telah diperlihatkan kepada nabi Muhammad s.a.w semasa dibawa melawat neraka. Antaranya siksaan terhadap orang yang meninggalkan sembahyang di mana mereka memecahkan kepala mereka sendiri. Ini merupakan suatu amaran yang keras agar kita dan keluarga kita  serta masyarakat sekitar dapat menjaga sembahyang dengan baik terutama pada hari ini ramai di kalangan umat Islam tanpa segan silu meninggalkan sembahyang dengan pelbagai alasan termasuk kerana terlalu sibuk dengan kerja. Bermula daripada meninggal sembahyang inilah maka umat Islam mula melanggar segala perintah dan larangan Allah yang lain yang menyebabkan kita hidup melarat di dunia. Oleh itu insaflah kita dengan sentiasa memenuhi masjid sepanjang masa bukannya hanya pada hari Jumaat atau hari raya sahaja. Kita turut menyeru agar pemimpin menghentikan sebarang usaha dalam menyekat kebebasan masjid daripada berfungsi sebagaimana sepatutnya agar rakyat kembali jinak dengan masjid sehingga lahirnya lebih ramai umat bertaqwa yang hampir kepada Allah yang menjamin keselamatan negara.

            Nabi turut melihat bagaimana siksaan terhadap mereka yang tidak menunaikan zakat di mana mereka dihalau seumpama binatang dan kemudiannya mereka memakan buah Zaqqum daripada bara api neraka yang begitu panas sehingga hancur tubuh mereka. Oleh itu tunaikan zakat kita samada zakat fitrah, perniagaan, harta, tanaman, pendapatan dan selainnya sehingga harta kita benar-benar dapat dibersihkan daripada harta hak orang lain. Jika seluruh umat Islam dapat menunaikan zakat dan ia pula dapat diagih dengan baik maka ini semua dapat mengurangkan kadar kemiskinan dalam negara serta merendahkan jurang antara golongan kaya dan miskin. Kita begitu bimbang apabila kekayaan hanya berlegar di kalangan orang kaya dan pemimpin sahaja sehingga jurang antara golongan kaya dan miskin serta kaum semakin tinggi yang menyebabkan suasana sebagaimana keadaan sebelum meletusnya peristiwa rusuhan kaum 13 Mei hampir berulang kembali sekarang ini.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T,

            Nabi Muhammad s.a.w turut diperlihatkan bagaimana golongan penzina yang bertindak memilih daging yang mentah dan busuk berbanding daging yang telah masak dan baik. Ini memberi peringatan kepada kita agar sentiasa menjauhi sebarang pintu dan punca yang membawa kepada zina. Agak malangnya negara yang dilaungkan Islam Hadhari dalamnya tetapi telah membuka pintu zina yang begitu luas seumpama penambahan kepada bilangan disko, penambahan kilang arak terutama perancangan pembinaan kilang arak di Johor oleh syarikat Filiphina, program tv yang membangkitkan nafsu, majalah separa lucah yang begitu bebas, halalnya program hiburan yang melampau sehingga golongan yang melawan mufti bebas bercakap dan bertindak mengikut nafsu serta keberanian dalam melarang kaum wanita daripada memakai pakaian yang sepatutnya sedangkan pakaian yang membuka aurat lebih digalakkan. Kita bimbang penzinaan akan menjadi suatu budaya yang dianggap lambang kemajuan sebagaimana rosaknya masyarakat barat yang telah lama tergadai harga diri. Kita begitu gerun apabila Islam Hadhari meneruskan lagi dasar Islam digari sehingga maksiat semakin berleluasa sedangkan amalan dan tindakan baik terus dipenjara. Kita turut mengutuk dan mengecam tindakan kerajaan Islam Hadhari yang menghalalkan konsert Scorpion pada 13 September ini yang bukan sahaja menghina umat Islam yang memperingati peristiwa Isra’ dan Mikraj malah bakal merosakkan lagi akhlak muda mudi. Jika dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj nabi tidak menyahut panggilan Kristian tetapi hari ini tanpa segan silu pemimpin menjemput dakyah Kristian dalam meneruskan pencabulan kehormatan hari kebesaran umat Islam sedangkan taqwim hijrah sudah diketahui umum. Inilah antara tanda betapa rosaknya pemimpin yang mahu mengubati penyakit keruntuhan akhlak dengan racun berbisa.

            Seterusnya Rasulullah s.a.w melihat bagaimana orang yang tidak menunaikan amanah dipaksa mengangkat seberkas kayu di mana walau pun tidak mampu memikulnya tetapi dia tetap menambah bilangan kayu itu. Ini memberi peringatan agar kita tidak terlalu mengejar pangkat dan kedudukan kerana ia merupakan suatu amanah yang besar. Betapa malangnya apabila jawatan dan kedudukan direbut sehingga menghalalkan rasuah yang digelar dengan politik wang sehingga pangkat dikira sebagai suatu pelaburan yang menguntungkan di mana semakin tinggi jawatan maka semakin banyak untung yang diperolehi. Sedangkan antara perkara yang diajar oleh politik Islam ialah semakin tinggi jawatan maka semakin besar amanah yang menyebabkan harta semakin kurang kerana banyak dihabiskan untuk membantu rakyat jelata yang semakin ramai di bawah tanggungjawabnya. Ingatlah pesanan Khalifah Umar bin Abdul Aziz di mana semakin kaya pemimpin maka semakin miskin rakyatnya dan semakin miskin pemimpin maka semakin kaya rakyatnya. Pemimpin yang berlaku adil dalam menunaikan amanah bakal berada di bawah bayangan arasy serta syurga Allah sedangkan pemimpin yang mengkhianati amanah bakal menempah api neraka. Sayyidina Hassan bin Ali pernah berpesan bahawa dosa yang paling besar ialah tidak beramal tetapi mahu pahala, mahu syurga tetapi melakukan amalan ahli neraka.

Firman Allah S.W.T dalam ayat 13 – 15 surah an-Najmu :

ولقد رءاه نزلة أخرى عند سدرة المنتهى عندها جنة المأوى

Maksudnya : Dan sesungguhnya nabi Muhammad telah melihat malaikat Jibril pada waktu lain ketika berada di Sidratul Muntaha di mana disampingnya ada Syurga al-Ma’wa

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

55. IKTIBAR PERISTIWA ISRA’ DAN MIKRAJ

 

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah

Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :

سبحن الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذي بركنا حوله لنريه من ءايتنا  إنه هو السميع البصير

Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Kita kini sedang berada di bulan Rejab yang telah mencatatkan suatu peristiwa penting di mana pada tanggal 27 Rejab tahun kesebelas selepas daripada kenabian Rasulullah s.a.w dan 2 tahun sebelum berlakunya hijrah nabi s.a.w ke Madinah Munawwarah, telah berlaku peristiwa isra’ dan mikraj di mana ia merupakan satu bukti tentang kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah dalam memperjalankan diri Rasulullah s.a.w dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa, Baitul Maqdis Palestin dan seterusnya nabi di angkat ke langit untuk bertemu Allah dalam masa yang begitu singkat.

Peristiwa ini telah membongkarkan tentang keimanan dan keyakinan umat manusia terhadap kekuasaan Allah dan kebenaran kepada kenabian nabi Muhammad s.a.w. Orang kafir sendiri menjadikan peristiwa Isra’ dan Mikraj ini sebagai suatu pembohongan yang menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah nabi. Manakala keadaan umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat di mana ada yang terus membenarkan nabi seperti Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, ada pula yang mahu penjelasan terperinci dengan menguji nabi melalui beberapa pertanyaan seperti bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran kepada cerita tersebut dan ada pula yang bersikap menolak terus cerita nabi dan kembali murtad daripada Islam. Perkara  seperti inilah juga yang terpaksa dihadapi oleh kita pada hari ini apabila usaha dalam melaksanakan semula semua sistem Islam dalam negara maka di sana timbulnya beberapa golongan iaitu golongan pertama yang seratus peratus yakin dengan kemampuan Islam serta berusaha dengan kemampuan yang ada untuk melaksanakannya.

Golongan yang kedua terdiri daripada mereka yang tahu tentang kemampuan sistem Islam tetapi sentiasa mencari jalan agar ia tidak dapat dilaksanakan dengan memcari pelbagai alasan. Golongan ketiga iaitu golongan pelampau terdiri daripada mereka yang menolak terus sistem Islam malah memberi amaran akan melakukan huru hara jika ada pihak yang berusaha untuk melaksanakannya dalam negara ini. Jika umat dahulu berasa pelik apabila nabi menceritakan tentang Isra’ dan Mikraj maka umat zaman kini merasa pelik apabila disebut tentang sistem Islam yang menyeluruh sedangkan sistem ini pernah dilaksanakan di negara ini pada masa pemerintahan Kesultanan Melayu sebelum datangnya penjajah. Umat Islam menjadi pelik dengan agama mereka sendiri kerana mereka telah diajar dan diasuh oleh pemimpin yang jahil dan sesat saban hari melalui tv, radio, akhbar dan sebagainya agar memusuhi dan memerangi sistem Islam yang menyeluruh.

 

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku selepas nabi diuji dengan kematian dua orang yang paling rapat dan banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Tolib. Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua insan yang disayangi semakin bertambah di mana jika kita perkirakan dari segi logik akal maka Islam pasti akan terkubur tetapi kuasa Allah melebihi segala-galanya di mana selepas penolakan dakwah oleh penduduk Taif, nabi telah dihiburkan dengan Isra’ dan Mikraj dan seterusnya diizinkan untuk berhijrah ke Madinah sehingga membina Daulah Islamiah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada lemah kepada memerintah. Dalam peristiwa di Taif di mana penduduknya bukan sahaja menolak mentah-mentah dakwah Islam malah telah melontar batu ke arah nabi sehingga berlumuran darah. Kita dapat melihat nabi telah diberi peluang untuk menang mudah iaitu tawaran daripada malaikat penjaga bukit untuk menjadikan bukit bawah jagaannya sebagai emas tetapi ditolak oleh nabi sebagaimana nabi menolak tawaran malaikat penjaga bukit yang ingin menghancurkan penduduk Taif yang begitu degil dengan menjatuhkan bukit ke atas penduduk Taif. Penolakan nabi ini memberi banyak pengajaran kepada kita umat Islam di mana kekayaan bukanlah faktor utama dalam menegakkan Islam kerana jika kita perhatikan pada hari ini kebanyakan negara umat Islam dianugerahkan dengan hasil mahsul negara yang banyak tetapi ia tidak membantu pelaksanaan sistem Islam dan tidak pula membantu untuk umat Islam bersatu dalam menghentikan penderitaan umat Islam yang sedang ditindas. Kekayaan hanya dibolot oleh pemimpin dan mereka yang dekat dengan pemimpin sedangkan rakyat terus menderita dan ditegah daripada bersuara menegur kesesatan dan kezaliman pemimpin. Islam bukan mampu bangkit dengan kekuatan ekonomi semata-mata tetapi Islam bangkit melalui kekuatan aqidah yang ditanam dalam diri. Islam juga bukan tersebar atas paksaan tetapi ia mampu menawan hati manusia dengan keadilan dan keindahan seluruh sistemnya sehingga tawaran kesenangan dunia dengan sendiri akan ditolak apabila semangat Islam telah menguasai diri seseorang. Kekuatan aqidah inilah yang menjadi musuh kepada mereka yang melawan Islam daripada golongan kuffar dan munafik. Kita perlu ingat bahawa tiada istilah menang mudah dalam memperjuangkan Islam kerana ia menuntut kepada kesabaran dan istiqamah sebelum datangnya janji kemenangan daripada Allah

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Peristiwa Isra’ Mikraj berlaku di dua tempat utama di bumi sebelum nabi dinaikkan ke sidratul muntaha iaitu bumi Mekah dan Palestin malah melalui ayat 1 surah Isra’ menjelaskan bagaimana Allah memberkati bumi isra’ dan sekitarnya. Sehingga kini bumi Isra’ iaitu Baitul Maqdis, Palestin terus menjadi rebutan tiga agama iaitu Islam, Kristian dan yahudi di mana keganasan yahudi dalam membunuh dan merampas tanah milik umat Islam terus berjalan tanpa perikemanusiaan. Kuasa Kristian yang dibeli oleh yahudi terutama Amerika Syarikat turut menggalakkan pembunuhan umat Islam malah kuasa kristian atas nama memerangi keganasan terus menjadikan umat Islam sebagai sasaran kepada senjata milik mereka. 2 kuasa besar masa kini iaitu kuasa Kristian dan yahudi seumpama 2 kuasa besar Rom dan Parsi yang pernah dihadapi oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat pada zaman itu di mana akhirnya turut tunduk dan patuh kepada pemerintahan Islam. Kemenangan Islam dalam menakluki 2 kuasa besar tersebut telah diperolehi samada melalui perang atau pun perdamaian. Sebagaimana kuasa Rom dan Parsi memandang rendah kepada Daulah Islamiah yang dibina oleh nabi di Madinah pada awalnya tetapi akhirnya mereka sendiri merasa gerun melihat kehebatan sebuah pemerintahan Islam yang diasaskan atas aqidah dengan membina kemajuan tamadun kebendaan tanpa mengabaikan pembangunan insan. Begitulah terjadi pada hari ini di mana selepas penjajahan dan negara-negara umat Islam diberikan kemerdekaan maka kuasa penjajah terutama kristian begitu mengambil berat tentang kepimpinan yang sedang dan akan memerintah di negara jajahan mereka sebelum ini agar pemimpin yang dilantik mestilah meneruskan dasar penjajah walau dengan apa cara sekali pun termasuk cara kekerasan dengan menekan rakyat agar tidak kembali kepada pemerintahan Islam. Dunia kini secara keseluruhan mula kembali semula kepada Islam terutama selepas serangan terhadap 2 bangunan di Amerika pada 11 September 2001 yang lepas. Kuasa yahudi dan kristian berasa gerun dengan perubahan yang mendadak lalu mengambil tindakan lebih ganas dan kejam dengan menggelarkan umat Islam sebagai pengganas yang mesti dihapuskan dari muka bumi ini. Mereka  menekan seluruh negara umat Islam seperti Palestin, Afghanistan, Kashmir, Iraq, Indonesia dan lain-lain. Kita ingatkan kuffar bahawa dunia Islam tidak selamanya ditimpa gerhana tetapi ia akan kembali bercahaya dengan syarat seluruh umat Islam kembali bersatu atas dasar Islam dengan menolak semangat kebangsaan yang memecahbelahkan kesatuan umat Islam sebelum ini. Islamlah nescaya kita akan beroleh kemenangan bersama kerdehaan Allah di dunia dan akhirat.

Renungilah firman Allah dalam  ayat 286 penutup surah al-Baqarah yang merupakan ayat yang diterima oleh nabi semasa bertemu Allah pada malam Isra’ Mikraj selain daripada kewajipan solat lima waktu sehari semalam:

لايكلف الله نفسا إلا وسعها لها ما كسبت وعليها ما اكتسبت ربنا لا تؤاخذنا إن نسينا أو أخطأنا  ربنا ولا تحمل علينا إصرا كما حملته على الذين من قبلنا  ربنا ولا تحملنا مالا طاقة لنا به واعف عنا واغفرلنا وارحمنا أنت مولئنا فانصرنا على القوم الكفرين

Maksudnya : Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat ganjaran kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau mengirakan kami berdosa jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami!Janganlah Engkau bebankan ke atas kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan ke atas kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami, oleh itu bantulah kami dalam mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kufur.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Lagu Pilihan


MyCartopia.com Click here to get one

13. PERISTIWA ISRA’ DAN MIKRAJ

 

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :

سبحن الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذي بركنا حوله لنريه من ءايتنا إنه هو السميع العليم

Maksudnya : Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui

 

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Kini hampir seminggu kita berada di bulan Sya’aban yang disifatkan oleh nabi Muhammad s.a.w sebagai bulan baginda yang mempunyai banyak kelebihannya jika kita penuhi dengan puasa sunat dan amalan soleh yang lain. Belum terlewat pada hari ini untuk kita sama-sama merenungi peristiwa besar iaitu Isra’ dan Mikraj yang berlaku pada bulan Rejab yang sahaja meninggalkan kita terutama hampir setiap hari media massa menayangkan bagaimana kezaliman dan pembunuhan kejam oleh Yahudi yang terus berlangsung di Palestin iaitu bumi yang terletaknya Masjid Aqsa yang merupakan masjid yang menjadi tempat persinggahan nabi sebelum mikraj ke Sidratul Muntaha.

Melalui ayat tadi dapatlah kita mengambil iktibar bagaimana pentingnya masjid di mana perjalanan nabi sebagai tetamu Allah pada malam Isra’ Mikraj bermula dari masjidil Haram di Mekah dan singgah sebentar di masjid Aqsa di Palestin. Begitu juga dalam peristiwa hijrah di mana Rasulullah s.a.w telah membina masjid Quba’ sebelum membina masjid Nabawi ketika tiba di Madinah dalam memastikan syiar Islam dan ikatan antara hamba dengan Allah dapat disemai sehingga membangkitkan semangat jihad dan kesatuan hati sesama manusia dalam menghadapi sebarang cabaran dan tentangan samada daripada manusia atau pun syaitan. Memandangkan kepada pentingnya peranan masjid maka marilah kita sama-sama memakmurkannya dengan sentiasa solat berjemaah dan juga menghidupkannya dengan majlis ilmu dicelah-celah ada pihak yang cuba menghalang masjid daripada dimakmurkan atas alasan tiada permit dan sebagainya.

Disamping itu kita juga mesti bersemangat dalam mempertahankan masjid Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat Islam yang kini cuba diruntuhkan oleh Yahudi laknatullah. Mereka mendakwa bahawa dibawah bangunan masjid Aqsa terdapat kerangka bangunan Kerajaan Nabi Sulaiman yang menyebabkan mereka cuba meruntuhkan masjid Aqsa dengan pelbagai cara di antaranya dengan menggali terowong dibawah masjid Aqsa di mana dengan cara ini apabila berlakunya banjir atau hujan lebat akan menyebabkan tanah dibawah masjid Aqsa akan mendap dan ia menyebabkan masjid Aqsa akan runtuh. Di atas runtuhan masjid Aqsa nanti akan didirikan bangunan Kerajaan nabi Sulaiman sebagaimana dakwaan sesat mereka.

Yahudi juga cuba mengelirukan umat Islam tentang bangunan masjid Aqsa yang sebenar di mana mereka sentiasa membesar-besar Kubah Sukhra’ iaitu bangunan yang kubahnya berwarna kuning dibuat daripada emas oleh kerajaan Jordan. Bangunan tersebut terletak di hadapan masjid Aqsa yang berkubah hijau di mana dalam bangunan ini terdapat batu tergantung yang cuba mengikut nabi ketika mikraj ke sidratul muntaha bersama-sama malaikat Jibril. Dengan cara mengelirukan kedudukan masjid Aqsa yang sebenar, yahudi berpendapat umat Islam akan bersungguh-sungguh menjaga bangunan yang berkubah kuning itu yang membolehkan mereka dengan mudah meruntuhkan masjid Aqsa. Walau bagaimana pun usaha jahat musuh Islam dalam meruntuhkan masjid Aqsa namun usaha mereka tetap digagalkan oleh Allah. Berkumpulnya yahudi sedunia di bumi Palestin hanya menunggu masa untuk dihancurkan oleh Allah melalui umat Islam yang berani bukannya umat arab yang bacul dan pengecut.

 

 

 

Sidang Jumaat yang dikasihi,

 Dalam perjalanan menemui Allah, Rasulullah s.a.w bersama Jibril telah melalui 7 lapisan langit sebelum diangkat ke sidratul muntaha. Ketika ingin melalui langit pertama baginda bertemu dengan nabi Adam, dilangit kedua bertemu dengan nabi Yahya dan nabi Isa, ketika dilangit ketika berjumpa dengan nabi Yusuf, semasa melalui langit keempat bertemu dengan nabi Idris, dilangit kelima bertemu dengan nabi Harun. Semasa bertemu dengan nabi-nabi tersebut, nabi telah memberi salam kepada mereka dan disambut salamnya serta disebut-sebut kenabiannya. Ketika berada dilangit keenam baginda bertemu dengan nabi Musa di mana didapati nabi Musa menangis. Apabila ditanya lalu nabi Musa menjawab bahawa dia menangis kerana seorang pemuda yang dibangkitkan selepasnya (nabi Muhammad) di mana umat nabi itu paling ramai memasuki syurga berbanding umatnya. Selepas itu nabi Muhammad s.a.w diangkat ke sidratul muntaha.

Ketika berada di Sidratul muntaha, Jibril telah memberitahu nabi tentangnya dan menjelaskan tentang 4 batang sungai iaitu dua yang batin yang merupakan sungai di Syurga manakala 2 yang baki dan zahir ialah Sungai Nil yang meliputi beberapa negara termasuk Mesir dan juga Sungai Furat yang menjadi sumber kepada beberapa negara termasuk Syria. Ini memberitahu kepada nabi bahawa dakwahnya mula subur dan tersebar di Semenanjung tanah arab yang terletak antara Sungai Nil dan Furat.

Selepas itu nabi berada di Baitu Makmur di mana Jibril membawa datang bekas minuman yang berisi arak, susu dan madu lalu nabi memilih minuman susu. Jibril mengatakan itulah fitrah di mana nabi dan umatnya akan mengikutinya.

 

Siang Jumaat yang dikasihi,

Ketika bertemu Allah pada mulanya difardhukan solat sebanyak 50 waktu. Selepas menerima kewajipan ini lalu Rasulullah s.a.w ingin beredar dari situ. Ketika bertemu dengan nabi Musa dalam perjalanan lalu baginda menasihatkan supaya nabi Muhammad s.a.w meminta agar Allah mengurangkan bebanan itu. Begitulah yang berlaku sehinggalah Allah meringankan kewajipan kepada 5 waktu sehari semalam dan ketika nabi Musa menyuruh nabi Muhammad menemui lagi Allah agar diringankan lagi kewajipan itu kerana umatnya dahulu walau pun hanya difardhukan lebih sedikit daripada yang difardhukan ke atas umat nabi Muhammad s.a.w namun bani Israel tidak mampu melakukannya tetapi nabi enggan berbuat demikian kerana terlalu malu kepada Allah. Kemudian terdengar suara yang memanggil menyatakan bahawa laksanakanlah segala kewajipan iaitu solat 5 waktu di mana telah diringankan bebanannya kepada hamba-hamba Allah daripada 50 waktu kepada 5 waktu.

Kemudian Rasulullah s.a.w dibawa melawat Syurga di mana dapat dilihat segala keindahannya. Seterusnya nabi dibawa melihat neraka di mana antara perkara yang dilihat oleh baginda ialah sekumpulan manusia yang perutnya begitu besar sehingga mereka tidak mampu untuk mengubah kedudukan mereka. Jibril menjelaskan bahawa itulah mereka yang mengamalkan riba yang mana ia mengingatkan kita bagaimana azabnya mereka yang suka mengamalkan riba semasa di dunia. Dunia pada hari ini dari segi ekonominya telah dimanopoli oleh Yahudi yang sememangnya mengamalkan amalan riba dengan orang lain tetapi mengharamkan riba sesama yahudi. Kita walau pun berada di negara yang tertera dalam perlembagaannya Islam sebagai agama rasmi tetapi turut bergelumang dengan riba kerana pemimpinnya yang jahil dan hanya mengejar kebendaan sahaja.

Nabi juga melihat bagaimana sekumpulan lelaki di mana terdapat pada tangan mereka daging yang bagus dan segar disamping daging yang busuk dan rosak tetapi mereka tetap makan daging yang busuk itu. Jibril memberitahu bahawa mereka merupakan orang yang mempunyai isteri yang baik tetapi tetap melakukan zina dengan perempuan lain. Inilah antara azab bagi mereka yang berzina di mana kita di negara ini turut merasai balanya dengan serangan penyakit AIDS yang terus merebak termasuk kepada mereka yang tidak terlibat dengan perbuatan yang tidak bermaruah itu seperti yang terkena kepada 2 orang ibu yang dijangkiti AIDS melalui perdermaan darah. Malah disebuah negeri dalam negara kita telah disyorkan oleh muftinya agar pasangan ingin berkahwin diperiksa terlebih dahulu samada dia dijangkiti AIDS atau pun tidak. Inilah bahayanya apabila rakyat hanya diberitahu tentang bahayanya AIDS bukannya diberi penjelasan tentang bahayanya zina disamping menhukumkan penzina dengan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah.

Rasulullah s.a.w juga melihat sekumpulan wanita yang diikat buah dadanya di mana Jibril menjelaskan bahawa mereka adalah wanita yang bergaul bebas dengan lelaki yang bukan mahramnya. Sebab itulah Islam banyak menekankan tentang garisan yang sepatutnya dijaga oleh kaum wanita semasa berada di luar rumah samada berkerja atau pun urusan lain dalam menjaga kehormatan dan maruah mereka daripada tercemar.

Firman Allah dalam ayat 130 – 131 surah Ali- Imran :

يأيها الذين آمنوا لا تأكلوا الربا أضعافا مضاعفة واتقوا الله لعلكم تفلحون واتقوا النار التي أعدت للكافرين

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu beroleh keuntungan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ